Advertlets

Khamis, April 29, 2010

Paska Fail Elektronik

Hari ini, ceritanya pendek sahaja.

Tahun ini, aku berazam untuk membeli buku-buku bahan bacaan sehingga mencecah RM 1000. Kalau dulu asal gaji je nak makan Domino, kali ini asal gaji je, aku nak bawak anak isteri beli buku cerita.

Beli sebuku sorang tiap-tiap bulan. Dapat kot cecah RM 1000. Baru puas hati aku. 

Errr... dalam Bil AHTERUK ada tercatit harga majalah bulanan, yang sekarang dorang masih bagi rebet. Boleh guna tak bil ni nak masuk bahagian pengecualian pembelian buku dan majalah? 

Khamis, April 22, 2010

Sinetron Dramalova XXVIII - Simpanan Rahsia

Babak 1 

Diego baru balik dari kerja. Lepas letak beg Targus, terus terpandang satu surat. Surat pos berdaftar. Jenis kalau posmen tak jumpa tuan punya, letak kad merah suruh kutip di pejabat pos bahagian bungkusan. Tapi sebab Marcia juga berkerja sebagai penyeri rumah tangga sepenuh masa, Marcialah yang mewakili Diego bila posmen men'pim-pim'kan hon motosikalnya semasa ingin menyerahkan surat pos berdaftar itu di pagar rumah.

(oh, tak sangka boleh tulis perenggan macam di atas).

Surat itu sedikit luar biasa dari biasa. Selalu-selalu, surat itu datang dengan pos biasa. Jenis posmen hantar tak sempat nak bertentang mata, dah lesap. Diego tengok, surat sudah terbuka. Walau jelas terpampang nama tuan punya adalah Muhammad Diego, ada juga tangan gatal yang namanya tak berbunyi Diego langsung yang nak membukanya. Eksaited mungkin. 


Surat itu berbunyi lebih kurang begini.


"Tuan, agak-agak kalau free dalam 14 hari dalam dari tarikh surat ini, datang la ke pejabat gua. Rumah setingkat luas macam kolam renang saiz Sukan SEA lu dah siap, kitorang dah buat chanteek punya, kunci dah boleh amik. Tapi jangan lupa 'bank-in'kan dalam Rs1.2 juta sebagai upah balance ye, gua nak bayar loyer dengan setel down-payment kontraktor rumah 2 tingkat depan tu pulak,  Bolivian pun dah ramai yang nak mintak gaji naik"

Darah mula menyirap. Diego agak bengang dengan surat tersebut. Ini telah menyalahi perjanjian dan persetujuan asal. Diego mula berkira-kira, janji asal pemaju rumah adalah dalam tempoh pertengahan tahun 2010. Ini masih lagi 2 bulan sebelum tengah tahun 2010. Kenapa dah siap sekarang? Awal lagi bukan?


"Hah, abang dah baca dah surat dari Yong Tau Hu Konstruksion tuh? Cemana?" Marcia yang baru masuk ke bilik seraya bertanya. 


"Tak tau la, nak kena tanya bank dulu la, dorang dah bayar ke belum ke apa ke" Diego menjawab sambil meneruskan agenda bersolat Asar. Hatinya tersenyum.


Babak 2


Diego masuk ke dalam bilik dokumen-dokumen, buku-buku, kotak-kotak, album-album, kertas-kertas, fail-fail, surat-surat dan rak-rak. Bilik ini sengaja disusun supaya tidak teratur sangat dan tidak mematuhi sistem persijilan ISO kerana ia adalah tektik samaran. Kalau-kalau ada tetamu yang terjenguk bilik ini, pasti mereka buat-buat macam tak jadi masuk atau tersalah buka pintu. Kadar persepahan bilik ini adalah setanding dengan keadaan rumah-rumah yang pernah masuk rancangan Aduan Rakyat.

Bilik ini sebenarnya sangat sulit. Sangat sulit kerana ianya menyimpan pelbagai misteri, rahsia, dokumen berklasifikasi yang boleh menyebabkan terbongkarnya segala latar belakang keluarga Diego. Antara dokumen misteri yang boleh menyebabkan histeria bagi penemu dokumen adalah satu dokumen ini. 


Dokumen itu berada di dalam satu fail biru tebal. Kertasnya agak murah, berwarna hijau dengan tulisan cetak komputer hitam tanpa warna lain. Font tulisannya bukanlah pilihan utama bagi pereka grafik bercitarasa tinggi. Tetapi dokumen itu mempunyai butir-butir seperti berikut.

Sijil Penyertaan
Pertandingan Gigi Cantik 
Peringkat Daerah Amazonas/Bandar Baru
Muhammad Diego


Dokumen tersebut sungguh misteri sehingga hari ini. Percayalah. 


Kelihatan Diego tanpa seurat benang dari paras abdomen ke atas sedang bersila dan meneliti pelbagai dokumen di dalam bilik DdBbKdAaKkFfSsRr. Kertas-kertas berlogo pelbagai syarikat, organisasi dan badan-badan berkanun berserakan. Mesin kira-kira elektronik merangkap telefon gengam Diego berada di tangan satu lagi. 


Diego menekan-nekan nombor di mesin kira-kira elektroniknya, seakan-akan sedang membuat kira-kira tambah/tolak. Nombor-nombor besar berdigit lebih dari 5 angka memang susah sikit nak buat congak atas angin. Satu kertas putih dicapai dan dicoret-coret angka-angka tersebut. Kening Diego berkerut-kerut. Seakan memikir pelbagai penyelesaian dan congakan. Kadang-kadang memandang siling. Kadang-kadang mulut terkumat kamit. Peluh mula membasahi belakang dan dahi Diego sebab tak pasang kipas angin dalam bilik.


(kamera mula menyorot ke arah kertas putih tersebut)


BraBank Treats Points - 36,000
BonusLank Points - 3,000
JUSTUKOR Points - 11,000
Total : 50, 000 points.


*agak-agak cukup tak nak redeem dengan kabinet dapur berpenyedut asap?



 

Rabu, April 14, 2010

Kanak-Kanak Memang Riang XXIV - Rasa

Hari-hari bekerja, aku berpeluang menghantar Aqil ke sekolah. 5 hari seminggu secara teknikalnya, tapi kadang-kadang menjadi 3 atau 4 hari kalau termangkit lambat.

Selalunya aku akan letak kereta di bahu simpang seberang jalan dari sekolah Aqil. Aku tak suka dan tak pernah berhenti betul-betul di depan pagar sekolah. Tak sopan dan tidak menghormati lalu lintas.

Masa awal-awal dulu, ada sekali Aqil pernah sungguh-sungguh melawan tak nak ke sekolah. Dia main lari-lari sembunyi dalam kereta. Aku bukak pintu belakang kiri, dia pergi depan. Aku bukak pintu depan kiri, dia lari belakang. Memang lorat. Bila dapat, aku heret dia keluar. Dukung sampai pintu. Teriak juga dia masa tu sebelum cikgu dia pujuk.

Tapi itu dulu. Sekarang, Aqil dah rela dan redha. Walau masa mula-mula mangkit pagi, memang dia akan tetap teriak. Mulut je cakap tak nak ke sekolah, tapi bila dah siap pakai baju. Riak wajah dia nampak rela dan redha.

Bila sampai sekolah, aku akan pimpin tangan Aqil lintas jalan dan jalan sampai ke pintu sekolah. Perasaan memimpin tangan sejuk Aqil dan berjalan beriringan dengan dia adalah satu perasaan yang hanya abah-abah je yang tahu. Seribu satu harapan dan doa disertakan dalam hati untuk menghantar anak ke sekolah. Memang rasa yang sangat unik. Aku suka. Aku harap dalam memori Aqil, terlekat la juga memori memegang tangah abah dia yang panas itu tiap-tiap pagi memimpin dia ke pagar sekolah ini sampai bila-bila.

Dengan meletakkan kereta sedikit jauh dari pintu sekolah, aku dapat rasa itu. Dan aku rasa abah-abah yang berhenti betul-betul depan pintu pagar sekolah kurang merasai rasa itu.

Yang kedua, bila lepas bersalaman dengan Aqil di pagar. Selalunya aku akan terus jalan laju-laju ke kereta untuk menuju ke tempat kerja. Aku hanya nampak Aqil letak bekas makanan di meja di luar, kemudian dia akan masuk ke dalam untuk meletakkan beg. Aku tak tunggu dah, terus memandu pergi.

Tapi ada sekali, aku lambat sikit nak terus memandu. Aku nampak Aqil keluar balik, dia menjenguk, tengok aku ada ke tak ada. Kali ini dia nampak aku. Dia lambai tangannya. Baru aku tahu, tiap-tiap Aqil mungkin meletakkan sedikit harapan untuk membuat lambaian pada aku lepas dia letak beg. Aku je yang tak sedar perkara ini.

Untuk hari-hari seterusnya, aku memang sengaja buat-buat lambat untuk kembali memandu, untuk tunggu Aqil keluar balik atau sebelum dia masuk letak beg, bila dia jenguk pada aku, sempat la dia lambai tangan dia pada aku.

Jadi tiap-tiap pagi, dia dapat lambai tangan dia pada ummi dia di rumah. Kemudian lambai tangan dia sekali lagi untuk aku. Ini juga perasaan yang abah-abah je yang dapat rasa. Syahdu weh perasaan itu.

Untuk abah-abah, cubalah. Tiada rasa lain yang dapat menandingi rasa ini buat masa ini. Yang belum jadi abah, cari la cecepat umminya. Nak tunggu anak masuk tadika adalah 4-5 tahun lamanya weh nak dapat rasa apa yang aku cerita ini. Yang anak tengah duk teriak kuat lagi, setahun dua dari sekarang, korang takkan ingat lagi dah yang anak korang pernah teriak kuat suatu ketika dahulu. Percayalah.

Selasa, April 13, 2010

Catatan Diego - Duri@Padang

Ceritanya adalah suatu ketika dahulu. Diego dan rakan sekerjanya dikehendaki ke sebuah tempat bernama Duri yang terletak di Padang, ibu negeri wilayah Sumatra Barat. Ini atas urusan untuk mempromosi penapis udara berpenyerap kelembapan. Untuk melindungi kotak gear mesin pam minyak mentah atas daratan bagi satu syarikat minyak antarabangsa yang beroperasi di padang telaga minyak di sana. Untuk rekod, satu padang telaga minyak mempunyai kurang lebih 300 mesin pam minyak mentah. Tak tahulah berapa barrel sehari yang dapat dikeluarkan.

Sudah tentunya ada wakil tempatan yang menjadi orang tengah dalam urusan sebegini. Mereka satu ketika dahulu adalah wakil syarikat minyak pelincir, kini cuba untuk membuat perniagaan sendiri dengan menjual perkakasan yang berkaitan dengan minyak pelincir. Syarikat tersebut dimiliki oleh 3  pemuda, 2 berbangsa cina dan 1 berbangsa Jawa. Tapi nama semua macam pemain badminton Indonesia. Sarman, Alan dan Rusdi.

Pagi hari mereka dah bersiap untuk ke Duri. Nak ke Duri tempat telaga minyak dari Padang agak mencabar. Jalannya berselekoh sana sini, jauh dan Rusdi sebagai pemandu Kijang hanya berani membawanya ketika hari masih siang. Masuk malam, bahaya. Pernah terjadi, sebuah Kijang dijerat ditepi jalan. Leher pemandu tersisip elok parang panjang orang tempatan. Rampok dan bunuh serta-merta. Ngeri. Cerita Rusdi.

Sebagai Kijang yang punyai pelekat istimewa, Rusdi boleh melalui jalan persendirian milik Chevron, sebuah syarikat gergasi minyak yang telah beroperasi di Padang sejak turun temurun. Sekitaran ruang Chevron ini sangat luas, ada barangkali sebesar Taman Universal ditambah Taman Pearl Rini. Di dalamnya ada pasaraya, sekolah, masjid, dewan serbaguna, dandang dan penjana turbin stim serta rumah kediaman para pekerja Chevron. Rumah mereka agak kiut. Seakan rumah lama versi British yang punyai pokok-pokok bunga kecil dilaman rumah, pintu kayu dan tingkap versi rumah penjajah. Memang kiut.

