Advertlets

Jumaat, Mei 01, 2009

Ahmad S siri Kemuncak

Amaran Keras : NSFW sebab panjang berjela-jela. Betul-betul panjang. Sila hela napas panjang-panjang dan jaga juihan bibir anda.

Ini adalah kisah terakhir siri Ahmad S buat tatapan anda semua. Bukan ini bermakna ianya berakhir, tapi aku ingin tumpukan kepada kisah-kisah lain buat masa akan datang. Kalau ada pun sambungan, mungkin aku terpengaruh dengan pengkarya filem tempatan seperti Ahmad S lagi, lagi-lagi Ahmad S, Ahmad S kembali, Ahmad S junior, Ahmad S VCD lah pulak dan Ahmad S the movie. Jadi, jangan berhenti berharap. Eh, kot-kot kisah Mohd T? Hahah. Kaya aku kalau betul semua kisah ni aku jual secara cetak rompak kat pasar Semua Orang Boleh Berniaga (SOBB).

Latar belakang cerita adalah kisah aku pada ketika tahun 3 nak masuk tahun 4. Ada cuti sebulan. Cuti itu sepatutnya aku ada program Lambaian, tapi batal. Balik Kota Bahru dengan gadis-gadis Lambaian negeri Kelantan. Keretapi yang dinaiki melanggar gajah. Kelewatan lebih 12 jam dari jadual asal. Lusa, aku datang balik universiti, sebab aku perlu hadir wakil Lambaian untuk program Leadec. Baru separuh hari program, aku dah tak senang duduk, aku buat surat kata tok suruh balik Kulim. Aku mintak perlepasan dan aku melepaskan diri. Tak sanggup menjadi sebahagian dari kepimpinan kolej. Cukup dengan apa yang aku dah buat untuk kelab selama ini.

~Hari Pertama

Pengembaraan bermula. Bukan pengembaraan balik Kulim rumah Tok, tapi misi ke Kuala Lumpur. Sepatutnya pengembaraan bermula seminggu lagi. Tapi aku dah tak sanggup tunggu, Ahmad S aku hubungi menggunakan telefon awam. Mintak dia ke KL sekarang juga. Ahmad S membentak. Permintaan aku keterlaluan, mak dia akan marah nanti sebab tak sampai seminggu duduk Sungai Petani dah nak keluar berjalan. Dia mintak tunda lagi 2 hari. Aku ok.

Aku telefon pulak Peyo di Batu Pahat. Dia ada kat rumah. Aku offer diri pergi rumah dia hari ini juga, singgah buat memotong hari sebelum bergerak ke KL. Peyo setuju. Aku hantar motor ke rumah Mohd T di Jalan Kebangsaan. Aku mintak Maizam hantar ke stesen bas Larkin. Tiket Bas-Batu-Pahat-Sekarang aku beli, lewat petang dekat Maghrib aku sampai. Peyo jumpa aku. Aku jumpa Peyo. Dia bagi permintaan yang lebih keterlaluan. Malam ni jugak kita pergi KL. Aku ok. Aku naik bas lagi ke Puduraya dengan Peyo. Peyo ada hal dengan gadis dia, sebab itu kene ke KL hari tu juga.

~Hari Kedua

Aku sampai Puduraya sebelum azan Subuh lagi. Setelah menunaikan apa yang wajib, aku tunggu hari terang. Peyo dah aku babai di tangga Puduraya. Gadis dia pikap pakai Satria. Aku tunggu lagi. Dekat-dekat dah panas. Aku naik LRT STAR. Menuju Pandan Indah. Rumah abang. Sampai rumah abang, dia baru nak pegi kelas. Dia suruh aku rehat-rehat. Aku buat sarapan pagi, makan dan terlena sampai tengahari. Petang dan malam aku habiskan dengan abang dan rakan-rakan. Naik motor sekitar KL. Rempit ke? Entah.

~Hari Ketiga

Pagi esok, Ahmad S dah telefon bagitau dia akan sampai Puduraya bila-bila masa sahaja. Aku tunggu lagi. Dah dekat-dekat masanya, aku pecut dengan LRT STAR pegi Puduraya. Ahmad S dah tunggu aku dan ditemani Kuril dan Botak. Botak adalah pelajar pandai-skema-berkaca-mata-dan-tidak-botak yang sama jurusan dengan aku di universiti selatan. Kuril berambut panjang macam penyanyi rok. Tapi lurus macam dah pakai perapi rawatan stim. Lagi panjang dari aku. Takpe, universiti dia pergaulan bebas kot.

Kami minta ehsan Botak untuk menumpang tido semalaman. Botak bagi. Menuju rumah Botak dengan Iswara hadiah harijadi dari bapanya. Ada abang dia. Abang dia keluar dan membelikan pizza buat kami. Kami makan dengan lahap kerana lapar. Memasuki malam, aku ajak Botak keluar jalan-jalan. Tunjukkan kami Kuala Lumpur. Botak setuju. Tapi dia sendiri tak tahu apa yang ingin ditunjukkan. Aku cadangkan Uptown yang aku hanya pernah dengar dan pergi dibawa orang, tak tahu menahu mana daerahnya dan jalannya. Botak bawak. Sampai ke satu kawasan yang nampak banyak orang letak kereta, makan-makan, ramai orang, meriah warna-warni. Mungkin ini Uptown.

Aku sms Peyo. Dia kebetulan berdekatan. Dia datang duduk sekali di meja kami. Di sisi ada 2 lagi gadis berbaju singkat nampak lurah ketiak bersama Peyo.

Aku terkeluar pertanyaan. "Ini Uptown ke Bangsar?"

Gadis menjawab. "Ini Bangsarlah. Hi hi hi". Ketawa kecil. Gadis tambah kuah. "Korang ni nampak tak matanglah. Hi hi hi."

Berderau darah aku dengar. Aku tengok, Botak dah tunduk malu. Ahmad S berlagak selamba. Siap tanya ada lighter tak kat gadis. Gadis hulur.

Malam dah lewat. Botak dah segan, aku dan Ahmad S dah nak bergerak pulang. Sampai kat kereta. Gadis-gadis masih ligat bergelak ketawa. Aku kasik sepakan lencong.

"Tak manis gadis-gadis keluar sampai lewat malam"

~Hari Keempat

Esok siang. Kami dah tiada plan lain dengan Botak. Pagi dah hilang ditelan lena. Dah tengah hari, kami berkemas untuk beransur dari rumah Botak. Botak sponsor pulak makan nasi tengahari bungkus dulu. Alas perut. Lepas tu Botak tinggalkan kami di LRT STAR. Kami naik sampai Masjid India. Tukar LRT PUTRA ke Universiti. Aku konfiden sebab dah pernah buat. Ahmad S baru pertama kali.

Sampai di stesen Universiti, kami melangut. Macam mana nak masuk Universiti itu, walau nama stesen ini Universiti, tapi ianya bukan di dalam universiti. Mujur ada gadis. Aku suruh Ahmad S tanya, sebab muka dia lebih suci walau berparut macam Chang Kong. Muka aku garang. Gadis suruh kami tahan bas yang masuk univerisiti. Kami lambai je bas tuh, mujur tak tahan depang tangan. Bas berenti, kami masuk, tunggu dan sampai depan perpustakaan.

Di sebuah stesen bas sebuah universiti tertua di Malaysia yang penuh dengan para pelajar wanita untuk menunggu bas ke destinasi ilmu masing-masing.

Aku : "Ko perasan tak?"

Ahmad S: "Apa?"

Aku : "Kita berdua je remaja lelaki contoh yang duduk tunggu bas kat sini, yang lain semua gadis-gadis"

Ahmad S : "Eh, ha'ah la"

Ahmad S bingkas ke belakang, telefon Kuril supaya lebih pantas menyelamatkan kami dari para gadis-gadis ayu berbaju kurung dan ada juga berpakaian ketat di stesen bas ini.

Kuril datang dengan 2 buah motorsikal. Member dia la yang bawak lagi satu. Bunyi motor bising bingit. Gadis-gadis yang tadinya telah menyimpan hati terhadap kami, semua mula mematahkan hasrat dan mencebik. Tanpa helmet, aku lompat naik dengan Kuril dan dia memecut ke kolej kediaman.

Sampai dalam bilik Kuril. Nampak agak sendat dan padat. Ada seorang mamat dalam bilik itu, rambut pendek, tapi kaler emas. Baru mengangkat punggung dari sebuah komputer. Sebagai tetamu, aku salam, Ahmad S salam. Kuril hoi saje dia, dia hoi balik.

Sebab kaler rambut dia buat aku tertanya-tanya. Aku tanya Kuril.

Aku : "Rumet ko ke Kuril?"

Kuril : "Entah, ini baru pertama kali aku nampak dia, tak kenal pon"

Aku rasa menyesal menjadi sopan tadi dan menyalam mamat tadi. Ceh.

Ahmad S dan Kuril layan berborak. Mata aku dah kuyu. Aku baca pulak komik Eyes X Eyes. Best. Tapi mengantuk. Aku terlena. Dah masuk petang, kami ajak Kuril bawak pusing-pusing kampus dia. Ini misi utama pengembaraan kami. Menjejak semua universiti tempatan dan mengambil gambar di hadapan papan tandanya.

Kami ke kolam renang, padang, tasik, kolej wanita eh, kolej kediaman rakan yang lain, tapi tidak berjumpa. Dah dekat malam, pulang semula ke bilik Kuril. Adz dan Pak Chot sedia menunggu. Ajak pergi rumah sewa rakan Kuril di sebuah apartment separa mewah. Sebelum bertolak. Kami singgah di depan papan tanda universiti. Maghrib dah masuk. Keadaan agak kelam. Kuril bersembunyi di sebalik pokok untuk mengambil gambar kami. Dia malu. Rambut rok tapi ambik gambar dekat papan tanda. Hasilnya. Gambar itu tak jadi, gelap dan kelam sebab dah malam. Sia-sia usaha Kuril bersembunyi.

(Ahmad S dan aku di tasik UM sebab gambar papan tanda tak jadi)

Selesai khidmat diri di rumah sewa rakan Kuril merangkap rumah yang selalu Kuril lepak. Kami menuju destinasi baru. Makan. Kali ini Uptown. Betul Uptown. Sebab Adz dan Pak Chot arif selok belok Kuala Lumpur. Singgah di PJ mengambil Lobo. Dalam kereta, aku cuba pujuk Lobo untuk menumpang tidur malam ini. Gagal. Lobo belanja kami semua makan.

Selesai makan. Kami menuju destinasi seterusnya. Universiti yang punyai multimedia. Di tempat yang punya projek mega. Kami teruja. Terbayang beberapa misi lain seperti sembahyang sunat di Masjid Putrajaya dan bergambar di bangunan utama Putrajaya. Mudah-mudahan. Menurut Adz, aku hanya perlu melalui jalan yang punyai Jambatan bertingkat ala Pulau Pinang ini untuk ke Kuala Lumpur nanti kalau-kalau aku ingin menjejak sendiri Kuala Lumpur. Sebab dia mungkin ada kelas dan tidak dapat melayan tetamu seperti kami. Aku angguk.

Sampai di universiti yang punyai multimedia ini. Kami terpegun. Ada mesin vendor menjual minuman ringan. Tapi tak boleh beli guna syiling atau wang kertas. Harus punyai Kadfon. Canggih. Di mata kami. Pada waktu itu. Mujur mesin vendor tu tak menerima sms untuk order air tin berkarbonat. Kalau tak. Lagi canggih.

Kami pilih bilik Adz buat tumpangan. Ada 3 komputer semuanya. Semuanya terpasang. Semuanya punyai rangkaian network dan internet. Satu digunakan untuk mendengar WinAmp. Satu digunakan buat bermain Counter Strike. Satu lagi pula sedang menayangkan CD cerita Highlander. Semua dengan sistem bunyi luaran sendiri yang bingit. Lantai bilik dilapik toto nipis menjadi hamparan katil buat kami. Bantal ihsan Adz. Dan kami pon melelapkan mata. Tanpa gangguan.

~Hari Kelima

Pagi aku dicuri tidur. Aku sembahyang subuh yang pupus. Ahmad S dah berjalan-jalan di sekitar kawasan kampus. Siap layan siaran tv pagi di bilik tayangan. Adz terkocoh-kocoh awal pagi tadi. Ke kelas. Kami bersiap-siap khidmat diri. Belum tahu apa rancangan seterusnya. Adz pulang dari kelas. Ajak makan tengahari.

