Advertlets

Rabu, Oktober 07, 2009

Aku dan Ahmad S - Retro I

Bukan. Bukan juga. Hahah, tatkala kamu mengetip topik ini, mesti tertanya-tanya kenapa ada lagi kisah ini? Aku pon tak tau, tapi terpanggil untuk repeat entri dia. Hahah.

Kisah Ahmad S datang lagi. Kali ini lebih retro. Sebab kisah ini semasa Ahmad S masih berwajah jambu lagi suci. Rambut belah tengah ada remose. Pakai spek mata tidak berbingkai (mahal) tapi sedikit berkulat hijau pada besi kakinya. Pergi mana-mana mesti pegang buku teks Matematik Tambahan konon-konon rajin membuat latihan.

Pagi tadi terdengar radio orang sibuk bercerita hal ehwal hari ini bermula peperiksaaan PMR. Secara automatik folder ingatan aku terhadap pengalaman mengambil peperiksaan SPM mula mengimbau. Banyak-banyak fail-fail ingatan yang keluar, aku terkenang fail ingatan untuk kertas terakhir aku. Biologi Kertas II.

Sebab ini kertas terakhir SPM, yang menandakan hari terakhir secara rasmi aku akan menamatkan pengajian sekolah menengah dan tahun hadapan boleh masuk kedai game tanpa perlu berpeluh tangan dan jantung berdegup kencang serta otak berpikiran panjang nak bagi alasan apa kalau tuan kedai game mintak IC. Ah, Ahmad S sesudah dapat lesen berumur 18 tahun pon tokey kedai game kat JB tu tanya jugak IC sebab wajah suci murni beliau.

Berbalik pada suasana dewan pada hari terakhir dan kertas terakhir buat hampir 120 orang pelajar yang mengambil Biologi, geng-geng Prinsip Akaun masih berdebar menelaah kat asrama sebab esok baru dorang punya kertas terakhir. Kertas Biologi II ini sangat aku ingati sebab beberapa perkara, tapi yang paling utama, berkaitan dengan Ahmad S.

Kalau yang belum sedia maklum, zaman ini Kertas II bermaksud kertas esei. Mula-mula soalan yang kena memberi jawapan pendek, kemudian soalan yang kena buat 2 esei pendek dan terakhir esei panjang untuk 1 topik dari 5 pilihan.

Perasaan berdebar nak amik pereksa hanya pelajar yang menelaah dan mengambil pereksa sahaja yang tahu. Ahmad S tidak tahu perasaan ini hari itu. Adakah cukup fakta-fakta yang dihafal dan diingati dan dipendek-pendekkan menjadi suku-kata senang diingati itu akan keluar lancar ketika menulis esei itu nanti? Dapat sahaja kertas jawapan, aku tulis nombor giliran macam biasa-biasa sebelum ini. Kertas kajang bertanda Lembaga Peperiksaan Malaysia semua dapat 2 helai sorang. Semua nampak pasrah menunggu kata keramat "Kamu boleh mula sekarang" dari guru penjaga peperiksaan.

Tepat sahaja arahan itu keluar, aku selak semua soalan yang ada, sampai soalan esei panjang. Hati berbunga sebab salah satu tajuk itu aku memang dah bersedia. Aku jawab yang mana aku boleh nak jawab, syukur sebab semua soalan-soalan yang diberikan macam dah pernah jawab. Tunduk je aku tulis tiap-tiap jawapan. Cikgu Hapiza mesti bangga dapat anak murid yang cerdas macam aku.

Soalan pendek-pendek dah siap, soalan esei pendek pon dah siap. Aku dah susah hati, kertas kajang 3 helai dah habis, nak angkat tangan ke tak nak? Nanti orang kata aku berlagak pulak mintak kertas banyak-banyak, macam power sangat Biologi dia. Sementara aku meninjau-ninjau guru penjaga peperiksaan yang berdekatan, aku tinjau juga Ahmad S yang duduk paling tepi sekali belah pintu dewan. Dah nama dia Ahmad, konfem paling awal kan. Aku geleng kepala. Mamat ini memang mempunyai keazaman dan iltizam yang tinggi untuk berbuat begini. Walau kami kelas lain-lain, Cikgu Hapiza jugak yang ajar dia Biologi, tapi insiden ini kalau Cikgu Hapiza tengok, mesti dia susah hati dan tak lena tidur malam. Sedap je aku tengok Ahmad S meletakkan kepalanya di atas permukaan keras meja kayu itu dan sedang lena dalam tidurnya. Dia tulis nombor giliran sahaja gamaknya. Memang sangat beriltizam tinggi.

