Advertlets

Rabu, Jun 29, 2011

Tulis-tulis - Cuci Bersih

Kalau kita sudah mencuci sekali kasik bersih itu kali pertama, tapi tak bersih jugak, ini telah menyalahi hukum beristinjak. Kerja mencuci yang kali pertama haruslah diteliti semula, kenapa tidak bersih dan kenapa tidak dibersihkan betul-betul pada mulanya. Kenapa tak folo-up aje memorandum pembersihan pertama lepas je hantar? Kenapa sekarang kena buat kali kedua? Orang industri Toyota cakap, do it right at the first time. Ini bersih betul betul suci tulus ikhlas nak kasi bersih ke?

Bila tidak bersih dan kena buat pembersihan kali kedua, tidakkah ini kerja sia-sia? Orang Negeri Sembilan kata, ngabihkan boreh ajo. Menghantar menda yang sama, menggunakan banyak tenaga serta mengurangkan produktiviti sebab konfem hari Isnin ramai yang tak larat nak pergi kerja. Senang cerita, fax kan ada? Yang nak mencemar duli Agong pada hari Ahad ni kenapa? 

Kepada yang masih buta, buntu serta bangang, perarakan aman sebenarnya lebih kepada membangkitkan sentimen. Sentimen untuk membantah, sentimen untuk membangkang, sentimen untuk memberontak. Kecil-kecil api jadi kawan, tapi kalau dah ramai yang memberontak dimana amannya perarakan itu? Tambah pula berjalan tengah panas, juga dalam perarakan 'aman' itu disertakan maki hamun dan kata-kata mengutuk pihak lain dan membangkitkan kemarahan orang, aman ke nanti? 

Sentimen ini akan digunakan sebagai tanda aras untuk orang-orang yang buta, buntu serta bangang untuk membuat keputusan, kononnya ada golongan yang tertindas (dengan cerita-cerita polis pukul orang merusuh, tembak gas pemedih mata, air dan sebagainya). Ini semua hanya untuk membangkitkan sentimen membantah, dengan matlamat asalnya menarik perhatian pengundi-pengundi pilihanraya sebab pilihanraya dah dekat (bagi depa). 

Itu ketua Bersih boleh buat bank gerenti kalau ada pengikut dia merusuh dan menyebabkan apa-apa kerosakan dia akan tanggung? Bayar balik pampasan serta gantirugi? Ajak berarak pandai, kasi bertanggungjawab la sekali.   

Siapa-siapa yang masih lagi tidak paham, tapi turun juga untuk membersih nanti tapi nama sebagai pengundi yang sah pon tak ada, silalah merenung diri sendiri sedalam-dalamnya dahulu. Dicadangkan supaya sapa-sapa yang nak membersih, tunjuk bukti dah mendaftar sebagai pemilih dulu. Hihihi.

Selasa, Jun 28, 2011

Kanak-Kanak Memang Riang 38 - 5 Tahun

4 siang yang lalu, kami bekalkan 70 pek plasik berisi wafer telur bergulung coklat, cip kentang serta keropok bentuk ikan perisa coklat dan 1,2 makanan rapu yang lain. Ammar jugak yang susah hati sebab takut cikgu tak bagi satu pek kat dia. Huh! Tengahari itu, semua kanak-kanak tadika duduk dengan sopan tanpa lari berkeliaran sementara menunggu dijemput sambil menghadap makanan rapu sambutan besday Aqil. 

3 malam yang lalu, kami 5 anak beranak, beli air 2, burger 4, kentang goreng 2, aiskrim cawan 3, sambut hari lahir Aqil yang ke-5. Makan sampai kenyang tapi Ammar boleh lagi mintak aiskrim lagi 1 lepas dah penat main gelungsur. Mana mungkin beli lagi satu untuk dia. 

Balik dari lepas makan, kami buka panggung tengah malam dengan siaran skrin TV rata 32 inci yang disambung kabel HD murah dicucuk hujungnya ke komputer riba ofis dan diUSBkan kepada sebuah external hard disk, botol susu sorang satu, tilam saiz permaisuri, bantal-bantal empuk dan cerita The Green Hornet. Belum sempat pasukan Green Hornet ditubuhkan, Ammar dah lena. Aqil pula terlelap bila kami sedang terkekek layan Kato melawan penjahat. Kami pula yang sambung lagi satu cerita sampai jam 3 pagi.


Wajah-wajah untuk kenangan 5 tahun Aqil.

Sebagai hadiah besday esoknya, kami pergi berenang dalam kolam renang berbumbung lagi ada gelungsur air serta besar betul kolam renang itu di sebuah hotel baru sekitar Masai. Bilik adalah menghadap padang golf, angin bertiup deras dan Ayman tidur lena lama jugak di atas tilam empuk dengan ekon sejuk sepoi-sepoi. Semuanya atas ihsan tumpang Pak yang check-in yang kena pergi mesyuarat. Heheh.


 Kolam air adalah tempat paling tidak ditakuti mereka.

Balik bila dah siap makan malam dengan Pak. Depa jugak telah 'pau' Pak buku Ligthning McQueen sorang satu sebelum balik. Kedua-duannya lena dalam kereta dibawa sehingga ke tilam tak mangkit-mangkit dah. Penat. Cuma Ammar je kasik lebih cabaran lebih sikit dengan mengorder susu botol elok dah tengah-tengah malam. Begitulah kami sambut besday Aqil kali ini. Kek, badut, hadiah balut kertas, belon, lilin, nyanyi-nyanyi? Itu tipikal sangat. Heheh. 

Ada lagi 2 besday anak, 1 besday isteri, 1 anniversary kawin serta 2 hari raya yang akan menyusul. Plan untuk yang lain? 

*Tengah menadah tangan untuk dilimpahi rezeki serta kesihatan yang baik. 

Selasa, Jun 21, 2011

Selamat Hari Bapa!

Selamat Hari Bapa Pak!

Untuk brader-brader seumur dan elok-elok seusia dengan aku, meh kita kongsi betapa wajarnya kamu mendapat ucapan hari bapa dengan cabaran-cabaran sebegini.

1. Tengah sibuk makan nasi, tangan kanan masih menyuap, tangan kiri kena sambut muntah anak yang dah taknak makan tapi kita paksa jugak dia habiskan. 

2. Belajar memandikan anak yang seelok-elok berusia kurang sebulan sampai la depa boleh mandi sendiri tanpa apa-apa kemaslahatan. Teknik yang betul diperlukan untuk memandikan bayi terutama waktu dorang belum boleh duduk sendiri. Tambah susah bila dorang dah suka pusing-pusing badan. 

3. Kasik duit gaji masuk bank anak dahulu elok je hari gaji. Ikut la berapa pon, janji duit tu tak terusik.

4. Menidurkan budak masa depa tengah selsema. 

5. Bangun tengah malam buat susu botol. Mujur Aqil sorang je macam tu. Yang lain susu dah standby atas tilam. 

6. Hujung minggu kasik hantar isteri pergi latihan menjahit, anak kita jaga sorang-sorang. Ini juga terjadi untuk Aqil je. Untuk Nor A yang isterinya belajar 'angkasa', dia lagi terrer sebab jaga dua orang anak. Heheh. 

7. Pergi kenduri pakai semat-semat, tapi kalau tak setelkan anak-anak atau depa tak kasik kerjasama, makan nasi kenduri pon tak rasa apa. Rasa nak salahkan DJ dengan lagu-lagu kahwin adala. Sekali anak pegang air plak tumpah. Peh. 

8. Balik kerja siap makan malam kena menghadap depa buat kerja sekolah. Kalau latihan menghapal, lagi jenuh. Kalau aku Son Goku, rasanya dah jadi Super Duper Saiya dua tiga kali dah. 

Cukup la kot 8 untuk Hari Bapa kali ini. Ini semua cabaran abah-abah. Belum masuk cabaran ummi-ummi. Dengan mengandungnya, bersalin, berpantang, menyusu badan, masak nasik, basuh baju, sidai kain, lipat kain, menyapu, sterika baju, ah banyak la kalau nak sebut. Jadi, hargailah ucapan hari bapa yang hangpa dapat sebaik-baiknya. 

Jumaat, Jun 17, 2011

Sinetron Dramalova # 35 - Lora Kelana


(Kena play ini lagu dulu baru baca, feel dia kasik lebih sikit, percayalah!).


