Advertlets

Jumaat, April 22, 2011

Geografi Kebangsaan - Bukit Belacan

Hidup sebagai kanak-kanak berdarjah dua hingga enam di Taman Cempaka adalah satu kenangan yang susah nak dilupakan. Mari membuat siri Geografi Kebangsaan.


Semangat mengembara dan berjalan mencari jalan adalah sesuatu yang susah kanak-kanak macam aku, abang dan Patah nak menolak. Menurut rekod, jalan-jalan mencari jalan yang paling jauh pernah kami lakukan secara beramai-ramai, bersendirian dengan geng-geng lain atau suka-suka ajak kawan lain buat adalah begitu banyak sekali. Bukit Belacan merupakan destinasi mengembara yang paling menarik.


Ia diperkenalkan oleh kawan abang, Isa namanya. Bukit Belacan masa itu dikatakan ada sungai mengalir jernih. Air sejuk dari bukit dan ada ketam bersepit besar. Peh, sapa tak terliur nak pegi kan?


Agenda ke Bukit Belacan agak banyak kali dibuat. Tujuan utama adalah mandi. Tujuan lain adalah tiada tujuan khusus, bergantung kepada cabaran dan halangan yang mendatang. Mari kita pendekkan sahaja Bukit Belacan sebagai BB.


Kaedah pengangkutan ke BB dari rumah Taman Cempaka tidak terbatas banyaknya. Pernah kami berjalan kaki sahaja dari rumah sampai sana. Ada juga jalan kaki sampai Pekan Ampang dan tahan bas mini 50sen sampai dalam kampung paling dekat dengan BB. Ada juga dengan berbasikal tumpang menumpang. Yela basikal besar ada satu je. Basikal biru kanak-kanak tu pon aku pernah bawak ke BB, jenuh mengayuh! Norsham sahaja waktu itu yang ada basikal BMX prewel (flywheel) mati. Budak sekarang kata basikal Fixi.


Jalan biasa adalah dari Taman Chempaka ke Taman Cahaya, potong ke Ampang Mewah, rentas jalan keretapi ke Pekan Ampang lama, susur jalan Ampang, lalu Taman Kosas sampai ke penghujung jalan Ampang. Masuk BB. Mudah bukan?


Untuk pengetahuan, masih ada orang kampung yang amik air dari bukit ini buat bekalan air di rumah depa. Ada sekali masa ralit tangkap ketam sepit besar, aku terpunggah paip depa. Terus tuan rumah di bawah bukit naik datang tengok kami buat apa sebab elok-elok dia tengah basuh pinggan, air kering. 


Apalah sangat 5.5km untuk berjalan kaki kalau destinasinya mandi air bukit?


Bila dah biasa sangat lalu jalan ini, kami ikut pula jalan lain, ada sekali masuk kampung cina, lalu lombong tinggal, naik bukit, terserempak anjing bulldog dan lari lintang pukang tinggal basikal. Lepas agak selamat baru datang menyelamatkan basikal balik.


Untuk bekalan tenaga, selalunya sebat sahaja air paip kat luar rumah orang mana-mana yang terjumpa. Buah kaler oren saiz duit 50 sen dari tumbuhan merayap tepi longkang juga sedap lagi manis. Kalau terjumpa memang berebut. Kadang-kadang kerat dua kongsi. Sapa yang beli nasi lemak beli kat BB memang kira berada orangnya. Kami selalunya beli aiskrim 10 je buat tahan haus. 


Siri-siri mengembara lain adalah dikatakan orang, Klang Gate lagi hebat dan maha besar dan best dari BB. Last-last, pemandu yang membawa tak sampai pon Klang Gate. Entah lombong apa entah namanya, lombong itu kini menjadi pusat rekreasi air di tepi MRR2 berdekatan Taman Putra Sulaiman. 




 Klang Gate konon, jalan dulu rasa jauh dah. Baru 2.9 km.

Kalau berjalan arah ke Maluri, tak de keje lain, mesti nak tengok loji kumbahan baru buat kat sana. Ikan tilapia merah bersepah dekat punca air keluar ke longkang. Geram je tengok. Jalan punya jalan, sampai juga ke Jusco Taman Maluri, kemudian balik lalu flat Taman Bakti. 




Kalau pergi 3.9km, tak ke masa balik dah jadi 8km?

Pengisian aktiviti berjalan ini jugalah yang mengajar aku mencuba kaedah berenang gaya bebas. Asal ada kolam atau takungan air cukup dalam, sure kami menumpang mandi. Mula-mula berendam, pandai sikit menyelam, lama-lama terboleh pulak berenang. 

Agaknya itulah sebabnya aku tak kesah untuk berjalan-jalan mencari jalan dengan kereta dengan anak-anak sekarang. Juga punca stamina lari jarak jauh yang tidak tertanding masa kat sekolah menengah. Sebab tu la tak obesiti masa kat sekolah dulu walau hari-hari bekal nasi lemak santan kaw-kaw. Underweight adala. Hahah.

Kanak-kanak zaman sekarang? Nasi lemak kat kantin sekolah pon kerajaan dah tak kasi makan. Apatah lagi mak bapak nak suruh anak berkeliaran berjalan tak tentu hala. Kena culik, potong tangan dengan kaki seludup pi Siam suruh mengemis satgi. Takpon penculik mintak tebusan je. Kasihankan depa?

2 ulasan:

d u t a berkata...

tapi kalu jalan skrg, rasanya anjing bulldog tu yg lari kan?

Adam Ruslan berkata...

^duta^

Kalau jumpa anjing sekarang, berserah sahajalah, nak pecut pon laju cam bersiar-siar je cemana?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...