Advertlets

Ahad, Januari 31, 2010

Tulis-tulis - Bertukar

Bulan Januari ini memang bulan bertukar.

Aqil dah bertukar dari status kanak-kanak banyak masa terluang menjadi seorang pelajar taska suka teriak pagi-pagi.

Ammar dah bertukar dari status anak bongsu kepada bakal abang.

Ezi dah bertukar dari status ibu beranak dua kepada ibu dengan kandungan di dalam perut. 'Buatan orang' mengikut kata doktor.

Aku dah bertukar dari status rilek-rilek pergi kerja balik makan tengahari kat rumah kepada bersesak-sesak tunggu lampu trafik sebelum sampai opis yang dah jauh dan makan kat kedai.

Apa pon, semua status bertukar ini adalah takdir dan rezeki. Dah doa pon tiap-tiap hari mintak murah rezeki, jadi bila dah dapat, kami bersyukur. Harap kami dapat menyesuaikan diri dengan status BERTUKAR kami.

Notakaki amANI : Agak-agak bulan depan blog ini akan bertukar menjadi blog TERBENGKALAI tak? Hahah.

Ahad, Januari 24, 2010

Kisah Aku dan Nor A #2

Aku dan Nor A kebetulan mendapat kumpulan dan sesi yang sama untuk melaksanakan latihan praktikal dalam kampus bagi memenuhi tuntutan kelulusan jam kredit bagi pengajian sarjana muda kami.

Latihan praktikal dalam kampus ini bagi memberi ruang dan peluang bagi pelajar lulusan sarjana muda mendapat pengalaman latihan tangan untuk semua jenis kerja-kerja kejuruteraan mekanikal yang sangat tektikal lagi teknikal. Latihan itu termasuk mengimpal, menggegas, melarik, memesin bongkah besi, membuka dan memasang kembali enjin jip, membuat lukisan 2D untuk teknik pemotongan wayar, memerhati pemotongan automasi CNC, menggunakan mikroskop dan membuat spesimen teknik tempuh haba serta berpasangan bersama gadis-gadis mekanikal yang 2-3 sahaja keratnya tetapi tetap menjadi tatapan dan pujaan seluruh pelajar lelaki jurusan mekanikal yang lain. Kadang-kadang tersentuh tangan juga bila sama-sama nak pasang skru pada enjin jip. Hati siapa yang tidak seronok tika bergandingan dengan gadis ini walau berlainanan bangsa yang kalau dalam kelas kuliah biasa jangan harap hendak ditegur.

Semuanya dilakukan dalam tempoh sebulan setengah merangkap 6 minggu. Turut memenuhi tuntutan jadual latihan praktikal dalam kampus ini, sebulan setengah yang pertama dalam cuti tiga bulan kami diisi dengan program kemasyarakatan yang mana aku dan Nor A turut terpilih. Jadi, kami hanya ada lebih kurang seminggu dua sahaja cuti sebenar sebelum kami kembali ke kampus.

Sebagaimana status dan kaliber seorang pelajar yang biasa, duit poket hanya sekadar secukupnya. Jadi semasa menjalani latihan praktikal dalam kampus, aku dan Nor A bersetuju untuk menginap secara sembunyi-sembunyi di dalam bilik simpanan barang yang telah diwartakan oleh pihak kolej dalam satu blok panjang 3 tingkat. Bilik simpanan barang itu cukup penuh, sesak dan tiada hidupan bernyawa kecuali kami berdua.

Di siang hari, kami berpraktikal sampai ke petang, pintu dikunci dengan mangga yang telah dipenduakan. Hanya malam hari kami menumpang tidur dan main game komputer ihsan seorang pemunya yang mengamanahkan Nor A sebagai penjaganya. Setelah beberapa hari kami menetap di bilik simpanan barang, kami di datangi oleh seorang senior kolej. Orang yang punyai kaitan rapat juga dengan pihak pentadbiran kolej, kami rasa la.

"Hah, ada orang rupanya duduk di sini, apa korang buat kat sini?" Senior kolej ini berkata sesudah menerjah bilik kami. Kami kerisauan. Kalau dilaporkan, tentu nahas.

"Err, kami tumpang je, ada latihan praktikal sekarang" Aku tak ingat, Nor A ke aku yang jawab.

