Advertlets

Selasa, Ogos 31, 2010

Cara Terbaik Menyambut Merdeka


Perjalanan yang mengambil jarak 1580km ++.


Sabtu : JB-Mersing-Kuantan
Ahad : Kuantan-Kuala Terengganu-Tumpat
Isnin : Tumpat-Pengkalan Kubur-Gua Musang-Karak-Subang
Selasa : Subang-Skudai

RM 190 ringgit minyak Mobil dan Petronas + RM 33 tiket bas balik JB dari Subang.

2 hari berbuka makan roti dan apa aje yang ada dalam kereta. 


Sampai JB nanti, betul-betul 'Merdeka'. 


Boleh dikira berapa biji kereta yang sangkut bendera.

Sabtu, Ogos 28, 2010

Tulis-tulis - Hidup Rukun

Untuk Bendera, mereka mungkin tidak tahu bahawa kami di sini hidup dengan rukun. Kami Islam berlandaskan rukun. Kami sembahyang dengan rukun. Kami berpuasa juga dengan rukun. Kami mandi wajib juga dengan rukun. Kami Malaysia juga dengan rukun. 

Satu rukun yang ingin kami kongsikan dengan Bendera adalah 'Kesopanan dan Kesusilaan'. 

Mungkin Bendera tidak dididik dengan rukun 'Kesopanan dan Kesusilaan' kerana itu bukan rukun di negara mereka. Mungkin juga kerana itu juga bukan budaya mereka. Mungkin juga kerana itu bukan asal usul bagaimana mereka merdeka.  Jadi, ingin kami sertakan penghuraian rukun 'Kesopanan dan Kesusilaan' yang ada dalam diri kami ini.

Tiada sopan dan adab tata susila jika memegang tahi dan melontarkannya ke rumah orang lain. Tapi tidak mengapa Bendera. Kami pasti, yang mencuci dan membasuh kembali tahi yang dilontarkan itu sebersih-bersihnya adalah tidak lain dan tidak bukan, rakyat dan bangsa Bendera sendiri yang berkerja di dalam kawasan yang dilontarkan itu. Bendera memang tahu cara paling layak untuk rakyat mereka mendapat kerja dan membuat kerja. Sopan kan kami dalam menangani perkara kecil begini?


Bendera juga berazam, kalau tidak salah 3-4 bulan yang lalu. Ingin datang ke negara ini dengan membawa buluh runcing dan menganyang rakyat kami. Sayugia diingatkan kepada Bendera, kami tak sempat nak menyambut baik kedatangan Bendera tempoh hari. Tapi kalau kali ini ingin datang juga kembali, jangan dilupa membawa tali atau akar rotan. Kurang-kurang kalau tongkang yang dinaiki lebih muatan itu nanti pecah dilambung ombak, buluh runcing itu boleh dikumpul-kumpul dan diikat tali atau akar rotan menjadi rakit. Safety first ditempat kerja adalah yang kami terapkan untuk rakan sebangsa Bendera disini yang menjadi pengikat bata dan besi yang membina rumah dan bangunan di tempat kami ini. Mereka mungkin boleh memberi tunjuk ajar yang baik untuk Bendera bila sampai di daratan sini nanti.


Kalau pon tak sempat nak mengikat buluh runcing menjadi rakit, kami akan pastikan Jabatan Maritim Malaysia sentiasa bersedia untuk tujuan pencarian dan menyelamat kalau-kalau berlaku juga musibah di tengah lautan Selat Melaka itu nanti. Ye, nama lautan itu Selat Melaka. Selat kami, bukan Selat Jakarta, bukan Selat Palembang, bukan Selat Padang. Jadi berhati-hatilah dengan jalan dan laluan yang akan dilalui nanti. Jabatan Maritim Malaysia pastinya bersedia untuk menghulurkan tangan dan meringankan beban kalau-kalau terjumpa rakan-rakan Bendera yang hanyut. Kami pastikan kamu mendapat selimut, minuman dan makanan sebelum apa-apa tindakan atau hal-hal berkaitan imigresen diputuskan. Ini kerana kami terdidik dengan rukun 'Kesopanan dan Kesusilaan'.


