Advertlets

Ahad, Mei 31, 2009

Catatan Diego - Nasi @Seattle

~ 12 September 2005

Ruang mesyuarat semua penuh. Ada rakyat tempatan dan selebihnya wakil jualan yang datang dari Uruguay, Mexico, Argentina, Bolivia, Kanada, Sweeden, India, Korea Selatan, Filipina, Taiwan dan Arab Saudi.

Majlis dibuka oleh Pengerusi Syarikat. Mata Diego masih meliar. Pandang yang memakai kot. Yang berkemeja lengan panjang siap tali leher. Yang berambut kaler bulu jagung. Yang berambut sudah beruban pon ada. Kasut kulit, hitam berkilat. Ada juga yang berpakaian santai, jeans dan kemeja-T. Itu mungkin dari Amerika Tengah. Texas atau Houston barangkali.

Diego, berbaju kemeja lengan pendek, seluar slack dan kasut hijau Polo hadiah kahwin. Tak berkilat. Duduk bersebelahan pakcik wakil jualan dari Mexico.Pakcik itu kelihatan sudah beruban dan sedikit botak. Mereka semua nampak mesra. Saling berbalas-balas pandangan dan pertanyaan dalam sesi pertama pagi itu. Hangat. Diego, senyap dan tunduk. Mengambil nota sebanyak mungkin buat panduan dan rujukan.

Tamat sesi pertama. Masa untuk rehat pagi.

Ada makanan disediakan. Makaroni bakar berdaging dan makaroni bakar vegetarian. Ada sayur-sayur segar. Ada pastri. Ada air jus dan air berkarbonat dalam tin. Juga kopi dan teh panas.

Kopi panas dan makaroni bakar vegetarian jadi pilihan. Selepas itu, pastri pon Diego sebat juga.

Wakil dari Arab Saudi ada 2 orang. Sorang nampak macam bos. Sorang nampak sedikit teknikal orangnya. Masa rehat. Yang rupa macam bos sibuk dengan telefon mahalnya. Nakio Communicator. Yang sedikit teknikal sedang bersoal jawab dengan wakil Sweeden. Diego makan sorang-sorang sebab tak tahu nak berbual apa dan dengan sapa. Diego sapa aje wakil-wakil dari Filipina dan India. Yang lain-lain Diego tak berani tegur lagi. Ingat senang nak kecek Amerika dengan orang Amerika?

Bila dah masuk tengahari baru ada peluang berbual banyak sikit. Wakil dari Arab Saudi datang, tegur Diego yang tengah termenung.

"Oh, nama kamu sama dengan saya, saya juga Mohammad" Lelaki Arab Saudi yang sedikit teknikal menegur.

Kami semua punya tag nama, ditulis besar dan lekat di dada.

"Ha'ah, tapi panggil saja saya Diego" Pantas Diego menjawab. Ingat lelaki Arab ini sombong.

Mereka terus berbual. Tanya asal mana, wakilkan syarikat apa, macamana perniagaan, apa pandangan terhadap instrument yang sedang mereka jual sekarang. Dan terus berkenalan. Rupanya dia orang Mesir. Bosnya sahaja orang Arab Saudi. Cuma mereka sekarang menetap di Arab Saudi.

"Kamu dah makan apa dalam 2 hari sejak sampai sini?" Mohamad bertanya.

"Ada la roti dengan tuna, roti dengan jem, cenggitu la" Diego jawab.

"Lah, kesian, petang ini kamu makan malam dengan kami, kita makan nasi" Mohamad memperlawa.

"Nasi? Oh, ada ke kedai halal dan menjual nasi?" Diego hairan terkejut.

"Ada, tapi bukan kedai yang 100% halal, makan udang dan seafood je la" Mohamad menerangkan.

"Ok, jangan lupa, nanti saya telefon bilik kamu petang nanti" pesan Mohamad.

Petang itu, mereka bergerak. Bertiga. Jalan kaki ke arah deretan kedai di kawasan paling hampir dengan jeti Pulau Bainbridge itu. Rupanya itu kedai masakan Amerika Latin. Mexico dengan lebih tepat. Mohamad dan bosnya, Salleh yang order. Diego angguk saja.

Hidangan malam itu. Berkeping-keping roti tortilla panas-panas. Sos Salsa tanpa daging dan hidangan utama, nasi goreng udang dan cendawan. Pinggan besar yang sewajarnya bernama talam. Nasi goreng dihiasi di atasnya dengan keju cheddar/mozarella yang cair. Penuh sepinggan. Eh, talam.

Perasaan Diego ditutup bercampur-campur. Syukur dengan kewujudan nasi. Kembang tekak dengan salutan keju cair di atas nasi dan sangat-sangat kenyang sebab baru betul-betul mendapat menu makan yang sempurna setelah 2 hari makan apa yang ada sahaja. Walau tiada ayam dan daging. Udang pon tidak kurang sedapnya. Mereka bertiga berkongsi 2 talam nasi goreng tersebut. Roti tortilla pun licin dek brader Mesir dan Arab itu.

"Kamu dah kahwin?" Mohamad sengaja mencari isu.

"Dah, baru je minggu lepas saya punya majlis perkahwinan" Diego jawab. Ringkas.

"Lah, itu baru sesangat, dah tu, kenapa tak bawak datang sini?" Salleh pula mencelah.

"Sape nak sponsor nak bawa datang sini, ini bos saya yang suruh saya datang pon dah cukup baik dah" terang Diego.

"Dah, kamu berdua, dah kahwin ke?" Saja Diego alih soalan.

"Dah, Salleh ada 3 orang anak, saya baru sorang, baru 2 bulan umur" Mohammad menjawab. Dan mereka terus berbual, tentang bahasa, agama dan budaya.

Ini hari ketiga, kali pertama Diego menjejak kaki di daerah Seattle, negeri Washington, negara Amerika.

Sejak ketika itu, sampai detik terakhir sebelum masing-masing berpisah dengan jadual kapal terbang masing-masing, mereka bersama-sama ke mana-mana. Makan. Beli barang. Tengok kedai-kedai. Jalan-jalan pusing pekan Seattle tengok Pasar Pikes, tempat orang baling-baling ikan serta ketam saiz raksasa macam cerita dokumentari cenel diskaveri Deadliest Catch.

Mereka bertukar-tukar matawang kertas negara masing-masing sebagai tanda persahabatan. Nota Rs 1 Brazil dan 1 Pound Mesir bertukar tangan. Mereka babai Diego yang naik van shuttle ke lapangan terbang dahulu.

KUIZ Catatan Diego : Apakah struktur yang digambarkan dalam matawang 1 Pound Mesir?

Notamulut amANI: Segala perbualan telah dialih suara, apa gila Diego nak cakap Melayu atau bahasa Arab dengan lelaki-lelaki itu? Mereka berbual dengan bahasa English Triple One Nine lengkap dengan tatabahasa dan vocabulary yang berterabur dan bertempiaran.

Sabtu, Mei 30, 2009

Hari Ini Hari Minggu

Sebagai catatan ringkas hari minggu. Membawa kanak-kanak memotong rambut di kedai adalah suatu perkara yang perlu pertimbangan wajar. Bukan datang, terus duduk di kerusi dan order, potong bagi panjang satu!

Kali pertama. Membotakkan Aqil yang masih bayi. Kene sama-sama pakai kain kurung itu balut diri dan Aqil sambil meribanya. Kepalanya harus dipegang agar tidak bergerak bebas. Tersiat pisau cukur mau bercucuran darah nanti.

Kali kedua. Memotong kemas rambut Aqil. Masih meriba Aqil. Tapi dia sahaja yang pakai kain kurung itu.

Kali ketiga. Sama seperti kali kedua.

Kali ke-empat. Seperti gambar di atas.

Kali ke-lima. Sama seperti gambar di atas. Kedai je lain.

Dan aku tak teringat dah berapa kali potong rambut Aqil. Ammar pon sama.

Cuma, Aqil sedikit geli bila mesin itu lalu di belakang telinga atau pisau cukur dibelakang tengkuk. Dan aku teringat macamana aku juga menahan geli masa gunting rambut di pekan Kulim. Tahan ketawa sampai bahu terhinggut-hinggut. Ceh.

Notakaki amANI: Tahniah buat ence Juan Nazlan yang sudah menjadi bapa untuk dua orang anak pompuan. 2 pompuan dah boleh dapat buat double wanita badminton. Sekarang, sapa-sapa kutuk saiz dan struktur perut ko, ko bleh jawab, "Eleh, ini perut seorang bapa yang sudah punya 2 orang anak!"

Khamis, Mei 28, 2009

Status KUIZ Catatan Diego

Sehingga masa dan tarikh berita ini disiapkan. Berikut merupakan status penyertaan KUIZ Catatan Diego.

1. Halal @ Seattle - Waktu perjalanan dari tanahair.

hanimdroid - 5.15 petang
a z m i r - 7.00 pagi

2. Bedah @ Klinik - Kos harga pembedahan ibu kucing.

hanimdroid - rm10
a z m i r - rm 300
redghost - rm 35

3. Kiblat @ Woodlands - Cara menentukan arah kiblat

hanimdroid - arah matahari terbenam
a z m i r - lumut di pokok (jawapan tidak lengkap) dan buat kompas air.
redghost - beli dan bawa kompas.
duta - tengok matahari (jawapan tidak lengkap).

Kuiz masih berjalan dan belum ditutup lagi untuk mana-mana Catatan sekalipun. Kalau ingin menyertai, dipersilakan. Jangan segan-segan. Ingin motivasi?

Kategori hadiah-hadiah kuiz.

1. Hadiah jawapan paling/hampir tepat keseluruhan KUIZ. Tempat pertama, kedua dan ketiga.
2. Saguhati hadiah penyertaan. Jawab sekurang-kurangnya 3 KUIZ Catatan Diego, anda layak menerima saguhati. Tapi anda mungkin telepas menjadi pemenang hadiah keseluruhan jika partisipasi anda minimum. Harap, tiada siapa akan menjadi pengalah. Semua dapat hadiah.

Jenis hadiah adalah menda yang anda tidak akan dapat dari mana-mana kedai. Berapa siri semua KUIZ ini? Entah, tengok rajin mana la aku menulis. Tarikh akhir KUIZ adalan 1 Julai 2009.

