Advertlets

Memaparkan catatan dengan label Masalah kereta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Masalah kereta. Papar semua catatan

Selasa, Ogos 07, 2012

Bersama Proton (yang *******) do-u-really-care?

Selepas pembeli menunggu 3 bulan dari tarikh lulus pinjaman bank. Waktu nak sign, janji tunggu sebulan sahaja. Ini yang penjual boleh beritahu.

"Proton sudah talak keluar itu kereta, tak da sapa mau beli. Orang mau beli pon saya takut mau kasik masuk itu order. Lu tengok atas jalan, ada nampak itu kereta? Itu kereta banyak masalah. Minyak banyak makan, besar lagi, cc kecik. Macam Naza Ria (ye, dia pengedar Hyundai). Olang mau beli kereta, bukan dengan orang cakap, kasik kira tengok, compare semua satu-satu. Lu pikir balik la, baik beli Nissan. Takda masalah punya, ready stock"

Untuk nota, penjual ini haram tak guna langsung. Tak boleh harap dan bangang. Call tak berani nak angkat, hantar balik sms bagi alasan meeting, dalam bank atau nanti call balik. Sms terbaru ni dah 3 kali tanpa balasan.

Orang dah setuju pilih kereta yang dikehendaki, lepas 3 bulan baru nak cerita segala alasan dan mak neka masalah kereta yang sedang nak dijual. Taruk pasir dalam periuk sendiri. Eh, mungkin beliau pemakan pasir orangnya? Pembeli bukan mahukan cacian terhadap model yang dikehendaki. Pembeli mahu kereta itu siap dihantar dengan kunci. Bangang.

Nota lagi, jangan beli dari depa. Kedai jual kereta di pintu masuk Giant Tampoi.

Disebabkan keterlaluan tak masuk akal sangat alasan penjual sampai dikatakan kilang Proton sekarang tidak lagi mengeluarkan model tersebut, maka Proton-I-care 1300 880 888 dihubungi.

Ahad, Februari 20, 2011

Ada Mesalah Dengan Kereta Anda Siri 4/4

Gila gigih sekarang ini. Nak menulis satu entri panjang pon amik 2 minggu. Ini pon topik dah ada, isi kandungan dah ada. Masa je tak ada.

Baiklah, berbalik kepada sesudahnya pagi di hotel ternama Yong Peng. Betul-betul punya pagi aku dah mangkit. 8 pagi dah siap turun bawah. Jenguk ke workshop bersebelahan hotel. Masih katup. Mungkin semangat beraya masih ada. 

Memang hasrat di hati nak hantar ke Proton Servis. Sebab mengikut abang dan aku pon bersetuju, diagnosis Proton mesti lebih tepat dan berkenaan. Selain dari mengurangkan risiko diketuk tuan kedai biasa. 

Berbekalkan harapan mendapat diagnosis yang power. Aku bawa perlahan-lahan kereta ke Proton Servis. 2 blok di belakang hotel. Tidak la pula aku nak tunggu enjin kereta betul-betul warm-up. Sat lagi over warm-up, baru hangpa tau. 

Proton Servis memang boleh diharap. Sudah ada 1 kereta pelanggan yang dah dijek naik ke atas. Aku tanya gadis kaunter. Kereta overheat, boleh buat?. Gadis kaunter jawab, nanti saya mintak mekanik cek dahulu. Tunggu ye. 

3 minit, datang seorang mekanik muda. Dari rupa paras, macam baru lepasan Sijil. Di bibirnya ada tompok keputihan, tanda belum bersarapan. Pung pang pung pang tanya itu ini, dia buka bonet depan dan menghidupkan enjin. Sama macam brader PLUS Ronda semalam buat. Begini gaya beliau.

Best tak ada gambarajah cam ni? Ada satu blogger dulu suka gambarajah cenggini. Tapi dia dah tak berblog.

Beliau kaku dengan tangan dibibir penutup bonet. Telinga dipasang untuk meneliti segala bunyi geseran dan apa-apa yang abnormal. Mata kekadang meliar. Cukup lama dalam keadaan statik, beliau buka penutup air radiator. Melihat air dalam tabung yang hampir penuh (air dari radiator ditendang balik ke tabung). Lamanya keadaan begitu beliau. Jarum penunding belum lagi menunjukkan tanda-tanda nak overheat. 

Sesudah cukup lama beliau mendiagnosis cara oldschool begitu, tanpa sebiji spanar mahupun skru driver sekalipun beliau berpaling kepada aku.

"Abang punya bunyi enjin kasar sedikit, saya rasa masa overheat semalam, gasket dia dah terbakar, top enjin mungkin dah bengkok sedikit, tengok ni, air radiator penuh dalam tabung, ini tanda compression dalam enjin dah tak cukup, air radiator ditendang balik ke tabung" jelas adik mekanik.

"Err, bunyi engin kasar tu memang dah lama, jadi macamana ya?" aku jawab.

"Yang ni memang kurang-kurang pon top overhaul, kene skim balik top enjin. Tapi kereta PROTON ni susah sikit. Nasib-nasib la kalau skim pon. Kawan saya pernah buat, tapi problem dia tak setel. Sebab bila skim, belum tentu dapat rata balik 100%. Sebab material enjin dia tu." adik mekanik benar-benar yakin dengan pengalaman di dadanya.

"Kalau untuk sementara waktu ni, tak boleh perbaiki dulu kipas yang tak jalan ni, kipas dia rosak ke tak? Saya jauh lagi perjalanan nak balik Skudai, tak pon bawak slow-slow ke?" yelah, walau aku tak belajar 6 Sigma black belt, tapi bab penyelesaian mesalah bukan kira root cause problem je.  

