Advertlets

Ahad, November 01, 2009

Arsenal 3 - Spurs 0

"Lepas cerita Aqil ni, Abah nak tengok cerita Abah pulak, boleh?"

"Tak boleh!" pantas Aqil jawab.

Aku buat-buat releks. Layan suratkhabar sambil tunggu miska-muska-miki-mouse habis kat Tv. Game pukul 840. Tapi sebab toleransi terhadap pendidikan kanak-kanak awal tahun, aku biar jugak sampai 855. Naik sahaja 'credits' dan lagu penamat Mickey Mouse, aku terus tukar channel.

Berderai air mata Aqil, "Aqil nak tengok cerita Aqil". Merayu-rayu dia dengan linangan air mata mintak aku kalih Tv lain. Aku tak layan. "Nanti habis cerita Abah, Abah tukar cerita Aqil ye". Aku sapu air mata Aqil yang meleleh, dia landing atas peha sambil menghabiskan susu dan menenangkan fikiran.

Sempat lagi dia mengomel. "Abah, tak best cerita abah ni".

Separuh masa pertama, game masa awal-awal seimbang. Cuma terdapat satu dua terjahan dan tolakan tangan (Assou Ekotto) yang tak berapa mesra Arsenal. Sampai masuk satu sms bengang dengan pengadil. *Wei, sori aku tak balas sms itu, penuh perhatian aku tengok game. Jadi aku tunggu sampai habis game baru menilai betul ke tidak pengadil tidak adil.

Lepas satu tekel terkehel Song pada Palacios, baru pengadil kasik amaran, jangan sepak kaki lagi. Main bola la!. Baru la perlawanan bola betul-betul lawan bola.

Asakan Spurs dua tiga kali datang dari Bentley. Tapi kayunya Bentley, cuba lob bola jauh macam tahun lepas. Ingat de ja vu ka? Ada sekali dua juga gerakan Crouch yang tugasnya menghantuk bola ke tanah buat Keane, tapi tak juga menjadi. Salah satunya sebab Gallas yang tak cukup tingginya dari Crouch banyak kali 'intercept' awal-awal. Juga kadang-kadang Song yang tetiba ada kaver Vermaelen sebagai bek tengah. Solid la senang.

Dari Arsenal juga ada yang merbahaya. Terutama bila Fabregas merembat bola yang 'deflect' dari rembatan Arshavin dari luar kotak penalti, dah elok ke penjuru kiri. Entah dirasuk apa Gomes, dia melayangkan badan dan menguis keluar bola leter itu. Aku dah nak lompat, sayang bola tak masuk. King dan Bassong juga agak solid menjaga Van Persie, 'intercept' dua-tiga bola hantaran dari tepi dan tengah.

Masuk minit ke-43, satu gerakan lontaran dari luar oleh Sagna pada Fabregas, di tampan kembali pada Sagna, Sagna kasik satu lintang paras lutut. Betul-betul depan Gomes. Van Persie meluru dan dapat menyambar bola tersebut. Satu gol. Mendepang dada dia seronok.

Belum sempat ulang tayang kali ke 3 ditayangkan, ditukar terus pada paparan langsung. Fabregas dah pegang bola dan hanya berdepan dengan Gomes. Dirembat ke penjuru kiri Gomes. Gol kedua! 11 saat dari sepak mula tadi. Rupanya Fabregas 'press' Palacios masa sepak mula, terus dirampas, elak terjahan Huddlestone dan Palacios, bawak terus ke depan. Elak pula bek 2 Spurs, dan terus berdepan dengan Gomes. Memang gol klasik.

Klasik habis gol ini. Dia gelecek macam main petang-petang je. *kredit gambar di sini

Tamat separuh masa pertama. Aku kalih cenel Play House Disney, supaya perkembangan pembelajaran Aqil dan Ammar tidak terbantut. Kasik dorang belajar.

Separuh masa kedua dah 10 minit berlalu. Baru aku kalih semula cenel sukan-yang-dah-mahal balik. Berderai sekali lagi airmata Aqil. Padahal cerita 'Handy Manny' tu memang dah habis dah. Ish. Dorang memang suka belajar nampak gayanya.

Atas desakan Ammar dan Aqil terhadap sesi pembelajaran mereka yang telah tergendala. Aku masukkan elemen pengajaran dalam 'cerita Abah' kali ini. Masa Clichy nak buat lontaran ke dalam dan membelakangkan kamera dengan jersi 22nya. Aku tanya dorang. "Hah, tu nombor berapa tu?" Pantas Ammar jawab. "Dua!". Bila dapat bola pula pada pemain Spurs berjersi nombor 8, "Hah, yang tu?" Aqil pulak jawab. "Eight!". Bagus. Tak sia-sia dorang tengok Tv sambil belajar.

Separuh masa kedua tidak banyak berubah. Cubaan paling bahaya adalah dari Bentley lagi. Kali ini sepakan percuma, lambungan dan lencongan dah cantik. Tapi bukan ke penjuru, jadi Almunia haruslah buat-buat melayangkan badan sambil menepis bola mudah itu. Setakat itu je yang Spurs mampu.

Berlainan situasinya dengan bahagian serangan Arsenal. Eduardo 2 KALI mempunyai situasi suka-sama-suka dengan Gomes. Tapi, kasihnya terhadap Gomes begitu tinggi. Dua-dua cubaannya tidak menghasilkan gol. Rasa-rasanya, tindakan kasih Eduardo itu menimbulkan kemarahan pada Wenger sampai hempas-hempas jaket suit mahalnya.

Di tengah padang, kelihatan Palacios dan Fabregas saling tekel menekel antara satu sama lain. Tapi mereka lebih taktikal dari emosi. Berlainan sekali dengan sikap Viera suatu ketika dahulu. Bagi aku, Arsenal masih tiada pengganti Viera. Tapi gabungan Fabregas dan Song sedikit sebanyak adalah Viera.

Masuk satu hal, pengadil memberi 'advantage' terhadap tekel Assou Ekotto (memang main kotor betul mamat nih hari itu) pada Eduardo. Bola terlepas pada Sagna yang memang menanti. Dia tengok bendera dah diturunkan semula, dia lintang sekali lagi bola itu. Van Persi agaknya memang ada ngam dengan Sagna. Gomes cuba menghalang, jari tak sampai. Van Persie yang dapat, terus dikuis masuk. Selesai.

3 mata dalam tangan. 3 gol tanpa balasan.

Semenjak musim ini, aku rasa Arsenal tak pernah main gol sebiji satu perlawanan dalam liga. Mesti 2-3 biji. Kecuali game Mencester United (sebenarnya 2 biji juga, tapi dibatalkan). Patut la Wenger berani letak pemain berjersi no 10 sebagai bek tengah je. Dah ramai sangat orang boleh menjaringkan gol.

Game tamat. Aku masuk bilik tunggu Ezi selesaikan urusan internet. Aku pulak ambil alih siaran internet. Cenel dah aku kalih cerita 'Animal Mechanical' dah. Datang sekali lagi Aqil.

"Abah, Aqil nak main game Aqil pulak".


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...