Dalam ruangan Geografi Kebangsaan (National Geographic kalau ikut bahasa kedua encik Thierry Henry), aku ingin berkongsi beberapa dokumentari yang aku rasa harus dikongsi dengan semua. Tak kira anda orang tempatan, luar taman, luar daerah, luar negeri mahupun luar negara. Kita harus menghargai keunikan dan kelainan yang ada. Tidak semuanya sama. Pergi mana-mana pun tak sama dengan tempat kita. Tapi tidaklah Taman Universiti ini terlalu unik sehingga Geografi Kebangsaan harus mengeluarkan edisi khas. Lebih kepada hal-hal yang aku rasa perlu aku hargai sebab aku berada di Taman Universiti.
Kenapa aku pilih Taman Universiti? Secara sejarahnya, kita dinilai sebagai orang tempatan dengan tempoh berapa lama kita menetap di sesuatu tempat. Di sini aku senaraikan tempat yang aku pernah menetap tinggal menghabiskan usia. Aku tak kira jumlah berapa kali pindah, sebab bila pindah pon, kebanyakan masa aku tinggal di asrama / kolej, maka aku kira lebih menghabiskan masa di waktu itu di sana berbanding di rumah.
Kuala Terengganu: 1980-1982 (2 tahun) = 2 tahun
Lahir dan duduk sekejap-sekejap dengan pak dan mak serta tok dan tok wan di Ipoh/Kulim.
Kulim: 1983-87 (5 tahun) + 1993-1997 (5 tahun) = 10 tahun
Membesar dan mula mengenali dunia dan bila sambung belajar peringkat menengah di asrama.
Ampang: 1988-1991 (4 tahun) = 4 tahun
Tempat menjadi budak-budak. Zaman paling indah.
Subang: 1992 (1 tahun) = 1 tahun
Tempat menjadi budak bandar. Kejap je.
Skudai: 1998-2002 (5 tahun) + 2003-sekarang (7 tahun) =11 tahun
Tempat mula-mula mencari ilmu untuk hidup. Kemudian menjadi tempat mula alam pekerjaan sebenar dan kemudian tempat memulakan keluarga sendiri.
Dapat disimpulkan dengan jelas, Skudai atau lebih dekat, Taman Universiti telah menjadi tempat yang lebih tempatan berbanding dengan tempat aku dibesarkan, Kulim. Juga ia merupakan tempat paling lama pernah aku duduki dalam satu-satu masa. Jadi bagi aku, tidak mustahil kalau dokumentari Taman Universiti ini boleh diwujudkan, kerana 11 tahun di satu tempat yang sama, tentu ada memori dan nostalgianya. Akan aku rungkaikan dan catatkan kisah-kisah ini untuk masa akan datang.
Dari sorotan masa ini juga, mesti orang tertanya-tanya. Aku orang mana? Bila orang tanya aku macamni, aku berbelah bahagi nak jawab apa, tak jawab dikata sombong, dijawab pendek macam tak sempurna, dijawab penuh pula nanti dikata terlebih mesra sebab jawapannya panjang berjela. Aku selalu simpulkan seperti ini.
"Saya lahir di Terengganu, tapi saya bukan orang Terengganu. Sebab saya besar kat Kedah. Mak saya orang Kedah, tapi pak saya orang Selangor, tapi sekarang pak mak saya duduk di (Ampang / Subang / Jelebu / Pengkalan Chepa / Taboh Naning / Terendak /Jasin / Seremban / Kulim)".
Akan ditanya balik, jadi orang mana?
Aku akan jawab. Kedah.
Jawapan itu mungkin tidak releven dari segi fakta, tapi aku tetap rasa aku orang Kedah. Hahah.
Sebagai penghargaan, aku akan membuat Geografi Kebangsaan untuk tempat-tempat yang aku fikir punya nostalgia, penuh kenangan dan harus dihargai. Bermula dengan Taman Universiti.
Nantikan edisi Dua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan