Advertlets

Jumaat, Mac 26, 2010

Ikhlas membeli, Ikhlas menerima

Menda ni dah 2 kali dah masuk peti surat rumah aku. Yang ini yang kali pertama. Bangga pulak yang menang tu ada gambar dia. Siap nama penuh dengan asal lagi. Bagi Siti Fatimah yang menyertai skim ini, apa salahnya menderma sedikit dari hasil usaha titik peluhnya demi kebajikan tempat ibadat. Kebaikannya berlipat ganda.

Siti Fatimah mungkin tidak menyedari bahawa dia sebenarnya telah menolong menjana ekonomi negara jiran dengan membawa keluar sebahagian dari wang perolehannya dari dalam negara ke luar negara. Tapi, Siti Fatimah tentunya sedar tentang hukum hakam wang perolehannya itu di sisi agama. Apa pun, dia ikhlas.


Konsepnya mudah, Tok Guru tolong kamu, kamu derma ikhlas untuk kebajikan tempat Tok Guru. Risalah kedua datang dalam 2-3 minggu lepas itu. Di samping nama pemenang dan gambar Abdul Mutalib, kali ini dia ada letak 'disclaimer'.

Risalah ini hanya untuk menolong orang yang di dalam kesusahan, tidak bermaksud untuk menyinggung sensitiviti mana-mana pihak.

Aku hanya terfikir, kenapa Tok Guru sendiri tak beli je direct. Untung 100%. Tak yah nak mintak-mintak komisyen. Buat penat je cetak risalah banyak-banyak. Kalau itulah tujuan Tok Guru untuk menjana ekonomi tempat ibadat Tok Guru.

Mungkin bagi Tok Guru, berjudi itu haram? Atau bersederhana lebih baik? Atau power Tok Guru hilang kalau diamalkan sendiri?

Adakah ini konspirasi? Penyelewangan ekonomi? Tektik keji? Menghina agama? Memesong akidah? Atau konsep 1Malaysia?

Mintak dijauhkan.

Rabu, Mac 24, 2010

Kanak-Kanak Memang Riang XXIII

"Baiklah, sesi fotografi kali ini melibatkan penggunaan props. Itu props kamu. Sila gunakannya sebaik mungkin". Ketua fotografi persatuan kamera tali halus memberi arahan.

Berikut adalah kritikan sinis kritikal paling pedas terhadap kedudukan sosial, masyarakat dan politik masa kini yang dilahirkan dalam kanvas fotografi. Sila selaminya secara mendalam.


"1Tiang, 2Pili"

"Tak hijau padang tanpa tiang gol"


Sapa-sapa yang nak menterjemahkannya, silalah kalau berani.

Setelah Butang Power Dibuka

Butang power yang selama ini disimpan dan terjaga rapi telah dibuka. Butang ini memang sengaja disimpan kerana riak dan takbur adalah merbahaya buat hati yang tidak 'releks-releks'.

Bagaimanapun, keputusan telah dibuat untuk membuka butang power ini. Ini adalah kerana keterujaan membuat blog dirasakan terlalu rutin sejak kebelakangan ini. Maka, keterujaan baru diperlukan untuk hati yang terlalu 'releks-releks', jadi keputusan untuk membuka butang power tersebut dilakukan.

Setelah seminggu butang power dibuka. Aku telah mendapati hasilnya, walau tak seberapa. Blog ini telah dijejaki oleh beberapa pencari kata kunci. Berikut adalah hasil dari pembukaan butang power.

1. Contoh Slogan Dutchlady - 22 Mac 2010
2. Kedai Putu Mayam Skudai - 23 Mac 2010
3. Kisah Kaka Adik - 24 Mac 2010

Ini semua pencarian yang sangat sesat lagi menyesatkan. Aku sangat berterima kasih pada Lebai google kerana menyenaraikan pencarian tersebut ke blog ini. Sangat tidak bermakna dan tidak membantu langsung kepada penjejak kata kunci yang datang ke sini.

