Advertlets

Memaparkan catatan dengan label Diego. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Diego. Papar semua catatan

Khamis, Mei 26, 2016

Catatan Diego - Sikap@Jurutera Muda

Sikap 'aku tak salah, dia dan mereka yang salah'.

Malas bermula dengan kosong dan seboleh-bolehnya nak mintak bagi contoh.

Takda sifat ingin tahu dan ingin mendalami pengetahuan yang tinggi.

Buat report kadar, sebab universiti bukan nak tengok sangat pon nanti report ni.

Terlalu banyak membuat kesimpulan yang singkat dan 'pukul rata'.

Tak menggunakan peluang dan ruang dengan sepatutnya. 

Tak mengambil inisiatif untuk memasarkan diri sendiri. 

Mengambil mudah banyak perkara. 

Menipu secara terang-terangan supervisor, macamlah kita tak pernah jadi student/orang baru dulu. 

Buka FB/Youtube secara terang-terangan dan rasa orang tak nampak apa yang dia buat. 

Bawak pergi melawat site, tapi tak ambil nota, bertanya dan ambil gambar mesin yang berkenaan. Tapi dua tiga juga berselfie berbackgroundkan mesin. 

Nak suruh supervisor treat dia macam pekerja, tapi mentaliti dia lagi teruk dari budak darjah 3. 

Tidak menganggap supervisor itu guru, tapi tidak lebih sebagai pengawas. 

Bila tak siap kerja seperti yang ditetapkan, tak bertanggungjawab untuk memaklumkan selagi tak ditanya. 

Tidak bertegur sapa langsung dengan rakan sekerja sekeliling. Sebab rasa diri lebih hebat. 

Memperkecilkan banyak hal. 

Tiada kesungguhan untuk mendalami ilmu.

Asas teknikal yang sangat lemah. 

Tidak rasional dalam membuat pertimbangan. 

Mengharap orang tekan baru nak gerak.

Lagak di alam maya macam dah bekerja dengan syarikat dan jenama yang hebat, tapi realitinya kita tahu sangat mengecewakan. 

Diego dapat 4 bulan untuk ditunjukkan yang serendah ini seseorang pelajar praktikal boleh buat kat kita. Memang sangat memberikan pencerahan untuk diri sendiri. 

Punya la meluat, sampai takdak hati nak tulis panjang-panjang untuk hal dia yang patut dilupakan sahaja. Tapi ia pengajaran yang sangat bernilai untuk menjadi supervisor yang lebih baik di masa yang akan datang. 

Sabtu, Februari 27, 2016

Hari Pertama - Menuntut ilmu di negeri China

Bermula dengan cabaran persiapan yang serba serbi dibuat kurang bersungguh. Mungkin kerana China itu jauh. Mungkin kerana China tu takde Facebook. mungkin juga kat China tu susah nak cari nasi. Mungkin juga kerana kat China tu payah nak paham bahasa yang depa cakap dan phobia terhadap bahasa asing yang tak tahu langsung. Wo bu che tau. 

Kena buat visa. Beli tiket kapal terbang. Tempah bilik hotel. Sebelum buat visa kena dapat surat jemputan dulu. Tunggu surat jemputan lama la jugak. 3 minggu sebelum tarikh berangkat baru dapat. Lepas dapat visa, dah boleh urus tiket kapal terbang. Hotel dah tempah lebih awal sebab tak perlu bayar awal. 

Tiket kapal terbang punya cabaran ialah mencari harga yang tak lebih RM1,500, masa yang sesuai dan perjalanan yang terus sampai tanpa perlu singgah memana. Jadi keputusan dibuat menggunakan skyscanner. Naik Changi tengah malam Ahad. Sampai Isnin awal pagi. Cadangnya boleh la berjalan dulu siang Isnin tu. Balik tengah malam Jumaat, sampai awal pagi Sabtu.

Setel tiket kapal terbang, hotel dan visa.

Lepas tu hal-hal berkaitan persiapan diri, mental dan barang-barang ke China hanyalah disetelkan pada hari Sabtu dan ahad sebelum bertolak. Memang malas nak pikir awal-awal dan tak berkesempatan berfikir awal-awal. Banyak hal lain perlu diselesaikan selain berangkat ke China ni. 

Hari berlepas, mintak kereta sewa bawak ke Airport dari rumah. Itu pon hari Sabtu petang baru tempah. Punya tak bersungguh. Terus tempah untuk pergi dan balik. Kene la SGD80/trip. 

Dalam kereta, Ah Lee memang peramah abis. Cakap Melayunya lancar. Walau masih telor Cina. Tapi banyak pesanan yang dia bagi.

"Wah, lu pergi China nanti training cakap bahasa apa? English? Woo, itu macam UTM memang banyak bagus, lu memang pandai punya orang boleh cakap English"

"Sekarang wang kita banyak kecik, kalau banding sama-sama 3000 duit kita dengan Singapore, makan saja sini itu mee sudah 6.00-7.00. Sana Singapore baru 3.00 Dollar. Sini kita dapat RM350, sana dapat balik SGD1200 (ala BRIM)."

