Advertlets

Jumaat, Oktober 04, 2013

Catatan Diego - Bolasepak@Padang

Diego pernah terbaca berkali-kali (kawan lain-lain duk share) di garisan masa FB, mengenai satu pesanan ustazah tentang cara ibu dan bapa mengasuh anak-anak terutama anak-anak yang masih kecil. Entah berapa petua yang diperturunkan tapi lebih kurang beginilah yang masih mampu Diego ingat.

1. Bapa balik awal dari kerja dan memandikan anak yang masih kecil di bawah 5 tahun.

2. Letak anak di atas bahu supaya penglihatan mereka lebih jauh.

3. Eratkan perhubungan dengan aktiviti fizikal seperti bergasak dan bergumpal. Senang cerita, main lawan-lawan.

4. Bawa mereka pergi bersiar-siar, pergi padang untuk bermain.

Alah lebih kurang begitulah rupanya pesanan ustazah tersebut. Sumber internet ni kekadang kita jangan percaya sangat. Entah betul ke tips ini semua? Adakah praktikal semua benda ni bapa boleh buat dengan anak-anak lelaki mereka sekarang? Adakah sistem perumahan negara dan prasarana yang disediakan boleh mengalakkan tips ini dipraktikkan? Bincangkan. 

Lupakan perbincangan di atas dan ada baiknya kita terus ke titik utama. Tips itu memang baik dan benar sebenarnya. Tapi untuk melaksanakannya belum tentu semua bapa berkeupayaan melakukannya. Meskipun demikian, Diego sebenarnya sudah pun mempraktikkan tips ini sejak mempunyai anak seorang lagi. 

Apabila mencecah anak ke-empat, aktiviti sebegini sangat-sangat digalakkan sebab sebenarnya ia dapat melekakan kanak-kanak dari menyepahkan seluruh rumah dan membuat bunyi bingit yang boleh menjagakan bayi yang masih perlukan tidur yang lama. Ia juga memberi ruang dan peluang untuk ibu melakukan tugas-tugas berat seperti mengemas, memasak, membasuh dan mengupdate FB. Selain daripada itu, tips ini juga telah menjimatkan ribuan ringgit dari poket Diego kerana anak-anaknya tidak memerlukan gadget elektronik sorang satu untuk melangut main Minion Rush.

Kebetulan pula padang berdekatan dengan rumah Diego sudah dinaiktarafkan dari tanah terbiar kepada padang bolasepak berserta tiang gol, jaring dan garisan padang. Cuma padang itu juga datang dengan batu-batu besar lutut, paip plastik, kayu terguna serta rumput bertompok-tompok dan tanah tidak rata yang kalau hujan menjadi lopak, air bergenang siap ada berudu sekumpulan.

Demi menyahut seruan ustazah tersebut, Diego beli sebiji bola sepak yang berjenama mahal tapi tak la terlalu mahal harganya untuk mengeratkan bonding atau perhubungan antara anak-anak lelakinya. 

Hari pertama mereka turun bermain di padang baru itu, terdapat kanak-kanak lain yang juga turut bermain di satu sudut gol yang sama. Diego memberi laluan kepada mereka menggunakan padang dan hanya bermain dengan anak-anak di tepi padang. Malangnya ia tidak lama. Tiga empat kali menyepak bola, Rodriguez dan Pablo sudah lebih berminat untuk bermain di cerun padang. Panjat dan gelungsur turun ke bawah. 

Aguero pula hanya memegang kemas bola plastiknya. Tak mahu dilepaskan takut ditendang abang-abang jauh darinya. Sambil dia memerhati kanak-kanak lain yang menyepak bola berterabur dan bola yang melantun-lantun sebab padang tak rata. 

Hari pertama tamat dengan Diego menyertai kanak-kanak lain bermain untuk 5 minit terakhir. Cuma ayat dari salah seorang dari mereka menyentap sedikit perasaan Diego.

"Pakcik, jom la main sekali, jadi team dengan saya". Budak penjaga gol yang dari tadi asyik bolos je mengajak Diego bermain sekali. 

"Pakcik kau panggil aku budak?" Diego hanya berbicara dalam hati. Diego merenung susuk tubuh badannya dan kembali sedar diri dari terus tersentap. Dia terus menyertai mereka sambil bermain secara gaya lincah dan tenang sebagai pemain pertahanan untuk 5 minit terakhir sebelum semua pakat-pakat rasa nak balik sebab hari dah merangkak ke Maghrib. 

Hari kedua, hujan turun pada awal petang. Tapi demi menyahut pesanan ustazah tersebut. Diego gagahkan juga turun bermain dengan anak-anak. Kali ini hanya dengan sebiji bola pantai berwarna biru dan bola berjenama mahal.

Kau orang boleh bayangkan sendiri jela macamana budak-budak ni main bola padang dengan sebiji bola plastik biru. Kau orang ingat senang nak membentuk satu pasukan bolah kanak-kanak yang mantap bersatu, bersatu hati, hati tak tisu, tisu tak basah dan basah baju boleh balik basuh dengan mesin basuh, tapi menjawab jela dengan Marcia nanti?. 





Ye, disebabkan bola hanya ada satu, yang boleh menendang ada tiga, sorang tu kuat menangis kalau tak dapat bola, sorang tu eksaited gila nak menendang, dan sorang lagi tu ikut suka dia je nak menendang ke nak main duri semalu di tepi pandang. Hah, senang ke? Ustazah tolong jawab sikit bonding cemana kita yang nak buat ni? 

Ok, ustazah simpan jawapan ustazah sebab Diego sendiri boleh setelkan masalah displin ini. Cabaran tadi mudah saja disetelkan bapa berpengalaman 4 orang anak lelaki. Hanya dengan satu volume suara lain dari perbualan biasa, serta kuasa memberikan bola kepada anak yang sepatutnya, mereka mula teratur dalam mempelajari asas bolasepak. Anak ketiga Diego, Aguero yang berusia hampir 3 tahun mula mengambil posisi. Walaupon baru lepas merengek, satu sepakan kaki kanan dilepaskan ke arah gol. Teknik sepakannya betul, power untuk usia 2 tahun lebih kira ok la. Apa pon, usaha juga kelihatan baik di situ. Abangnya berdua pula lebih bijak memilih untuk menjadi penjaga gol kali ini. 



Berbalik kepada pembentukan pemain bola sepak dari akar umbi, Diego mengambil inisiatif untuk kembali kepada asas. Asas pertama ialah membiasakan mereka dengan padang bola sepak. Jadi, pada hujung minggu yang seterusnya, walaupon hari hujan mereka tetap turun ke padang bola. Siap kasut, stokin dan pakaian bolasepak sebenar. Seluar pendek dan baju jersi. Salah seorang daripada mereka mengenakan aksesori tambahan iaitu lampin pakai buang di dalam seluar pendeknya. 

Untuk membiasakan mereka dengan padang bola, kali ini permainan mereka tidak lagi bersangkut paut dengan bola sepak. Hanya Diego yang menyepak bola ke arah pintu gol kosong. Anak-anaknya dibiarkan bermain lopak air yang berada betul-betul 3 kaki dari pintu gol. Diego anggap mereka ialah benteng pertahanan dan Diego pula berkali-kali membuat sepakan percuma dari luar kotak penalti. Sambil membuat sepakan lencong, sambil melarang anak-anak dari terlalu galak main air dalam lopak. Sekali sekala, sangkut juga bola dalam lopak air. Hilai ketawa Rodriguez, Pablo dan Aguero memecah keheningan petang. Kanak-kanak lain tidak nampak langsung sebab hari baru lepas hujan. Agaknya sedap lagi terkangkang tengok cerita Upin Ipin depan tv. 