Satu petang, sedang sedap Diego makan cucur tepung cicah mayonis tambah sos cili bersama anak-anak dan isteri, siaran tv percuma sedang menayangkan Sinetron baru, Lora Kelana. Cerita tersebut sudah hangat diperkatakan dan menjadi buah status di FB sejak dua menjak kini. Ini menjadi perhatian Diego bila muncul status-status tidak masuk akal seperti,

"Kalau lah laki aku macam Qeth tu, kaya hensem kata-kata cukup romantis caring ya amat"

"Aku tanya laki aku, apesal dia tak macam Qeth pon? Dia boleh buat-buat kira duit syiling dalam poket"

"Hensemnya Qethhhhh, lengan dia saja dah besar peha i"

"Waa, budus punya Lora Kelana, Qeth dah layan cakap baik-baik pon buat sombong lagi muka mintak penyepak"

Status-status tidak berfaedah begini di FB menjadikan Diego tertanya-tanya, apakah bermutu benar Sinetron baru di stesen percuma petang-petang begini elok-elok orang dah patut bersiap mandi pergi semayang Maghrib. Tambah pula, ada blog dari capaian Diego juga turut tercalar maruahnya dengan kehadiran Lora Kelana. Ini mesti sesuatu. 

Petang itu, barulah berpeluang untuk Diego dan Marcia betul-betul menonton Lora Kelana. Tak sampai siap satu babak, Diego sudah dapat mengagak. Penulis skrip atau pencerita cerita ini tentunya seorang perempuan. Semua skrip yang dihamburkan Qeth adalah tutur kata yang perempuan harapkan dari seorang lelaki atau suami. Semua perbuatan Qeth dalam memujuk, mengambil hati dan mengcaring adalah tunas harapan seorang perempuan terhadap seorang lelaki yang dia sayangi. Tapi sayangnya, si pencerita atau penulis skrip tidak pernah menyelami hati pikiran seorang lelaki dalam cerita ini. 

Diego berani jamin, pelakon lelaki itu sungguh-sungguh akan berada dalam dilema yang amat dalam bila balik bertemu isterinya ketika di luar set nanti. 

Habis cerita Lora Kelana, Diego tetap kusyuk melayan senarai ahli bertanggungjawab dalam Sinetron ini. Konfem perempuan. Dari novel seorang perempuan dengan skrip gabungan lelaki dan perempuan. Diego layan juga Lora Kelan ini untuk mendengar skrip-skrip khayalan yang dituturkan. Cukup telakar dan menghiburkan. 


******


Seminggu tanpa Marcia dan anak-anak, Diego balik kerja tak da 'kerja' nak buat. Bila selesai ritual lepas balik kerja seperti meletakkan kunci rumah dan kereta ditempatnya, baju dibuka dan masuk bakul baju, seluar disangkut di almari, solat Asar di hujung waktu, aiseh, terlupa nak bagitau - mestila pakai seluar dan baju rumahan sebelum solat, minum air dari peti dan meletakkan semula cawan ditempatnya dan menghadap makanan malam sambil membaca surat khabar, Diego buka suis Tv.  Lora Kelana. 

Diego layan Lora Kelana sambil basuh baju pula bila dah siap makan. Sekali pusing, duduk pula layan cerita, siap Lora Kelana, baju tak siap basuh lagi. Sebab baju kena basuh 5 kali pusing. 1 kali untuk sabun, 2 kali untuk bilas, 1 kali untuk pelembut sambil berselawat dan 1 kali untuk pengeringan.Tapi 3 kali pusing je Diego mangkit untuk buang air, tambah air baru dan pusing semasa iklan.  

Petang hari ketiga. Babak Lora Kelana belum sampai iklan kedua, makanan dah siap dimakan. Diego bawa bekas makanan ke dapur, yang mana kena basuh dibiar dahulu di sinki. Yang mana kena buang masuk terus dalam tong sampah. Diego keluar dengan gumpalan kain kering sudah dibasuh ke ruang tamu. Sambil meLora Kelana sambil melipat baju mengikut spesifikasi ISO 9001 Marcia. Baju baby, baju Pablo, baju Rodriguez, baju Diego, baju Marcia, shendo-shendo mereka, alas tilam, sarung bantal, selimut, kain lap kaki, kain lap hingus, dan kain lap kereta. 

Tak cukup dengan itu, yang mana kena sangkut, Diego sangkut baju-baju berkenaan mengikut kaler hanger. Hanger kelabu untuk baju kerja Diego, hanger hitam untuk baju jalan-jalan Diego. Hanger merah untuk baju-baju Marcia. Hanger biru untuk baju anak-anak. Sistem ini telah diamalkan sejak 6 tahun yang lalu lagi. 

Bila masuk babak iklan, Diego berhenti dan baca surat khabar sambil tangan masih melipat. Susah jugak nak lipat sarung tilam saiz Permaisuri ni, 3 kali lipat, semua lari spesifikasi. Ada yang memanjang, ada yang cukup segi empat sama, mujur tak ada yang segitiga. 

Malam seterusnya sesudah Lora Kelana, Diego panjat tangga. Seduh habuk dari kipas di ruang tamu. Siling serta dinding. Banyak betul habuk yang sudah mendiami sebab memang jarang-jarang orang nak sapu habuk seluruh rumah ni tiap-tiap hari. Qeth idaman hati semua orang tu entah tak nampak pula sibuk buat kerja rumah dalam Lora Kelana tu. Pergi opis pon sibuk bercinta dan berkhayal je. 

Hari selanjutnya, Diego hanya layan Lora Kelana untuk 5 minit terakhir. Masa Lora Kelana masuk bilik Qeth pegang rantai. Kemudian beliau bersedih. Tak paham. Lantak pi la. Sebab sesudah ritual balik kerja, Diego mencangkul depan rumah. Buang rumput nak tanam yang cantik. Dari matahari ada seruas jari sebelum terbenam, sampai la orang dah balik dari semayang Maghrib, baru setel rumput-rumput tak cantik dicangkul. Togel seluruh tanah dan ditambak tanah baru. Itu pon tak cukup lagi 6 beg. 

Siap merumput, Diego kembali ke dalam rumah. Bilik air utama dibasuh lengkap. Mangkuk tandas dan sinki disental. Lantai digosok. Dinding diberus. Entah berapa bil air nanti gamaknya. Diego berharap boleh perpanjangkan kes membasuh bilik air kedua, tapi harapan tinggal harapan. Lapar tak makan malam lagi dan letih wei. Diego merasa sudah cukup memenuhi objektif beliau untuk minggu ini dengan ketiadaan anak-anak dan isteri. Tinggal satu bilik khazanah yang belum sampai kudrat untuk disetelkan. Semangat berkobar-kobar Marcia sahajalah menjadi harapan untuk bilik khazanah itu disetelkan. Bukan saja-saja Diego buat semua itu. Semuanya sudah dipesan Marcia adala 2-3 bulan yang lalu. Kini baru berkesempatan. Sebelum ini, lebih kepada mengambil kesempatan. Heheh. 

Cerita ini tidaklah mempunyai skrip-skrip bertutur untuk orang perempuan dengar terus cair. Orang lelaki dengar terus muntah berdarah. Sebabnya, tidak semuanya hanya yang indah-indah sahaja dalam perkahwinan.

Perempuan idaman hati mungkin cantik dimata tapi busuk dihati. Lelaki idaman hati mungkin baik berkata-kata tapi malas bebal macam kayu balak.  

Tidak hari-hari kau boleh bagi bunga ros merah untuk menghargai isteri kamu. Tapi hari-hari kamu boleh bagi tangan kamu untuk meringankan beban beliau. Sebab ros merah bila layu, banyak jugak habuk nak kena sapu. 

Tak perlu kaya dan lengan berotot untuk tolong melipat baju. Tak perlu kata-kata mesra pengubat hati untuk membasuh pinggan dan membuang sampah. Muka hensem tak berguna kalau tak boleh nak menukar lampin anak serta membasuh berak. Inilah realiti sebenar dalam Sinetron Dramalova - Diego & Marcia. 

Khamis, Jun 16, 2011

Astro Si Juara Kitar Semula

Dari sambungan - Astro Pakar Keuntungan Berganda


Mula-mula aku ingat nak buat secara ilmiah, berfakta, bernombor dan bermutu. Tapi tak ada masa. Kajian sebegini mengambil masa yang lama, memerlukan konsentrasi serta masa terluang yang banyak. Akan tetapi, hujah-hujah ini lebih bernas dari hujah dari Ahli Parlimen yang keluar berita malam tadi.

Kenapa Astro adalah Juara Kitar Semula? Sebelum ini aku tidak menjustifikasi kenyataan ini. 

1. Sebab filem-filem dalam HBO, STAR Movie & Cinemax semuanya adalah filem yang sudah diulang-ulang diulang-ulang diulang-ulang. Menaip diulang-ulang pon dah menjengkelkan. Ada la berkeping-keping filem baru tiap bulan. Tapi yang lain ulang-ulang. Tayang malam ni, esok pagi ada lagi. Tayang bulan ni, bulan depan ada lagi. Cengitulah. Filem Melayu mula-mula masuk ABO atau Astro First, kemudian lama sikit masuk ke ASTRO Ria atau Astro Prima. Filem itu diulang-ulang diulang-ulang diulang-ulang. 

2. Sebab buat Maharaja Lawak. Tak ke pelawak-pelawak yang sudah bungkus masa depan mereka walaupon ada yang telah menjadi juara  atau hampir menjadi juara tapi tetap tak lawak serta tiada potensi di pakej kembali supaya kekal melawak bukan satu agenda kitar semula? Ada antaranya menjadi celaka yang amat sampai kalau melihat gelagat mereka kita rasa nak pecahkan aje muka mereka. Eh, depa nak mai Johor nanti. Nak otograf buleh? Selalu-selalu dapat tengok Jambu dalam Youtube je.

3. Konsert AFNIL. Ini lagi satu kitar semula penyanyi-penyanyi wanabi. Hancus. Repeat balik entah mana-mana punya lakonan pentas pelajar AF konon-konon nostalgia. 3 bulan tak jumpa mak pak duduk asrama dapat menyanyi tiap-tiap hari pon nak sadis-sadis?

4. Kitar semula Hazama yang tidak terpilih sebagai top 10 AF entah berapa entah masuk menerusi format buat sendiri tiba-tiba pada AF 9. Tiba-tiba Hazama jadi juara. Nasib dan rezeki dia ataupon konspirasi? Salah dua-dua. Kitar semula. 

5. Kitar semula penyanyi AF dengan format AF Masuk. Cukup-cukup telan duit Astro ni. Entah berapa ratus ribu duit penghiba-penghiba AF kena sms untuk memasukkan seorang wanabi yang dah terkeluar. TsuMawi contohnya. Peh. Panas. Panas.

6. Radio anak syarikat ASTRO, Hitz, Era, Mix dan sebagainya. Lagu sedap ditelinga maximum 8 kali boleh keluar radio tiap-tiap hari. Pagi pergi kerja lagu dia, tengahari pergi makan lagu dia, petang nak jogging lagu dia. Malam nak balik kerja lagu dia. Tengah malam orang semua dah nak tidur pon lagu dia lagi. Bukankah kitar semula baik untuk alam sekitar? Tunggu nanti bulan nak raya. Peh, dalam sehari Dendang Perantau lagi kerap dimainkan dari lagu Negaraku stesen radio lain-lain combo sekali seluruh negara.

7. Kalau lagu atau pon drama ataupon filem ataupon siaran langsung pon dah ulang-ulang, cuba kita perpanjangkan pula kepada iklan-iklan. Boleh muntah darah macam keracunan E-Coli tengok iklan di ASTRO. Kalau hari-hari mengadap muka mamat Gatseby, kau boleh bertukar menjadi anarki dan tetiba boleh menjadi rasis tegar terhadap lelaki yang muka tak hensem.

8. Ok, ini agak personal. Pernah dengan pertandingan telefon dalam ASTRO? Ala kalau ada apa-apa peraduan, penyampai suruh telefon tu. Kalau hadiahnya ialah Barangan Ekslusif Radio KKK. Hadiah tersebut merupakan mug cawan berlogo gula-gula getah, gincu berjenama Mac, 2 helai baju bergambar Spiderman dengan logo sebuah bank, sekeping CD demo dan tiada langsung barangan yang berjenama Radio KKK. Ini ke hadiah esklusif? Ini betul-betul kitar semula. Amik kumpul-kumpul je semua barang sovernier penaja dan bubuh dalam satu beg kertas. Beg kertas tu je ada logo radio KKK. Baik bagitau hadiah berupa beg kertas radio KKK berisi barang berjenama penaja. 

9. Stesen-stesen radio ASTRO ada target market sendiri, cuma kalau XFresh yang untuk remaja, ERA untuk golongan tengah, SINAR untuk golongan lanjut usia pon mainkan lagu yang sama, Maher Zain misalnya, tak ke macam kau pas-pas je CD lagu tu kepada studio sebelah menyebelah untuk dimainkan dan dikitar semula?

10. Semua produk rancangan realiti ASTRO (AF, RL, IM) dihasilkan supaya boleh dikitar semula. Mereka adalah bahan mentah yang dipilih secara teliti oleh pasukan pemilih agar datang dengan pelbagai bentuk dan potensi. Ada yang dikitar menjadi pelakon. Ada yang dikitar menjadi penyampai radio. Ada yang dikitar menjadi pengacara segmen. Ada yang dikitar menjadi pengacara kuiz. Ada yang dikitar menjadi sampah masyarakat dan ada juga yang dikitar untuk menjadi bahan pelaris berita majalah buah-buahan sahaja. 

Jadi rakyat semua. Kalau tak sedar diri lagi terhadap sumbangan kitar semula yang dijalankan pihak ASTRO, kitar semula sahaja TV di rumah kamu. Jadi akuarium ataupon kerat buat meja makan. Sekian sahaja buat rujukan tuan puan Ahli Parlimen. 


"Welcome to ASTRO, making your life richer" - tagline terbaik dari ASTRO.

Sabtu, Jun 11, 2011

Untukmu Astro - Pakar Keuntungan Berganda dan Juara Kitar Semula

Telah diberitakan, ASTRO bakal MENAIKKAN harga langganan pakej mereka bermula 1 Julai 2011 nanti. Sebagai suatu penyedia siaran tv opsyenel tanpa saingan ataupun monopoli, ASTRO tidak begitu bimbang untuk merombak poket-poket golongan rakyat berpendapatan sederhana kini. Tak suka, tak payah langgan kata ASTRO mendabik dada secara sinisnya dengan langkah mereka kini.

Releven ASTRO dalam hal menaikkan harga nanti ialah ketidaksanggupan mereka untuk menanggung beban kos  pengeluaran kandungan yang semakin meningkat dari pengeluar tempatan dan antarabangsa serta hak siaran langsung sukan yang semakin meninggi. Inilah perspektif perniagaan ASTRO dalam hal ini. Mereka bukan penyedia khidmat masyarakat. 

Pelanggan ASTRO bukan kali pertama menerima kenaikan dari ASTRO tanpa ada pilihan. Julai 2009 untuk kenaikan harga ekstrem pakej Sukan dan Jun 2007 untuk kenaikan 15% pukul rata semua pakej. Adakah ini trend untuk ASTRO menaikkan harga tiap 2 tahun? Oh, mereka tidak tertakluk dengan mana-mana perjanjian dengan kerajaan ataupun mana-mana pihak untuk tidak menaikkan harga. 

ASTRO mungkin sedar bahawa mereka adalah penyedia perkhidmatan, yang mana mereka dengan segera bergegas mengikut langkah kerajaan menaikkan kadar GST kepada 6% (yang menyebabkan bil aku naik RM4.30 sejak Januari 2011) yang dibisikkan kerajaan kepada semua penyedia perkhidmatan (tanpa apa-apa pengumuman muka depan suratkhabar). 

Servis yang diberikan ASTRO untuk mempunyai hak mengenakan GST 6% adalah seperti menolong pelanggan memotong beberapa pakej yang tidak perlu pelanggan bila dihubungi, yang mana serta merta pakej itu lenyap dari siaran pelanggan. Kepuasan pelanggan disertakan cas sebanyak RM10 untuk setiap pemotongan pakej. Terima kasih kerana mengunakan ASTRO kata telefonis!