"Nanti bulan 8, sini mau kasik ambik duit masuk Johor, saya rasa banyak susah Malaysia mau buat, semua pandai-pndai punya orang sudah lari kerja luar, nanti itu sistem rosak macamana? Sapa mau tolong bikin, orang mau masuh susah, jem banyak teruk"

"Lagi satu, Malaysia tak boleh amik duit dengan Singapore saja. Sana Brunei dengan Thailand juga mau kena amibik duit, itu International law ma, mana boleh buat dengan Singapore saja. ItuSingapore banyak pandai, dia sudah kira ini semua. Dia tak pa nak buat, Malaysia satu saja kena kontrol"

Ah Lee memang ramah. Semua dia cerita dalam bahasa Melayu. Rancak dan tak berhenti. Starex besar gedabak tu tak sunyi walau hany kami berdua. Perjalanan tak jem langsung. Sesak hanya untuk cek passport kat imigresen Malaysia sahaja. Dalam 8.30 dah boleh sampai airport kata Ah Lee.

Sesampai di Terminal 3 Changi, benda pertama yang aku cari ialah papan tanda berlepas, ada ke idak nombor penerbangan dan kaunter nombor berapa untuk cek-in. Dah belek seround mujur jumpa. 

MU 566 Shanghai OPEN kaunter 10. 

Terus ke sana. Jenguk-jenguk dulu kaunter tu macamana. Tetiba terlintas. Beg besar ni bukan kena masuk mesin imbasan ke. Tapi sebesar-besar airport ni takde nampak mesin inbasan pon. Aku buat rileks dan masuk beratur. Simpan apa yang patut dalam beg besar dan hanya sandang beg laptop sahaja. 


(Panjang lagi ni, tapi hilang motivasi pulak nak habiskan). 


Jumaat, Februari 26, 2016

Catatan Diego - Lost@Kilang Tanah Liat

"You tanya budak saya buat apa?!, dia mana tau apa"

"You nak tau apa-apa, you tanya saya, jangan tanya anak buah saya"

"Nanti you balik buat report, you letak benda bukan yang saya bagitahu, saya tak mo macam tu"

"Sini biar saya yang jawab, kalau you tak mau tanya saya, mau tanya orang lain, you better get lost!" 

Diego hanya senyum kelat mengangguk dan membontoti jurutera Mekanikal tersebut ke meja di tepi ruang tempat mesin pemampatan habuk tanah liat ditempatkan.  

Bukan pertama kali berhadapan dengan situasi sebegini. Sebagai jurutera yang terdedah dengan hal-hal berkaitan masalah mesin dan memerlukan kaedah 'troubleshooting', hari ini kaedah bertanya soalan untuk mendapatkan maklumat sudah memberi 'trouble' buat Diego. Bukan pertama kali juga Diego berdepan dengan jurutera Mekanikal kilang ini. Kisah membantu beliau mengenalpasti masalah minyak hidraulik mesin beliau yang tiba-tiba cepat menjadi hitam dahulu masih lagi Diego ingat satu persatu 2-3 tahun dahulu. 

Beliau bukanlah seorang yang akan 100% berkongsi hal atau segala data sedia ada sebab ianya membabitkan mesin dibawah tanggungjawab beliau. Apa-apa hal yang boleh menyebabkan beliau kelihatan 'salah' akan menjejaskan kerja beliau. Itu norma. Siapa yang sanggup mengaku kesalahan itu berpunca daripada beliau? 

Jadi, Diego buat rileks. Tunggu dia siap melabel sampel minyak yang diambil dan bertanya satu soalan untuk menghormati pendirian beliau. 

"Jadi, minyak ni bila last tukar?"

Dia menunjuk pada papan putih tempat semua rekod 5 mesin pemampat habuk tanah liat berada. 

"Ok, baru dua bulan lebih, jadi nanti Isnin kami hantar sampel ini dan kami kongsikan laporannya bila dah siap nanti"

Budi bahasa budaya kita kan. 

Diego pon berlalu bersama seorang lagi jurutera muda dan rakan sekerjanya. Di dalam fikiran masing-masing masih terenjat dengan tindakan tidak hormat jurutera Mekanikal tadi. 

"Buat malu bangsa sendiri ja dia tu tadi" rakan sekerja Diego menyampuk dalam kereta sambil menepuk peha Diego bila dia nampak yang Diego agak merenung jauh ke luar tingkap.

"Aku tak kisah sangat la, tapi aku cuma terfikir, kalaulah orang yang dia cakap tu seorang yang mempunyai 'short temper', mau bergaduh punya tadi".

Ya, itu lah sebenarnya pengajaran hari ini. Niat menolong dan membantu kita mungkin disalah erti orang lain sebagai mencari kesalahan seseorang untuk dikambinghitamkan. 

Bagi dia mungkin, 'customer is always right'. 

Tapi Diego akan buktikan secara teknikal, apa sebenarnya yang terjadi nanti. Hal teknikal kita jangan guna emosi. 


Rabu, November 04, 2015

Catatan Diego - Nasihat@Pak Budak

Pada umur 35 tahun sebegini, kalau ada sebutir dua wisemen saying yang boleh dikongsi, Diego berasa ada baiknya dikongsi beberapa nasihat berbentuk Abah kepada yang bakal menjadi Abah atau yang dah menjadi Abah atau yang tak sedar diri itu ialah seorang Abah. Nasihat itu berbunyi lebih kurang begini.

1. Ambil bahagian dan tanggungjawab sepenuhnya dalam semua aktiviti bermula dari saat pertama kita mencuba untuk menjadi Abah. Ingat 'buat' ja dah cukup? Doa, niat, harapan yang kita lakukan sejak saat pertama itu juga penting. Nikmat tu beberapa minit itu sahaja. Tapi itu ialah benih yang kita tanam dan akan hidup selama mungkin dengan kita menjadi zuriat kita. Jadi sejak dari awal lagi, kitalah yang mencorakkan kehidupan yang bagaimana untuk anak kita lalui nanti.