Untuk melepasi jalan pintas di dalam Chevron, ada satu cek point, di cek point ini Rusdi akan mengambil sekeping kertas bertanda tarikh dan masa Rusdi melintasi cek point ini. Rusdi dikehendaki memandu di dalam lingkungan kelajuan yang dikenakan. Tidak boleh terlebih laju atau terlalu perlahan. Sampai di cek point satu lagi, kertas tadi bertukar tangan. Pengawal akan memeriksa tempoh perjalanan Rusdi. Jika kurang atau lebih, pengawal akan bersoal siasat lanjut. Kenapa memandu terlalu laju atau terlalu perlahan. Hah, jawab.

Perjalanan ke Duri memang membuka mata. Berselisih dengan lori pembawa kayu potong buat kilang kertas adalah perkara biasa. Selekoh tajam sambil menurun bukit dan jalannya berlubang besar juga perkara biasa. 3 stesen minyak yang disinggah Rusdi semuanya kehabisan minyak petrol. Gasolin mengikut kata orang tempatan.

Tapi Diego sedikit tertanya-tanya tentang botol-botol plastik yang tersusun di kedai-kedai kecil (rumah orang) di tepi jalan, yang warnanya sedikit keruh kehijauan. Hanya dalam perjalanan balik, persoalan ini terjawab. Itulah gasolin yang dijual secara runcit. Mana tak habis di stesen minyak, kalau tiap orang beli sorang sikit isi balik dalam botol untuk dijual balik di kedai mereka dengan harga yang lebih tinggi. Bijak ekonomi kapitalis juga orang tempatan di sini.

Segala penerangan, demo, siaran layar selesai dalam tempoh 3 jam. Kini perjalanan balik harus ditempuhi. Rusdi sedikit gusar kalau-kalau malam mula menjelma tapi mereka masih belum keluar dari kawasan Duri. Sebelum perjalanan bermula, Rusdi tercari-cari letaknya masjid. Diego tertanya-tanya juga, tadi sewaktu tengahari, mereka hanya berhenti makan dan terus ke tempat mesyuarat. Sebagai musafir, Diego boleh menghimpunkan solat. Tapi Rusdi orang tempatan.

Mujur terjumpa juga musolla. Rusdi meminta diri untuk berhenti sebentar, dia ingin ke bilik air tak tahan nak terkucil. Diego mengambil peluang ini untuk menyelesaikan himpunan solat. Rusdi tidak pula kelihatan menyelesaikan hal yang lebih wajib ini. Tertanya-tanya. Rakan sekerja juga ditunjukkan arah bilik air, walau ini rumah ibadat, berlainan agama tidak menjadi penghalang hanya sekadar ingin menumpang bilik air.

Dalam perjalanan balik, Diego dan Rusdi mula berbicara tentang adat orang tempatan, asal usul Rusdi serta hal-hal berkaitan. Perkara-perkara rutin. Termasuk juga perkara-perkara yang berkaitan dengan agama. Yang mana haram, yang mana halal. Rusdi pelik bila mendengar pendapat Diego yang adanya golongan yang menolak amalan sunnah dan hadis. Bagi Rusdi, amalan agama harus ditunaikan dengan ajaran Quran dan sunnah nabi. Baru lengkap.

Mereka menyambung sembangan pung-pang-pung-pang mereka sampai tiba ke destinasi. Sempat juga rakan sekerja Diego, menyampuk. 'Sunnah tu apa?" tanya beliau. Ah, susah jugak nak memperjelaskan dalam bahasa Inggeris. Dulu belajar agama semua buku teks bahasa Melayu.