Cuma ASTRO tidak berapa sedar tentang tanggungjawab sebagai pemberi perkhidmatan bilamana berlakunya ketiadaan servis akibat hujan rintik-rintik, tiada pula mereka memberikan apa-apa gantirugi akibat pelanggan hilang siaran ketika itu. Oh, ini mungkin sebabnya kebanyakan siaran ASTRO diulang tayang berkali-kali berbulan-bulan dan bertahun-tahun lamanya. Ada ka patut Siaran Sukan Asia Guangzhou 2010 pon ada lagi kat ASTRO Arena?

Bercakap berkenaan hujan rintik-rintik, sebagai pelanggan yang rasional, kami boleh menerima dan membaca penerangan dari risalah kiriman ASTRO yang secara amnya mengatakan, hujan ialah kuasa tuhan. Mereka tidak boleh menggaji bomoh hujan sepenuh masa semata-mata untuk memastikan semua piring satelit mereka berfungsi sepenuhnya ketika hujan rintik-rintik kerana bomoh hujan sendiri tidak paham prinsip 'rain fade syndrom'. Ini ialah fenomena natural untuk gelombang satelit yang terserap oleh titik-titik hujan kata ASTRO. 

Akan tetapi, mereka tidak hanya berdiam diri. ASTRO yang bertimbang rasa telah menjemput AV Asia SB untuk mengkaji sindrom ini dan AV Asia mendapatkan specialist Jepun, Maspro Denkoh untuk tujuan kajian ini. Bila piring satelit baru sudah direkabentuk, AV Asia diberi hak esklusif untuk memasarkan piring satelit baru dengan teknologi mengurangkan rain fade ini. Sukalah AV Asia memberitakan ke ASTRO. Akan tetapi, ASTRO dengan berbesar hati menggunakan semua maklumat sulit lagi peribadi yang diberikan AV Asia untuk mengeluarkan satu tender baru bagi menggantikan piring satelit sedia ada. Ye, tender tersebut dimenangi 
Tele Systems Electronics. AV Asia? Nganga luas-luas. 

Satu kenyataan terbaik dari AV Asia semasa menyaman ASTRO sebanyak RM 1,300,000,000.00 tambah RM 4,410,000.00 ialah, piring satelit Astro B.yond kaler hitam itu sebenarnya tidak diperlukan langsung untuk pengguna mendapatkan siaran berkualiti Definisi Tinggi. Piring hitam tersebut sebagai mengabui mata pelanggan untuk ASTRO mengenakan cas tambahan RM 20 untuk pelanggan menikmati siaran Definisi Tinggi. Ini adalah kes mahkamah dan keterangan jelas sila rujuk pautan suratkhabar yang diberi.

Syabas untuk penjenamaan semula kaler piring satelit ini, kerana terang-terang memberitahu para profesional berstatus perompak untuk memprospek rumah-rumah tertentu yang perlu mereka pecahkan bila tiba musim cuti nanti sebab konfem rumah itu ada sebuah TV skrin rata lagi lebar berdefinisi tinggi bernilai ribuan ringgit. 

Demi mengurangkan sentimen siaran Definisi Tinggi sepatutnya lebih murah ataupun sebenarnya tidak perlu bayaran tambahan, ASTRO telah merombak pakej-pakej mereka dan memperkenalkan Super Pack 1,2,3 (yang termasuk siaran HD) sebagai gula-gula kenaikan harga pakej mereka Julai 2011 nanti. Ini kata mereka, penjimatan terhebat untuk semua pelanggan. Stratergi pempakejan semula pakej-pakej penuh kandungan kitar semula yang kurang sambutan seperti Maharaja, Mustika, Thangathirai dan Tayangan Hebat kemudian merancang untuk menaikkan harga pada 2 tahun akan datang adalah stratergi terbaik pihak ASTRO buat masa sekarang. Macam hedge fund kapitalis Amerika untuk pinjaman hartanah sebelum kejatuhan nilai hartanah dan insurans AIG. 

Sewaktu bermulanya siaran ASTRO, jarang sekali atau tidak pernah satu rancangannya perlu memberi laluan kepada iklan. Ya, siaran rancangan TV tanpa ganguan iklan adalah kata kunci penjualan siaran berbayar ASTRO masa dahulu. Tapi kini, dalam masa sejam tayangan, bila berkali-kali terpaksa menghadap mamat-mengharap-muka-kene-pecah iklan Gatseby, aku merasakan membayar siaran berbayar ASTRO tidak lagi releven. Kenapa kami perlu membayar untuk siaran iklan dalam ASTRO? Keuntungan berganda bagi pihak ASTRO! Cas pengiklan untuk bersiaran sambil mengecas pelanggan untuk melihat iklan! TV3 punya iklan yang super maha punya panjang lagi meleret tak putus-putus belakang ke belakang ketika siaran Nur Kasih pon kelihatan lebih suci dalam hal ini. 

Satu taktik terpuji maha terulung tidak terkalah sampai brader jual gelang pon terasa kecil kemaluannya bagi pihak ASTRO ialah penciptaan rancangan realiti TV dengan sms berbayar untuk mengundi. Kau bayar ASTRO untuk pakej minimum tidak mencukupi sebab kalau nak tengok siaran realiti TV ini, beli dahulu pakej yang disediakan. Tidak cukup dengan itu, kau perlu sms pula untuk watak kegemaran kau supaya hiburan hujung minggu kau tetap bertahan sampai akhir rancangan. Nak bagi lagi keuntungan berganda, iklan-iklan penaja disajikan (yang kau bayar untuk menegoknya dan yang penaja bayar kepada ASTRO untuk disiarkan) untuk kau berbelanja menghabiskan gaji kau membeli produk pengiklan.  Ini 5 kali ganda untung buat ASTRO!

Walaupon begitu, untuk ASTRO, pengguna semua sudah tahu, siaran sebenar Maharaja Lawak ialah di Youtube selepas pukul 12 malam hari Jumaat. Lawak tertunda tetap lawak dan menggelikan hati ya ASTRO.

Jadi dimanakah perginya wang ini? Staf ASTRO berbonus 5-6 bulan sejak beberapa tahun yang terdekat katanya. Pemunya ASTRO masih kekal top 2 terkaya Asia Tenggara dan siaran berbayar masih dimonopoli satu syarikat. 

Oh ya, untuk melawan balik, sila boikot AFUNDI, ML, RL dan segala jenis sms berbayar ke 32999 atau apa-apa jenis sms berbayar ASTRO secara serta merta! Undi sms tidak lagi relevan dan pengguna berhak untuk memilih tidak mengundi. Kalau hangpa reti komplen harga minyak petrol, beras, gula, tepung mahal, apa pasai tak reti jimat duis sms?

Hangpa dah la bayar untuk melihat segala siaran IKLAN di dalam ASTRO, hangpa mau bayar lagi untuk siaran kitar semula? Ibarat membayar tiket konsert yang mahal, tapi bila dah masuk stadium, kena bayar pula lagi sekali untuk beli headphone dan skrin supaya boleh mendengar dan melihat lagu tersebut yang diputarkan hanya dari VCD penyanyi oleh penganjur konsert. Bangang tau!

Intipati cerita ini hanya begini. Disebabkan kenaikan GST 6% (tambahan RM 4.30 sebulan) aku dah buang pakej Mini Learning dan tidak lagi berpeluang untuk mempelajari bidang-bidang teknologi negara membangun, kehidupan haiwan-haiwan liar serta teknik-teknik membuat terowong ataupon jambatan hatta cara pembuatan pensel kaler. Aku dapat penjimatan perbelanjaan bulanan sebanyak RM 5.30 dengan hanya pakej Kartun dan Sukan sebanyak RM 70.95 termasuk GST.

Tetapi dengan harga bermula Julai 2011 nanti, aku terpaksa membayar RM 79.45 (naik RM 8.50)  dan tetap tidak lagi berpeluang untuk mempelajari bidang-bidang teknologi negara membangun, kehidupan haiwan-haiwan liar serta teknik-teknik membuat terowong ataupon jambatan hatta cara pembuatan pensel kaler sekalipun. 

Penyelesaian ASTRO ialah, belilah pakej Super Pack 1 dengan harga RM135 sebulan yang sudah disubsidi sebanyak RM45.85. Super sampah! Matematik penjimatan apakah ini?

Kalau PLUS boleh bagi Plusmiles, ASTRO? Your move!


Sambungan - Astro Juara Kitar Semula

Rabu, Jun 08, 2011

Jalan-jalan terjumpa rakan

Hujung minggu lepas, sengaja sahaja kami pergi jalan-jalan.

Mula-mula naik ke Subang bawak kereta malam lepas kerja. Jumpa mak, pak, mrfactoid, raman dan @qis@. Tido sampai pagi.

Esok tengaharinya sesudah tergelincir jauh matahari dan kami pon dah siap-siap makan nasi berlauk ikan bawal emas masak stim bersama asam ko, abang hantar kami sekeluarga ke LCCT dengan agak kesuntukan masa.

Dalam LCCT yang ramai orang dan tak tentu arah tujunya, nak daftar masuk pon tidak jelas dan nyata keterangannya, mujur sahaja kami tak terlepas ke gate penerbangan antarabangsa. 

Dalam duk kalut hendel beg tak boleh ditekan balik, sempat juga kami daftar masuk sebelum habis tempoh syarat 45 minit sebelum pagar ditutup.

Tiba di balai perlepasan, orang ramai macam nak pegi haji. Tapi takde la mereka berpakaian ihram. Selesai sahaja aku memakaikan pampers sarung tarik naik atas untuk Aqil dan Ammar di tandas lelaki, Ezi menunjukkan susuk tubuh seseorang yang katanya aku memang kenal.

Sengaja aku lintas depan dia buat-buat macam terserempak, isyarat mata beliau juga menunjukkan yang dia pon kenal aku. Kami pon bersembang. Ye, beliau yang dimaksudkan ialah a z m i r. 

Kami bersembang macam kenal dah 5 tahun yang lalu, padahal dia baru je sekali datang rumah makan nasi di rumah kami 2-3 bulan yang lepas. Disebabkan kami ingin bersembang dengan begitu banyak sekali, AirAsia bermurah hati untuk menangguhkan jadual penerbangan kami yang kebetulan sama-sama nak ke Kota Bahru sehingga satu jam lima puluh minit lamanya. Boleh lah kami menikmati persembangan yang tidak terganggu untuk tempoh masa yang lama betul sampai perut pon lapar. 

Sebagai belas ihsan kepada penumpang yang tersadai dan tertangguh, AirAsia menghadiahkan sebotol air kosong tiap seorang untuk meredakan kemarahan. a z m i r juga mengambil peluang ini untuk menjadi bodigad Aqil ketika menyaingi beliau berjalan jauh bebenor ke pesawat yang sudah pon kami tempah (kerusinya).

Kami hanya sampai di Kota Bahru tika jam sudah 8.30 malam. 

Di balai mengambil barang, kami bersalam berpisah dengan a z m i r. Beg kami kutip dan melungsur keluar dari balai ketibaan. 

Sekeluarnya kami, elok sahaja terserempak pula dengan keluarga kakak kepada Ezi. Mereka juga mangsa penangguhan jadual penerbangan untuk pulang ke KL. Aku pula mendapat panggilan telefon dari ++duta++ yang ikhlas untuk menghantar kami ke Tumpat. Walhal rumah beliau hanyalah di Jalan Bayam dan beliau ke lapangan terbang hanya untuk menjemput a z m i r. Tak ke menyusahkan beliau begitu?. Begitu begitupon, beliau berkeras untuk menghantar kami, dengan syarat beliau diberi masa lebih kurang 15 minit (padahal 41 minit) untuk menghantar isteri beliau balik rumah dahulu sebab kereta beliau mempunyai spesifikasi 5 orang dewasa sahaja berbanding korum kami yang dah 2 dewasa 3 kanak-kanak serta 2 beg besar.

Untuk tidak menghabiskan masa dengan sia-sia, kami pon beramah mesra dengan keluarga Abg Di, makan keropok, membiarkan anak-anak ber'Ultraman' sesama mereka serta bertanyakan tambag teksi airport ke Tumpat. Harganya boleh buat makan ikan Siakap Tiga rasa tambah tomyam dan telur dadar untuk 5 orang dewasa. Kami bersyukur ++duta++ bermurah hati kali ini. 

Untuk memberi nilai tambah perjalanan ++duta++ ke Tumpat, kami dengan bermurah hati menunjukkan arah perjalanan yang paling optimum untuk sampai ke Tumpat dari Pengkalan Chepa. Mujur selok belok Jalan Bayam dibelakang kepala beliau sahaja. Kalau tidak, emmmm. emmm.. tak apalah. 

Tumpat merupakan destinasi ++duta++ dan a z m i r untuk hari esok. Ini kerana kawan baik mereka akan mengadakan kenduri menyambut menantu. Tak ke bertuah mereka ada rakan yang ingin menunjuk jalan tengah-tengah malam buta ni.

Kami sampai ke rumah penganti yang salah pada mulanya. Asal nampak khemah di luar rumah belakang sekolah, kami sangakakan itu rumah nije. Bukan rupanya. Selang 3 rumah baru rumah pengantin. Untuk pengetahuan, abah nije merupakan guru sukan segala jenis sukan kepada Ezi. Cikgu Jamaluslah orangnya yang meletakkan Ezi ke posisi penjaga gol pasukan hoki sekolah rendah dengan berjayanya. Mujur nak wakil Malaysia bawah 12 tahun kena main pakai skirt, Ezi tak jadi pergi panggilan mewakili negara untuk berlawan di Australia sana. 


Sesudah mendrop kami di rumah Tok Mek, mereka pon pulang. Katanya nak ke wakaf Che Yeh, entah jadi ke tidak. 


Untuk perjalanan pulang ke KL pula, aku (Ezi sebenarnya) meminta pertolongan Abg Husin (abah kepada Amalia) untuk menghantar ke lapangan terbang. 


Ketika di lapangan terbang, shooter pon sampai bersama anak dan isteri untuk membelanja aku minum air teh ais tanpa gula harga airport. Perbualan kami tak lama, dalam 24 minit begitu je sebab dah kena masuk balai berlepas. Dapat la jugak melihat Izz, anak shooter yang belum nak banyak bercakap lagi. 

Shooter ni duk KL, tapi asal aku jumpa dia, mesti bukan di KL. 2-3 kali dah kami berjumpa bila sama-sama ter'outstation' di Kuantan. Ini di Kelantan pula. Cuma bila dia nak datang makan nasi kat rumah aku di Johor je belum tentu. Dia tak tahu cemana punya Casa Impian lagi rumah aku ni. 



Aku naik kapal terbang tengahari itu yang sudah ditempah (kerusinya) dengan suatu kesimpulan yang sangat berfalsafah. 


"Kalau kita makan nasi, ada butir-butir nasi yang berterabur di luar pinggan, kita kutip semua butir-butir nasi itu dan makan semula, pergi la kat mana-mana pon,hatta Paris sekalipon pasti kita akan berjumpa kawan dan rakan yang kita kenal" - tok minah, 1993.

Sabtu, Mei 28, 2011

Kanak-Kanak Memang Riang 37 - Rasa Ammar

Rasa nak bercerita hal Ammar.

*gambar culik dari FB potographer separa propesionel, Fawzan. 


Ammar dulu-dulu masa kecik-kecik dalam dua tahun begitu, bercakapnya kurang. Sepatah je keluar. Sekarang pula, sepatah-sepatah dia keluarkan perkataan, cuma tiada berhenti keluarnya perkataan-perkataan tersebut menjadi ayat-ayat panjang yang dia je tahu motif kenapa dia nak bercerita hal yang demikian. Dan kita kena dengar bagi habis baru dia puas hati. 

Ammar ada stail tersendiri. Dia akan sangat sukakan sesuatu barang secara berkala. Ada satu masa, dia suka gila seekor monyet berbentuk beg galas. Dia galas beg monyet tersebut di belakang badannya ke mana jua dia pergi. Hatta ke tempat tidur sekalipun. Beg itu pula akan diisi dengan mainan-mainan kegemaran dia pada ketika itu. Antaranya seorang dua Ultraman, berbentuk-bentuk kereta bermacam jenis, jam tangan Ben10 dan apa jua mainan kegemaran beliau. Bila penuh beg itu, tentu susah nak terbaring lena dengan beg galas kan? Tidak buat Ammar. Lena jugak. Kadang-kadang, kalau dia tidak tidur dengan beg monyet itu, bila dia mangkit je terus bingkas dia mencari beg monyet itu untuk digalas.

2-3 hari lepas, kesukaan beliau ialah sehelai beg plastik lut sinar bekas isi beg laptop yang baru diperolehi dari ihsan Bos. Beg itu mula-mula sekali Ammar buat isi kaki beliau. Bila menyedari tak muat nak isi seluruh badan, baru beliau keluar dari beg plastik itu dan mula menggunakan beg ini sebagai beg plastik. Dia isi bola, beg monyet dan beberapa mainan lain dalam beg plastik ini. Sampai malam, dia genggam hujung beg plastik itu dengan mainan-mainan itu masih di dalamnya untuk tidur. Dia nak tidur dengan beg plastik tersebut. Mujur dia dapat menerima pandangan tegas dari abah dan umminya. Beg itu diletakkan di tepi tilam dan dia tidur sendiri. Esok pagi dia cari semula beg itu elok sahaja dia mangkit.

Satu lagi tentang perasaan Ammar. Dia sangat jelas dan langsung terhadap perasaan dia pada tiap ketika. Kalau dia tak dapat apa yang dia nak atau telah dilarang keras untuk apa-apa hal, selain dari terus teriak dia juga ada satu lagi cara untuk memberitahu perasaan dia.

"Abah busuk!"

 Ammar nak koyak suratkhabar abah"

"Harini Ammar nak bagi ummi je bunga dengan cincin"

"Ammar nak love ummi je"

"Ammar nak gunting baju ummi"

"Ammar nak sepak kereta abah"

Inilah antara cara Ammar memberitahu yang mana beliau tidak suka dengan larangan yang diberi, atau disuruh membuat apa yang dia tak nak buat atau tidak diberi apa yang dia nak. Tapi cakap jela, tak la dia buat betul-betul.

Ok, ok. Walaupon statement Ammar di atas banyak yang pro umminya, tapi bila nak tidur, dia mesti nak abah dia tidur sebelah dan temankan dia. Huh, manja mengada-ngada. Heh.

Isnin, Mei 16, 2011

Terima Kasih Cikgu!

*Tajuk diatas haruslah dibaca dengan nada Upin & Ipin. Baru la ceria.

Baiklah, ini kisah untuk ucapan hari guru aku.

Tokwan seorang guru. Guru pelawat ataupon Nazir sekolah. Pelbagai negeri, Terengganu, Perak dan Kedah.

Anak sulung tokwan, Mak Chaq juga guru. Sepencennya Mak Chaq, beliau adalah guru besar sekolah perempuan. Suami Mak Chaq, ofkos la namanya Pak Chaq, juga pernah menjadi guru, guru di Perkim Boon.

Anak kedua Tokwan, Mak Bi (mak saya. Ye, mak saya!). Juga seorang guru. Dari guru biologi, beliau berkhidmat sehingga pencen sebagai Pengetua MRSM. Suami Mak Bi, (ye, pak saya la). Pak Lan, juga seorang guru. Dari guru Kimia dan Fizik, beliau melalui liku-liku naik ke pelbagai jawatan dan kini bakal pencen sebagai Pengetua Kolej MARA tidak lama lagi.

Anak kelima Tokwan, Makcik juga seorang guru. Kini sebagai teacher pelbagai yang pernah berkhidmat di sekitar Ipoh, Kuantan dan Subang.

Menantu Tokwan yang kelima, Mak Su juga seorang guru. Juga seorang teacher sejak 1995 sekitar Selangor. 

Isteri cucu Tokwan yang pertama, menantu Mak Bi (oh begitu berbelit) juga pernah menjadi guru sementara.

Cucu Tokwan yang kedua, anak sulung Mak Chaq, bakal menjadi guru.

Menantu Mak Chaq yang kedua, juga seorang guru sekarang.

Isteri cucu Tokwan yang ketiga, menantu Mak Bi yang kedua, orang selalu-selalu panggil dia cikgu bila terserempak kat kedai runcit, salah satu sebabnya dia selalu bawa nota kecil ketika membeli barang basah. 2 hari lepas pon ada orang ucap selamat hari guru jugak.

Disebabkan dah lost track dengan bilangan cucu Tokwan, anak Mak Bi yang ketiga, juga guru di pengajian tinggi. Belajar tinggi-tinggi. Ajar pon matapelajaran tinggi la.

Anak Mak Bi yang kelima, juga bakal guru terlatih berbicara Inggeris untuk matapelajaran ilmu hayat.

Menantu Makcik yang pertama juga guru di pengajian tinggi.

Ok, dah lost track dah diri sendiri dengan ahli keluarga terdekat yang berprofesion guru.

Yang ingin disimpulkan disini, keluarga kami sendiri dah dikelilingi guru-guru yang mungkin mengajar kami secara tidak langsung. Yela, mana la pernah aku duduk dalam kelas yang pak ajar kan. Tapi ilmu dan pengajaran tidak langsung dari mereka sangat banyak tidak terkira. Memerhati kehidupan mereka sahaja sudah cukup untuk belajar sesuatu. Jadi hari guru ini adalah sungguh bermakna buat depa semua.

Tidak lupa untuk semua cikgu-cikgu yang telah mengajar dan mendidik saya sehingga hari ini. Guru-guru di MRSM PDRM yang paling tidak akan dilupakan. 5 tahun bersama mereka dari saat aku baru betul-betul belajar berfikir dan berdiri dengan kaki sendiri.

TERIMA KASIH CIKGU!!
Sampai bila-bila pon orang akan tetap panggil depa 'Cikgu'. 

p/s: Awat ye cikgu-cikgu ni semua awet muda? Dari dulu sampai sekarang, muka cikgu kita nampak tidak berubah.

Sabtu, Mei 14, 2011

Tulis-tulis – Mekanisma Auto Harga Petrol



Kadang-kadang membaca suratkhabar ada gak sikit-sikit menambahkan kepandaian. Membaca blog juga boleh menambahkan kepintaran. Baca status FB je yang kadang-kadang boleh menyebabkan kemerosotan IQ. Hahah.


Untuk menambahkan kepandaian pembaca blog ini, disertakan satu jadual yang telah diwarna-warnikan oleh Paultan dari satu artikel akhbar.

Jadual ini adalah rahsia kerajaan yang tidak lagi rahsia. Ianya bertujuan memaklumkan rakyat bahawa harga minyak petrol dan diesel di Malaysia ini sudah ada harga kosnya. Pandaikan? Terjemah la jadual ini sepandai-pandainya serta selak la kedua-dua pautan yang diberi. Aiseh, dalam Inggeris la pulak. Google translate ada kan?

Kadang-kadang telakar juga bila membaca komen dari artikel ini di blog Paultan itu. Ada juga yang mengatakan bahawa sebagai rakyat marhaen, jadual ini dan deskripsi ini sangat teknikal lagi matematik sehingga rahsia ini masih menjadi rahsia bagi saya sebab saya tak paham juga bila dah baca (aku tolong tafsir kot melayu la sebab dia tulis Inggeris, hahah). Kamon la, dari satu artikel akhbar, diwarnawarni pula oleh Paultan menjadi jadual yang singkat, hang tak paham lagi? Ni mesti belajar dalam bahasa Melayu untuk Sains dan Matematik kan?

Baiklah, isu sebenarnya ialah kupasan. Menjadi blog yang sekadar meletak pautan tanpa sebarang kupasan atau komen diri sendiri menjadikan anda blogger kopipes. Tak baik begitu.
Isunya ada 2. Dari skim Auto Pricing Mechanism (APM) ini, yang telah menunjukkan belangnya dengan menaikkan harga petrol RON97 ke RM2.90/liter ini (sampai hati hangpa tak marah pak Jib macam hangpa marah Pak Lah noo, dia pi penaik lagi tinggi ni, hahah), kita harus tahu dan paham bahawa harga petrol dan diesel semasa kita TIDAK bergantung SECARA LANGSUNG kepada harga minyak mentah pasaran (orang selalu amik harga pasaran NYMEX) seperti digraf di bawah.


Oh tidak! Kenot be, why? Harga makin menuju bawah USD 100 setong, dah 4-5 hari naik turun paras USD 100. Tapi kenapa kerajaan tak turunkan harga petrol? Dulu USD 160 setong baru RM2.70, sekarang USD 120 setong pon tak cecah, tapi petrol RM2.90! Ini kerajaan konspirasi. Ini fitnah. Kerajaan makan duit rakyat. Rakyat didahulukan menerima bahana. Menteri berpeleseran menaiki kereta mewah tak sangkut jem, ada je polis eskort manakala petrol negara jiran masih lebih tinggi dari negara kita (eh?).  