2. Semasa sebelum kelahiran, carilah masa, peluang untuk berkomunikasi dalam kandungan. Introduce diri sebagai Abah, tepuk-tepuk, gosok-gosok. Panggil. Tu pon penting untuk depa kenal kita.

3. Sebolehnya, sediakan diri untuk turut serta saat kelahiran. Kalau tak sempat untuk segala jenis agenda kehidupan seharian, tolonglah cari supaya hari kelahiran depa kita ada disisi. Satu untuk kita menginsafi diri dengan melihat sendiri betapa susah payah isteri kita nak melahirkan seorang anak. Dua supaya kita sendiri boleh menyambut sendiri kelahiran anak kita, azan dan iqamat depa sendiri di telinga kanan dan kiri. 

4. Belajar untuk menguruskan anak sejak depa bayi lagi. Ikat lampin, pakai pampers, mandikan, buh bedak, buh minyak panas, pakai barut perut, pakai stokin dan sarung tangan, pakai baju dan seluar, pakai head band (tak pernah berpeluang, hahah), menyuap susu botol, membasuh berak, menyalin lampin, mandikan semula dan semuanyalah. Ini memang sangat penting, sekarang kalau kita geli buat semua tu, kita tak kan berjaya buat nanti untuk Pak / Mak kita bila depa dah tua terlantar saja nanti. Kita jadi kekok, suap nasi air guna sudu pon kita kekok, salin pampers orang dewasa lagi kita tak boleh buat. Jadi, anak-anak inilah training ground kita untuk buat semua tu nanti. Ia akan jadi satu refleks semulajadi bila kita diberi peluang untuk menjaga Pak / Mak kita bila depa dah tak larat untuk urus diri depa sendiri. Itu pon kalau kita sendiri pilih untuk tolong jaga depa la.

Satu lagi, bonding dengan anak, terutamanya dengan anak lelaki ialah dengan sentuhan dan perlakuan. Depa kena ada style layanan dari Abah yang macam tu. Baru depa sendiri tak kan ralat bila dengan Abah depa. Ada sentuhan fizikal dengan depa.

5. Main dengan depa. Apa jenis mainan sekali pon, gelang getah sekali pon, kalau depa dapat dari Abah depa, depa akan rasa hebat. Kalau kita turut serta dalam permainan depa masa depa main dengan adik beradik lain, depa akan lebih galak. Lebih teruja dan lebih seronok. Tak caya, pi join depa main kereta mainan. Sure badan kita ialah trek kereta mainan yang paling depa suka.

6. Jadikan kita sumber inspirasi depa. Tak reti main bola? Buat-buat reti. Tunjuk la apa jenis skill sekalipon, depa tak pernah tahu, jadi bila depa tahu dari kita, depa akan rasa kita hebat, padahal skil timbang bola tak jatuh 20 kali ja pon. Bukan boleh silang-silang kaki ka, buh atas tengkuk ka. Tapi depa dapat dari kita, kitalah rujukan depa. Tahu asas ja pon tak pa ,lain-lain kita belajar kat Youtube. Boleh punya. 

7. Amalkan bersolat jemaah dengan depa. Solat jemaah dengan budak-budak apa depa tahu pasal surah-surah lazim dengan tak lazim? Ini juga training ground untuk kita. Sebab kot-kot pi TESCO bila tengah angkat takbir semayang Maghrib orang tepuk bahu, terkena kita jadi imam, tak la lidah jadi kelu, baca surah jadi bergetar, rakaat tetiba konpius dah 2 ka 3 kan. Itu pon amalan untuk kita berdisplin dengan depa. Sekali-sekala, lantik depa jadi imam antara adik-beradik, juga untuk menerapkan sifat kepimpinan. Anak-anak yang masih kecil, bila depa tengok abang-abang duk solat, konfem depa pon nak join juga. Janji hat ni kena istikhomah. Tak dapat berjemaah Subuh, buat la Maghrib dan Isyak sahaja. Boleh kan? Umur dah 30 lebih, tapi nak jadi imam pon takut-takut, cemana nak jadi bos pada kompeni sendiri? Tak gitu?

8. Jangan hanya tumpu pada bidang akademik, asas akademik tu memang kena tumpu. Tapi jangan hadkan pada baca buku dan belajar sahaja. Buat aktiviti luar, kita tak tahu apa depa minat, bukan paksa untuk depa minat apa yang kita minat. Cuba 2,3.4 aktiviti berlainan, tengok yang mana depa enjoi buat. Bila dah enjoi, senang kita nak buat perancangan dan plan masa lapang depa. Kekadang ada yang tak perlu kos banyak pon. Main catur contohnya. Berapa ringgit sangat sepapan chess tu?

9. Layan isteri kita sebagaimana sepatutnya kita layan seorang perempuan. Depa akan ambik itu sebagai panduan macamana depa akan layan seorang perempuan bila depa besar nanti. Mungkin nampak macam jauh sangat. Tapi kita nak depa jadi lelaki gentleman, kita dulu perlu jadi segentleman mungkin untuk isteri kita. Baru depa tahu dan faham cemana sepatutnya melayan seorang perempuan bila dah besar nanti.

10. Tegas pada arahan dan panduan. Tegas dan cengei adalah perkara berbeza. Marah tak tentu arah bukan tegas. Maki dan naik suara dan kata-kata tambahan bukan tegas. Tegas biar bertempat dan bukan pada benda yang kita nak mudah sahaja. 