"Ha'ah, kipas dia memang tak jalan, nanti saya cek stok dulu" adik mekanik pon berlalu ke stor.

"Minta maaf la bang, kami tak ada stok, kalau order pon, seminggu baru dapat, lori kan hari ni baru jalan" adik mekanik kesal tidak dapat membantu. 

"Stok dari mana?" aku tanya.

"Stok dari branch JB, kami ni dealer je, bukan Proton Edar direct" adik mekanik perjelas.

"Dah tu, cemana nak setel ni ek?" aku tanya lagi.

"Abang boleh cuba workshop kat belakang ni" sambil menunding arah hotel. 

"Katup, tadi saya dah tengok". Aku dah dapat agak.

"Camtu, abang pergi kedai belakang KFC, jalan besar pung pang pung pang, kawan saya kerja sana, Sabtu lagi dia dah bukak" adik mekanik memberi penyelesaian paling bernas setakat ini.

Dipendekkan cerita. Aku sampai ke workshop yang ditunjukkan tanpa banyak soal.

"Uncle, kereta ini malam tadi overheat, kipas dia tak jalan" aku kasik permasalahan.

"Oh, nanti saya tengok" uncle jawab.

"Ok, kipas dia memang tak jalan, ini kipas PROTON memang sikit tak tahan. Nanti saya cari lu kipas dari Jepun. Ini Taiwan punya, I punya pekerja pon belum masuk lagi ni, u tunggu dulu dalam sana, nanti siap saya panggil." uncle berjaya menyelesaikan mesalah.

Pung pang pung pang. 45 minit kemudian.

"U punya kipas wa talak tukar, kasik servis saja, boleh pakai lagi. Itu relay wa ganti satu. Relay sudah terbakar. Servis kipas RM80, relay RM30". Uncle memberi penjelasan bil.

Aku start kereta dan buka ekon, kipas berpusing. Okeh. Mesalah selesai dan aku yakin balik ke Skudai. Tapi mata tetap di jarum penunding kot-kot apa-apa yang tidak terjangka.

Di dalam kepala, aku tetap terngiang-ngiang diagnosis adik mekanik. Apa benar yang dia kata?

Esok harinya, aku terus pergi satu lagi Pusat Servis Proton. Kali ini di bawah EON. Yang jalan kaki pon sampai dari ofis. Aku mintak depa tukar timing belt. Sebab memang kereta ni dah sampai hayatnya untuk penukaran timing belt yang keduanya. Sesambil itu, mintak tolong cek apa benar gasket sudah terbakar dan top enjin dah bengkok. Juga apa-apa kerosakan lain yang mungkin berpunca dari mesalah overheat. 

Pusat Servis Proton EON kali ini lebih berpengalaman. Tetapi Penolong Pengurus workshop yang menerima aduan aku juga mempunyai tompok putih di tepi bibir. Juga tanda belum sarapan. 

Kata beliau, gasket PROTON adalah diperbuat dari sejenis logam. Logam nak terbakar kot mana kan? Tapi beliau akan cuba memeriksa semua komponen penyejukan. Suspek utama beliau adalah pam air, sebab selalunya pam air ditukar tiap kali timing belt ditukar. Tapi aku tak tukar dulu. 

Pung pang pung pang. Petang harinya.

Satu set timing belt serta segala aksesori yang diperlukan untuk servis timing belt telah selamat ditukar. Pam air juga ditukar kerana terdapat tanda bocor di tepi dindingnya. Juga satu set motor dan kipas radiator ditukar. Sebab motor tu memang masih berpusing, tapi sangat perlahan dan tidak terasa angin kipasnya. Juga kipas dan motor itu datangnya satu set. Walhal kipas itu diperbuat dari plastik. Tiada apa-apa kerosakan pon. Terkoyak juga RM1,200. Juga tiada kerosakan seperti gasket terbakar mahupon top enjin bengkok. 

Dikatakan brand APM sama je dengan original dari Proton.

Bila aku hidupkan enjin, segala bunyi kasar enjin semuanya dah tiada. Senyap dan gegaran asing di dashboard pun dah hilang. Aku memandu ke stesen Petronas terdekat untuk semayang Asar.

Hati mula berbunga walaupun rabak lebih seribu. Tapi itu tak lama. Sesudah semayang.

Aku buka bonet, untuk menikmati bunyi baru timing belt. Tapi aku ternampak air dari hos radiator meleleh, banyak juga. Bila di lap, keluar lagi. Balik semula aku memandu ke workshop Proton Servis EON. Workshop dah pon ditutup, tapi encik Penolong Pengurus Workshop masih ada. Dia ambil playar dan memperbetulkan ikatan hos. Segalanya selesai. Aku ucap terima kasih.

Cerita ini dah sangat panjang berjela-jela. Tapi aku tetap nak tulis. Sebab ini panduan berguna semua pemunya kereta nasional. Tambah-tambah usia dah lebih 7 tahun. Masa inilah segala mak neka mesalah akan timbul. 

Juga ini pengajaran. Tak semua diagnosis tiap mekanik sama. Walau mereka berjenama sama. Juga tak semua workshop biasa itu terrer. Ada juga yang sambil lewa dan kebanyakan komponen yang mereka guna bukan yang asli atau baru. Harap boleh menjadi panduan. 

Khamis, Februari 10, 2011

Ada Mesalah Dengan Kereta Anda - Siri 3 / 4.

Hari Ahad malam baru ni. Selepas kali ke-tiga dalam tempoh seminggu mengisi minyak petrol. Kereta Gen-2 yang berada di hentian RnR Pagoh arah selatan mula menunjukkan tanda-tanda demam panas.

Ekon jadi panas. Kipas radiator tak jalan. Penunding suhu melebihi 100 darjah. 

Tolak kipas pakai jari, tak jalan. 

Cuit-cuit relay & segala fius yang ada. Ekon je kembali sejuk. Penunding suhu tetap naik. 

Letak kereta elok-elok di tempat selamat. Dan berkira-kira. 

Nak buat apa dan nak telefon sapa dulu? Mari kita ikut langkah demi langkah untuk menyelesaikan masalah rumit ini.

1. Telepon Proton Auto Assist. 
Proton Auto Assist mencadangkan supaya meminta PLUS Ronda menunda kereta ke tol terdekat dan kemudian meminta penunda dari syarikat insurans untuk menunda ke worksyop terdekat. Proton membantu dengan meng-sms kedua-dua hotline PLUS dan Etiqa.

2. Telepon PLUS Hotline.
Dijawab oleh gadis PLUS. Dia akan menghantar PLUS Ronda untuk memeriksa keadaan dan kemudian mereka akan memberi cadangan. Kereta berada di dalam keadaan bonet depan terbuka dan Ayman pon tanpa berbaju. Panas.

3. Telepon hotline Etiqa.
Maaf, nombor yang anda dail tiada dalam perkhidmatan!. Siot, nombor kat sticker Etiqa dalam kereta pon tak boleh pakai. Double empangan!.

4. Telepon Abang.
Abang mencadangkan supaya tidur je kat rumah dia di Melaka dan esok datang semula. Jam dah 10.30 malam. Abang juga mencadangkan hang pikir dulu, aku pi siap sat. Aqil dan Ammar riang bermain pasir, berebut air anggur dan tak reti duduk diam. Sat-sat aku marah depa. Sat-sat Ezi marah depa. Tapi masing-masing cool. 


5. PLUS Ronda datang berlumba-lumba. Tak la. Dia bawak pelan-pelan sampai la jumpa Gen-2 aku yang tersadai dihujung stesen minyak. Dia godek-godek fius dan penyambung wayar motor. Yang bestnya, suhu terlebih panas tu lambat bebenor nak naik. Memula hidup enjin, ekon sejuk, suhu stabil. Tunggu punya tunggu punya tunggu, godek punya godek punya godek, kipas tetap tak jalan. Suhu tak naik-naik pulak! Dah dekat lama sikit baru naik! Mujur la diagnosis awal aku betul. Kalau tak, mesti brader PLUS Ronda kata aku kurang kasih sayang.


6. Owh, masa ni aku betul-betul mengharapkan HMD tak pegi Bahrain. Hahah. Sikitnya kawan aku kat bumi Selatan.


7. Brader PLUS Ronda suruh aku bawa pelan-pelan kereta ini ke tol plaza terdekat. Dia bagi satu nombor pomen. Panjang namanya. Yela, Panjang. Aku tepon terus. Panjang kata nanti sampai tol telepon dia balik. Panjang dah abis raya, boleh bekerja. Brader PLUS Ronda tak nak bagi nombor pomen Melayu. Dia kata, nanti pomen tu tak datang sebab dah malam, awak juga yang susah. Oh, begitu. 


8. Hati dah kurang berderbar sebab tengok suhu yang naik tidak la begitu drastik. Mengikut pengalaman overheat Toyota Liteace dan Kancil 660 dahulu, suhunya naik sampai air di radiator buleh buat hiasan fountain. Ini mungkin disebabkan keengganan Proton Servis yang merekemen 4 botol penuh radiator hijau tanpa kompromi masa mula-mula servis Gen-2 ini. Bila dah 2-3 tahun baru depa berani campur 1 atau 2 botol radiator dengan air suling. Jadi radiator ini masih hijau airnya dan tiada keladak-keladak kotor warna coklat. 


9. Aku bersandarkan kepada kecekapan coolant radiator untuk mengawal suhu, angin di lebuh raya sebagai pembawa hawa panas dan minyak Mobil 1 sebagai pengurang peningkatan suhu. Semua masuk kereta dan bawa secara pakcik-pakcik. Lorong paling kiri di dalam lorong kecemasan. Juga bawak bawah 50km/j. Sambil lampu hazard menyala. Tingkap dibuka separuh dan radio dipadamkan. 


10. Untuk pengetahuan, selepas sahaja RnR Pagoh arah selatan ke tol plaza Yong Peng Utara, ianya dalam 30-40 kilometer. Laluannya berbukit. Kalau tak percaya, ambil iPhone dan kira Elevation menggunakan Apps. Disebabkan dah pukul 11 malam, keadaan jalan raya tidak terlalu sibuk sampai perlu bontot-membontoti. Lagipun duduk di lorong kecemasan, mana nak jem. Ok, boleh kirakan berapa masa yang perlu diambil untuk sampai ke tol plaza dengan kelajuan 50km/j?


11. Masa dekat atas bukit, rasa insaf timbul bila melihat ada 2 lelaki dengan motor yang langsung tanpa sumber lampu, tengah terkial-kial mencari skru di atas jalan untuk menukar tayar di lorong kecemasan. Lagi sadis.  


12. Perjalanan ke tol plaza berjalan lancar. Mata tetap di jarum penunding suhu yang masih stabil. Sampai dalam 5km lagi nak sampai, aku dah berkira-kira nak bawak je sampai Skudai begini. Tapi berisiko. Kene jem kat memana, memang 'Excellent' la enjin. Radio aku buka. Ekon aku try. Ok dedua. 


13. Cabaran mula timbul bila tol Yong Peng utara agak sesak. Kenderaan bertimpa-timpa di setiap lorong. Kena beratur. Masa ini, cemas mula datang. Mau 5-6 minit tak bergerak konfem enjin panas terik. Aku cuba dari lorong paling kiri pergi ke lorong paling kanan, sebab pakai TnG. Tapi lepas je dapat celah belakang bas, lorong TnG rupanya katup!.


14. Disebabkan ini kecemasan, aku kasik signal kiri dan lampu hazard secara berturutan dan terus parking atas rumput belah kiri sebelum plaza tol. Panas dah! Bonet dibuka dan telepon Panjang. Panjang jawab dengan mudah. Aiyah, motor kipas tak boleh buat maa, tak da barang. Tunggu esok pagi la. Kalau tabung kotor, boleh ganti.


15. Harapan kepada Panjang tinggal harapan. Elok lepas pukul 12 tengah malam, baru aku lintas plaza tol. Kereta pon dah tak da yang beratur. Dapat la diskaun tol tengah malam. 


16. Stratergi seterusnya adalah menelefon rakan sepejabat. Mintak cuti separuh hari esok. Keputusan dah dibuat untuk bermalam di Yong Peng dan menyetelkan kereta esok pagi-pagi hening. Takat tukar motor kejap je. Jadi menunggu Abang sampai dari Jasin. Boleh tumpang kereta dia untuk riki-riki worksyop dan rumah tumpangan sekitar pekan Yong Peng. 


17. Jam 1 lebih, jumpa satu rumah tumpangan yang nampak boleh dipercayai. Dan juga kedai servis Proton juga 1 blok di belakang. Tokey rumah tumpangan bagi rate tengah malam untuk bilik 1 katil besar dengan 1 katil kecik. RM80. 


18. Ambik kereta dari tol Yong Peng sambil abang eskort dari belakang. Abang balik rumah dan aku naik bilik. Tidur dalam jam 2 pagi. Sambil Aqil terkenang-kenang baju busuk dia di dalam kereta kat bawah. 


Sambung esok la pulak. Mahathir pon tak cerita point sampai 20. Cerita esok adalah diagnosis mekanik muda Proton  Servis yang begitu yakin.

Selasa, Disember 08, 2009

Dugaan Bertambah

Ini sambungan kisah Dugaan yang dibawah. Aku berterima kasih untuk panduan serta harapan yang diberikan oleh post terdahulu. Sekarang aku nak sambung kisah Dugaan yang sudah selesai. Dah setel baru boleh cerita, baru teruja membaca. Ye dak? Tapi cerita ini meleret-leret panjangnya. Kalau bos takda, tak rasa nak terkucil, kerja tak menimbun, boleh mula baca. Series aku kata panjang.

~Selasa

Setelah melihatkan tarikh yang telah berlalu 27 November itu, aku releks-releks amik kain, bubuh wax, kasik hilang kecalaran bonet depan, kereta baru cat penuh keliling bila calar mahu tercalar hati pemunya, ingat senang nak bayar ansuran duit cat satu kereta? (*i luv u mak!).

Lepas setel kasik wax, aku kasik jek pula tayar belakang, mencari arah punca kebanjiran misteri. Terbaring dari segala segi, memang tak jumpa. Hal minyak menitik pon aku cari. Juga tak tahu apa punca. Aku givap. (*mekasih untuk brader Shooter, hang punya penyelesaian aku belum buat, tapi aku rasa relevan, untuk Juan, aku pegang hang kata tak payah risau kalau takat setitik dua, tapi aku tak rasa gasket bocor la, suhu masih ok)

Masuk dalam, makan nasi. Bila dah sedikit lewat petang, aku sembang kat Ezi. Road tax mati. Ezi hairan. Macammana aku tak boleh perasan. Aku hairan juga, cemana aku boleh tak terlintas nak perasan.

Secara amnya, aku sangat tersibuk di dalam hati dan pikiran untuk minggu sebelum aku nak cuti 2 minggu itu, bila masuk minggu aku cuti, aku sibuk pulak dengan kelas latihan. Kemudian sehari sebelum cukai jalan mati, aku dah kat Kulim. Kereta aku tak kelebet dah lepas tuh, sebab banyak menumpukan perhatian kepada aspek-aspek yang berlaku di rumah Kulim. Boleh kata tiap-tiap hari adalah hari kenduri. Masak dan makan, kemas. Masak lagi, makan lagi, kemas lagi. Dan begitulah dalam 4 hari berturut-turut.

Untuk memudahkan aku, aku terima sahaja bebelan Ezi. Memang salah aku. Cuma aku perlukan idea, cemana nak setel hal ini. Hari itu dah lewat Selasa. Jumaat aku dah nak gerak dari Tumpat. Aku terlintas nak cek dengan MyEG. Iklan yang lewat kini banyak terkeluar masa tengok bola kat Estro. Kot-kot Scha Al-Yahya boleh hantar terus depan pintu rumah Tok Mek nih, seronok jugak.

Aku bukak laptop, aku cucuk USB berukbeng, rumah Tok Mek yang ini juga punyai liputan Selkom tau, tapi GPRS je. Kira-kira 5KBps sahaja lajunya. Laju lagi talian 'dail-up' kalau nak tahu. Tanpa belengah, terus aku carik MyEG. Jumpa, baca terus cemana nak buat permohonan cukai jalan secara atas talian. Memang boleh dibuat tanpa perlu geran asli tapi kena ada buat insurans dahulu.

Aku cek pula web Maybank, cari insurans Etiqa Takaful, juga boleh buat atas talian tanpa perlu surat atau salinan insurans sebelum ini. Semua dokumen penting ini mana la nak letak dalam kereta, melainkan kereta hangpa adalah sebuah perpustakaan bergerak. Boleh je nak sumbat segala macam kertas dan buku-buku. Aku isi-isi terus segala menda yang diperlukan untuk buat insurans. Aku tak tau NCB berapa, aku telefon bank yang pegang geran kereta aku, dia bagitau. Selesai. Aku agak-agak je nilai pasaran kereta aku, ingat-ingat lupa harga yang diinsuranskan terdahulu. Belasah je.

Masa orang takaful buat insurans kat aku, depa bagi lebih insurans untuk cermin depan je, tapi sebab ini buat sendiri, aku amik juga insurans untuk banjir serta kelalaian pemandu, penting woo. Untuk rusuhan atau kerosakan awam aku tak amik, sebab aku tak teringin nak join mana-mana rusuhan buat masa terdekat ini. Buat perabih kederat je.

Tapi memang ingin dijadikan cerita berdugaan, dah sampai langkah terakhir, langkah untuk pembayaran guna Meybank2u, tetingkap yang patut muncul tidak tiba. Sebab aku tak 'disable pop-up blocker'. Jadi aku tak tau selesai ke tidak urusan aku itu. Aku telepon khidmat pelanggan, dia kata tunggu esok, dia periksa dan telepon balik. Jam dah pukul 5 petang. Memang tak sempat pon kalau nak buat cukai jalan guna MyEG pulak sebab urusan JPJ secara atas talian pon sampai jam 4.30 petang je. Aku redha. Takpa, banyak masa lagi. Tapi tetap gundah gulana sebab tak boleh nak bejalan mana. Harapan nak cari selipar kat Pengkalan Kubur sudah berkubur.

~Rabu

Esok pagi-pagi jam 9, saudari dari Takaful dah telepon sama aku, cakap urusan tidak selesai. Kena buat balik dari mula. Aku sambung tido sampai kol 10. Itu pon sebab Aqil ajak pegi tandas. Dia suruh temankan dia kencing. Dengan hanya mandi P.Ramlee, aku terus bukak laptop sambil cucuk berukbeng. Aku buat sampai habis segala urusan Takaful. Mujur dah tahu segala menda yang nak kena isi. Rabak jugak dalam ~RM 700. Selesai. Dapat segala covernote, aku print ke pdf. Dia hantar jugak ke emel satu salinan.

Mula-mula aku nak terus buat cukai jalan dengan MyEG, tapi bila tengok option untuk mendapatkan cukai jalan tersebut, ada 2 je. Kutip sendiri di HQ MyEG kat KL atau suruh Scha Al-Yahya hantar ke rumah. Untuk memastikan Scha boleh hantar ke idak dalam tempoh 2 minit macam iklan, aku telepon khidmat pelanggan. Dia kata Scha Al-Yahya tak dapat nak hantar kat aku, sebab sibuk Sehati Berdansa sekarang, jadi depa guna Poslaju je, itu pon takde yang makwe, semua pakcik-pakcik je. Makan 3 hari baru sampai. Dah aku sekarang hari Rabu, esok je tinggal hari berkerja kat Kelantan ni, ada ka sempat Pos Laju nak hantar esok? Depa kata tak boleh konfem. Kalau Ahad, konfem potong jari. Aku kensel harapan dapat jumpa Scha mahupon berurusan dengan MyEG.

Aku telepon balik Takaful, tanya dengan covernote yang aku ada, boleh ka aku buat cukai jalan kat Pejabat Pos? Dia kata boleh. Dengan senang hati aku katup laptop, aku pi mandi siap-siap wangi-wangi nak pi Pos Tumpat. Sekali masa nak gosok gigi, aku baru teringat. Kena ada geran asli baru boleh buat cukai jalan di Pejabat Pos, maka harapan aku akan tinggal harapan.

Aku siap jugak pakai wangi-wangi. Tapi kali ini aku telepon Maybenk yang pengang geran asli kereta aku, tanya cemana nak buat cukai jalan. Fatima kata depa boleh buat. Bayar je kat depa, depa setelkan. Itu sudah memberi harapan kat aku. Tapi cemana kutip pulak? Fatima kata boleh courier guna Nationwide. Sehari sampai. Tapi cukai jalan tu akan siap petang ni, esok pagi baru hantar, lusa baru sampai Kelantan. Mesalahnya lusa ialah Jumaat, dan Nationwide tidak bekerja di Kelantan hari Jumaat. Aku gundah gulana.

Aku Maybenk2u jugak duit cukai jalan kat depa, aku mintak Fatima email transkrip asal cukai jalan ja bila dah siap nanti, itu jela bukti yang aku boleh bagi untuk pak polisi atau tuan jpj kalau depa tahan. Cukai jalan ada, tapi tak kutip dan tampai ja lagi. Fatima kata ok. Lewat petang nanti atau esok pagi semuanya akan selesai. Aku pegang kata-kata Fatima.

Lewat petang tu, aku tertunggu-tunggu jugak emel dari Maybenk. Tak kunjung tiba. Aku tulis blog bagi mengisi kekosongan.

~Jumaat

Sebelum masuk waktu bekerja lagi aku dah bukak laptop. Tunggu emel macam tunggu surat chenta. Dah Fatima janji, aku tunggu la. Lepas 5 minit dari waktu rasmi Maybenk bukak, aku telepon. Aku nak cakap dengan Fatima, tapi mamat tu tak mo kasik, dia tanya aku nak apa, aku kata aku nak cukai jalan aku la. Dia kata, semalam dan hari ini JPJ offline server depa. Jadi semua cukai jalan tidak dapat dikeluarkan.

Maka dipanah halilintarlah hati aku. Remuk redam tidak tenteram memikirkan perjalanan yang akan ditempuh tanpa sokongan dan kabel yang lebih kuat. Dengan memegang kepada pepatah tiada rotan, akar pon berguna juga, aku hanya memastikan covernote insurans aku cetak 1 salinan. Dan membawa kereta dengan diiringi doa-doa serta harapan-harapan yang baik-baik sahaja. Serban atau kopiah putih aku tak ada.

Sebelum kena apa-apa dari pak polisi atau jpj, aku tahan dulu telinga untuk bebelan Ezi. Aku terima sahaja. Tapi untung juga bertelinga satu, dengar-tak-dengar je la bebelan itu. Tapi dah memang salah aku. Tidak guna cuba melawan. Cuma, aku dah berusaha sehingga terdaya. Yang lain kira ketentuan sudahnya.

Hasil akhir, ketentuan-Nya kami menempuh perjalanan kurang lebih 800km dari Tumpat-Subang pada hari Jumaat, Sabtu pi Mydin Subang, Ahad ke Selayang-Sg Besi-Skudai. Tanpa cukai jalan yang sah.

Tapi langsung tak terjumpa ada apa-apa tanda "BERHENTI-PEMERIKSAAN-POLIS". Alhamdulillah. Benarlah kata pepatah, berani kerana benar.

Ini adalah latihan buat muka cute Aqil dan Ammar untuk menggantikan cukai jalan yang aku tak ada.


Notakaki amANI: Hari Isnin baru aku pegi Maybenk untuk kutip cukai jalan yang dah siap. Tahun depan aku akan cuba pastikan Scha pakai baju kulit kaler merah ketat dan sendat hantar sendiri kat aku. Aku dah buat reminder dalam henpon cikai aku supaya tidak lagi terlupa dan leka. Aku tulis panjang lebar berjela ini adalah untuk rujukan dan panduan sapa-sapa yang mungkin berhadapan dengan situasi yang sama. Semoga ianya ada yang boleh dijadikan iktibar. Sekian.


Khamis, Disember 03, 2009

Dugaan

Seminggu lepas, dugaan datang dalam bentuk kesibukan. Sibuk walaupon berstatus cuti.

Minggu ini, dugaan datang dalam bentuk tidak sibuk langsung. Sebab daerah Tumpat ini hujan dikala pagi, petang dan malam serta bila-bila masa.

Disebabkan tidak sibuk langsung, semalam aku perati segala aspek penjuru serta ruang dan sudut pada kereta kelas pertengahan aku. Dan disebabkan terlalu banyak memerhati, banyak pula defect yang entah bila akan diperbaiki.

Aqil panjat bonet depan kereta, habis bercalar bonet depan, mujur masih boleh dihilangkan dengan wax.

Lantai belakang secara misteri lembab berair dibawah karpet. Tak tau apa punca.

Minyak enjin setitik dua menitik di lantai garaj. Juga tak tahu apa punca.

2 kali aku dah jek kereta guna jek tayar. Suluh sana sini, tak dapat kesan apa punca. Amaran pada jek kereta mengatakan jangan sesekali berada di bawah kereta dengan hanya menyokong kereta dengan jek tayar. Jadi aku gerun nak baring lama-lama bawah kereta.

Setelah gagal mengenalpasti kecederaan kereta, aku belek pula luarannya. Hasilnya, aku terjumpa masalah yang lagi genting dan mencabar. Aku terlupa dan terlalai bahawa cukai jalan kereta kelas pertengahan aku dah tamat tempoh sejak 27 November 09. Aku masih perlu mengharungi perjalanan ~800km ke selatan bermula esok.

Dugaan buat Aqil adalah untuk bertarung dengan air hujan dan air larian permukaan yang tak lari pi mana pon.

Sabtu, Mac 07, 2009

Ada mesalah dengan kereta anda? Siri 2 dari 2

(bersambung dari kisah sebelum ini)

~Isnin~

Simptom:
Bateri hilang tenaga. Tak bleh start.
Punca:
Bateri yang telah dicas tetapi mungkin pendek hayatnya.
Langkah Penyelesaian:
1. Telefon rakan sekerja. Dibatalkan sebab dah 10 minit lepas waktu wajib masuk pejabat.
2. Telefon teksi. 2 syarikat teksi bertelefon menolak permintaan, tiada teksi di kawasan sekitar.
3. Naik moto ke pejabat. Minyak moto telah kering akibat pemeluwapan.
4. Telefon Proton-I-Care. Segan. Dah 2 kali mintak jump-start dalam tempoh terdekat.
5. Telefon superior mintak cuti dan menyelesaikan masalah selepas itu. Tak jadi, rugi cuti nanti.
6. Termenung, masuk balik rumah, melunaskan hajat besar dan makan biskut. Sementelahan isteri mendapatkan nombor telefon teksi kawasan sekitar. Dapat teksi. Ke pejabat seperti biasa.
7. Balik tengahari dengan bantuan rakan sekerja. Beli minyak petrol buat isi moto.
8. Makan tengahari, semayang, bukak bateri kereta, ikat belakang moto. Hujan turun dengan tiba-tiba. Bukak balik ikatan bateri kat moto, cari baju hujan bawah tempat duduk. Tengok isteri. Dah buang. Sebab tercarik sana-sini dah masa nak lipat. Haih. Cari jaket lain buat kegunaan sementara.
9. Start moto macam nak patah kaki, lama sangat tak start. Mujur hidup.
10. Redah hujan dengan moto ke kedai mengecas bateri. Bawak turun bateri dari moto. Maaf, pengecas kami rosak.
11. Takpela, bateri baru berapa ringgit? Bateri basah RM2++. Bateri kering RM2++. Murah 6 ringgit. Tengok dalam poket, ada RM1++. Tak cukup. Takpela. Nanti saya datang kejap lagi.
12. Telefon PROTON. Tanya harga bateri baru berapa. RM3++. Ok. Terima kasih.
13. Pegi kedai 2 ringgit. Beli baju hujan. 8 ringgit.
14. Pegi kembali kedai mengecas bateri. Beli bateri sel kering. Bayar pakai kad plastik. Dapat kurang RM6. Tapi kemudian kene servis cas untuk guna kad plastik. RM 5.
15. Bawak balik 2 bateri atas moto. Mujur pengikat getah ada 2. Helmet tanpa visor memang pedih mata kalau kene hujan. Mujur baju tak basah sangat. Seluar je.
16. Bukak kotak bateri baru. Pasang terus kat kereta. Amik wayar positif, letak kat tanda (+), ada bunyi Dupp!! Amik wayar negatif, letak kat tanda (-).
17. Isteri tegur. Ehh, kan dah terkunci kereta. Teringat, bunyi Dupp!! itu kembali. Masalah baru telah timbul. Pengunci Utama memang akan berbuat demikian ketika menggantikan bateri atau membuka bateri. Cilakak.
18. Wayar diikat kemas. Kunci dicuba pada pintu. Tidak berhasil. Tersangkut pula. Biar.
19. Naik moto pegi keje. Lambat 30 minit dari waktu wajib pulang dari lunch. Nasib beli baju hujan.
20. Sampai opis, muka serabai, sekreteri senyum menyeringai.
21. Dekat nak balik, mintak tolong rakan sekerja sekali lagi. Kali ini untuk membuka pintu kereta. Pembaris besi dibawa bersama.
22. Jolok dari pintu depan tidak berhasil.
23. Cabut fius memory pun tak jadi.
24. Bukak bateri baru, pasang bateri lama pun tak jadi.
25. Cuba dari pintu depan kiri, juga tidak berhasil.
26. Kopak tingkap segitiga penumpang belakang kiri, berhasil. Tapi tak boleh buka semua.
27. Mujur dah tengok Youtube masa kerja. Ada orang buka pintu guna tali kasut. Cuba, ada tanda nak berjaya untuk kali pertama. Kali kedua, rakan sekerja yang buat. Berjaya.
28. Pintu dah boleh buka. Bateri dipasang. Kereta dihidupkan.
29. Rakan sekerja memang banyak membantu.
30. Bawak anak-anak pusing deret rumah dengan moto. Mereka teruja nak naik moto.

~Rabu~
Simptom:
Slot kunci yang lolos memang menyusahkan untuk meninggalkan kereta dimana-mana.
Penyelesaian:
1. Lepas balik kerja, tanya 1 kedai aksesori. Dia kata boleh buat, tapi kene order. Esok baru barang ada. Takpe, bagi nombor henpon. Tunggu dia telepon.
2. Tak puas hati, tanya pula kedai yang banyak jual skirting kit. Tak boleh buat. Cuba tanya kedai 122 dekat belakang Taman U. Dekat kilang-kilang.
3. Pegi area kilang, cari 122. Memang ada 122 lepas 2 deret aku cari. Mekanik kata, pegi kedai kunci. Ye, kedai jual kunci rumah tu, dekat Caltex. Dia boleh tolong repair kunci. Apa jenis pon boleh. Dia pon buat kat situ.
4. Pegi pula kedai Kunci. Memang dia boleh buat. RM30 je. Tapi kene bukak slot kunci. Bagi dia.
5. Pegi kedai repair yang pernah buka kunci ni hari Ahad tu, mintak dia tolong buka. Dia kata ok. Sekarang ke? Jam dah 7.30 malam. Lupa nak tanya, kedai Kunci amik masa berapa minit nak repair kunci.
6. Pegi balik kedai Kunci. Dia kata 30 minit. Sekarang boleh siap.
7. Pegi semula kedai repair. Diorang bukak 40 minit. Berlari-lari ke kedai Kunci.
8. Ada sorang gadis terkejut sebab ada sorang mamat gila pakai baju hitam, seluar hitam berlari belakang dia. Ingat peragut ke?
9. Sampai kedai Kunci. Serah slot kunci.
10. Jalan pegi Petronas. Semayang.
11. Beli air kat Petronas. Jalan pegi kedai Kunci. Tunggu.
12. 35 minit siap kunci ditebuk. Ada serpihan yang dia tak boleh pasang semula.
13. Berlari pula pegi kedai repair.
14. Ada mamat cina pula perasan aku amik gambar dia, padahal tengah amik gambar slot kunci belakang keta dia. Nak bubuh dalam blog ini.
15. Kedai repair cuba pasang. Rupanya slot kunci tak betul-betul direpair. Juga pencangkuk di pintu juga rosak. Bukan slot kunci sahaja.
16. Kereta ditinggalkan, balik mekanik yang hantar ke rumah. Dia janji untuk cari pencangkuk dan slot kunci untuk ganti.
17. Esok. Dapat panggilan, slot kunci pintu dan dalam boleh diganti tapi kene pakai anak kunci baru satu set, pencangkuk pun boleh diganti. Pengunci Utama juga perlu diganti, semua sekali RM3++.
18. Setuju. Janji selesai semua masalah.
19. Minta tolong rakan sekerja ikut balik dengan moto ke rumah. Tumpang kereta dia ke kedai repair.
20. Bayar. Test. Memang dah elok. Tapi tingkap pula agak keras untuk diturunkan. Anggap sebagai collateral damage ajelah.

Cukup panjang tak penyelesaian masalah ini? Lepas selesai semua. Yang agak bertahun-tahun menurunkan nilai percaya pada diri sendiri aku terhadap masalah kecil kereta ini, aku punyai rasa yang lain ketika membawa kereta.


Aku rasa macam bawak BMW. Sungguh.



Jumaat, Mac 06, 2009

Ada mesalah dengan kereta anda? siri 1 dari 2

~kira-kira 2-3 tahun sebelum ini~

Simptom:
Sistem penggera keselamatan gagal berfungsi.
Punca:
PROTON kata puncanya bateri kedua atau bateri pembuka di kunci.
Penyelesaian:
Setelah bateri kedua ditukar, penggera tidak juga berfungsi. Bateri pembuka di kunci juga dicuba yang baru. Tetap tidak berfungsi.
Cadangan:
Tukar sistem penggera keselamatan.
Langkah seterusnya:
Biarkan sahaja, kos sistem penggera ditimbang sebagai mahal dan kunci masih boleh digunakan.

~2-3 minggu selepas 2 tahun yang lalu~

Simptom:
Pengunci Utama juga gagal berfungsi.
Punca:
Tidak diketahui.
Penyelesaian:
Hanya kunci pintu pemandu yang akan terbuka apabila menggunakan kunci. 3 pintu lain perlu dibuka secara manual dari dalam. Menurunkan tingkap dan penumpang membuka sendiri adalah cara terbaik. Tetapi agak memalukan pemandu jika penumpang adalah rakan sekerja atau tetamu baru jumpa. Tebalkan muka sahaja.
Langkah seterusnya:
Masalah mungkin berkait dengan sistem penggera, jadi masih dianggap mahal dan dibiarkan sahaja. Berpada dengan kunci sahaja untuk menggunakannya.

~setahun dua yang lalu~

Simptom:
Bateri cepat kehilangan tenaga (3 kali). Tak boleh start.
Punca:
Tidak diketahui, mungkin tempoh idle terlalu lama ketika menunggu atau jarang menghidupkan kereta atau terlalu kerap berjalan jauh.
Penyelesaian:
1. Menukar bateri sel kering. Tahan setahun. Jadi semula.
2. Memanggil bantuan Proton-I-Care. Percuma servis jump-start untuk pemegang kad PROTON Daring. (2 kali). Jadi kali ketiga, dah naik segan nak panggil PROTON sebab juruteknik yang sama. Bateri masih tidak diganti.
3. Memanggil bantuan rakan sekerja untuk jump-start.
4. Mengecas semula bateri sel kering dengan harapan tempoh hayat masih boleh dipanjangkan.

~2 minggu yang lalu, Ahad~

Simptom:
Lubang pembuka kunci telah gagal berfungsi. Lolos. Pintu tidak dapat dikunci. Mujur ketika ingin mengunci kereta dan pintu penumpang masih belum ditutup.
Keterangan Simptom:
1. Ketika ingin keluar untuk makan tengahari bersama keluarga. Yang kemudiannya ingin ke JUSCO membeli barang-barang dan kedai untuk beli barang basah.
Penyelesaian 1:
Ke kedai kereta berhampiran. Slot kunci ditanggalkan, tidak juga ketemu punca penyelesaian, masalah baru timbul, kunci tersekat di dalam slot kunci. Setelah mencuba berkali-kali, baru kunci berjaya dikeluarkan. Cadangan mekanik, hantar ke PROTON untuk diganti keseluruhan sistem kunci.
Langkah seterusnya:
Kira-kira untuk keseluruhan sistem kunci, kunci utama dan sistem penggera asli dari PROTON mungkin menjangkau RM1000. Masalah tidak dirujuk kepada PROTON. Penyelesaian sendiri dicari. Tangguh esok. Selesaikan segala urusan membeli hari ini dengan meninggalkan kereta tidak dikunci dibahagian bonet dan pintu penumpang bahagian kanan ketika ditinggalkan di JUSCO. Kemudian menunggu dengan enjin dihidupkan semasa menunggu urusan membeli barang basah. Malamnya, bonet dibiarkan tidak berkunci.

~Isnin~

Simptom:
Bateri hilang tenaga. Tak bleh start.
Punca:
Bateri yang telah dicas tetapi mungkin pendek hayatnya. Serta semalam idle terlalu lama ketika menunggu urusan di kedai barang basah.

2 mesalah pada masa yang sama. Buntu.

Kisah ini tidak berakhir disini. Masih panjang. Orang marah aku tulis panjang-panjang, nanti tak sempat nak alih bahasa untuk berita. Tunggu esok ye.
Nantikan langkah-langkah penyelesaian yang telah diambil. Bersambung.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...