Tapi bagi pencari kedai putu mayam Skudai, aku boleh mencadangkan kedai putu mayam di Jalan Penyiaran sebagai alternatif. Kedai ini memang rare. Sebab hanya jual putu mayam boleh buat sebiji kedai. Sekian.

Nota kata kunci amANI : Kalau tuan bijak laksana, butang power itu apa? Hahah.

Ahad, Mac 21, 2010

Kanak-Kanak Memang Riang XXII



Pada suatu hari, Aqil duduk di sebelah Zahin dan Ammar untuk makan aiskrim kaler hijau.

Pada hari itu, Zahin duduk di antara Aqil dan Ammar untuk makan aiskrim kaler hijau.

Pada masa tersebut, Ammar duduk di sebelah Zahin dan Aqil untuk makan aiskrim kaler hijau. 

Mereka sama-sama makan aiskrim kaler hijau. Hari tengah panas. Mereka rasa sedap.

Manakala, semua yang membaca cerita ini pula rasa panas. Sekian.

Jumaat, Mac 12, 2010

Catatan Diego - Tali@Leher

Antara perubahan-perubahan yang terjadi yang berkaitan dengan kerja Diego sekarang selepas episod Bertukar, dapat disimpulkan dengan seperti berikut:

 
1. Dulu kalau azan Isyak hampir-hampir nak berkumandang, Diego baru nak katup kunci pintu opis. Sekarang, masa azan Isyak dah tengah relek-relek pegang suratkhabar sambil baring tengok berita kat tv. Eh, bukan ke patut bawak-bawak ke masjid dah ke umur sekarang?

 
2. Jarang-jarang sangat sampai rumah balik dari kerja lepas jam 7 petang. Brader-brader kat padang bola tepi rumah pon baru nak warm-up.

 
3. Kalau dulu Diego cemas pagi-pagi sebab buat opismate tertunggu-tunggu luar opis, kali ini merasa jugak membuat pembuka opis cemas sebab buat Diego tertunggu-tunggu pagi-pagi di luar opis.

 
4. Dulu pegi kerja asal boleh dengan baju t'shirt berkolar je, kali ini berbaju kemeja lengan panjang sterika sisi kasik tajam siap bertali leher. (Nota sisi : setiap kemeja yang dipakai, semua tak muat dikancing butang di leher, kenapa ye? Cemana la orang yang design baju buat kerja nih)

 
5. Dulu asyik duk ulang keluar masuk loji petrokimia, janakuasa dengan oleokima je, tengok tarbin dengan pemampat relek-relek je. Sekarang terpinga-pinga nak layan mesin larik, mesin acuan tuang, dengan kilang kelapa sawit.

 
6. Merasa jugak kalau opismate nak jumpa, depa kena ketuk pintu dulu. Dulu opismate nak jumpa, laung dari jauh je.

 
7. Dulu dalam opis ada sebijik je ekon besar, sekali petik, sejuk terus seluruh opis. Sekarang dah ada remote kontrol sendiri nak sejuk ke, nak sepoi-sepoi bahasa je, nak sedingin salju ke.

 
8. Dulu makan nasi tengahari hari-hari beli kat Pak Ali, sekarang nak makan nasi, hari-hari pening mana nak beli.

 
9. Sekarang petang hari Jumaat tidak memberi apa-apa motivasi. Dulu asal Jumaat je rasa seronok nak habiskan kerja.

10. Sekarang struktur bilik air pon canggih, kongsi je gents & ladies. Apa ada hal? Tapi, Diego sorang je yang guna air, yang lain lebih selesa dengan kertas tisu.

Khamis, Mac 11, 2010

Kopipes - Sifat

Ini siri baru, kopipes. Apa menda sahaja yang seronok di kopipes dari mana-mana sumber.

Pendapat ini aku kopipes dari satu blog semasa tengah melompat secara rawak di alam blogosphera. Dia petik dari sebuah buku. Aku tak heran sangat nak kopipes nama buku dan penulis buku tu sebab masyarakat kita bukan baca sangat buku-buku ilmiah.

