Sebenarnya, ia adalah kali pertama aku ke sekolah depa untuk sesi penerangan sistem pembelajaran di tadika yang mana Aqil dan Ammar yang berumur 5 tahun dan 4 tahun didaftarkan. 4 hari lepas sesi penerangan ini berlaku.
Ok, secara amnya, sekolah ini menggunakan sistem 'Gelombang Baru'. Sistem dimana kanak-kanak tidak diajar mengenai ABC dan 123, tetapi terus kepada bunyi konsonan supaya mudah / cepat membaca. Ada Bahasa Melayu, Bacaan, Qiraati, Matematik, English dan Jawi. Sistem ini menggabungkan nilai-nilai terbaik untuk pembelajaran kanak-kanak dibawah 6 tahun. Ini termasuk adab-adab sopan, mengenal agama (tuhan, malaikat, zikir, surah lazim, dosa, pahala dsb) dan bercirikan pembelajaran berkumpulan dan satu dengan satu.
Di dalam sesi penerangan, guru membuat demo yang mana semua ibu bapa yang hadir yang menjadi kanak-kanak pada waktu itu. Ada 15 minit sesi pagi yang mana kanak-kanak akan senyum, memberi salam, berselawat, membaca ayat lazim, mendengar 1 cerita tauladan / adab sopan dan mengenal agama. Kemudian sesi pembelajaran akan mengikut subjek selama 30 minit setiap subjek.
Di dalam setiap subjek, guru akan menggunakan kaedah tunjuk untuk semua (kepada poster). Kemudian menggunakan kad imbas untuk semua. Kemudian lumba kad imbas untuk pelajar berpasangan. Kemudian barulah membuka buku untuk membuat 1 latihan. Pelajar membuat latihan berdasarkan arahan guru. Pelajar kemudian akan dipanggil seorang demi seorang untuk diajar atau dinilai kefahaman tentang apa yang diajar.
Di akhir sesi sekolah, ada lagi 15 minit sesi penutup yang mana lebih ditekankan pesanan yang perlu pelajar tahu sebelum balik. Berterima kasih kepada guru. Berterima kasih pada tuhan. Berterima kasih kepada ibu bapa. Kemudian sesi selawat dan zikir.
Ini adalah sistem gelombang baru yang diterangkan oleh guru sekolah ini kepada kami serta semua ibu bapa yang hadir malam itu.
Komen peribadi tentang menyekolahkan anak pada usia 4 atau 5 tahun.
1. Masa Aqil 4 tahun lepas dan Ammar 4 tahun sekarang, memang hasratnya adalah untuk depa membiasakan diri dengan rutin bersekolah. Kena tidur pada masanya, kena belajar mangkit pagi, kena tahu rutin di sekolah dan belajar berkawan dengan kawan-kawan. Ini sahaja hasratnya untuk depa mula bersekolah untuk umur 4 tahun. Tak ditekankan sangat apa yang depa boleh serap atau dapat di sekolah.
2. Setelah mendengar penerangan cikgu sekolah ini, baru disedari yang menghantar anak untuk sesi 5 tahun dah kira memang untuk anak-anak ini menguasai kemahiran yang diperlukan. Kemahiran mengenal, membaca, mengeja dan menulis. Bukan lagi untuk depa main-main. Kalau untuk bulan Januari dan Februari, banyak hari juga Aqil dan Ammar tak mangkit untuk pergi sekolah, rasa macam tak ada apa-apa mesalah. Tapi bila melihat silibus dan sistem yang diajar di sekolah ini serta komen peribadi cikgu, rasa kalau dia tertinggal sehari, dia memang sedikit ketinggalan. Cikgu memang ada buat ulangan, 5 muka surat ke belakang setiap hari, tapi latihan itu tetap dia akan tertinggal.
3. Untuk aspek kerohanian atau pembentukan siasah, setelah cikgu memberi jadual berbentuk jam bulat dan pengisian setiap 30 minit. Baru terfikir, anak-anak ini selebihnya masa mereka selain dari di sekolah 4 jam 30 minit, berapa jam pula kita sebagai ibu bapa meluangkan masa untuk aspek kerohanian? Mendidik mereka untuk faham adab sopan, hormat orang tua, hormat waktu, dosa pahala, apa yang boleh depa buat, apa yang tidak boleh depa buat? Berapa jam kita bagi ilmu untuk depa dalam sehari?
4. Rasanya, agak rugi atau terkebelakang kalau tak mula menghantar anak-anak untuk mula pra-sekolah untuk umur 5 tahun. Sebab sistem yang diajar memang bermula dengan umur 5 tahun. Buku pon memang dibuat untuk silibus 5 tahun dan silibus 6 tahun. Kalu baru 6 tahun baru nak bermula, kanak-kanak perlu masa untuk menyesuaikan diri. Untuk menukar jadual harian, untuk menerima kawan-kawan, untuk menerima cikgu-cikgu dan untuk menyerap apa yang dipelajari sebelum 7 tahun masuk sekolah betul. Banyak tu.
5. Rasanya tak perlu dipertikai tentang yuran yang sekolah ini letak berbanding dengan apa usaha mereka untuk 'menyekolahkan' anak kita. Boleh kata cikgu di sini memang kenal betul dengan semua murid mereka. Apa karektor kanak-kanak tersebut dan apa kekurangan atau kelebihan mereka. Juga kita tahu dan paham apa yang cikgu buat selepas sesi penerangan ini.
6. Sesi sekolah tak tamat di sekolah. Aqil sekarang tiap hari bawak balik buku untuk dia siapkan kerja rumah. Latihan di sekolah yang dia tak siapkan. Tapi cikgu dah periksa. Jadi ibu bapa kena paham cemana cikgu mengajar di sekolah. Depa tidak diajar mengenal huruf. Depa diajar bunyi huruf. A ialah Aaa. B ialah Behh. Alif ialah Aaa, Ba adalah Baa. Jadi menilai kerja sekolah Aqil turut memasukan elemen penglibatan ibu bapa dalam sesi pembelajaran anak-anak.
7. Cuma bila masuk English, kanak-kanak tetap kena kenal ABC sebagai ABC. Tapi tetap dengan pendekatan kepada bunyi huruf dan membuat perkataan. A apple, A ant, A aeroplane. B ball, B banana, B boat.
8. Secara kesimpulannya. Kita kena paham sistem di sekolah dan memberi kerjasama kepada sekolah untuk meneruskan apa yang diajar. Jadi, kalau suruh Aqil baca ABC sampai Z, mungkin dia tak lancar, tapi mungkin dia boleh mengira dan membaca lebih lancar sebelum dia pandai ABC sampai Z. Juga peribadi dan sahsiah mereka mungkin sedikit meningkat bila dah bersekolah. Dia akan bagi tahu kita yang mana betul yang mana salah. Tak boleh kencing berdiri misalnya.
Harap mendapat sedikit manfaat dan panduan.
2 ulasan:
apa nama sekolah tu.. suka kaedah yang diajarnya...
^anur^
Kat sini namanya Cahaya Al-Amin.
Catat Ulasan