Aku belum memutuskan untuk menjadikan ini kisah bersiri terbaru. Kisah Ahmad S yang singkat itu pon macam dirindui je untuk ditulis lagi. Tapi satgi tulis, bini Ahmad S marah aku cemana? Hahah.
Eh, tapi macam la Mohd T watak utama cerita ini pula tiada bini? Takpela, satu cerita dulu k. Tengok sedap ke tak sedap ke macamana ke. Begini, ceritanya.
**11 April 1999**
Hari sebelum itu, Jumaat, aku naik bas dari Kolej, dengan rumet Mohd T. Pergi Angsana. Takda nak cari pasal apa pon. Cuma memang nak menggantikan tali jam Casio Illuminator aku yang telah dipakai sejak tahun 1996. Aku jenis pakai jam satu jenis je seumur hidup. Bila rosak tidak boleh dibaiki atau ganti, baru jam baru dicari ganti atau dibeli. Tak kira la jam tali besi ke, tali getah ke, tali kulit ke, jam tangan itu adalah harus berada di tangan kanan, hatta buat bermain bola sekalipon. Amik air semayang dan mandi je aku bukak jam. Sebab aku terpelajar lagi berkesedaran. Jenis apa amik air semayang dengan mandi pon nak tengok jam jugak woi? Tau la jam tu water resistant 100m. Jadi, jam tangan bukanlah topik hari ini. Pendahuluannya sahaja.
Dijadikan cerita, aku beli satu tali jam jenis 'zap'. Dulu aku tak tahu lagi nama sebenar zap ini adalah velcro. Kaler hijau buruk yang aku pilih langsung tak matching dengan jam Casio Illuminator itu, tapi apa aku kesah, janji fungsinya betul. Yang lebih menarik, dia bagi beg kedai dia yang lebar lagi panjang tanda terima kasih sebab aku beli tali jam itu. Ratio saiz produk dan beg plastik sangat tidak berkadaran. Aku sudah lupa hal ini. Nasib aku tulis dalam diari.
Dalam aku berjalan-jalan di Angsana, di ruang legar utama ada promosi. Satu booth Pepsi ada promosi yang sangat menarik. Hadiahnya sebiji bola Pepsi. Yang bertandatangan semua pemain bola yang ditaja Pepsi. Terus aku tarik tangan rumet Mohd T, ajak dia balik. Naik bas sesegera mungkin.
Balik kolej, aku terus mengadu kat Mohd T. Hanya Mohd T yang sanggup buat hal-ehwal macam ini demi sebiji bola. Sebab petang-petang asyik sepak bola takraw. Padang bola jaring kat belakang blok gadis tu rumput dah memanjang tak da sapa nak tolong mengimarahkan.
Mohd T terkejut dengan perkhabaran aku. Dia terus bersetuju. Tapi aku tanya, takkan nak naik bas lagi sekali kot. Dia kata takpa, esok kita pinjam motor posmen Baj**. Aku setuju, walau pun aku tahu Mohd T ada lesen L je untuk menunggang motor. Mujur Baj** juga ada helmet lebih. Tapi takda visor. Pedih-pedih mata aku menahan debu-debu berterbangan. Lekat kat pipi aku tak heran, sabun mandi ada.
Sampai kat Angsana, aku terus tunjuk kat Mohd T booth Pepsi itu. Mohd T senyum girang. Kacang.
"Kelepang-Kelepung-Keceper"
Aku dan Mohd T senyum terkikik-kikik. Bola saiz perlawanan bertandatangan pemain tajaan Pepsi dalam gengaman. Dapat pula satu karton 24 botol air mineral jenama Shot 500ml. Kami usung bawak balik. Naik motor. Bola masuk dalam raga, aku riba air mineral. Pedih-pedih mata lagi. Tapi tetap tersenyum riang.
Sampai blok. Semua yang ada pakat berkerumun. Petang ini kita main bola woi! Mohd T dah timang-timang bola, siap sauk letak kat belakang leher. Peh. Semua kagum. Bila yang bertanya mana dapat bola bertandatangan pemain tajaan Pepsi ini, Mohd T mula bercerita tentang hasil usahanya, mengelecek, menimang bola, merembat bola untuk booth Pepsi di Angsana. Aku tokok tambah sedikit sebanyak. Sambil menunjukkan karton air mineral pula. Semua bertambah kagum. Aku dan Mohd T senyum terkikik lagi.
Petang itu. 3 gol aku jaringkan. Main gol tiang. Dah padang itu padang bola jaring, mana nak cari gawang gol. Ada tiang bola jaring je la. Tapi tidak pula kami sanggup nak guna jaring bola jaring itu sebagai gol. Sampai ke sudah tak akan gol nak disepaknya. Semua sangat seronok dan gembira dengan kehadiran bola baru. Sedap sungguh. Yang tak suka sangat main bola masa itu macam Ahmad S juga turut main bersama.
Esok petang pon main lagi bola kat padang yang sama. Tapi aku bengang sungguh. Ada pulak tangan yang gatal pergi letak tandatangan dia kat bola bertandatangan pemain tajaan Pepsi itu. Pepsi ada taja kau ke? Ceh perasan.
Hampir 1 tahun bola tersebut berkhidmat untuk kami. Itu adalah zaman main bola paling enjoy untuk aku masa di universiti. Lepas itu ada lagi main bola, tapi dah agak serius serta berkomitmen. Padang bola jaring itu pon telah diharamkan buat pelajar lelaki main bola, setelah mendapat aduan tentang gangguan suara dan pencemaran aurat.
Yang sedapnya cerita ini adalah hal ini.
"Kelepang-Kelepung-Keceper"
Setelah di alih bahasa menjadi:
"Mohd T keluarkan RM20 dari dompetnya, dibayar kepada penjaga booth Pepsi, penjaga booth senyum, bagi air mineral Shot satu kartun, percuma sebiji bola Pepsi yang siap dipam. Kami senyum terkikik-kikik bila memikirkan auta yang akan dibuat untuk rakan-rakan di kolej nanti"
Ada yang hampir penuh setahun tidak mengetahui hal sebenar "Kelepang-Kelepung-Keceper" ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan