Ingat nak tulis skali je isu ini, tapi rasa ada lagi yang patut dikongsi.
Masa aku tulis dulu, lebih kerana aku rasa apa yang adil, apa yang tak adil. Kenapa nyawa tak berdosa jadi mangsa. Kenapa bertindak kejam?.
Kali ini, aku nak tulis pasal tindakan. Apa yang kita boleh buat. Sebarkan pengetahuan dan kesedaran, bahawa ini bukan isu remeh, ini melibatkan nyawa, maruah dan martabat sebuah negara - Palestine.
Syabas untuk Frederic Kanoute, dia berani bukak jersi Sevilla dia dan tunjuk T-shirt dalamnya, tertulis nama negara Palestine, bila menjaringkan satu gol pada perlawanan Piala Raja Spain. Dia kena kad kuning dan dikenakan denda sebab menyebarkan idea keagamaan dalam permainan, apa sangat denda dan kad kuning berbanding mesej yang ingin disampaikan. Satu kelab dari Iran memberi kesediaan untuk membayar denda itu. Dia bukan rakyat Palestine, dia dilahirkan dan dibesarkan di Perancis, tapi memilih kerakyatan Mali dan bermain untuk Mali dalam Kejuaraan Afrika. Dia juga satu-satunya player Sevilla yang tak pakai jenama sponsor pada jersinya sebab sponsor jersi itu adalah sebuah agensi judi. Dia juga single-handedly beli tapak sebuah masjid di Spain dari mengelakkannya dari dijual. Dia Muslim.
Boleh kita nak jadi Frederic Kanoute? Nak terer main bola macam dia dah tentu tidak, nak berani seperti dia? Sanggup tunjuk sokongan dia pada Palestine secara terang, dalam sebuah negara bukan majoriti Muslim? Dalam satu siaran langsung?
Kita sebenarnya boleh buat macam Kanoute buat, bukan secara perseorangan, tapi rakyat marhaen macam kita ada satu super power, lagi power dari Kanoute, kita boleh boikot. Ya, boikot.
Aku pada mulanya sangsi pada boikot, apa gunanya boikot, kita bukan negara yang besar, takde impak ekonomi la kalau boikot pun, kalau aku boikot, bukan jiran-jiran aku turut boikot pon. Sape yang rugi? Diri sendiri yang rugi. Dah tu pulak, ada jenama-jenama yang aku pakai pulak yang nak kene boikot. Entah betul entah tidak jenama ni ada sponsor Israel. Kot ada sape-sape dengki atau tak suka, senonong je letak jenama tu skali dalam SMS dia.
Tapi semua tanggapan aku itu salah. Ada benarnya dalam boikot ini. Baca seluruh blog ini untuk mendapat kefahaman selanjutnya. Dia ada justifikasi kenapa kita boikot setiap jenama tersebut. Bukan saja-saja boikot. Tapi case-study yang dia buat adalah dari negara lain, bukan Malaysia. Jadi ada kesan ke boikot yang diwar-warkan dalam Malaysia ini masa mula-mula Gaza kene serang? Apa yang aku bagi ini adalah pemerhatian aku, tiada data-data sebagai bukti kukuh tapi aku membaca apa yang tersirat.
Bukti satu:
Huggies. Aku jarang jumpa atau tak pernah jumpa dalam semua risalah jualan murah, dari Giant, TESCO, Carrefour ataupun JUSCO yang pada masa yang sama memurahkan harga jual lampin pakai buang Huggies. Murah sampai tahap lagi murah dari Baby Like atau pon Hey Baby. Untuk rekod, aku telah memantau harga 'pampers' sejak tahun 2006 di semua pasaraya melalui iklan dan risalah-risalah. Apa tandanya? Orang telah boikot Huggies dan membeli jenama lain, lambakan stok tidak terjual terhasil.
Bukti dua:
McDonalds. Hari Jumaat lepas, dalam The Star, aku jumpa iklan satu muka surat penuh dari McDonalds, 'Kami bangga sebagai Malaysia" Dalamnya penuh dengan sejarah McD di Malaysia, cerita kebajikan RMCC dan juga slogan bangga sebagai syarikat yang begitu tempatan. Apa tandanya? McD telah mengalami kemerosotan jualan dan sokongan pelanggan dalam masa terdekat ini.
Bukti tiga:
Dulu masa keluar filem Fitna, sorang MP dari Belanda telah mengYoutube kan filem ini yang memutarbelitkan fakta tentang Islam, aku tak tengok, tapi aku baca berita mengenainya. Kesannya di Malaysia, semua barangan Belanda disarankan boikot. Masa ini, susu kotak Dutch Lady jadi murah, stoknya berkepuk-kepuk. Harga seliter RM2.99. Tapi sekarang isu itu mungkin dah suam-suam kuku. Harga susu kotak Dutch Lady dah naik semula. RM3.88. Ini di JUSCO. Kalau beli di kedai di stesen minyak, RM 5.80 seliter. Nampak beza tak kalau boikot dan tak boikot?
Ada yang akan sanggah, dah dorang ni kan syarikat tempatan, pekerjanya orang Malaysia, bos-bosnya orang Malaysia, kalau kita boikot, yang terjejas adalah rakyat Malaysia, bukan Amerika. Ini betul, tapi kesan boikot sebenarnya bukan menutup satu rezeki rakyat tempatan, tapi membuka 2-3 pintu ruang bumiputera Malaysia meniaga. Kenapa? Ambil contoh Colgate di Malaysia. Kukuhnya Colgate sampaikan ubat gigi apa jenispun orang akan panggil Colgate. Tapi Colgate juga pernah menjadi mangsa boikot satu masa dahulu sebab iklannya hanya menyebut diperakui Halal oleh badan yang disahkan Jakim. Bukan Halal Jakim. Apa kesannya boikot ini? Ubat gigi Mukmin dan ubat gigi Najwa mengambil tempat dirak-rak pasaraya. Tak cukup dengan itu, ubat gigi berasas kayu sugi diperkenalkan. Siapa yang menang dalam hal ini? Kita menang sebagai pengguna. Bumiputera yang meniaga juga mendapat peluang memperkenalkan produk tempatan lagi halal.
Ada yang kata, dah kalau barang-barang yang dah kita beli, sekarang baru tahu kene boikot, kena pakai ke kena buang? Kata aku, pakai. Tapi habis nanti, jangan beli semula. Cari jenama lain. Itu je. Ini bukan soal halal haram, kalau haram, kita tahu tak boleh sentuh, tak boleh guna, tak boleh pakai, tapi ini soal boikot. Apa guna campak ke sungai henpon NOKIA yang dah dekat 5 tahun kita pakai semata-mata nak boikot NOKIA sekarang? NOKIA tak terasa langsung impak kita buang henpon itu sekarang, yang kita kena buat adalah boikot barangan itu sekarang. Jangan beli sekarang. Sebab itu dipanggil boikot. Bukan pengharaman.
Jadi, jangan kata kita takda super power, power kita ada pada kuasa membeli.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan