Advertlets

Selasa, Julai 07, 2009

Catatan Diego - Makan@Kerteh

Pekerjaan yang berkaitan perkhidmatan tidak dapat lari dari berjumpa pelanggan. Bertentang mata sambil berbicara tentang segala spesifikasi, parameter dan persoalan teknikal serta keupayaan analisis.

Lebih banyak peluang berbicara dan memahami selok belok jenis mesin-mesin besar ini, lebih senang kerja dilakukan. Dulu sepatah haram tak kenal apa kemende itu pemampat, tarbin, pam dan kaitan antaranya. Entah hapa-hapa. Yang tahu, itu semua thermodinamik, walhal kerjaya ini tak perlu seinci pun aplikasinya thermodinamik ini. Dah, kenapa kena ulang juga matapelajaran thermodinamik sampai 2 kali? Adapun begitu, bual bicara adalah sumber pengetahuan utama tika ini. Dia sembang kita angguk, kita sembang dia angguk. Simpan dalam kepala, bukan angguk jaga hati.

Sudah 2 perenggan ditulis tanpa menuju kepada isi utama. Yang ingin diceritakan bukan tentang mesin tanpa perasaan ini, yang ingin dikongsi adalah pengalaman makan di Kerteh, seperti yang tertera di tajuk. Ya, tiap manusia perlu makan. Nasi terutamanya. Jadi, berbezakah nasi di Kerteh dengan nasi di taman halaman?

Disebabkan punca rezeki Diego kebanyakannya di Kerteh, adalah perlu untuk memahami dan mengetahui sedikit sebanyak lokasi-lokasi kedai makan biasa-biasa untuk hidangan tengahari dan malam. Jadi, panduan orang tempatan diutamakan, samaada dari kenalan kerja, mahupun dari penyambut tetamu hotel.

Dari segi harga hidangan, agak KL di sini berbanding harga di rumah halaman. Nasi putih + ayam goreng + sayur + air berperisa dalam lingkungan RM5-6. Berbanding taman halaman, dalam lingkungan RM3-RM4.

Antara yang lain dari yang lain, nasi kukus. Tiada variasi untuk menu ini. Hanya nasi putih, kuah gulai, acar timun dan ayam goreng bersaiz potongan ala KennyRoges/Nandos (peha+betis atau dada+kepak). Jadi, harganya juga munasabah. RM6 untuk tiap hidangan.

Setelah segala kedai makan yang luar biasa dijejaki, tiba pula rasa nak makan di kedai nasi berlauk sahaja. Mungkin lebih banyak variasi dan kene dengan selera. Jadi, singgahlah Diego yang punya perasaan teragak-agak tiap kali nak makan di kedai baru.

Disebabkan jam sudah melewati waktu Zohor, pilihan hidangan sudah berkurangan, tapi masih dapat memenuhi citarasa atau pilihan Diego berpandukan formula ini: nasi putih+ayam goreng+sayur (10 tahun disogok makanan begini di asrama inilah hasilnya). Sayur lemak menjadi pilihan ditambah pula sepotong bendi, Diego amik pulak kuah campur kasi perisa yang bersesuaian. Sekali terpandang sambal tempoyak. Musim durian sekarang kan, sudah pasti ini hidangan yang jarang-jarang ketemu. Diego ambik juga sesudu dua.

Sambil menghadap hidangan, Diego belek jugak suratkhabar hari ini. Makan tengahari memang rancak kalau ada suratkhabar. Colekan pertama sambal tempoyak memang terasa sedap nikmatnya dengan kombinasi segala nasi, ayam goreng dan kuah campur. Tak sia-sia Diego cuba, walhal kebiasaannya, sambal biasa yang jadi pilihan. Tapi potong sikit. Bendi keras. Takpelah, tiada rezeki.

Memasuki suapan keempat, nasi mula berkurangan, sambal tempoyak mula terhakis. Mata masih ralit dengan berita sukan di suratkhabar. Mulut masih mengunyah. Tika Diego kuis sambal tempoyak untuk suapan seterusnya, terkeluarlah seekor ulat buah yang masih hidup mengeliat-liat mengambil napas, mungkin keteperangkapan di dalam sambal tempoyak pekat itu. Kasihan. Dia perlu udara segar. Ulat kerdil berwarna putih panjang 7mm ini mula mencari arah untuk bergerak terengsot-engsot. Kiut.

Ini sedikit menggangu perhatian dan proses pencernaan Diego. Diego baru dapat perasaan untuk makan dengan lahapnya. Tambah-tambah tempoyak itu memang sedap. Gangguan ini menggugat kesabaran dan kelaparan perut Diego. Diego ambil nafas juga, untuk memastikan tiada gejolak di dalam perut dan tekak. Mujur. Tiada. Tapi ulat itu?

Empangan!

Agak-agak apa terjadi seterusnya?

A. Diego karate meja dan terus berlalu tanpa membasuh tangan dan bayar harga nasi.

B. Diego laung kuat-kuat pada tuan kedai, marah-marah sambil tunjuk-tunjuk ulat kiut itu.

C. Diego terus telefon mengadu kat isteri peristiwa tersebut dan bagitahu, rindu nak balik taman halaman dan makan kat Pak Ali.

D. Sila isi sesuka hati korang penamat cerita ini. Nanti aku sambung penamat dalam ruangan komen sehari dua lagi.


9 ulasan:

noorafzan.blogspot.com berkata...

saya aidaikan C..
Sebab Diego orangnya baek hati..
dan perindu orangnya..
hehe~

sheyda berkata...

Empangan tuh ape? ke bermaksud lain, or, bermaksud berhenti or hape? aku pk makna buruk2 je..hahaha..

Adam Ruslan berkata...

^noorafzan^

Begitu ye. Hahah.

^sheyda^

Empangan adalah satu perkataan yang mulia, tapi tidak berapa bila dialihsuara dan diambil intonasinya. Begitulah.

don berkata...

buang sambal tempoyak tu dan teruskan makan...sambal tu rezeki si ulat..nasi tu rezeki si diego..bedal je la

Adam Ruslan berkata...

^don^

Begitulah. Masing-masing ada rezeki.

Adam Ruslan berkata...

E. Diego sangat terganggu dengan kelibat ulat kiut itu. Diego amik bendi yang dah terbelah, Diego tutup sekitar sambal tempoyak. Diego kaut nasi keliling itu, timbunkan ulat itu.

Diego teruskan suapan-suapan seterusnya. Sekali muncul lagi ulat itu keluar dari timbunan, Diego timbunkan semula dan teruskan menumpukan perhatian untuk makan. Walau mata tetapi meliar kot-kot ada lagi kelibat ulat kiut itu. Sampai habis. Kecuali timbunan sambal tempoyak, kepingan bendi dan nasi sekitarnya.

Diego ke kaunter dan membayar harga penuh. Tanpa sebarang komen.

saiful berkata...

Kalau ulat dari dalam buah tak apa. Memang sukar nak elak.

Apa pun, ada yang bukan rezeki kita...

moyes berkata...

En. Diego,

Semasa saya membuat kerja di Kerteh, saya lebih suka makan di pelbagai kedai. Yang paling best ialah kedai nasi kukus kat pekan Paka. Sedap sangat. Nanti kalau pergi lagi nak kirim boleh tak. Mengidam.

Adam Ruslan berkata...

^moyes^

Kedai nasi kukus di pekan paka? nanti akan cuba di riki.

Diego pon selalu2 mencari kedai-kedai berlainan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...