Adz tiada peluang untuk melayan kehendak kami untuk berpeleseran tapi Putrajaya sangat menggamit untuk kami jelajahi, mungkin juga ke Kuala Lumpur. Dia ada kuiz dan kelas petang nanti. Dia offer kunci kereta otomatiknya. Isi minyak dan pandulah sesuka hati. Aku tiada pengalaman memandu di bumi projek mega ini. Mujur Pak Chot datang, offer diri untuk menunjuk jalan keluar sebab dia pon nak memandu ke Kajang. Kami setuju.

Kenderaan otomatik adalah asing buat aku. Tapi dengan cubaan pertama mengundurkan kereta berjalan lancar. Aku konfiden. Ahmad S memberi sokogan moral sahaja. Dia lagi kabur terhadap peta dan jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur. Aku hanya punyai memori yang ringkas dan sipi-sipi berpandukan pengalaman berjalan-jalan dengan keluarga.

Jalan kami ke arah Putrajaya tidaklah berjalan lancar. Tersalah jugak masuk sana sini. Tapi akhirnya tetap tiba di Masjid Putrajaya. Kami selesaikan Zohor serta Asar dan berjalan-jalan sekeliling kawasan Masjid. Panas terik. Kawasan bawah masjid punyai kedai-kedai makan dan jual jajan. Harga memang tidak boleh tahan. Kami beli aiskrim sambil layan pemandangan tasik.

Selesai kawasan masjid, kami memandu pula ke arah bangunan utama Putrajaya. Nak bawak kereta masuk, tapi pak gad tahan. Dia suruh parking di luar dan daftar masuk. Kami tinggalkan kereta, tukar pas pelawat dengan kad pengenalan dan mula menaiki tangga-tangga tinggi ke Bangunan Utama. Aku amik gambar Ahmad S, Ahmad S ambik gambar aku. Kami masuk dalam bangunan. Ahmad S punyai sifat ingin tahu yang melampau. Dia cuba buka tiap pintu yang dia jumpa. Semuanya terkunci. Kecuali satu. Pintu sisi. Aku gusar. Ahmad S kata jom. Kami masuk. Perlahan-lahan. Jumpa lagi pintu. Buka lagi. Masuk lagi dalam. Sampai lagi satu pintu. Kunci. Okeh, dah jom patah balik. Aku ajak Ahmad S. Tapi Ahmad S tengok pulak tangga. Aku kata sudah. Terkunci kita kat sini mau naya. Kami keluar. Selamat. Lega.

Masa nak turun, kami lalu ikut tepi bangunan. Ada landskap-landskap yang cantik. Malas nak turun ikut tangga, kami lari turun lereng bukit itu. Laju-laju sampai nak tergolek. Lari laju sebab takut pak gad nampak dan marah sebab pijak bunga yang dorang baru tanam. Ketawa gelihati sebab buat kerja tak senonoh. Mujur pak gad tak tanya dan kata apa-apa. Pas pelawat kami tukar. Kami memandu keluar.

Aku : "Nak kemana kita?"

Ahmad S: "Mana lagi, ikut ko la"

Aku : "Tugu Negara?"

Ahmad S : "Jom"

Aku : "Ko tahu ke jalannya?"

Ahmad S : "Ikut je signboard"

Ahmad S memang co-pilot yang berdedikasi. Peta tak de, memori jalan takde, arah tuju dan daerah pon tak tahu. Petua dia sungguh mujarab dan ringkas. Mungkin sebab itu sekarang dia beli GPS.

Aku ikut signboard. Cari Kuala Lumpur. Jalan je terus, ikut je segala simpang. Sedar-sedar aku dah sampai area Pudu. Tak lalu langsung Jambatan bertingkat yang ala Pulau Pinang itu. Pesanan Adz dah tiada dalam memori. Mujur aku cam sikit-sikit Pudu. Keluar semula. Cari jalan sebenar. Jumpa jalan yang aku konfiden. Jalan punya jalan, dah lepas dataran Merdeka. Dah menuju Parlimen. Ada simpang ke kanan untuk ke Tugu Negara. Aku silap ambil laluan, aku terlepas simpang itu. Aku konfiden kat depan ada laluan untuk U-turn. Rupanya aku dah mendaki menaiki jalan ke Bangunan Parlimen. Tiada laluan untuk U-turn. Sampai balai pengawal. Polis yang jaga. Dia tahan aku.

