Advertlets

Jumaat, Oktober 04, 2013

Catatan Diego - Bolasepak@Padang

Diego pernah terbaca berkali-kali (kawan lain-lain duk share) di garisan masa FB, mengenai satu pesanan ustazah tentang cara ibu dan bapa mengasuh anak-anak terutama anak-anak yang masih kecil. Entah berapa petua yang diperturunkan tapi lebih kurang beginilah yang masih mampu Diego ingat.

1. Bapa balik awal dari kerja dan memandikan anak yang masih kecil di bawah 5 tahun.

2. Letak anak di atas bahu supaya penglihatan mereka lebih jauh.

3. Eratkan perhubungan dengan aktiviti fizikal seperti bergasak dan bergumpal. Senang cerita, main lawan-lawan.

4. Bawa mereka pergi bersiar-siar, pergi padang untuk bermain.

Alah lebih kurang begitulah rupanya pesanan ustazah tersebut. Sumber internet ni kekadang kita jangan percaya sangat. Entah betul ke tips ini semua? Adakah praktikal semua benda ni bapa boleh buat dengan anak-anak lelaki mereka sekarang? Adakah sistem perumahan negara dan prasarana yang disediakan boleh mengalakkan tips ini dipraktikkan? Bincangkan. 

Lupakan perbincangan di atas dan ada baiknya kita terus ke titik utama. Tips itu memang baik dan benar sebenarnya. Tapi untuk melaksanakannya belum tentu semua bapa berkeupayaan melakukannya. Meskipun demikian, Diego sebenarnya sudah pun mempraktikkan tips ini sejak mempunyai anak seorang lagi. 

Apabila mencecah anak ke-empat, aktiviti sebegini sangat-sangat digalakkan sebab sebenarnya ia dapat melekakan kanak-kanak dari menyepahkan seluruh rumah dan membuat bunyi bingit yang boleh menjagakan bayi yang masih perlukan tidur yang lama. Ia juga memberi ruang dan peluang untuk ibu melakukan tugas-tugas berat seperti mengemas, memasak, membasuh dan mengupdate FB. Selain daripada itu, tips ini juga telah menjimatkan ribuan ringgit dari poket Diego kerana anak-anaknya tidak memerlukan gadget elektronik sorang satu untuk melangut main Minion Rush.

Kebetulan pula padang berdekatan dengan rumah Diego sudah dinaiktarafkan dari tanah terbiar kepada padang bolasepak berserta tiang gol, jaring dan garisan padang. Cuma padang itu juga datang dengan batu-batu besar lutut, paip plastik, kayu terguna serta rumput bertompok-tompok dan tanah tidak rata yang kalau hujan menjadi lopak, air bergenang siap ada berudu sekumpulan.

Demi menyahut seruan ustazah tersebut, Diego beli sebiji bola sepak yang berjenama mahal tapi tak la terlalu mahal harganya untuk mengeratkan bonding atau perhubungan antara anak-anak lelakinya. 

Hari pertama mereka turun bermain di padang baru itu, terdapat kanak-kanak lain yang juga turut bermain di satu sudut gol yang sama. Diego memberi laluan kepada mereka menggunakan padang dan hanya bermain dengan anak-anak di tepi padang. Malangnya ia tidak lama. Tiga empat kali menyepak bola, Rodriguez dan Pablo sudah lebih berminat untuk bermain di cerun padang. Panjat dan gelungsur turun ke bawah. 

Aguero pula hanya memegang kemas bola plastiknya. Tak mahu dilepaskan takut ditendang abang-abang jauh darinya. Sambil dia memerhati kanak-kanak lain yang menyepak bola berterabur dan bola yang melantun-lantun sebab padang tak rata. 

Hari pertama tamat dengan Diego menyertai kanak-kanak lain bermain untuk 5 minit terakhir. Cuma ayat dari salah seorang dari mereka menyentap sedikit perasaan Diego.

"Pakcik, jom la main sekali, jadi team dengan saya". Budak penjaga gol yang dari tadi asyik bolos je mengajak Diego bermain sekali. 

"Pakcik kau panggil aku budak?" Diego hanya berbicara dalam hati. Diego merenung susuk tubuh badannya dan kembali sedar diri dari terus tersentap. Dia terus menyertai mereka sambil bermain secara gaya lincah dan tenang sebagai pemain pertahanan untuk 5 minit terakhir sebelum semua pakat-pakat rasa nak balik sebab hari dah merangkak ke Maghrib. 

Hari kedua, hujan turun pada awal petang. Tapi demi menyahut pesanan ustazah tersebut. Diego gagahkan juga turun bermain dengan anak-anak. Kali ini hanya dengan sebiji bola pantai berwarna biru dan bola berjenama mahal.

