Advertlets

Ahad, Disember 14, 2014

Catatan Diego - Hati@Anak-anak

Separuh jiwaku pergi. 




Yep. Kalau mahu lebih tepat. 75% hati Diego dah dibawa berlari menaiki keretapi Sinaran Timur malam tadi, bilamana Rodriguez, Pablo, Aguero dan Alexis bersama ibu mereka bergerak menuju utara timur untuk pulang bercuti di kampung. Bukan mengada, tapi kali ini lain benar terasanya. Macam tak sanggup nak hadap seminggu tanpa depa. 

Bukan mudah bila dah biasa, balik kerja ada yang datang peluk, yang belum boleh bercakap tahu panggil 'Abah! Abah! Abah!' sahaja dengan nada yang girang dan riang. Yang dah bersunat tahu pula melompat bila kita masuk ke rumah. Berebut mintak henpon. Bila tidur bersesak satu tilam sampai tak ada ruang nak bergerak. Bila makan riuh itu ini dengan pelbagai pendapat dan teori. Bila masa main tak dan seminit ada yang keriau. Semua bunyi, gelak, tangis, ketawa, galak tak renti depa adalah pengisi. Yang memberi dimensi lain kepada satu hidup abah mereka yang sehariannya sudah padat hal pasal kerja dan kerjaya. Tapi itulah yang abah cari tiap hari, sebagai pengubat dan penghilang kerisauan hati.

Sekarang rumah ini sangat sunyi. Bila sekeliling hanya nampak bayang dan situasi. Depa bermain dan berkongsi imaginasi. Mainan ciptaan depa sendiri. Mainan sepah sana sini. Tapi tiada bunyi dan suara depa yang diiringi sekali kini. Ia begitu menyeksa diri. Hanya sendiri mengisi setiap ruang. Bila terpandang terus terkenang. Memang parah woi kali ini. 

Bila depa ada, rasa tak cukup ruang dan masa. Tapi, ye, cukuplah 4 orang anak lelaki untuk dibesarkan bila datang masalah. Tapi biarlah 4 anak lelaki ini bersama kami hingga kami meningkat usia. Agar dapat kami isi semua memori mereka dengan kegembiraan dan kebahagiaan sebuah keluarga. Bila depa dah besar, depa pula membina keluarga dengan tapak kenangan yang sama. 

Moga menjadi anak yang soleh pada Abah dan Ummi. Hanya doa kamu setiap hari yang abah dan ummi pinta bila kamu sudah dewasa nanti. Untuk kami gembira dan tidak sunyi. 

Abah rindu kamu semua. (*teriak sendiri)...

Selasa, Disember 02, 2014

Kanak-kanak Memang Riang 48 - Sudah Potong?

Cabaran untuk memberi sokongan dan ketenangan kepada anak-anak supaya depa tak takut untuk berkhatan adalah salah satu yang harus mak dan pak lalui. 

Kalau kita plan setahun awal hal bak bersunat ni, maka setiap hari dalam setahun tu jugalah depa akan bertanya, 'Sakit ke sunat tu?', 'Macam gigit semut je ke?', 'Dia kene inject dulu ek sebelum sunat tu?'. Dan pada banyak ketika, depa jadi cuak dan teriak. Menangis pada ketidak tentuan yang depa bakal hadapi. 

Jadi bila dapat tahu yang di taman ini akan diadakan sesi berkhatan Perdana anjuran surau Nurussalam dalam masa terdekat, kami tunggu hingga 2-3 hari sebelum hari kejadian untuk betul-betul konfem mengambil bahagian dan mendaftarkan Aqil dan Ammar. 

Jadi depa tak banyak masa sangat untuk membuat persiapan dan mencari alasan untuk tidak bersedia bersunat lagi. Lagipun program yang disertakan banyak memberi peluang untuk mengalih perhatian kanak-kanak yang menyertainya.