Sesudah berbalas 2-3 lati pertanyaan, senior kolej ini sebenarnya juga sedang mencari tempat untuk menginap tanpa bayaran. Jadi kami kelegaan sebab kewujudan rahsia kami akan turut dikongsi serta bertambahlah rumet kami. Tidaklah terlalu sunyi.

Sumber kegembiraan dan keriangan kami tika itu adalah game lumba motor dalam komputer yang 'dijaga' oleh Nor A. Kalau tidak aku, Nor A akan cuba memintas untuk meletakkan nama sebagai rekod markah tertinggi. Itu sahajalah yang mampu kami lakukan untuk memenuhi masa lapang setelah bertungkus lumus di siang hari di bengkel-bengkel serta makmal-makmal mekanikal.

Dalam satu waktu maghrib. Nor A sedang enak bergelak riang bermain game. Aku tengah berbaring membaca naskhah majalah yang tiada sifat maklumat langsung. Senior kolej baru masih enak terlena dikatil beliau dibucu bilik sejak petang tadi. Keletihan sebab seharian dia menjaga program motivasi pendidikan kelabnya. Dalam sayup sayup bunyi game dari komputer, tiba-tiba kedengaran bacaan Al-Fatihah. Disusuli dengan bunyi takbir. Serta permulaan ayat Kursi.

Aku bangun dari perbaringan, aku toleh pada Nor A. Nor A toleh pada aku. Aku angkat kepala pada Nor A. Nor A angkat bahu pada aku.

Aku isyaratkan pada arah bunyi. Ke arah letaknya katil senior kolej. Nor A toleh ke belakang, dia berbisik sambil berisyarat mulut. "Tidur.."

Kami ke katil senior kolej. Dia memang tengah tidur. Tapi bunyi bacaan tadi memang datang dari dia. Suara
dia. Kami sambung apa yang tengah kami buat sambil tertanya-tanya. Tak lama, senior kolej terbangun dari tidur. Dia terus ke katil aku.

"Hisshhh, aku mimpi agaknya tadi". Senior kolej mula berbicara.

"Mimpi apa?" Aku tanya.

"Aku mimpi ada perempuan datang dekat aku. Dia cuba nak kacau aku. Aku tahan. Aku baca la apa yang patut". Senior kolej menyambung.

"Owh, patut la tadi dengar macam ada orang baca Al-Fatihah, ayat Kursi" Aku sambung.

Nor A pon dah di katil aku. Turut bersetuju dengan apa yang kami dengar tadi.

"Lah, dah dengar apesal tak kejut tadi?" Senior kolej pulak tanya kami.

"Mana nak tau, ingat mengigau ke apa ke" Nor A pula yang jawab.

Dalam pada bersembang tu, senior kolej menjelaskan yang perempuan yang datang pada dia tu duduk berlipat lutut dengan kedua-dua tangan memeluk lutut. Betul-betul di bucu siling atas katilnya. Bergentayangan. Sambil memberi amaran jangan mengacaunya. Sebab itu senior kolej membaca apa yang dia baca. Dia juga memberitahu yang malam sebelum itu, dia menjadi antara orang yang memegang seorang fasilitator perempuan yang turut serta dalam program motivasi pendidikan di kolej yang terkena histeria. Dia juga yang membawa pelajar perempuan itu ke Darul-As-Syifa.

Aku dan Nor A berpandangan. Aku tertinjau pada bucu siling yang dikatakan. Memang tiada apa yang dapat dilihat pada mata kasar.

"Hah, dah la, korang keluar makan nanti, belikan aku nasi ayam kunyit eh". Senior kolej berlalu dan terus ke bilik air untuk mandi dan khidmat diri. 2-3 hari selepas itu, senior kolej dah berpindah ke blok sebelah. Yang lebih kecil dan ramai rakan-rakan akaustikanya.

Untuk aku dan Nor A, kami saling membaca doa yang mana kami tahu untuk terus melelapkan mata saban malam sebab latihan praktikal dalam kampus kami lambat lagi nak habis. Dan tiada siapa antara kami yang mengambil alih katil dan tilam tempat senior kolej tidur.

Sekali pagi kami terlambat bangun, dua-dua hanya mampu berwudhuk, berbedak muka dan berminyak rambut untuk ke makmal membuka enjin jip sebab juruteknik makmal itu telah memberi amaran keras hari sebelumnya. Bukan dia nak percaya alasan kami yang tak lelap tidur tiap malam (padahal sakan main game).