Mereka selamat sampai ke Padang dalam jam 8 malam. Singgah di belakang sebuah pawagam lama untuk makan malam. Ruang makan ala Kebayan. Banyak gerai-gerai pilihan. Ada yang halal, ada yang haram. Yang halal menjadi pilihan sebagai menghormati tetamu. Tapi bagi Sarman, Hiru dan Alan, penat lelah berniaga sedikit terhapus bila disudahi dengan Carlsbeng sebotol dua. Rakan sekerja Diego menolak sopan tawaran Carlsbeng mereka. Diego pula lebih selesa dengan teh botol yang terkenal di Indonesia dan air kosong.

Pelayan datang dengan 4 gelas dan 3 botol Carlsbeng sejuk. Alan tuang penuh keempat gelas tadi. Dalam berborak sambil menunggu ikan stim, udang goreng, sate dan segala lauk pauk tadi, sorang-sorang menghirup minuman di gelas masing-masing. Sarman, Hiru, Alan dan Rusdi.

Semua persoalan dan pertanyaan lengkap sudah. Tapi bagaimana dengan sembang pum-pang-pung-pang kami tentang sunnah tadi? Haih. Hati Diego binggung. Lagi binggung bila rakan sekerja Diego juga kelihatan binggung.

Sabtu, April 03, 2010

Sinetron Dramalova XXVII - Halia dan Bawang

Babak 1

Bos kepada Diego memang berhati mulia. Tiap kali Krismas mesti dapat 'surplus' yang berjenama mahal. Seperti keropok Mark & Spencer, biskut besar ada kacang yang sedap, coklat berwarna-warni, air sparkling anggur hijau, minyak masak biji anggur serta alat seri peribadi seperti sabun mandi organik, set syampu dan perapi serta yang berkenaan dengannya. 
Dalam banyak-banyak barang yang diberi, selalunya yang hal-hal makanan akan selesai sesudah beg boleh guna semula cap TISKO di buka-pamer sesudah Diego balik kerja. Memang sedap lagi berselera bila merasa makan keropok cap Mark & Spencer. Sampai berebut antara Diego dengan Rodriguez. Sekali tu, biskut besar ada kacang tu tak sempat nak dibawa balik ke rumah mertua Marcia, selesai dan-dan haritu jugak. Bekas tin biskut tu, sampai hari ini pon masih ada. Simpan buat isi pen.

Kesungguhan bos Diego dalam hal ehwal permakanan bahan asas organik memang amat tinggi. Anak sedaranya diberi jolokan, bayi organik. Sejak lahir, susunya adalah susu organik dari New Zealand negara pembela lembu. Mandi sabun syampunya juga dari bahan yang hanya berasas organik. Pembasuh baju pon yang organik sahaja. Sayur atau tumbuh-tumbuhan serta beras pon, tentulah dari ladang organik juga. Bagi bos, perihal yang baik sebegini tidak wajar dikongsi bersama keluarga sahaja. Jadi, semua staf syarikat juga dapat merasa bahan-bahan organik ini buat kegunaan masing-masing.

Pada satu hari sebelum Krismas, masing-masing tertunggu-tunggu apakah 'surplus' yang akan mereka dapat untuk kali ini. Bersusun sudah beg-beg boleh guna TISKO kaler hijau di atas meja mesyuarat. Kali ini, semua yang biasa ada memang ada. Tapi ada tambahan luar biasa kali ini. Kali ini semua staf syarikat mendapat sebotol syampu anti-kelemumur berasas halia. Nyum nyum. Eh, bukan untuk makan la. Siap ada gambar halia hidup lagi kat botolnya. 

Adakah ini tanda beliau bersimpati terhadap penyakit kulit kepala pada Diego dan rakan sepejabatnya yang kadang-kadang berhabuk putih pada bahu baju hitam mereka? Atau ini tanda beliau memang tidak tahan lagi melihat penyakit yang sangat melarat ini menghinggapi staf pejabat? Atau secara halus menegur sistem penjagaan rambut para pekerjanya yang tidak tahu membela kelemumur secara sihat?

Apa pon, Diego bersyukur. Memang syampu halia itu dapat membantu kepalanya mengurangkan kegatalan kepala buat satu hari dua sebelum ia muncul semula dalam bentuk keruping-keruping besar yang keras lagi gatal. Juga percuma. Kalau tidak, berpuluh jugak nak beli Selsun Gold (Yam, kami nak order barang sebotol dua ye!)
 
