Pernah dengar Usain Bolt? Belum? Tak pernah? Sila hantukkan kepala di papan kekunci sekarang. Tak mo kawan. Pernah dengar Arsenal? Juga tak pernah? Boleh letak jawatan kalau anda seorang pembaca berita tapi tidak mengenali pasukan ini. Yang ini Arsenal di Liga Perdana Inggeris ye, bukan Arsenal di Liga Kejuaraan Brazil itu.
Tapi apa kaitan Usain Bolt dengan Arsenal dan laju?
Kalau belum mengetahui juga sebab suka sangat baca majalah Mempelam je, Usain Bolt ini suka-suka hati dia je berlari laju yang amat dan dah pecahkan dua-dua rekod 100m dan 200m sempena kejohanan Dunia di Berlin seminggu ini. Ini adalah lebih kurang setahun selepas dia memecahkan kedua-dua rekod dunia ketika di Olimpik, Beijing tahun lepas. Lebih tepat, dia mengurangkan 0.11 saat untuk kedua-dua rekod itu. Jadi rekod dunia sekarang pegangan Usain Bolt ini adalah 100m adalah 9.58saat dan 200m adalah 19.19saat.
Agak makhluk asing juga Usain Bolt ini sehinggakan Micheal Johnson, pemegang rekod 200m sebelum ini (bukan pemain bola keranjang itu mahupun kumpulan Micheal Learn To Rocks ye) menggelarkan larian Usain Bolt ketika bahagian selekoh untuk 200m adalah 'bukan manusia', 'mustahil' dan 'larian di selekoh terbaik pernah disaksikannya'. Dengar kata juga, Usain Bolt menamatkan larian 100m hanya dengan 41-42 langkah larian sahaja. Ini bersamaan dengan lebih kurang 2.4m selangkah. Cemana? Laju?
Baik, dengan demikian, itulah mukadimahnya. Macam biasa, mukadimah je dah panjang kan? Hahah.
Yang ingin dikongsikan adalah, Arsenal sekarang. Satu kajian telah dibuat oleh Castrol, selama 2 tahun dengan meneliti pemain-pemain utama dari Liga Inggeris untuk membuat purata kelajuan larian pecut setiap pemain dari Liga Inggeris ini. Hasilnya adalah seperti di berikut. Yang terlaju di Liga Inggeris adalah Theo Walcott dari Arsenal. Menurut kajian tersebut, jika Theo Walcott ini adalah pelari 100m pecut, dia enteng sahaja mengalahkan pelari pecut Britain, Dwain Chambers dengan catatan sekitar 9.9saat. Kedua terlaju adalah sedikit mengejutkan, Sol Campbell. Bekas pemain Arsenal yang berpindah ke Portsmouth dan kini di Notts County. Seterusnya, sila sahaja melihat senarai di bawah.
USAIN BOLT 24.04 mph
WALCOTT 22.72 mph
CAMPBELL 22.50 mph
DROGBA 22.27 mph
TORRES 22.27 mph
ANELKA 22.05 mph
FABREGAS 22.05 mph
A COLE 22.05 mph
CLICHY 21.82 mph
ROONEY 21.82 mph
GERRARD 21.60 mph
Dari 11 pemain yang disertakan di bawah, 6 orang adalah pemain/bekas pemain Arsenal. Agak mengagumkan juga penilaian ini. Ini menunjukkan sesuatu yang jelas, pakcik Arsene Wenger ini memang sukakan statistik dan aku rasa dia memang bergantung tinggi untuk membuat penilaian terhadap seseorang pemain berdasarkan statistik pemain tersebut. Salah satunya kriteria penting buat pakcik Arsene Wenger mungkin adalah agiliti pemain, yang dinilai dari segi larian pecutan seperti dalam kajian Castrol ini.
Yang kedua, arakian begitu sekalipun lajunya Theo Walcott itu, untuk dia menandingi Usain Bolt adalah sedikit mustahil. Sebab kelebihan 2mph itu boleh di ibaratkan seperti 5-6 langkah ketinggalan.
Yang ketiganya, statistik ini diperguna dengan meluas untuk semua liga peringkat tertinggi di dunia. Cuma, aku tak rasa Malaysia ada atau pernah ada usaha untuk membuat statistik yang sedemikian rupa untuk pemantapan bolasepak, peringkat negara mahupun peringkat liga Perdana ke Super ke Ultra ke hapa ke. Amat ketinggalan kita dalam aspek ini. Nak tahu Shukor Adan buat berapa kali hantaran tepat pon aku rasa tak ada. Belum lagi purata berapa kilometer jarak larian penuh Indra Putra sepanjang perlawanan. Jadi macam mana jurulatih kita ingin menilai? Takkan selamanya bergantung pada budi bicara dan mata kepala jurulatih je?