Notakaki amANI: Jawab kuiz di FB mana dapat hadiah. Jawab kat sini la baru berbaloi. Hahah.


Rabu, Mei 27, 2009

Catatan Diego - Kiblat @Woodlands

~14 April 2003

"Err Gee, kat sini nak solat kat mana? Ada surau ke?" Diego bertanya. Sopan.

"Surau tu apa? Owh, macam masjid tu ye? Jauh jugak kalau dari sini. Tak pasti la" Gee, pekerja syarikat itu, gadis Melayu campuran, masih bujang, berkaca mata, badan sedikit gempal menjawab. Sedikit hairan.

"Yeke, dah masa temuduga haritu, Bos kata Gee tahu kat mana nak solat dan boleh tunjukkan" Diego tanya lagi. Sebab dijanjikan kemudahan untuk bersolat itu pasti ada.

"Owh, haa, ada-ada. Jom ikut saya" Gee bingkas bangun. Dia ke stor. Satu kotak kosong dicapai. Kemudian berjalan keluar dari pejabat tingkat 6 itu. Diego membontotinya.

"Ok, air semayang boleh amik dari bilik air ini" Diego dan Gee melepasi bilik air yang bersebelahan pejabat.

"Sekarang, kita ke tempat solat" Gee mengajak.

Mereka ke koridor sebelah luar bangunan bertingkat 10 itu. Menuju ke satu pintu di tengah koridor. Tertulis perkataan EXIT, kaler hijau, latar putih. Berlampu.

"Haaa, boleh la pilih, nak semayang di tingkat ini ke, tingkat atas ke, tingkat bawah ke, yang mana selesa la" Gee berkata lagi.

Gee menunjukkan ruang antara dua tangga yang lebar sedepa lebih dan 3-4 depa panjang itu. Diego boleh terima. Janji bersih dan suci. Menurut Gee, memang jarang orang nak lalu lalang di tangga tengah ini. Sebab dah tingkat 6. Orang selalu naik lif di hujung koridor tengah. Jadi, boleh la nak bersolat di sini.

Gee buka dan leperkan kotak tadi, dihampar supaya dalamnya di luar.

"Ok, guna ini buat ganti sejadah hari ini, esok jangan lupa bawak pula" Gee berpesan. Diego akur.

"Err kiblat?" Diego tanya lagi.

"Hemm, kalau tak salah, arah ini" Sambil tangan Gee membuat gaya ala-ala isyarat gol oleh pengadil bolasepak. Menghala pukul 11 jika menghadap dinding tangga itu. Diego terima. Tapi sedikit was-was.

"Betul ke, konfem ke? Dah cek dengan kompas? Diego bertanya agar ada jawapan konkrit.

"Rasanya la. Tak berapa ingat, dulu masa mula-mula masuk tu dah konfemkan dengan kompas" Gee balas. Sedikit kurang yakin.

"Ok la, takpe. Nanti saya tengok macamana" Diego berterima kasih pada Gee (dalam hati nak bertanya, dah hari-hari datang keje, tak solat ke?). Gee mintak diri dan membiarkan Diego untuk urusan solatnya. Diego kembali ke bilik air untuk wudhuk.

Diego kembali ke ruang khas untuk solat. Dia pilih ruang antara tingkat 6 dan 7. Diego menggunakan segala pengetahuan asas PBSMnya untuk menentukan arah kiblat. Dia tengok bayang-bayang matahari yang dah terlepas waktu tengahari. Panjang dah bergalah-galah. Dia tengok stuktur pokok, mencari arah mana lumut tumbuh pada kulit pokok. Diego ambi jari telunjuk, letak di bibir, sedikit air liur terlekat di jari, ditunding ke atas jari telunjuk itu. Menentukan arah angin. Diego ambil posisi. Dibuat ketetapan dalam hati. Arah itu yang ku tuju. Yakin, di situ letaknya Kaabah di Arab Saudi. Bukan Iraq mahupun Kuwait. Diego berdiri tegak. Dan bersolat.

Ini adalah kali kedua, hari pertama Diego menjejak kaki di daerah Woodlands, negara Singapura.


KUIZ Catatan Diego : Sila bincangkan secara benar, bagaimana untuk menentukan arah kiblat jika kita tiada kompas kiblat, kompas pengakap mahupun saluran internet web IslamicFinder.com


Selasa, Mei 26, 2009

Yey, dah dapat! Yey, dah menang!

Isnin lepas. Panas. Terik. Membahang. Aku balik makan tengahari. Sampai depan pintu pagar. Aku tersenyum lebar. Tersengih sampai ke pintu. Dalam kotak peti surat ada sampul coklat. Aku tahu itu buku yang dinanti. Nah. Buku alternatif buatan sendiri tanpa kelulusan DBP. Hasil tulisan blogger jantan paling top masa kini, Pipiyapong. Aku rasa la. Rasa nak beli? Beli di sini sebab jangan harap buku ini ada di Popular, MPH mahupun Badan Cemerlang. Menurut penulis, barang siapa tidak memiliki buku ini, dia 'King of Kodi'. Jadi aku sudah terkeluar dari kategori tersebut.

Komen aku terhadap buku ini : Semua adalah cerita kisah dari blognya dan satu kisah bonus yang tidak akan jemu untuk dibaca berulang kali. Diselitkan juga sepatah dua kata-kata hikmat macam Mastika. Cuma aku sedikit keciwa sebab Diari Roberto II tidak dimuatkan di dalam buku ini. Ia bagi aku kisah paling kelakar. Tiap ayat buat aku gelak tutup mulut sorang-sorang masa membacanya buat kali pertama. Buat aku teruja untuk mengeluarkan Sinetron Dramalova.


Hari ini. Hujan renyai-renyai. Sejuk. Aku balik juga makan tengahari. Tertinjau-tinjau dalam peti surat. Eh? ada, nampak macam kad bisnes along. Bukan rupanya. Poskad dari neraka oleh Matt Groening. Hahah. Ini lebih riak takbur. Hadiah dari peraduan yang aku sertai sudah sampai. Sayang. Air masuk dalam peti surat. Sedikit basah. Takpe. Janji ini hadiah paling rare pernah aku dapat. Dari seorang blogger yang sangat otai, Tok Rimau. Yang aku sendiri tak pernah selisih terlanggar bahu masa beli lauk di pasar malam.


Semuanya. Terima Kasih. Ini antara motivasi untuk aku. Supaya lebih rajin menulis dan menyumbang. Walau aku tak reti menyanyi, melukis, mewarna atau mereka grafik. Mungkin aku boleh menulis dengan rajin. Aku rasa la. Agak-agak ada tak orang nak tribute blog ini macam aku tribute mereka-mereka ini. Mungkin. Suatu hari nanti. Hahah.

Memetik kata-kata hikmat Tok Rimau di poskad, setelah dialih suara, cara terbaik untuk mengunjur masa hadapan adalah dengan menciptanya sendiri. Jadi sekarang, aku sedang mencipta masa depan aku sendiri. Yey.

Pendinding

Suatu hari di Kuala Lumpur.

Panas membahang. Mujur ada satu parkir dari banyak-banyak petak yang semua penuh. Aku parkir mengundur.

Sorang penjual kilatan kereta sudah siap menunggu, walaupun aku belum siap parkir secara lurus dan betul. Aku biar dia tunggu. Lama. Aku kunci stereng. Aku letak penahan matahari kat cermin.

Baru buka pintu nak keluar. Budak penjual kilatan segera menunjukkan satu jalur putih, panjang sejari telunjuk. Dekat tepi lampu signal sisi.

"Abang, ini calar, saya boleh kasi hilang" Dia mula.

"Tak yah, dah ada dah satu" Aku cuba berdalih.

"Boleh bang, cuba dulu" Dia sekali lagi mendesak.

"Tak payah, calar sikit je tuh" Aku menolak lagi.

Kemudian baru mata si penjual ternampak satu jalur panjang 2 hasta, sirip ikan paus pada pintu penumpang belakang aku. Yang aku tak buat apa-apa lagi.

"Ayo! Err oklah bang" dan dia berlalu.

Aku baru tersedar, rupa-rupanya kereta aku ada dinding penghalau penjual jalanan.


Isnin, Mei 25, 2009

Catatan Diego - Bedah @Klinik

~Sekitar tahun 2000.

Selesai makan. Dia melangkah longlai. Menuju hamparan untuk merebahkan badan. Sambil pinggul bergoyang ke kiri ke kanan persis kucing berjalan, lebihan perutnya juga turut bergoyang. Bahagian dadanya yang bersusu juga kelihatan besar dari biasa, membengkak. Yang pasti. Gelebeh dan rebeh. Mukanya tak la cun mana. Tapi ramai jantan suka kat dia. Asal mengorat, pasti dapat. Bila dah dapat, pasti beranak. Asal beranak, pasti anaknya mati. Balasan duniawi kot, banyak sangat berpeleseran tanpa usul periksa. Bukan salah dia. Dia hanya naif untuk menahan godaan.

Kali ini, balasan duniawi kepadanya agak berat. Perutnya robek. Robek akibat lelasan anaknya yang ingin menyusu. Susu tak keluar, anaknya marah. Dia tak sanggup lagi kehilangan anak-anaknya. Dia cuba menyusukan juga. Cakaran marah anaknya tika susu kering atau tak keluar, dia tahan. Pedih, sakit, perit. Dia tahan juga. Dia lagi tak sanggup dengar rengekan lapar anaknya. Dia tahan kesakitan itu. Dia harap, anaknya selamat dan tidak mati kebuluran. Tiada herba atau tumbuh-tumbuhan yang dapat mengurangkan rasa sakit perut yang dirobek itu. Dia tak mampu ke klinik. Sendirian. Inikah balasan buat dia yang selalu berpeleseran dengan jantan-jantan tak guna itu?

*********

Tiba-tiba matanya berpinar. Di atas meja pembedahan. Seorang doktor dan seorang pemuda tampan memegang erat tangan dan kakinya. Doktor telah memberika suntikan bius ke lengannya. Doktor kemudian mengambil jarum berhujung tajan tapi cengkoi, diraut masuk benang pembedahan, kasar. Kapas berisi klorofom disapu keliling luka robekan. Kapas dibuang. Kini giliran jarum cengkoi mengait luka robekan. Hujung tajam jarum cengkoi menyucuk sungkit tembus kulitnya. Dicucuk sungkit pula dengan bahagian kulit di sebelahnya. Tembus. Benang mula melurut. Pantas diikat dan kulit mula bercantum. Benang diputuskan.