Sergio kelihatan sudah separa berendam dalam lopak air, beliau sama ada tidak sedar atau mungkin terlalu selesa kerana beliau memakai lampin pakai buang berkapasiti tinggi serapan airnya. 

Diego rasa ada baiknya menyambut saranan ustazah tadi dengan menyertai anak-anak bermain lopak air. Air lopak yang pada mulanya jernih dah menjadi teh susu sebab bercampur dengan kelodak tanah merah padang. Satu sepakan cantik dilakukan Diego ke dalam lopak dan air naik memercik naik ke muka Rodriguez. Kebetulan pula, Rodriguez tengah tergelak sambil mulut ternganga. Hilang dahaganya seketika.

Volume hilaian ketawa makin menaik. Muka Pablo dan Aguero juga dinaiki air dengan sengaja oleh abangnya pula. Selebihnya adalah kegembiraan kanak-kanak yang hanya boleh dibayangkan di kepala sebab apa kejadahnya semua benda kita nak kena bawa henpon dan rakam video atau gambar?

Balik dari padang permainan, mereka dibelanja Diego dengan siraman air paip sejuk depan rumah. Mandi depan rumah dengan separa telanjang adalah satu kegembiraan buat kanak-kanak. Lebih bonding dari bergomol dan mengadap tablet elektronik. 

Baju dan seluar mereka dibilas sebelum dibawa masuk. Yelah, kau nak kene jeling jegil biji mata dengan Marcia kalau biar je seluar baju basah kotor main lopak air kat padang kat luar tu? Diego menjinjit semua pakaian basah sambih terkernyih untuk mengelakkan tembakan laser dan bom berantai dari Marcia dilancarkan dengan tepat lagi menikam. Ustazah FB itu tahu apa petua hal-hal mengelakkan diri sebegini.  

Selasa, Julai 09, 2013

4 Amani

Ahli terbaru Keluarga Amani.

Muhammad Ariq Amani, lahir pada 7.17 pagi, 3.4kg, Hospital Sultanah Aminah, Johor. 

Sama tarikh lahir dengan Umminya. 

Selamat Hari Ulang Tahun paling istimewa Ayang!!!



Rabu, Jun 26, 2013

Sudah Terbit - Pistol Laser Lisa

***Dikemaskini pada 23 Julai 2013***

Kini stok buku sudah berada ditangan. 3 tempahan terawal akan disertakan dengan Sinetron Dramalova siri kertas secara percuma. Stok ini terhad dan 'rare'. 



"Kini anda boleh mempunyai sebuah buku tulisan anda sendiri di rak buku rumah anda" - Tok Rimau, entri di blog beliau yang sudah bertahun lamanya. 

Itu motivasi utama yang menyebabkan aku memberanikan dan merajinkan diri untuk masuk satu audisyen jemputan terbuka untuk projek buku terbaru dari Tok Rimau ini. Nak kata terbaru tak juga la sebenarnya sebab setahun yang lepas juga lamanya. Cukup 12 orang penulis yang memuaskan hati penyusun buku, Tok Rimau setelkan buku ini dengan jayanya. 

Cerita panjang disebalik penerbitan buku ini tidak lah perlu kita perpanjangkan sebab yang penting sekarang, aku dah ada buku sendiri (ok, buku yang ada nama sendiri dan cerita sendiri tapi kongsi-kongsi dengan penulis yang lain).

Cuma rak untuk bubuh buku sendiri ini tak berapa nak ada. Jadi aku ada 20+ buah buku harus dikongsi kegembiraannya dengan orang lain. Ada yang berminat? 

Sila hantar <del> gambar berukuran passport dan </del> butir-butir peribadi ke emel tertera dengan tajuk "AKU NAK PISTOL" ke chunkiesfc-at-gmail-dot-com untuk pra-tempah, RM 20 sebuah disertai satu otograph yang tidak ternilai harganya. Hahah. 

