Advertlets

Selasa, Februari 09, 2010

Sinetron Dramalova XXVI - Basuh

Babak 1

"Tekanan adalah sama dengan daya dibahagikan dengan luas permukaan"

Ini rumus yang cikgu Diego bagi masa kat universiti. Kenapa cikgu universiti tak bagitahu bahawa tekanan juga ada dalam hal ehwal berkerja? Bukan hanya tekanan dalam isiruang silinder bulat, bukan juga hanya tekanan di dalam jejulur konkrit berpin atau tertanam mati, juga cikgu universiti hanya bercerita tentang tekanan yang boleh diturun-naikkan dengan proses pemampatan atau pengembangan yang melibatkan tenaga entalpi atau entropi.Itu je cikgu di universiti ajar.

Apa sebenarnya tekanan di alam pekerjaan? Sebenarnya bukan tekanan pon, tetapi tuntutan hidup yang berkitar terhadap hal ehwal bangun pagi gosok gigi pergi mandi dan bertarung dengan lampu isyarat sehingga kita hanya suka warna hijau dan tertanya-tanya kenapa jurutera elektrik lampu isyarat tersebut meletakkan tempoh masa 90 saat untuk lampu hijau bernyala adalah sesuatu yang boleh menaikkan tekanan akibat jam di tangan lebih laju dari jam di pejabat. Kemudian kitaran tersebut berulang kembali untuk proses kembali dari tempat kerja.

Sebagai langkah menjaga kesihatan agar tekanan darah tidak terjejas, suatu terbitan rumus baru untuk tekanan telah dicipta oleh Diego bagi meneruskan kehidupannya. Rumus yang langsung cikgu di universiti tak pernah ajar. Rumus Diego adalah seperti berikut.

"Tekanan menghampiri sifar bila jalan pergi kerja dan balik langsung tiada lampu isyarat atau paling sedikit"

Babak 2

Sejak akhir-akhir ini, kerjaya Diego telah menuju ke arah pendakian pertambahan bidang-bidang tugas. Yang mana tugas-tugas khas beliau telah bertambah-tambah bagi mengimbangi struktur akaun hujung bulannya supaya setimpal.

Tugas-tugas khas tersebut adalah seperti memakai baju kemeja berlengan panjang yang telah siap tersterika, menjadi pensaikologi tanpa tauliah supaya Rodriguez tidak teriak sepanjang perjalanan dari rumah ke taska, mengheret Rodriguez keluar dari kereta supaya dapat diserahkan kepada cikgu taska yang rilek-rilek sahaja, serta mengambil alih sebanyak mungkin jika tugas-tugas urusan pengemasan rumah tahap persijilan ISO 9001 yang mana sistem teraturnya sedikit terjejas sejak kebelakangan ini.

Meskipun rumah yang didiami Diego ini punyai sistem persijilan ISO 9001 untuk susunatur teratur serta rekabentuk capaian optimum perkakas-perkakas dapur, pengendali sistem ISO yang diterajui oleh Marcia sejak kebelakangan ini banyak mendapat status 'non-compliance' akibat dari produktiviti penggunaan perkakas dapur serta alatan bantuan minum air atau makan nasi lebih tinggi dari proses basuh dan susun semula.

Ini berpunca dari proses penghasilan tenaga 'bermain' yang dihasilkan oleh Rodriguez dan Pablo saban hari yang makin lama makin menjadi. Sehari kurang lebih 18 kali mereka membuka tutup pintu peti penyejuk untuk minum air. Jika sekali minum, sebuah cawan, berapa banyak cawan diperlukan sehari? Ini belum ditambah dengan proses persiapan makan tengahari dan proses makan snek. Kalaulah boleh dikira dalam unit 'Joule' berapa tenaga yang dihasilkan oleh Rodriguez dan Pablo, adalah kiranya rumah ini boleh menjadi stesen janakuasa mini yang boleh menghidupkan sebuah sistem kipas berdiri keras kepala.

Berbalik kepada kelebihan proses produktiviti alat bantuan minum air serta makan nasi, jumlah yang tertangguh kadang-kadang melewati tempoh hampir 72 jam. Ini selalu terjadi pada hujung minggu bilamana awalnya, banyak proses penggunaan alat bantu ini, tetapi kemudian diketepikan proses basuh dan susun semula apabila ada aktiviti luar rumah yang lebih menjurus kepada pemanduan kenderaan ke tempat-tempat yang punyai tempat letak kereta bertiket.

Setelah sengit bertarung mata dengan pinggan mangkuk serta berbelas-belas cawan minum air di dalam sinki, perasaan panas hati terhadap keadaan tersebut akan mengakibatkan Diego hilang pertimbangan. Diego akan bertukar menjadi pemarah, dengki khianat serta iri hati terhadap cawan dan mangkuk pinggan di dalam sinki. Semua cawan, pinggan, mangkuk dan periuk akan disusun-susun, disatukan mengikut kategori serta mengurangkan ruang sebanyak mungkin supaya senang sinki digunakan untuk membasuh botol susu.

Akibat dari tersusun pinggan mangkuk dan cawan di sinki, perasaan geram terhadap pinggan mangkuk akan turut bertambah. Diego tiada pilihan, rasa hangat hatinya memaksanya menyabun semua perkakas-perkakas serta alat bantu makan minum itu secara perlahan-lahan. Sambil menonyoh kotoran degil, perasaan meluap-luap itu semakin menjadi-jadi. Satu persatu diselesaikan, sehingga semua protokol yang tersedia seperti yang telah tertulis dalam persijilan ISO 9001 yang disediakan Marcia siap. Kemudian Diego berasa hairan.

Diego hairan, kenapa tiba-tiba bertitik tolak dari membasuh dan menyusun semua perkakas dapur, Diego turut serta dalam hal ehwal mengemas meja pula? Setelah meja siap lap serta tersusun kembali kerusinya di bawah meja, Diego berasa hairan buat kali kedua.

Diego hairan, ke mana hilangnya perasaan panas hatinya tadi terhadap cawan, pinggan dan mangkuk tadi? Semuanya dah hilang dan yang tinggal hanya perasaan lega. Hairan. Hilang.

Terngiang-ngiang di kepala Diego perbualannya dengan Marcia dalam pertengahan tahun lepas.

"Ayang rasakan, setelah ayang masuk internet untuk buat blog, main facebook, chat dengan kawan-kawan lama yang baru jumpa semula, ayang suka la jugak macam tu. Tapi, semua tu tak sama rasa dia dengan bila ayang duduk kat dapur dan buat semua kerja-kerja rumah. Mengemas jugak yang boleh buat ayang betul-betul rasa puas. Lebih puas"

Diego kini lebih memahami.

Notajalan sedikit lampu isyarat amANI: Mekasih bagi yang saban hari masih lagi menjenguk ke blog ini. Meskipun kekerapannya telah longgar, tapi InsyaAllah penulisan ini akan berterusan.

6 ulasan:

don berkata...

sekali sekala masuk dapur dan buat keje rumah..apa salahnya..

p/s: mcm mana ye nak hilangka teriakn kanak2 di waktu pagi kal nak ke sekolah..my dotter dr umur 4tahun sampai sekarang dah 6 thn masih berteriakan..huhuh

noorafzan.blogspot.com berkata...

gile panjang entry kali nih..
dari pada tekanan kerja..
sampai ke kenakalan kanak2 riang di rumah.
diikuti dengan kekemasan dapur oleh diego..

kagum2..

x pe, ada update baru saya jengah blog ni..=)

d u t a berkata...

uih menangis nk baca . pnjg tol. nway . ingatkn sebab internet ISO tetiba berubah .... huhu.

Adam Ruslan berkata...

^don^

Err bab anak teriak tuh memang haru. Mandikan n pakai baju ummi dia yang buat, antar pegi skolah abah dia. So gilir2 menjadi pensaikologi.

^afzan & duta^

Panjang ke? Macam stended biasa blog ni je. Yang pendek baru luar biasa. Sesak nak baca sebab AYAT terlalu panjang kan?

Eksperimen. Heheh.

ayen =D berkata...

ain suka!

dan perbualan dengan Marcia yang last tu buat ain rasa mcm terharu dan sebak pulak.. tak memasal..

Adam Ruslan berkata...

^ain^

sebak & terharu? Apasal?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...