Bendera juga dengan bersungguh-sungguh membakar, memijak dan mengerat bendera kami. Lambang negara kami. Tapi Bendera, itu masih satu simbolik sahaja. Kamu tidak dapat membakar dan membuang 'bendera negara' kami yang ada di dalam jiwa kami. Kami anggap tindakan itu tidak sopan, tidak menghormati dan tidak wajar. Tapi kami tidak akan berperilaku sedemikian juga kerana rukun kami yang memelihara tindakan kami di dalam ruang 'Kesopanan dan Kesusilaan'.

Kami hanya berharap wayar transaksi Western Union dikerat atau dipotong sahaja barang seketika agak-agak sampai lepas Krismas supaya rakan-rakan, sahabat handai, saudara mara, anak isteri, ibu dan bapa Bendera yang berada di sini agar mereka dapat berbelanja wang yang mereka perolehi secara halal di sini dengan membuat perkerjaan yang sah atau tidak sah secara kesemuanya tanpa boleh dihantar keluar. Mereka juga perlu berbelanja untuk diri sendiri sahaja juga di sini. Tidak begitu?. Barulah rakan-rakan, sahabat handai, saudara mara, anak isteri, ibu dan bapa Bendera di sana dapat beraya dengan apa yang ada sahaja. Sopan dan bertatasusila kan kami?


Jadi Bendera, sementelahan masih lagi di bulan Ramadhan yang mulia, kami berharap Bendera tahu menilai adab-adab berpuasa dan menghormati bulan puasa dan Syawal yang menjelang tiba. Apa salahnya menghantar kad raya kepada kami dan meminta maaf zahir dan batin dengan sungguh-sungguh. Insya-Allah kami terima seadanya. 

Sedikit petikan dari Wikipedia untuk huraian 'Kesopanan dan Kesusilaan' dalam RUKUN NEGARA MALAYSIA :

Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan.

Oh ya, 'rukun' di dalam bahasa Indonesia adalah teratur, aman, damai. 

Bagi kami, 'rukun' adalah teras, tonggak, tiang, asas, prinsip.  

Jadi, boleh kita hidup dengan rukun? 

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan untuk semua warga Malaysia. 
Kibarkan bendera Malaysia. 
MERDEKA!!


Lagi kisah untuk Bendera : JUST A THOUGHT : malay dance?


Rabu, Ogos 25, 2010

Kanak-Kanak Memang Riang 29 - Shendo Otroman

Hujung minggu lepas, kami sebagai rakyat tipikal JB melakukan pengimarahan Plaza Angsana. Dengan perkiraan kalkulatif risiko paling rendah, kami tahu Plaza Angsanalah yang paling sesuai untuk proses jual beli pakaian seisi keluarga untuk menyambut perayaan. Konfem semua boleh dijumpai dengan harga paling patut.

Proses pembelian dilakukan secara 2 sesi. Sesi sebelum berbuka puasa dijalankan dengan penuh sesak dan ramai betul rakyat JB mengisi tiap ruang dan lorong di antara dua saf bakul pakaian lambak di dalam UO. Betul-betul ramai sampai kalau toleh angkat baju sehelai tengok cantik ke tak cantik, masa nak letak balik mesti Ammar dan Aqil dah entah kat ceruk mana dah. Jenuh weh.

Memang perkiraan kalkulatif kami tepat. Seluar panjang jeans budak siap isi tali pinggang kaler biru belang merah 4 helai baru RM76. Cuba cari tengok kat Sogos boleh ke dapat?

Sementelahan mengadaptasi kepada kesesakan serta ketidak keruan sebab ramai sangat orang dan banyak sangat barang dalam senarai juga betul-betul banyak pilihan pakaian, sesi pertama membeli di dalam UO ditamatkan untuk memberi laluan kepada sesi berbuka puasa.

