Advertlets

Jumaat, April 27, 2012

Catatan Diego - Cabaran Persisir Luar Pantai #1

Adalah menjadi impian atau harapan atau niat setiap pemegang ijazah sarjana muda dengan kepujian kejuruteraan mekanikal mahupon setiap pelajar yang tidak menghabiskan ijazah sarjana muda kejuruteraan mekanikal mereka sebab duit PTPTN mereka dah habis selepas mereka extend semester sampai maksimum untuk berkerja atau berpeluang bekerja di bidang Minyak dan Gas di Pesisir Luar Pantai. 


(5 baris ayat tanpa noktah untuk permulaan cerita adalah teknik menulis yang sangat power!).


Ini termasuklah Diego yang masuk dalam kategori berharapan tetapi bukan berimpian untuk berkerja atau mempunyai pengalaman bekerja di atas platform cari gali minyak mentah dan gas. Rakan-rakan Diego ada yang telah berpeluang berbuat demikian semasa mereka masih mentah dan tidak tahu apa-apa dengan tajaan dari anak syarikat penaja biasiswa mereka. Tetapi cabaran mereka tidaklah getir kerana mereka diberi peluang ke sana atas dasar belajar, bukan untuk membuktikan kebolehan diri mereka. (Kah kah kah. Ok, ini ayat jeles ye). 


Baru-baru ini, Diego sendiri telah berpeluang untuk merasai sendiri cabaran berkerja dan membuktikan diri sendiri di atas platform untuk satu kompeni Minyak dan Gas terbesar dunia. Naik ke platform itu belum tentu, tetapi syarat-syarat wajib bagi seorang jurutera minyak pelincir untuk memberi khidmat nasihat dan tunjuk ajar terhadap isu-isu minyak pelincir kepada kompeni Minyak dan Gas terbesar dunia ini perlu diikuti satu persatu. 


Syarat pertama ialah lulus dan mempunyai sijil perubatan pesisir luar pantai. Nama sijil kesihatan pon dah power!


Syarat ini tidaklah mudah bagi setiap pekerja yang ingin berdiri di atas platform sambil dibuai ombak ganas Laut China Selatan. Berikut merupakan cabaran yang harus Diego lalui sendiri dan agak getir bila diteliti satu persatu.


1. Cabaran pertama Diego adalah perlu berpuasa. Alah, sebulan berpuasa sebelum ini setiap tahun apalah susahnya bukan? Ok, Diego harus berpuasa bermula jam 12 tengah malam sebelumnya sehingglah selesai urusan mengambil darah. Kaunter pemeriksaan kesihatan pekerja industri hospital mula dibuka jam 10.10 pagi dan urusan darah hanyalah selesai pada jam 1.00 tengahari. Mudah bukan berpuasa sebegitu? 


Bagi Diego adalah tenang tapi tak mudah. Cabaran tanpa air dan gula dalam badan lebih dari yang disangkakan sebab adakah semua orang berhenti makan dan minum tepat jam 12 tengah malam? Ye, makan malam Diego adalah pada jam 7 malam dan air kosong separuh cawan terakhir adalah jam 2 pagi. Ada juga 2-3 orang yang dah mula mengamuk sebab belum selesai segala urusan darah yang membolehkan mereka makan dan minum.


2. Cabaran kedua adalah harus membiarkan badan bahagian atas terdedah kepada mata gadis penjaga X-ray, yang kemudian menyanyikan rangkap beritma "tarik nafas, lepas, tarik nafas dalam-dalam, tahan nafas, tahan nafas dan lepas" dan kemudiannya bahagian badan yang terdedah didedahkan kepada sinaran radioaktif X. Sinaran radioaktif ini jauh lebih tinggi miliservenya dari sebaran radioaktif loji Lynas sekarang. Boleh pula gadis radioaktif X-ray tanya, "La, tak pakai singlet ke?"


3. Sekembali dari disinari sinaran radioaktif X, Diego harus melalui cabaran menunggu. Brader pembuat pemeriksaan pendengaran sedang menyelesaikan sekumpulan pelanggan yang sedang membuat ujian fizikal (penglihatan, buta warna, timbang berat dan tinggi serta mengambil darah). Jadi penungguan Diego melibatkan acara menghabiskan membaca suratkhabar, membaca suratkhabar lama, melihat orang lain menunggu, mundar mandir dan melihat gadis kaunter bersembang. Sorang gadis kaunter agak menarik perhatian Diego kerana beliau berkebolehan mengenalpasti nama pelanggan dan rupa paras mereka. 


4. Cabaran getir dalam ujian pendengaran menanti Diego seterusnya. Dengan tidak tersangka oleh Diego, brader ujian pendengaran sudahpon mengeluarkan isyarat bunyi ke telinga kanan setelah Diego memasang headphone, tetapi tiada apa-apa reaksi dari Diego. Brader ujian pendengaran terkejut. 

"Eh, takkan tak dengar? Saya dah letak tinggi tu." Brader ujian pendengaran buat muka terkejut.



"Eh, dah ada ek, sekali lagi" Secara tenang Diego menjawab. 


"Tak dengar ke?" Brader ujian pendengaran bertanya lagi.

Diego hanya menggeleng. "Cuba buat belah kiri pulak" mintak Diego. 



Teet!! Teet! Teet! Diego picit butang isyarat di tangan tiap kali isyarat dihantar. Brader ujian pendengaran mengambil tempat. Mesin beliau berfungsi sebenarnya. 


Ujian sebenar pon bermula. Pintu kedap bunyi ditutup. Diego pasrah. 


Isyarat belah kanan dihantar dengan amplitud yang lebih tinggi dari biasa. Dari 4 atau 5 isyarat, hanya 3 yang mampu didengari. Kadang-kadang yang ke-empat adalah seperti ilusi, jadi Diego tekan juga. Ha ha ha. 


Baru Diego nak sungguh-sungguh menghayati ujian, pintu dah dibuka.


"Bang, belah kanan hancur, belah kiri normal. Saya tak tahu la lepas ke tak ni"


"Yeke, cemana ek? Memang belah kanan saya tak ok. Dalam ada problem" sambil Diego menyelak sisir tepi rambut.


"Oh, baru saya perasan" brader ujian pendengaran menyambung. "Tengok la nanti doktor kata macamana". 


5. Diego keluar tersengih. 15 tahun dahulu beliau sudah pon tahu keadaan ini, cuma ini ibarat refreshment terhadap hakikat dahulu. Kepala otak beliau sudah berkira-kira nak tanya doktor, boleh layak dikenalpasti sebagai OKU ke tidak nanti. Diego menanti cabaran ke lima. 


Dari aktiviti cabaran menunggu dan melihat orang, Diego dapat maklum yang peserta dibawah umur 35 tahun tidak perlu ujian ECG. Jadi hanya 2 checkpoint lagi harus dilalui. Ujian fizikal dan sesi bersama doktor. 


Sesi melihat huruf dari jauh, nombor berwarna dalam buku serta timbang berat dan tinggi diselesaikan Diego dengan sebelah mata sahaja. Mudah. Tiada cabaran. 


Bila sesi memeriksa tekanan, Diego buat paling releks. Kontrol degupan jantung supaya releks dan tak perlu gusar. Tekanan darah normal. 124/81. Sikit je lagi nak lulus cemerlang A+ walaupon perut belum diisi dan tekak dahaga ya amat. 


Tangan kanan dihulur. Getah pengikat diikat atas sikit dari siku. Jarum halus bersama picagari dikeluarkan dan salur darah dicari. Tusukan jarum yang pertama bawah sikit je dari kulit. Tiada apa-apa terjadi. Brader ujian darah sengetkan sedikit dan cucuk lebih dalam. Tetap tak ada apa-apa. Eh, beliau sedikit kaget. Brader ujian darah sengetkan lagi dan cucuk lagi sekali lebih dalam. Pon tiada apa-apa. Sebab ni la kot sekarang ini ramai sangat membantah ujian perubatan klinikal terhadap binatang. Sedap hati dorang je nak cucuk tang mana. 


Kali ini, brader ujian darah sengetkan terus 90 darjah dari sudut pertama beliau membuat cucukan. Darah terus memancut laju masuk ke dalam picagari tanpa perlu ditarik. Sedikit sedutan dari picagari dah cukup untuk mengumpul darah merah hitam dari lengan Diego. Ye. Cabaran melihat jarum dan dicucuk 4 kali harus dilalui tiap pekerja untuk berjaya dalam arena Pesisir Luar Pantai. 


6. Cabaran terakhir ialah mengumpul air urin ke dalam botol kecil. Tidaklah kita perlu bercerita bagaimana zip seluar, botol, pam tandas dan sebagainya di sini. Cuma Diego masih terbayang aksi sorang Mat Salleh yang baru selesai meletakkan sampel beliau di dalam bakul pengumpulan, beliau kemudiannya mengkelepiaq-kelepiaq tangan beliau ke bahagian belakang jeans beliau. Sekelip mata kemudian dia sudah membuka bungkusan sandwich Subway beliau untuk berbuka puasa. Nyum-nyum. 


7. Cabaran ujian kesihatan habis selepas sesi bersama doktor. Doktor mengatakan yang pendengaran harus normal untuk salah satu telinga dengan kehilangan pendengaran dibawah 20dB. Jadi, tidak perlu risau apa-apa. Perkara pertama dituju Diego adalah kafe hospital untuk berbuka puasa dan menamatkan dugaan cabaran pertama. Lengan rasa lenguh dan rasa nak tidur adalah tersangat tinggi. 


Kita sambung nanti bila selesai cabaran melompat dari tebing dan menyelamatkan diri dari helikopter yang tenggelam. Itu pon kalau lulus ujian kesihatan la. Ha ha. 

4 ulasan:

ayen =D berkata...

waw!! benda yang ain pernah buat tapi dibaca macam tak pernah buat tak pernah tahu.. punya la suspens cara cerita hehehe..

tapi ujian pendengaran tak pernah buat..
terjun dalam helikopter tenggelam.. memang ada ek? waaawww.. seram!

all the best!

Arzamewenger berkata...

pastikan masa terjun tu kaki tertutup. kalau nak tahu kenapa, cubalah dgn kaki terbuka. anda akan tahu akibatnya.

Arzamewenger berkata...

SOP memang kata kaki kena tutup, tapi ada sorang member forecast aku nak cuba bukak kaki gak.. haha

Diego Amani berkata...

Ayen : biasala, kene dramatik sikit.

Arzame : Baik, bila tiba masanya, kaki akan dikepit rapat. Hu hu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...