Ok, semua kenyataan ini merendahkan tahap IQ kamu, aku meminta maaf atas keterlaluan ini, ini bukan FB. 

Ye pembaca budiman yang sudah pon mengetip pautan yang diberi di awal-awal lagi tadi. Intipati pertama artikel tulisan akhbar itu adalah harga kos untuk petrol dan diesel diambil dari satu nombor yang didapati oleh sebuah panduan bernama MOPS. Ye, mop lantai la ni. Lantak hangpa la nak suka ke tak akronim MOPS ni. MOPS ialah average of the Mean of Platt’s Singapore. Platts ialah sebuah kompeni dari Mc Graw Hill yang jual beli barangan berasas petroleum di Singapura  (kompeni yang banyak buat buku kejuruteraan, susah gila nak paham sebab bahasa Inggeris, masa subjek rekabentuk, aku menyampah gila dengan buku Mc Graw Hill ni, mujur pinjam je dari Nor A). Platts yang kemaskini harga naik turun barangan berasas petroleum yang didagangkan di Singapura. Bila permintaan naik dan barang kurang, Platts naikkan nombornya. Begitulah sebaliknya.

Jadi, pembeli lebih suka MOPS berbanding harga minyak mentah semasa NYMEX sebab harga MOPS lebih meluas, sebab merangkumi pelbagai jenis produk minyak mentah yang sudah ditapis yang didagangkan di Singapura. Harga ini lebih tepat lagi bersesuaian pada tiap produk. Jadi MOPS boleh naik turun adalah disebabkan oleh?

1. Harga minyak mentah semasa.
2. Permintaan semasa.
3. Banyak mana barangan itu dihasilkan pada masa itu.
4. Harga kos penapisan dan pemprosesan bahan petroleum tersebut.

Tambah pula harga premium barangan yang didagangkan seperti kos penghantaran pakai kapal, sewa kapal, sewa pelabuhan, insurans, kos simpanan dan pengendalian. 
Jadi, harga ini yang diambil kerajaan untuk dijadikan harga kos seperti kotak kaler merah. 



Sebelum kita tambah segala mak neka harga dalam jadual warna warni di bawah.
Intipati keduanya adalah berdasarkan jadual di atas. Menurut jadual di atas, kita jangan la dok berharap yang kerajaan datang dari planet mana pon memerintah bumi Malaysia ni, kalau depa pon pakai APM ni, kita boleh pam petrol seliter serendah RM0.9035. Secara matematik kasarnya tidak possible. Kalau ada yang menjanjikan harga petrol RM0.91 seliter, aku akan pangkah namanya dari menjadi calon. Tak pandai matematik betul dia. Melainkan dia seorang yang berani memotong keuntungan pelbagai pihak yang terlibat.

Ada mengerti? Pandaikan mentafsir jadual? Ke IQ dah merosot juga sebab membaca sesuatu yang sangat berilmiah macam ni?

Jadi pembaca budiman sekalian, bila kita pam petrol, tahulah kalian kemanakah duit itu pergi. Bukan suka-suka minyak tu naik harga sebab Libya yang terbiar, Iraq yang dah tekukur, Florida yang 'flood' dan sebagainya. Banyak lagi mekanisma yang terpaut yang menyebabkan harga minyak naik. Kotak kaler ungu pula menceritakah perihal sama ada kerajaan akan mensubsidi harga minyak bila naik (ditetapkan kepada RM0.30 sekarang). Atau akan mengutip cukai yang lebih banyak (maximum RM0.5862) bila harga kos minyak turun, tapi kerajaan taknak turunkan cepat-cepat. Undi la sapa pon, syarikat minyak (petrol) yang tetap untung, pekerja syarikat mereka juga yang berbonus lebat.

Nasihat aku, 'ubahlah gaya hidup'. Sudah-sudahlah mengimpikan menggunakan kereta yang membazir petrol tak semena-mena, perginya takat tu juga. Apa guna ada 3.2 cc (Exora Prime 1.6 turbo bila nak keluar ek? Hahah). Bila jem sangkut juga di tengah jalan. Tunggu orang dalam kereta, matikan sahaja enjin kereta. Panas cenggini, ekon servis la selalu dan tint la cermin dengan filem berefek penyejuk. Kereta hanyalah kenderaan dari poin A untuk ke poin B. Janji tidak ranap relai di tengah jalan. Hahah. 

Isnin, Mei 09, 2011

Kanak-Kanak Memang Riang 36 - Kawan Ummi

Malam-malam, Aqil dan Ammar memang tido di bahagian bawah. Mezzanine level orang kata. Sebelah katil saiz permaisuri kami. Kadang-kadang ada tilam, kadang-kadang ada toto, kadang-kadang alas dua-dua. 

Aku baru je baring di tengah-tengah, antara Ammar dan Aqil, sebab Ammar memang suka tidur dipeluk abahnya. Harapkan Aqil, elok je kita merangkul pinggang dia, terus ditepis tolak balik. Ikut perangai siapa la agaknya ye. Kadang-kadang je dia suruh tepuk. 

Aku mengadap Ammar, sambil membelakangi Aqil. Aqil dah lali-lali. Tak perlu tepuk ke mende. Pandai dia tido sendiri. Janji ada baju busuk dia. 

"Abah, tadikan, kawan ummi yang jahat tu kacau Abang Ammar lagi"

"Tu, dia ada kat situ" sambil tangan ditunjuk ke belakang, menunjukkan celah antara katil saiz permaisuri dengan meja solek. Ada la ruang dalam 6 inci di situ. 

Ammar dari berbaring terus bangun, langkah aku dan tidur ditengah. Kali ini aku pulak yang tidur di tepi katil, dan kepala betul-betul di ruang antara katil saiz permaisuri dengan meja solek. 

Ammar tak jadi tidur, mintak nak minum air. Aku bawak pergi dapur. Buka pintu peti ais dan minum. Malam tadi betul-betul berbahang dan panas. 

Sampai balik, dia baring dan mintak aku peluk. Dan dia lena. Elok je dia lena, aku layan 30 minit terakhir perlawanan yang tak penting langsung. Manchester menang 2-1 dengan Chelsea. Takde pekdah!

3 minggu lepas, masa Nor A sekeluarga datang tidur di rumah. Ammar pertama kali mengadu pada umminya perihal 'kawan' ummi itu. 

"Kawan ummi tu, kacau Abang Ammar, Abang Ammar sedih". Sambil menunjuk pada bucu katil. Itu masa dia baru bangun dari tidur. 

"Rambut dia panjang, muka dia macam muka ummi, tapi dia pakai baju putih". Tambah Ammar lagi.

Soalnya sekarang, 4 minggu dari sekarang, depa semua nak balik kampung dalam 2 minggu cuti sekolah dan tinggal aku sorang-sorang kat rumah. Amacam? Hahah.

Nota utama: Selamat Hari Ibu buat Mak! Selamat Hari Ibu buat Ayang!

Rabu, Mei 04, 2011

Arsenal 1 - 0 Manchester United (ini konspirasi!)

Member aku kata Arsenal menang sebab pengadil tak bagi penalti kat Owen yang ditakik Clichy. Takik yang memang sengaja tapi pengadil buat-buat buta. Ini tidak adil pengadil!


Juga beliau berkobar-kobar mengatakan bahawa pengadil memberi 2 gol percuma kepada Chelsea ketika melawan Spurs. Satu gol yang tidak melepasi garisan, satu gol Kalou curik ayam. Kemenangan Chelsea memberikan tekanan dan saingan paling sengit buat Manchester United sebab minggu depan mereka akan bertemu di Old Trafford dan sapa yang menang berpeluang cerah sebagai bakal juara.


Sungguh-sungguh dia berkeras kedua-dua tindakan pengadil FA Inggeris ini mengesahkan teori konspirasi untuk menjatuhkan Manchester United secara diam oleh para pengadil yang majoritinya berusia lanjut dan menjadi penyokong zaman kebangkitan Liverpool. Ye, semua pengadil pro-Liverpool kata beliau disebabkan umur mereka dan sejarah Liverpool ketika itu. 