Yang benar,

Diego
Penulis buku cerpen sci-fi yang susah nak merendah diri lagi. 

p/s: Kalau aku jadi hangpa, aku beli awal-awal sebab buku Sindiket Soljah adalah edisi terhad, tiada di kedai buku umum dan bakal menjadi buku 'rare' di zaman akan datang. Sekian. 

Selasa, Mei 14, 2013

Kanak-Kanak Memang Riang 45 - PRU

Balik kampung sebagai pengundi ragu adalah satu kemestian untuk menunaikan tanggungjawab mengundi. Bagi budak-budak, balik kampung adalah tugas untuk mereka  bermain sepanjang masa. Lari, loncat, main pasir, main batu, main bola, panjat pokok dan sebagainya. 

Ini dapat dilihat dengan jelas sebaik sahaja kereta berhenti di halaman rumah mak ngah mereka. Terus keluar kereta, salam lebih kurang tok mek, pak ngah dan mak ngah lantas mereka berlari sekeliling halaman rumah. Abah dan ummi belum sempat jamah air minum petang, depa dah berpeluh di dahi.

Jadi sekali lagi kita membuat lawatan memori sambil belajar terhadap gambar dulu di blog ini dan gambar depa yang terkini. 

PRU 13 - Mei 2013

Depa tengah tengok mak '4 hari' datang menerpa sebab culik anak dia.

PRU 08 - Mac 2008

Ini Tania, dah takde dah mak kambing ini. 


Rabu, Mac 27, 2013

Kanak-Kanak Memang Riang 44 - Zoo 2013

Tak sangka masa begitu cepat berlalu.

Januari 2010. Kami pergi Zoo Johor bawa Aqil dan Ammar sebab Aqil nak tengok badak air.



Mac 2013. Kami pergi lagi Zoo Johor, kali ini bawa Aqil, Ammar dan Ayman, juga untuk tengok ada lagi ke tak Badak Air dan segala binatang lain. 



Jumaat, Februari 15, 2013

Jasamu dikenang


Semoga hang dapat berbakti kepada tuan yang baru. Kami tak akan lupa kenangan yang dilalui bersama hang.

Kanak-Kanak Memang Riang 43 - Gambar

Kami pergi ke taman tema air. Henpon berkamera ada. Tapi semuanya disimpan kemas dalam loker sewaan. Supaya senang nak ke sana kemari. Tak payah nak jaga itu ini. Jadi tak ada sepotong gambar pon yang kami rakamkan untuk disimpan sebagai kenangan.

Namun Ammar ada idea sendiri untuk merakamkan pengalaman mereka hari itu. Dari tengahari membawa ke petang mereka mandi. Main air. Main gelungsur. Main ombak. Main pelampung. Main pasir. Main air hujan. 

Balik dari mandi, di hotel malamnya itu, ini yang terhasil dari Ammar.

Taman air yang ada gelungsur dan tempayan berbentuk ikan besar yang menadah air sebelum disiram ke bawah.

 Gelungsur tinggi yang mula-mula Ammar takut nak naik. Bila sekali diteman. 3 kali berturut-turut dia panjat tangga tinggi itu.

Kolam berombak. Depa main sampai letih. Naik pelampung melawan ombak. Melompat ombak. Depa jadi tak takut walau ombak naik setinggi depa. Walau hari hujan. Depa tak lari duduk di tempat teduh. 

Moga percutian ini mengembirakan depa dan depa ingat sampai bila-bila. Hanya dengan magic pen dan buku latihan 50 sen, depa rakamkan semula apa yang depa nampak dan ingat. Bergembiralah anak-anak. 


Rabu, Januari 09, 2013

Kali pertama saya ke sekolah anak saya II

Macam biasa, sebagai abah yang prolifik, pergi mendaftar anak ke sekolah darjah 1 adalah pengalaman yang harus diceritakan. 