Sabtu, Januari 16, 2010

Wenger turun sebagai kesebelasan utama Arsenal

Dalam serius-serius romantik darah Peranchis Pak Wenger, boleh pulak dia buat lawak. Tapi, melawak dia aku rasa berganda-ganda berguna dari Pak Alex yang tak habis-habis komplen hal pengadil.

Dalam kepala Pak Wenger, hanya Samir Nasri, Rosicky sebagai pemain tengah yang sudah cergas. Fabregas juga mungkin dah boleh main balik. Tapi Denilson sakit perut, Ramsey terkoyak otot, Wilshire cedera dan Song tengah sibuk Piala Afrika.

Pak Wenger dengan bersahaja mengeluarkan kenyataan. " Saya tengah berlatih sekarang, saya juga seorang pemain tengah yang kreatif lagi fantastik!".

Aku betul-betul berharap nak tengok bagaimana fantastiknya Pak Wenger bergandingan dengan Fabregas. Turun tau malam besok!

***

Pak Wenger juga telah mengubah prinsip dirinya dalam menguruskan Arsenal baru-baru ini. Dia tidak menghirau bila Viera nak balik ke Liga Perdana England sampai membiarkan Man City mengambil Viera dengan gaji tak masuk akal untuk pemain tengah yang 'pernah' ada nama dan karisma tapi sudah kekurangan kecergasan dan prestasi.

Tapi bila melihat prestasi dan potensi Sol Campbell yang dah bersama-sama berlatih dengan Arsenal sejak keluar dari Notts County, Sol menjadi bekas pemain Arsenal pertama yang kembali menjadi pemain Arsenal semula. Pak Wenger bukan orang Perancis yang hanya mementingkan adat semata-mata.

Pak Wenger memang betul-betul percaya, musim ini adalah musim untuk Arsenal menang. Bila nak beli penyerang pulak Wenger?

Lama jugak tak menulis hal ehwal Arsenal ek. Bolton akan bertemu dengan Arsenal tengah malam Ahad dan kemudian Arsenal akan bertemu dengan Bolton awal pagi Khamis. Ini semua gara-gara salji monsun timur laut di England. Pemanasan global kah?

Khamis, Januari 14, 2010

Kisah Aku dan Nor A #1

Heheh, sebenarnya menyingkap memori lama memang sedap. Ianya adalah proses perembesan hormon ketenangan ke kepala hotak kamu supaya kamu lebih tenang dan bersedia menghadapi dunia kerjaya penuh pancaroba yang dapat meredam tekanan.

Nor A bukanlah perempuan. Masakan dia perempuan kalau punyai sebuah motor RZX biru gelap tangan kedua yang rantainya berkerincing dalam jarak 500meter sudah dapat didengari bunyi unik motornya. Nor A beli motor itu sedap-sedap sahaja bila dia dapat duit tajaan dari konglomerat bumiputera yang dah terlingkup sebab pengasasnya hilang kabel paling kuat beliau bila teraju negara bertukar.

Nor A memang bergaya dengan motor RXZ beliau, walau motor itu tidaklah bergaya mana. Sejak pertama kali kami menjadi rumet bersama dan memandangkan kami sama-sama berjurusan mekanikal tulen yang berkelas hampir sama, seat kedua RXZ beliau sudah begitu intim dengan punggung aku. Sangat intim sehinggakan ke mana-mana kami pergi, semua yang lelaki mesti berpaling iri hati. Yang perempuan pula, jatuh hati secara rahsia tetapi tetap tidak ingin mengakui. Yelah, dua lelaki hensem lagi kacak menunggang motor sambil berpegangan pinggang dengan penuh kelakian. Manakan tidak digilai?

Aku masih ingat saat pertama membonceng di belakang motor bersama Nor A, aku kekok. Tidak pasti patut memegang pinggang beliau atau memeluk erat atau hanya berpegang pada bahu beliau. Ya, aku pilih untuk pegang bahu Nor A. Dia geli dan aku pegang besi pemegang belakang sahaja selepas itu dan seterusnya.

Rasa-rasa aku, Nor A sudah ada RZX sejak sem dua tahun dua beliau. Disebabkan pada satu cuti semester tahun dua yang panjang aku dan Nor A terpilih untuk berjinak-jinak memasuki suatu program yang berkait dengan sireh dan ganggang, lagi intimlah perhubungan kami berdua. Sedang elok pula, kami ada latihan industri di dalam kampus. Kebetulan juga mendapat kumpulan yang sama, memang takdir kami punyai titik persamaan yang sangat amat banyak.