Kepenatan jelas terasa oleh kedua-dua Amani yang mana tepat sahaja waktu berbuka puasa, Ammar lena dipangkuan Ezi dan bila sahaja Aqil menghabiskan nasi dan ayam beliau, dia juga mencari peha aku untuk dia lelapkan mata sebentar.

Sesi kedua bermula sejurus selepas kami selesai mengimarahkan surau Plaza Angsana untuk fardu Maghrib.

Kali ini proses cari dan pilih dijalankan secara berasingan. Kami selesaikan dahulu satu baju dan saiz yang sesuai untuk kedua-dua Amani kemudian bergerak secara berasingan untuk mempercepatkan proses.

Aku dan Aqil bergerak dengan penuh tektikal dan cukup licik. Tetapkan kaler pilihan, kemudian mengimbas secara pantas setiap lorong dan sidian baju-baju yang ingin dibeli. Bila berkenan (harga, kaler, bentuk dan kesesuaian) toleh kiri kanan, terus masuk bilik percubaan. Buka (sambil terkejut tengok rupa badan sendiri) , sarung, kona kiri kanan depan cermin, sapu tapak tangan ke atas dada dan sisi peha. Siap. Macam Gaban dia punya laju. Konfem beli.

Semasa memcari t'shirt berkolar bulat di bahagian lelaki, aku terpandang susuk badan seorang promoter jualan, berbaju T, kolar V, nampak tulang dada, rambut lurus paras bahu. Gincu kaler merah sedap-sedap mata memandang. Sedang bersembang dengan rakannya sambil memegang sehelai baju kemeja. Macam sedang nak memilih.

"Aku rasakan, baju ni sesuai la" promoter itu bersuara. Tapi suaranya garau, dalam dan penuh vibrato. Memang lelaki. Sejurus terus aku beredar.

Disebabkan kelicikan dan penuh strategi, proses pemilihan 2 helai baju siap dalam tempoh 40 minit. Aku kembali kepada Ezi dan Ammar. Sampai-sampai sahaja, tengok muka Ammar begitu berseri-seri. Sambil ditangannya ada sejambak helaian 'Shendo Otroman'. 3 helai.

"Nah, ni Aqil punya" Ammar bagi lagi sejambak untuk Aqil.

Sepanjang-panjang proses pemilihan baju dibuat. Tangan mereka tak lepas dari memegang 'Shendo Otroman' masing-masing.

Ammar akan angkat dan tayangkan 'Shendo' beliau kepada mana-mana gadis promoter yang dia jumpa. Sambil gadis promoter layankan sahaja perlakuan sedemikian. Terpaksa la aku berbalas senyuman dengan gadis-gadis promoter untuk mengalihkan perhatian Ammar ke tempat lain. Sesi kedua proses jual beli selesai juga akhirnya. Lebih kepada membeli untuk anak-anak serta persiapan menyambut kelahiran bayi.

Sesudah sampai di rumah, yang mula-mula sekali menyarungkan kembali baju yang dibeli ialah Abah mereka. Ceh. Ciwi lebih dari kanak-kanak.

Ammar terus menyelongkar beg plastik can mencari-cari 'Shendo Otroman'nya. Dia hulur pada aku. Suruh buka dari kepilan. Aku putuskan benang yang mengikat dan serah kembali pada Ammar.

Ammar ambil, renung satu-satu gambar Otroman yang dia sangat suka itu. Dia hampar satu-satu di atas karpet. Duduk merenung. Sangat teruja.

Terus dia datang semula pada aku. Dengan reaksi bergelut nak buka seluar jeansnya. Aku tolong bukakan tali pinggang dan seluar. Tinggal lampin pakai buang sahaja. Dia tak puas hati. Dia suruh juga buka juga lampin pakai buang. Tapi baju tak tanggal.

