Advertlets

Memaparkan catatan dengan label Geografi Kebangsaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Geografi Kebangsaan. Papar semua catatan

Rabu, Disember 07, 2011

Legoland Malaysia



Dijangka dibuka nanti September 2012. 40 rides dalam satu taman tema. Dibuat untuk keluarga dan kanak-kanak dari umur 2-12 tahun. Yang mana elok sangat la untuk Amani 3 serangkai tahun depan. Ada Roller Coaster 'LEGO Technic' setinggi 20 meter, 'LEGO Kingdom', 'LEGO City' dan sudah tentu Miniland ditengah-tengah taman dengan semua miniatur bangunan ternama seluruh dunia dan esklusifnya, bangunan femes di Malaysia termasuk KLCC, Putrajaya, Bangunan Sultan Ibrahim dan banyak lagi.


Harga tiket masuk:

Biasa : RM 140 dewasa, RM 110 kanak-kanak
*Diskaun R30 untuk pemegang Mykad
Pas Tahunan : RM 275 dewasa, RM 210 kanak-kanak
Promosi Pas Tahunan (jangkamasa terhad) : RM 195 dewasa, RM 150 kanak-kanak.
*Pas Tahunan promosi ini membolehkan kemasukan tidak terhad sehingga hujung 2013. 

Tiket ni mahal? Emm, tiket sekali masuk biasa tu memang nampak mahal. Tapi pas tahunan tu rasanya sangat berbaloi untuk dibeli. Tambah lagi, ini adalah taman tema standard antarabangsa di lokasi tempatan, yang kalau dulu, berangan jela nak pergi dan ini bukan taraf Mimaland atau Bukit Belacan ok. Air terjun Kota Tinggi pon sekarang orang cas tiket masuk. 

Cuba bayangkan dengan pas tahunan, nak jenjalan petang-petang hujung minggu boleh bawak anak pergi masuk Legoland? Peh!

Bayangkan lagi, Aqil pulak kata. "Ala, asyik-asyik Legoland, boring la!". Pehh!

Bayangkan pula Ammar yang memang minat susun-susun blok Lego ni. "Hari tu Ammar buat Ultraman besar kat Legoland, siap lawan dengan raksasa lagi". Perghh!

Ok, cukup dengan berangan. Jumlah kegembiraan adalah RM 710 untuk kami 5 sekeluarga. Belum tentu lagi kami mampu beli tiket tahunan promosi itu. Huhu.

Walau bagaimanapon, Ini betul-betul promosi percuma untuk Legoland Malaysia, tapi disebabkan ia berada dalam kawasan mudah sangat nak sampai dari rumah aku, aku rasa ia wajar digembar-gemburkan. Entrance Universal Studios Singapore pon sebenarnya lebih mahal kalau nak dibandingkan dengan Legoland, juga ia berbeza dari segi target umur pengunjung. Ini betul-betul taman tema untuk kanak-kanak. 

Website Legoland belum bagitau cemana nak beli pas tahunan, harapnya berkesempatan la. 

*semua gambar adalah dari Legoland Malaysia.

**kalau-kalau la staf Legoland Malaysia terbaca post ini, Jangan la malu-malu nak hulur lima nam keping tiket Pre-Opening. Huhu.

Jumaat, April 22, 2011

Geografi Kebangsaan - Bukit Belacan

Hidup sebagai kanak-kanak berdarjah dua hingga enam di Taman Cempaka adalah satu kenangan yang susah nak dilupakan. Mari membuat siri Geografi Kebangsaan.


Semangat mengembara dan berjalan mencari jalan adalah sesuatu yang susah kanak-kanak macam aku, abang dan Patah nak menolak. Menurut rekod, jalan-jalan mencari jalan yang paling jauh pernah kami lakukan secara beramai-ramai, bersendirian dengan geng-geng lain atau suka-suka ajak kawan lain buat adalah begitu banyak sekali. Bukit Belacan merupakan destinasi mengembara yang paling menarik.


