Advertlets

Khamis, Ogos 31, 2017

Final Sukan SEA 2017 Malaysia 0-1 Thailand

Apa khabar penyokong Malaysia, masih lagi belum memaafkan adik Haziq keeper Malaysia semalam? 

Kesilapan dia bukanlah disengajakan. Kesilapan dia juga bukanlah kerana pilihan tiba-tiba dia untuk menumbuk bola itu keluar. Ramai yang mungkin berkata, kenapa tak tangkap sahaja? Tak reti ke tangkap bola? Bukan ada pemain lawan yang menekan saat itu. Ok.

Keadaan padang dan cuaca hujan memaksa keeper membuat pilihan menepis atau menumbuk bola keluar berbanding menangkap dengan kedua-dua tangan atas sebab bola yang laju menjadi lebih licin dan kebarangkalian tangkapan tidak kemas adalah sangat tinggi. Jadi adik Haziq sebagai keeper membuat keputusan yang betul dalam keadaan ini untuk menumbuk keluar bola dari lintangan pemain lawan, cuma mungkin pengalaman beliau masih cukup banyak, agakan beliau sedikit tersasar disebabkan bola yang laju serta sedikit lencong dan beliau menggunakan sebelah tangan sahaja untuk menumbuk bola keluar. Ini ialah kesilapan teknik dan disebabkan kekurangan pengalaman. Bukan kesilapan total. 

Kalau kita boleh merasa kecewa dengan tindakan itu, kenapa kita tidak berterima kasih dan menghargai tepisan beliau sebelum itu yang menutup peluang Thailand menjaringkan gol? Mungkin ramai menjawab, dah itu kerja dia sebagai keeper, memang la kena tepis bola baik-baik. Ok. 

Jadi kita kembali kepada tugas adik Haziq sebagai keeper pasukan Malaysia dan hak kita untuk menuntut persembahan terbaik dari mereka pada setiap perlawanan. 

Sebenarnya, adakah di antara kita menaruh harapan emas untuk bolasepak kali ini? Kalau mengikut kepada perlawanan pertama menentang Brunei, sokongan penyokong tak sampai separuh stadium. Hanya betul-betul menaik bila kita mengalahkan Singapura. Sebelum itu, siapa saja yang kenal Thanabalan? Sokongan kita kepada team Malaysia hanya menaik selepas Malaysia mengalahkan Singapura. Jadi adakah adil kita yang 'konon'nya telah berkorban jiwa raga dengan menyokong pasukan Malaysia dari perlawanan Myanmar / Indonesia / Thailand mengecam sebegitu rupa kesalahan adik Haziq, Safawi Rashid, Azam Azih dan pasukan Malaysia atas persembahan mereka di final Sukan SEA kali ini? Sumbangan dan penglibatan kita dalam menyokong mereka baru 2-3 perlawanan, padahal mereka ini telah 'bermain' bolasepak sejak mereka kecil bertahun lamanya, di mana sumbangan dan penglibatan kita dalam pembentukan beliau ketika itu?

Jika kita menghukum adik Haziq atas satu kesalahan beliau sehingga tidak boleh dimaafkan lagi, kita mungkin terlepas pandang pengorbanan adik Haziq dan semua yang terlibat dengan karier bolasepak adik Haziq sebelum beliau muncul sebagai pilihan nombor satu Datuk Ong Kim Swee. 

Orang-orang yang terlibat dalam karier adik Haziq, seperti ibu bapa beliau dan jurulatih beliau yang telah mengorbankan masa dan tenaga untuk memastikan adik Haziq boleh menyarung jersi kebangsaan adalah orang yang lebih layak memberi kritikan terhadap persembahan beliau. Kita yang jauh dari dia, yang tidak terlibat secara langsung terhadap pembentukan adik Haziq sebagai seorang keeper, dimanakah hak kita mengkritik beliau sebegitu rupa? Sampai membodohkan beliau, memaki hamun, memberi kata kesat dan segala benda yang tak elok untuk didengar? Adakah itu boleh meningkatkan prestasi adik Haziq di masa akan datang? Bolehkah adik Haziq bangkit dengan perbuatan kita yang sebegitu? 

Senang cerita, kalau kita letak diri kita sebagai ibu ayah adik Haziq, yang telah bergolok gadai masa dan tenaga sejak dia kecil untuk bermain bolasepak dari peringkat paling rendah sehingga mewakili Malaysia,  adakah itu tindakan kita terhadap adik Haziq? Hargailah pengorbanan mereka dan adik Haziq yang tetap berdiri teguh sehingga minit terakhir berdepan dengan Thailand dalam final Sukan SEA ini. Adakah kita boleh berbuat demikian setelah membuat kesilapan besar seperti dia dalam perlawanan yang sama? Kita telah membuat kesilapan ini pada tahun 2001 kepada Kamarulzaman Hassan. Beliau juga menghasilkan gol sendiri pada final Sukan SEA kepada pasukan Thailand. Dia terus hanyut dan tenggelam selepas itu akibat kecaman peminat bolasepak ketika itu. 

Ini skuad bawah 22 tahun Malaysia, mereka telah layak ke Piala AFC 2018 bawah 23 tahun. Ia memberi wajah dan nafas baru untuk pasukan Malaysia akan datang. Ada yang masih dengan komen seperti sepak bola ikut arah mana kita menghadap, masih dengan hantaran long ball, masih tiada gerakan berstruktur, tapi kebanyakan dari yang memberi komen seperti itu juga harus bersetuju dengan perubahan yang telah berlaku dalam pasukan ini. 

Malaysia masih berupaya menghasilkan pemain yang berpotensi dalam Sukan SEA kali ini. Thanabalan, Adam Nor Azlin dan Adib serta Safawi Rashid telah membuka mata kita dengan bakat dan potensi mereka. 

Berikan mereka sokongan kita dan beradalah di belakang mereka untuk saingan Piala AFC bawah 23 nanti. Masih panjang perjalanan karier bolasepak mereka. Ayuh adik Haziq, kamu baru berusia 19 tahun, kita Bangkit Bersama!

Notakaki: Penulis adalah abah kepada 4 orang anak yang masih lagi 'ubi' dalam arena bolasepak semasa. 

Isnin, Februari 06, 2017

Hari Pertama Saya Ke Sekolah Anak Saya III

Setelah setengah tahun takde kemaskini. Boleh sudah blog ini masuk kategori TERBENGKALAI.

Sebenarnya banyak perkongsian yang boleh sahaja dikongsi. Tapi sifat malas membuka dashboard sudah meresapi masuk ke dalam otak untuk tidak menulis di sini. Eleh, tak tempat lain pon tak tulis jugak. 

Huhuhu.

Setelah melihat koleksi gambar yang ada boleh la jugak buat entri asal sempat. 

Hari Pertama Saya Ke-Sekolah Anak Saya Edisi III. 

Kali ini untuk Ayman darjah 1 dan Ariq masuk taska 4 tahun. Yang abang-abang dah masuk darjah 5 dan 4. 






Khamis, Mei 26, 2016

Catatan Diego - Sikap@Jurutera Muda

Sikap 'aku tak salah, dia dan mereka yang salah'.

Malas bermula dengan kosong dan seboleh-bolehnya nak mintak bagi contoh.

Takda sifat ingin tahu dan ingin mendalami pengetahuan yang tinggi.

Buat report kadar, sebab universiti bukan nak tengok sangat pon nanti report ni.

Terlalu banyak membuat kesimpulan yang singkat dan 'pukul rata'.

Tak menggunakan peluang dan ruang dengan sepatutnya. 

Tak mengambil inisiatif untuk memasarkan diri sendiri. 

Mengambil mudah banyak perkara. 

Menipu secara terang-terangan supervisor, macamlah kita tak pernah jadi student/orang baru dulu. 

Buka FB/Youtube secara terang-terangan dan rasa orang tak nampak apa yang dia buat. 

Bawak pergi melawat site, tapi tak ambil nota, bertanya dan ambil gambar mesin yang berkenaan. Tapi dua tiga juga berselfie berbackgroundkan mesin. 

Nak suruh supervisor treat dia macam pekerja, tapi mentaliti dia lagi teruk dari budak darjah 3. 

Tidak menganggap supervisor itu guru, tapi tidak lebih sebagai pengawas. 

Bila tak siap kerja seperti yang ditetapkan, tak bertanggungjawab untuk memaklumkan selagi tak ditanya. 

Tidak bertegur sapa langsung dengan rakan sekerja sekeliling. Sebab rasa diri lebih hebat. 

Memperkecilkan banyak hal. 

Tiada kesungguhan untuk mendalami ilmu.

Asas teknikal yang sangat lemah. 

Tidak rasional dalam membuat pertimbangan. 

Mengharap orang tekan baru nak gerak.

Lagak di alam maya macam dah bekerja dengan syarikat dan jenama yang hebat, tapi realitinya kita tahu sangat mengecewakan. 

Diego dapat 4 bulan untuk ditunjukkan yang serendah ini seseorang pelajar praktikal boleh buat kat kita. Memang sangat memberikan pencerahan untuk diri sendiri. 

Punya la meluat, sampai takdak hati nak tulis panjang-panjang untuk hal dia yang patut dilupakan sahaja. Tapi ia pengajaran yang sangat bernilai untuk menjadi supervisor yang lebih baik di masa yang akan datang. 

Sabtu, Februari 27, 2016

Hari Pertama - Menuntut ilmu di negeri China

Bermula dengan cabaran persiapan yang serba serbi dibuat kurang bersungguh. Mungkin kerana China itu jauh. Mungkin kerana China tu takde Facebook. mungkin juga kat China tu susah nak cari nasi. Mungkin juga kerana kat China tu payah nak paham bahasa yang depa cakap dan phobia terhadap bahasa asing yang tak tahu langsung. Wo bu che tau. 

Kena buat visa. Beli tiket kapal terbang. Tempah bilik hotel. Sebelum buat visa kena dapat surat jemputan dulu. Tunggu surat jemputan lama la jugak. 3 minggu sebelum tarikh berangkat baru dapat. Lepas dapat visa, dah boleh urus tiket kapal terbang. Hotel dah tempah lebih awal sebab tak perlu bayar awal. 

Tiket kapal terbang punya cabaran ialah mencari harga yang tak lebih RM1,500, masa yang sesuai dan perjalanan yang terus sampai tanpa perlu singgah memana. Jadi keputusan dibuat menggunakan skyscanner. Naik Changi tengah malam Ahad. Sampai Isnin awal pagi. Cadangnya boleh la berjalan dulu siang Isnin tu. Balik tengah malam Jumaat, sampai awal pagi Sabtu.

Setel tiket kapal terbang, hotel dan visa.

Lepas tu hal-hal berkaitan persiapan diri, mental dan barang-barang ke China hanyalah disetelkan pada hari Sabtu dan ahad sebelum bertolak. Memang malas nak pikir awal-awal dan tak berkesempatan berfikir awal-awal. Banyak hal lain perlu diselesaikan selain berangkat ke China ni. 

Hari berlepas, mintak kereta sewa bawak ke Airport dari rumah. Itu pon hari Sabtu petang baru tempah. Punya tak bersungguh. Terus tempah untuk pergi dan balik. Kene la SGD80/trip. 

Dalam kereta, Ah Lee memang peramah abis. Cakap Melayunya lancar. Walau masih telor Cina. Tapi banyak pesanan yang dia bagi.

"Wah, lu pergi China nanti training cakap bahasa apa? English? Woo, itu macam UTM memang banyak bagus, lu memang pandai punya orang boleh cakap English"

"Sekarang wang kita banyak kecik, kalau banding sama-sama 3000 duit kita dengan Singapore, makan saja sini itu mee sudah 6.00-7.00. Sana Singapore baru 3.00 Dollar. Sini kita dapat RM350, sana dapat balik SGD1200 (ala BRIM)."

"Nanti bulan 8, sini mau kasik ambik duit masuk Johor, saya rasa banyak susah Malaysia mau buat, semua pandai-pndai punya orang sudah lari kerja luar, nanti itu sistem rosak macamana? Sapa mau tolong bikin, orang mau masuh susah, jem banyak teruk"

"Lagi satu, Malaysia tak boleh amik duit dengan Singapore saja. Sana Brunei dengan Thailand juga mau kena amibik duit, itu International law ma, mana boleh buat dengan Singapore saja. ItuSingapore banyak pandai, dia sudah kira ini semua. Dia tak pa nak buat, Malaysia satu saja kena kontrol"

Ah Lee memang ramah. Semua dia cerita dalam bahasa Melayu. Rancak dan tak berhenti. Starex besar gedabak tu tak sunyi walau hany kami berdua. Perjalanan tak jem langsung. Sesak hanya untuk cek passport kat imigresen Malaysia sahaja. Dalam 8.30 dah boleh sampai airport kata Ah Lee.

Sesampai di Terminal 3 Changi, benda pertama yang aku cari ialah papan tanda berlepas, ada ke idak nombor penerbangan dan kaunter nombor berapa untuk cek-in. Dah belek seround mujur jumpa. 

MU 566 Shanghai OPEN kaunter 10. 

Terus ke sana. Jenguk-jenguk dulu kaunter tu macamana. Tetiba terlintas. Beg besar ni bukan kena masuk mesin imbasan ke. Tapi sebesar-besar airport ni takde nampak mesin inbasan pon. Aku buat rileks dan masuk beratur. Simpan apa yang patut dalam beg besar dan hanya sandang beg laptop sahaja. 


(Panjang lagi ni, tapi hilang motivasi pulak nak habiskan). 


Jumaat, Februari 26, 2016

Catatan Diego - Lost@Kilang Tanah Liat

"You tanya budak saya buat apa?!, dia mana tau apa"

"You nak tau apa-apa, you tanya saya, jangan tanya anak buah saya"

"Nanti you balik buat report, you letak benda bukan yang saya bagitahu, saya tak mo macam tu"

"Sini biar saya yang jawab, kalau you tak mau tanya saya, mau tanya orang lain, you better get lost!" 

Diego hanya senyum kelat mengangguk dan membontoti jurutera Mekanikal tersebut ke meja di tepi ruang tempat mesin pemampatan habuk tanah liat ditempatkan.  

Bukan pertama kali berhadapan dengan situasi sebegini. Sebagai jurutera yang terdedah dengan hal-hal berkaitan masalah mesin dan memerlukan kaedah 'troubleshooting', hari ini kaedah bertanya soalan untuk mendapatkan maklumat sudah memberi 'trouble' buat Diego. Bukan pertama kali juga Diego berdepan dengan jurutera Mekanikal kilang ini. Kisah membantu beliau mengenalpasti masalah minyak hidraulik mesin beliau yang tiba-tiba cepat menjadi hitam dahulu masih lagi Diego ingat satu persatu 2-3 tahun dahulu. 

Beliau bukanlah seorang yang akan 100% berkongsi hal atau segala data sedia ada sebab ianya membabitkan mesin dibawah tanggungjawab beliau. Apa-apa hal yang boleh menyebabkan beliau kelihatan 'salah' akan menjejaskan kerja beliau. Itu norma. Siapa yang sanggup mengaku kesalahan itu berpunca daripada beliau? 

Jadi, Diego buat rileks. Tunggu dia siap melabel sampel minyak yang diambil dan bertanya satu soalan untuk menghormati pendirian beliau. 

"Jadi, minyak ni bila last tukar?"

Dia menunjuk pada papan putih tempat semua rekod 5 mesin pemampat habuk tanah liat berada. 

"Ok, baru dua bulan lebih, jadi nanti Isnin kami hantar sampel ini dan kami kongsikan laporannya bila dah siap nanti"

Budi bahasa budaya kita kan. 

Diego pon berlalu bersama seorang lagi jurutera muda dan rakan sekerjanya. Di dalam fikiran masing-masing masih terenjat dengan tindakan tidak hormat jurutera Mekanikal tadi. 

"Buat malu bangsa sendiri ja dia tu tadi" rakan sekerja Diego menyampuk dalam kereta sambil menepuk peha Diego bila dia nampak yang Diego agak merenung jauh ke luar tingkap.

"Aku tak kisah sangat la, tapi aku cuma terfikir, kalaulah orang yang dia cakap tu seorang yang mempunyai 'short temper', mau bergaduh punya tadi".

Ya, itu lah sebenarnya pengajaran hari ini. Niat menolong dan membantu kita mungkin disalah erti orang lain sebagai mencari kesalahan seseorang untuk dikambinghitamkan. 

Bagi dia mungkin, 'customer is always right'. 

Tapi Diego akan buktikan secara teknikal, apa sebenarnya yang terjadi nanti. Hal teknikal kita jangan guna emosi. 


Sabtu, Januari 30, 2016

Retro - Tulis-tulis Bolasepak

Sejak mengikuti dengan lebih dekat hal Southern Tiger JDT, aku ada berperasaan yang TMJ mungkin pernah terbaca blog aku. Kah kah kah. Oi, ini wadah dan blog aku, biarla aku berperasaan sebegitu walaupon sebaliknya yang berlaku. 

Tak caya? Ko tengok apa yang JDT dah buat sekarang selain dari beli pemain mahal-mahal dan bayar gaji macam player Eropah. Pembangunan infrastruktur dan 'ambient' bolasepak di negeri Johor dah lain macam sikit. Ada tak yang sama macam yang aku tulis pada tahun 2010 dahulu? *nota, masa tu masih lagi Johor FC ye. Ura-ura JDT pon tak didengari lagi.

http://catatandiego.blogspot.my/2010/10/untuk-bola-bertambah-mutu.html

Jadi boleh la aku 'ek' sikit walau tulisan aku tentang bolasepak yang 3 tahun lebih ke depan berbanding TMJ ni, walaupon artikel itu tak pernah ke mana-mana pon. Yang baca pon mungkin robot google analytics yang menjejak key words ja rasanya. Hahah.

Aku ada lagi tambahan yang mungkin arena bolasepak kita boleh pertimbangkan untuk 3-5 tahun akan datang.

1. Kena ada satu lagi kuasa besar yang dekat di negeri Johor, kuasa besar ini bukan dari segi kewangan, tapi dari segi pembangunan bakat. Sebab apa yang aku nampak sekarang, TMJ ingin membawa hanya satu jenama bolasepak di Johor iaitu JDT. Ianya bagus sebagai permulaan kerana sekarang semua kanak-kanak yang berminat bermain bola memasang impian untuk bermain atas nama JDT, biarlah ianya JDT VII sekalipun (memang ada team ini ye, ikut peringkat umur sekolah rendah). Jadi, ia akan menjadi satu establishment, menjadi pemain pasukan JDT pada peringkat umur sekolah rendah / menengah dan ianya esklusif. 

Tapi bukan itu yang kita mahu pada peringkat jangka panjang, kerana ianya mengecilkan peluang untuk rakyat Johor yang lain untuk bermain bolasepak di peringkat tertinggi. Sebab kepadatan negeri Johor ialah 3.3 juta penduduk menurut census 2010. Berapa ramai sangat pemain negeri Johor boleh masuk JDT III, IV, V dan seterusnya? 

Di sinilah satu, dua, tiga lagi kuasa besar bolasepak dengan pemain berbakat memainkan peranan mereka. Kelab-kelab persendirian peringkat umur kini wujud bercambah selepas JDT diwujudkan dengan banyaknya secara semulajadi. Kenapa? Kerana sudah ada ibu bapa yang berpandangan jauh. Anak mereka mungkin bukan sangat berbakat, tapi mempunyai potensi yang belum digilap sebagai pemain bolasepak, kalau dia harap sekolah yang latih, kau hanya boleh berharap dan kemurungan yang menyusul. Jadi kau setup kelab bolasepak sendiri, dengan sedikit sokongan 'like minded' ibu bapa yang lain. Sekarang kau dah ada kelab sendiri. Biar dana tak kencang, tapi kelab ini kompetitif, mempunyai perancangan tahunan, latihan yang berstruktur, jurulatih yang ada lesen C dan menyertai sebanyak mungkin pertandingan sekitar negeri. Lama-lama budak-budak ini digilap dengan baik dan mungkin membuka mata jurulatih JDT V, VI, VII untuk ajak 'trial'. Kan rezeki tu? Nak diserap masuk JDT, kau buat sombong dan ajak JDT VII lawan friendly. Biar JDT bukak mata sikit, tak ke profesenel perancangan gitu?

Kalau tak masuk JDT sekalipon, itu bukan penghujung penamat karier bolasepak budak yang berbakat dan berpotensi itu tadi, sebab kelab ini mungkin dah mempunyai dana yang baik dan boleh set satu pasukan kompetitif untuk peringkat seterusnya jika mendapat penaja kelas A. Jadi menjadi bayang kepada JDT bukanlah sesuatu yang merugikan, tapi ianya akan merancakkan lagi arena bolasepak Malaysia. 

Cuba bayangkan 'like minded' ibu bapa kat Temerloh, Tumpat, Triang, Teluk Intan, Masjid Tanah dan Tikam Batu juga menubuhkan kelab bolasepak untuk anak mereka juga? Fuh, tak ke meriah. Kita mungkin tak boleh ubah peringkat pengurusan bolasepak negara, tapi bila-bila pon kita boleh lawan depa dengan buat sombong bila budak-budak yang kita latih dah naik ke peringkat yang lebih tinggi melebihi dari apa yang datang dari akademi depa. Emm, FAM ada akademi peringkat umur ke? Macam tak ada je, NFDP bawah KBS & MSN kan?

2. Hadkan tugas persatuan bolasepak negeri kepada tugas sebagai pengelola. Buat sungguh-sungguh tugas mengelola tu dengan betul. Contohnya pertandingan peringkat umur tiap daerah dan negeri dengan sistem liga. Kelola betul-betul, sistem liga memberi 'minutes of competitive playing game' kepada setiap pemain dengan lebih banyak. Bukan main karnival kalah mati. Adil la sikit untuk budak-budak yang dah berlatih bersungguh ni. Buka sistem liga ini kepada semua, tak kisah nak masuk team sekolah atau team kelab. Lama kelamaan, bila berjalan setahun dua, semua yang nak masuk liga ini akan mempunyai perancangan jangka panjang, berlatih awal-awal, cari pemain sungguh-sungguh dan sebagainya. Cikgu yang bawak budak sekolah pon bukan tangkap muat sahaja lagi.

Kalau persatuan negeri hanya buat satu kerja, dia tak la susah payah macam sekarang, nak jaga team negeri main Liga Super, bayar gaji pemain, bank-in EPF, bayar elaun, jaga stadium, kena saman dengan FAM, pembangunan akar umbi (kononnya la), meeting karipap dan air teh, semua dia nak kena kejar. Biar dia buat satu kerja ja. Dan buat bersungguh. *yelah, dah ketua persatuan negeri tu kan orang politik, mana nak dan ligan semua benda. Tak gitu?

3. Tiba-tiba dah pukul 12 tengah malam. Aku rasa cukup pemikiran aku ini untuk 2 tahun lebih ke hadapan berbanding FAM dengan 2 point aku di atas ni dulu. 

Ah, aku belum kupas hal penaja. Biarlah. Nak tengok langkah Dato Vida dulu. Tak nak menyertai bandwagon yang mengulas tapi satu benda pon belum nyata di depan mata.

Khamis, November 19, 2015

Bolasepak Akar Umbi V

Kalau aku cakap, orang lain cakap, pakcik guard cakap, Sokernet cakap, ex-pemain bolasepak maktab cakap, mahupon sapa-sapa yang tiada kredibiliti dan latarbelakang atau pencapaian di dalam bidang bolasepak yang bercakap, mungkin cakap-cakap itu hanya bual bicara biasa sahaja tanpa sapa pon perlu peduli.

Tapi ini Lim Teong Kim yang cakap. Lim Teong Kim yang dah berkelana ke Bayern Munich dan menjadi tenaga jurulatih bolasepak akar umbi Bayern Munich. Zaman Philip Lahm, Matts Hummel dan Thomas Muller masih lagi berjerawat dan belum ambil SPM (atau setara dengannya). Kalau diibarat dunia korporat, Lim Teong Kim ni dah kerja dengan syarikat automotif Mercedes atau BMW dan kini kembali ke negaranya untuk berkongsi pengalaman dan menyumbang kembali dalam industri automotif Malaysia yang hanya ada Proton, Perodua, DRB Hicom sebagai pegeluar kereta tempatan. 

Beza pendedahan mereka terlalu jauh. Pengalaman Lim sudah sampai ke peringkat antarabangsa dan pengalaman pengamal bolasepak Malaysia hanya di peringkat nasional. Perkembangan pemain dilihat dari boleh sepak sikit-sikit sampai dah julang semua jenis piala yang dipertandingkan termasuk Piala Dunia. Paling tinggi piala yang pemain Malaysia dah pernah rasa bagi zaman aku, 80an sampai sekarang ialah Piala AFF / Sukan Sea. Beza tak? 

Jadi apa yang Lim Teong Kim cakap ini ada betulnya. Beliau ialah orang yang berkredibiliti dalam hal bolasepak kini dan sudah dibuktikan dengan pelbagai pencapaian skuad NFDP dalam siri jelajah antarabangsa yang mereka dah buat sejak dua menjak ini. Dia bawa sistem yang baru, yang efisyen, yang berobjektif dan bina skuad muda yang tahu bermain bolasepak sebenar. Teknik dan taktikal yang betul. Bakat yang betul-betul layak untuk bermain bolasepak. Kelab bolasepak Inggeris yang mempunyai skuad sama umur dengan NFDP semua kena kitai. Besar kecik ja depa punya beza. Jadi ada ke benar pemain Malaysia tidak boleh beraksi di luar negara pada peringkat tertinggi? Lim Teong Kim membuktikan sebaliknya, meski komen beliau yang skuad ini masih belum mencapai tahap yang dia harapkan.

Jadi apa yang dia cakap ini perlu dinilai, diteliti dan diambil tindakan susulan. Ada orang masih lagi sibuk dengan isu budaya bolasepak Malaysia, kalau masih lagi nak kekal dengan kesedihan dan kemurungan, kau bekaplah organisasi, jurulatih, pemain yang masih lagi nakkan budaya ini. Ini peluang dan lonjakkan paradigma yang perlu Malaysia buat, aku olah la sikit supaya nampak juga aku ni berfikir atas idea Lim Teong Kim ni.

1. Lupakan hasrat untuk menggaji jurulatih antarabangsa ternama dengan gaji yang besar. Perlaburan besar tu salurkan kepada pembangunan bakat. Ambil khidmat tenaga sedia ada, mulakan dengan skuad B23. Bubar sahaja skuad negara sekarang. Zaman kegemilangan dan sumbangan mereka dah pon berlalu. Sorang dua je pon yang boleh diharapkan dari skuad sedia ada ni. Tak gitu. Buang air liur kena makinja kalu kita tengok depa ni main lagi.

2. Persatuan bolasepak negeri kena ambil peranan untuk pembangunan bolasepak akar umbi. Contoh dan model NFDP dah ada, hanya perlu meramaikan lagi kelab-kelab, penganjuran liga had umur terutamanya 19 dan 21 supaya banyak lagi bakat baru boleh muncul dari liga yang sedemikian. Jadilah pengelola yang bersungguh dalam hal ini. Bukan makan duit budget pembangunan dan buat liga ala kadar. 

3. Dah jalan hat ini, pembangunan umur 7/8/9/10/11/12 pon perlu diadakan. Benda ni tak susah sebenarnya. Galakkan pertubuhan kelab-kelab persendirian, anjurkan tournament dengan kerap dan berkala, guna format permainan yang memfokuskan kepada cara bermain bolasepak yang baik. Yang boleh membantu budak-budak ni paham gaya permainan. 

4. Tambah nilai dan pertingkatkan mutu jurulatih akar umbi. Buat kursus terbuka kepada jurulatih untuk sama-sama mendapat manfaat. Latihan yang sistematik dan ada objektif yang jelas penting untuk pemain bolasepak. Aspek teknikal, fizikal, stamina, kelajuan, agiliti, skill, set piece, possesion dsb. Jurulatih pon ada medium untuk bertukar fikiran dan berkerjasama. 

5. Galakkan dan latih satu kumpulan pengadil muda. Pengadil yang berkelayakan memberi kesan yang baik terhadap mutu penganjuran perlawanan bolasepak. Baru sistematik dan profesional tiap perlawanan. 

Di bawah ialah pandangan dan teguran Lim Teong Kim terhadap keadaan dan situasi bolasepak masakini. 

Yang mana yang tak ada kuasa dan kredibiliti, aku cadangkan kita buat atau hantar anak ke kelab bolasepak kanak-kanak dan bermula dari bawah, had umur 7-12 ke bawah misalnya. Tak perlu ambil semua yang berbakat, objektif kita bukan menang pertandingan, tapi memberi peluang mereka merasa latihan bolasepak yang sebenar dan merasai sendiri perlawanan bolasepak yang kompetitif. Besar impaknya kalau hari ini kalau tiap seorang dari kita dari taman perumahan yang berbeza mengambil inisiatif ini. Sungguh habaq hang.  

Kepada bapa-bapa, ultras-ultras dan peminat kuaci sekalian, mahal sangat ke sepasang stokin, seluar bola, kasut bola kanak-kanak dan shin pad untuk diberikan kepada anak-anak? Mahal lagi ipad atau apa jenis gajet tablet sekalipon.





Rabu, November 04, 2015

Catatan Diego - Nasihat@Pak Budak

Pada umur 35 tahun sebegini, kalau ada sebutir dua wisemen saying yang boleh dikongsi, Diego berasa ada baiknya dikongsi beberapa nasihat berbentuk Abah kepada yang bakal menjadi Abah atau yang dah menjadi Abah atau yang tak sedar diri itu ialah seorang Abah. Nasihat itu berbunyi lebih kurang begini.

1. Ambil bahagian dan tanggungjawab sepenuhnya dalam semua aktiviti bermula dari saat pertama kita mencuba untuk menjadi Abah. Ingat 'buat' ja dah cukup? Doa, niat, harapan yang kita lakukan sejak saat pertama itu juga penting. Nikmat tu beberapa minit itu sahaja. Tapi itu ialah benih yang kita tanam dan akan hidup selama mungkin dengan kita menjadi zuriat kita. Jadi sejak dari awal lagi, kitalah yang mencorakkan kehidupan yang bagaimana untuk anak kita lalui nanti.