Babak 2

Diego sedang relek-relek baca suratkhabar lepas makan malam. Kadang-kadang makan malam sambil baca surat khabar serta menonton berita sampai melarat ke Bersamamu tangan masih tidak berbasuh. 

Kali ini rancangan Bersamamu mula lebih lewat dari jadual makan Diego sekeluarga, jadi mereka semua memang tengah tersandar kenyang bersyukur terhadap rezeki yang ada dan tidaklah perlu masuk audition Bersamamu. Ada perlunya juga menonton rancangan sebegini, terutamanya dalam menilai jati diri keluarga yang ditonjolkan dalam rancangan ini. Yang menjadi pujian dan terkesan di hati adalah bilamana tonggak keluarga dapat meluangkan 24 jam sehari yang ada untuk membuat 4-5 beban kerja yang memerlukan keupayaan 'superhuman'.

Bagaimana mereka dapat memastikan rumah mereka, walaupon daif keadaannya, tetapi tetap kemas dan teratur. Walaupun dalam 7-8 minggu siarannya, ada la 1-2 sahaja keluarga yang mampu memastikan tahap kekemasan rumah yang tip-top luar dan dalam, tapi itu memang satu keupayaan yang super kerana kekemasan rumah bukan mendatangkan kekayaan atau nasi buat mereka. Kerana bagi Diego dan Marcia, kesusahan hidup tidak bermakna mereka perlu hidup dalam rumah penuh sampah dan bersepah. 

Bagi siaran TV percuma dalam pakej TV berbayar AHTERUK, tidak dinafikan iklan mesti salah satu pengisi masa antara rancangan. Tidak terlepas dengan rancangan Bersamamu pon mestilah penuh dengan iklan. Jadi ini sahajalah masa terluang yang Diego ada untuk kembali membelek berita suratkhabar. Diego memang selalu stenby suratkhabar di tangan untuk sama-sama melayan Bersamamu dengan Marcia, kadang-kadang terasa sebak sangat, boleh buat-buat kaver baca suratkhabar balik sebelum apa-apa yang lebih emo terjadi. Dah tua-tua ni, kadang-kadang sensitip lebih sikit.
Baru je masuk iklan kedua, dan nampak Jakie Chan bertumbuk sana sini, siap berbahasa Melayu lagi. Di tangannya ada dipegang sebotol syampu berjenama baru. BAWANG.


"Eh, apa kata kita try pulak syampu ni abang?" sampuk suri rumah mudah terpengaruh dengan iklan, Marcia.

Sebab berita di suratkhabar lagi best dan Diego memang dah pernah tengok iklan Jakie Chan itu, Diego sambut secara bola tanggung.

"Hah, yela tuh. Sekarang ni pakai halia, ni nak pakai bawang pulak, lama-lama jadi paprik la rambut kita ni"

Marcia yang tadi sedikit emo dengan rancangan Bersamamu, kini lebih terbahak ceria macam siaran 611. Untuk iklan tersebut, ianya akan membuat Marcia tersenyum simpul tiap kali ianya tersiar lagi.

Untuk rekod, memang Diego pergi ke JUSTUKOR untuk membelek syampu BAWANG Jakie Chan selepas itu. Rupanya, syampu itu bukanlah perisa asli bawang mahupun mempunyai apa-apa bau bawang atau rupa bawang putih mahupun merah sekalipun. Hanyalah jenama resipi turun temurun keluarga Ba Wang. Ceh. Tak organik langsung. 

Khamis, April 01, 2010

Pesanan Diego

Dalam banyak-banyak hal bercakap semalam, entah macam mana Diego boleh terlepas statement tidak berfikir panjang macam ini;

"For me, to sustain the world, there must be yes and no"

Disambut oleh Kingston.

"Whaaa (macam tak bersetuju), but I agree with you"

Ah, asalnya bercakap pasal Ricky Martin yang dah ada anak kembar tapi baru mengaku gay sebab dia tengah nak buat buku memoir. Tektik pemasaran. Perangai macam Agassi. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...