Dimulakan dengan penyampaian cenderahati (kain pelikat) dan diraikan pada malam sebelumnya, kemudian 30 peserta itu pada awal pagi lagi diarak dengan kenderaan pacuan 4 roda keliling taman. Mandi semburan air bomba dari jentera bomba Taman Universiti dan tayangan cerita animasi sewaktu menunggu giliran. Jadi waktu menunggu itu terisi dan taklah depa hanya tertumpu pada bilik bersunat yang disediakan dan berdebar melampau. Itu perancangannya lah. 

Walaupun program mula awal pagi Jumaat, tapi giliran depa telah ditetapkan pada sebelah petang sesudah solat Jumaat. Jadi habis program wajib pada sebelah pagi, sempat la balik rumah semula untuk rehat dan lena sebelum bersiap berJumaat semula di tempat program di surau Nurussalam.

Yang menjadi cabaran bila sesi petang dimulakan dengan jeritan peserta pertama, agaknya masa dicucuk ubat bius. Pihak penganjur belum sempat menyediakan semula tayangan animasi maka yang menunggu diluar semua menjadi sangat berdebar. Keadaan sedikit tenang bila volume tayangan cerita lebih tinggi dari apa yang berlaku di bilik berkhatan yang dibuat di ruang sembahyang bahagian wanita. 3 mudim sukarela yang mengambil bahagian dengan 2 orang untuk kaedah jahit dan seorang untuk kaedah clamp. 

Agaknya sudah ditakdirkan rasanya, pada awalnya kami memang merancang untuk kaedah clamp bagi Aqil dan Ammar. Tapi bila diberitahu oleh pengajur yang mungkin saiz clamp yang ada ketika itu sudah kehabisan stok, Aqil dan Ammar menjadi lebih risau. Sampai ke katil tempt bersunat, Aqil masih lagi diberi   separa harapan yang kaedah clamp akan digunakan. Tapi memang tinggal harapan je bila doktor yang bertugas memberitahu yang saiz clamp yang sesuai memang dah tak ada. Kalau mahu juga, kena tunda pada esok pagi di tempat yang lain. Memandangkan depa dah seharian dalam keadaan bersedia untuk bersunat, tunda sehari mungkin lari sudah tune sedia itu. Pilihan jahit diputuskan dan kami pon bersedia je dengan apa yang terjadi. 

Apa yang berlaku seterusnya ialah pengalaman baru sebagai abah, yang mana gagah dan cekal itu sama sekali berubah dari aku yang dulu. Kalau dulu tengok perut kucing kena jahit pon dh goyang, tapi kali ini demi memberi semangat pada anak-anak, kecekalan dan sifat cool itu melebihi dari semuanya. Tapi apa yang dilihat dan diperhatikan itu tetap ngeri, ngilu dan pedih. Ah, korang pernah bersunat tahulah kan. 

4 malam menjaga depa berpantang juga tak kurang banyak cabarannya. Itu kita sambung di kemudian kali. Yang penting. Depa dah potong. Hangpa bila lagi?







Rabu, November 26, 2014

Kanak-kanak Memang Riang 47 - Anak Patung

Sejak dari Aqil, turun ke Ammar, pergi ke Ayman dan kemudiannya ke Ariq. Depa sangat suka kalau dihulur anak patung binatang yang satu ini di rak mainan Jusco. Jenama Jepun. Bulu dia lembut. Rupanya agak comel dan real. Depa peluk tak lepas. Bagi dua ekor. Depa peluk dedua. Bagi kucing depa peluk. Bagi arnab depa peluk. Bagi anjing pon depa peluk. Ye. Anjing ni boleh peluk, takpe. Memang tak lepas. 


Cumanya, sejak dari Aqil, turun ke Ammar, pergi ke Ayman dan kemudiannya ke Ariq, kami tak beli pon anak patung itu sampai la sekarang. Hahah. 

Syukur sebab kami mampu setakat ini menjaga kehendak anak-anak yang tak terbaring guling-guling teriak tak berenti bila tak dapat sesuatu benda atau mainan yang depa nak. Depa boleh enjoi dengan hanya memegang, tengok, belek dan letak semula mainan di rak Jusco. Tapi bila depa dapat beli mainan yang baru. Depa akan eksaited dan ciwi untuk beberapa hari dan ketika. 