11. Buat kerja rumah, ringankan beban isteri. Lama-lama anak lelaki kita juga anak turut serta membuat kerja rumah. Lelaki yang suka mengemas, membasuh pinggan, memasak dan menjahitkan idaman seorang perempuan. Bila kita buat, kita ada advantage untuk kita suruh depa tolong buat. Kenal pasti had umur dan apa yang depa dah boleh buat, jangan la depa baru 3 tahun dah suruh lipat baju. Belajar bagi arahan dan tugasan. Reward dengan pujian dan terima kasih. Tak susah pon.

Cukup la kot 11 poin ala Mahathir ni. Yela, baru 10 tahun ja jadi Abah. Hangpa rasa macamana? Boleh pi tak ni?

Selasa, Mac 03, 2015

Catatan Diego - Nasihat@Jurutera Muda

Kalau diberi peluang untuk memberikan beberapa keping nasihat kepada semua bakal graduan kejuruteraan sedia ada sekarang, berikut merupakan sumbangan yang boleh Diego turunkan buat semua.

1. Mula dari bawah. Belajar dengan tengok, perati, ambil nota, cerna, tanya dan persoalkan setiap bentuk pelajaran. Kalau boleh, buat semula sendiri dari kosong. Bukan guna 'template' sedia ada. Huraiannya agak panjang, tapi contohnya begini. Kita tak tahu bagaimana untuk mengira keefisyenan penggunaan minyak pelincir sintetik terhadap mesin kotak gear. Jurutera senior menunjukan satu persatu hal-hal yang perlu diambilkira, dalam satu template excel. Untuk belajar dengan berkesan, kita tidak akan minta salinan template tersebut, tapi buat semula mengikut pemahaman kita dan tunjukkan pada dia hasilnya. Kemudian baru mintak salinan asal sebagai perbandingan. 

Bila buat dari awal menggunakan pemahaman sendiri, barulah kita belajar dan guna otak sendiri untuk berfikir dan menggunakan apa yg kita tahu dan guna pakai semula. Dari situ kita betul-betul belajar. Ya, mulalah dari kosong. 

2. Pengalaman tidak datang segedebuk, jatuh atas riba semua sekali. 

Kita nak turut serta dalam bidang yang penuh teknikal yang memerlukan kita menggunakan kepakaran dan pengalaman dan pengetahuan kita. Supaya orang merasa kita power sebagai seorang jurutera. Tapi pada masa sekarang, kita baru sahaja bermula. Pakar pon belum, pengalaman pon tak cukup, pengetahuan hanya pada peringkat teori. Jadi, tuntutlah, carilah, bentuklah segala kerja seharian kita supaya pengalaman, pengetahuan dan kepakaran kita dapat diasah dan dibaja sedikit demi sedikit. Malangnya, ramai graduan baru merasa apa yang depa dapat itu terlalu sedikit bahagian teknikalnya, padahal dia baru memasuki bulan ke-3 alam pekerjaan. Sabar sikit boleh tak? 

3. Rancang ke hadapan. Setiap hari bekerja, pandanglah ke hadapan apa yang ingin dicapai, disiapkan dan diinginkan. Penuhi yang itu, buka peluang untuk mendapat tugasan lain, tambahan tugasan supaya kita belajar dengan lebih cepat. Bukan tunggu orang tanya, macamnana progress tugasan minggu lepas, bulan lepas dan sebagainya. Kalau tak dapat cara menyelesaikan tugasan, angkat tangan dan mohon bantuan atau tunjuk ajar, bukan tunggu 'dateline' terlepas baru nak bagitahu itu tak dapat, ini tak dapat. Memberi alasan atas ketidaksiapan kerja ialah tindakan jurutera yang lemah. Jurutera pada asasnya akan berfikir untuk menyelesaikan masalah dan bertindak, jadi dengan lambat berfikir dan bertindak tidak akan melatih diri kita menjadi jurutera yang baik. 

4. Sentiasa bertanya dan memberi pandangan. 

Hanya dengan bertanya dan memberi pandangan kita akan menjadi lebih baik. Dari segi penggunaan teori, formula dan melatih otak supaya lebih 'articulate'. Seorang jurutera harus boleh memberi penerangan seringkas dan semudah mungkin dengan penggunaan contoh atau kes yang boleh difahami golongan biasa. Penggunaan frosa teknikal perlu bertempat dan tidak terlalu rumit. Selalunya ianya harus boleh dilakukan dengan lancar dalam dwibahasa. Bahasa Melayu dan Inggeris. 

Dengan tidak bercakap dan menyendiri, perkembangan menjadi jurutera akan menjadi terlalu lambat dan perlahan sebab kita tidak banyak mempraktikkan apa yang kita fahami dan belajar. Orang tidak dapat menilai tahap kecekapan kita kalau kita tidak berkomunikasi. Bukan boleh bergantung hanya dengan hasil kerja. 

5. Paling penting. Sikap dan perangai diri sendiri. Sentiasa positif atas semua halangan dan rintangan. Ambil peluang sebanyak mungkin untuk belajar dan menimba pengalaman. Jangan cepat putus harapan dan cekal. Telan yg pahot, ambil iktibar atas segala kelemahan dan perbaiki supaya lebih efisyen. Re-engineer diri kita supaya boleh menghadapi semua cabaran dan rintangan yang ada. Bukan menyerah kalah sebelum mencuba atau baru sekali mencuba. 