Penulis buku memberi pendapatnya secara am terhadap permerhatiannya tentang sifat-sifat dan jati diri seseorang mengikut giliran kelahiran mereka dalam keluarga.

 First Child: perfectionist, reliable, conscientious, a list maker, well organized, hard driving, a natural leader, critical, serious, scholarly, logical, doesn’t like surprises, a techie.

  Middle Child: mediator, compromising, diplomatic, avoids conflict, independent, loyal to peers, has many friends, a maverick, secretive, used to not having attention.

  Youngest Child: manipulative, charming, blames others, attention seeker, tenacious, people person, natural salesperson, precocious, engaging, affectionate, loves surprises.

Melihat dari konteks aku sendiri, aku rasa banyak sifat-sifat yang disertakan di atas memang merujuk kepada perhatian pihak tuan (ayat macam surat rasmi plak). Betul-betul kena. Sama tepat dengan analisis bulan kelahiran dari Dr Fadilah Kamsah. Hahah. Korang rasa macamana?

Notakaki Kopipes: Sebuah blog yang merupakan blog fakta-fakta betul yang diperbetulkan telah terhasil tanpa disedari. Tapi kemahiran berbahasa English Triple One Nine tahap A+ mesti ada di dalam dada. Sebab blog ini adalah cernaan minda. Satu lompat ke Factul. Penulisnya, MrFactoid adalah first child atau middle child atau youngest child? Selamat beranalisis.

Isnin, Mac 08, 2010

Tulis-tulis - Subsidi

Mengikut beberapa pendapat dari laporan akhbar, kesimpulan UTAMA yang aku dapat buat adalah minyak (Petrol dalam bahasa yang lebih tepat) akan tetap NAIK harga. Mungkin RM 0.10 seliter. Ini kata laporan akhbar yang aku baca di antara baris laporan mereka. Betul atau tidak, aku hanya sebagai agensi ramalan yang 'hanya nak tolong'.

Canang-canang tentang cara-cara subsidi minyak akan dimansuhkan memang banyak laporan mengenainya, tapi aku heran. Heran dengan pendapat yang suruh mansuh terus. On the spot. Katanya pasaran memang akan mengalami keterjejasan bila harga minyak dimansuh terus subsidinya, tapi selepas itu pasaran dan orang ramai akan dapat kembali menyesuaikan diri dengan harga pasaran sedia ada. Ye ke?

Kalau dilihat dengan apa yang kita dah pernah alami, masa harga minyak RM2.70 seliter, SEMUA mengeluh, sana sini mengeluarkan pendapat itu ini. Harga barang naik mencanak. Harga tiket bas naik. Tambang bas sekolah naik. Harga ikan naik. Sayur pon naik.  Tapi ada jugak yang nak mengeluarkan pendapat suruh mansuh terus sekarang ini. Abah dia cop duit agaknya. Tidak bersyukur betul.

Ok, dari sudut perspektif aku, pendapat teknikalnya mengatakan bahawa pemberian subsidi adalah PEMATAH kepada produktiviti, keefisyenan dan inovasi. Semua jargon yang terbaik untuk menjadi masyarakat negara membangun lagi maju. Contoh senang, kerajaan bagi kita baja subsidi. Sewajarnya kos kita membeli baja dah kurang, tanaman kita makin subur sebab selalu dibaja jadi hasil tanaman menjadi lebih banyak, kita mendapat untung berlipat ganda. Betul?

Tapi, negara Malaysia sudah lama hidup dengan mentaliti 'mudah' dan 'biarlah'. Bila dah dapat baja percuma, usaha kita makin berkurangan, tanaman makin sikit, baja yang sepatutnya diguna, dijual semula untuk keuntungan jangka pendek dan menampung pembelian itu ini. Jadi di mana hasil produktiviti, efisyen dan inovasi di sini kalau sendiri dah malas?