Polis tanya. "Nak pergi mana ni?"

Aku minta dengan sopan. "Saya tersalah jalan, nak buat U-turn"

Polis kata. "Mana boleh U-turn kat sini. Tak nampak ke ada tanda tiada U, ini kawasan Parlimen, kalau U-turn di sini tanpa kebenaran, boleh kena saman, turun, mintak I/C dan lesen"

Aku turun. Dia suruh aku catit butir-butir peribadi aku atas satu borang.

Polis :"Saya saman kamu ni, kamu boleh bayar di mana-mana balai polis trafik dalam masa sebulan. RM300."

Aku dah gumam, aku mintak belas ihsan. Mintak maaf dan bagi tahu sesungguhnya aku tak tahu jalan sekitar KL ni. Kereta pon pinjam kawan. Datang semata-mata nak tengok Tugu Negara.

Polis ajak aku pergi ke kereta. Dia bagi I/C dan lesen aku. Aku masuk. Tangan dia masih di tingkap kereta.

Polis : "Dah, nak setel macam mana ni?"

Aku :"Saya minta maaf sangat-sangat encik, memang saya tak tahu"

Mungkin Polis merasa belas atau mungkin Polis malu dengan permintaan dia tadi sebab aku buat-buat tak paham, Polis bagi aku U-turn. Aku tak kene saman. Juga polis tidak minta yang bukan-bukan dari aku. Aku terus menuju ke simpang jalan yang benar. Aku berharap, Polis juga mendapat cahaya kebenaran.

Tugu Negara kami jelajahi. Aku rasa, tak ramai remaja contoh macam kami mengambil inisiatif mengambil peluang menjejaki Tugu Negara ini. Mungkin datang berdua-duaan dengan makwe adalah kot. Kami baca segala peringatan yang ditulis. Keluar dari Tugu Negara. Kami beli air tin. Penghilang dahaga. Turun pula ke taman di sebelah Tugu Negara. Ada arca-arca rekaan dari pelbagai negara Asean. Segala macam bentuk dengan justifikasinya sendiri. Aku terima seadanya. Sebab pereka memang punyai ilham dan resam tersendiri. Susun-susun batu pon jadi lambang harmoni.

Selesai melawat Tugu Negara, misi kami sudah separuh sempurna. Tinggal misi untuk menjejak lagi 2 universiti. Tetapi sebelum itu, kami punyai masalah pertama. Bagaimana untuk kembali ke Universiti yang punyai multimedia itu?

Aku ambil petua Ahmad S. Kita ikut papan tanda. Kami keluar dari Jalan Parlimen, menuju jalan Kuching. Lepas itu ikut papan tanda. Petua itu sungguh bernas. Kami berjaya sampai ke Cyberjaya. Tuan punya kereta, Adz seakan kehilangan perasaan amarah bila kereta kami melewati blok kediamannya. Dia risaukan kami yang buta jalan Kuala Lumpur ini.

Malam itu, kami makan malam sama-sama di sekitar kampus sahaja. Aku, Ahmad S, Adz dan Pak Chot. Jumpa rakan sekampus dulu yang sekarang dah pindah sini. Hari kelima ini adalah hari paling panjang buat kami. Benar-benar menguji sifat kembara kami. Motto hari ini adalah, harung dahulu, pikir kemudian.

~Hari Keenam (aku berhenti menulis sampai sini, jenuh wei, panjang berjela-jela dah ni)

Sebenarnya, memori aku tidaklah begitu kuat. Masuk hari keenam ini, aku sudah tidak mencatatkan lagi pengalaman yang kami lalui. Jadi, ini hanyalah sedikit sebanyak yang masih aku ingat. Sebab pengembaraan ini masih belum tamat.

Entah macammana dan bagaimana, memori aku telah meletakkan aku dan Ahmad S di dalam sebuah Komuter. Komuter ke arah Serdang. Di Serdang, kami dijemput oleh Yani Rasip, rakan sekelas gelfren Ahmad S ketika itu. Ini kabel terbesar Ahmad S di Serdang ketika itu. Dia bawa kami naik kereta beliau. Turun di sebuah kolej kediaman luar kampus. Tunggu rakan-rakan datang menyambut kami.

