Advertlets

Isnin, April 11, 2011

Tulis-tulis - Cerita sebuah Pekan

Pada suatu hari di beberapa minggu lepas, aku melawat satu kilang membuat komponen kecil basikal dan kelili pancing. Komponen kecil ini dihasilkan dengan teknik menempa sejuk. Segulung rod besi berkarbon rendah ditarik ke dalam mesin penempa, ditekan, ditarik, dipusing dan dipotong. Jadilah sebiji skru atau nat atau pin atau washer sekalipun, bergantung kepada acuan yang digunakan. 

Ada 12 unit mesin penempa sejuk semua sekali. Isu ceritanya begini. 

Mesin penempa sejuk itu berjenama Jep. Gulungan rod besi berkarbon rendah itu juga diimport dari Jep. Pelanggan yang menempah hasil akhir tempaan juga dari syarikat pembuat basikal dan kelili pancing terkenal Jep. Dari awal sampai akhir prosesnya adalah untuk industri Jep itu sendiri. Banyaklah kilang-kilang kecil sepertinya yang ada di sini sebab adanya satu kilang pemasang kelili dan basikal paling besar di pekan ini. 

Apa sumbangan rakyat kita dalam industri ini? Ye, tenaga kerja yang menjalankan proses penempaan itu adalah warganegara kita. Serta letaknya lokasi kilang itu di tanah Malaysia. 

Adakah industri sebegini menguntungkan Malaysia? Ini yang Mahathir cuba perjuangkan. Menghasil satu sistem di dalam industri yang membolehkan rakyat negara kita meningkatkan kemahiran, bukan hanya menggaji pekerja tidak mahir, tapi pekerja mahir yang berkebolehan serta berpendapatan lebih tinggi. 

Ini yang dikongsi oleh penolong pengurus bahagian penyelenggaraan, Encik Branislav (konfem la bukan nama sebenar) dengan aku.

Di kilang ini, diterapkan nilai-nilai murni supaya satu mesin dijaga seorang juruteknik. Jawatan bernama juruteknik membolehkan mereka membawa pulang gaji pokok RM800 sebulan. Gaji ini RM200 lebih tinggi dari syarikat pemasang komponen bernama Jep yang hanya berhadapan dengan kilang ini. Juruteknik di sini adalah otai, mereka sangat berbangga dengan diri sendiri dan mereka tidak akan tunduk kepada sebarang masalah atau kepincangan proses pembuatan tetapi akan menyalahkan faktor-faktor lain selain dari menyalahkan kemahiran yang mereka ada. Sambil menampar-nampar lengan, mereka akan berkata, skil saya yang terbaik!

Mereka diterap supaya begitu menjaga mesin penempa masing-masing. Bukan sahaja supaya mesin itu dapat berjalan lancar tanpa sebarang mesalah dan kerosakan, tetapi imbuhan mereka juga bergantung kepada berapa banyak komponen yang boleh dihasilkan oleh mesin mereka sepanjang tahun. Dengan terapan nilai-nilai murni sebegini, mereka bukan sahaja menggunakan segala kelengkapan pekakas sedia ada tetapi membuat sendiri alat-alat khas yang mesin mereka sahaja boleh guna. 

Bila mesin berjalan lancar, mereka tidak duduk sahaja, kadang-kadang dicatnya mesin tersebut supaya lebih bersinar di rakan-rakan. Ada yang membuat acuan nombor mesin semula supaya nombor mesin itu sentiasa dilihat pengurus. Ada yang tak pasal-pasal mengelap mesin supaya lebih bersih dan comel. 

Ini yang diterapkan oleh pengurusan kilang di sini untuk semua juruteknik ini. Dari segi imbuhan juga, juruteknik ini mempunyai pakej yang lebih baik dari kilang-kilang disekitarnya. 


Akan tetapi, disebabkan kemahiran tinggi diperlukan dalam menjaga keseluruhan prestasi dan selok belok mesin, kilang ini mempunyai otai-otai yang sedikit kedekut. Bukan sengaja kedekut ilmu, tetapi anak muda yang ada sekarang tak tahan lama bila masuk bekerja. Tak sampai sebulan dah berenti, apa guna mengajar dari hari pertama tapi tak sempat khatam dah lari? Kesungguhan dan keazaman perlu dibuktikan dahulu sebelum otai-otai mula mahu mengajar. Mujur encik Branislav masih mahu mengutamakan warganegara untuk posisi ini.


Jika dibaca isu ini, banyak sudut yang perlu diperhalusi. Ada yang baik, ada yang tidak begitu baik. Yang tak baiknya adalah tiada satu pon juruteknik ini akan menjadi berbilang kebolehan, jadi mungkin dia hanya tahu mesin itu sahaja tanpa tahu hal-hal proses yang lain. 


Tapi satu yang aku ingin tekankan. 


Menimba sebanyak mungkin pengetahuan di alam bekerja adalah suatu deposit simpanan tetap yang berganda-ganda imbuhannya pada setiap tahun. Kita tak tahu bila deposit ini kelak menjadi sesuatu bonus untuk kita. Jadi untuk para pencari kerja dengan zero pengalaman, tak ruginya menurunkan pangkat dan jawatan hanya untuk mencari ilmu baru. 


Oh ya, pekan kecil ini sekarang ini bernama Pekan Nenas, itu dahulu punya cerita. Toleh kiri nampak pokok nenas, toleh kanan nampak buah nenas. Toleh belakang nampak kilang nenas.


Tapi bukan sekarang, kalau sekarang, toleh kiri nampak Bangla berpengangan tangan, toleh kiri nampak Myanmar berbasikal beriringan, lihat ke depan nampak Nepal duduk bergelimpangan. Tambah-tambah waktu malam. Nasib baik depa pandai naik basikal je. Kalau pandai sikit lagi naik motorsikal, mat rempit Pekan Nenas mungkin boleh membawa diri ke daerah lain.


Nama pekan ini boleh jadi Pekan Shimano tidak lama lagi. 

2 ulasan:

d u t a berkata...

jauh perjalanan, luas pemandangan!

Adam Ruslan berkata...

^duta^

Yep, semua pengalaman adalah pengetahuan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...