Ia diperkenalkan oleh kawan abang, Isa namanya. Bukit Belacan masa itu dikatakan ada sungai mengalir jernih. Air sejuk dari bukit dan ada ketam bersepit besar. Peh, sapa tak terliur nak pegi kan?


Agenda ke Bukit Belacan agak banyak kali dibuat. Tujuan utama adalah mandi. Tujuan lain adalah tiada tujuan khusus, bergantung kepada cabaran dan halangan yang mendatang. Mari kita pendekkan sahaja Bukit Belacan sebagai BB.


Kaedah pengangkutan ke BB dari rumah Taman Cempaka tidak terbatas banyaknya. Pernah kami berjalan kaki sahaja dari rumah sampai sana. Ada juga jalan kaki sampai Pekan Ampang dan tahan bas mini 50sen sampai dalam kampung paling dekat dengan BB. Ada juga dengan berbasikal tumpang menumpang. Yela basikal besar ada satu je. Basikal biru kanak-kanak tu pon aku pernah bawak ke BB, jenuh mengayuh! Norsham sahaja waktu itu yang ada basikal BMX prewel (flywheel) mati. Budak sekarang kata basikal Fixi.


Jalan biasa adalah dari Taman Chempaka ke Taman Cahaya, potong ke Ampang Mewah, rentas jalan keretapi ke Pekan Ampang lama, susur jalan Ampang, lalu Taman Kosas sampai ke penghujung jalan Ampang. Masuk BB. Mudah bukan?


Untuk pengetahuan, masih ada orang kampung yang amik air dari bukit ini buat bekalan air di rumah depa. Ada sekali masa ralit tangkap ketam sepit besar, aku terpunggah paip depa. Terus tuan rumah di bawah bukit naik datang tengok kami buat apa sebab elok-elok dia tengah basuh pinggan, air kering. 


Apalah sangat 5.5km untuk berjalan kaki kalau destinasinya mandi air bukit?


Bila dah biasa sangat lalu jalan ini, kami ikut pula jalan lain, ada sekali masuk kampung cina, lalu lombong tinggal, naik bukit, terserempak anjing bulldog dan lari lintang pukang tinggal basikal. Lepas agak selamat baru datang menyelamatkan basikal balik.


Untuk bekalan tenaga, selalunya sebat sahaja air paip kat luar rumah orang mana-mana yang terjumpa. Buah kaler oren saiz duit 50 sen dari tumbuhan merayap tepi longkang juga sedap lagi manis. Kalau terjumpa memang berebut. Kadang-kadang kerat dua kongsi. Sapa yang beli nasi lemak beli kat BB memang kira berada orangnya. Kami selalunya beli aiskrim 10 je buat tahan haus. 


Siri-siri mengembara lain adalah dikatakan orang, Klang Gate lagi hebat dan maha besar dan best dari BB. Last-last, pemandu yang membawa tak sampai pon Klang Gate. Entah lombong apa entah namanya, lombong itu kini menjadi pusat rekreasi air di tepi MRR2 berdekatan Taman Putra Sulaiman. 




 Klang Gate konon, jalan dulu rasa jauh dah. Baru 2.9 km.

Kalau berjalan arah ke Maluri, tak de keje lain, mesti nak tengok loji kumbahan baru buat kat sana. Ikan tilapia merah bersepah dekat punca air keluar ke longkang. Geram je tengok. Jalan punya jalan, sampai juga ke Jusco Taman Maluri, kemudian balik lalu flat Taman Bakti. 




Kalau pergi 3.9km, tak ke masa balik dah jadi 8km?

Pengisian aktiviti berjalan ini jugalah yang mengajar aku mencuba kaedah berenang gaya bebas. Asal ada kolam atau takungan air cukup dalam, sure kami menumpang mandi. Mula-mula berendam, pandai sikit menyelam, lama-lama terboleh pulak berenang. 

Agaknya itulah sebabnya aku tak kesah untuk berjalan-jalan mencari jalan dengan kereta dengan anak-anak sekarang. Juga punca stamina lari jarak jauh yang tidak tertanding masa kat sekolah menengah. Sebab tu la tak obesiti masa kat sekolah dulu walau hari-hari bekal nasi lemak santan kaw-kaw. Underweight adala. Hahah.

Kanak-kanak zaman sekarang? Nasi lemak kat kantin sekolah pon kerajaan dah tak kasi makan. Apatah lagi mak bapak nak suruh anak berkeliaran berjalan tak tentu hala. Kena culik, potong tangan dengan kaki seludup pi Siam suruh mengemis satgi. Takpon penculik mintak tebusan je. Kasihankan depa?

Ahad, Julai 26, 2009

Geografi Kebangsaan Edisi 3 Ampang

Pagar sekolah pon dah kemain besar lagi.

Lama sangat-sangat tiada cerita Geografi Kebangsaan. Tapi aku rasa, memori kehidupan tidak lengkap jika tiada balikan memori. Merenung kembali memori lama. Haha. Sentimental.

Baiklah, Geografi Kebangsaan ini ingin mengupas latar belakang persekolahan peringkat rendah seorang kanak-kanak kecil yang bergigi tidak lurus, hitam, kurus, rambut asyik-asyik potong stail GI, muka tak hensem langsung. Badan tak sasa, selipar 'Tat Seng' selalu putus kene kejar anjing.

Ini adalah sekolah rendah paling lama aku masuk. Dari darjah 2 sampai separuh darjah 6. Seluruh darjah 1 aku di Sekolah Kebangsaan Kulim. Belakang Pejabat Pos. Tutur kata loghat aku penuh dengan perisa Kedah sebab pengaruh persekitaran. Duit sekolah pon mak bagi 3 kupang je masa ini. Cukup untuk beli air dan nasi. Selalu-selalu aku tak beli apa-apa sebab dah ada bekal nasi lemak bungkus kulit pisang dari Mak Ngah dan air teh botol boleh sisip di pinggang.

Dulu awal pagi, guru besar selalu mengerah pelajar untuk mengutip sampah sekitar pagar ini, yang dulu pagar dawai je.

Jadi, setelah perpindahan bernilai 1.2 juta dimeterai pada tahun 1987 untuk aku dan abang ke sekolah SRK Taman Nirwana, Ampang dari SK Kulim, aku bersetuju je dengan harapan angin perubahan di bandar Kolumpoq akan membolehkan kami terus menjalani pembelajaran sebagai kanak-kanak sekolah dengan lebih berjaya. Pemergian aku dari SK Kulim hanya disusuli dengan satu trofi, Piala Saguhati sebagai Penolong Ketua Darjah 1 Raya. Jadi aku bertekad untuk meneruskan karier dengan lebih berjaya di SRK Taman Nirwana. Aku sendiri tak tahu nak menjangka apa yang akan terjadi.

Di sini, aku adalah side-kick kepada abang dan Patah (2 pupu kami). Kumpulan ini mula membesar sehingga tercetusnya pasukan bolasepak paling digeruni bernama 'Hentam Kromo'. Untuk merekrut ahli, selalu-selalu abang akan bertumbuk bergaduh sekali dua dahulu dengan bakal ahli. Kemudian menjadi kamceng dan boleh main game komputer berskrin hijau hitam mak kat rumah sama-sama. Pasukan 'Hentam Kromo' pada mula-mula ditubuhkan telah membelasah geng flat Taman Bakti 12-0 tanpa belas ihsan. Itu legasinya.

Selain bolasepak, karier aku sebagai kanak-kanak sekolah turut diserikan dengan aktiviti menjejak saluran longkang dan parit. Hari pertama berpindah aku dah jenguk 2-3 kali saluran longkang depan rumah yang masih jernih airnya dan bertempiaran anak-anak ikan gapi di dalamnya. Longkang paling kerap dilawati adalah di Jalan Cempaka 3. Di sini ada ikan haruan/kedak yang lincah. Juga sepat. Cuma jarang-jarang nak dapat tangkap kalau hanya menggunakan tangan 2 kerat. Tangkapan terbesar kami adalah seekor ikan haruan. Tangkap guna guni yang disauk oleh dua penjejak.

Untuk menambahkan stamina dan ketahanan diri sepanjang karier, kami selalu-selalu melatih jalan kaki. Paling jauh, tasik di sebelah Flamingo sekarang. Yang pada mulanya ada rakan sekumpulan kata inilah Klang Gate. Aku percaya sikit-sikit jelah, nampak macam tasik, tapi mana empangannya? Ah, empangan pon tak pernah tengok cemana nak beza kan?. Untuk ke Bukit Belacan pula, kami telah gunakan segala jenis pengangkutan sedia ada, jalan kaki, kayuh basikal, naik bas mini, tumpang kereta orang, tumpang moto orang dan sebagainya. Pegi balik hari je. Mujur tak pernah kena culik, potong tangan dan hantar gi mengemis kat Siam. Ada sekali, kami cuba-cuba mencuba jalan baru. Short-cut adalah menda paling ingin dicuba. Sangat curios. Hasilnya, kami bertempiaran lari bila bertembung dengan seekor anjing bulldog yang sedang menguis-guis kakinya di satu perkampungan cina. Dan jalan tersebut tidak short-cut langsung.

Bercerita tentang sekolah ini, SRK Taman Nirwana adalah titik pertembungan budaya bagi aku. Di sini ada anak-anak dari Kampung Dato' Harun dan Kg Pandan, anak-anak pemegang kad pengenalan merah kaum Boyan, juga anak-anak perumahan Taman Nirwana, Cempaka, Cahaya dan Taman Bakti. Aku pulak dari Kulim. Jadi di sini aku juga dapat banyak pembendaharaan kata yang baru. Seperti 'haus'. Aku ingat itu adalah kata kunci sulit pihak lawan. Rupanya je sama makna dengan 'dahaga'. Ceh.

Struktur dari luar nampak macam tak banyak beza. Tapi kolam ikan sebelah kantin itu telah tiada. Itu kolam ikan paling 'extensive' pernah aku tengok dalam banyak-banyak kolam ikan di seluruh karier persekolahan aku. Kalau dapat masa cikgu tengah buat amal mencuci kolam, peluang itu tidak akan dilepaskan.

Sebelum sempat seorang makwe nak betul-betul berkenalan dengan aku masa aku darjah 6, aku dah dipaksa pindah sekali lagi. Pada cuti pertengahan tahun persekolahan tahun 1992, aku dipindahkan pula ke Subang Jaya dengan bayaran 2.3 juta pula. Cuma, aku tak berapa seronok sebab kebanyakan sukan utama semua dah tamat masa awal sesi persekolahan. Baru ingat nak masuk pasukan bola tampar pulak lepas berjaya membawa pulang pingat perak bolasepak bawah 12 tahun zon Ampang.

Jadi, perpindahan kali ini disusuli dengan beberapa trofi kejuaraan yang agak memberangsangkan, antaranya adalah ketika kejohanan rumah sukan yang mana aku merangkul emas 800m. Ini aku tak boleh lupa sebab tiada siapa dalam rumah Merah yang mencalonkan diri untuk acara ini, aku sukarela je bersama seorang lagi kawan sama rumah Merah. Kemudian, trek yang disediakan adalah berbentuk bujur macam trek biasa di atas padang sekolah, cuma jarak 800m itu adalah bersamaan dengan 8 kali berlari pusing trek tersebut. Mujur aku telah berlatih stamina secara tidak langsung tiap-tiap hari. Aku baru tahu tentang bilangan pusingan itu sebelum cikgu tiup wisel pemula. Aku lari je dan tiba-tiba dah mendahului dan menang.