Bergembiralah anak dengan apa yang ada. 

Selasa, November 25, 2014

Syawal 1435H

Gila. Syawal dah lepas lama dah. Masuk tahun baru hijrah dah baru nak tulis entri. 

Tapi inilah blog. Maklumat yang sudah menjadi perlahan seperti siput berbanding Twitter, FB, IG dan WA dan yang sewaktu dengannya. Akan tetapi  blog lebih lama bertahan dan maklumatnya tidak hilang ditimbun yang lain. Juga blog ini beruntung mendapat penulis yang setia dan istikhomah macam aku. Ecece.

Jadi inilah Syawal 1435H kami. Di rumah separa siap modifikasi Angah. Kami yang merasmikan rumah baru Tok Mek yang dah siap lengkap. 


Memang kami sengaja pilih baju kaler sama dengan sofa. Sumpah sengaja. 

 
Sebahagian depan rumah Tok Mek yang dah siap dirobohkan. Dinding background gambar Syawal 1433H kalau hangpa nak belek semula tu dah takda. 


Ni pula mengambil kesenpatan kepada 4 bingkai tingkap belum siap rumah Angah. Sedang elon untuk isi 4 anak teruna setiap satu slot. 

 
Pintu depan 'rumah' Tok Mek yang dibina ala studio. Direct ja depan terus sampai dapur tanpa bilik. 


Gambar terakhir sebelum kami babai Rumah Tok Mek. Semuanya tinggal kenangan ja sekarang. 

Ok. Gambar bonus Syawal 1435H. 


Sekian. 

Ahad, November 16, 2014

Catatan Diego - OOTD@oversea

2005. Pertama kali bila Diego bagitahu mak yang dia bakal ke Amerika Syarikat, mak terus bagi dua pendapat. 

Pertama, "Pi la tengok beg besaq mana yang sesuai nak bawak pi US tu". Diego berkerut. Alah, nak pergi seminggu lebih ja. Tak Rambo la kalau packing barang banyak-banyak macam nak pi haji. Tapi Diego jenguk juga pilihan beg yang ada dan pilih yang sederhana besar. Kaler tak striking dan takda corak bunga-bunga. Rambo mana bawak beg yang kaler sebarangan.

Yang kedua, "Tak mo pinjam pak hang punya Suit ka? Pak ada dua tiga hat sama saiz dengan hang". Double berkerut kali ini buat Diego. Apa nak bersuit-suit ala koprat ni. Ni nak pi masuk latihan dan mesyuarat tahunan kompeni yang menjadi pengedar sistem analisis getaran. Depa tak dak tulis pulak kena pakai stail koprat. Tapi, hormat pada ibu dan taat ada perintah ibu ialah tanda anak yang soleh. Maka Diego belek dan pilih suit kaler biege. Baju Kot 2 butang dan seluar baggy. Yelah, style pak mana nak ada seluar jerut kat peha lagi masa tu. Apatah lagi style Dockers Alpha.

Kedua-dua pesanan mak itu memberi impak yang besar terhadap perjalanan pertama kali Diego ke Amerika. Yelah, suit yang dipakai sekurang-kurangnya menghapus pandangan orang atau judgement orang dan mengelakkannya kelihatan 'noobie' dalam arena naik kapal terbang jauh-jauh dan pergi luar negara. Ye. Memang ada orang yang suka judge orang lain terhadap pakaiannya. 

Manakala beg besar macam nak pergi haji itu pula menjadi sangat berguna dan bermanfaat sebab bila dah ke luar negara  mestilah nak bawa balik sesuatu untuk keluarga dan adik beradik. Kalau beli baju sorang selai, kurang-kurang kena 8 helai dah. Belum masuk jeans Levi's 501 dengan harga tanpa cukai yang kalau beli dua helai pon masih lagi murah dari di negara sendiri. Hah, kalau ko bawak beg sandang macam nak naik bas tu, ada nak muat semuanya dalam satu beg? 

Ini terjadi pada kali ketiga Diego ke Amerika. Dia ingat memang urusan tu memang padat dan takkan ada peluang untuk membeli belah. Akan tetapi, kini rakan-rakan pula kirim Levi's sorang sehelai. 5 helai Levi's Diego borong dengan harga sangat patut. Tapi beg yang dibawa ialah beg jenis naik bas. Jenis sandang ada zip ja. Memang padat jadinya dan sistem zip pula hampir-hampir sahaja punah.

Ye. Janganlah kau gusar terhadap pandangan dan saranan mak. Dia memang power dan dah berpengalaman luar temtang hal ehwal macam ni. Walau kau berprinsip Rambo sekalipon. 

Mungkin terturun sikit jati diri mak dalam diri Diego, pada kali kedua dia berpeluang ke Amerika Syarikat, dia mengenakan OOTD seperti yang demikian. Baju jersi Arsenal dengan logo Fly Emirates, jeans Levi's dan jaket hijau lumut Suave. Meskipun tahu dan sedikit ralat sebab Diego naik penerbangan China Airlines ketika situ. 

Untuk penerbangan balik pula. Diego naik kapal terbang dengan jersi Harimau Malaya belang kuning hitam sebagai tanda bangga terhadap negara sendiri dan rindu pada nasi lemak. 

Ini mungkin hal kecil buat orang lain. Tapi mesej yang mak dah tunjukkan mungkin kesannya lebih jauh menusuk buat yang memahami dan mengerti. 

Diego baru tengok gambar mak bercuti di New Zealand kira-kira 3-4 tahun yang lepas. Kelihatan cuacanya sepoi-sepoi sejuk. Udaranya segar dan tempat yang dilawati pula kebanyakannya bersifat outdoor, gunung-ganang, sungai dan tasik, pokok bunga dan alam semulajadi. 

Ok. Dah boleh bayangkan OOTD yang sesuai untuk kegiatan bercuti yang sedemikian? 

Yep. Mak dalam salah satu gambarnya amat bersahaja dengan mengenakan sepasang baju kurung hijau dan tudung bawal kaler cream. Power kali seribu.


Hah. Jati diri macamana lagi yang hangpa mau? 

Isnin, Jun 09, 2014

Kanak-kanak Memang Riang 46 - Koleksi Main Bolasepak

Dua minggu cuti sekolah. Hanya boleh memanfaatkan waktu lewat petang dan hujung minggu untuk memberi pengalaman baru kepada anak-anak. 

Hujung minggu pertama, kami menjelajah tempat baru. Educity Nusajaya. Ada majlis di kompleks sukan dan indoor arena. Kami lebih berminat untuk masuk melihat suasana stadium Educity. Ada perlawanan bolasepak. Tak tahu sapa lawan sapa. Janji bolasepak.

Hasilnya, Ammar dan Ayman jumpa bola dan gawang gol kecil tepi padang. Depa buat hal yang sepatutnya. Ambik bola dan sepak masuk gawang. Tanpa menghirau lain-lain hal.


Tiap petang lain-lain hari cuti sekolah yang depa ada, Aqil dan Ammar akan sentiasa mencari peluang tiap pukul 6 petang untuk pergi bermain bolasepak di padang berdekatan. Kadang-kadang kawan depa dah panggil pukul 4.45 petang lagi. 

"Aqil, Ammar jom la main bola" laung depa dari luar pagar. 

"Ala, korang pergi la main dulu, mak aku tak kasik keluar lagi, belum pukul 6" Ammar sambut dari dalam rumah. 

"Ala, jom la main sekarang" ajak kawan depa lagi.

"Tak boleh, mak aku garang" lagi sekali Ammar jawab. 

Hahah.


Satu lagi hujung minggu, aku bawak depa ke Dataran JB. Hajat hati nak makan cucuk-cucuk, steamboat dan tauhu bakar kat medan makan gerai Luton Van. Jadi ke sanalah kami selepas Maghrib. Petang tu dah main bolasepak seround di padang taman. 