2. Semasa sebelum kelahiran, carilah masa, peluang untuk berkomunikasi dalam kandungan. Introduce diri sebagai Abah, tepuk-tepuk, gosok-gosok. Panggil. Tu pon penting untuk depa kenal kita.

3. Sebolehnya, sediakan diri untuk turut serta saat kelahiran. Kalau tak sempat untuk segala jenis agenda kehidupan seharian, tolonglah cari supaya hari kelahiran depa kita ada disisi. Satu untuk kita menginsafi diri dengan melihat sendiri betapa susah payah isteri kita nak melahirkan seorang anak. Dua supaya kita sendiri boleh menyambut sendiri kelahiran anak kita, azan dan iqamat depa sendiri di telinga kanan dan kiri. 

4. Belajar untuk menguruskan anak sejak depa bayi lagi. Ikat lampin, pakai pampers, mandikan, buh bedak, buh minyak panas, pakai barut perut, pakai stokin dan sarung tangan, pakai baju dan seluar, pakai head band (tak pernah berpeluang, hahah), menyuap susu botol, membasuh berak, menyalin lampin, mandikan semula dan semuanyalah. Ini memang sangat penting, sekarang kalau kita geli buat semua tu, kita tak kan berjaya buat nanti untuk Pak / Mak kita bila depa dah tua terlantar saja nanti. Kita jadi kekok, suap nasi air guna sudu pon kita kekok, salin pampers orang dewasa lagi kita tak boleh buat. Jadi, anak-anak inilah training ground kita untuk buat semua tu nanti. Ia akan jadi satu refleks semulajadi bila kita diberi peluang untuk menjaga Pak / Mak kita bila depa dah tak larat untuk urus diri depa sendiri. Itu pon kalau kita sendiri pilih untuk tolong jaga depa la.

Satu lagi, bonding dengan anak, terutamanya dengan anak lelaki ialah dengan sentuhan dan perlakuan. Depa kena ada style layanan dari Abah yang macam tu. Baru depa sendiri tak kan ralat bila dengan Abah depa. Ada sentuhan fizikal dengan depa.

5. Main dengan depa. Apa jenis mainan sekali pon, gelang getah sekali pon, kalau depa dapat dari Abah depa, depa akan rasa hebat. Kalau kita turut serta dalam permainan depa masa depa main dengan adik beradik lain, depa akan lebih galak. Lebih teruja dan lebih seronok. Tak caya, pi join depa main kereta mainan. Sure badan kita ialah trek kereta mainan yang paling depa suka.

6. Jadikan kita sumber inspirasi depa. Tak reti main bola? Buat-buat reti. Tunjuk la apa jenis skill sekalipon, depa tak pernah tahu, jadi bila depa tahu dari kita, depa akan rasa kita hebat, padahal skil timbang bola tak jatuh 20 kali ja pon. Bukan boleh silang-silang kaki ka, buh atas tengkuk ka. Tapi depa dapat dari kita, kitalah rujukan depa. Tahu asas ja pon tak pa ,lain-lain kita belajar kat Youtube. Boleh punya. 

7. Amalkan bersolat jemaah dengan depa. Solat jemaah dengan budak-budak apa depa tahu pasal surah-surah lazim dengan tak lazim? Ini juga training ground untuk kita. Sebab kot-kot pi TESCO bila tengah angkat takbir semayang Maghrib orang tepuk bahu, terkena kita jadi imam, tak la lidah jadi kelu, baca surah jadi bergetar, rakaat tetiba konpius dah 2 ka 3 kan. Itu pon amalan untuk kita berdisplin dengan depa. Sekali-sekala, lantik depa jadi imam antara adik-beradik, juga untuk menerapkan sifat kepimpinan. Anak-anak yang masih kecil, bila depa tengok abang-abang duk solat, konfem depa pon nak join juga. Janji hat ni kena istikhomah. Tak dapat berjemaah Subuh, buat la Maghrib dan Isyak sahaja. Boleh kan? Umur dah 30 lebih, tapi nak jadi imam pon takut-takut, cemana nak jadi bos pada kompeni sendiri? Tak gitu?

8. Jangan hanya tumpu pada bidang akademik, asas akademik tu memang kena tumpu. Tapi jangan hadkan pada baca buku dan belajar sahaja. Buat aktiviti luar, kita tak tahu apa depa minat, bukan paksa untuk depa minat apa yang kita minat. Cuba 2,3.4 aktiviti berlainan, tengok yang mana depa enjoi buat. Bila dah enjoi, senang kita nak buat perancangan dan plan masa lapang depa. Kekadang ada yang tak perlu kos banyak pon. Main catur contohnya. Berapa ringgit sangat sepapan chess tu?

9. Layan isteri kita sebagaimana sepatutnya kita layan seorang perempuan. Depa akan ambik itu sebagai panduan macamana depa akan layan seorang perempuan bila depa besar nanti. Mungkin nampak macam jauh sangat. Tapi kita nak depa jadi lelaki gentleman, kita dulu perlu jadi segentleman mungkin untuk isteri kita. Baru depa tahu dan faham cemana sepatutnya melayan seorang perempuan bila dah besar nanti.

10. Tegas pada arahan dan panduan. Tegas dan cengei adalah perkara berbeza. Marah tak tentu arah bukan tegas. Maki dan naik suara dan kata-kata tambahan bukan tegas. Tegas biar bertempat dan bukan pada benda yang kita nak mudah sahaja. 

11. Buat kerja rumah, ringankan beban isteri. Lama-lama anak lelaki kita juga anak turut serta membuat kerja rumah. Lelaki yang suka mengemas, membasuh pinggan, memasak dan menjahitkan idaman seorang perempuan. Bila kita buat, kita ada advantage untuk kita suruh depa tolong buat. Kenal pasti had umur dan apa yang depa dah boleh buat, jangan la depa baru 3 tahun dah suruh lipat baju. Belajar bagi arahan dan tugasan. Reward dengan pujian dan terima kasih. Tak susah pon.

Cukup la kot 11 poin ala Mahathir ni. Yela, baru 10 tahun ja jadi Abah. Hangpa rasa macamana? Boleh pi tak ni?

Amani EVO

Tajuk nak evo jugak. Konon Polis Evo la.

Tu ja nak tulis. Lain-lain ialah gambar evolusi mereka dan perbandingan antara satu sama lain. 

Sewaktu hari kelahiran.

Hampir 6 bulan

  Setahun jagung.

2 tahun lebih sikit.

Bolasepak Akar Umbi IV

Dreamstar Tournament - Piala Amby Hex 2015 (31 Oktober 2015)

Sebenarnya JDT menang Piala AFC tu tak la mendatangkan apa-apa keterujaan sangat bagi kami. Game malam tu pon kami tengok sedikit sambil lewa ja.

Sebabnya kami lebih teruja pada belah siang hari yang sama dalam Dreamstar Tournament Amby Hex Cup bila Ammar dan team SJFC U8 berjaya menduduki tempat ketiga kumpulan dan layak ke peringkat separuh akhir. Dalam 9 perlawanan, SJFC U8 menang 6 perlawanan (1 bye), 1 seri dan 2 kalah. Ammar menjaringkan 4 gol, 2 dari Airil dan 1 gol oleh Amani dan Khairi. Adib pula hanya melepaskan 4 gol.

Walaupon kalah di separuh akhir, ia ditebus dengan kemenangan penuh saspens pada perlawanan kedudukan 3/4 dimana kedua-dua pasukan terikat 0-0 dan bila penalti juga terikat seri 1-1.

Pengadil kata kita lambung syiling, tentukan siapa yang ambil sepakan dan siap yang menjaga gol untuk last penalti. Pihak lawan mengambil sepakan tetapi berjaya diselamatkan Adib. Melompat semua dengan kemenangan itu.





Keputusan Penuh:
SJFC (2-0) Dreamstars A
Ammar - 1 gol
Amani - 1 gol

SJFC (3-0) SJFC B

SJFC (0-0) AMC Academy

SJFC (1-0) Kangkar PTSA
Ammar - 1 gol

SJFC (0-2) Putra Kids

SJFC (1-0) Harimau A
Airil - 1 gol

SJFC (0-2) Harimau B

SJFC (1-0) Kangkar PTSB

SJFC (3-0) Dreamstars B
Ammar - 2 gol
Khairi - 1 gol

Semi Final 
SJFC (0-2) Harimau B

3/4 Placing
SJFC (0-0) AMC Academy (penalti 1-1)
Menang sudden death penalti (save penalti).

Pasukan Aqil di SJFC U10 pula mendatangkan keterujaan yang berlainan caranya. Depa dah main dekat 4 ke 5 perlawanan tapi pasukan depa belum lagi dapat menjaringkan gol yang betul-betul jaringan gol seorang penyerang. Gol terdahulu dari satu lontaran ke dalam yang ditepis masuk keeper dan satu lagi ialah satu tendangan gol yang tidak dikawal kemas keeper lawan. Jadi bila tiba satu perlawanan yang depa betul-betul menguasai perlawanan, banyak cubaan depn gol yang bersimpang-siur juga mendatangkan kegeraman dan arghhhh-apesal-susahnya-diorang-ni-nak-score??, akhirnya dapat juga team itu menjaringkan 3 gol padang dari sebanyak-banyak peluang yang ada.

Perjuangan depa agak memberangsangkan dengan 5 menang (2 bye), 4 seri dan 2 kalah tapi hanya mampu di kedudukan ke-6 dari 11 pasukan.




Team SJFC U12 pon di kedudukan ke 6 dalam kumpulan.

Walaupon main runcit-runcit dan bukan ditahap tertinggi, ini ialah pengalaman dan kenangan bagi anak-anak dalam arena bolasepak kanak-kanak mereka. Depa akan ingat semua ini terutamanya perasaan bermain di atas padang secara kompetitif. Terima kasih buat semua tunjuk ajar daripada jurulatih, pengurusan SJFC dan semua ibu bapa yang memberi komitment tidak terhingga dari awal pagi kejohanan sehinggalah tamat majlis. 

#SouthernJuniorFC

Selasa, September 08, 2015

Bolasepak Akar Umbi III

Liga GSA 2015 9 sebelah U12

Anjuran Glory Soccer Academy, yang berpusat di Taman Bukit Jaya, Tiram. 

SJFC sudah bersedia sejak pukul 6.30 pagi. Berkumpul di McD UTM Skudai. Zhariff, Aiman, Akmal, Amani dan Adib bersama Pn Nora. Manakala aku membawa Aqil dan Ammar. Sedikit terkejut sebab hanya Pn Nora yang menjadi pengiring kalau aku tak ikut serta. En Nizam hanya menunggu untuk perkumpulan pemain sahaja. Encik Khai hanya akan datang nanti kemudian. Jadi ayat yang sama macam sebelum ini. "Nanti abang la tolong bawak team tu ye". 

Bila dikira semua pemain, 2-3 lagi yang akan datang kemudian, ada la 10 pemain semuanya. Jumlah dibenarkan ialah 15 pemain. Dan seorang keeper pon kami takde. Bila ditanya, sorang pon tak berani sukarela menjadi keeper. Glove tak ada, seluar panjang pon tak ada. Mujur ada jersi lain warna. 

Satu lagi kejutan ialah pemilihan lokasi perlawanan. Dibuat di padang bolasepak awam. Yang hanya ada satu khemah urusetia, padangnya bersaiz sederhana tapi tiang gol saiz luar biasa. Jumlah luas kawasan berpasir lebih banyak dari kawasan berumput. Tandas pon tak ada. Tempat redup banyak tapi pepandai sendiri untuk membawa tikar dan khemah untuk keselesaan peserta. 

Pn Nora selesaikan segala urusan air, pisang, ais, glukos dan penyertaan. Aku hanya tolong depa memulakan pemanas badan dan menetapkan posisi permainan. 

Hazim bila dipujuk baru lah sedikit berani nak jadi keeper, tapi dia bukanlah keeper semula jadi, masih lagi ingin menjadi pemain padang. Belum digilap dan betul-betul 'in' dengan karektor sebagai keeper. Teknik tangkapan aku tunjuk 2-3 jenis bagi dia terbiasa. Tangkap dengan 2 tangan. Tangan di belakang bola. Tangkap bola bukan cekup macam tangkap belalang. 



Jadual sampai masa kami tengah memanaskan badan. Perlawanan ke-empat, pihak lawan pula ialah Youngstar A dan GSA#6. Youngstar kami kenal sebagai johan kejohanan karnival SJFC bulan 2 haritu. GSA#6 pula pasukan tuan rumah, salah satu dari 3 pasukan tuan rumah kejohanan. 

Sebelum perlawanan bermula, mujur ada pemain yang sudi meminjamkan glove beliau. Jadi keeper kami lebih konfiden untuk berada di atas padang. Strateginya ringkas, jangan bagi pihak lawan buat cubaan merembat ke arag gol. Jadi keeper tidak diperlukan untuk membuat saves yang susah. Tak payah sepak bola tinggi, biar Aiman yang ambil sepakan gol. 

Penyerang Zhariff dan Aliff. 

Perancang tengah Akmal dan Haziq. 

Pertahanan Ammar, Aiman, Adib dan Aqil. 

Keeper Hazim. 


Kesudahannya.

Perlawanan pertama dengan GSA#6, SJFC menang 1-0 hasil jaringan Zharif dari pergelutan di depan gol dibantu dengan percubaan dari Aqil.


Perlawanan kedua dengan Youngstar A, SJFC kalah 1-5. Juga dengan jaringan dari Zharif. Walaupon Marzuki ayam tambatan Youngstar dikawal rapi, Ammar tapi rakan-rakan beliau yang lincah tetap dapat mencari peluang menghasilkan gol. SJFC naib johan kumpulan D dan layak ke suku akhir. 


Dalam suku akhir, SJFC bertemu JK Sungai Tiram. Dalam perlawanan ini keadaan padang sangat buruk akibat hujan lebat pada waktu tengahari. Kawasan depan gol bergenang dengan air. 

Tambah buruk bila kekasaran berlaku kepada penjaga gol bidan terjun, Hazim. Dia diterjah keras pihak lawan, berdarah lutut. Teriak habis penjaga gol kami. 


Pengadil tidak memberikan faul malah membenarkan gol yang dijaringkan. Sangat banyak keputusan yang meragukan pengadil sehingga En Khai dan En Nizam beberap kali diberi amaran di tepi padang, sehingga diugut untuk diarahkan keluar padang, tapi pengadil sendiri tak punya sebarang kad berwarna pon di dalam kocek. Sepanjang perlawanan dipertandingkan, tiada kad yang diberi sebab memang tiada kad disediakan dan pengadil terdiri dari induk urusetia sendiri yang menghantar 3 pasukan bertanding. Hemm, agak fishy kan? 

Keputusan berakhir dengan kekalahan 1-3 di tangan JK Sungai Tiram yang kemudiannya menjadi juara kejohanan mengalahkan GSA#4. 



SJFC pulang tangan kosong tapi penuh dengan pengalaman di dada. Harapan untuk pasukan diperkuat 4-5 pemain dari skuad 1MCC juga pudar sebab mereka tiba lewat dari jangkaan. Semuanya selesai dan pengalaman yang ditimba tiap pemain adalah berharga. Kami pulang tewas tapi berisi dengan pengalama dan kenangan yang sukar dicari jika hanya berlatih tanpa apa-apa pertandingan. 

Jadi, pengalaman membawa pasukan yang masih lagi muda dengan pengalaman dan tidak mempunyai asas bolasepak yang tinggi adalah sangat berharga buat aku dan SJFC. Hanya permainan kompetitif boleh membina keyakinan pemain muda ini. 

#SouthernJuniorFC

Isnin, September 07, 2015

Tulis-tulis : Siapa pengganti Dollah?

Menjadi jurulatih bolasepak bukan kerja senang. Menjadi jurulatih bolasepak kepada kanak-kanak berbeza dengan menjadi jurulatih bolasepak remaja dan berbeza pula dengan menjadi jurulatih skuad senior. Ini ialah 3 zaman berbeza dengan pendekatan psikologi yang berbeza. 

Kanak-kanak perlu ruang, perlu rutin, perlu displin, perlu asas yang sangat baik dan perlukan authoriti. Cuba ko biar satu skuad kanak-kanak main sesama sendiri. Segala peraturan depa akan langgar, yang terer sikit akan berlagak terrer. Yang mulut tak ada insurans akan main guna mulut lagi banyak dari sepak bola, yang tak reti main sikit akan ke tepi, yang tahu berhuhuhu akan hanya berhuhuhu sampai abis. Itu cara kanak-kanak main bolasepak kalau tak ada seorang jurulatih yang tegas, keras, berpandangan jauh dan berhati kering. Style dia, dalam padang hanya kena dengar cakap saya, mak bapak kamu pon tak boleh campur, kalau nak main bola dengar arahan saya, kalau tak nak dengar pergi balik duduk rumah diam-diam. Dapat jurulatih macamni, satu skuad akan ada displin, boleh dibentuk dan boleh bermain dalam satu pasukan. 

Bila naik skuad remaja belasan tahun, bila semua pemain ini sudah ada skil kemahiran yang sederhana tinggi, mereka hanya perlukan dorongan. Mereka dah ada semangat sepasukan yang baik kalau dibina satu pasukan dalam tempoh yang agak lama. Kau dah boleh harap 3-4 orang yang ada displin, perancangan, pendirian dan mahu bermain bolasepak. Nakal mereka bertempat tapi masih perlu pemantauan. Tak ada pemantauan depa akan hisap rokok atau vape, tak jaga pemakanan, main wechat dengan makwe dan tak jaga jadual rutin seharian. Jurulatih dah banyak kena main style nasihat. Tunjuk ajar dan dorongan. Salah kena hukum tapi betul kena puji. Ada ganjaran kalau kena target. Sifat satu pasukan juga kena dimantapkan. 

Dengan skuad senior, depa ialah pemain bolasepak bergaji bulanan dari majikan. Depa bukan lagi bermain bolasepak untuk negara, tapi ia ialah sumber rezeki. Main bagus, sumbat gol, ada cleansheet, dapat imbuhan tambahan. Tapi paksi mereka ialah majikan pasukan mereka. Tidak tertanding elaun bermain di peringkat negara dengan gaji semasa mereka. Kalau best main peringkat negara sekalipon, itu ialah insentif melancong melawat negara luar. Tapi apalah sangat pergi ke Kota Singa atau Jakarta mahupon Bangkok sebab itu jelah taraf permainan kita. Jadi kat sini jurulatih negara bukan lagi perlu sangat menjadi jurulatih. Mereka mesti berfungsi sebagai fasilitator untuk memastikan setiap pemain boleh bermain dalam satu pasukan. Jadi macamana? Perlu seorang yang tegas, punyai sifat perjuangan terhadap negara, misi bermain bola ialah maruah negara bukan lagi main untuk gaji. Perlu ada seorang dua senior yang kepalanya masih lagi elok. Sebagai abang dalam pasukan. Sebagai suara backup kepada jurulatih dan sebagai  pengaman. Yang boleh slow talk kepada pemain muda yang gugup, angkuh, dan rambut kena ada style. Bukan kepala yang dia sendiri buat rambut lebih dari siap sedia nak main bola. Depa dah ada gaji, mungkin lebih mahal dari jurulatih negara, dia rasa penting untuk simpan kakinya lebih untuk majikan dari negara.  Jurulatih skuad senior perlu masa untuk membina pasukan bukan 3-4 hari sebelum berlawan baru berkumpul dan setting formasi dengan pemain yang asal ada ja. Perlu menaikkan semangat dan tiap perlawanan melibatkan negara harus diterapkab misi seperti ke medan perang. Lupakan segala yang berkait dengan pasukan sendiri. Bukan ambik misi perlawanan negara sebagai pelengkap jadual di antara perlawanan. 

Jadi ada asas kepada pandangan yang corak permainan bolasepak Malaysia perlukan DNA, ya ia perlu diterap dari kecil. Di peringkat kanak-kanak. Tahu bila perlu main dari bawah, pergerakan tanpa bola, marking atau zonal marking, hantaran pendek dan kawalan permainan. Jadi bagi aku, bukan Dollah seorang yang memikul tanggungjawab pasukan negara. Semua jurulatih di peringkat awal perlu tahu cara dan asas membentuk satu pemain yang ada sahsiah, personaliti, agresif dan proaktif. Bukan kita boleh kata kau dah lama main bola untuk setiap peringkat, kau dah layak main untuk negara. Kita yang perlu pastikan tiap pemain yang melalui zaman kanak-kanak itu tahu dan paham apa fungsi mereka dalam bolasepak. Jadi bila dia kena maki dengan jurulatih dia walupon di peringkat senior, walaupon gaji jurulatih dia lagi kecik gaji dari dia, dia akan tetap akur dan ikut kata jurulatih dia. Ini baru kita boleh kata pemain Malaysia sudah ada DNA bolasepak Malaysia. 

Ya. Sifat hormat kepada jurulatih dan jersi negara. Bukan angkuh bongkak tak bertempat bila sudah dilabel star dan muka masuk majalah Mangga. Bila main masih individu dan style masih lagi macam kanak-kanak.

Jadi, ibu bapa yang ada anak yang berminat bermain bola, kita sebenarnya ialah Dollah Salleh kepada tiap bakal pemain negara Malaysia. Sebab peribadi dia kita boleh jaga dari dia kecik hinggalah dia tua beranak-pinak. 

P/s: Satu hari nanti, but ini akan ada sulaman nama depa dan dibayar kepada depa untuk memakainya. 

Jumaat, Mei 01, 2015

Tulis-tulis : Merujuk kembali surat terbuka Dr M kepada Tunku Abdul Rahman

Dr M dahulu dan Tun M sekarang tiada banyak bezanya. Kalau perkataan Tunku itu ditukar kepada DS Najib, surat ini masih relevan untuk beberapa perkara cuma isu/kes yang dipetik sedikit berbeza. 

***************************

Patek berasa dukachita kerana tujuan patek membuat kenyataan kepada akhbar telah di-salah faham oleh Y.T.M. Tunku. Sa-benar-nya tujuan patek sama-lah juga dengan tujuan Tunku, ia-itu untok menyelamatkan negara ini daripada bahaya yang menganchamkan-nya.

Pendapat-pendapat Tunku berasaskan kepada cherita-cherita yang di-bawa kepada telinga Tunku oleh orang-orang yang mengelilingi Tunku yang chuma suka mencherita kepada Tunku perkara2 yang mereka fikir Tunku suka atau patut dengar sahaja. Benarkan-lah patek bercherita berkenaan dengan keadaan, fikiran dan pendapat2 rakyat yang sa-benar-nya supaya Tunku dapat faham tujuan patek membuat kenyataan yang di-tegor itu.

Tunku biasa cherita kepada patek sendiri ia-itu Tunku mengelakkan rusohan dengan menahan hukum bunoh yang di-jatohkan kepada 11 orang subversif China. Sabenar-nya tindakan Tunku ini-lah yang mengakibatkan rusohan dan kematian yang berpuloh kali banyak yang terjadi semenjak 13 Mei.

Tunku selalu “bertolak-ansor,” ia-itu memberi kepada orang2 China apa yang mereka tuntut. Punchak tolak-ansur ini ia-lah pembatalan hukum bunoh tadi. Pembatalan ini menimbulkan kemarahan yang besar oleh orang2 Melayu.

Orang2 China pula menganggap Tunku dan Kerajaan Perikatan sebagai pengechut dan lemah dan boleh di-tolak ke-sana ke-mari. Sebab itu orang2 China tidak takut lagi menolak Perikatan dan orang2 Melayu pula tidak ingin kepada Perikatan. Sebab itu orang2 China dan India membuat kurang ajar pada 12 Mei kepada orang Melayu. Kalau Tunku biasa di-ludah di-muka, di-maki dan di-tunjok kemaluan, boleh-lah Tunku faham perasaan orang Melayu.

Orang2 Melayu yang Tunku fikir tidak memberontak telah-pun menjadi gila dan mengamok sehingga mengorbankan nyawa mereka dan membunoh orang yang mereka benchi kerana Tunku terlangsong bagi muka. Tanggong-jawab tentang mati-nya orang2 ini, Islam dan kafir, terpaksa di-letak di-atas bahu pemimpin yang salah pendapat.

Patek mohon ma’af tetapi patek ingin sampaikan perasaan orang-orang Melayu kepada Y.T.M. Tunku. Sabenar-nya, orang2 Melayu sekarang, baik PAS baik Umno, betul2 benchi pada Tunku, terutama orang2 yang di-hina-kan oleh orang China dan yang kehilangan rumah-tangga, anak-pinak, saudara-mara kerana tolak ansur Tunku.

Mereka kata Tunku chuma ingin di-kenal-kan sebagai “The Happy Prime Minister” walau-pun ra’ayat menderita. Mereka tahu bahawa dalam keadaan dharurat-pun Tunku ashek bermain poker dengan kawan2 China Tunku. Budak2 polis mencherita yang Tunku mengguna-kan kenderaan dan eskot Polis untuk menchari kaki poker.

Sa-balek-nya pula orang2 China tidak ada sedikit-pun hormat kepada Tunku. Mereka berkata Tunku “na├»ve” dan tidak ada kaliber. Ada lagi yang mereka kata yang tak dapat patek sebut-kan. Kata2 itu datang dari semua golongan orang China, dari intelek sa-hinggga China becha.

Pada masa lewat2 ini lagi satu kesan burok telah timbul. Orang2 Melayu dalam Civil Servis, dari Perm. Sec. ka-bawah, pegawai2 tentera dan polis Melayu tidak ada lagi kepercayaan dan respect kepada Tunku. Patek tahu kebanyakan mereka sokong PAS dalam undi pos. Pegawai Melayu dari

Polis, tentera dan askar biasa maseh patoh kepada kerajaan oleh kerana arahan sekarang sesuai dengan kehendak mereka sendiri. Kalau Tunku membuat apa2 yang tidak di-ingini oleh mereka, patek perchaya mereka tidak akan menurut kata Tunku.

Patek tahu Tunku takut kominis mengambil kesempatan kalau timbul kekachauan dalam negeri. Patek lebih takut kalau kerajaan mula “lose control over the armed forces”. Sa-kali ini terjadi, keadaan tidak akan puleh semula. Sampai bila-pun kerajaan civil mesti tundok kepada tentera. Tunku biasa jadi “Happy Prime Minister” tetapi orang yang akan turut ganti tak akan merasai “happiness” apa2.

Patek harap Y.T.M. Tunku jangan-lah menipu diri dengan berkata “satu hari mereka akan bershukor dengan perbuatan saya”. Ta’akan yang sa-orang itu selalu betul dan yang banyak selalu salah. Patek ingin sampaikan kepada Tunku fikiran ra’ayat yang sa-benar, ia-itu masa telah lampau untuk Tunku bersara dari menjadi perdana menteri dan Ketua Umno.

Patek faham betul2 kuasa yang ada pada Tunku dan patek masih ingat nasib Aziz Ishak. Tapi patek tak akan jadi sa-orang yang bertanggong-jawab kalau patek tidak terangkan apa yang patek sebut-kan. Kalau di-penjara sa-kali-pun patek terpaksa kata apa yang patek telah kata-kan.

Patek di-beritahu ia-itu Tunku berkata patek Pakistani. Patek tidak perchaya kata2 orang kerana patek tahu Y.T.M. Tunku tidak akan berkata begitu. Patek-lah yang selalu mempertahan-kan Tunku apabila orang2 PAS kata yang Tunku anak Siam yang ta’ berhak memimpin orang Melayu. Jadi Tunku juga akan mempertahan-kan patek walau-pun maseh ada dua sudu darah Pakistani dalam tubuh badan patek.

Patek sa-kali lagi mengulangkan ia-itu kenyataan yang patek buat itu ia-lah menchegah kejadian yang akan menambah perasaan benchi orang2 Melayu terhadap kerajaan dan menggalak-kan orang2 China menjatohkan lagi maruah orang2 Melayu. Rusohan yang lebeh besar akan berlaku jika ini di-

biarkan. Tentera sendiri tidak akan dapat di-kawal. Dan lagi kalau T.H. Tan dan dewan orang China boleh membuat kenyataan, kenapa ketua2 Umno tidak boleh?

Patek menulis surat ini dengan hati yang ikhlas dan harapan bahawa Y.T.M. Tunku akan bacha surat ini dengan sa-penoh-nya sendiri. Patek berdo’a ke-hadhrat Allah subhanahuwataala supaya di-buka hati Tunku untok menerima kenyataan yang sa-benar ini walau-pun pahit dan pedas.





Selasa, Mac 03, 2015

Catatan Diego - Nasihat@Jurutera Muda

Kalau diberi peluang untuk memberikan beberapa keping nasihat kepada semua bakal graduan kejuruteraan sedia ada sekarang, berikut merupakan sumbangan yang boleh Diego turunkan buat semua.

1. Mula dari bawah. Belajar dengan tengok, perati, ambil nota, cerna, tanya dan persoalkan setiap bentuk pelajaran. Kalau boleh, buat semula sendiri dari kosong. Bukan guna 'template' sedia ada. Huraiannya agak panjang, tapi contohnya begini. Kita tak tahu bagaimana untuk mengira keefisyenan penggunaan minyak pelincir sintetik terhadap mesin kotak gear. Jurutera senior menunjukan satu persatu hal-hal yang perlu diambilkira, dalam satu template excel. Untuk belajar dengan berkesan, kita tidak akan minta salinan template tersebut, tapi buat semula mengikut pemahaman kita dan tunjukkan pada dia hasilnya. Kemudian baru mintak salinan asal sebagai perbandingan. 

Bila buat dari awal menggunakan pemahaman sendiri, barulah kita belajar dan guna otak sendiri untuk berfikir dan menggunakan apa yg kita tahu dan guna pakai semula. Dari situ kita betul-betul belajar. Ya, mulalah dari kosong. 