Selesai program yang ada sireh dan ganggang serta latihan industri di dalam kampus, cuti sem yang panjang dah sampai ke penghujung. Seperti biasa, seminggu awal adalah tempoh pelajar baru masuk ke kampus untuk orientasi. Di sinilah pelajar-pelajar baru belajar bagaimana untuk berjalan kaki secara di dalam satu barisan tanpa overlapping serta harus serius ketika berjalan tanpa boleh putus-putus barisan dari dewan besar sampai tiba ke kolej kediaman. Mereka akan diringi pelajar senior supaya mereka serius ketika berjalan pulang.

Satu malam hampir menjelang tengah malam, aku lapar roti keping. Aku pinjam motor RXZ Nor A untuk turun ke kedai runcit di bangunan pejabat kolej. Apa kejadah nak pakai helmet hanya untuk perjalanan yang sangat dekat macam tu. Pak Gad pula konfem takda, masih sibuk dengan urusan memantau minggu orientasi.

Sedang elok aku nak balik, barisan pelajar baru gadis-gadis comel yang baru pulang dari majlis orientasi sedang berjujukan berjalan melintasi simpang empat berdekatan dengan blok Atma. Aku masih menetap secara tanpa rekod dengan Nor A dalam bilik stor barang di blok berhadapan dengan blok Atma. Simpang empat itu mempunyai kecerunan 33 darjah menaiki bukit. Agak merbahaya bagi motor ber'klac' untuk dibawa secara perlahan-lahan sambil menunggu barisan gadis-gadis comel selesai melintasi.

Sedang elok aku cuba mengimbang klac dan minyak, dengan pengalaman tidak sampai 2-3 kali menunggang RXZ Nor A, aku sebenarnya menghadapi situasi yang agak genting. Situasi yang boleh mendatangkan malu sehingga akhir hayat di hadapan puluhan gadis-gadis comel yang sedang bergerak di dalam satu barisan. Hati sudah tidak senang dengan kemungkinan paling buruk akan berlaku. Perasaan intuisi hati memang tidak dapat dipermainkan.

Motor RXZ Nor A mati. Mati betul-betul di hadapan gadis-gadis dan aku masih tidak dapat nak menyelit menembusi barisan mereka untuk masuk ke simpang. Tika itu, motor RZX Nor A terasa sangat berat, nak ditolak rasa tak larat, peluh dingin berjaya mengambil alih sifat sejuk lagi bergaya seorang penunggang motor penuh kelakian ini. Cubaan menendang penghidup tidak berjaya. Kena neutralkan dahulu gear. Tak neutral pulak. Peristiwa yang tidak sampai seminit dua itu dirasakan berlalu dengan terlalu perlahan. Terlalu perlahan sehingga kikikan gelihati berberapa gadis-gadis comel dapat didengar dengan jelas, senyuman mencebik lagi sinis beberapa yang lain yang melintas betul-betul depan aku juga sangat ketara untuk diperasankan. Aku cuba buat muka tenang tapi serius.

Aku redha menerima dugaan. Ini memang pengalaman paling rendah diri yang sukar dilupakan. Bila motor berjaya dihidupkan, ianya lancar sahaja meneruskan perjalanan sampai ke blok. Bila ditoleh ke belakang, barisan gadis-gadis sudah pon berakhir. Dan mereka punyai satu cerita paling kelakar untuk digelakkan bersama di dalam bilik mereka yang berjaya mengubah keseriusan wajah mereka ketika berjalan di dalam barisan untuk menapak sampai ke kolej.

Aku tidak menyesal. Tapi, kenapalah aku tidak berhelmet pada ketika itu? Kenapa??....

Notakaki penendang penghidup motor amANI : Seperti yang berlaku pada kisah Ahmad S, aku baru teringat 2-3 lagi kisah bersama Nor A. Terutamanya kisah motor RZX beliau yang bobos serta kisah kami menjalani kehidupan sebagai jurugegas. Ah, nak kena siri lagi ke?

p/s: Nor A juga pembaca tetap blog ini, jadi ini tanda terima kasih aku pada Nor A.



