Advertlets

Jumaat, Februari 20, 2015

Bolasepak Akar Umbi

Pada usia hampir 35 tahun di tahun 2015 ini, rasanya sudah cukuplah untuk peminat bolasepak Malaysia seperti aku untuk memperkatakan dengan lebih atau tambah kuah lagi berkenaan peranan institusi seperti FAM atau KBS atau mengharap semua pemain profesional bolasepak Malaysia ni membawa satu nafas baru atau harapan kepada masa depan bolasepak negara. Tak kan ada perbezaan bagi beberapa tahun yang mendatang aku rasa.

Jadi, sebagai seorang peminat bolasepak, peranan seorang aku di sini mungkin lebih cerah kalau bertindak sendiri untuk cuba mengubah masa depan untuk 10-15 tahun akan datang. Aku ada anak lelaki berusia 9, 8, 5 dan 2 tahun. Depa suka atau tidak, usia depa ini masih lagi ada harapan untuk dibentuk dan diterap asas bolasepak sebenar. 

Kalau sekarang kita marah pemain Malaysia tahan bola tak lekat, clear bola ikut arah kepala lutut, hantaran pendek berterabur, gelecek bola tertinggal kat belakang, tanduk lelap mata, rembat depan gol tertukar dengan tiang gol ragbi, bila bola di pihak lawan player tak marking elok-elok, keeper tangkap belalang dan macam-macam lagi. Nah, sekarang kau sendiri ada anak lelaki 4 orang untuk kau sendiri bentuk menjadi pemain yang kau sendiri idam-idamkan. Cemana, ada berani? 

Ada kau berani suruh anak sendiri lari keliling padang 5 round tanpa henti tanpa rasa belas ihsan? Kalau kau rasa menyirap bila dia tahan bola macam jahanam, boleh kau suruh dia pumping 20 kali? Bila suruh main passing kau suruh dia buka mulut mintak bola dia tak menyahut, kau ada rasa nak tendang. Baru sejam berlatih atas padang dia dah terbaring penat dan kau sendiri tak sanggup suruh dia buat lagi. Inilah cabaran bolasepak akar umbi. Cabaran kalau melatih anak sendiri. Tapi anak orang lain kau boleh maki sambil makan kuaci. Yep, Safee Sali tu pon anak orang juga. Amacam? Ada lagi hasrat nak maki saja? Safee Sali kata, kalau power sangat, cuba la main sendiri. Aku kata, kalau ko power sangat kritik orang sana sini, cuba la didik sorang dua pemain yang boleh jadi lagi power dari Safee Sali tu. 

Dari situasi sebegini, aku serapkan dua anak lelaki aku ke kelab bolasepak persendirian. Yang ditubuhkan oleh ibu bapa yang mahu anak-anak depa mendapat pendedahan bolasepak akar umbi dengan lebih baik. Kalau harap latihan di sekolah, banyak kekangannya macam sekolah tak cukup guru yang komited melatih, yang berminat main bola tak terpilih sebab guru pilih bulu, latihan tak tentu, kadang-kadang kensel latihan sebab tarikh bertembung dengan pertandingan pidato dan macam-macam lagi alasan yang mana latihan bolasepak di sekolah tidak dapat memberi peluang setimpal untuk setiap murid yang berminat untuk menyertai pasukan bolasepak sekolahnya. 

Untuk depa ni, ini usaha aku meramaikan dan memeriahkan kelab-kelab kecil sebegini untuk lebih maju dan berkembang lagi. Ada latihan yang berstruktur, ada peluang memasuki pertandingan-pertandingan yang tidak berkala/bermusim, juga rasa sendiri bagaimana bermain dalam pertandingan dan kenal betul bolasepak sebenar.

Cabaran bolasepak akar umbi ini sememangnya getir. Kita boleh ja kata FAM itu ini, susun jadual perlawanan macam itu ini. Hal paling kecil macam memastikan anak sampai tepat pada waktu untuk latihan pon belum tentu kita boleh buat. Sekarang kau rasa la. 

2-3 latihan kebelakangan ini, coach utama pasukan kelab ini ada komitmenlain dan coach kedua yang memgambil alih. Dari pemerhatian aku untuk satu sesi penuh terbaru ini, menjadi coach akar umbi bukanlah sesuatu yang kacang dan mudah. Macam aku cakap, kau latih anak sendiri pon ada lagi belas ihsan, ini nak latih anak orang lain depan mak bapak depa. Sekali kau herdik sorang budak, mak dia bangun dari tempat duduk dan angkat spek mata dia, kau berani? 

Itu belum masuk budak yang ada ego dan rasa dia dah terrer. Dia sorang la star dalam pasukan. Banyak cabaranya dan apa yang aku nampak, coach kedua yang mengganti ini terlalu liberal. Terlalu loose. Dan hasilnya, budak-budak ni jadi tidak terkawal. Masa main boleh lagi tendang rakan sepasukan siap berbalas sorang dua. Bila suruh lari keliling padang, satu round ja lari, lagi 3 semua lenggang kangkung. Panassss je aku tengok. Tapi dia coach, aku bapa peserta ja. 

Hah, begitulah serba sedikit cabaran bola sepak akar umbi. Esok ada perlawanan karnival. Dari pagi sampai petang. Kita tengok macamana pula pengurusan karnival ini pula. Kalau ini pon loose. Cukup-cukuplah pandang pada FAM. Bermulah dengan membangunkan bolasepak kawasan kejiranan masing-masing. 

#SouthernJuniorFC



Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...