Selepas 2 pinggan lempeng cicah gula, sepinggan tauhu bakar, 2 round steamboat cucuk-cucuk dan air teh ais limau, kami mengambil angin ke arah dataran. Belum apa-apa hal, Ammar dah nampal sekumpulan adik beradik tengah berebut bola dekat gawang terdekat. 

"Abah, nak main bola dengan diorang boleh tak?" Ammar menghantar borang permohonan.

"Eh, jom la kita tengok orang tengah main muzik kat situ" aku cuba alih perhatian. Takut menggangu 4 beradik yang tengah rancak bermain sesama sendiri. 

"Ala, abah, boleh la" Ammar mintak sekali lagi. 

"Hah, pergilah, abah kat sini". Aku bagi permission. 

Terus depa lari menuju kawanan adik beradik tu dan berbincang. Bolasepak ada magis tersendiri. Lagi ramai permainan akan menjadi lebih menarik. Dan depa pon mula bermain.
 
Padang Dataran Johor Bahru.

Malam itu kami balik dah dekat nak tengah malam. Sebab lepas main bola depa ralit pula main buih. Sewa peralatan RM2 sorang. Bonus untuk malam itu. 

Pesta buih

Jadinya, keesokan harinya hujung minggu itu hanya dihabiskan di rumah sebab semua pakat lena sampai dekat nak tengahari. 

Tinggal satu hari Ahad sahaja untuk aku menghabiskan masa dengan anak-anak dengan tema bolasepak. Jadi petang Ahad yang panas elok, kami menuju ke UTM. Sebelum kami memulakan aktiviti main bola, bawa dulu depa tengok dan pegang kuda, bergambar dengan itik, mencari kilasan ikan di tasik, terkejut dengam sangkar landak dan melihat kawanan rusa. Peh, Ecotourism kat UTM pon dan jenuh nak layan. 

Balik dari melihat rusa barulah kami bawak turun bola dan duduk di atas rumput hijau berhampiran dengan pondok di tasik. Ammar dan Ayman terus mengejar bola sendirian. Tak perlu gawang gol. Sepak sendiri dan kejar sendiri. 

Jadi untuk lebih menarik, aku menawarkan diri sebagai penjaga gol dengan bayangan gol sendiri. Ayman dan  Ammar bergilir mengambil sepakan penalti. Depa usaha menyepak sampai dapat menewaskan penjaga gol handalan ini. Ayman dengan sepakan kaki kirinya dan Ammar dengan rembatan padu kaki kanan. Heheh. 


Lebih kurang begitulah 2 minggu cuti sekolah mereka dihabiskan untuk tahun ini.  

"Seronok tak??" Ummi tanya.

"Seronokkkk" jawab depa bertiga.

Ummi dan Abah berharap pengisian sebegini juga akan diingati mereka bila depa dah besar nanti. Bukan hanya percutian yang mahal dan jauh sahaja. 



Sabtu, Mei 10, 2014

3 Perkataan

Bolehkah 3 perkataan mengubat hati seseorang?

Menghilangkan semua rasa pening kepala bila tiap kali bangun pagi dengan rasa tidak cukup rehat dan tidur?

Memudarkan rasa gundah hati bilamana dia merasakan kita belum bersedia untuk menghadapi cabaran hidup secara sendiri?

Melupuskan terus rasa putus asa ketika apa yang dia ingin buat untuk dirinya semuanya terbantut hanya untuk memastikan kita cukup makan, sihat tubuh badan, bersih tak berdaki, wangi selepas mandi dan berpakaian kemas dan elok sentiasa?

Memadamkan segala rasa bingit telinga dengan panggilan, jeritan, permintaan, permohonan, pergaduhan, perkelahian, dan semua jenis nada bunyi yang kita keluarkan pada setiap saat dan minit kita bersamanya?

Melapangkan dadanya yang sesak bila diasak dengan tangisan tak henti lagi mencabar bila kita demam selsema tersumbat hidung, jatuh luka lutut dan siku, terhantuk dinding atau pintu, terkepit jari atau zip seluar, disengat lebah atau binatang berbisa, sakit perut yang memulas atau berak keras?

Menenangkan hatinya yang dirobek bilamana ruang tamu yang baru dikemas dah jadi gelanggang gusti, tuala mandi tidak disidai dan melingkar di atas lantai, tilam bantal yang sepatutnya bercadar dan selimut menjadi tembok projek rumah-rumah, kerusi meja yang tersusun di tempatnya bertukar menjadi model bas sekolah, lantai yang baru sahaja disapu dan disental bertompok balik dek air milo atau oren?

Membuang rasa huru haranya untuk memikirkan menu makan pagi, tengahari dan malam. Diet seimbang menjadi panduan, tapi kita memilih makanan. Pedas lebih tak boleh. Masin sangat tak boleh. Tak ada kuah gulai tak boleh. Tak ada kicap tak boleh. Yang dalam pinggan kita tak sedap, tapi dalam pinggan dia nampak sedap. Kita dah sudah makan, dia baru nak cicah biskut dan air panas, tapi yang dia sempat ialah sehirup dan segigit sahaja.

Jadi, berbalik kepada soalan pertama, bolehkah 3 perkataan mengubat hati seseorang yang menghadapi segala permasalahan yang disebutkan?

Ucapan 3 perkataan ini sahaja tidak memberikan keadilan untuk apa yang telah dia harungi. Satu hari khas yang diperuntukan juga tidak dapat menandingi apa yang dia telah lalui sepanjang hidupnya.

Tapi itulah IBU atau MAK kita. Hanya dia yang sanggup meredah apa sahaja di hadapannya hanya untuk kita. Dan dia berhak untuk menerima ucapan 3 perkataan ini.

Special untuk Mak.

"Selamat Hari Ibu"

Juga khas untuk isteri Norezdiani Mohd Nor dan amnya para ibu semua.

Ahad, Mac 02, 2014

Jalan-Jalan JB - Pesta Layang-Layang Sedunia 2014

Setelah 5 tahun tak pergi Pesta Layang-Layang di Pasir Gudang, kali ini kami repeat balik layan layang-layang besar di sana. Kali ini pergi waktu petang. Pesta nampak lebih meriah. Gerai jualan makin banyak. Pengunjung lebih ramai dan semua pakat nak terbangkan layang-layang yang depa beli di gerai jualan. Jadi bukan setakat layang-layang penyertaan pesta sahaja yang ada, pengunjung juga pakat eksaited nak menerbangkan layang-layang sendiri. Di tapak yang sama. Macam tak ada hari lain nak main layang-layang. Tapi dari pesta ini dapat la tengok orang duduk ja mana yang sempat dan redup semata-mata nak tengok layang-layang. Happening lah juga.

Kami memang datang semata-mata nak melihat layang-layang. Jadi lihat je la.








Selasa, Februari 18, 2014

Kali pertama saya ke sekolah anak saya III

Tahun 2014 ini untuk Ammar Amani.



Ada beberapa penambahbaikan yang dibuat untuk mengurangkan masa dan memanfaatkan ruang semasa hari pendaftaran.

1. Letak Ammar pada kelas yang telah ditetapkan. Amik gambar dan terus bergerak. (Sebab muka Ammar dah sedikit sebek macam nak teriak).

2. Abaikan taklimat pengerusi PIBG dan Pengetua dengan terus ambik buku teks, beratur beli, lencana, baju sukan di koperasi dan buku-buku di kedai buku. Itu pon terbuang masa juga sebab buku yang hendak dibeli masih tiada dalam stok.

3. Terus ke bilik kelas pendaftaran, letak barang dan cop tempat giliran untuk mendaftar. 

Hasilnya, selepas Ammar siap ujian pentaksiran, segala urusan dah selesai dan boleh balik rumah. Yeah. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...