Don pon ada dan datang menjenguk. Kemudian Jeme datang setelah selesai kelas. Jeme menjadi kemudi kami di sana. Jeme pinjam kereta siapa entah. Kami keluar dari universiti asas pertanian itu, menuju universiti yang bersemangat kebangsaan. Pemberatnya adalah Ahmad S ingin bertemu gelfrennya.

Entah jalan apa yang Jeme ambil, kami sudah tiba di universiti bersemangat kebangsaaan itu. Aku tinggal sorang-sorang terkapai-kapai menghabiskan air teh ais ketika Jeme dan Ahmad S menjalankan urusan berjumpa gelfren masing-masing. Yang aku sedia maklum, aku sendiri kurang pasti universiti ini di Kuala Lumpur atau Bangi? Sampai sekarang aku punyai memori yang sangat tipis terhadap universiti ini.

Selesai jenjalan universiti ini, sebab kami tidak nampak atau perasan di mana papan tanda sebenar universiti ini, kami terpaksa membiarkan sahaja peluang untuk bergambar di hadapan papan tanda universiti ini. Ahmad S pon mungkin terlupa misi utama sebab baru sahaja berjumpa gelfren, masih di awang-awangan mungkin.

Seterusnya, Jeme telah melayan kami sebagai tetamu dengan sangat baik. Segalanya dia uruskan. Kami akan bertolak dan menamatkan misi pengembaraan esok malam. Jadi, tiket bas aku beli di Puduraya. Aku beli untuk balik Kulim. Kenapa Kulim? Sebab aku dah tulis surat kat Kolej yang aku nak balik tengok tok. Jadi, aku balik Kulim. Ahmad S ke Banting je. Sebab ada kenduri saudara. Jadi mak dia tak kan marah dia sebab dia datang terus dari Kuala Lumpur, dia akan bergerak ke rumah abang dia lepas itu. Bijak kan percaturan kami? Hahah.

Malam kami bersama Jeme, sembang-sembang. Makan di gerai makan berhampiran universiti. Aku tak ingat sangat. Kalau Ahmad S ingat, mungkin dia boleh tolong tambah untuk hari ini.

~Hari Ketujuh

Hari ini hari terakhir. Sekali lagi Jeme menjadi pemandu pelancong kami. Kali ini, dia yang tolong bawakan kereta. Pinjam dari Yani. Aku tak pasti kenapa, tapi sekali lagi kami ke universiti Kuril. Sebelum keluar ke universiti Jeme, kami singgah di papan tanda depan simpang. Jeme tolong ambilkan gambar. Jeme berdiri di tengah garisan jalan, bila tiada kereta, dia petik gambar kami. Sungguh istimewa layanan beliau terhadap kami. Gambar itu jadi dan sempurna.

Lepas itu,kami buat apa mende pon aku tidak ingat. Yang pasti, bila dah lewat petang nak masuk malam. Baru kami bertolak dari Bangsar ke Puduraya. Jeme membawa kereta pinjam itu laksana rally. Habis semua dia redah. Dia kata. Takpa, beri kepercayaan korang kepada aku.

Aku berserah. Kalau Jeme sangkut, aku terlepas bas. Kalau dia laju, mungkin aku tak naik bas. Jadi, aku hanya berharap.

(Tugu Negara, MMU, Putrajaya dan UPM)

Tapi, tentu pengakhiran cerita ini selamat la kan. Kalau tak, kenapa aku boleh tulis pulak cerita ini kan? Pengembaraan kami tamat di Puduraya.