Catatan Diego - Titik@Bersama

Berkenalan adalah mencari titik persamaan. Dari satu titik menjadi titik-titik tolak kepada perkembangan perhubungan. Semakin banyak titik persamaan, semakin jelas perhubungan. Macam main sambung-sambung titik dalam buku pra sekolah anak. Bila disambung-sambung titik itu, ia menjadi sebuah gambarajah. Menarik tidak menarik gambarajah itu bergantung kepada titik-titik yang disambungkan. Ia tetap gambarajah. Tiada titik maka tiadalah gambarajah.

+Titik satu+

Louis yang baru seminggu Diego kenali bertanya, "Kamu bersukan pada waktu kelapangan? Hujung minggu?"

Diego terus tersenyum sengih, geleng kepala. "Tak!" sambil menarik napas dalam supaya bahagian abdomen kelihatan rata lagi menawan. Telefon gengam dibelek tanpa arah tujuan.

"Kamu?" Louis bertanya pada Shierly pula.

"Ya, kadang kala, selalunya ada aktiviti riadah lasak yang saya selalu lakukan" Shierly menjawab sambil tersenyum.

"Saya pula memang akan sentiasa bermain bola pantai pada setiap petang di hujung minggu", Louis menerangkan supaya lengkap tercipta titik persamaan pertama.

+Titik dua+

"Owh, dulu saya pernah mendaki gunung itu, berlari sampai penat di dalam suatu pertandingan, juga 3-4 kali yang lain bersama rakan-rakan" Louis menunding pada sebuah gunung bila mereka melintasi sebuah kawasan kampung yang punyai gunung yang dikatakan punyai seorang puteri.

Diego hanya terlintas suatu perkara. Shierly pernah berbual bersama mereka di dalam suatu sesi makan yang memperkatakan tentang beberapa sesi pendakiannya di sebuah gunung yang terletak di daerah yang punyai air kopi dan roti kaya yang terkenal. Sebulan sekali katanya mendaki di sana.

Gunung buat Diego? Err, hanya sekali seumur hidup pernah berada di puncak gunung. Apalah yang nak dihebatkan sangat pendakian yang dibuat dengan bergalaskan beg sekolah yang hampir putus tali sandangnya. Diam sahajalah.

+Titik tiga+

Mereka berhenti untuk makan malam. Ya, tak perlu lagi diteka mahupon dikira.

Diego makan mee berkuah.

Mereka saling bergiliran memesan sup berbola ikan, berpetak ikan, berkeping cendawan, berbujur ketam, bersilinder ikan, berikat kangkung dan bergulung kuetiaw.

+Titik empat+

Mereka sependapat tentang melihat perlawanan bola di tivi hanya penting untuk perlawanan yang penting dan menarik, tetapi pada hari-hari kebiasaan, menonton perlawanan bola hanya membuang masa dan lebih baik membaca buku.

"Errr, saya menonton hampir pada setiap hujung minggu (dalam hati: kadang-kadang awal pagi pon bangun berjaga)" Diego cuba menyelit dalam perbualan.

"Owh, yeke. Tiap minggu?" hampir serentak mereka menjawab. Diego akur.

Titik lima-enam dan seterusnya.

Orang kata, kalau titik yang dijumpa dah berturutan, ia akan ikut berkekalan sampailah gambarajah penuh akan terbentuk. Dengan itu, Diego sememangnya akur, takdir untuk bersama dan membentuk gambarajah yang sama memang akan sampai satu tahapnya akan terhenti.

Titik dari Diego sudah lama tidak terbentuk. Gambarajah bukan lagi matlamatnya. Sudah sampai masanya untuk membuka helaian buku baru. Semoga titik-titik baru akan tercipta dan gambarajah baru akan terbentuk. Diego lega kerana titik baru sudah terbentuk buat mereka. Kini mencari titik-titik baru dan gambarajah baru. Harap-harapnya.

Selasa, Januari 12, 2010

Kanak-Kanak Memang Riang XXI

"Ummi, Aqil nak badak air!" Aqil mintak.

"Ye, nanti abah bawak" Ummi jawab endah tak endah.


KOMA


"Abah, nak badak air!" Aqil mintak bila Abah dia dah balik kerja.

"Ye, kita cuba tengok kat zoo nanti" Abah pulak jawab.


KOMA


"Nak air badak" Aqil mintak lagi untuk hari yang lain, masa yang lain.

"BADAK AIR LAH!!" Abah dan Ummi sama-sama panas telinga dah dengar Aqil duk mintak. Salah sebut pulak tuh.


