Advertlets

Selasa, April 13, 2010

Catatan Diego - Duri@Padang

Ceritanya adalah suatu ketika dahulu. Diego dan rakan sekerjanya dikehendaki ke sebuah tempat bernama Duri yang terletak di Padang, ibu negeri wilayah Sumatra Barat. Ini atas urusan untuk mempromosi penapis udara berpenyerap kelembapan. Untuk melindungi kotak gear mesin pam minyak mentah atas daratan bagi satu syarikat minyak antarabangsa yang beroperasi di padang telaga minyak di sana. Untuk rekod, satu padang telaga minyak mempunyai kurang lebih 300 mesin pam minyak mentah. Tak tahulah berapa barrel sehari yang dapat dikeluarkan.

Sudah tentunya ada wakil tempatan yang menjadi orang tengah dalam urusan sebegini. Mereka satu ketika dahulu adalah wakil syarikat minyak pelincir, kini cuba untuk membuat perniagaan sendiri dengan menjual perkakasan yang berkaitan dengan minyak pelincir. Syarikat tersebut dimiliki oleh 3  pemuda, 2 berbangsa cina dan 1 berbangsa Jawa. Tapi nama semua macam pemain badminton Indonesia. Sarman, Alan dan Rusdi.

Pagi hari mereka dah bersiap untuk ke Duri. Nak ke Duri tempat telaga minyak dari Padang agak mencabar. Jalannya berselekoh sana sini, jauh dan Rusdi sebagai pemandu Kijang hanya berani membawanya ketika hari masih siang. Masuk malam, bahaya. Pernah terjadi, sebuah Kijang dijerat ditepi jalan. Leher pemandu tersisip elok parang panjang orang tempatan. Rampok dan bunuh serta-merta. Ngeri. Cerita Rusdi.

Sebagai Kijang yang punyai pelekat istimewa, Rusdi boleh melalui jalan persendirian milik Chevron, sebuah syarikat gergasi minyak yang telah beroperasi di Padang sejak turun temurun. Sekitaran ruang Chevron ini sangat luas, ada barangkali sebesar Taman Universal ditambah Taman Pearl Rini. Di dalamnya ada pasaraya, sekolah, masjid, dewan serbaguna, dandang dan penjana turbin stim serta rumah kediaman para pekerja Chevron. Rumah mereka agak kiut. Seakan rumah lama versi British yang punyai pokok-pokok bunga kecil dilaman rumah, pintu kayu dan tingkap versi rumah penjajah. Memang kiut.

Untuk melepasi jalan pintas di dalam Chevron, ada satu cek point, di cek point ini Rusdi akan mengambil sekeping kertas bertanda tarikh dan masa Rusdi melintasi cek point ini. Rusdi dikehendaki memandu di dalam lingkungan kelajuan yang dikenakan. Tidak boleh terlebih laju atau terlalu perlahan. Sampai di cek point satu lagi, kertas tadi bertukar tangan. Pengawal akan memeriksa tempoh perjalanan Rusdi. Jika kurang atau lebih, pengawal akan bersoal siasat lanjut. Kenapa memandu terlalu laju atau terlalu perlahan. Hah, jawab.

Perjalanan ke Duri memang membuka mata. Berselisih dengan lori pembawa kayu potong buat kilang kertas adalah perkara biasa. Selekoh tajam sambil menurun bukit dan jalannya berlubang besar juga perkara biasa. 3 stesen minyak yang disinggah Rusdi semuanya kehabisan minyak petrol. Gasolin mengikut kata orang tempatan.

Tapi Diego sedikit tertanya-tanya tentang botol-botol plastik yang tersusun di kedai-kedai kecil (rumah orang) di tepi jalan, yang warnanya sedikit keruh kehijauan. Hanya dalam perjalanan balik, persoalan ini terjawab. Itulah gasolin yang dijual secara runcit. Mana tak habis di stesen minyak, kalau tiap orang beli sorang sikit isi balik dalam botol untuk dijual balik di kedai mereka dengan harga yang lebih tinggi. Bijak ekonomi kapitalis juga orang tempatan di sini.

Segala penerangan, demo, siaran layar selesai dalam tempoh 3 jam. Kini perjalanan balik harus ditempuhi. Rusdi sedikit gusar kalau-kalau malam mula menjelma tapi mereka masih belum keluar dari kawasan Duri. Sebelum perjalanan bermula, Rusdi tercari-cari letaknya masjid. Diego tertanya-tanya juga, tadi sewaktu tengahari, mereka hanya berhenti makan dan terus ke tempat mesyuarat. Sebagai musafir, Diego boleh menghimpunkan solat. Tapi Rusdi orang tempatan.

Mujur terjumpa juga musolla. Rusdi meminta diri untuk berhenti sebentar, dia ingin ke bilik air tak tahan nak terkucil. Diego mengambil peluang ini untuk menyelesaikan himpunan solat. Rusdi tidak pula kelihatan menyelesaikan hal yang lebih wajib ini. Tertanya-tanya. Rakan sekerja juga ditunjukkan arah bilik air, walau ini rumah ibadat, berlainan agama tidak menjadi penghalang hanya sekadar ingin menumpang bilik air.

Dalam perjalanan balik, Diego dan Rusdi mula berbicara tentang adat orang tempatan, asal usul Rusdi serta hal-hal berkaitan. Perkara-perkara rutin. Termasuk juga perkara-perkara yang berkaitan dengan agama. Yang mana haram, yang mana halal. Rusdi pelik bila mendengar pendapat Diego yang adanya golongan yang menolak amalan sunnah dan hadis. Bagi Rusdi, amalan agama harus ditunaikan dengan ajaran Quran dan sunnah nabi. Baru lengkap.

Mereka menyambung sembangan pung-pang-pung-pang mereka sampai tiba ke destinasi. Sempat juga rakan sekerja Diego, menyampuk. 'Sunnah tu apa?" tanya beliau. Ah, susah jugak nak memperjelaskan dalam bahasa Inggeris. Dulu belajar agama semua buku teks bahasa Melayu.

Mereka selamat sampai ke Padang dalam jam 8 malam. Singgah di belakang sebuah pawagam lama untuk makan malam. Ruang makan ala Kebayan. Banyak gerai-gerai pilihan. Ada yang halal, ada yang haram. Yang halal menjadi pilihan sebagai menghormati tetamu. Tapi bagi Sarman, Hiru dan Alan, penat lelah berniaga sedikit terhapus bila disudahi dengan Carlsbeng sebotol dua. Rakan sekerja Diego menolak sopan tawaran Carlsbeng mereka. Diego pula lebih selesa dengan teh botol yang terkenal di Indonesia dan air kosong.

Pelayan datang dengan 4 gelas dan 3 botol Carlsbeng sejuk. Alan tuang penuh keempat gelas tadi. Dalam berborak sambil menunggu ikan stim, udang goreng, sate dan segala lauk pauk tadi, sorang-sorang menghirup minuman di gelas masing-masing. Sarman, Hiru, Alan dan Rusdi.

Semua persoalan dan pertanyaan lengkap sudah. Tapi bagaimana dengan sembang pum-pang-pung-pang kami tentang sunnah tadi? Haih. Hati Diego binggung. Lagi binggung bila rakan sekerja Diego juga kelihatan binggung.

2 ulasan:

a z m i r berkata...

menarik entri ni.. sangat mendalam.. hmmmm

Adam Ruslan berkata...

^a z m i r^

yep, sekadar berkongsi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...