Kepakaran hanya datang bila kita dah buat sesuatu atau berada dalam satu bidang perkar itu selama sekurang-kurangnya 10,000 jam. Kalau sehari 2 jam diperuntukan untuk melatih kepakaran tersebut, kita perlukan berapa hari untuk menjadi pakar dalam hal itu? Hah, ko jurutera, ko kira la. 









Ahad, Disember 14, 2014

Catatan Diego - Hati@Anak-anak

Separuh jiwaku pergi. 




Yep. Kalau mahu lebih tepat. 75% hati Diego dah dibawa berlari menaiki keretapi Sinaran Timur malam tadi, bilamana Rodriguez, Pablo, Aguero dan Alexis bersama ibu mereka bergerak menuju utara timur untuk pulang bercuti di kampung. Bukan mengada, tapi kali ini lain benar terasanya. Macam tak sanggup nak hadap seminggu tanpa depa. 

Bukan mudah bila dah biasa, balik kerja ada yang datang peluk, yang belum boleh bercakap tahu panggil 'Abah! Abah! Abah!' sahaja dengan nada yang girang dan riang. Yang dah bersunat tahu pula melompat bila kita masuk ke rumah. Berebut mintak henpon. Bila tidur bersesak satu tilam sampai tak ada ruang nak bergerak. Bila makan riuh itu ini dengan pelbagai pendapat dan teori. Bila masa main tak dan seminit ada yang keriau. Semua bunyi, gelak, tangis, ketawa, galak tak renti depa adalah pengisi. Yang memberi dimensi lain kepada satu hidup abah mereka yang sehariannya sudah padat hal pasal kerja dan kerjaya. Tapi itulah yang abah cari tiap hari, sebagai pengubat dan penghilang kerisauan hati.

Sekarang rumah ini sangat sunyi. Bila sekeliling hanya nampak bayang dan situasi. Depa bermain dan berkongsi imaginasi. Mainan ciptaan depa sendiri. Mainan sepah sana sini. Tapi tiada bunyi dan suara depa yang diiringi sekali kini. Ia begitu menyeksa diri. Hanya sendiri mengisi setiap ruang. Bila terpandang terus terkenang. Memang parah woi kali ini. 

Bila depa ada, rasa tak cukup ruang dan masa. Tapi, ye, cukuplah 4 orang anak lelaki untuk dibesarkan bila datang masalah. Tapi biarlah 4 anak lelaki ini bersama kami hingga kami meningkat usia. Agar dapat kami isi semua memori mereka dengan kegembiraan dan kebahagiaan sebuah keluarga. Bila depa dah besar, depa pula membina keluarga dengan tapak kenangan yang sama. 

Moga menjadi anak yang soleh pada Abah dan Ummi. Hanya doa kamu setiap hari yang abah dan ummi pinta bila kamu sudah dewasa nanti. Untuk kami gembira dan tidak sunyi. 

Abah rindu kamu semua. (*teriak sendiri)...

Ahad, November 16, 2014

Catatan Diego - OOTD@oversea

2005. Pertama kali bila Diego bagitahu mak yang dia bakal ke Amerika Syarikat, mak terus bagi dua pendapat. 

Pertama, "Pi la tengok beg besaq mana yang sesuai nak bawak pi US tu". Diego berkerut. Alah, nak pergi seminggu lebih ja. Tak Rambo la kalau packing barang banyak-banyak macam nak pi haji. Tapi Diego jenguk juga pilihan beg yang ada dan pilih yang sederhana besar. Kaler tak striking dan takda corak bunga-bunga. Rambo mana bawak beg yang kaler sebarangan.

Yang kedua, "Tak mo pinjam pak hang punya Suit ka? Pak ada dua tiga hat sama saiz dengan hang". Double berkerut kali ini buat Diego. Apa nak bersuit-suit ala koprat ni. Ni nak pi masuk latihan dan mesyuarat tahunan kompeni yang menjadi pengedar sistem analisis getaran. Depa tak dak tulis pulak kena pakai stail koprat. Tapi, hormat pada ibu dan taat ada perintah ibu ialah tanda anak yang soleh. Maka Diego belek dan pilih suit kaler biege. Baju Kot 2 butang dan seluar baggy. Yelah, style pak mana nak ada seluar jerut kat peha lagi masa tu. Apatah lagi style Dockers Alpha.

Kedua-dua pesanan mak itu memberi impak yang besar terhadap perjalanan pertama kali Diego ke Amerika. Yelah, suit yang dipakai sekurang-kurangnya menghapus pandangan orang atau judgement orang dan mengelakkannya kelihatan 'noobie' dalam arena naik kapal terbang jauh-jauh dan pergi luar negara. Ye. Memang ada orang yang suka judge orang lain terhadap pakaiannya. 

Manakala beg besar macam nak pergi haji itu pula menjadi sangat berguna dan bermanfaat sebab bila dah ke luar negara  mestilah nak bawa balik sesuatu untuk keluarga dan adik beradik. Kalau beli baju sorang selai, kurang-kurang kena 8 helai dah. Belum masuk jeans Levi's 501 dengan harga tanpa cukai yang kalau beli dua helai pon masih lagi murah dari di negara sendiri. Hah, kalau ko bawak beg sandang macam nak naik bas tu, ada nak muat semuanya dalam satu beg? 