Dari segi pembelajaran pula, yang betul-betul sepatutnya tunjang utama karier aku sebagai kanak-kanak bersekolah rendah, di sekolah ini, aku tidak pernah tidak mencecah kedudukan 5 dan ke atas. Mesti berkedudukan 5 dan seterusnya. Berjaya kan? Hahah. Tiap-tiap tahun, majlis penyampaian hadiah dan sijil hujung tahun sekolah, pak dan mak hanya akan datang utuk tengok abang amik hadiah atas pentas. Bukan aku.

Rumah ini dulu yang disewa kami. Dulu pagar biasa je. Sekarang dah bertembok batu.

27, Jalan Cempaka 6 adalah tempat aku mengenal dunia. Terlalu banyak menda yang dilalui dan sangat indah.


Jumaat, Februari 13, 2009

Geografi Kebangsaan: Taman Universiti edisi Dua

Bertemu dalam Geografi Kebangsaan edisi kedua kali ini. Masjid Jamek Tan Sri Ainuddin Wahid. Taman Universiti.

Aku memang agak kagum dengan semangat yang ada bagi orang-orang yang berusaha menggiatkan aktiviti yang tidak sahaja merangkumi aktiviti ibadah, tapi juga mengutamakan pembangunan masyarakat setempat di Masjid berdekatan dengan rumah aku ini.

Pernah tengok budak-budak main bola (futsal) dalam perkarangan masjid? Bukan dekat atas jalan atau tempat parking, tapi bahagian dalam. Selepas pintu utama, ada satu kawasan tengah yang terbuka tidak berbumbung tapi berlantaikan seramik. Ini dijadikan padang buat remaja main futsal bila ada majlis sambutan khas seperti Maulidur Rasul contohnya. Kalau zaman aku dulu, memang sah kene penampar sorang-sorang kalau main bola dalam masjid.


Bagi yang beranggapan cyber cafe itu gelap, untuk aktiviti yang tidak mendatangkan faedah dan hanya untuk remaja membuang masa. Masjid ini menyediakan cyber cafenya sendiri. Kemudahan internet dari pagi sampai malam dengan kadar bayaran yang setimpal. RM 1.50 sejam. Ni gambar semasa kursus komputer yang di adakan di bilik komputer.


Masjid ini juga ada kelab renang buat remaja. Aku baru tahu hal ini bila melayari blog masjid ini. Rasanya kolam renang di kelab rekreasi Taman Universiti digunakan untuk aktiviti ini.


Ini contoh-contoh aktiviti yang bagi aku, unik buat sebuah organisasi masjid. Bukan tertumpu hanya pada soal ibadah, tetapi juga menumpukan kepada pembangunan remaja dan kanak-kanak masyarakat setempat dengan aktiviti yang santai tapi menyeronokkan. Nak tahu lebih lanjut. Dibawah adalah blog masjid yang disebutkan ini. Ye, masjid ini juga punya blog.

mjtsawtu.wordpress.com

mjtsaw.blogspot.com

Arus kemodenan dan teknologi diseimbangkan dengan kaedah yang sesuai dan kena pada tempatnya. Aku harap pendedahan dan pendekatan masjid ini kepada masyarakat setempat seperti ini terus dilaksanakan sampai bila-bila.

Notakaki amANI:
1. Gambar-gambar di dalam ini adalah sebahagian dari isi kandungan blog Masjid Jamek Tan Sri Ainuddin Wahid. Diambil tanpa kebenaran bertulis.

