Mula-mula tahu, aku memang teringin nak tengok perlawanan ini. Secara langsung di Stadium Bukit Jalil.
Patut ada peluang boleh dapat tiket percuma, kumpul keratan dari suratkhabar The Bintang, tapi awal-awal aku dah terlepas beli untuk yang ada keratan pertama. Aku simpan jelah hajat itu.
Kemudian, aku tanya Encik Juan, dia pon beli sendiri, takda sapa berani nak sponsor dia. Melepas lagi.
Aku pula, bulan ini keluar bertugas diluar daerah kemain banyak. Tak tahu sama ada kena ke idak hujung minggu perlawanan ini, kene dengan tarikh aku berada di KL.
Impian itu menjadi kenyataan sebutir-sebutir seperti menyambung titik-titik di buku kaler Ammar bila aku berkebetulan perlu berada di KL hari minggu ini. Dengan status kewangan yang telah mengizinkan, dengan status bersendirian, dengan mengetahui Asyraf dan Azzam adik beradik (sepupu aku) juga punyai tiket, juga aku berkesempatan untuk ke sana bersama-sama Encik Juan. Aku berjudi nasib, ke stadium Bukit Jalil sejam lebih awal. Berharap tiket yang paling murah masih dijual. Posisi belakang gol bukan halangan.
Nasib yang diperjudikan menjadi takdir rezeki. Aku dapat tiket. Aku sendiri-sendiri. Juan dan rakannya Taikun punyai tiket mahal, maklumlah penyokong tegar, mereka masuk ke gate yang berlainan. Aku mengharap dapat berjumpa Asyraf dan Azzam untuk tengok sama-sama. Tapi, dorang baru naik komuter. Jadi aku masuk dulu dan mengambil tempat duduk yang masih kosong, kiri aku ada 2, kanan aku ada 3 kerusi kosong. Kiri kanan depan belakang aku, majoriti berjersi Man Utd. Mujur aku duduk ada ruang kiri kanan. Sebab aku pakai jersi Malaysia. Sangat jelas.
Motif aku datang, setakat mahu melihat pasukan Malaysia bermain dengan semangat ditahap tertinggi. Kalu main macam celaka, kutuk kasik rapat. Kalau main bersahaja dan bijak, kasik tepuk kuat-kuat dan puji-puji. Begitulah. Tapi, beranikah aku nak kutuk Rooney kalau dia chip one-by-one pon serong? Kene siggung kat dagu nanti cemana?
Permainan adalah menghiburkan dan rancak. Semangat aku menaik semacam bila keeper Malaysia melayangkan badan menolak keluar rembatan Berbatov pada serangan pertama Man Utd. Mujur. Bukan seperti perlawanan terakhir yang aku tengok langsung dari stadium yang sama sebelum ini dalam Piala Asia, keeper Malaysia bukan lagi Azizon Kadir. Bola sepakan sudut pula banyak yang ditanduk keluar oleh pertahanan Malaysia.
Malaysia dapat satu peluang keemasan bila Zakuan dijatuhkan berhampiran kotak penalti. Aidil bersedia mengambil sepakan. Penyokong satu stadium menepuk serentak memberi sokongan. Untuk Malaysia, walhal pakai baju merah. Tapi hambar, sepakan leretnya jauh tersasar dari tiang gol.
Tapi skrip biasa perlawanan Malaysia dalam perlawanan tahap tertinggi seakan berputar semula. Bilamana minit ke 15, rembatan Berbatov dari hantaran lintang Gibson ditepis muntah oleh keeper Malaysia, Farizal tapi pantas disambar Rooney dihadapannya. Disauk naik ke bucu kanan gol. Penyokong berbaju merah kiri kanan depan belakang semua meloncat bertepuk tangan. Stadium riuh. Aku, geleng kepala.
Pemain Malaysia masih punyai beberapa gerakan yang berpeluang untuk mencuba menghasilkan gol. Amri Yahyah yang nampaknya sangat positif permainannya, segala gerakan serangan seakan bermula dari dia. Cuma, 2 cubaanya tersasar jauh dari tiang gol. Indra Putra, kelihatan agak tenggelam, hanya ada 1 cubaan ke arah gol yang tepat kepada Van der Sar. Zakuan tidak langsung berkesempat untuk merembat ke arah gol Man Utd.
Pertahanan Malaysia longgar lagi sekali bilamaana Rooney mendapat hantaran yang baik dari kiri, melepaskan satu thru-pass cantik buat Nani menyambar dan merembat lolos dari celah kangkang Farizal. Sekali lagi stadium bergema dengan ombak penyokong berbaju merah. Riuh rendah. Sekali lagi aku bungkam. Gol itu memang kelas EPL.
Akan tetapi, permainan Malaysia tidak banyak yang negatif walau sudah ketinggalan 2 gol, bola tetap dilorongkan ke hadapan, dengan hantaran-hantaran pendek untuk pemain bahagian serangan. Tanpa disangka, satu bola dari tengah kepada Amri Yahyah dikiri luar kotak penalti dikawal baik dengan dadanya, dari posisi membelakangi gol, Amri berpusing dan melepaskan satu lambungan dengan kaki kiri. Van der Sar diluar posisi. Berlari ke belakang tapi bola telah menerjah jaring. Gol untuk Malaysia. Kali ini, aku yang lompat-lompat. Tapi penyokong berbaju merah pon lompat jugak, aku konpius. Hahah. Separuh masa pertama tamat. Ada sinar ceria. Bukan senang-senang mahu memboloskan gawang Man Utd.
Aku tertunggu-tunggu Asyraf dengan Azam. Nak dihubungi, tak dapat sambungan. 80,000 orang di kawasan yang sama, manala nak dapat menembusi talian. Jadi aku masih sendiri.
Perlawanan masa kedua bermula. Man Utd bermula garang, terus-terusan menyerang. Rasa kot Pak Alex hambur sebijik dua masa rehat tu kot. Van der Sar dah ditukar ke Ben Foster. Mungkin Pak Alex bengang la kot. Mujur serangan-serangan dari kiri dan kanan dapat dipatahkan dari awal. Asal pass mesti disekat.
Entah cemana, dengan tanpa sebarang tekanan, pertahanan Man Utd menghantar bola ke belakang kepada Ben Foster. Ben Foster tertekan agaknya, bola laju itu terlepas dari kawalan, sekali lagi Amri Yahyah meluru dan mencuba nasib merebut bola tersebut. Dikuis masuk untuk gol kedua Malaysia. Kali ini aku loncat tanpa menghiraukan perasaan penyokong kiri kanan depan belakang. Kene siggung pon takpe, berbaloi-baloi bersorak sebegini. Sebab gol itu menunjukkan kehormatan dan kebanggaan buat Malaysia. Mereka melawan.
Rooney kelihatan agak bengang. Dia dah bawa siap-siap bola ke tengah padang, cuba memulakan permainan secepat mungkin. Walhal pemain Malaysia masih berpeluk di kawasan Man Utd. Kali ini sorakan buat Malaysia baru terdengar. Ada sekumpulan yang menyanyikan lagu Barisan Kita.
Cuma, ada 30 minit lagi sebelum permainan berakhir. Boleh ke idak mereka bertahan? Perlawanan mula perlahan dari bahagian Malaysia, bola sudah kurang di hantar terus ke penyerang. Asal hantar mesti separuh jalan. Tapi tidak bermakna Man Utd tidak mencuba, cuma segala gerakan dapat dipintaskan. Satu cubaan 1-2 antara Berbatov dan Owen juga tidak menjadi. Owen? Oh ya, dia masuk menggantikan Rooney. Selepas penyokong berbaju merah pakat-pakat sorak nama dia. (Azzam tertanya-tanya, kenapa sorak nama Owen? Kalah la Malaysia kalau Owen masuk, dia konpius dengan sikap penyokong berbaju merah). Cubaan pertama Owen hanya meleret melintasi gawang gol Malaysia. Aku bagi jugak sebaris "Patut la Man Utd dapat free je!!" Tapi risau jugak kalau kene siggung.
Pertukaran pemain Man Utd dan Malaysia yang dibawa masuk sedikit sebanyak merubah corak permainan. Menjadi kurang rancak. Jentera gerakan serangan yang di ambil alih oleh Shafiq Rahim juga tidak lagi dapat memecah belahkan pertahanan Man Utd. Sama juga untuk Anderson. Asal dapat bola, dilayangkan ke sayap kanan, kepada Nani. Nani pula mensia-siakan gerakan, demi gerakan. Semua tak menjadi. Bek kanan Malaysia 3-4 kali membuat terjahan kemas menyekat gerakan dari sayap kiri Man Utd.
Sekali lagi penyokong berbaju merah bersorak gegak gempita bila Giggs dibawa masuk dengan perlawanan berbaki 15 minit. Giggs memang telah merubah gerakan serangan Man Utd. Kuisan dan gelekannya memperdayakan. Sekali, dia thru-pass mengejut meninggalkan pertahanan Malaysia. Farizal cuba keluar menghalang Tosic yang meluru, bola muntah dan disambut Owen. Owen menendang ke arah gol. Lurus. Bunyamin yang bersedia di atas garisan gol gagal untuk menghalang bola dari menerjah jaring, walhal bola itu hanya sehasta dari kakinya. Dia bungkam dan tersembam di padang. Aku juga kecewa. Bola itu boleh ditahan sebenarnya. Stadium gemuruh kembali. Seronok sebab pasukan kesayangan mereka menewaskan pasukan negara mereka.