"Tanak pakai pampers, nak pakai Shendo Otroman aje" Ammar meminta.

Kemudian Ammar sarung sehelai shendo. Kanak-kanak memang kurang lengkap lagi sistem motor pergelangan tangan, kaki dan pinggang, jadi shendo itu bergulung bila disarungkan. Ammar mintak aku tolong betulkan. Muka dia berseri. Logo Otroman terpampang jelas ditengah-tengah shendonya.

Ezi masa ini masih membelek satu per satu baju dan seluar yang dibeli, sambil menanggalkan label dan penanda harga.

Ammar kemudian kelihatan bergelut lagi dengan shendonya. Bergulung lagi. Dia datang lagi pada aku untuk membetulkan. Aku masa ni dah di atas sofa berlintang macam Cleopatra. Aku betulkan lagi.

Sambil Ammar membandingkan shendonya dengan Aqil, mujur gaya Otroman di shendo masing-masing tidak sama. Walau warna sama je. Ada yang bergaya terbang, gaya menumbuk, gaya sepakan terbang, gaya memberi api pon ada.

Kemudian Ammar datang lagi dengan shendo yang bergulung lagi. Bergelut sungguh dia dengan shendonya. Aku betulkan sahaja dengan tersenyum.

"Adik, cuba tunjuk shendo adik kat ummi" Aku menyuruh.

Ammar datang dekat pada ummi, mengangkat labuhan bajunya.

"Ummi, adik pakai Shendo Otroman!" Ammar bagitau.

Terpampang jelas tiga helai 'Shendo Otroman' yang berlapis-lapis di antara satu sama lain.

Ummi gelak tak hengat.

Sabtu, Ogos 21, 2010

Selamat Ulang Tahun....

Semalam, genap 5 tahun sudah kami menikah.  Statistik menunjukkan bahawa 3 orang anak untuk tempoh 5 tahun adalah perkara paling normal. Yang abnormal ialah 4, 2 atau 1 sahaja. Hahah. Kamon wei.

Pak pula menjejaki 57 tahun. Umur sedap-sedap dengan perkataan pencen. Target sebelum pencen, cucu pak dah ada 10 orang? Heheh. Raman dan Shidah, berusahalah!


Selamat ulang tahun!


Masih memegang kepada plan nak sambut anniversary di sebuah pulau. Haih. Tolong plankan wahai sesiapa yang abah dia ada resort dan bermurah hati nak sponsor kami berlima ini. Hahah. 

Azam & Fahmi, macam biasa. Selamat anniversary juga.

Rabu, Ogos 18, 2010

Catatan Diego - Pam@Stesen Bhgn 2

Cerita sebelum ini belum tamat. Ada sambungannya. Motif cerita ini dan cerita sebelum ini adalah tanda tanya. Jadi, yang tak berapa nak paham. Maksudnya, betullah cerita ini menjadi tanda tanya. 


Genap 6 hari selepas hari kejadian Diego berkenal-kenal dengan Frank, kini satu lagi ruang dan peluang untuk Diego beramah mesra sekali lagi dengan Frank terhidang. Hari itu Diego kerja separuh hari. Kali ini Diego yang datang kepada Frank. Bukan untuk mengadu domba atau meminjam bahu, lebih kepada Diego perlukan khidmat Frank. Kemahiran yang Frank ada sangat Diego perlukan.
 
"Penuh ye" Diego berpesan. Sambil tangan menarik kembali kad Smiles yang dah hampir seribu mata sejak berjinak-jinak membeli petrol dari Esso ini dari slot mesin pam.


"Ok, saya buat" Frank menyahut. 


"Memang kena buat macam ni, saya boleh letak setting auto je, tapi rugi minyak, isi memang penuh, tapi banyak yang rugi sebab banyak wap dia" Frank memperjelaskan tentang perilaku beliau yang sebelah tangan kiri memegang picu pam dan sebelah kanan pula menyokong hos pam dan disungkit sedikit. Memang payah nak terangkan. Tapi Frank lebih tahu. Ini kemahiran beliau. Diego mengganguk faham dan akur.


Digit-digit digital di papan pemuka mesin pam bergerak dengan kepantasan 1tp. 'tp' bermaksud 'tortoise power'. Nama lainnya adalah kuasa kura-kura. Lambat gila. Kalau ada Rodriguez, mungkin dia tidak mengeluh untuk membilang digit-digit digital di papan pemuka itu. 
 
"Err, abang ada nak pergi mana-mana ke? Tak pe ke lambat sikit ni?" Frank seakan tahu wajah pasrah Diego dan mungkin pandai menduga. Diego menggeleng. Dijawab dalam hati sahaja. Ada, nak balik rumah, setelkan hal rumah baru dengan kontraktor dan kemudian nak bertolak ke Sao Paolo. Jauh lagi perjalanan ni.


"Takpe, buat je" memang berlapik ganda dua betul jawapan itu, perilaku Frank memang penting pon sebenarnya sebab ia menjimatkan kos minyak sebenar yang Diego akan bayar. Diego akur lagi. 


"Jadi, gaji abang tujuh ribu ada tak bang?" laju terpacul sahaja soalan itu dari Frank. Diego yang ketika itu tengah duduk di kerusi pemandu dengan kaki di luar kereta memandang tepat ke mata Frank. Sengih.


"Ehhh, takde lah, tak sampai pon" lagi sekali jawapan penuh tektik defensif sistem berlian dilakukan oleh Diego. 


"Kalau macam tu, memang kena sambung belajar la abang, tak pon cari kerja kat tempat lain yang boleh bagi banyak lagi la ek" Frank memberi sekali lagi ayat soalan yang macam ayat penyata. 


Mata Diego memandang pula ke papan pemuka mesin pam. Digit-digit digital masih lagi bergerak mengikut kelajuan yang sama. Baru masuk angka Rs23, sudah. Kembali dia memandang Frank.

"Ok dah nih kerja kat sini. Baru je 6 bulan. Kerja pon ok. Cukup la kot dengan gaji yang dia bagi, untuk saya anak dan isteri" Diego menjawab dengan begitu pasrah. 


Frank tika itu masih meneruskan usahanya untuk sedaya upaya mengurangkan pembentukan wasap petrol ketika sedang mengisi petrol ke dalam kereta Diego. Bila kurang wasap, maka banyak la petrol yang masuk ke dalam tangki. Tak la membazir. Sebab meter di papan pemuka adalah meter isipadu laluan petrol keluar dari mesin pam, bukannya isipadu yang masuk ke dalam tangki kereta.


Setelah beberapa ketika dan digit angka melonjak ke Rs40. Frank bersuara lagi.


"Saya kalau umur dah 35 nanti, saya kira-kira paling kurang pon, saya target gaji saya pada masa itu, minimum pon mesti dalam LIMA BELAS RIBU!" yakin sekali Frank menjawab. 


Diego tersentak. Airmukanya dikawal. Frank di dalam hatinya memang betul-betul seorang belia yang berazam tinggi, berkeyakinan dan punyai iltizam yang kukuh. Diego cuba menduga.


"Kalau nak dapat macam tu, kena berniaga la" Diego menyambung.


"Eh, tak la bang. Untuk kerja macam ni, kerja makan gaji la" pantas Frank menjawab.


"Kalau buat bisnes, yang memang Rasulullah sendiri pon galakkan, memang lagi tinggi dari ni la kena target, dah bisnes sendiri" Frank menyambung lagi. 


Diego hanya membalas dengan senyuman. Dia betul-betul tertanya-tanya sekarang. Atas dasar apa mereka mempunyai komunikasi sebegini untuk kedua-dua sesi ini. 


Digit-digit dah hampir Rs60. Diego hanya menunggu dengan tenang tanpa apa-apa lagi perbualan. Menunggu sehingga tangki keretanya betul-betul penuh. Sambil Frank mengulang kembali pernyataan beliau yang berikut.


"Memang kena buat macam ni, saya boleh letak setting auto je, tapi rugi minyak, isi memang penuh, tapi banyak yang rugi sebab banyak wap dia".
Frank. Langit adalah batasanmu. Percayalah.

Selasa, Ogos 17, 2010

Catatan Diego - Pam@Stesen

Betul-betul pada hari pertama Diego bawak kereta baru beliau. 

Ye, kereta baru. Betul-betul baru pinjam. Dari mak. Kereta ni lebih brader sikit dari WisE. Heheh. Brader pam minyak stesen Esso berlalu di tepi masa Diego baru nak masuk dalam kereta untuk pergi makan nasi tengahari. Ok cerita ini 3 minggu lepas. Jadi belum puasa lagi ye. Jangan spekulasi. 

Brader pam minyak stesen Esso adalah seorang belia sama bangsa yang satu-satunya bumiputera di pam minyak stesen Esso itu. Yang lain dari seberang tak kira lelaki mahupun perempuan. Bekerja di stesen minyak sebagai Penyokong Pelanggan memerlukan jati diri dan keazaman. Jadi tiap-tiap hari bila Diego ulang alik datang dan balik kerja, mesti brader pam minyak stesen Esso akan mengangkat tangan atau bersuit sambil melambai atau angguk kepala atau senyum-senyum tanda 'Hai'. Ini sahaja komunikasi sewaktu di awal perkenalan mereka. 

Kali ini, brader pam minyak stesen Esso baru nak berjalan kaki pergi makan nasi tengahari di kedai makan sederet dengan stesen minyak, dan terserempak dengan Diego yang nak makan nasi tengahari naik kereta ke Kg Melayu. 

"Eh, tukar kereta ke? Selalu bukan naik Gen-2?" Brader pam minyak stesen Esso menyapa.

Diego sengih. "Ha'ah, kereta pinjam je" Diego menjawab.

"Kereta sapa?" Brader pam minyak stesen Esso tanya lagi.

"Kereta mak" Diego jawab. Sengih lagi. 

Brader pam minyak stesen Esso mengganguk dan sayugia berlalu. Peristiwa itu tidak tamat tika itu juga. 

Petang itu Diego balik sedikit lambat sebab dah 10 minit lepas waktu rasmi berkerja baru nak berbincang hal ehwal berat-berat dengan rakan setugas. Jadi bila balik semua kereta yang meletak kereta di sebelah stesen Esso itu sudah lesap kecuali kereta 'baru' Diego. Dengan kedudukan yang sangat terdedah dan lagi fokus dan lengang itu, tiada siapa lagi yang akan disapa brader pam minyak stesen Esso kecuali menyapa Diego.  

"Baru nak balik bang? Lewat eh" Brader pam minyak stesen Esso memulakan perbualan dengan menyusun gerak mendekati Diego dan kereta barunya. 

"Ha'ah, lewat sikit hari ini" Diego balas dengan penuh sopan dan tata susila. Hatinya tertanya sedikit sebab sebelum ini brader pam minyak stesen Esso sekadar mengangkat tangan atau bersuit sambil melambai atau angguk kepala atau senyum-senyum tanda 'Hai' sahaja. Kali ini berbual-bual pula.


"Abang ni kerja apa, macam VVIP je balik lewat-lewat, macam orang-orang besar je" Brader pam minyak stesen Esso bertanya soalan permulaan.


"Eh, kerja biasa-biasa je" Diego menjawab lagi dengan lebih sopan dan lebih bertatasusila.


"Abang ni kerja Assistant Sales Manager ke? brader pam minyak stesen Esso mula ke soalan ketiga. Mungkin perwatakan yang dibawa Diego setiap hari dengan muka serius, pakai tali leher dari pagi bawak ke lewat petang dan kadang-kadang menumpang Lancer untuk ke tempat pelanggan menyebabkan brader pam minyak stesen Esso mula mencurigai sesuatu. 