Tapi dari satu lagi sudut mendalam yang ingin ditekankan, subsidi minyak bukan macam subsidi baja. Ada pernah dengar kerajaan nak mansuh subsidi baja? Takde pulak. Sebab?

Sebabnya mudah. Bila mana ada apa jua jenis skim subsidi, pasti ada orang-orang terdekat dengan perlaksana skim yang akan mendapat untung 'rezeki terpijak'. Contoh subsidi baja lagi, Jika dikaji dan diteliti siapa pengeluar, pembuat dan penjual baja subsidi kerajaan, kita dah tahu ke mana wang subsidi kerjaan ini pergi. Sedikit sebanyak poket-poket perlaksana skim ini yang terisi atas dasar imbuhan dari pengeluar, pembuat dan penjual barangan subsidi ini. Betul ke tidak? Kes kotak ikan yang terbaru ini. Kes susu sekolah sebelum ini. Kes yang akan datang, prasarana jalur lebar di kampung-kampung tidak lama lagi. Apa kes pak menteri nak berpatah arang berbuih mulut nak mansuh subsidi baja, air susu dan kotak ikan? Hilang la sumber pendapatan diri sendiri.


Jadi kenapa pulak yang susah payahnya segala pak menteri sibuk sangat nak mansuhkan atau kurangkan subsidi minyak ni? Ini lagi mudah untuk diperjelaskan. Kalau dulu RM 2billion* kerajaan guna untuk subsidikan petrol sebanyak RM0.30 seliter kepada rakyat pada harga USD ~40-50 setong, kali ni bila minyak naik harga kepada USD 80-90 setong, kalau kerajaan masih menampung RM 0.30 sen seliter, pasti jumlahnya akan menjadi RM 3-4billion* untuk jumlah penggunaan minyak yang sama. Jadi di mana harus dicekup RM 1-2 billion ini?


Subsidi minyak lain sikit dari subsidi baja. Sebab subsidi minyak akan terus dibayar pada tokey penjual minyak iaitu PETRONAS. Isi la jenama lain pon, semua itu pusing-pusing balik dapat kat PETRONAS jugak. PETRONAS pula tidak terikat dengan mana-mana pak menteri secara langsung.


Itu yang menjadi perdebatan dan kekusutan semua pak menteri di Parlimen. Semua pak menteri akan terjejas dengan penggunaan tambahan RM 1-2 billion ini dari kantung akaun negara untuk tujuan subsidi minyak ini. Sebab apa? Sebab pendapatan 'tambahan' mereka akan terjejas teruk. Semua projek-projek yang mereka dah 'kautim' dengan segala vendor, pengeluar, penyedia perkhidmatan semuanya akan 'on-hold'. Jadi pak menteri semua akan kehilangan pendapatan 'tambahan' 15% mereka untuk setiap projek yang telah di 'kautim'. Tiada budget kata mudahnya. Jalan yang patut ditar, tak jadi. Landasan keretapi berkembar, tak jadi-jadi. Stadium baru, separuh jadi. Semua projek yang 'on hold', tiada pendapatan 'tambahan' untuk pak menteri. Rakyat ke yang merana, ke pak menteri yang susah hati?


Cuba bayangkan, satu kementerian dapat kata la RM 50 Juta* untuk perbelanjaan setahun. 15% adalah RM 7.5 Juta yang PASTI masuk poket pak menteri sebagai pendapatan 'tambahan'. Kata la budget kementerian ini dipotong sebab nak tampung subsidi minyak. Tak ke hangin pak menteri ini sebab potensi pendapatan 'tambahan' mereka akan hilang? Mau RM 1-2 Juta jugak yang hilang. Tak kasihan ke kita rakyat ini dengan pak menteri pak mentri ini? Mereka akan hilang potensi pendapatan 'tambahan' ~ RM 1 juta setahun.