Ini terjadi pada kali ketiga Diego ke Amerika. Dia ingat memang urusan tu memang padat dan takkan ada peluang untuk membeli belah. Akan tetapi, kini rakan-rakan pula kirim Levi's sorang sehelai. 5 helai Levi's Diego borong dengan harga sangat patut. Tapi beg yang dibawa ialah beg jenis naik bas. Jenis sandang ada zip ja. Memang padat jadinya dan sistem zip pula hampir-hampir sahaja punah.

Ye. Janganlah kau gusar terhadap pandangan dan saranan mak. Dia memang power dan dah berpengalaman luar temtang hal ehwal macam ni. Walau kau berprinsip Rambo sekalipon. 

Mungkin terturun sikit jati diri mak dalam diri Diego, pada kali kedua dia berpeluang ke Amerika Syarikat, dia mengenakan OOTD seperti yang demikian. Baju jersi Arsenal dengan logo Fly Emirates, jeans Levi's dan jaket hijau lumut Suave. Meskipun tahu dan sedikit ralat sebab Diego naik penerbangan China Airlines ketika situ. 

Untuk penerbangan balik pula. Diego naik kapal terbang dengan jersi Harimau Malaya belang kuning hitam sebagai tanda bangga terhadap negara sendiri dan rindu pada nasi lemak. 

Ini mungkin hal kecil buat orang lain. Tapi mesej yang mak dah tunjukkan mungkin kesannya lebih jauh menusuk buat yang memahami dan mengerti. 

Diego baru tengok gambar mak bercuti di New Zealand kira-kira 3-4 tahun yang lepas. Kelihatan cuacanya sepoi-sepoi sejuk. Udaranya segar dan tempat yang dilawati pula kebanyakannya bersifat outdoor, gunung-ganang, sungai dan tasik, pokok bunga dan alam semulajadi. 

Ok. Dah boleh bayangkan OOTD yang sesuai untuk kegiatan bercuti yang sedemikian? 

Yep. Mak dalam salah satu gambarnya amat bersahaja dengan mengenakan sepasang baju kurung hijau dan tudung bawal kaler cream. Power kali seribu.


Hah. Jati diri macamana lagi yang hangpa mau? 

Jumaat, Oktober 04, 2013

Catatan Diego - Bolasepak@Padang

Diego pernah terbaca berkali-kali (kawan lain-lain duk share) di garisan masa FB, mengenai satu pesanan ustazah tentang cara ibu dan bapa mengasuh anak-anak terutama anak-anak yang masih kecil. Entah berapa petua yang diperturunkan tapi lebih kurang beginilah yang masih mampu Diego ingat.

1. Bapa balik awal dari kerja dan memandikan anak yang masih kecil di bawah 5 tahun.

2. Letak anak di atas bahu supaya penglihatan mereka lebih jauh.

3. Eratkan perhubungan dengan aktiviti fizikal seperti bergasak dan bergumpal. Senang cerita, main lawan-lawan.

4. Bawa mereka pergi bersiar-siar, pergi padang untuk bermain.

Alah lebih kurang begitulah rupanya pesanan ustazah tersebut. Sumber internet ni kekadang kita jangan percaya sangat. Entah betul ke tips ini semua? Adakah praktikal semua benda ni bapa boleh buat dengan anak-anak lelaki mereka sekarang? Adakah sistem perumahan negara dan prasarana yang disediakan boleh mengalakkan tips ini dipraktikkan? Bincangkan. 

Lupakan perbincangan di atas dan ada baiknya kita terus ke titik utama. Tips itu memang baik dan benar sebenarnya. Tapi untuk melaksanakannya belum tentu semua bapa berkeupayaan melakukannya. Meskipun demikian, Diego sebenarnya sudah pun mempraktikkan tips ini sejak mempunyai anak seorang lagi. 

Apabila mencecah anak ke-empat, aktiviti sebegini sangat-sangat digalakkan sebab sebenarnya ia dapat melekakan kanak-kanak dari menyepahkan seluruh rumah dan membuat bunyi bingit yang boleh menjagakan bayi yang masih perlukan tidur yang lama. Ia juga memberi ruang dan peluang untuk ibu melakukan tugas-tugas berat seperti mengemas, memasak, membasuh dan mengupdate FB. Selain daripada itu, tips ini juga telah menjimatkan ribuan ringgit dari poket Diego kerana anak-anaknya tidak memerlukan gadget elektronik sorang satu untuk melangut main Minion Rush.

Kebetulan pula padang berdekatan dengan rumah Diego sudah dinaiktarafkan dari tanah terbiar kepada padang bolasepak berserta tiang gol, jaring dan garisan padang. Cuma padang itu juga datang dengan batu-batu besar lutut, paip plastik, kayu terguna serta rumput bertompok-tompok dan tanah tidak rata yang kalau hujan menjadi lopak, air bergenang siap ada berudu sekumpulan.

Demi menyahut seruan ustazah tersebut, Diego beli sebiji bola sepak yang berjenama mahal tapi tak la terlalu mahal harganya untuk mengeratkan bonding atau perhubungan antara anak-anak lelakinya. 

Hari pertama mereka turun bermain di padang baru itu, terdapat kanak-kanak lain yang juga turut bermain di satu sudut gol yang sama. Diego memberi laluan kepada mereka menggunakan padang dan hanya bermain dengan anak-anak di tepi padang. Malangnya ia tidak lama. Tiga empat kali menyepak bola, Rodriguez dan Pablo sudah lebih berminat untuk bermain di cerun padang. Panjat dan gelungsur turun ke bawah. 