Begitu ironi juga bila brader pam minyak stesen Esso memanggil Diego 'abang', walhal Diego pula membahasakan brader pam minyak stesen Esso dengan panggilan brader di dalam hatinya. 


"Eh, tak de lah, saya kerja engineer je" Diego menjawab supaya segala persoalan terjawab.


"Ooo, eh besar jugak tu, VVIP jugak la jadi Engineer ek" brader stesen pam minyak Esso mendapat satu maklumat. Akibat terlalu panjang untuk menaip nama brader stesen pam minyak Esso di dalam cerita ini, Diego mengerling ke tanda nama yang terpin di dada brader stesen pam minyak Esso. Oh, namanya Frank. Mujur pendek. Frank Lampat barangkali. Dengan angggukan dan senyuman dari Diego, Frank bertanya lagi.


"Dah, gaji abang ada lebih 8 ribu?" Frank sangat berterus terang. 


"Eh, takderlah. Tak sampai pon" Diego berbahasa basi. Boleh tahan siaran langsung bersport light cerah soalan dari Frank. 


"Eh, tak sampai ke? Kena belajar tinggi lagi la kot kalau nak gaji lebih lagi ek" Frank bertanya seakan memberi ayat penyata. Yang hanya perlu anggukan dari Diego. 


"Buat master ke, abang ada master tak?" Frank tanya lagi.


"Takde, degree je" Diego jawab. Defensif sungguh tektik penjawaban Diego di dalam perbualan ini. 


Dan mereka pon berbual-bual tentang keaadan pekerjaan sekeliling. Serta sedikit asal usul. 


"Abang cemana kerja kat sini, ok?" Frank memang seorang yang mempunyai EQ yang baik untuk dibawa berbual. 


"Ok. Baru 6 bulan. Takde apa-apa masalah. Dah kamu Frank, ok kerja kat sini?" Diego pula membuat cubaan soalan yang agak banggang. 


"Eh bang, nak kata tak ok cemana lagi, kerja pam minyak je. Hostel ada. Tak susah mana la". Frank menjawab. Ye tak ye jugak. Angkat tolak masuk picit je. Nak susah tang mana.


Mereka berbual pula hal asal usul kediaman dan sedikit latar belakang keluarga. Frank dah mula berkerja 6 tahun lalu. Sama la usia kerja mereka berdua. Tapi Frank baru berumur 25 tahun. Muda belia lagi. Macam dari SPM terus bekerja.


"Dah tu, ada plan nak sambung belajar lagi ke lepas ni?" Diego menduga pula. 


"Saya memang ada hasrat nak sambung belajar lagi. Kalau boleh di Tokyo. Bukan apa, kat sini pensyarah dia pon kadang-kadang main-main. Tak serius. Assignment boleh tiru-tiru kawan. Macam takde kualiti. Kalau kat Tokyo lain. Sana serius. Kalau kat sini dapat PNGK 3.85 dah macam bangga, kat sana semua nak PNGK 3.9 je. Kalau dapat PNGK 3.8 atau bawah, diorang sanggup bunuh diri. Haa. Bunuh diri. Dia panggil apa tuh? Haaa.. Haaa.."

"Harakiri!" sambung Diego dengan senyum tipis. 


"Ha'ah. Harakiri. Sebab tu kalau saya, saya nak sambung kat Tokyo. Ada kualiti" Frank bersungguh-sungguh bercerita tentang matlamat hidupnya. Mujur tak terkeluar yang Diego ini belajar di universiti tempatan sahaja. Tapi Frank baik. Dia dah cakap awal-awal. Bukan nak kata universiti tempat Diego belajar tak baik. 


Diego berasa Frank memang seorang yang mempunyai jati diri yang tegar dan sangat bersemangat. Dia pon meminta diri untuk bergerak balik rumah sebab memang dah agak lewat pon. Sekian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...