Kau orang boleh bayangkan sendiri jela macamana budak-budak ni main bola padang dengan sebiji bola plastik biru. Kau orang ingat senang nak membentuk satu pasukan bolah kanak-kanak yang mantap bersatu, bersatu hati, hati tak tisu, tisu tak basah dan basah baju boleh balik basuh dengan mesin basuh, tapi menjawab jela dengan Marcia nanti?. 





Ye, disebabkan bola hanya ada satu, yang boleh menendang ada tiga, sorang tu kuat menangis kalau tak dapat bola, sorang tu eksaited gila nak menendang, dan sorang lagi tu ikut suka dia je nak menendang ke nak main duri semalu di tepi pandang. Hah, senang ke? Ustazah tolong jawab sikit bonding cemana kita yang nak buat ni? 

Ok, ustazah simpan jawapan ustazah sebab Diego sendiri boleh setelkan masalah displin ini. Cabaran tadi mudah saja disetelkan bapa berpengalaman 4 orang anak lelaki. Hanya dengan satu volume suara lain dari perbualan biasa, serta kuasa memberikan bola kepada anak yang sepatutnya, mereka mula teratur dalam mempelajari asas bolasepak. Anak ketiga Diego, Aguero yang berusia hampir 3 tahun mula mengambil posisi. Walaupon baru lepas merengek, satu sepakan kaki kanan dilepaskan ke arah gol. Teknik sepakannya betul, power untuk usia 2 tahun lebih kira ok la. Apa pon, usaha juga kelihatan baik di situ. Abangnya berdua pula lebih bijak memilih untuk menjadi penjaga gol kali ini. 



Berbalik kepada pembentukan pemain bola sepak dari akar umbi, Diego mengambil inisiatif untuk kembali kepada asas. Asas pertama ialah membiasakan mereka dengan padang bola sepak. Jadi, pada hujung minggu yang seterusnya, walaupon hari hujan mereka tetap turun ke padang bola. Siap kasut, stokin dan pakaian bolasepak sebenar. Seluar pendek dan baju jersi. Salah seorang daripada mereka mengenakan aksesori tambahan iaitu lampin pakai buang di dalam seluar pendeknya. 

Untuk membiasakan mereka dengan padang bola, kali ini permainan mereka tidak lagi bersangkut paut dengan bola sepak. Hanya Diego yang menyepak bola ke arah pintu gol kosong. Anak-anaknya dibiarkan bermain lopak air yang berada betul-betul 3 kaki dari pintu gol. Diego anggap mereka ialah benteng pertahanan dan Diego pula berkali-kali membuat sepakan percuma dari luar kotak penalti. Sambil membuat sepakan lencong, sambil melarang anak-anak dari terlalu galak main air dalam lopak. Sekali sekala, sangkut juga bola dalam lopak air. Hilai ketawa Rodriguez, Pablo dan Aguero memecah keheningan petang. Kanak-kanak lain tidak nampak langsung sebab hari baru lepas hujan. Agaknya sedap lagi terkangkang tengok cerita Upin Ipin depan tv. 

Sergio kelihatan sudah separa berendam dalam lopak air, beliau sama ada tidak sedar atau mungkin terlalu selesa kerana beliau memakai lampin pakai buang berkapasiti tinggi serapan airnya. 

Diego rasa ada baiknya menyambut saranan ustazah tadi dengan menyertai anak-anak bermain lopak air. Air lopak yang pada mulanya jernih dah menjadi teh susu sebab bercampur dengan kelodak tanah merah padang. Satu sepakan cantik dilakukan Diego ke dalam lopak dan air naik memercik naik ke muka Rodriguez. Kebetulan pula, Rodriguez tengah tergelak sambil mulut ternganga. Hilang dahaganya seketika.

Volume hilaian ketawa makin menaik. Muka Pablo dan Aguero juga dinaiki air dengan sengaja oleh abangnya pula. Selebihnya adalah kegembiraan kanak-kanak yang hanya boleh dibayangkan di kepala sebab apa kejadahnya semua benda kita nak kena bawa henpon dan rakam video atau gambar?

Balik dari padang permainan, mereka dibelanja Diego dengan siraman air paip sejuk depan rumah. Mandi depan rumah dengan separa telanjang adalah satu kegembiraan buat kanak-kanak. Lebih bonding dari bergomol dan mengadap tablet elektronik. 

Baju dan seluar mereka dibilas sebelum dibawa masuk. Yelah, kau nak kene jeling jegil biji mata dengan Marcia kalau biar je seluar baju basah kotor main lopak air kat padang kat luar tu? Diego menjinjit semua pakaian basah sambih terkernyih untuk mengelakkan tembakan laser dan bom berantai dari Marcia dilancarkan dengan tepat lagi menikam. Ustazah FB itu tahu apa petua hal-hal mengelakkan diri sebegini.  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...