Jadi, sebagai rakyat yang sentiasa di dahulukan, kita harus menerima kenaikan harga minyak dari kerajaan sebab itu sahaja cara untuk pak menteri terus hidup mewah, senang lagi bergaya dengan pendapatan mereka. Kalau tidak, macam mana pak menteri kita nak makan kambing panggang bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka?


Sebab itu pak menteri semua akan bersungguh-sungguh menyakinkan rakyat yang mana, kita kena kurangkan subsidi minyak untuk mengelakkan pembaziran dan mengukuhkan ekonomi negara (padahal mengukuhkan ekonomi poket sendiri).


Jadi, kesimpulan yang aku boleh buat, nak tak nak memang kita kena terima kenaikan harga minyak sebab bukan kita yang kawal harga pasaran. Kalau naik, kita perlu inovasi untuk menyerap kenaikan-kenaikan harga lain untuk meneruskan kelangsungan hidup. Nak harap pak menteri, dia bukan kisah pon kat rakyat.


Hidup kita ada pilihan. Kalau KFC dah tak mampu beli, ayam gorang pasar malam masih lagi mampu untuk dibeli. Sedapnya sama sahaja. Kalau kereta jenis togok minyak tak ingat, pandai-pandai la 'upgrade' dengan kereta yang cicip sikit-sikit je. Sampai jugak ke destinasinya.


Tapi aku tetap tak setuju subsidi dimansuh terus. Itu bukan tindakan wajar bagi sebuah negara pengeluar minyak mentah (yang ada pendapatan dari penjualan minyak mentah) dan hanya menguntungkan orang-orang besar, bukan rakyat. Juga, tiap seorang dari kita ada 1 butang 'power' untuk menyedarkan pak menteri. Kalau pak menteri sebut lagi 'rakyat mesti ubah gaya hidup', memang benar la apa yang aku tulis ini.


Cuma perlaksanaan pemberian subsidi harus diperkemas untuk mengelakkan pembaziran (tak reti bersyukur, pakai Hummer tapi ikut jalan jem), salah guna (beli, seludup dan jual semula) dan salah bagi (bukan rakyat Malaysia pon beli harga dengan harga subsidi).

Notakaki amANI : Rasa ada tertulis dah hal ini dalam konteks yang sedikit berbeza sebelum ini, tapi biasalah, Melayu mudah lupa. Jadi aku tulis sekali lagi untuk mengingatkan lagi.

* aku tidak pasti nilai sebenar, aku bagi je satu nombor bagi nampak besar lagi gempak.

Jumaat, Mac 05, 2010

Tulis-tulis - Berita Panas

Berita dalam suratkhabar baru-baru ni banyak buat orang panas.

Panas Hati.
Bila budak kecik atau bayi kena tendang, pijak, sepak, terajang dan dibiar sampai mati. Atas dasar apa nak buat macam tu sekali? Bagi orang yang sudah ada anak sendiri macam aku, hal-hal yang menyebabkan kesakitan, teriak dan sebagainya untuk seorang kanak-kanak kecil memang sangat menyayat hati. Juga menyebabkan aku panas hati pada si perlaku. Agak-agak la kalau nak panas hati dengan budak-budak pon. Ada otak tiada akal. Haih.

Hari Panas.
Mula-mula tak rasa banyak beza sangat panas cuaca nih. Tapi sejak pi Subang baru ni, duduk kat rumah sana baru terasa panas bahang masa duduk dalam rumah. Dah macam duduk dalam sauna saiz gergasi. Bila balik ke Johor, cuaca panas pon ikut sekali. Kalau dulu kipas dinding keras kepala dengan kelajuan 1 pon aku masih boleh selimut toto. Sekarang selimut toto kene terajang jatuh terduduk bawah katil terus. Mujur aku masih mengekalkan sifat sopan semasa tidur dengan tidur secara berpakaian lengkap baju dan seluar. Agaknya dengan cuaca panas ni orang cepat panas hati kot, tu yang budak-budak kena terajang tu kot.

