Advertlets

Khamis, Januari 14, 2010

Catatan Diego - Titik@Bersama

Berkenalan adalah mencari titik persamaan. Dari satu titik menjadi titik-titik tolak kepada perkembangan perhubungan. Semakin banyak titik persamaan, semakin jelas perhubungan. Macam main sambung-sambung titik dalam buku pra sekolah anak. Bila disambung-sambung titik itu, ia menjadi sebuah gambarajah. Menarik tidak menarik gambarajah itu bergantung kepada titik-titik yang disambungkan. Ia tetap gambarajah. Tiada titik maka tiadalah gambarajah.

+Titik satu+

Louis yang baru seminggu Diego kenali bertanya, "Kamu bersukan pada waktu kelapangan? Hujung minggu?"

Diego terus tersenyum sengih, geleng kepala. "Tak!" sambil menarik napas dalam supaya bahagian abdomen kelihatan rata lagi menawan. Telefon gengam dibelek tanpa arah tujuan.

"Kamu?" Louis bertanya pada Shierly pula.

"Ya, kadang kala, selalunya ada aktiviti riadah lasak yang saya selalu lakukan" Shierly menjawab sambil tersenyum.

"Saya pula memang akan sentiasa bermain bola pantai pada setiap petang di hujung minggu", Louis menerangkan supaya lengkap tercipta titik persamaan pertama.

+Titik dua+

"Owh, dulu saya pernah mendaki gunung itu, berlari sampai penat di dalam suatu pertandingan, juga 3-4 kali yang lain bersama rakan-rakan" Louis menunding pada sebuah gunung bila mereka melintasi sebuah kawasan kampung yang punyai gunung yang dikatakan punyai seorang puteri.

Diego hanya terlintas suatu perkara. Shierly pernah berbual bersama mereka di dalam suatu sesi makan yang memperkatakan tentang beberapa sesi pendakiannya di sebuah gunung yang terletak di daerah yang punyai air kopi dan roti kaya yang terkenal. Sebulan sekali katanya mendaki di sana.

Gunung buat Diego? Err, hanya sekali seumur hidup pernah berada di puncak gunung. Apalah yang nak dihebatkan sangat pendakian yang dibuat dengan bergalaskan beg sekolah yang hampir putus tali sandangnya. Diam sahajalah.

+Titik tiga+

Mereka berhenti untuk makan malam. Ya, tak perlu lagi diteka mahupon dikira.

Diego makan mee berkuah.

Mereka saling bergiliran memesan sup berbola ikan, berpetak ikan, berkeping cendawan, berbujur ketam, bersilinder ikan, berikat kangkung dan bergulung kuetiaw.

+Titik empat+

Mereka sependapat tentang melihat perlawanan bola di tivi hanya penting untuk perlawanan yang penting dan menarik, tetapi pada hari-hari kebiasaan, menonton perlawanan bola hanya membuang masa dan lebih baik membaca buku.

"Errr, saya menonton hampir pada setiap hujung minggu (dalam hati: kadang-kadang awal pagi pon bangun berjaga)" Diego cuba menyelit dalam perbualan.

"Owh, yeke. Tiap minggu?" hampir serentak mereka menjawab. Diego akur.

Titik lima-enam dan seterusnya.

Orang kata, kalau titik yang dijumpa dah berturutan, ia akan ikut berkekalan sampailah gambarajah penuh akan terbentuk. Dengan itu, Diego sememangnya akur, takdir untuk bersama dan membentuk gambarajah yang sama memang akan sampai satu tahapnya akan terhenti.

Titik dari Diego sudah lama tidak terbentuk. Gambarajah bukan lagi matlamatnya. Sudah sampai masanya untuk membuka helaian buku baru. Semoga titik-titik baru akan tercipta dan gambarajah baru akan terbentuk. Diego lega kerana titik baru sudah terbentuk buat mereka. Kini mencari titik-titik baru dan gambarajah baru. Harap-harapnya.

3 ulasan:

sheyda berkata...

ewahh..pindah kerje citer pasal titik2 plak..haha..anyway gud luck!!

shooter berkata...

hahaha...biasa la memula kena titik je. nak jadi boss memang cemtu. berat mulut sikit. nanti takdek la yang nak naik tocang.

Adam Ruslan berkata...

^sheyda^

Wei, baru la dinamakan sebuah kisah. Ini bukan diari.

^shooter^

Bukan sebab tak berpeluang mencipta titik. Memang ditakdirkan orang lain punyai lebih peluang mendapat titik yang sama.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...