Aguero pula hanya memegang kemas bola plastiknya. Tak mahu dilepaskan takut ditendang abang-abang jauh darinya. Sambil dia memerhati kanak-kanak lain yang menyepak bola berterabur dan bola yang melantun-lantun sebab padang tak rata. 

Hari pertama tamat dengan Diego menyertai kanak-kanak lain bermain untuk 5 minit terakhir. Cuma ayat dari salah seorang dari mereka menyentap sedikit perasaan Diego.

"Pakcik, jom la main sekali, jadi team dengan saya". Budak penjaga gol yang dari tadi asyik bolos je mengajak Diego bermain sekali. 

"Pakcik kau panggil aku budak?" Diego hanya berbicara dalam hati. Diego merenung susuk tubuh badannya dan kembali sedar diri dari terus tersentap. Dia terus menyertai mereka sambil bermain secara gaya lincah dan tenang sebagai pemain pertahanan untuk 5 minit terakhir sebelum semua pakat-pakat rasa nak balik sebab hari dah merangkak ke Maghrib. 

Hari kedua, hujan turun pada awal petang. Tapi demi menyahut pesanan ustazah tersebut. Diego gagahkan juga turun bermain dengan anak-anak. Kali ini hanya dengan sebiji bola pantai berwarna biru dan bola berjenama mahal.

Kau orang boleh bayangkan sendiri jela macamana budak-budak ni main bola padang dengan sebiji bola plastik biru. Kau orang ingat senang nak membentuk satu pasukan bolah kanak-kanak yang mantap bersatu, bersatu hati, hati tak tisu, tisu tak basah dan basah baju boleh balik basuh dengan mesin basuh, tapi menjawab jela dengan Marcia nanti?. 





Ye, disebabkan bola hanya ada satu, yang boleh menendang ada tiga, sorang tu kuat menangis kalau tak dapat bola, sorang tu eksaited gila nak menendang, dan sorang lagi tu ikut suka dia je nak menendang ke nak main duri semalu di tepi pandang. Hah, senang ke? Ustazah tolong jawab sikit bonding cemana kita yang nak buat ni? 

Ok, ustazah simpan jawapan ustazah sebab Diego sendiri boleh setelkan masalah displin ini. Cabaran tadi mudah saja disetelkan bapa berpengalaman 4 orang anak lelaki. Hanya dengan satu volume suara lain dari perbualan biasa, serta kuasa memberikan bola kepada anak yang sepatutnya, mereka mula teratur dalam mempelajari asas bolasepak. Anak ketiga Diego, Aguero yang berusia hampir 3 tahun mula mengambil posisi. Walaupon baru lepas merengek, satu sepakan kaki kanan dilepaskan ke arah gol. Teknik sepakannya betul, power untuk usia 2 tahun lebih kira ok la. Apa pon, usaha juga kelihatan baik di situ. Abangnya berdua pula lebih bijak memilih untuk menjadi penjaga gol kali ini. 



Berbalik kepada pembentukan pemain bola sepak dari akar umbi, Diego mengambil inisiatif untuk kembali kepada asas. Asas pertama ialah membiasakan mereka dengan padang bola sepak. Jadi, pada hujung minggu yang seterusnya, walaupon hari hujan mereka tetap turun ke padang bola. Siap kasut, stokin dan pakaian bolasepak sebenar. Seluar pendek dan baju jersi. Salah seorang daripada mereka mengenakan aksesori tambahan iaitu lampin pakai buang di dalam seluar pendeknya. 

Untuk membiasakan mereka dengan padang bola, kali ini permainan mereka tidak lagi bersangkut paut dengan bola sepak. Hanya Diego yang menyepak bola ke arah pintu gol kosong. Anak-anaknya dibiarkan bermain lopak air yang berada betul-betul 3 kaki dari pintu gol. Diego anggap mereka ialah benteng pertahanan dan Diego pula berkali-kali membuat sepakan percuma dari luar kotak penalti. Sambil membuat sepakan lencong, sambil melarang anak-anak dari terlalu galak main air dalam lopak. Sekali sekala, sangkut juga bola dalam lopak air. Hilai ketawa Rodriguez, Pablo dan Aguero memecah keheningan petang. Kanak-kanak lain tidak nampak langsung sebab hari baru lepas hujan. Agaknya sedap lagi terkangkang tengok cerita Upin Ipin depan tv. 

Sergio kelihatan sudah separa berendam dalam lopak air, beliau sama ada tidak sedar atau mungkin terlalu selesa kerana beliau memakai lampin pakai buang berkapasiti tinggi serapan airnya. 

Diego rasa ada baiknya menyambut saranan ustazah tadi dengan menyertai anak-anak bermain lopak air. Air lopak yang pada mulanya jernih dah menjadi teh susu sebab bercampur dengan kelodak tanah merah padang. Satu sepakan cantik dilakukan Diego ke dalam lopak dan air naik memercik naik ke muka Rodriguez. Kebetulan pula, Rodriguez tengah tergelak sambil mulut ternganga. Hilang dahaganya seketika.

Volume hilaian ketawa makin menaik. Muka Pablo dan Aguero juga dinaiki air dengan sengaja oleh abangnya pula. Selebihnya adalah kegembiraan kanak-kanak yang hanya boleh dibayangkan di kepala sebab apa kejadahnya semua benda kita nak kena bawa henpon dan rakam video atau gambar?

Balik dari padang permainan, mereka dibelanja Diego dengan siraman air paip sejuk depan rumah. Mandi depan rumah dengan separa telanjang adalah satu kegembiraan buat kanak-kanak. Lebih bonding dari bergomol dan mengadap tablet elektronik. 