Dalam aspek sains sukan pon baru nak bertatih. Juga agak menyedihkan masa tengok siaran realiti Soccer Star 2 dalam 3-4 bulan yang lepas, yang mana pemain kita langsung tidak pernah terdedah kepada ujian kecergasan yang dibuat oleh jurulatih Chelsea untuk 4 pemain dari Soccer Star 2 itu. Hasil ujian itu dinilai secara statistik dan ada nilai parasnya, yang mana kalau dia nak bandingkan dengan Frank Lampard ke, Didier Drogba ke, atau sapa-sapa yang dia nak pilih memasuki akademi Chelsea, dia akan gunakan nilai paras ujian kecergasan itu. Jadi, kenapa teknologi ini tidak dipindahkan ke Malaysia? Buat apa bekerjasama dengan Chelsea sebegitu rupa, tapi teknologi yang mudah ini kita tak boleh pindahkan untuk manfaat seluruh pemain bolasepak Malaysia? Rugi je.
Sebenarnya, statistik sebegini bukan hanya untuk bolasepak. Untuk pembangunan sukan yang lebih terancang dan tersusun lagi meningkat, semua sukan di Malaysia perlu dan harus punya kumpulan statistik mereka sendiri. Universiti tempatan entah berapa ratus graduan lulusan matematik statistik tiap tahun. Tapi akhirnya bekerja bank, jadi cikgu atau paling kuat jadi pensyarah kalau pandai sikit. Yang menjadi ahli statistik sangat sedikit. Rugi.
Kita mungkin berbicara lagi untuk segmen sebegini untuk satu lagi isu. Faktor fizikal pemain bolasepak. Lain kali. Tapi melalui pemerhatian aku, Micheal Owen yang kita rasa/tengok dia sedikit rendah itu, ala-ala saiz pemain Malaysia je, tapi saiz kaki, peha dan pinggangnya sama sekali bukan saiz biasa pemain Liga Malaysia.
Notakalkulator amANI: Nak tukar mph kepada kilometer per jam? Darab sahaja dengan 1.6. Aku tahu, korang malas mengira.
5 ulasan:
tu le.
rugi je kerjasama ngan chelsea kalu x de kesan kat arena bolasepak kita untuk jangka masa panjang..
walaupun dah lama tak baca mempelam tetapi tetap kenal dgn usain bolt..kagum tgk dia lari sejak dr sukan olimpik...panjamg betul kaki dia.heheeheh
^afzan^
Harap-harapnya adala, mungkin tidak diperbesar dan diwar-warkan. Tapi kalau takda. Memang rugi saja.
^don^
Hehe, bab sukan lari berlari mana boleh tak ambil kisah kan?
Usain bolt saya respek beliau atas kekuatan mentalnya... Memang walau pada usia yang masih muda, tahap mentaliti beliau adalah cukup tinggi dan boleh dikatakan mempunyai IQ dan EQ yang agak tinggi.
Namun yang pasti usaha kerasnya. Itu yang menjadikannya luar biasa. Rasanya dia boleh buat 100m around 9.3s.
Bab kelajuan...
Di Malaysia, sains sukan masih lagi belum dijelmakan secara tuntas. Malah masih lagi merangkak. Ada usaha ke arah itu namun pihak atasan menafikannya atas alasan kos.
Kalau tak mahu melabur, macam mana nak dapat untung?
Bab Arsenal, Arsene Wenger memang cukup genius. Beliau mementingkan soal pemakanan.
Selepas kejayaan Arsenal mengharungi 49 perlawanan tanpa kalah suatu ketika dahulu, sebuah tabloid di UK telah mendedahkan apa yang dilakukan oleh Arsene Wenger.
Maaf sebab saya tak jumpa link tersebut. Ia diberikan oleh seorang rakan yang menuntut di Manchester ketika itu.
Apa pun, industri sukan di negara kita lemah kerana pengurusannya lemah. Tiada idea dan tidak mahu mnerima idea...
Bila di atas lemah, di bawah cukup sukar nak jadi kuat...
^saiful^
Yep, plan utama (master plan) untuk pembangunan sukan itu tiada. Bukan apa, menteri bertukar ganti hanya memperabih peruntukan yang diberi.
Lebih kepada membuat politikal mileage sendiri.
Statistik perlu dibawa seiring dengan sains sukan dan menjadi salah satu tonggak utama pembangunannya.
Catat Ulasan