Jadi, baik semua pengadil membenarkan Chelsea menang kejuaraan liga berbanding melihat Manchester United memenangi kejuaraan liga ke-19, sekaligus meningkah Liverpool sebagai kelab terulung dengan kejuaraan liga terbanyak. Ini konspirasi terbesar liga FA Inggeris oleh pengadil-pengadil serta penjaga-penjaga garisan.


Tahun lepas pon sama. Drogba curik ayam 2 kaki jauh dari satu hantaran lambung ketika menjaringkan gol terhadap Manchester United yang membolehkan Chelsea menang kejuaraan liga. Betul-betul penjaga garisan buat-buat buta.


Tapi, member aku yang sama juga beria-ia mengatakan pada awal musim ini, tahun ini Manchester United memang tiada prestasi. Menang nasib. Kalah nasib dan seri pon nasib. Mujur ada mentaliti kuat untuk terus bertahan sahaja. Juga, ini pasukan paling lemah dalam sejarah Pak Alex.


Untuk semua penyokong Manchester United, kah kah kah. 


Mekasih Ramsey!


Aku kata, masih ada 3 perlawanan dan apa-apa pon boleh terjadi. 


Kot Manchester dan Chelsea seri semua perlawanan seterusnya dan Arsenal menang ketiga-tiga perlawanan? 


Ok, ini harapan paling palsu lagi penuh konspirasi. 36 pengadil dan penjaga garisan perlu dibeli dan dipengaruhi penyokong Arsenal. Hahah. 


Oh ya, pengadil Manchester United melawan Chelsea hujung minggu nanti ialah Howard Webb. Beliau begitu dicemburui oleh Ryan Babel penyerang Liverpool baru-baru ini. Kenapa agaknya ye? Kah kah kah lagi. 


Ini konspirasi!

*kredit gambar dari sini. 

Selasa, April 26, 2011

Rock sebagai kaedah penuaian semangat cintakan Bahasa Melayu

Nah, dulu cikgu mesti marah kalau kita suka rock. Rock kapak apatah lagi. Kutu berahak tak de paedah je suka rock cikgu kata.


(Peh, sebelum kita pergi lebih lanjut, tajuk entri agak macam tajuk tesis dah!)


Siapa sangka, kutu berahak juga boleh jadi sumber inspirasi. Ini band dari Jerman, Darksky sudah membuktikan, rock juga tiada sempadan bahasa. Demi inspirasi, depa siap cover satu lagu dari band kita, Unwanted - Masih Ada Rindu dalam album Believe It (2000). Yep, believe it or tidak, depa nyanyi lagu ini sebijik-sebijik dengan slang Jerman yang kiut. Rujukan penuh album disini.


Sedang selera artis kita masih layan Pop Indo, Poco-poco, Kanto Pop dan Pop Kinja-kinja, orang Jerman ada juga yang sudah salut dengan lagu rock kapak tempatan dahulukala. Dasar pandang ke Timur barangkali. 


Mungkin menteri pelajaran boleh ambil iktibar. Silibus rock BM satu bleh Cik Din Yasin?


Lagu ini ditujukan buat tatapan isteri tersayang di rumah dengan ucapan.... Buat apa tu?


'

Jumaat, April 22, 2011

Geografi Kebangsaan - Bukit Belacan

Hidup sebagai kanak-kanak berdarjah dua hingga enam di Taman Cempaka adalah satu kenangan yang susah nak dilupakan. Mari membuat siri Geografi Kebangsaan.


Semangat mengembara dan berjalan mencari jalan adalah sesuatu yang susah kanak-kanak macam aku, abang dan Patah nak menolak. Menurut rekod, jalan-jalan mencari jalan yang paling jauh pernah kami lakukan secara beramai-ramai, bersendirian dengan geng-geng lain atau suka-suka ajak kawan lain buat adalah begitu banyak sekali. Bukit Belacan merupakan destinasi mengembara yang paling menarik.


Ia diperkenalkan oleh kawan abang, Isa namanya. Bukit Belacan masa itu dikatakan ada sungai mengalir jernih. Air sejuk dari bukit dan ada ketam bersepit besar. Peh, sapa tak terliur nak pegi kan?


Agenda ke Bukit Belacan agak banyak kali dibuat. Tujuan utama adalah mandi. Tujuan lain adalah tiada tujuan khusus, bergantung kepada cabaran dan halangan yang mendatang. Mari kita pendekkan sahaja Bukit Belacan sebagai BB.


Kaedah pengangkutan ke BB dari rumah Taman Cempaka tidak terbatas banyaknya. Pernah kami berjalan kaki sahaja dari rumah sampai sana. Ada juga jalan kaki sampai Pekan Ampang dan tahan bas mini 50sen sampai dalam kampung paling dekat dengan BB. Ada juga dengan berbasikal tumpang menumpang. Yela basikal besar ada satu je. Basikal biru kanak-kanak tu pon aku pernah bawak ke BB, jenuh mengayuh! Norsham sahaja waktu itu yang ada basikal BMX prewel (flywheel) mati. Budak sekarang kata basikal Fixi.


Jalan biasa adalah dari Taman Chempaka ke Taman Cahaya, potong ke Ampang Mewah, rentas jalan keretapi ke Pekan Ampang lama, susur jalan Ampang, lalu Taman Kosas sampai ke penghujung jalan Ampang. Masuk BB. Mudah bukan?


Untuk pengetahuan, masih ada orang kampung yang amik air dari bukit ini buat bekalan air di rumah depa. Ada sekali masa ralit tangkap ketam sepit besar, aku terpunggah paip depa. Terus tuan rumah di bawah bukit naik datang tengok kami buat apa sebab elok-elok dia tengah basuh pinggan, air kering. 


Apalah sangat 5.5km untuk berjalan kaki kalau destinasinya mandi air bukit?


Bila dah biasa sangat lalu jalan ini, kami ikut pula jalan lain, ada sekali masuk kampung cina, lalu lombong tinggal, naik bukit, terserempak anjing bulldog dan lari lintang pukang tinggal basikal. Lepas agak selamat baru datang menyelamatkan basikal balik.


Untuk bekalan tenaga, selalunya sebat sahaja air paip kat luar rumah orang mana-mana yang terjumpa. Buah kaler oren saiz duit 50 sen dari tumbuhan merayap tepi longkang juga sedap lagi manis. Kalau terjumpa memang berebut. Kadang-kadang kerat dua kongsi. Sapa yang beli nasi lemak beli kat BB memang kira berada orangnya. Kami selalunya beli aiskrim 10 je buat tahan haus. 


Siri-siri mengembara lain adalah dikatakan orang, Klang Gate lagi hebat dan maha besar dan best dari BB. Last-last, pemandu yang membawa tak sampai pon Klang Gate. Entah lombong apa entah namanya, lombong itu kini menjadi pusat rekreasi air di tepi MRR2 berdekatan Taman Putra Sulaiman. 




 Klang Gate konon, jalan dulu rasa jauh dah. Baru 2.9 km.

Kalau berjalan arah ke Maluri, tak de keje lain, mesti nak tengok loji kumbahan baru buat kat sana. Ikan tilapia merah bersepah dekat punca air keluar ke longkang. Geram je tengok. Jalan punya jalan, sampai juga ke Jusco Taman Maluri, kemudian balik lalu flat Taman Bakti. 




Kalau pergi 3.9km, tak ke masa balik dah jadi 8km?

Pengisian aktiviti berjalan ini jugalah yang mengajar aku mencuba kaedah berenang gaya bebas. Asal ada kolam atau takungan air cukup dalam, sure kami menumpang mandi. Mula-mula berendam, pandai sikit menyelam, lama-lama terboleh pulak berenang. 

Agaknya itulah sebabnya aku tak kesah untuk berjalan-jalan mencari jalan dengan kereta dengan anak-anak sekarang. Juga punca stamina lari jarak jauh yang tidak tertanding masa kat sekolah menengah. Sebab tu la tak obesiti masa kat sekolah dulu walau hari-hari bekal nasi lemak santan kaw-kaw. Underweight adala. Hahah.

Kanak-kanak zaman sekarang? Nasi lemak kat kantin sekolah pon kerajaan dah tak kasi makan. Apatah lagi mak bapak nak suruh anak berkeliaran berjalan tak tentu hala. Kena culik, potong tangan dengan kaki seludup pi Siam suruh mengemis satgi. Takpon penculik mintak tebusan je. Kasihankan depa?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...