Advertlets

Ahad, Mei 31, 2009

Catatan Diego - Nasi @Seattle

~ 12 September 2005

Ruang mesyuarat semua penuh. Ada rakyat tempatan dan selebihnya wakil jualan yang datang dari Uruguay, Mexico, Argentina, Bolivia, Kanada, Sweeden, India, Korea Selatan, Filipina, Taiwan dan Arab Saudi.

Majlis dibuka oleh Pengerusi Syarikat. Mata Diego masih meliar. Pandang yang memakai kot. Yang berkemeja lengan panjang siap tali leher. Yang berambut kaler bulu jagung. Yang berambut sudah beruban pon ada. Kasut kulit, hitam berkilat. Ada juga yang berpakaian santai, jeans dan kemeja-T. Itu mungkin dari Amerika Tengah. Texas atau Houston barangkali.

Diego, berbaju kemeja lengan pendek, seluar slack dan kasut hijau Polo hadiah kahwin. Tak berkilat. Duduk bersebelahan pakcik wakil jualan dari Mexico.Pakcik itu kelihatan sudah beruban dan sedikit botak. Mereka semua nampak mesra. Saling berbalas-balas pandangan dan pertanyaan dalam sesi pertama pagi itu. Hangat. Diego, senyap dan tunduk. Mengambil nota sebanyak mungkin buat panduan dan rujukan.

Tamat sesi pertama. Masa untuk rehat pagi.

Ada makanan disediakan. Makaroni bakar berdaging dan makaroni bakar vegetarian. Ada sayur-sayur segar. Ada pastri. Ada air jus dan air berkarbonat dalam tin. Juga kopi dan teh panas.

Kopi panas dan makaroni bakar vegetarian jadi pilihan. Selepas itu, pastri pon Diego sebat juga.

Wakil dari Arab Saudi ada 2 orang. Sorang nampak macam bos. Sorang nampak sedikit teknikal orangnya. Masa rehat. Yang rupa macam bos sibuk dengan telefon mahalnya. Nakio Communicator. Yang sedikit teknikal sedang bersoal jawab dengan wakil Sweeden. Diego makan sorang-sorang sebab tak tahu nak berbual apa dan dengan sapa. Diego sapa aje wakil-wakil dari Filipina dan India. Yang lain-lain Diego tak berani tegur lagi. Ingat senang nak kecek Amerika dengan orang Amerika?

Bila dah masuk tengahari baru ada peluang berbual banyak sikit. Wakil dari Arab Saudi datang, tegur Diego yang tengah termenung.

"Oh, nama kamu sama dengan saya, saya juga Mohammad" Lelaki Arab Saudi yang sedikit teknikal menegur.

Kami semua punya tag nama, ditulis besar dan lekat di dada.

"Ha'ah, tapi panggil saja saya Diego" Pantas Diego menjawab. Ingat lelaki Arab ini sombong.

Mereka terus berbual. Tanya asal mana, wakilkan syarikat apa, macamana perniagaan, apa pandangan terhadap instrument yang sedang mereka jual sekarang. Dan terus berkenalan. Rupanya dia orang Mesir. Bosnya sahaja orang Arab Saudi. Cuma mereka sekarang menetap di Arab Saudi.

"Kamu dah makan apa dalam 2 hari sejak sampai sini?" Mohamad bertanya.

"Ada la roti dengan tuna, roti dengan jem, cenggitu la" Diego jawab.

"Lah, kesian, petang ini kamu makan malam dengan kami, kita makan nasi" Mohamad memperlawa.

"Nasi? Oh, ada ke kedai halal dan menjual nasi?" Diego hairan terkejut.

"Ada, tapi bukan kedai yang 100% halal, makan udang dan seafood je la" Mohamad menerangkan.

"Ok, jangan lupa, nanti saya telefon bilik kamu petang nanti" pesan Mohamad.

Petang itu, mereka bergerak. Bertiga. Jalan kaki ke arah deretan kedai di kawasan paling hampir dengan jeti Pulau Bainbridge itu. Rupanya itu kedai masakan Amerika Latin. Mexico dengan lebih tepat. Mohamad dan bosnya, Salleh yang order. Diego angguk saja.

Hidangan malam itu. Berkeping-keping roti tortilla panas-panas. Sos Salsa tanpa daging dan hidangan utama, nasi goreng udang dan cendawan. Pinggan besar yang sewajarnya bernama talam. Nasi goreng dihiasi di atasnya dengan keju cheddar/mozarella yang cair. Penuh sepinggan. Eh, talam.

Perasaan Diego ditutup bercampur-campur. Syukur dengan kewujudan nasi. Kembang tekak dengan salutan keju cair di atas nasi dan sangat-sangat kenyang sebab baru betul-betul mendapat menu makan yang sempurna setelah 2 hari makan apa yang ada sahaja. Walau tiada ayam dan daging. Udang pon tidak kurang sedapnya. Mereka bertiga berkongsi 2 talam nasi goreng tersebut. Roti tortilla pun licin dek brader Mesir dan Arab itu.

"Kamu dah kahwin?" Mohamad sengaja mencari isu.

"Dah, baru je minggu lepas saya punya majlis perkahwinan" Diego jawab. Ringkas.

"Lah, itu baru sesangat, dah tu, kenapa tak bawak datang sini?" Salleh pula mencelah.

"Sape nak sponsor nak bawa datang sini, ini bos saya yang suruh saya datang pon dah cukup baik dah" terang Diego.

"Dah, kamu berdua, dah kahwin ke?" Saja Diego alih soalan.

"Dah, Salleh ada 3 orang anak, saya baru sorang, baru 2 bulan umur" Mohammad menjawab. Dan mereka terus berbual, tentang bahasa, agama dan budaya.

Ini hari ketiga, kali pertama Diego menjejak kaki di daerah Seattle, negeri Washington, negara Amerika.

Sejak ketika itu, sampai detik terakhir sebelum masing-masing berpisah dengan jadual kapal terbang masing-masing, mereka bersama-sama ke mana-mana. Makan. Beli barang. Tengok kedai-kedai. Jalan-jalan pusing pekan Seattle tengok Pasar Pikes, tempat orang baling-baling ikan serta ketam saiz raksasa macam cerita dokumentari cenel diskaveri Deadliest Catch.

Mereka bertukar-tukar matawang kertas negara masing-masing sebagai tanda persahabatan. Nota Rs 1 Brazil dan 1 Pound Mesir bertukar tangan. Mereka babai Diego yang naik van shuttle ke lapangan terbang dahulu.

KUIZ Catatan Diego : Apakah struktur yang digambarkan dalam matawang 1 Pound Mesir?

Notamulut amANI: Segala perbualan telah dialih suara, apa gila Diego nak cakap Melayu atau bahasa Arab dengan lelaki-lelaki itu? Mereka berbual dengan bahasa English Triple One Nine lengkap dengan tatabahasa dan vocabulary yang berterabur dan bertempiaran.

2 ulasan:

saiful berkata...

Kena tanya wife ni, dia dulu ngaji kat Egypt...

Adam Ruslan berkata...

^Saiful^

Sila-sila, cuba jangan tak cuba.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...