Tapi aku rasa, jauh disudut hati, para penyokong berbaju merah mengharapkan keputusan seri. Agar mereka tidak dipaksa untuk memilih. Tapi, harapan itu tidak menjadi kenyataan. Hanya beberapa minit lagi yang tertinggal untuk perlawanan tamat. Satu cubaan jarak jauh dari pemain Malaysia hanya menghampiri bucu kiri gol Man Utd.
Aku keluar seminit dua lebih awal sebab Juan dan Taikun sudah beredar dari stadium. Sepatah aku menyebut "Apa ni Man Utd?"
Terus diberi jelingan tajam oleh Taikun dan diugut ditinggalkan oleh Juan. Aku tarik balik kenyataan itu dan memberi komen yang lebih demokrasi. Tapi mereka sendiri yang mengata prestasi layu Berbatov. Macam pemain dari Bagan Serai. Bukan Bulgaria.
Misi aku selesai. Aku dapat melihat satu perlawanan secara langsung yang mana Malaysia bermain secara melawan pada perlawanan tahap tertinggi. Memori aku sebelum ini untuk perlawanan Malaysia dengan Brazil dan Uzbekistan sebelum ini telah ditulis semula dengan memori perlawanan ini. Pertama kalinya Malaysia melawan. Dah kene gol 2 pon tidak mengalah. Keputusan akhir, Malaysia 2 - Man Utd 3.
Tapi Isnin ini ada perlawanan ulang semula sekali lagi. Aku kurang yakin dengan sifat pemain Malaysia yang sedikit lupa diri bila baru mencipta kejayaan (kalah pon, bukannya kejayaan sangat, tapi nak jugak lupa diri). Macam dengan pasukan kelab Zimbabwe, Monostopa baru-baru ini.
Notakaki amANI: Nanti-nanti la aku masukkan cerita bergambar. Kali ini kita layan tulisan je dulu. Amri Yahyah mesti dapat offer perpindahan tertinggi lepas ini. Dia sorang yang superb malam tadi. Stadium dipenuhi penyokong berbaju merah. Ada la sekelumit dua berbaju kuning jalur hitam. Tapi tetap tak ramai. Cuma, aku perasan ada seorang mat salleh, dia ikat bandana MALAYSIA di dahinya, dengan berbaju T-Shirt kuning.
7 ulasan:
wah.. walaupun dah berYM dulu tentang man U vs malaysia ni, tapi still rasa JIWA habis baca post ni. Rasa macam kat stadium! (wah, over lak)
terasa perasaan yang pelik lah bila diceritakan ramai berjersi man U. hhmmm.. perasaan superb pelik. agak-agak kalau malaysia diganti dengan indonesia, di indonesia, orang indonesia pakai jersi apa?
tapi man U kena sokong gak (bukan fan giler2.. tapi kaler jersi dia smart. nama pun macam best. hehehe)
macam mana abang adam ingat semua detail ni? menulis sambil menonton ker? hahaha
HIDUP MALAYSIA!
Malaysia bukan x boleh menang..
tapi kena ada mindset
'tidak terlalu mudah berpuas hati.lupa diri.'
tu jer~
bukan peminat bola..
tapi membaca ulasan ni dari mula sampai abis dengan minatnye...hehe thanks.
wah....walaupun aku tak tengok game dorang ni (ade ke kat astro???) tapi gaya penulisan membuatkan aku terbayang-bayang macam mana keadaan di padang. 2 thumbs up untuk Amani....
^ayen^
Ingat sebab memang ingin mengingati momen-momen itu.
Penyokong berbaju merah bersemangat Man Utd tapi masih berhati Malaysia. Sebab dorang lompat-lompat jugak bila Amri Yahyah skor. Cuma bias sikit la. Hahah.
^azfan^
Hemm, harap berterusan menyokong la. Bukan bila menang kita sokong, bila kalah kita diam je.
^Di^
Ni kira ulasan cikai jela. Kalau mahu macam berita punya, kene mintak orang lain la tulis.
^Redghost^
Kalau hang minat bola terlebih sikit ja aku ajak sudah mai tengok sama. Hahah. Ada la siaran kat Supersport.
hehehehe.. gila panjang komen.. tapi macam biasa, menarik!
Bab bola Malaysia, sukar nak pertahankan sesuatu kerana basic Malaysia masih rapuh. Teras pembangunan akar umbi tidak kukuh. Sebab itu dari aspek teknikal dan kemahiran, kita jauh tertinggal.
Namun fighting spirit yang amat membanggakan cuma saya masih ragu apakah fighting spirit sebegitu akan dikekalkan dalam kejohanan lain?
Kalau dikekalkan, dah nampak dah Pingat Emas Sukan SEA sebab prestasi U-23 kita adalah antara yang terbaik.
Apa pun Malaysia tetap di hati !
Catat Ulasan