Tanpa berfikir panjang lagi terhadap perasaan orang dibelakang aku, aku teruskan juga mengangkat tangan kepada guru penjaga peperiksaan. Sengih je dia kasik 2 helai lagi kertas kajang untuk aku memulakan esei panjang aku. Bukan panjang berjela sangat pon aku tulis. Tapi sebab aku dah belajar dari kesilapan. Aku tulis guna font saiz 22 seperti nasihat seorang rakan yang kini pereka grafik sambilan. Tulisan juga aku bulat-bulatkan supaya nampak penuh antara dua baris biru kertas kajang itu. Jadi kertas sedia ada tidak mencukupi.

Tajuk esei tersebut adalah fungsi daun dan kaitannya terhadap air. Aku mula membayangkan keratan rentas daun yang sama-sama aku dan bekas rakan serumah aku masa tingkatan 3 lukis atas permukaan meja licin dekat dewan selera masa kami menelaah sebelum peperiksaan percubaan SPM. Soalan daun tak masuk masa itu, tapi kali ini tak sia-sia aku hafal keratan rentas daun itu. Fungsi tiap sel dan organ daun aku tulis dan labelkan semua. Fungsinya dalam fotosintesis aku terangkan cukup-cukup. Lebih dari itu lagi aku tambah, fungsi daun semasa hidrolisis pula. Selesai 2 helai kertas kajang yang diberikan.

Aku angkat kepala. Sekali lagi meninjau Ahmad S. Masih lagi berkedudukan dan posisi yang sama. Entah apa la alasan dia nak bagi kat mak dia bila mak dia tengok keputusan subjek Biologi dia nanti.

Sesudah selesai peperiksaan.

Aku, "Selamba betul ko tido masa kertas Biologi tadi'"

Ahmad S membela, "Ah, lantak pi la paper Biologi tu, aku bukan nak jadi doktor pon, tak jejasnya agregat aku nanti"

Dengar-dengar masa amik keputusan, 7 jugak untuk Biologi dia (nota dari Ahmad S: "Woi, 6 lah!"). Hahah. Tapi agreget dia lebih satu je dari aku atas hasil usaha dia ke hulu ke hilir dengan buku teks Matematik Tambahan sebelum ini.

Tapi itu dulu. Sekarang, Ahmad S dalam selangkah dua je nak berdebar kena panggil untuk ditemuramah bagi melayakkan diri mendapat pengiktirafan tertinggi dalam bidang kejuruteraan perladangan kelapa sawit yang dia ceburi.

Ingenieur (Ir) Ahmad S.

Tidak lama lagi. Semoga berjaya wei.

Ah, bab aplikasi Biologi pon mamat tu cemerlang juga sebenarnya. Hahah.


9 ulasan:

shooter berkata...

hahaha...pembetulan ye. Biologi aku dapat 6.hehehehe.... bleh pulak time tu target 6 subjek je nak skor. pastu target bawah 10 aggreget. seb baek tercapai. tapi nak bagitau ko, subjek ni menghantui aku sampai la ni. sebab aku tak stadi masa nak amek SPM, kadang2 aku mimpi aku nak amek SPM skali lagi. pastu ape pon tak stadi tak ready. gila punya subjek. seb baek ble bangun tido rupa2nya aku dah jadik jurutera. kusssss semangat

Adam Ruslan berkata...

^redGhost^

Hahah, aku dh kasik betul dah.

Aku rasa ko kena mintak maaf dengan Cikgu Hapiza supaya mimpi ngeri ini tidak berulang. Hahah.

Azrind Othman berkata...

pawie tido pun blh skor 6, aku ni yg tak tido, study bagai nak rak pun dapat 6..mmg aku sungguh tak pandai masa SPM dulu..huhuhuuhuhu

Adam Ruslan berkata...

^don^

Mana nak tau Ahmad S tu jawab soalan objektif dia sungguh-sungguh. Jawab soalan kertas II je dia tido.

Kot kertas ko dapat pemeriksa kertas yang kedekut markah kot.

fizah berkata...

a.adam, fizah nk mnta tlg ni hehe
insyaAllah hari ahad ni fizah nk wat mkn2 sket, nk mhn kerjasama en amaNI tlg bgth @lambaian n KLM a.k.a buat post la kt blog @lambaian hehe
n mhn kerjasama gak sesiapa y ada kelapangan nk dtg tu msg fiza 013 7964116, umah kt pasir gudang,,, jemputla semua hadir yea...
tenkiu so much =)

p/s.. kisah amhad s xsempat bc sbb nk g kelas ni..komen tiada kena mengena dgn kisah ahmad S hehe

Adam Ruslan berkata...

^Fizah^

Dah buat dah. Insya Allah kami datang.

suraiya said berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
suraiya said berkata...

salam and tumpang lalu...
boleh tahan penulisan kau ye adam, seronok baca kisah2 en s macam baca novel
moral of all those stories : kau memang sayang sangat pada en s tu, sepenuh hati!

Adam Ruslan berkata...

^Suraiya^

Hahah, Ahmad S yang sayang kat aku kot.

Mekasih sebab menyinggah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...