2. Pengalaman tidak datang segedebuk, jatuh atas riba semua sekali. 

Kita nak turut serta dalam bidang yang penuh teknikal yang memerlukan kita menggunakan kepakaran dan pengalaman dan pengetahuan kita. Supaya orang merasa kita power sebagai seorang jurutera. Tapi pada masa sekarang, kita baru sahaja bermula. Pakar pon belum, pengalaman pon tak cukup, pengetahuan hanya pada peringkat teori. Jadi, tuntutlah, carilah, bentuklah segala kerja seharian kita supaya pengalaman, pengetahuan dan kepakaran kita dapat diasah dan dibaja sedikit demi sedikit. Malangnya, ramai graduan baru merasa apa yang depa dapat itu terlalu sedikit bahagian teknikalnya, padahal dia baru memasuki bulan ke-3 alam pekerjaan. Sabar sikit boleh tak? 

3. Rancang ke hadapan. Setiap hari bekerja, pandanglah ke hadapan apa yang ingin dicapai, disiapkan dan diinginkan. Penuhi yang itu, buka peluang untuk mendapat tugasan lain, tambahan tugasan supaya kita belajar dengan lebih cepat. Bukan tunggu orang tanya, macamnana progress tugasan minggu lepas, bulan lepas dan sebagainya. Kalau tak dapat cara menyelesaikan tugasan, angkat tangan dan mohon bantuan atau tunjuk ajar, bukan tunggu 'dateline' terlepas baru nak bagitahu itu tak dapat, ini tak dapat. Memberi alasan atas ketidaksiapan kerja ialah tindakan jurutera yang lemah. Jurutera pada asasnya akan berfikir untuk menyelesaikan masalah dan bertindak, jadi dengan lambat berfikir dan bertindak tidak akan melatih diri kita menjadi jurutera yang baik. 

4. Sentiasa bertanya dan memberi pandangan. 

Hanya dengan bertanya dan memberi pandangan kita akan menjadi lebih baik. Dari segi penggunaan teori, formula dan melatih otak supaya lebih 'articulate'. Seorang jurutera harus boleh memberi penerangan seringkas dan semudah mungkin dengan penggunaan contoh atau kes yang boleh difahami golongan biasa. Penggunaan frosa teknikal perlu bertempat dan tidak terlalu rumit. Selalunya ianya harus boleh dilakukan dengan lancar dalam dwibahasa. Bahasa Melayu dan Inggeris. 

Dengan tidak bercakap dan menyendiri, perkembangan menjadi jurutera akan menjadi terlalu lambat dan perlahan sebab kita tidak banyak mempraktikkan apa yang kita fahami dan belajar. Orang tidak dapat menilai tahap kecekapan kita kalau kita tidak berkomunikasi. Bukan boleh bergantung hanya dengan hasil kerja. 

5. Paling penting. Sikap dan perangai diri sendiri. Sentiasa positif atas semua halangan dan rintangan. Ambil peluang sebanyak mungkin untuk belajar dan menimba pengalaman. Jangan cepat putus harapan dan cekal. Telan yg pahot, ambil iktibar atas segala kelemahan dan perbaiki supaya lebih efisyen. Re-engineer diri kita supaya boleh menghadapi semua cabaran dan rintangan yang ada. Bukan menyerah kalah sebelum mencuba atau baru sekali mencuba. 

Kepakaran hanya datang bila kita dah buat sesuatu atau berada dalam satu bidang perkar itu selama sekurang-kurangnya 10,000 jam. Kalau sehari 2 jam diperuntukan untuk melatih kepakaran tersebut, kita perlukan berapa hari untuk menjadi pakar dalam hal itu? Hah, ko jurutera, ko kira la. 









Isnin, Februari 23, 2015

Bolasepak Akar Umbi II

"Coach, saya nak main atas boleh?"

"Coach, ala, bagi la saya main atas, saya nak jadi striker"

"Saya nak main dulu, taknak main second half"

"Tak mo la lawan dorang, diorang kuat, mesti kalah nanti"

".....angguk..." Takde respon lain. 

"Bila kita nak main lagi ni?"

"Yeaaa, menang!!!" Bila keputusan menang walkover diumumkan. 

Ye, pada mulanya, aku ialah seorang bapa penjaga anak-anak yang menyertai kelab bolasepak yang masuk karnival pertandingan 7 sebelah. Tapi bila masuk bab penyediaan pemain dan pasukan, nampak macam tak ada sapa yang betul-betul tolong mengurus pasukan ini. Coach sebenar tak dapat hadir, coach ganti pula ialah seorang bapa pada anak yang juga dari kelab yang sama tapi bermain untuk satu lagi pasukan lain. Pasukan yang mana semua pemain itu dah boleh bermain dengan baik dan faham fungsi dan peranan masing-masing. Jadi dia pon berbelah bahagi dan buat kerja separuh hati. 

Pasukan anak-anak ini pula, nak panaskan badan pon kena ditunjuk, kalau harap depa buat sendiri, maka hati kita yang panas nanti. Itu belum masuk bab bermain sebagai satu pasukan. Skill paling tinggi depa ada mungkin hanya menyepak bola dengan betul. Menahan bola, mengelecek bola, merampas bola, menendang jauh serta lain-lain skill masih ditahap biasa-biasa. 

Jadi, aku tonjolkan juga penglibatan dari hanya menjadi bapa penjaga kepada bapa penjaga yang terlebih prihatin dan lebih mengambil bahagian dalam pasukan anak-anak ini. Jadi, perlawanan pertama, aku tolong keluarkan anak-anak sendiri dan ganti dengan pemain yang belum dapat peluang bermain. Dan coach ganti terus pesan. 

"Next game nanti abang bawak la dorang". Tak pasal pasal. Yang lebih merisaukan ialah tiap ibu atau bapa yang menghantar anak mereka bermain mesti mengharap anak mereka berpeluang bermain di atas padang, jadi aku juga akan berbelah bahagi nak pilih siapa sebagai pemain utama. 

Tapi bila melihat depa sendiri dapat peluang berada atas padang, sama-sama menyepak bola dengan pasukan yang lebih tinggi skill mereka, dapat merasa sendiri pengalaman perlawanan konpetitif walaupon baru masuk darjah 1 dan lawan pula darjah 4, itulah perasaan yang tak dapat diberi oleh mana mana kelas atau bilik darjah.

Paling manis, bilamana depa menang satu perlawanan dan semua melompat gembira bila dengar wisel penamat. Memang kegembiraan jelas terpancar. Sambutan bila rakan sepasukan menjaringkan gol juga sesuatu perasaan yang susah nak digambarkan. 

Rasa sedih bila nampak gol dibolosi. Semua itu adalah untuk depa belajar. Ada kelihatan rasa frust sebab senang sangat pihak lawan menjaringkan gol. Banyak betul yang depa dapat rasa untuk seharian karnival ini berlangsung. 

Dengan harapan yang paling miminum, hajat menjadi coach tak bertauliah masa depa tengah berlawan ialah hanya berharap depa dapat menyekat pergerakan lawan dari menuju ke arah gol. Itu sahaja. 

Nak harap depa melepasi benteng pihak lawan memang sukar sebab kawalan bola yang belum masih kemas dan depa ini bertubuh kecil belaka. Sekali pihak lawan gelecek, 4 orang terus lepas. 

Juga menjadi coach, berapa banyak yang dibolosi tak diambil kisah langsung. Hanya betul-betul dikira bila dah abis perlawanan dengan menyemak keputusan rasmi. 

Nasib menyebelahi mereka bila 3 pasukan dalam kumpulan tidak hadir dan mendapat bye. Bila menang satu perlawanan dah cukup untuk depa masuk separuh akhir dan membawa balik pingat. Cumanya kedudukan 3/4 diakhiri dengan kekalahan 0-9. Banyak jugak tu. Hahah. 

Good job Southern Junior FC. 





Jumaat, Februari 20, 2015

Bolasepak Akar Umbi

Pada usia hampir 35 tahun di tahun 2015 ini, rasanya sudah cukuplah untuk peminat bolasepak Malaysia seperti aku untuk memperkatakan dengan lebih atau tambah kuah lagi berkenaan peranan institusi seperti FAM atau KBS atau mengharap semua pemain profesional bolasepak Malaysia ni membawa satu nafas baru atau harapan kepada masa depan bolasepak negara. Tak kan ada perbezaan bagi beberapa tahun yang mendatang aku rasa.

Jadi, sebagai seorang peminat bolasepak, peranan seorang aku di sini mungkin lebih cerah kalau bertindak sendiri untuk cuba mengubah masa depan untuk 10-15 tahun akan datang. Aku ada anak lelaki berusia 9, 8, 5 dan 2 tahun. Depa suka atau tidak, usia depa ini masih lagi ada harapan untuk dibentuk dan diterap asas bolasepak sebenar. 

Kalau sekarang kita marah pemain Malaysia tahan bola tak lekat, clear bola ikut arah kepala lutut, hantaran pendek berterabur, gelecek bola tertinggal kat belakang, tanduk lelap mata, rembat depan gol tertukar dengan tiang gol ragbi, bila bola di pihak lawan player tak marking elok-elok, keeper tangkap belalang dan macam-macam lagi. Nah, sekarang kau sendiri ada anak lelaki 4 orang untuk kau sendiri bentuk menjadi pemain yang kau sendiri idam-idamkan. Cemana, ada berani? 

Ada kau berani suruh anak sendiri lari keliling padang 5 round tanpa henti tanpa rasa belas ihsan? Kalau kau rasa menyirap bila dia tahan bola macam jahanam, boleh kau suruh dia pumping 20 kali? Bila suruh main passing kau suruh dia buka mulut mintak bola dia tak menyahut, kau ada rasa nak tendang. Baru sejam berlatih atas padang dia dah terbaring penat dan kau sendiri tak sanggup suruh dia buat lagi. Inilah cabaran bolasepak akar umbi. Cabaran kalau melatih anak sendiri. Tapi anak orang lain kau boleh maki sambil makan kuaci. Yep, Safee Sali tu pon anak orang juga. Amacam? Ada lagi hasrat nak maki saja? Safee Sali kata, kalau power sangat, cuba la main sendiri. Aku kata, kalau ko power sangat kritik orang sana sini, cuba la didik sorang dua pemain yang boleh jadi lagi power dari Safee Sali tu. 