Sekali lagi, hujung tajam jarum cengkoi menyucuk sungkit tembus kulitnya,
Dicucuk sungkit pula dengan bahagian kulit di sebelahnya. Tembus. Benang mula melurut. Pantas diikat dan kulit mula bercantum. Benang diputuskan.

Kali ketiga. Matanya mula terkatup-katup. Fikiran terawang-awang. Dia sudah tidak sedarkan apa yang terjadi.

Pemuda tampan tidak lagi memegang kaki dan tangannya. Raut muka pemuda lesi tanpa darah. Peluh jantan mula berkaca di pangkal rambut. Matanya liar. Tidak tetap dan hampir terkenyit-kenyit. Desingan mula berbunyi di telinga. Pemuda minta izin untuk duduk di kerusi. Masih berdenyut-denyut kepalanya. Pening. Ngeri. Ngilu. Mujur sempat duduk. Kalau tidak, rebah.

Terngiang-ngiang.

"Saya pernah bermimpi kamu akan menjadi doktor suatu hari nanti Diego" cikgu matematiknya pernah berkata.
.
.
.
.
.
.

Doktor ke hape? Tengok ibu kucing kene jahit perut pon dah nak pitam!


KUIZ Catatan Diego - Soalan kuiz datang lagi. Berapakah harga kos pembedahan yang dilakukan. Jangan risau, hadiah tetap ada untuk setiap penyertaan. Janji menjawab untuk ke semua kuiz. Salah betul kita kira kemudian.

Sabtu, Mei 23, 2009

Hari Ini Hujung Minggu

Cerita bergambar. Sebab macam biasa. Tema hujung minggu adalah santai. Jangan pikir mende-mende berat dan menyusahkan. Nak baca? Ketip pada gambar. Kalau skrin kat rumah 42 inci. Takyah. Boleh baca terus.

ini kira bokeh ke?


Jumaat, Mei 22, 2009

Sukan Minda

Mende ini aku dah dapat dalam 4-5 tahun yang lepas. Dari Adz.

Tapi haram, aku tak dapat me nyah kod sukan ini masa itu. Masa itu internet di pejabat aku adalah dail-up. Jadi kekadang je aku guna. Aku bookmark dan simpan. Kekadang aku terbelek bookmark, aku cuba. Tetap tak jadi.

Tapi hari ini. Menjadi. Aku baru betul-betul paham. Kenapa ambil 4-5 tahun? Entah. Nak kata aku koman spanar pon tak pe. Janji aku dah dapat tahu.

Sila cuba sendiri. Bila sudah tahu cara menyah kod kan sukan ini,boleh la takbur dan riak sendiri dan tunjuk kat rakan. Cuma jangan beritahu rahsianya. Ini adalah perjanjian tetap untuk bermain sukan ini.

Selamat bersukan.

Sukan Minda - Petals around the rose



Khamis, Mei 21, 2009

Catatan Diego - Halal @Seattle

~8 September 2007. 10.30 pagi.Sabtu.

Diego masuk kedai Gyros Kebab.

Tengok sekeliling, di luar kedai ada orang lepak-lepak minum minuman keras sambil memakai jersi pasukan Seahawk, ragbi Amerika daerah Seattle. Belakang kaunter atas dinding ada sepotong ayat Al-Quran, gambar-gambar sejarah kedai, gambar selebriti sukan yang pernah makan Gyros, ada lampu warna-warni, ada bendera Turki. Atas kaunter ada menu dekat 20 gambar. Segala jenis kebab. Tapi tiada logo halal. Macam kat negara Brazil.

"Yang mana satu halal" Diego bertanya, sambil jari pusing-pusing dekat menu.

"Apa kemende? Halal? Ini, ini dan ini" Pelayan bangsa Latin menjawab.

"Betul ke yang ini halal?" Sambil tengok gambar, daging lembu, daging kambing dan daging ayam. Semua masak panggang.

Pelayan bangsa Latin panggil ketua pelayan. Bangsa Timur Tengah.

"Dia tanya yang mana Halal?!" Pelayan Latin tanya ketua pelayan. Ketua pelayan tunjuk. Ini, ini dan ini.
Daging lembu, daging kambing dan daging ayam. Semua masak panggang.

Dalam hati, Diego yakinkan sahaja. Dah tanya dua orang, dan mereka memberi jawapan halal yang sama. Diego pesan daging lembu panggang hiris dengan roti panjang sehasta. Tambah kentang jejari dan air berkarbonat.

Masa menunggu makanan, Diego belek-belek lagi menu makanan. Mujur. Takde pon daging yang satu itu di masak panggang. Tapi Diego tertanya-tanya. Kenapa menu vegetarian ini tidak tunjuk sebagai halal? Atau menu seafood ini dan seafood itu?

Diego makan. Jenuh nak habiskan semua. Diego bungkus kentang jejari. Jalan sambil makan kentang jejari untuk kembali balik ke bilik hotel, hanya 15 minit berjalan kaki. Diego ambik gambar sendiri sorang diri. Sayangnya, semua gambar telah dipadam dari kad memori sebelum sempat dipindah alih. Jadi, tiada gambar.

Ini hari pertama, kedai pertama untuk kali kedua Diego di daerah Seattle, negeri Washington, baru sejam dua Diego menjejak kaki di sini dari penerbangan selama 17 jam dari Brazil.

Bila pikir-pikir balik, dalam kapal terbang tadi, pelayan dah bagi sarapan sejam sebelum mendarat tadi. Dah, apa ke jadahnya yang Diego pegi makan lagi tadi? Makan tengahari dah ke?

Diego ambil keputusan untuk tidur, sebab pening kepala. Katil hotel sangat empuk dengan tilam gebu dan bantal berisi bulu putih pelepah itik angsa. Jam tangan Carlo Cardini milik Diego yang masih mengikuti waktu tempatan Brazil, menunjukkan angka 2.45.

Pagi. Ahad.

KUIZ Catatan Diego : Soalan kuiz ala-ala siri kartun Go! Diego Go!, Agak-agak pukul berapa kapal terbang Diego berlepas dari negara sendiri? Hadiah? Insya Allah ada, tapi kene jawab semua soalan sampai habis siri ini nanti. Jawapan akan disediakan dalam awal bulan 7 nanti.


Rabu, Mei 20, 2009

Selitan Lawatan Memori - Sebaldi

Asyik-asyik gambar anak-anak yang comel je kan. Apa salahnya letak gambar sendiri yang tentunya lebih comel dari anak-anak kan.

Nah, begitu kiut kami berdua. Dulu-dulu susah nak jumpa kolam renang berklorin tinggi serta berantiseptik yang menyebabkan air nampak kebiruan, apatah lagi kolam renang saiz Olimpik. Nak lagi perahu kayuh pakai kaki atau kayak? Tak pernah terfikir. Maka baldi pon jadilah. Apa? Pedal perahu takde? Senduk pon boleh.

Aku ingat main air dalam baldi memang acara wajib kanak-kanak usia setahun dua la. Tengok, kanak-kanak zaman IT pon tetap suka main baldi air.


Mekasih untuk Qis, buat blog diam-diam tak nak bagi tau aku. Dah la menjadi blog follower secara sulit. Aku baru je simpan cita-cita ada peminat misteri minat kat blog aku. Hahah.

Hah, nasihat aku, tulis lagi, jangan malas. Kalau malas, baik tulis dairi je. Nak jadikan blog dilawati orang? Komen di blog orang secara ikhlas. Itu je rahsia marketing blog sendiri.


Selasa, Mei 19, 2009

Sinetron Dramalova Part XII

Babak Satu

TENGLELU LELU LENGLELU LELU.
Nada dering asli Nakio berbunyi.

(Sergio memanggil)

Diego angkat, sebelum sempat halo atau salam.

"Wei, kalau palam 2 pin, wayar kaler merah dan hitam, yang mana satu hidup mana satu bumi?"

Suara di sana terus menanyakan soalan. Sergio, abang Diego yang pernah terbakar muka sebab cuba menggunakan lighter ketika menyalin minyak panas mesin di kilangnya. Diego cuba mengingati muka surat buku teks Kemahiran Hidup yang pernah Diego baca dahulu semasa tingkatan 3. Tak ingat.

"Ah, mana nak ingat, hat yang 3 pin pon aku tengok dari gambarajah belakang palam tu ja" Diego balas.

"Hitam hidup merah bumi kot, eh ka terbalik" Diego balas lagi, kurang pasti.

"Hang telepon la Casilas, dia kan belajaq kejuruteraan elektrik di luar negara" Diego cuba memberi cadangan.

"Dah, dia lagi la tak tau apa-apa" Sergio balas. Pantas.

"Tak pa la, nanti la aku buat macamana, palam 2 pin aku rosak, aku nak ganti dengan palam 3 pin, tapi konpius pulak" Sergio menerangkan keadaan.

"Hahah, hang buat la elok-elok, satgi terbakaq, jenuh" Diego membalas dan talian putus.

"Siapa tu bang?" Marcia yang tengah menggoreng ikan kembung rebus bertanya pula.

"Sergio, tanya pasal wayar mana satu hidup, mana satu bumi untuk palam 2 pin" jelas Diego.

"Lah, abang tak tahu? Kan belajar dulu masa Kemahiran Hidup? Mende asas tu" Marcia hairan.

"Mana nak ingat, abang suruh dia telepon Casilas, Casilas pon tak tau. Dia lagi la, pelajar kejuruteraan elektrik pon tak tau" Diego cuba pertahankan diri.

Marcia geleng kepala. Ikan kembung rebus siap digoreng. Masa untuk makan.

Babak Dua

TENGLELU LELU LENGLELU LELU. Nada dering asli Nakio.

(Marcia memanggil)

"Abang, peti ais kita jadi lagi macam sebelum ini" Marcia mengadu.

"Jadi macamana? Tiba-tiba mati?" Diego bertanya untuk kepastian.