KOMA

Itu antara permintaan Aqil yang diselang seli ikut suka dia bila dia teringat nak mintak. Ikut suka dia je mintak haiwan yang dia suka-suka hati nak tengok. Sedap je order kat Ummi dia. Nak engok Badak Air. Jenuh jugak Ummi dia nak setelkan hal permintaan anak sulung dia ni.

Ummi Aqil dah cuba buka internet, cari segala gambar Badak Air, mula-mula tengok macam eksaited. Kemudian kendur. Tak berapa nak eksaited. Ummi dia cari pulak dalam bentuk video. Dalam utube. Ada Badak Air menyanyi. Itu pon tidak dapat merangsang keeksaitedan Aqil.

Tiada cara lain. Zoo juga jalan penyelesaian terakhir. Sepintas lalu carian internet, Zoo Negara dengan Zoo Taiping je ada Badak Air. Itu dah sedikit menipiskan harapan, tapi takpe cuba pasti berjaya. Yang boleh dituju hanya Zoo Johor je pon. Apa gila nak naik sampai KL/Taiping?

Zoo Johor kami tuju pada suatu hujung minggu petang Ahad. Tapi sebab nak masuk masa waktu petang matahari redup-redup sedap badan berjalan, kami masuk Zoo Johor lepas Asar di Masjid Sultan Abu Bakar. Betul-betul masuk Zoo jam 5 lebih. Tengok kat kaunter, Zoo tutup pukul 6 petang. Aiseh, sempat ke jumpa Badak Air ni?

Dengan hanya bermodalkan RM5, kami 4 sekeluarga masuk Zoo Johor. Agak-agak kalau gi Zoo Singapore, nak beli air mineral pon tak cukup rasanya. Sangkar-sangkar burung di awal pintu Zoo kami buat tak endah, terus cari kot-kot ada penanda kawasan Badak Air. Aqil dan Ammar awal-awal dah sangkut di benteng tasik. Bukan ada apa pon dalam air tasik tu.

Sekali pandang pada penunjuk arah, tiada Badak Air. Takpelah. Layan jela haiwan lain pon. Alang-alang dah masuk. Kami ambil ke arah kanan dahulu. Haiwan pertama adalah dari segi keluarga monyet, kera dan beruk. Agak kasihan sebab kandang batu, berjeriji besi dan di dalamnya juga batu, tanpa tanah, rumput atau pokok hidup. Hanya kayu mati sebagai tempat bergayut. Ada ke Badak Air nampak ke gaya ini?

Kemudin kandang kuda. Tak berapa menarik juga. Turun ke bawah lagi, terus nampak satu kandang besar, ada hadangan air dan berpagar. Dijenguk ke dalam kandang, nampak haiwan yang Aqil idam-idamkan. Badak Air! Yeay! Aku seronok dulu sebab boleh jumpa Badak Air di Zoo Johor ini. Tercapailah hasrat Aqil. Tapi Badak Air duduk jauh ke dalam kandang, tengah sedap makan sayur.

"Aqil suka Badak Air!" jelas terpancar seronok dia.

Aku lega, Ezi lega. Tertunai juga hasrat Aqil. Ini juga insentif bagi dia yang baru je seminggu masuk sekolah. Cuti hujung minggu pertama dia, dapat juga berjalan-jalan. Dua-dua sama seronok dalam sesi melihat pelbagai haiwan yang ada dalam Zoo Johor. Err, abah Aqil pon seronok jugak. Hahah.

Nanti akan mencari ruang untuk membuat siri "Geografi Kebangsaan - Zoo Johor" sebagai liputan lengkap siri lawatan kami ke zoo ini. Sungguh berubah pandangan lekeh kami untuk status Zoo Johor ini.

Aku harap-harap, permintaan Aqil lepas ni masih bersifat tempatan. Dimintanya Platipus ke Ikan Salmon ke Paus Pemangsa ke, mana la abah dia dan ummi dia nak cari nanti.

Badak Air yang diidam-idamkan Aqil. Sepasang pulak tuh.


Rabu, Januari 06, 2010

Catatan Diego - Berbuih@Tayangan

Penat juga nak mengomel sengsorang sambil dibantu alat bantuan mengajar selama 5 hari beturut-turut untuk seorang audien demi memberi maklumat terbanyak mungkin untuk serahan tugas yang digalas selama 7 tahun.


Sabtu, Januari 02, 2010

Hari Ini Hujung Minggu

"Adik, jangan risau, abang pish-pish api tu sekarang, adik bertahanlah...!!"