Jumaat, Januari 23, 2009

Geografi Kebangsaan: Taman Universiti edisi Satu

Dalam ruangan Geografi Kebangsaan (National Geographic kalau ikut bahasa kedua encik Thierry Henry), aku ingin berkongsi beberapa dokumentari yang aku rasa harus dikongsi dengan semua. Tak kira anda orang tempatan, luar taman, luar daerah, luar negeri mahupun luar negara. Kita harus menghargai keunikan dan kelainan yang ada. Tidak semuanya sama. Pergi mana-mana pun tak sama dengan tempat kita. Tapi tidaklah Taman Universiti ini terlalu unik sehingga Geografi Kebangsaan harus mengeluarkan edisi khas. Lebih kepada hal-hal yang aku rasa perlu aku hargai sebab aku berada di Taman Universiti.

Kenapa aku pilih Taman Universiti? Secara sejarahnya, kita dinilai sebagai orang tempatan dengan tempoh berapa lama kita menetap di sesuatu tempat. Di sini aku senaraikan tempat yang aku pernah menetap tinggal menghabiskan usia. Aku tak kira jumlah berapa kali pindah, sebab bila pindah pon, kebanyakan masa aku tinggal di asrama / kolej, maka aku kira lebih menghabiskan masa di waktu itu di sana berbanding di rumah.

Kuala Terengganu: 1980-1982 (2 tahun) = 2 tahun
Lahir dan duduk sekejap-sekejap dengan pak dan mak serta tok dan tok wan di Ipoh/Kulim.

Kulim: 1983-87 (5 tahun) + 1993-1997 (5 tahun) = 10 tahun
Membesar dan mula mengenali dunia dan bila sambung belajar peringkat menengah di asrama.

Ampang: 1988-1991 (4 tahun) = 4 tahun
Tempat menjadi budak-budak. Zaman paling indah.

Subang: 1992 (1 tahun) = 1 tahun
Tempat menjadi budak bandar. Kejap je.

Skudai: 1998-2002 (5 tahun) + 2003-sekarang (7 tahun) =11 tahun
Tempat mula-mula mencari ilmu untuk hidup. Kemudian menjadi tempat mula alam pekerjaan sebenar dan kemudian tempat memulakan keluarga sendiri.

Dapat disimpulkan dengan jelas, Skudai atau lebih dekat, Taman Universiti telah menjadi tempat yang lebih tempatan berbanding dengan tempat aku dibesarkan, Kulim. Juga ia merupakan tempat paling lama pernah aku duduki dalam satu-satu masa. Jadi bagi aku, tidak mustahil kalau dokumentari Taman Universiti ini boleh diwujudkan, kerana 11 tahun di satu tempat yang sama, tentu ada memori dan nostalgianya. Akan aku rungkaikan dan catatkan kisah-kisah ini untuk masa akan datang.

Dari sorotan masa ini juga, mesti orang tertanya-tanya. Aku orang mana? Bila orang tanya aku macamni, aku berbelah bahagi nak jawab apa, tak jawab dikata sombong, dijawab pendek macam tak sempurna, dijawab penuh pula nanti dikata terlebih mesra sebab jawapannya panjang berjela. Aku selalu simpulkan seperti ini.

"Saya lahir di Terengganu, tapi saya bukan orang Terengganu. Sebab saya besar kat Kedah. Mak saya orang Kedah, tapi pak saya orang Selangor, tapi sekarang pak mak saya duduk di (Ampang / Subang / Jelebu / Pengkalan Chepa / Taboh Naning / Terendak /Jasin / Seremban / Kulim)".

Akan ditanya balik, jadi orang mana?

Aku akan jawab. Kedah.

Jawapan itu mungkin tidak releven dari segi fakta, tapi aku tetap rasa aku orang Kedah. Hahah.

Sebagai penghargaan, aku akan membuat Geografi Kebangsaan untuk tempat-tempat yang aku fikir punya nostalgia, penuh kenangan dan harus dihargai. Bermula dengan Taman Universiti.

Nantikan edisi Dua.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...