"Ha'ah, tak tau sebab apa, tu la, dulu lagi Marcia dah kata, peti ais ni dah lama, abang nak pakai jugak, sekarang dah rosak, kereta yang rosak tu pon tak baiki lagi, ni peti ais pulak. Hai la. Dah la baru beli ayam dengan ikan, busuk habisla nanti" Marcia mungkin terlalu tertekan dengan tekanan kerja rumah.

"Dah cuba bukak palam pelbagai pin tu dan pasang palam peti ais saja? Diego cuba-cuba.

"Dah, tak hidup jugak" Pendek dari Marcia.

"Dah cuba palam pemanas elektrik saja pulak? Diego cuba lagi.

"Belum, tengok la kejap lagi" Marcia jawab. Lemah.

"Jangan lupa beli tepung, nak buat jemput-jemput" sempat lagi Marcia memesan.

Diego meneruskan kerja. Hanya tinggal beberapa puluh minit sahaja untuk masa kerja rasmi tamat.

Sekembalinya Diego ke rumah. Terus ke dapur. Kelihatan Marcia masih di peti ais, memegang pisau tengah meneliti sesuatu.

Wayar biru, hijau dan coklat.

"Hah, elok ke tidak peti ais tu?" Diego bertanya.

"Palam ni, jadi macam haritu lagi, macam melebur sikit" Marcia tunjuk rupa hujung wayar-wayar itu.

"Ooo, buang jela hujung yang tu, then pasang semula" Diego pula memberi cadangan.

Marcia capai pisau, cuba potong hujung wayar dan meraut.

"Lah, kan ada playar ini. Pakai mende ni la, ada ke pakai pisau" Diego hulur playar pemotong wayar.

"Mana tau playar ini guna untuk tu, hah, abang la buat" Marcia serah kat Diego.

Diego buang semua hujung wayar, buang salutan plastik dan menggulung hujung wayar tembaga itu.

"Nah, selesaikan la, abang tak sembahyang lagi" Diego serah kembali.

"Eh, pasang la terus" Marcia sambut.

"Tak tahu mana satu wayar untuk mana satu pin" Diego balas dan terus ke bilik air.

Marcia geleng kepala. Wayar-wayar disambung kembali. Skru diikat ketat pada pin yang sepatutnya. Kepala palam ditutup. Dicuba pada punca elektrik. Peti ais kembali bergetar. Tanda hidup semula.

Diego di atas sejadah.

Dalam bilik solat. Ada rak buku di tepi dinding. Atas rak buku dan album gambar. Dalam satu album peribadi antara 5 album, helaian ketiga, sebuah gambar paling atas, seorang gadis berbaju putih, kain biru cair, bertudung, memegang sebuah model kepingan kayu, ada meter elektrik, suis lampu dan punca elektrik 3 pin di atasnya.

Juga sebuah piala dan kertas tertulis, "Johan Rekacipta Peringkat Negeri - Model pembelajaran asas sistem kuasa elektrik rumah".

Marcia, dah menggoreng jemput-jemput. Kejap lagi makan.

Notakaki amANI: Draf pertama, himpunan kisah Sinetron Dramalova versi kertas sudah menjadi. Cuma saiz font agak kecil dan tidak mesra pembaca berkaca mata. Ada la kot 50 muka surat (A4 lipat 2). Agak-agak kalau jual RM5 sebuku, boleh tak aku buat deposit Lancer? Akan ada kisah yang belum diterbitkan di mana-mana media sebagai bonus.

Isnin, Mei 18, 2009

Kanak-Kanak Memang Riang IX

Hari Isnin sesuai kita bercerita hal-hal ringan. Ringan la sangat.

"Abah, go!" Aqil halau aku. Kepala digeleng separuh. Bibir terjuih sedikit.

"Abah, tutup pintu" Lagi sekali Aqil perintah aku.

"Ok, dah sudah bagitau" Aku akur. Aku ke bilik air sebelah untuk wudhuk.

Air telah dilurut sampai ke hujung kaki kiri, untuk melengkapkan air sembahyang. Suci.

"Abah, dah"

"Abah"

"Abah, dah"

Aqil panggil berulang kali. Seraya aku masuk ke bilik air satu lagi, dia sudah turun dari tandas duduk. Tinja dia aku analisa. Banyak. Tenggelam.

"Banyak Aqil yak" Aqil, bangga.

Aku terpaksa batalkan kesucian diriku dan menyelesaikan permaslahan Aqil. Selesai permaslahan Aqil, aku ambil wudhuk kali kedua. Suci kembali. Aku tualakan Aqil.

"Tolong pakaikan pampers dengan seluar Aqil, Abang dah ada air semayang la"

Aku selesaikan kewajipan.

Huh, tektik tidak menjadi. Aqil masih bertuala tanpa pampers dan seluar. Sekali lagi kesucian dalam diriku terbatal. Untuk pakaikan seluar dan pampers Aqil.

Notakaki amANI buat para/bakal ibu bapa: Teknik mengajar anak-anak 'potty train', masuk umur 3 tahun, bila kanak-kanak dah boleh bercakap dan faham erti dan makna perkataan, dah boleh diajar qadak hajat sendiri. Caranya, jangan pakaikan pampers, hanya seluar dan mungkin seluar dalam. Tiap 30 minit, ajak dia ke bilik air untuk membuang air kecil atau besar. Selalu berpesan pada dia untuk memberitahu kita hajat dia (yang ini selalunya lepas dia buat baru dia bagitau masa mula-mula). Biasakan dia untuk menggunakan tandas duduk atau tandas cangkung dengan cara yang betul, jadi dia faham kegunaan sebenar tandas. Juga, bungkus karpet mahal buat masa sekarang sampai dia benar-benar boleh dipercayai. Boleh cuba dihujung minggu untuk para ibu dan bapa yang bekerja. Kredit untuk Che Min, isteri Arzame Wenger.

Notakaki amANI dua: Lelaki dari Pantai Timur jarang menguruskan anak-anak? Yeke? Bincangkan.


Sabtu, Mei 16, 2009

Hari ini hujung minggu

Ceh, baca jugak blog ini di hujung minggu? Hahah.

Macam biasa, tiada siaran serius di hujung minggu.

Kan ke best di hujung minggu diisi dengan membaca suratkhabar, tengok cerita Hindustan, tanam pokok cili, trim rumput kapet, jalan-jalan pergi taman bawak bola sepak, lari keliling taman sambil kontrol dada dan perut, masak nasi ayam spesel, pergi kedai sarapan pagi jalan kaki dan tidur sampai hilang pagi?

Aqil @Stesen bas Kulim

Buat kaum bapa, selamat membasuh dan memandikan anak. Buat kaum suami, apa salahnya tolong isteri lipat kain, buat kaum isteri, apa salahnya tolong suami basuh bilik air, buat yang single dan mengaku single, boleh pergi ke kompleks membeli belah terdekat untuk mencari pasal atau korang semua boleh membuat apa saja yang korang suka di hujung minggu. Tinggalkan stress di hujung minggu.


Ok, aku nak bersenam injak perut sampai keras dengan Aqil & Ammar.


Jumaat, Mei 15, 2009

Sengit

Apa-apa boleh terjadi hujung minggu ini.

Kalah ke, menang ke, juara ke hape ke. Tapi aku menjangkakan saingan sengit.

Jangan harap aku berdiam diri berpeluk tubuh tanpa membuat apa-apa.

Ah, siapa kata aku nak tunggu final AF? Entah sape-sape yang menyanyi pon aku tak follow.

Siapa kata aku tunggu Man Utd jadi juara ke tidak ke? Tak teringin la.

Piala Sudirman? Huh, mungkin aku akan tukar-tukar cenel untuk tengok, tapi ada peluang ke?

Barcelona menang La Liga? Ah, tak mencabar langsung.

Aku tunggu yang ini, ini lebih sengit.

Antara Saiful, aku, Juan dan lain-lain.


Sapa-sapa teringin, boleh cuba season depan nanti. Kirimkan emel, kita main ramai-ramai.

***KEMASKINI 19 MEI 2009***

Sebab dah naik mesti la tunjuk bukti kan. Huhu. Kalau kalah duk diam je. Ini la adat pertandingan.



Cara-cara mendapat hadiah dari Tok Rimau

Untuk Ahmad S, aku memaklumkan untuk membawa kisah kamu ke peringkat antarablog tidak tertakrif.

Untuk Tok Rimau, aku sudah menyelesaikan syarat pertandingan.

Untuk pembaca tetap, boleh layari web Tok Rimau untuk keterangan lanjut tentang pertandingan itu. Hadiah antik katanya. Huhu.

Untuk pembaca senyap, kalau ada yang bagi sokongan, aku buat pulak macam Tok Rimau buat nanti. Sebab aku pon pembaca senyap blog orang. Huhu.

Ini percubaan pertama aku membawa keluar kisah dari blog ini ke ruang bukan selesa aku.

Khamis, Mei 14, 2009

Tulis-tulis - Yang penting hepi

Baru-baru ini, terduduk minum kopi dengan Tuan. Bila dah duduk sembang-sembang. Mula bersembang hal-hal kerjaya yang dipilih. Di mana rakan-rakan sama forecast bidang kami sekarang berada. (Ini je ke isu perbincangan kaum bapa? Kenapa kami tidak membincangkan hal seperti dompet berjenama Polo, kasut kulit Kangaroo atau resipi kek dan masakan Itali? Huh)

Bila dah senaraikan semua yang terlibat. Selain kerjaya biasa bidang mekanikal iaitu terlibat dengan mesin dan jentera (dalam kilang mahupun loji atau tempat pembinaan), ada yang bertukar menjadi pengajar, guru dan pensyarah. Hanya seorang dua yang menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Kami sependapat, dalam bidang kami, dari segi pencapaian kerjaya, ianya sedikit jauh ketinggalan dengan bidang-bidang lain di kalangan batch forecast kami. Agak lekeh la orang kata. Kalau perlu untuk kami menamakan wajah utama bidang mekanikal forecast. Mungkin Bajer atau Botak. (Kalau bidang awam? Tolong jawab sket encik Redghost)

Disimpulkan di sini. Semua di antara kami mendapat cabaran hidup yang berbeza. Yang paling unik, ada yang mendapat cabaran hidup yang mana, di sepanjang kehidupannya dari dulu sampai sekarang, tiada cabaran hidup. Mencabar jugak sebenarnya. Tapi aku yakin dengan prinsip beri dan dapat. Ada rezeki yang kita dapat lebih, ada rezeki yang kita dapat kurang.

