Advertlets

Selasa, Ogos 11, 2009

Sinetron Dramalova part XVII - Lari

Babak 1

Kali ini, kamera tersorot jauh secara zoom keluar, memintas laju kepingan-kepingah kehidupan hampir 20 tahun dahulu.

Diego masih setahun dua menyesuaikan diri dengan persekitaran perumahannya yang baru. Dulu di rumah Tok Wan, rumah masih dikelilingi pokok-pokok moktan, jambu batu, nangka, durian, belimbing besi, belimbing buluh, rokam, kelapa dan setaq. Halaman rumah yang luas, boleh main kombat-kombat lagi. Jalan besar kalau lari ulang alik 3 kali dari pintu rumah pon boleh tercungap.

Tapi kini, persekitarannya sangat berbeza. Depan rumah terus ada jalan aspal. Kiri kanan rumah jiran. Jiran kiri cikgu katanya. Jiran kanan sebelah lorong, berbangsa Cina membela anjing jenis Rotwieler. Tetapi masih setahun dua umurnya anjing itu.

Sejak kehadiran jiran kanan dan anjing belaannya. Dah berapa keping selipar Diego adik beradik menjadi habuannya. Digongong masuk ke halaman rumahnya bila terbiar. Obses terhadap selipar gamaknya.

Sedang elok suatu petang Diego berjalan menyusuri rumah-rumah jiran di kirinya, hajat di hati nak usha makwe rumah berselang 5. Pakaian dan gaya Diego agak kasual, seluar pendek bola, baju t'shirt dan selipar Tat Sing. Selalu-selalu selipar Tat Sing menjadi pilihan sebab dia tahan lasak, keras dan kukuh kalau tiba-tiba member kampung depan rumah Diego ajak main baling selipar. Tapi ada kelemahan terhadap selipar Tat Sing ini, ianya berat kalau di bawa lari pecut dan cepat tercabut/putus.

Diego kuis batu-batu kecil di tepi jalan. Lagak seperti mengelecek bola. Elok dia menoleh sahaja ke belakang, anjing Rotweiler jirannya sudah memulakan langkah mengejar, entah tanpa sebab. Gerak hati Diego yang sudah belajar hukum hakam najis Mughallazah menyebabkan Diego juga memulakan pecutan ala Rabuan Pit. Tidaklah Rabuan Pit sangat kalau pakai selipar Tat Sing ini. Sekali lagi ditoleh ke belakang, anjing tersebut sudah sangat hampir. Hendak tak hendak, Diego lepaskan juga seliparnya sebelah, tapi tetap meneruskan larian pecutnya. Garis penamat bukanlah matlamatnya, tetapi sudahnya, sampai ke penghujung deretan rumah teres juga Diego lari. Walhal anjing tersebut telah menamatkan larian terlebih awal sesudah selipar Diego ditinggalkan.

Diego kembali ke rumah melalui jalan belakang. Berselipar hanya pada sebelah kaki sahaja. Itu pon takut-takut kalau-kalau ada lagi anjing tersebut terserempak lagi. Mujur, anjing itu sudah di dalam halamannya sendiri. Dalam hati masih berkira-kira nak ambil ke tidak selipar yang tertinggal tadi.

15 minit kemudian. Muncul pula Sergio dan 2 pupu Diego. Masuk ke perkarangan rumah sambil bergelak ketawa tak habis lagi.

"Awat hang gelak?' Diego hairan.

"Anjing tula, mai ligan aku tak pasai-pasai" Sergio menjawab.

"Hang pon kena ligan jugak? Aku baru ja kena tadi" Diego pula mengadu.

"Ha la, dah dia ligan, aku lari la, tapi anjing tu bodo, ada tong sampah kat tepi jalan depan aku, aku lompat tong sampah tu, anjing tu pi langgaq tong sampah tu. Hahahah" Sergio seronok bercerita.

"Tu la, aku lari tadi, bila dah tinggai selipar baru dia nak berenti. Gila betui. Tak pasai-pasai kena ligan" Diego menambah.

Semenjak itu, kehadiran anjing dan gerak geri mereka sangat diikuti rapat oleh Diego adik beradik. Di mana-mana, dengan apa jenis anjing, akan diperhatikan rapat. Agak-agak nak kene kejar, langkah seribu akan diambil tanpa usul periksa lagi.

Babak 2

Kali ini, Diego berjalan petang dengan adik perempuanya, Sheylda. Baru balik dari taman permainan di hujung kanan deretan rumah mereka. Selang 2-3 rumah berjalan, Diego merasa ingin berlumba lari. Bukan tak puas bersukan, tapi sukan tahunan berlumba lari hanya setahun sekali. Kadang-kadang kene tahu juga tahap kecergasan semasa.

"Sheylda, jom kita lumba lari nak? Lari sampai rumah? Diego membuat satu candangan.

"Boleh, sat, aku nak bukak selipar" sambil Sheylda ambil selipar dan disarungkan ke tangannya.

Diego rasa dia pasti menang, dia tak tanggalkan selipar.

"Ok, 1, 2, 3!" Diego dah memecut, pada sela waktu yang sama, dia dah ternampak anjing putih berbulu tebal milik tuan rumah di tepi tempat mereka mula berlumba lari sudah meloloskan diri dari penjuru pintu pagarnya.

Kali ini, bukan Diego dan Sheylda sahaja yang berlumba lari, mereka turut dikejar anjing putih berbulu tebal. Diego syak, anjing tu betina. Entah kenapa.

"Sheylda, lari la laju sikit, ada anjing ligan hang, dia dah dekat dah dengan hang tu!" Diego menjerit, sambil berlari dan menoleh ke belakang sebab Sheylda sedikit ketinggalan.

"Woi, tolong la aku, anjing tu ligan aku!" Sheylda dah mula menangis, tapi kaki masih tetap berlari pantas.

"Lari Sheyla, lari laju lagi!" Diego juga tetap meneruskan larian sampai ke rumah. Sedikit jauh meninggalkan Sheylda.

Sheylda yang sampai kemudian dah teriak meraung. Sebab dikejar anjing putih berbulu tebal yang disyaki betina itu. Semua hadirin di rumah mula menyoal Diego. Diego ketawakan Sheylda. Sebab hajat utama hanya nak berlumba lari secara persahabatan, tapi ditambah pula dikejar anjing, ia menjadi satu pertandingan kompetitif.

Anjing putih bebulu tebal itu tidaklah mengapa-apakan Sheylda. Bila dia dapat mencium tumit Sheylda, dia berhenti dan berpatah balik. Tapi emosi Sheylda agak terganggu dan tidak lagi ini membuat perlumbaan persahabatan larian pecut bersama Diego lagi. Dengar kata Sheylda pernah mewakili sekolahnya untuk acara lumba berlari. Tak sia-sia dia mendapatkan asas berlari pecut sejak usia muda.

Notakakiberselipartatsing: Selamat Hari Ulang Tahun Kelahiran ke-26 untuk Shidah. Juga selamat pulang ke Malaysia.

2 ulasan:

Ummi Amani berkata...

Hehehe...champion snggh Diego dlm arena brlari ni ye.

Adam Ruslan berkata...

Itu semua sebab asas berlari telah diterapkan dari usia mudah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...