Dilihat secara kasar, kerja mudah. Sekolah rendah dekat luar taman perumahan je. Sekolah agama kena masuk dalam kampung sikit lagi. Tapi bila didekati dengan terperinci, susah gila nak menyusun jadual pergi balik seorang budak 7 tahun semata-mata untuk menuntut ilmu.

Sekolah agama yang ada agak padat. 3 sesi persekolahan pagi, 2 sesi persekolahan petang. Ustaz dan ustazah ada 30 orang. Seluruh pelajar ada 2,300 orang. Tiap ustaz dan ustazah kena mengajar 3 sesi seorang. Aqil ada 37 rakan sekelas dan aku berani dan yakin mengatakan dia tak sempat pon nak berborak dengan tiap rakan kelas dia dalam sesi selama sejam tiga puluh minit ni. 

Disebabkan terlalu ramai pelajar dan terlalu banyak beban ustaz dan ustazah, mereka tidak dapat berfikir dengan panjang terhadap hal-hal persiapan. Segala hal-hal terperinci gagal dibayangkan dan perlaksanaan menjadi lambat dan sangat perlahan. Panggil taklimat pukul 10, tapi pukul 11 baru bermula. Bilangan kerusi langsung gagal diagak tepat. Hanya 2 kaunter dibuka untuk mengesahkan kehadiran lebih 500 pasangan ibu bapa dengan hanya ada 1 set kertas senarai nama. Memang gagal. 

Separuh hari Ahad hanya untuk mendengar amanat dari guru besar, penolong guru besar dan ketua program minggu ukhwah pelajar. Itu pon intipatinya lebih kepada apa yang ibu-bapa harus buat terhadap untuk anak di rumah dan bukan apa yang sekolah akan bagi kepada anak-anak di sekolah. Ibu bapa dipesan memantau anak bersembahyang, menghantar anak mengaji dan berserah kepada ustazah untuk menetapkan ejaan jawi nama anak masing-masing. Ye, itu je pesanan taklimat ini. 

Hari Selasa baru dapat tahu sesi sekolah pagi pukul berapa dan kelas mana, Ezi dan 3 beranak kena berkampung di bilik darjah dari pukul 10 pagi sampai 2 petang hanya untuk membayar yuran dan buku. Hari Rabu baru betul-betul masuk sekolah sebenar.

Aku tunggu untuk perhimpunan sekolah dan lepas Aqil masuk kelas, babai lebih kurang dan bersekolahlah Aqil buat pertama kalinya. 


Tak banyak yang berlaku di sekolah rendah yang perlu diceritakan. Yang lebih jenuh ialah Ezi untuk minggu pertama sebab kena keluar rumah lebih 5 kali sehari untuk ambik dan hantar Aqil dan Ammar. Memang jenuh dan paling kesian sebab Ayman perlu diheret sekali untuk hampir ke semua trip kecuali trip pagi hantar sekolah. 

Aqil perlu menghadiri ujian saringan untuk penentuan kelas. Supaya sekolah boleh merancang pelan pembelajaran mengikut tahap pengetahun semua murid darjah 1. Aqil keluar dari sesi ujian dengan wajah biasa dan balik bagitau:


 "Ustazah bagitau dah semua jawapan". 


"Steady beratur hari pertama sebelum ujian saringan"


"Rakan sekelas Aqil untuk ujian saringan".

Untuk minggu kedua, Aqil dah dicarikan bas untuk semua trip sekolah termasuk kelas mengaji selepas sekolah agama. Kurang la sikit beban Ezi dan lebih fleksibiliti. Tapi kesian sikit untuk dia sebab seawal 6.20 pagi bas dan datang dan hari Isnin, 7.30 petang baru sampai rumah. 

Tiap-tiap hari Aqil balik dari sekolah dia akan membilang baki duit sekolah yang dia ada lepas beli makanan dari kantin masa rehat. Nak kumpul beli Ultraman.

Bersekolahlah Aqil. Ini yang kami mampu sediakan untuk kamu buat masa sekarang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...