Jadi, apa yang penting?

KERJA..SAMA!

Salah-salah. Ini bukan Wonderpets ya. (Sape tak tahu Wonderpets, dia koman spanar)

Yang penting, kita hepi. Yeh.

Notakaki berotot pejal amANI: "Yang penting kita hepi" adalah salah satu lirik lagu Kumpulan Aboi, dari lagu berjudul 'Yang Penting Happy'. Sapa tak tahu Kumpulan Aboi boleh muhasabah diri. Tak alternatif langsung korang.

Selasa, Mei 12, 2009

Kanak-kanak Memang Riang VIII

Hajat nak repeat pegi Dataran yang ada padang bola dan boleh main bola belah malam pada hujung minggu tercapai.

Makan malam siap-siap. Jimat belanja. Menuju bandar JB ketika kaum bapa yang lain sibuk tengok bola Manchester lawan Manchester.

Aku bawak keluar bola saiz pertandingan. Masuk dalam kereta. Aqil konpius, dia suruh tinggalkan bola kat rumah. Aku cakap. Kita memang nak pegi main bola la.

Sampai Dataran, lampu tepi padang je menyala, lampu Dataran tak menyala. Tapi sudah cukup terang untuk main saja-saja.

Aku bagi Aqil dan Ammar bola. Tendang la selagi nak tendang, bawak la selagi larat nak bawak.

Aku acah Aqil, gelecek bola dari dia. Dia melawan. Dia cuba rampas dari aku. Aku tak bagi can. Budak tak budak, main bola memang macam ini.

Aqil seronok. Selagi dia boleh bawak bola, dia bawak bola tuh. Tak dapat bola, dia berlari sekuat hati. Dari tepi padang sampai ke tengah padang. Kemudian lari balik ke tepi padang.

Ammar pon sama. Selagi dia boleh menonong jalan atau berlari. Dia jalan atau lari. Orang panggil pon tak toleh balik. Dia main bola sikit-sikit je, sebab tak pandai nak tendang sangat, dia banyak pegang bola dari tendang.

Bila Aqil penat, dia naik rehat kat tepi padang. Ada 4 tingkat deret bangku penonton.

Aku pulak main bola sorang-sorang. Mula-mula ambik penalti. Dari 5 kali ambik, ada la 3 kali je dapat tuju bucu belah atas. Lagi dua tinggi dan lewat palang. Ceh.

Ezi? Dia pegi gerai tepi dataran beli tauhu bakar. Makan tepi padang macam pengunjung-pengunjung Dataran yang lain.

Kemudian sambung balik main dengan Aqil. Dari tiang gol, dia bawak bola sampai tepi pandang dekat-dekat garisan tengah.

Aku cuba-cuba pulak buat free kick. Dari bucu luar petak penalti. Haram, satu pon tidak ke arah sasaran sebenar. Ezi gelak dari belakang. Aku lumba lari dengan Aqil dan Ammar kejar bola yang melayang jauh dari sasaran kat seberang padang.

Hasilnya. Aqil berpeluh macam main hujan. Baju dia dibasahi peluh, seluar kotor kat lutut sebab banyak kali tersungkur. Bekalan air dalam botol air habis kat dua beradik itu saja.

Sapa kata pakai baju tidur dan selipar Spidermen celup tak boleh main bola?
Sapa kata pakai baju jersi original hanya untuk sokong bola depan tv?

Dah habis bersukan mesti ceria. Kalah menang belakang kira.

Tunggu Ammar besar sikit, aku ajak main bola dengan gol kecik tiang selipar pulak nanti. Ezi pon kene main sekali.



Isnin, Mei 11, 2009

Sinetron Dramalova part XI

Babak Satu

Suatu masa dahulu, Diego tak pernah mempunyai keinginan yang sangat mendalam untuk pergi JUSTUKOR. Terutama pada mula-mula Diego menjejak kaki di wilayah selatan Sao Paulo untuk memulakan karier. Masa itu, Diego cari kole besi buat makan mee segera dan bancuh air pon kat pasaraya biasa. Apatah lagi kelengkapan harian. Juga di pasaraya biasa. JUSTUKOR berdekatan rumah Diego baru lagi dibuka. Satu kompleks membeli belah paling menonjol di sekitar kawasan itu. Tak perlu lagi remaja muda mudi di kampus berdekatan untuk ke ANGSINI mahupun SITISKUER untuk membeli belah atau pun makan makanan pantas lagi segera. Tapi tak juga teringin langsung Diego nak pergi.

Cuma bila kahwinnya Diego dengan Marcia, keperluan membeli-belah Diego telah berubah. Harga barangan dan keselesaan mencari barang keperluan menyebabkan Diego buat juga kad JUSTUKOR bulan pertama mereka berkahwin. Kalau ada jualan Kad JUSTUKOR yang berdekatan, pasti Diego dan Marcia akan meramaikan jumlah pengunjung di sana. Mencari peluang mendapat barangan yang lebih murah dan berpatutan. Tak kiralah tengah sarat mengandung mahupun tika mengendong anak kecil.

Bila dah ada anak sendiri, JUSTUKOR telah bertukar fungsi sekali lagi buat Diego dan Marcia. Ia menjadi taman permainan kanak-kanak terbesar buat anak-anak mereka, Rodriguez dan Pablo. Rodriguez yang baru boleh bercakap sedikit-sedikit dah boleh sebut JUSTUKOR dengan sempurna. Meminta-minta Diego membawanya ke sana tiap kali naik kereta. Dia juga tahu mana letaknya rak-rak bahagian mainan kanak-kanak. Mereka sentiasa tekun mentelaah segala mainan-mainan di sana. Pablo tidak kurang hebatnya, walau kecil comel, tapi gilanya terhadap mainan kereta dan motorsikal melebihi segalanya.

Cuma, mereka pandai menjaga tertib dan adab sopan memasuki pasaraya. Mereka tahu, itu hanya mainan sementara mereka. Bila tiba masanya, mainan akan diletakkan semula dan Diego dan Marcia akan membawa mereka pergi jauh dari bahagian mainan itu. Mereka tidak akan meronta-ronta, terbaring dan berguling-guling meminta yang bukan-bukan. Begitulah adab sopan ketika mengunjungi pasaraya yang telah diterapkan Diego dan Marcia buat Rodriguez dan Pablo. Makcik penjaga bahagian mainan juga telah mengambil berat terhadap mereka dan senang melihat kejurusan mereka mempergunakan mainan di sana. Berat Pablo pon di ambil kira makcik bahagian mainan, sebab sebelum ini berat Pablo agak susut sedikit.

Babak Dua

Menghampiri hujung bulan. Diego punyai belanja cukup-cukup sahaja untuk keperluan sekeluarga buat minggu itu. Sipi-sipi boleh terlepas makan nasi kalau perbelanjaan itu tidak terkawal.

Walaupun demikian, susu tepung untuk anak-anak tetap akan dipastikan agar senantiasa mencukupi bekalannya. Hanya yang termampu buat anak-anak Diego. Tapi minggu itu, bekalan susu tepung buat Rodriguez dan Pablo telah habis sebelum tempoh unjuran.

Bukan tidak ada tempat lain yang menjual susu tepung, tapi kalau Diego bawa anak-anak ke JUSTUKOR, itu adalah bonus untuk anak-anak sebab mereka dapat melampiaskan rasa suka mereka terhadap kawasan JUSTUKOR itu.

Bila selesai membeli susu tepung, ketika melewati kawasan restoran makanan segera, di perkarangan kawasan luar restoran disediakan mainan-mainan tunggangan kanak-kanak. Ada kereta bomba, motor polis, jip, panda, keretapi dan dua tiga lagi mainan tunggangan. Semuanya perlu token yang berharga Rs 1 untuk membuatkan tunggangan itu bergerak dan mengeluarkan muzik.

Rodriguez sudah di atas tunggangan meminta-minta dan menghulurkan tangan untuk memasukan token. Diego rasa tak wajar. Kalau bagi dekat Rodriguez, nanti apa kata Pablo? Mesti Pablo pula akan meminta token yang sama. Bukanlah harga token itu yang menjadi ukuran kasih sayang, tapi hari itu, Diego rasa wang perlu digunakan untuk hal-hal yang lebih penting. Juga Diego pernah menjumpai mainan tunggangan yang sama tetapi menawarkan harga Rs 0.50 untuk sekali tunggangan. Bukankah lebih berpatutan?

Diego dan Marcia adalah pengguna bijak. Diego terpandang satu mesin yang kelihatan sedikit jauh dari kumpulan mesin tunggangan. Lampu mentol menyala di kepala Diego.

Diego tukar Rs 1 di kedai majalah berhampiran. Diego buka selipar Rodriguez. Letak Rodriguez diam-diam di tempat yang dikehendaki. Diego masuk syiling Rs 0.20 ke dalam mesin. Rodriguez dapat markah 14.2 dari mesin itu. Diego turunkan Rodriguez, letak pula Pablo. Masukkan lagi syiling Rs 0.20. Pablo dapat markah 10.5 dari mesin. Pablo kalah dengan Rodriguez. Marcia pula naik. Markah Marcia lebih tinggi, 68.2. Diego sendiri pula yang naik dan memasukkan syiling. Teruja untuk bermain mesin ini. Diego menang. Markah Diego paling tinggi, 70.4.

Dengan modal tak sampai Rs 1, semua gembira dapat bermain dan mereka pulang dari JUSTUKOR dan sempat sampai rumah sebelum cerita CSI bermula.

Mesin ini agak seronok main ramai-ramai

Notapenting amANI: Selamat Hari Ibu buat Mak, Mek dan Ezi. Dengar kata Zaahirah dan Lini pon bakal ibu juga.


Jumaat, Mei 08, 2009

Hari Ini Hujung Minggu


Ammar suka menulis dan mewarna. Segala gambarajah akan dia kerjakan.

Pegi supermarket. Dia belek habis semua kaler pensel.

Nak buka dan main.