Panas Kering
Baru-baru ni aku dapat peluang naik ke sebuah empangan air mentah untuk daerah Kluang. Empangan tu dah takda rupa empangan. Macam lombong tinggal je. Lombong tinggal mungkin banyak lagi air kot. Air dah susut teruk. Kering. Tunggul-tunggul kayu nampak sampai ke kaki dah. Dari 8 pam yang ada. Satu je boleh jalan. Sebab air tak cukup. Operasi harian SAJ telah di ambil alih oleh RAMD. Kata dorang, sekarang ni kira darurat untuk daerah Batu Pahat dengan Kluang. SAJ siap buat sembahyang hajat untuk diturunkan hujan supaya paras air naik balik. Agak-agak sapa-sapa yang masih lagi belum buat simpanan air, sila la berbuat demikian. Simpanan emas ke hape ke boleh buat masa air banyak nanti.

Yang menyebabkan aku terasa nak jadi Karam Singh Walia ini adalah berkenaan status empangan tersebut. Empangan tu sepatutnya hanya sebagai bekalan air mentah simpanan/bantuan. Bekalan air mentah utama patut dari air sungai. Tapi mengikut ujian dari SAJ, air sungai itu sepanjang tahun kandungan asid tinggi. Tak sesuai untuk diproses sebagai bekalan air bersih. Jadi empangan tu dah jadi sumber utama untuk SAJ. Jadinya:


Bila sungai dah tercemar,
Air dah kurang,
Panas hati belum pudar,
Panas diri bertambah berang.

Air Panas
Semenjak Aqil masuk sekolah ni, hari-hari dia dapat mandi air panas waktu pagi. Ummi dia masak air, campur sekali dalam baldi tadahan. Disebabkan Aqil suka teriak pagi-pagi, jadi dia hanya disiram dalam 2-3 kali sahaja meskipun pujukan Ummi dia hanya '1 kali' siram sahaja. Yang menjadi nostalgianya bila aku teringat, pak atau tok dulu pon suka sediakan air panas dalam baldi tadahan masa aku nak pi tadika. Jadi, dapat mandi air saki baki air panas Aqil pon best jugak rasanya. Hahah.

Untuk rekod, Aqil akan berubah personaliti bila sudah siap berpakaian tadika. Dia sudah redha dengan kehendak dan keperluan dia perlu ke sekolah. Jadi dia akan dengan cerianya melambai Ummi bila dah masuk kereta. Tak payah la aku nak kena bertukar jadi Dr Fadilah Kamsah awal-awal pagi lagi.

Selasa, Mac 02, 2010

Arsenal dan Kejuaraan Liga

Laaaaama tak menulis hal ehwal Arsenal.

Sebagai musim paling menarik untuk kejuaraan Liga Perdana Inggeris, tiada faktor jelas untuk mana-mana pasukan menjadi juara Liga Perdana Inggeris musim ini.

Chelsea? Selepas dua kali mereka kalahkan Arsenal, prestasi mereka terus merudum untuk beberapa perlawanan selepas itu kerana belum habis penat berlari mengejar bola melawan Arsenal, maklumlah pasukan veteran serta barisan pemain yang banyak masa luang untuk 'makan luar'.

Man Utd? Dua kali juga mereka kalahkan Arsenal, tetapi mereka dah kalah sama banyak dengan Arsenal sekarang (dan mungkin kalah lagi nanti) juga mereka ada kredibiliti untuk kalah dengan pasukan bawahan seperti Burnley misalnya.

Jadi, adakah persaingan dari pasukan lain untuk kejuaraan liga? Aku nampak kelab seperti Liverpool, Spurs, Man City serta Villa lebih suka untuk berpandangan singkat dan merebut tempat ke empat dan seterusnya sahaja.

Jika diikutkan perlawanan akan datang, Arsenal hanya mempunyai Spurs dan Man City sebagai pasukan yang mencabar, bukan memandang rendah pasukan bawahan lain seperti Birmingham, Wolves, Burnley, Wigan dan Hull, tapi ianya motivasi untuk pasukan Arsenal mencipta momentum menang berturut-turut sehingga akhir musim.

