Babak 1
Jarang sudah cerita hal-hal jiran Diego di kejiranan Taman Universal ini menjadi bahan penceritaan. Sekali sekala, wajar juga kita menjengah melihat dan mengambil iktibar hal ehwal jiran. Sekadar memerhati dan mengambil tahu sudah mencukupi.
Suami Pn Solez punyai kereta nasional Brazil, warna putih tapi model sebelum model keluaran kereta Diego. Nombor platnya pula dari utara. Gaya pemakaiannya juga ringkas dan biasa-biasa.
Awal pagi kadang-kadang dia keluar bersenam di perkarangan rumah dengan berseluar katok bersinglet putih. Mengambil angin serta meregangkan badan. Lewat petang kadang-kadang menghisap rokok atas batu tembok di tepi pagar depan rumahnya. Kadang-kadang di hujung minggu, dia tengok-tengokkan tanaman sayuran dalam kotak polisterinanya. Yang ada serai, bawang dan entah apa lagi.
Menjadi kemusykilan kepada Diego dan Marcia suami isteri bila mana status pekerjaan suami Pn Solez tidak di ketahui. Sebab tak pernah nampak macam pakai baju kerja atau pergi pagi balik petang. Hanya kelihatan suami Pn Solez menghantar pergi dan pulang Pn Solez ke tempat kerja. Pn Solez pula punyai seragam baju ungu. Bertulis jenama tisu muka di belakangnya. Tapi misteri status karier suami Pn Solez masih berterusan.
Babak 2
Suatu tengahari, Diego balik bawa nasi dan lauk untuk makan tengahari seisi keluarga dari tukang masak tempah khas kegemaran keluarga Diego, murah dan berpatutan. Entah apa kebetulan hari itu, lori pengutip sisa lebihan isi rumah juga baru memasuki lorang rumah Diego. Terpaksalah membontoti lori pengutip sisa lebihan isi rumah itu. Air-air hanyir kelihatan menitik dari bucu kekotak simpanan sisa lebihan isi rumah.
Terbit rasa syahdu terhadap pengorbanan lelaki bertopeng seluruh muka berbaju biru gelap berlengan oren yang sedang mengutip tiap sisa lebihan isi rumah untuk tiap-tiap rumah. Panas terik tengahari menambahkan lagi rasa syahdu itu bila mengingatkan mereka mungkin sejak awal-awal pagi lagi sudah berkerah mengerjakan hal ini untuk kawasan perumahan lain.
Kerja yang tiada kerusi empuk, harus berjalan mengikut tempo dan lajak lori. Sisa yang kadang-kadang berat terpaksa dipikul tulang empat kerat. Kadang-kadang sisa tidak diikat kemas tuan punya sisa. Habis bertaburan di tengah jalan. Bau dan rupa tak payah cerita. Tiada guna Eau de Toilletteris sebotol kalau dah kerjanya bidang ini. Mereka tetap tekun, tiap sisa tiada yang tidak dikutip melainkan sisa tersebut tidak mesra pemampat lori. Ada sarung plastik khas diikat di belakang lori buat bahan-bahan boleh kitar semula berasas besi dan plastik. Dapat juga duit lebihan.
Diego menunggu penuh sabar untuk lori pemampat melepasi perkarangan rumah Diego. Apa yang Diego lihat selepas itu sedikit menginsafkan. Jiran berdepan dengan Diego, suami kepada Pn Solez, meluru keluar ketika lori pemampat melalui perkarangan rumah mereka. Di tangannya bukan sisa lebihan isi rumah untuk diserahkan kepada lelaki berbaju biru berlengan oren itu. Di tangannya adalah sekartun pek 6 air kotak soya 250ml. Buat penghilang dahaga lelaki-lelaki berbaju biru berlengan oren itu.
Walau apa kerjayanya dan gaya hidupnya, suami Pn Solez memang bertimbang rasa tanpa diskriminasi.
Kebelakangan ini, sudah jarang kelihatan kelibat suami Pn Solez. Entah dimana dia.
3 ulasan:
syabas kepada suami Pn Solez. ringan2kan tangan untuk bersedekah.
^redghost^
Yep, sedekah tanpa diskriminasi.
bagusnye suami die..
suami contoh tu..
Catat Ulasan