Dah 5 buah buku mewarna atau belajar menulis telah dikerjakan Ammar. Semua ummi dia dah buang dan beli yang baru.

Tak sempat panas punggung sampai rumah, buku baru pon Ammar kerjakan.

Aku predict, Ammar akan pandai melukis.

Macam aku. Hahah.

Rabu, Mei 06, 2009

Di Sungai Petani dengan Mohd T

Dari jauh, Mohd T dah sengih. Mohd T menghampiri meja makan. Hirup sedikit teh tarik di cawannya.

Mohd T: "Eh, pengantin sebijik macam dalam Hitman, nasib tak pakai cermin mata hitam je"

Aku tengok, kelihatan agak serius perwatakan yang dibawa pengantin. Mungkin dia risau persilat yang menghunus parang buatan itu.

Mohd T : "Ada iras-iras Jeneral Yamamoto pon ada"

Aku : "Patut pengantin selit pedang panjang kat pinggang, baru la menjiwai watak"

Entah kenapa, aku rasa macam ni la kot kalau kaum bapa yang bersembang hal-hal pengantin. Tak terkeluar pulak hal-hal seperti fabrik pakaian yang dipilih, jenama baju, kaler baju sedondon ke tidak, muka pengantin perempuan ada iras-iras rupa pengantin lelaki, apesal pengantin pakai kasut kaler putih, apesal bunga yang pengantin pegang kaler hijau, kat mana la pengantin tu mekap dan juga hal-hal lain yang berkaitan dengannya.

Begitulah laporan lengkap ketika menghadiri kenduri kahwin Redghost minggu lepas. Gambar yang diambil dengan kamera-tali-lebar-2-jari-boleh-sangkut-kat-leher ada kat blog beliau.

Nota
kamera kocek amANI: Amacam gambar yang aku letak? Bebokeh-bokeh dah aku rasa. Hahah.

Selasa, Mei 05, 2009

Hanya baju itu yang penting

Cakap banyak tak guna. Releks-releks tunggu awal pagi nanti.

Kalau Ammar merengek lagi gatal-gatal satu badan payah nak tido. Aku ajak jugak tengok tv pagi nanti.

Ada sapa-sapa nak aku tolong sms bila Samir Nasri menyepak lencong gol lepas Van der Sar lagi dua kali nanti?


ada ke iras-iras Samir Nasri?

Kemaskini Rabu, 10 Pagi.

1. Tanpa hipokonkrit, syabas buat Man Utd sebab kucar kacir kepala otak Arsene Wenger dibuatnya.
2. Aku tengok dari awal sampai abis ok, bukan tengok keputusan kat cenel 811.
3. Syabas juga buat pasukan Kedah, 7-0 ye Hanoi Fc kena. Tapi boleh pulak kelab Eastern Athletic dari HK menang dengan Chonburi Thailand. Komplot ke hape.
4. Ammar memang merengek kegatalan. Lepas basuh, sabun dan sapu losyen. Dia terlena sendiri di separuh masa kedua.
5. Aqil malas dah nak layan tengok, bila dah 2 gol, isap susu botol lagi feel.
6. Ada lagi sekali jumpa Man Utd 2 minggu lagi, mana tau nak repeat balik kan.

Pepatah pinggang anda


Pepatah hari ini:

"Kalau membaca kisah Ahmad S rasa sangat jenuh dan panjang. Ianya mungkin boleh diibaratkan seperti membawa kereta ke Kulim dari Skudai dan kembali semula. Amat jauh dan sedikit gila. Rasa kebas pinggang-pinggang."

Fakta-fakta:
i. Pegi hampir 11 jam perjalanan. Balik dalam 7 jam tempoh perjalanan.
ii. Kenduri kahwin di kampung Ahmad S. Kali ini, aku dah cas kamera elok-elok.
iii. Aqil & Ammar pandai mengambil hati tok dan tokwan.
iv. Main badminton dengan Mohd T. Sukan paling intensif pertama aku untuk tahun 2009.
v. Mohd T main badminton macam Frank Lampard. Terrer. Smash berdesup.
vi. Mohd T merancang nak belajar main piano, percaya atau tidak?
vii. Perasaan membawa Triton kepunyaan Mohd T adalah seperti membawa kereta kebal yang sangat pickup.
viii. Sepanjang perjalanan pulang dari tol Jawi sampai Sungai Perak, Aqil tak berhenti berharap dan masih mengajak balik semula ke rumah Tok Wan.

Aku malas mengarang. Pendek dan ringkas macam siaran berita sudah.


Jumaat, Mei 01, 2009

Ahmad S siri Kemuncak

Amaran Keras : NSFW sebab panjang berjela-jela. Betul-betul panjang. Sila hela napas panjang-panjang dan jaga juihan bibir anda.

Ini adalah kisah terakhir siri Ahmad S buat tatapan anda semua. Bukan ini bermakna ianya berakhir, tapi aku ingin tumpukan kepada kisah-kisah lain buat masa akan datang. Kalau ada pun sambungan, mungkin aku terpengaruh dengan pengkarya filem tempatan seperti Ahmad S lagi, lagi-lagi Ahmad S, Ahmad S kembali, Ahmad S junior, Ahmad S VCD lah pulak dan Ahmad S the movie. Jadi, jangan berhenti berharap. Eh, kot-kot kisah Mohd T? Hahah. Kaya aku kalau betul semua kisah ni aku jual secara cetak rompak kat pasar Semua Orang Boleh Berniaga (SOBB).

Latar belakang cerita adalah kisah aku pada ketika tahun 3 nak masuk tahun 4. Ada cuti sebulan. Cuti itu sepatutnya aku ada program Lambaian, tapi batal. Balik Kota Bahru dengan gadis-gadis Lambaian negeri Kelantan. Keretapi yang dinaiki melanggar gajah. Kelewatan lebih 12 jam dari jadual asal. Lusa, aku datang balik universiti, sebab aku perlu hadir wakil Lambaian untuk program Leadec. Baru separuh hari program, aku dah tak senang duduk, aku buat surat kata tok suruh balik Kulim. Aku mintak perlepasan dan aku melepaskan diri. Tak sanggup menjadi sebahagian dari kepimpinan kolej. Cukup dengan apa yang aku dah buat untuk kelab selama ini.

~Hari Pertama

Pengembaraan bermula. Bukan pengembaraan balik Kulim rumah Tok, tapi misi ke Kuala Lumpur. Sepatutnya pengembaraan bermula seminggu lagi. Tapi aku dah tak sanggup tunggu, Ahmad S aku hubungi menggunakan telefon awam. Mintak dia ke KL sekarang juga. Ahmad S membentak. Permintaan aku keterlaluan, mak dia akan marah nanti sebab tak sampai seminggu duduk Sungai Petani dah nak keluar berjalan. Dia mintak tunda lagi 2 hari. Aku ok.

Aku telefon pulak Peyo di Batu Pahat. Dia ada kat rumah. Aku offer diri pergi rumah dia hari ini juga, singgah buat memotong hari sebelum bergerak ke KL. Peyo setuju. Aku hantar motor ke rumah Mohd T di Jalan Kebangsaan. Aku mintak Maizam hantar ke stesen bas Larkin. Tiket Bas-Batu-Pahat-Sekarang aku beli, lewat petang dekat Maghrib aku sampai. Peyo jumpa aku. Aku jumpa Peyo. Dia bagi permintaan yang lebih keterlaluan. Malam ni jugak kita pergi KL. Aku ok. Aku naik bas lagi ke Puduraya dengan Peyo. Peyo ada hal dengan gadis dia, sebab itu kene ke KL hari tu juga.

~Hari Kedua

Aku sampai Puduraya sebelum azan Subuh lagi. Setelah menunaikan apa yang wajib, aku tunggu hari terang. Peyo dah aku babai di tangga Puduraya. Gadis dia pikap pakai Satria. Aku tunggu lagi. Dekat-dekat dah panas. Aku naik LRT STAR. Menuju Pandan Indah. Rumah abang. Sampai rumah abang, dia baru nak pegi kelas. Dia suruh aku rehat-rehat. Aku buat sarapan pagi, makan dan terlena sampai tengahari. Petang dan malam aku habiskan dengan abang dan rakan-rakan. Naik motor sekitar KL. Rempit ke? Entah.

~Hari Ketiga

Pagi esok, Ahmad S dah telefon bagitau dia akan sampai Puduraya bila-bila masa sahaja. Aku tunggu lagi. Dah dekat-dekat masanya, aku pecut dengan LRT STAR pegi Puduraya. Ahmad S dah tunggu aku dan ditemani Kuril dan Botak. Botak adalah pelajar pandai-skema-berkaca-mata-dan-tidak-botak yang sama jurusan dengan aku di universiti selatan. Kuril berambut panjang macam penyanyi rok. Tapi lurus macam dah pakai perapi rawatan stim. Lagi panjang dari aku. Takpe, universiti dia pergaulan bebas kot.

Kami minta ehsan Botak untuk menumpang tido semalaman. Botak bagi. Menuju rumah Botak dengan Iswara hadiah harijadi dari bapanya. Ada abang dia. Abang dia keluar dan membelikan pizza buat kami. Kami makan dengan lahap kerana lapar. Memasuki malam, aku ajak Botak keluar jalan-jalan. Tunjukkan kami Kuala Lumpur. Botak setuju. Tapi dia sendiri tak tahu apa yang ingin ditunjukkan. Aku cadangkan Uptown yang aku hanya pernah dengar dan pergi dibawa orang, tak tahu menahu mana daerahnya dan jalannya. Botak bawak. Sampai ke satu kawasan yang nampak banyak orang letak kereta, makan-makan, ramai orang, meriah warna-warni. Mungkin ini Uptown.

Aku sms Peyo. Dia kebetulan berdekatan. Dia datang duduk sekali di meja kami. Di sisi ada 2 lagi gadis berbaju singkat nampak lurah ketiak bersama Peyo.

Aku terkeluar pertanyaan. "Ini Uptown ke Bangsar?"

Gadis menjawab. "Ini Bangsarlah. Hi hi hi". Ketawa kecil. Gadis tambah kuah. "Korang ni nampak tak matanglah. Hi hi hi."