Dari situasi sebegini, aku serapkan dua anak lelaki aku ke kelab bolasepak persendirian. Yang ditubuhkan oleh ibu bapa yang mahu anak-anak depa mendapat pendedahan bolasepak akar umbi dengan lebih baik. Kalau harap latihan di sekolah, banyak kekangannya macam sekolah tak cukup guru yang komited melatih, yang berminat main bola tak terpilih sebab guru pilih bulu, latihan tak tentu, kadang-kadang kensel latihan sebab tarikh bertembung dengan pertandingan pidato dan macam-macam lagi alasan yang mana latihan bolasepak di sekolah tidak dapat memberi peluang setimpal untuk setiap murid yang berminat untuk menyertai pasukan bolasepak sekolahnya. 

Untuk depa ni, ini usaha aku meramaikan dan memeriahkan kelab-kelab kecil sebegini untuk lebih maju dan berkembang lagi. Ada latihan yang berstruktur, ada peluang memasuki pertandingan-pertandingan yang tidak berkala/bermusim, juga rasa sendiri bagaimana bermain dalam pertandingan dan kenal betul bolasepak sebenar.

Cabaran bolasepak akar umbi ini sememangnya getir. Kita boleh ja kata FAM itu ini, susun jadual perlawanan macam itu ini. Hal paling kecil macam memastikan anak sampai tepat pada waktu untuk latihan pon belum tentu kita boleh buat. Sekarang kau rasa la. 

2-3 latihan kebelakangan ini, coach utama pasukan kelab ini ada komitmenlain dan coach kedua yang memgambil alih. Dari pemerhatian aku untuk satu sesi penuh terbaru ini, menjadi coach akar umbi bukanlah sesuatu yang kacang dan mudah. Macam aku cakap, kau latih anak sendiri pon ada lagi belas ihsan, ini nak latih anak orang lain depan mak bapak depa. Sekali kau herdik sorang budak, mak dia bangun dari tempat duduk dan angkat spek mata dia, kau berani? 

Itu belum masuk budak yang ada ego dan rasa dia dah terrer. Dia sorang la star dalam pasukan. Banyak cabaranya dan apa yang aku nampak, coach kedua yang mengganti ini terlalu liberal. Terlalu loose. Dan hasilnya, budak-budak ni jadi tidak terkawal. Masa main boleh lagi tendang rakan sepasukan siap berbalas sorang dua. Bila suruh lari keliling padang, satu round ja lari, lagi 3 semua lenggang kangkung. Panassss je aku tengok. Tapi dia coach, aku bapa peserta ja. 

Hah, begitulah serba sedikit cabaran bola sepak akar umbi. Esok ada perlawanan karnival. Dari pagi sampai petang. Kita tengok macamana pula pengurusan karnival ini pula. Kalau ini pon loose. Cukup-cukuplah pandang pada FAM. Bermulah dengan membangunkan bolasepak kawasan kejiranan masing-masing. 

#SouthernJuniorFC



Kanak-kanak Memang Riang 49 - Batu Layar


Here we go.

Air laut belum cantik sebab belum habis musim monsun. Tapi disebabkan pengujung pon tak ramai sebab belum betul hari cuti, ia lebih rileks dan enjoi. Pilihan tempat piknik pon banyak. 

Aqil dan Ammar tak lari jauh dari air laut. Berenti makan sekejap je dah masuk laut  balik. Bila tanya dah ready nak balik ke, depa jawab belum puas. Hahah. 

Apa pon, motif ialah untuk enjoi main air dan all out, jadi tak ada kekangan dan halangan. Main air dari pukul 10.30 sampai 2.30. 







Nasi ayam, sandwich telur, kek pisang, air oren dan air kosong. Semua sold out bila habis piknik. 

End day 1 cuti CNY 2015. 

Ahad, Disember 14, 2014

Catatan Diego - Hati@Anak-anak

Separuh jiwaku pergi. 




Yep. Kalau mahu lebih tepat. 75% hati Diego dah dibawa berlari menaiki keretapi Sinaran Timur malam tadi, bilamana Rodriguez, Pablo, Aguero dan Alexis bersama ibu mereka bergerak menuju utara timur untuk pulang bercuti di kampung. Bukan mengada, tapi kali ini lain benar terasanya. Macam tak sanggup nak hadap seminggu tanpa depa. 

Bukan mudah bila dah biasa, balik kerja ada yang datang peluk, yang belum boleh bercakap tahu panggil 'Abah! Abah! Abah!' sahaja dengan nada yang girang dan riang. Yang dah bersunat tahu pula melompat bila kita masuk ke rumah. Berebut mintak henpon. Bila tidur bersesak satu tilam sampai tak ada ruang nak bergerak. Bila makan riuh itu ini dengan pelbagai pendapat dan teori. Bila masa main tak dan seminit ada yang keriau. Semua bunyi, gelak, tangis, ketawa, galak tak renti depa adalah pengisi. Yang memberi dimensi lain kepada satu hidup abah mereka yang sehariannya sudah padat hal pasal kerja dan kerjaya. Tapi itulah yang abah cari tiap hari, sebagai pengubat dan penghilang kerisauan hati.

Sekarang rumah ini sangat sunyi. Bila sekeliling hanya nampak bayang dan situasi. Depa bermain dan berkongsi imaginasi. Mainan ciptaan depa sendiri. Mainan sepah sana sini. Tapi tiada bunyi dan suara depa yang diiringi sekali kini. Ia begitu menyeksa diri. Hanya sendiri mengisi setiap ruang. Bila terpandang terus terkenang. Memang parah woi kali ini. 

Bila depa ada, rasa tak cukup ruang dan masa. Tapi, ye, cukuplah 4 orang anak lelaki untuk dibesarkan bila datang masalah. Tapi biarlah 4 anak lelaki ini bersama kami hingga kami meningkat usia. Agar dapat kami isi semua memori mereka dengan kegembiraan dan kebahagiaan sebuah keluarga. Bila depa dah besar, depa pula membina keluarga dengan tapak kenangan yang sama. 

Moga menjadi anak yang soleh pada Abah dan Ummi. Hanya doa kamu setiap hari yang abah dan ummi pinta bila kamu sudah dewasa nanti. Untuk kami gembira dan tidak sunyi. 

Abah rindu kamu semua. (*teriak sendiri)...

Selasa, Disember 02, 2014

Kanak-kanak Memang Riang 48 - Sudah Potong?

Cabaran untuk memberi sokongan dan ketenangan kepada anak-anak supaya depa tak takut untuk berkhatan adalah salah satu yang harus mak dan pak lalui. 

Kalau kita plan setahun awal hal bak bersunat ni, maka setiap hari dalam setahun tu jugalah depa akan bertanya, 'Sakit ke sunat tu?', 'Macam gigit semut je ke?', 'Dia kene inject dulu ek sebelum sunat tu?'. Dan pada banyak ketika, depa jadi cuak dan teriak. Menangis pada ketidak tentuan yang depa bakal hadapi. 

Jadi bila dapat tahu yang di taman ini akan diadakan sesi berkhatan Perdana anjuran surau Nurussalam dalam masa terdekat, kami tunggu hingga 2-3 hari sebelum hari kejadian untuk betul-betul konfem mengambil bahagian dan mendaftarkan Aqil dan Ammar. 

Jadi depa tak banyak masa sangat untuk membuat persiapan dan mencari alasan untuk tidak bersedia bersunat lagi. Lagipun program yang disertakan banyak memberi peluang untuk mengalih perhatian kanak-kanak yang menyertainya.

Dimulakan dengan penyampaian cenderahati (kain pelikat) dan diraikan pada malam sebelumnya, kemudian 30 peserta itu pada awal pagi lagi diarak dengan kenderaan pacuan 4 roda keliling taman. Mandi semburan air bomba dari jentera bomba Taman Universiti dan tayangan cerita animasi sewaktu menunggu giliran. Jadi waktu menunggu itu terisi dan taklah depa hanya tertumpu pada bilik bersunat yang disediakan dan berdebar melampau. Itu perancangannya lah. 

Walaupun program mula awal pagi Jumaat, tapi giliran depa telah ditetapkan pada sebelah petang sesudah solat Jumaat. Jadi habis program wajib pada sebelah pagi, sempat la balik rumah semula untuk rehat dan lena sebelum bersiap berJumaat semula di tempat program di surau Nurussalam.

Yang menjadi cabaran bila sesi petang dimulakan dengan jeritan peserta pertama, agaknya masa dicucuk ubat bius. Pihak penganjur belum sempat menyediakan semula tayangan animasi maka yang menunggu diluar semua menjadi sangat berdebar. Keadaan sedikit tenang bila volume tayangan cerita lebih tinggi dari apa yang berlaku di bilik berkhatan yang dibuat di ruang sembahyang bahagian wanita. 3 mudim sukarela yang mengambil bahagian dengan 2 orang untuk kaedah jahit dan seorang untuk kaedah clamp. 

Agaknya sudah ditakdirkan rasanya, pada awalnya kami memang merancang untuk kaedah clamp bagi Aqil dan Ammar. Tapi bila diberitahu oleh pengajur yang mungkin saiz clamp yang ada ketika itu sudah kehabisan stok, Aqil dan Ammar menjadi lebih risau. Sampai ke katil tempt bersunat, Aqil masih lagi diberi   separa harapan yang kaedah clamp akan digunakan. Tapi memang tinggal harapan je bila doktor yang bertugas memberitahu yang saiz clamp yang sesuai memang dah tak ada. Kalau mahu juga, kena tunda pada esok pagi di tempat yang lain. Memandangkan depa dah seharian dalam keadaan bersedia untuk bersunat, tunda sehari mungkin lari sudah tune sedia itu. Pilihan jahit diputuskan dan kami pon bersedia je dengan apa yang terjadi. 

Apa yang berlaku seterusnya ialah pengalaman baru sebagai abah, yang mana gagah dan cekal itu sama sekali berubah dari aku yang dulu. Kalau dulu tengok perut kucing kena jahit pon dh goyang, tapi kali ini demi memberi semangat pada anak-anak, kecekalan dan sifat cool itu melebihi dari semuanya. Tapi apa yang dilihat dan diperhatikan itu tetap ngeri, ngilu dan pedih. Ah, korang pernah bersunat tahulah kan. 

4 malam menjaga depa berpantang juga tak kurang banyak cabarannya. Itu kita sambung di kemudian kali. Yang penting. Depa dah potong. Hangpa bila lagi?







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...