Dulu, waktu aku umur macam dorang dalam gambar ini, aku dan abang selalu ajak pak masuk balai bomba. Nak tengok kereta bomba. Tiap kali lintas depan balai bomba Kulim. Entah siapa punya pengaruh aku tak tahu. Sekali tu, pak cemuih dah dengar permintaan kami, pak bawak kami masuk lepas dia pi setel hal dia kat pekan Kulim. Best sangat masa tu, dapat panjat tangga yang ada kat kereta bomba tu. Siap pakai topi bomba. Seronok oo. Tidak hairan kalau lepas tu dalam fail darjah satu, cita-cita aku nombor dua adalah ahli bomba.

Selamat berhari minggu. Eh, dah tahun baru?

Jumaat, Januari 01, 2010

Tulis-tulis - Cari

***
Masa aku balik rumah Tok Mek, anak-anak sedara aku tengah ralit layan sebijik laptop. Umur masing-masing belum lagi masuk 2 digit. Dorang syok gila layan game, cerita katun, lagu dan segala jenis dan bentuk hiburan yang ada dalam laptop itu.

Lupa terus mereka pada ayam-ayam peliharaan pak sedara mereka, kambing-kambing mak sedara mereka, belalang dan burung yang selalu sahaja menjadi permainan mereka suatu ketika dahulu.

***
Sebagai orang yang tidak punyai deria dan citarasa muzik, aku tak cam dan tak ambil pusing langsung lagu yang tiap-tiap hari dorang pasang dalam laptop itu. Tapi bila dah banyak kali sangat dorang pasang, aku tercam sudah rentak irama lagu itu, tapi masih tidak meneliti lirik lagunya. Kumpulan apa pon aku tak tahu. Tiap-tiap hari pasang lagu sama, sambil dorang main game mengemas rumah. Padahal mengemas rumah yang sepatutnya, sorang tak ambil pusing. Budak-budak.

***
Sebab kekurangan aktiviti, aku belek-belek suratkhabar metrologi lama yang terbiar, ternampak satu rencana dalam sisipan hiburan. Kumpulan dari seberang. Tajuk rencana "Wali semakin dikenali". Aku tetap tak ambil pusing. Band seberang memang bermaharajalela sekarang.

***
Dalam satu aktiviti makan nasi tengahari, abang mereka, yang rajin membawa masuk segala bentuk hiburan digital itu ke dalam laptop yang bagitau kat aku yang itu lagu itu dari band Wali. Aku Ohh. Rasa streotaip je semua lagu seberang ni. Tetap tak ambil pusing.

***
Sekali, seminggu selepas aku balik ke Johor. Dalam kereta, dalam radio diputarkan lagu yang sama. Baru aku teliti tiap-tiap bait lirik yang dinyanyikan. Aku kemudian mengerti kenapa anak-anak sedara aku suka lagu itu sekarang. Ia catchy. Sedap dan bersahaja. Kemudian aku 'utube'kan band ini, dan aku rasa suka dengan lagu-lagu dorang yang lain juga.

***
Isi penting cerita ini adalah ini. Dalam lingkungan kawan-kawan aku, aku dah 2-3-4 kali membaca luahan hati kawan-kawan (dalam blog juga) yang masih belum berjumpa dan tercari-cari jodoh hidup berpasangan. Lagu "Cari Jodoh-Wali" ini memang agak kena dengan mereka (harap mereka dapat menerimanya dengan hati terbuka).

Kalau dikenen-kenenkan mereka ini untuk masing-masing saling mengenali boleh tak? Mana tahu, ditakdirkan di sini garis jodoh mereka bersilangan.

Aku series nih. Memang nampak tidak wajar berbuat begini, apa dikisah tepi kain orang. Tapi ini memang hasrat aku dan Ezi nak meluahkan juga pendapat kami. Taukan nombor telepon kami.

"Pengumuman, pengumuman,
Siapa yang mahu bantu tolong aku,
Kasihani aku, tolong carikan diriku,
Kekasih hatiku, siapa yang mahu?"

Notapipi: Pertama kali blog ini diserikan lirik lagu. Macam blog pompuan-pompuan. Tapi, kalau itu boleh menemukan 2 hati untuk bertemu jodoh, 18 kali lagi pon aku tak kisah. Juga, ini sekadar cadangan sahaja. Sekian.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...