Bagi Man Utd dan Chelsea, mereka masih punya agenda untuk bertemu sesama sendiri untuk memilih kalah atau menang dan seri. Juga ada masih ada pasukan mencabar seperti Spurs dan Liverpool untuk mereka. Man Utd juga ada laluan sukar bertemu semula Man City yang baru sahaja meleburkan rekod tanpa kalah Chelsea di Stamford Bridge. Kata pendeknya, harapan untuk mereka hilang mata penuh adalah tinggi. Beza mata untuk tempat pertama dan ketiga hanya 3 mata. Hanya tinggal 10 baki perlawanan. Jadi kesimpulannya, 'it will go down to wire' ikut bahasa John Dykes.

Jadi mari kita fokus kepada Arsenal sahaja kerana buat apa pening-pening kepala pikirkan pasukan orang lawan dan hal ehwal pemain mereka kan?

Apa yang terjadi, di akhir kejuaraan liga nanti untuk Arsenal, bagi aku kepercayaan Wenger sejak mula musim dengan barisan pemain muda beliau memang ada asasnya. Pemain yang paling meningkat naik dari segi prestasi dan potensi adalah Alex Song. Tahun lepas atau tahun sebelum itu, Song bukan pemain utama. Bukan pemain paling diharapkan. Tekel entah ke mana. Marking tak kena. Bacaan rentak perlawanan pon lemah. Tapi sekarang Song untuk Arsenal adalah ibarat K.Gurusamy bagi Malaysia. Pembaca rentak, pematah serangan dan pemula gerakan. Tanpa Song, Vermalean tak mungkin menjadi pemain pertahanan penjaring gol terbanyak setakat ini.

Kalau nak dikatakan tonggak utama sebenar, memang Fabregas adalah teraju utama. Sebab dia yang banyak 'assist' dan menjaringkan gol-gol penting. Tapi bak kata bidalan, disebalik kegagahan seorang lelaki, pasti ada perempuan yang menyokongnya di belakang. Jadi dalam hal ini, Fabregas teraju utamanya, tapi Song adalah kemudi dibelakangnya.

Gambar Fabregas dan Song di tempat kerja bersama ex-officemate.

Aku mula memberi perhatian terhadap posisi pertahanan tengah sejak zaman Viera. Aku bandingkan apa yang Viera buat dengan Keane buat dalam permainan. Juga bila Makalele masuk Chelsea, apa yang Makalele buat. Viera bagi aku masih yang terbaik. Kualiti Viera dulu adalah gabungan Fabregas dan Song sekarang. Musim ini, Song sudah menghampiri potensi Viera untuk keupayaan bertahan dan membaca rentak, cuma dia belum lagi ada teknik hantaran-bola-pembelah-pertahanan yang Fabregas ada. Fabregas memang sangat mahir bahagian itu.

Aku memang harapkan kejuaraan liga berpihak pada Arsenal musim ini. Tapi dah tinggal 10 perlawanan, harapan mula menjadi optimis. Ada sinar untuk Arsenal mencelah dalam kancah gawat antara Man Utd dan Chelsea sekarang. Harap Song tak kena kad merah dalam perlawanan akan datang atau buku lali terkulai-kulai macam Ramsey. Harap momentum mereka menang perlawanan menentang Stoke baru-baru ini akan menjadi pemacu untuk terus menang tiap perlawanan akan datang.

Ironi.

2 musim lepas, Arsenal sedang menuju ke arah kejuaraan liga tapi bila Eduardo patah kaki dalam game Birmingham, Gallas sebagai kapten merajuk dengan pengadil bagi penalti dan Arsenal kalah dan tidak menang liga. Kali ini Ramsey pula patah kaki. Tapi Fabregas sebagai kapten tak merajuk malah menjaringkan gol penalti pasukannya dan Arsenal menang serta menuju ke arah kejuaraan liga.

Renung-renungkanlah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...