Advertlets

Jumaat, Oktober 28, 2011

Catatan Diego - Bowling@Singapore

"Bakat terpendam tidak tercungkil selagi tidak mencuba"


Ini sahajalah yang dapat disimpulkan dari cerita ini. Kompeni Diego telah mengadakan satu pertandingan boling peringkat ofis-ofis. Semua bahagian dan ofis-ofis dibawah naungan Kumpulan Bos-Bos hendaklah menghantar wakil 5 sepasukan masing-masing. Semua pasukan wajib menghantar wakil, bahagian minyak pelincir, bahagian tayar, bahagian logistik, bahagian workshop kereta, bahagian workshop trak dan satu pasukan khas juga ditubuhkan, pasukan ketua setiap department. 

Tidak dapat tidak, nama Diego terpilih untuk mewakili pasukan ketua setiap department. Ini sama sekali bukan sukarela, lebih kepada paksarela. Sebab salah satu ahli pasukan ketua setiap department ini ialah Bos Besar. Kau berani tak pegi?



Sesi latihan sebelum perlawanan diadakan bagi siapa-siapa yang nak main boling percuma sambil mengenal bola boling, kasut boling, pin boling dan sistem permarkahan. Kebanyakkannya masih bergantung kepada mesin komputer untuk mengira. Mana nak reti markah sendiri. 


Soalan pertama dari Bos Besar berbunyi begini sambil beliau menyarung kasut boling yang dibawa dari rumah. Bola peribadi pula baru sahaja dikeluarkan dari beg boling.

"Berapakah markah purata kamu?"



"Err, seratus ke seratus dua puluh? Saya baru main pertama kali ni bos, dah 5-6 tahun tak main boling ni". Diego jawab penuh tulus ikhlas. Sebenarnya, mengikut rekod, tak pernah Diego lepas seratus masa dulu-dulu dia kenal pusat boling semasa masih menuntut di universiti. Enam puluh ke lapan puluh adalah angka yang lebih tepat. 


Bos angguk ok sambil menabur sedikit bedak di atas papan pengendali markah. 


"Kurang dari seratus pin, saya cas seringgit satu pin" Bos pon berlalu mengambil bola. Kau berani baling merata-rata setelah amaran sebegitu?


Sesi latihan berjalan lancar dengan lemparan-lemparan pelbagai gaya. Ada yang melempar begitu laju tanpa hala tuju janji laju macam la pin tuh kena pecah baru dapat markah tinggi. Ada juga yang melempar ke belakang juga tanpa tujuan tertentu. Ada yang melempar dengan begitu lembut sekali sehingga bola yang bergolek itu diiringi bunyi cengkerik dan suasana menjadi sunyi sepi dan segala pergerakan menjadi begitu perlahan tapi semua pin akhirnya jatuh. Ya, dah nama pon latihan. Pelbagai gaya dapat dilihat. Yang menjadi lebih cabaran bila melihat opis jabatan lain mempunyai pemain-pemain boling yang membaling bola cangkuk dengan begitu propesenel sekali. Peh.


Sesi latihan tamat dengan markah selamat dari Diego. 3 set dengan catatan lebih seratus tapi tak sampai pon seratus dua puluh lima dengan gaya balingan lurus janji kena pin. Bos pula pulang dengan catatan atas seratus enam puluh. Diego baru mengetahui bahawa makan malam adalah begitu penting sebelum bermain boling sebab tak sangka selepas 3 set, bola boling terasa makin berat. Hari perlawanan sebenar adalah seminggu setengah dari sekarang. 


Kita terus sahaja fast forward ke hari perlawanan. Yela, kerja seharian takkan nak cerita jugak dalam ini cerita. Untuk hari perlawanan, persiapan rapi telah dibuat. Air botol dibawa untuk penghilang dahaga. Semayang maghrib dilaksana tepat pada waktu serta makan nasi dilakukan seawal pukul 6 petang. 


Kumpulan ketua setiap jabatan diletakkan pada lorong bersebelahan dengan opis servis trak dan lori. Mereka yang bermain dikumpulan ini dikatakan adalah pemain utama dan sudah berkali-kali mewakili pasukan opis Johor untuk berlawan dengan pasukan opis Singapore. Tiap sorang dari mereka ada bola sendiri dan semuanya dengan gaya balingan cangkuk. Termasuk peserta wanita mereka. Laki bini pulak tuh terrer main boling. Peh. 


Set pertama pon bermula. Diego mengambil giliran kedua selepas bos. Kasik bos bakar itu lorong kasik panas. Sepuluh pin jatuh. Peh. Bos dapat markah X.


Diego memulakan balingan. Sembilan pin jatuh, tapi sayang pin tunggal tak dapat dijatuhkan. Rerakan Diego lagi 4 orang juga punya gaya balingan amatur tersendiri. Ada yang kena, ada yang tak kena dan ada yang jatuh semua. 


Entah macamana, dari balingan ke-9, Diego berjaya mendapatkan markah X. Balingan ke-10 pon dengan markah X. Dua balingan percuma juga Diego mendapatkan X. Ayam jantan pon keluar di papan markah dengan XXXX. Peh, markah tertinggi dalam hidup dengan 171 markah dari Diego. Bos masih maintain dengan seratus enam puluh lebih. 


Kumpulan opis servis lori dan trak mula meninjau-ninjau siapakah gerangan pemunya 4X di papan markah. Paling kuat depa ada sorang dengan 3X. 


Frame kedua dan ketiga adalah seperti hujan panas diluar rumah. Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari. Balingan dari Diego mengecewakan dengan hanya seratus sembilan dan seratus sepuluh. Mujur rakan-rakan lain di prestasi menaik dengan markah lebih tinggi dari Diego di frame kedua dan ketiga dan Bos Besar dengan prestasi tertinggi


Bila taburan markah dilakukan di akhir perlawanan, rupanya kumpulan ketua setiap jabatan berjaya mendapatkan tempat ketiga dari 8 pasukan. Sayang hadiah dan trofi hanya untuk 2 pasukan teratas. Bos besar mendapat kedudukan ketiga tertinggi individu. Ye, kami hanya bergantung pada beliau untuk markah tertinggi kumpulan.  


"Eh, tak sangka boleh dapat tempat ketiga!" Diego sahutt pada rakan sepasukan.


"Apa yang tak sangka? Ingat saya ni teruk sangat ke?" Bos sambut dari belakang. 


3 hari selepas perlawanan. Diego dapat emel yang mengumumkan beliau terpilih sebagai salah seorang dari 15 peserta yang berjaya mewakili Opis Johor untuk berlawan dengan Opis Singapore di Singapore sebulan yang akan datang. Jadual latihan dikeluarkan. Diego hanya sempat hadir 2 latihan pertama, terlepas 2 latihan seterusnya disebabkan hal kerja. 


Semasa sesi latihan kedua, entah dirasuk apa pada frame ke-5, semua balingan disempurnakan dengan markah (/) walaupon sebelum frame tersebut, nak dapat X pon tak ada. Markah tertinggi peribadi dicatat dengan 182. Ada sinar harapan menjadi pemain utama nanti.


Sebelum masuk latihan ke-5 dan yang terakhir, satu lagi berita datang.


"Kamu dikehendaki mewakili bos-bos semua yang dijemput untuk menghadiri majlis perkahwinan Ketua Jurutera Minyak Pelincir prinsipal kita pada hari Ahad ini di KL, jadi kamu bolehla secara sukarela menarik diri dari menyertai pasukan boling opis Johor yang juga berlawan pada hari Ahad ini".


Dengar cerita, pasukan opis Johor tanpa Diego menang di tempat lawan. 


Hingga ke saat ini, belum ada apa-apa jenis pingat lagi dalam koleksi Diego di arena sukan pejabat. Dulu-dulu pejabat ada 4-5 orang je, jadah apa nak ada sukan pejabat. 

2 ulasan:

kaler_pensel berkata...

hahahahah..wei, aku rase sabotaj jer..keluarkan terus pemain lemah...hahahaha..tenkiu adam buat lawak di pagi hari begini..ceria lah daku untuk menulis thesis yg tak sudah..huhuhu

Adam Ruslan berkata...

Sebenarnya lebih kepada keciwa sebab dah berlatih bersungguh-sungguh tapi digugurkan disaat akhir. Huhuh.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...