Berderau darah aku dengar. Aku tengok, Botak dah tunduk malu. Ahmad S berlagak selamba. Siap tanya ada lighter tak kat gadis. Gadis hulur.

Malam dah lewat. Botak dah segan, aku dan Ahmad S dah nak bergerak pulang. Sampai kat kereta. Gadis-gadis masih ligat bergelak ketawa. Aku kasik sepakan lencong.

"Tak manis gadis-gadis keluar sampai lewat malam"

~Hari Keempat

Esok siang. Kami dah tiada plan lain dengan Botak. Pagi dah hilang ditelan lena. Dah tengah hari, kami berkemas untuk beransur dari rumah Botak. Botak sponsor pulak makan nasi tengahari bungkus dulu. Alas perut. Lepas tu Botak tinggalkan kami di LRT STAR. Kami naik sampai Masjid India. Tukar LRT PUTRA ke Universiti. Aku konfiden sebab dah pernah buat. Ahmad S baru pertama kali.

Sampai di stesen Universiti, kami melangut. Macam mana nak masuk Universiti itu, walau nama stesen ini Universiti, tapi ianya bukan di dalam universiti. Mujur ada gadis. Aku suruh Ahmad S tanya, sebab muka dia lebih suci walau berparut macam Chang Kong. Muka aku garang. Gadis suruh kami tahan bas yang masuk univerisiti. Kami lambai je bas tuh, mujur tak tahan depang tangan. Bas berenti, kami masuk, tunggu dan sampai depan perpustakaan.

Di sebuah stesen bas sebuah universiti tertua di Malaysia yang penuh dengan para pelajar wanita untuk menunggu bas ke destinasi ilmu masing-masing.

Aku : "Ko perasan tak?"

Ahmad S: "Apa?"

Aku : "Kita berdua je remaja lelaki contoh yang duduk tunggu bas kat sini, yang lain semua gadis-gadis"

Ahmad S : "Eh, ha'ah la"

Ahmad S bingkas ke belakang, telefon Kuril supaya lebih pantas menyelamatkan kami dari para gadis-gadis ayu berbaju kurung dan ada juga berpakaian ketat di stesen bas ini.

Kuril datang dengan 2 buah motorsikal. Member dia la yang bawak lagi satu. Bunyi motor bising bingit. Gadis-gadis yang tadinya telah menyimpan hati terhadap kami, semua mula mematahkan hasrat dan mencebik. Tanpa helmet, aku lompat naik dengan Kuril dan dia memecut ke kolej kediaman.

Sampai dalam bilik Kuril. Nampak agak sendat dan padat. Ada seorang mamat dalam bilik itu, rambut pendek, tapi kaler emas. Baru mengangkat punggung dari sebuah komputer. Sebagai tetamu, aku salam, Ahmad S salam. Kuril hoi saje dia, dia hoi balik.

Sebab kaler rambut dia buat aku tertanya-tanya. Aku tanya Kuril.

Aku : "Rumet ko ke Kuril?"

Kuril : "Entah, ini baru pertama kali aku nampak dia, tak kenal pon"

Aku rasa menyesal menjadi sopan tadi dan menyalam mamat tadi. Ceh.

Ahmad S dan Kuril layan berborak. Mata aku dah kuyu. Aku baca pulak komik Eyes X Eyes. Best. Tapi mengantuk. Aku terlena. Dah masuk petang, kami ajak Kuril bawak pusing-pusing kampus dia. Ini misi utama pengembaraan kami. Menjejak semua universiti tempatan dan mengambil gambar di hadapan papan tandanya.

Kami ke kolam renang, padang, tasik, kolej wanita eh, kolej kediaman rakan yang lain, tapi tidak berjumpa. Dah dekat malam, pulang semula ke bilik Kuril. Adz dan Pak Chot sedia menunggu. Ajak pergi rumah sewa rakan Kuril di sebuah apartment separa mewah. Sebelum bertolak. Kami singgah di depan papan tanda universiti. Maghrib dah masuk. Keadaan agak kelam. Kuril bersembunyi di sebalik pokok untuk mengambil gambar kami. Dia malu. Rambut rok tapi ambik gambar dekat papan tanda. Hasilnya. Gambar itu tak jadi, gelap dan kelam sebab dah malam. Sia-sia usaha Kuril bersembunyi.

(Ahmad S dan aku di tasik UM sebab gambar papan tanda tak jadi)

Selesai khidmat diri di rumah sewa rakan Kuril merangkap rumah yang selalu Kuril lepak. Kami menuju destinasi baru. Makan. Kali ini Uptown. Betul Uptown. Sebab Adz dan Pak Chot arif selok belok Kuala Lumpur. Singgah di PJ mengambil Lobo. Dalam kereta, aku cuba pujuk Lobo untuk menumpang tidur malam ini. Gagal. Lobo belanja kami semua makan.

Selesai makan. Kami menuju destinasi seterusnya. Universiti yang punyai multimedia. Di tempat yang punya projek mega. Kami teruja. Terbayang beberapa misi lain seperti sembahyang sunat di Masjid Putrajaya dan bergambar di bangunan utama Putrajaya. Mudah-mudahan. Menurut Adz, aku hanya perlu melalui jalan yang punyai Jambatan bertingkat ala Pulau Pinang ini untuk ke Kuala Lumpur nanti kalau-kalau aku ingin menjejak sendiri Kuala Lumpur. Sebab dia mungkin ada kelas dan tidak dapat melayan tetamu seperti kami. Aku angguk.

Sampai di universiti yang punyai multimedia ini. Kami terpegun. Ada mesin vendor menjual minuman ringan. Tapi tak boleh beli guna syiling atau wang kertas. Harus punyai Kadfon. Canggih. Di mata kami. Pada waktu itu. Mujur mesin vendor tu tak menerima sms untuk order air tin berkarbonat. Kalau tak. Lagi canggih.

Kami pilih bilik Adz buat tumpangan. Ada 3 komputer semuanya. Semuanya terpasang. Semuanya punyai rangkaian network dan internet. Satu digunakan untuk mendengar WinAmp. Satu digunakan buat bermain Counter Strike. Satu lagi pula sedang menayangkan CD cerita Highlander. Semua dengan sistem bunyi luaran sendiri yang bingit. Lantai bilik dilapik toto nipis menjadi hamparan katil buat kami. Bantal ihsan Adz. Dan kami pon melelapkan mata. Tanpa gangguan.

~Hari Kelima

Pagi aku dicuri tidur. Aku sembahyang subuh yang pupus. Ahmad S dah berjalan-jalan di sekitar kawasan kampus. Siap layan siaran tv pagi di bilik tayangan. Adz terkocoh-kocoh awal pagi tadi. Ke kelas. Kami bersiap-siap khidmat diri. Belum tahu apa rancangan seterusnya. Adz pulang dari kelas. Ajak makan tengahari.

Adz tiada peluang untuk melayan kehendak kami untuk berpeleseran tapi Putrajaya sangat menggamit untuk kami jelajahi, mungkin juga ke Kuala Lumpur. Dia ada kuiz dan kelas petang nanti. Dia offer kunci kereta otomatiknya. Isi minyak dan pandulah sesuka hati. Aku tiada pengalaman memandu di bumi projek mega ini. Mujur Pak Chot datang, offer diri untuk menunjuk jalan keluar sebab dia pon nak memandu ke Kajang. Kami setuju.

Kenderaan otomatik adalah asing buat aku. Tapi dengan cubaan pertama mengundurkan kereta berjalan lancar. Aku konfiden. Ahmad S memberi sokogan moral sahaja. Dia lagi kabur terhadap peta dan jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur. Aku hanya punyai memori yang ringkas dan sipi-sipi berpandukan pengalaman berjalan-jalan dengan keluarga.

Jalan kami ke arah Putrajaya tidaklah berjalan lancar. Tersalah jugak masuk sana sini. Tapi akhirnya tetap tiba di Masjid Putrajaya. Kami selesaikan Zohor serta Asar dan berjalan-jalan sekeliling kawasan Masjid. Panas terik. Kawasan bawah masjid punyai kedai-kedai makan dan jual jajan. Harga memang tidak boleh tahan. Kami beli aiskrim sambil layan pemandangan tasik.

Selesai kawasan masjid, kami memandu pula ke arah bangunan utama Putrajaya. Nak bawak kereta masuk, tapi pak gad tahan. Dia suruh parking di luar dan daftar masuk. Kami tinggalkan kereta, tukar pas pelawat dengan kad pengenalan dan mula menaiki tangga-tangga tinggi ke Bangunan Utama. Aku amik gambar Ahmad S, Ahmad S ambik gambar aku. Kami masuk dalam bangunan. Ahmad S punyai sifat ingin tahu yang melampau. Dia cuba buka tiap pintu yang dia jumpa. Semuanya terkunci. Kecuali satu. Pintu sisi. Aku gusar. Ahmad S kata jom. Kami masuk. Perlahan-lahan. Jumpa lagi pintu. Buka lagi. Masuk lagi dalam. Sampai lagi satu pintu. Kunci. Okeh, dah jom patah balik. Aku ajak Ahmad S. Tapi Ahmad S tengok pulak tangga. Aku kata sudah. Terkunci kita kat sini mau naya. Kami keluar. Selamat. Lega.

Masa nak turun, kami lalu ikut tepi bangunan. Ada landskap-landskap yang cantik. Malas nak turun ikut tangga, kami lari turun lereng bukit itu. Laju-laju sampai nak tergolek. Lari laju sebab takut pak gad nampak dan marah sebab pijak bunga yang dorang baru tanam. Ketawa gelihati sebab buat kerja tak senonoh. Mujur pak gad tak tanya dan kata apa-apa. Pas pelawat kami tukar. Kami memandu keluar.

Aku : "Nak kemana kita?"

Ahmad S: "Mana lagi, ikut ko la"

Aku : "Tugu Negara?"

Ahmad S : "Jom"

Aku : "Ko tahu ke jalannya?"

Ahmad S : "Ikut je signboard"

Ahmad S memang co-pilot yang berdedikasi. Peta tak de, memori jalan takde, arah tuju dan daerah pon tak tahu. Petua dia sungguh mujarab dan ringkas. Mungkin sebab itu sekarang dia beli GPS.

