Advertlets

Isnin, September 19, 2011

Konsep 'Abah' di dalam bolasepak

Artikel ini boleh diperpanjangkan ke venue yang lebih besar dan glemer seperti Sokernet contohnya, tapi apa kejadahnya berbuat demikian?


Kalau isteri-isteri atau makwe-makwe berasa tertanya-tanya, kenapakah lelaki mereka begitu taksub, asyik dan khayal dengan pasukan bolasepak kegemaran mereka, ini adalah masanya untuk meleraikan pertanyaan tersebut. 


Di dalam hal menyokong pasukan kegemaran mereka, bagi seorang peminat, ia adalah ruang dimensi yang mana mereka boleh kembali ke zaman kanak-kanak mereka. 


Zaman yang mana mereka suka membanding-bandingkan sesuatu dengan kawan mereka yang lain. Zaman yang mana mereka boleh merengek-rengek meminta abah mereka membelikan sesuatu yang mereka inginkan. Zaman yang mana mereka melompat bertepuk tampar bila Ultraman mengalahkan raksasa. Zaman yang mana mereka bersedih bila Ultraman kalah atau kehilangan power. Zaman yang mana kalau kawan mereka kehilangan mainannya, mereka boleh gelakkan kawan mereka sambil berbangga dengan apa yang mereka ada. Ya. Ini adalah thrill yang mereka masih rindu walau mereka sudah berpangkat abah-abah. 


Menjadi penyokong pasukan bolasepak juga begitu, mereka berbangga dengan pasukan mereka yang menang menentang kuasa jahat pasukan lain. Mereka bermuram durja bila pasukan kegemaran mereka kalah, tambah perit kalau pasukan durjana lagi kejam itu adalah pasukan kegemaran rakan terdekat mereka. Sudah tentu di 'nye-nye' seminggu lamanya. 


Mereka juga merengek-rengek agar pengurus pasukan kegemaran mereka membeli pemain yang mereka rasa patut dibeli atau bila merasa jeles sebab pasukan lawan yang jahat lagi durjana dah beli pemain baru. Sama sahaja bila masa mereka kecil, mereka berbuat demikian kepada abah mereka semata-mata kerana anak jiran dah beli pistol tat-tat-tat ada lampu-lampu. 


Berikut adalah beberapa contoh jelas bagaimana pengurus pasukan merangkap peminat kelab bolasepak bila berdepan dengan pelbagi jenis 'abah' yang ada di muka dunia ini. 


#1 Abah dia jenis kaya tak patut dari keturunan moyang lagi. 


Institusi keluarga sebegini sebenarnya dianugerahkan tuhan dengan cabaran hidup yang sangat sukar, iaitu tiada cabaran dalam hidupnya. Jadi institusi keluarga ini bakal mengalami masalah mengekang keinginan setinggi langit, nafsu buas serta tamak haloba anak-anaknya disebabkan dimanjakan sejak sebelum disenyawakan lagi. Anak-anak pula bakal membesar sebagai orang yang berjaya di dalam hidup (dikaca mata orang biasa) tapi tiada sifat timbang rasa mahupon bertolak ansur.




#2 Abah dia jenis kaya-raya sebab monopoli bisnes. 


Tak ada bezanya abah jenis ini dengan abah di atas, cuma abah jenis ini ada sedikit kekangan, lambat-laun abah jenis ini susut juga nilai kekayaannya dan pada masa yang sama baru nak kembali ke jalan yang benar, cari sejadah bila ditimpa kemaslahatan. Tapi sifat boros dan ingin cepat senang memang tetap ada dalam diri abah itu. Disebabkan kekayaan datang dari bisnes, abah jenis ini hendakkan juga pulangan dari pelaburan beliau sebab kekayaan dia boleh susut secepat perubahan nilai matawang US. Cuma kadang-kadang terlalu boros sehingga terlupa beberapa fakta seperti 50 juta pound boleh membuat 10 hospital canggih di utara Russia tetapi hanya dibayar kembali dengan hanya 2 gol?


Anak-anak dari institusi keluarga sebegini bolehlah dikatakan sinonim dengan mahu cepat kaya, usaha sedikit dan terlalu bergantung dengan wang untuk menjalankan segala kerja. Sifat bongkak dan takbur diterap dari kecil. Kuat melawan serta sombong tidak bertempat. 




#3 Abah dia kaya dengan kad kredit.


Abah jenis ini suka melihat anak-anaknya senang sewaktu dia ada duit. Hutang keliling pinggang tidak mengapa selagi boleh mengembirakan anak dan keluarga. Habis satu kad kredit limit, dia buka kad kredit lagi satu. Kadang-kadang jual sahaja aset berguna dengan harga tinggi hanya untuk cover hutang lapuk. Tapi abah jenis ini ada yang tetap bermotivasi dan berusaha tinggi. 


Ada plan perancangan serta bijak mengatur strategi. Itu pon mungkin tak lama. Anak-anak yang dibesarkan pula sudah biasa dengan kesenangan hidup. Rutin hidup mereka ialah hidup senang. Tapi bila air bah, adakah mereka akan berubah? Hanya masa dan ketika akan menentukan sama ada anak-anak ini ada jati diri. 




#4 Abah yang sangat berjimat cermat


Abah jenis ini boleh disimpulkan dengan jenis abah yang beli rumah dahulu baru kereta untuk kesenangan anak dan cucu di masa hadapan. Bersusah payah jenuh perit hanya untuk kesenangan yang mungkin dia sendiri tidak sempat merasa. Jenis yang tanam pokok durian bukan untuk dia dan anak-anak, tapi untuk cucu yang merasa nikmat. 


Jadi abah jenis ini banyak merobek jiwa anak-anak. Anak-anak terpaksa turut berkorban demi kesejahteran cucu abah mereka. Mereka terpaksa menjadi dewasa dengan fizikal masih kanak-kanak. Tapi anak-anak ini turut diterap dengan semangat kental tidak patut tunduk walau jatuh. Institusi keluarga sebegini kadang-kadang agak rapuh tapi itulah realiti sebenar dunia. 




#5 Abah dia betul-betul miskin.


Sebenarnya, secara realiti kini, abah jenis ini yang paling ramai sekali berbanding abah-abah jenis laih. Cuma ye la, dah nama pon kanak-kanak. Mana nak dimengerti penderitaan seksa menjadi seorang abah. Abah yang berbelanja hanya untuk cukup makan. Tak ada tak payah cari. Ada yang percuma ambik. Kalau ada nak beli aset yang ada, jual janji anak cukup makan. 


Anak-anak mungkin paham, mungkin redha. Tapi untuk merengek-rengek mintak itu ini yang tak munasabah mungkin depa tak buat. Jenis paham dan terima sahaja ketentuan hidup. 



Sekian dahulu. Semoga mendapat manfaat dan abah bagaimanakah hangpa?

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...