Secara ringkas kesimpulan dan fakta pengembaraan yang boleh dibuat:

1. Kami naik segala pengangkutan awam. Bas ekspress, bas berhenti-henti, LRT STAR, LRT PUTRA, Komuter.
2. Hanya universiti di Shah Alam tidak kami jejaki.
3. Misi ke Tugu Negara berjaya dan sangat istimewa.
4. Kami jejaki semua rakan maktab yang kami kenal ketika di universiti mereka.
5. Hanya Peyo dan Kuril pernah membuat kunjungan balas ke universiti kami.
6. Sebulan cuti itu, aku hanya duduk rumah di Kelantan lebih kurang seminggu. Itu pun untuk balik JB, aku kene ambik tiket ke Melaka dan kemudian baru ke JB. Penuh saspens sebab tiket habis.
7. Aku dan Ahmad S memang dah rangka misi ini sebelum cuti semester lagi. Tapi rangka kosong. Tiada janji mahupun pengesahan. Masa ni, universiti kami masih belum menyelaraskan cutinya dengan universiti yang lain. Itu je satu-satunya peluang yang kami ada untuk meneroka universiti rakan-rakan.

Sekian.

"Aku tak percaya dengan orang Kuala Lumpur" ~ Ahmad S
ketika pertama kali menjejak kaki di Puduraya, Kuala Lumpur

Notajari amANI: Sekian sahaja siri Ahmad S. Aku rasa cukup dah kisah Ahmad S ini setakat ini. Dia pon dah menikah. Kita cerita hal-hal mendatang je la lepas ni. Segala tindak tanduk kami di dalam kisah ini tidaklah sempurna. Juga aku tiada kuasa untuk memutar masa. Ini adalah kenangan dan sejarah. Untuk pembaca yang tidak pernah terlepas siri ini. Mekasih atas sokongan dan galakan. Hangpa adalah motivasi utama aku menulis.


11 ulasan:

sheyda berkata...

puas la aku pk cane hang amek gambar bnyk2 tuh, sekali nmpak bayang da..berlatar belakangkan tikar plastik anyam plak tuh..hampes...aku ingtkan adelah scanner ke ape..huhuhu

Cerita panjang berjela, salin balik diari lama ke? hahaha..

Adam Ruslan berkata...

::sheyda::

Hahah, itu je la sumber imbasan yang ada. Jimat masa dan tenaga. Bayang2 tu memang ada kira 2 imej dalam satu la. Bonus. Hahah.

Panjang kan? Tak menyesal baca kan? Hahah.

Bukan salin balik, tak feel la. Baca semula dan tulis semula mengikut rasa masakini. Dalam buku merah jambu lagi panjang.

ziraniza berkata...

sebelum baca, scroll down dulu....mak aihhh...mmg betul pnjg hehe
xpe2...letak komen dulu hihi
ok, tarik napas...mula membaca ;D

~ fiza berkata...

ok dh habis...hehe mane th lps ni ade Ahmad s the muvi lak kn hehe

Tanpa Nama berkata...

Hmmm... Awat tak pi kembara di Sintok? Sana pun best... :)

Adam Ruslan berkata...

::ziraniza aka nor::

hahah, mujur dah letak amaran awal-awal. kalau rindu kisah Ahmad S, baca la ulang-ulang ye. tak hilangnye blog ini. jangan rindu Ahmad S sudah. hahah

::saiful::

Sintok? Memang tak da dalam agenda. Kami hanya pernah ke Kuantan sebelum itu. IKIP. Masa Kuril di matrikulasi.

Helmie Hleb berkata...

uish pjg lebar gile citer klimax ahmad s nie...dasat ler journey korang..pasnie leh ler kau ngan ahmad s bt tour famly lak..cr pakej famly pusing2x sabah ker sarawk ker..weh ahmad s awat kenduri belah sp tak ramai member dtg bro?jauh aku drive tue..igt leh pow member2..hehehe..

Adam Ruslan berkata...

::rage::

Hahah, aku tunggu ko berfamily dulu la. Pastu baru kita tour Malaysia jalan-jalan bawak kereta sampai boring.

Len kali pau la Mohd T. Ko rushing sangat nak balik, singgah dulu rumah dia makan-makan.

Helmie Hleb berkata...

mohd T nyer umah dhke utara beb..jauh tue..aku nk ke selatan..bile nk sampai umah tercinta kalo g umah mohd T..aku nk kecek dia appoint aku jd share partner nnt..agk2 aku nk kna buang keje nnt aku trus submit resume kt dia..hahaha

ayen =D berkata...

yeah!!! selesai baca!!!
tahniah!!

Adam Ruslan berkata...

::ayen::

Syabas. Terjejas tak projek tesis membaca tulisan panjang berjela ini? Hahah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...