Aku ikut signboard. Cari Kuala Lumpur. Jalan je terus, ikut je segala simpang. Sedar-sedar aku dah sampai area Pudu. Tak lalu langsung Jambatan bertingkat yang ala Pulau Pinang itu. Pesanan Adz dah tiada dalam memori. Mujur aku cam sikit-sikit Pudu. Keluar semula. Cari jalan sebenar. Jumpa jalan yang aku konfiden. Jalan punya jalan, dah lepas dataran Merdeka. Dah menuju Parlimen. Ada simpang ke kanan untuk ke Tugu Negara. Aku silap ambil laluan, aku terlepas simpang itu. Aku konfiden kat depan ada laluan untuk U-turn. Rupanya aku dah mendaki menaiki jalan ke Bangunan Parlimen. Tiada laluan untuk U-turn. Sampai balai pengawal. Polis yang jaga. Dia tahan aku.

Polis tanya. "Nak pergi mana ni?"

Aku minta dengan sopan. "Saya tersalah jalan, nak buat U-turn"

Polis kata. "Mana boleh U-turn kat sini. Tak nampak ke ada tanda tiada U, ini kawasan Parlimen, kalau U-turn di sini tanpa kebenaran, boleh kena saman, turun, mintak I/C dan lesen"

Aku turun. Dia suruh aku catit butir-butir peribadi aku atas satu borang.

Polis :"Saya saman kamu ni, kamu boleh bayar di mana-mana balai polis trafik dalam masa sebulan. RM300."

Aku dah gumam, aku mintak belas ihsan. Mintak maaf dan bagi tahu sesungguhnya aku tak tahu jalan sekitar KL ni. Kereta pon pinjam kawan. Datang semata-mata nak tengok Tugu Negara.

Polis ajak aku pergi ke kereta. Dia bagi I/C dan lesen aku. Aku masuk. Tangan dia masih di tingkap kereta.

Polis : "Dah, nak setel macam mana ni?"

Aku :"Saya minta maaf sangat-sangat encik, memang saya tak tahu"

Mungkin Polis merasa belas atau mungkin Polis malu dengan permintaan dia tadi sebab aku buat-buat tak paham, Polis bagi aku U-turn. Aku tak kene saman. Juga polis tidak minta yang bukan-bukan dari aku. Aku terus menuju ke simpang jalan yang benar. Aku berharap, Polis juga mendapat cahaya kebenaran.

Tugu Negara kami jelajahi. Aku rasa, tak ramai remaja contoh macam kami mengambil inisiatif mengambil peluang menjejaki Tugu Negara ini. Mungkin datang berdua-duaan dengan makwe adalah kot. Kami baca segala peringatan yang ditulis. Keluar dari Tugu Negara. Kami beli air tin. Penghilang dahaga. Turun pula ke taman di sebelah Tugu Negara. Ada arca-arca rekaan dari pelbagai negara Asean. Segala macam bentuk dengan justifikasinya sendiri. Aku terima seadanya. Sebab pereka memang punyai ilham dan resam tersendiri. Susun-susun batu pon jadi lambang harmoni.

Selesai melawat Tugu Negara, misi kami sudah separuh sempurna. Tinggal misi untuk menjejak lagi 2 universiti. Tetapi sebelum itu, kami punyai masalah pertama. Bagaimana untuk kembali ke Universiti yang punyai multimedia itu?

Aku ambil petua Ahmad S. Kita ikut papan tanda. Kami keluar dari Jalan Parlimen, menuju jalan Kuching. Lepas itu ikut papan tanda. Petua itu sungguh bernas. Kami berjaya sampai ke Cyberjaya. Tuan punya kereta, Adz seakan kehilangan perasaan amarah bila kereta kami melewati blok kediamannya. Dia risaukan kami yang buta jalan Kuala Lumpur ini.

Malam itu, kami makan malam sama-sama di sekitar kampus sahaja. Aku, Ahmad S, Adz dan Pak Chot. Jumpa rakan sekampus dulu yang sekarang dah pindah sini. Hari kelima ini adalah hari paling panjang buat kami. Benar-benar menguji sifat kembara kami. Motto hari ini adalah, harung dahulu, pikir kemudian.

~Hari Keenam (aku berhenti menulis sampai sini, jenuh wei, panjang berjela-jela dah ni)

Sebenarnya, memori aku tidaklah begitu kuat. Masuk hari keenam ini, aku sudah tidak mencatatkan lagi pengalaman yang kami lalui. Jadi, ini hanyalah sedikit sebanyak yang masih aku ingat. Sebab pengembaraan ini masih belum tamat.

Entah macammana dan bagaimana, memori aku telah meletakkan aku dan Ahmad S di dalam sebuah Komuter. Komuter ke arah Serdang. Di Serdang, kami dijemput oleh Yani Rasip, rakan sekelas gelfren Ahmad S ketika itu. Ini kabel terbesar Ahmad S di Serdang ketika itu. Dia bawa kami naik kereta beliau. Turun di sebuah kolej kediaman luar kampus. Tunggu rakan-rakan datang menyambut kami.

Don pon ada dan datang menjenguk. Kemudian Jeme datang setelah selesai kelas. Jeme menjadi kemudi kami di sana. Jeme pinjam kereta siapa entah. Kami keluar dari universiti asas pertanian itu, menuju universiti yang bersemangat kebangsaan. Pemberatnya adalah Ahmad S ingin bertemu gelfrennya.

Entah jalan apa yang Jeme ambil, kami sudah tiba di universiti bersemangat kebangsaaan itu. Aku tinggal sorang-sorang terkapai-kapai menghabiskan air teh ais ketika Jeme dan Ahmad S menjalankan urusan berjumpa gelfren masing-masing. Yang aku sedia maklum, aku sendiri kurang pasti universiti ini di Kuala Lumpur atau Bangi? Sampai sekarang aku punyai memori yang sangat tipis terhadap universiti ini.

Selesai jenjalan universiti ini, sebab kami tidak nampak atau perasan di mana papan tanda sebenar universiti ini, kami terpaksa membiarkan sahaja peluang untuk bergambar di hadapan papan tanda universiti ini. Ahmad S pon mungkin terlupa misi utama sebab baru sahaja berjumpa gelfren, masih di awang-awangan mungkin.

Seterusnya, Jeme telah melayan kami sebagai tetamu dengan sangat baik. Segalanya dia uruskan. Kami akan bertolak dan menamatkan misi pengembaraan esok malam. Jadi, tiket bas aku beli di Puduraya. Aku beli untuk balik Kulim. Kenapa Kulim? Sebab aku dah tulis surat kat Kolej yang aku nak balik tengok tok. Jadi, aku balik Kulim. Ahmad S ke Banting je. Sebab ada kenduri saudara. Jadi mak dia tak kan marah dia sebab dia datang terus dari Kuala Lumpur, dia akan bergerak ke rumah abang dia lepas itu. Bijak kan percaturan kami? Hahah.

Malam kami bersama Jeme, sembang-sembang. Makan di gerai makan berhampiran universiti. Aku tak ingat sangat. Kalau Ahmad S ingat, mungkin dia boleh tolong tambah untuk hari ini.

~Hari Ketujuh

Hari ini hari terakhir. Sekali lagi Jeme menjadi pemandu pelancong kami. Kali ini, dia yang tolong bawakan kereta. Pinjam dari Yani. Aku tak pasti kenapa, tapi sekali lagi kami ke universiti Kuril. Sebelum keluar ke universiti Jeme, kami singgah di papan tanda depan simpang. Jeme tolong ambilkan gambar. Jeme berdiri di tengah garisan jalan, bila tiada kereta, dia petik gambar kami. Sungguh istimewa layanan beliau terhadap kami. Gambar itu jadi dan sempurna.

Lepas itu,kami buat apa mende pon aku tidak ingat. Yang pasti, bila dah lewat petang nak masuk malam. Baru kami bertolak dari Bangsar ke Puduraya. Jeme membawa kereta pinjam itu laksana rally. Habis semua dia redah. Dia kata. Takpa, beri kepercayaan korang kepada aku.

Aku berserah. Kalau Jeme sangkut, aku terlepas bas. Kalau dia laju, mungkin aku tak naik bas. Jadi, aku hanya berharap.

(Tugu Negara, MMU, Putrajaya dan UPM)

Tapi, tentu pengakhiran cerita ini selamat la kan. Kalau tak, kenapa aku boleh tulis pulak cerita ini kan? Pengembaraan kami tamat di Puduraya.

Secara ringkas kesimpulan dan fakta pengembaraan yang boleh dibuat:

1. Kami naik segala pengangkutan awam. Bas ekspress, bas berhenti-henti, LRT STAR, LRT PUTRA, Komuter.
2. Hanya universiti di Shah Alam tidak kami jejaki.
3. Misi ke Tugu Negara berjaya dan sangat istimewa.
4. Kami jejaki semua rakan maktab yang kami kenal ketika di universiti mereka.
5. Hanya Peyo dan Kuril pernah membuat kunjungan balas ke universiti kami.
6. Sebulan cuti itu, aku hanya duduk rumah di Kelantan lebih kurang seminggu. Itu pun untuk balik JB, aku kene ambik tiket ke Melaka dan kemudian baru ke JB. Penuh saspens sebab tiket habis.
7. Aku dan Ahmad S memang dah rangka misi ini sebelum cuti semester lagi. Tapi rangka kosong. Tiada janji mahupun pengesahan. Masa ni, universiti kami masih belum menyelaraskan cutinya dengan universiti yang lain. Itu je satu-satunya peluang yang kami ada untuk meneroka universiti rakan-rakan.

Sekian.

"Aku tak percaya dengan orang Kuala Lumpur" ~ Ahmad S
ketika pertama kali menjejak kaki di Puduraya, Kuala Lumpur

Notajari amANI: Sekian sahaja siri Ahmad S. Aku rasa cukup dah kisah Ahmad S ini setakat ini. Dia pon dah menikah. Kita cerita hal-hal mendatang je la lepas ni. Segala tindak tanduk kami di dalam kisah ini tidaklah sempurna. Juga aku tiada kuasa untuk memutar masa. Ini adalah kenangan dan sejarah. Untuk pembaca yang tidak pernah terlepas siri ini. Mekasih atas sokongan dan galakan. Hangpa adalah motivasi utama aku menulis.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...