Baju dan seluar mereka dibilas sebelum dibawa masuk. Yelah, kau nak kene jeling jegil biji mata dengan Marcia kalau biar je seluar baju basah kotor main lopak air kat padang kat luar tu? Diego menjinjit semua pakaian basah sambih terkernyih untuk mengelakkan tembakan laser dan bom berantai dari Marcia dilancarkan dengan tepat lagi menikam. Ustazah FB itu tahu apa petua hal-hal mengelakkan diri sebegini.  

Jumaat, Oktober 19, 2012

Catatan Diego - Lapisan Filem@Kereta

Lapisan filem penghadang panas untuk cermin ada macam-macam jenis. Ada yang serap silau, panas matahari, sinaran UV, sinaran cahaya dan memantulkan haba sampai rasa macam pakai cermin mata hitam original. Ada juga yang gelap terus macam kereta VVIP.

Kedai yang jual lapisan filem ini juga ada macam-macam. Ada kedai yang jual lapisan filem yang diluluskan JPJ/SIRIM tapi tetap ada stok untuk yang jual yang tak lulus JPJ. Nak buat macam mana, pelanggan yang datang dan tanya, "Ada tak lapisan filem yang tak lulus JPJ punya?". Atau "Yang gelap lagi dari ini takda ke?". Jadi pekedai menjual lapisan filem akan jawab, "Ada, tapi ini tak lulus JPJ punya".

Biasanya yang tak lulus JPJ tu lagi mahal. Biasa juga yang mahal tu mesti ada tulis datangnya dari U.S. tak pon Jerman. Entah negara lain koman sangat sampai tak ada yang buat lapisan filem jenis mahal ke? 

Bagi Diego, lapisan filem penghadang panas ini jatuh kepada hukum harus ada untuk kenderaan. Dari segi kebaikannya, ia memberi keselesaan kepada semua penumpang terutama anak-anak kecil. Ia memberi penjimatan minyak petrol sebab pemampat pendingin tidak perlu berkerja keras untuk mengekalkan tahap sejuk yang ditetapkan untuk perjalanan jauh. Ia juga memberikan penglihatan yang lebih baik bila tengahari terik sebab mata tak terlalu silau. Ia juga baik untuk kulit yang sensitif atau kulit kering sebab tiada sinaran UV yang diserap ke kulit. 


Disebabkan Diego adalah pemunya kenderaan nasional yang diselindungi negara sendiri, kebanyakan kenderaan nasional tahun 2000 ke bawah di datangkan tanpa lapisan filem penghadang panas ni. Nak tambah kena keluar duit sendiri. Bila kenderaan luar negara dibawa masuk siap dengan filem penghadang panas ini barulah mereka buat sebagai pilihan ataupun digula-gulakan sebagai tanda penghargaan. 

Jadi bertahun-tahun juga Diego memandu tanpa perlindungan UV tambahan. Entah rosak ke tidak kulit beliau sepanjang itu, tidak diketahui. 

Bila naik beberapa tahun dan dah ada duit lebih sikit lepas dapat bonus barulah kereta milik Diego dilengkapi filem penghadang panas berperlindungan UV ini. Baru terasa ada bezanya dilindungi sinaran UV ini. Diego beli yang harganya kurang RM 200, 4 cermin kereta termasuk windscreen depan belakang, lulus JPJ, ada jaminan seumur hidup dan kaler coklat yang tidak pelik tapi seirama dengan kaler kereta. Apa gila nak beli yang harga beribu, kaler biru tapi tak lulus JPJ? Kesihatan kulit dan dompet yang harus dijaga kata hati Diego. Bukan pandangan mata orang lain. 


Entah berapa tahun pula, cermin bahagian pemandu Diego dipecahkan oleh mekanik servis bertauliah kenderaan nasional ketika membetulkan motor angkat cermin yang rosak. Ini cerita lain. Kalau cerita juga kat sini, tak habis kita hari ini. 

Disebabkan cermin itu pecah berderai tidak dapat dicantum semula bak hati yang remuk, lapisan filem penghadang panas dan sinaran UV sudah tiada semula buat Diego. Tiap kali masuk kereta nak pergi makan tengahari mesti kusyen rasa panas, badan jadi panas dan secara auto Diego panas hati. Tapi Diego tetap positif. 

Kebaikan yang Diego perolehi kini adalah kopi 'haban' sarapan Diego yang tiap-tiap pagi Diego atau Marcia bancuh dalam bekas percuma beli Milo buat peneman 35 minit jarak pemanduan dari rumah ke opis kini kekal panas sehingga pukul 6 petang. Tak ke jimat dan menyegarkan? 

Agak-agak mengantuk waktu pulang dari kerja, Diego teguk sahaja belen kopi buat penyegar seketika. Power. 

Selasa, Jun 12, 2012

Catatan Diego - Cabaran Pesisir Luar Pantai #2

Cabaran seterusnya dalam persediaan untuk diberi kebenaran bekerja di pesisir luar pantai atau lebih tepat lagi, bekerja di atas platform adalah dengan mengikuti kelas latihan selama 3 hari bertajuk MIS-BOSET. Minimum Industrial Standard-Basic Offshore Safety and Emergency Training. Seperti biasa, nama kelas pon dah power.

Diego harus memandu jauh ke Kemaman nak masuk kelas latihan ini sambil meninggalkan anak bini di rumah orang tuanya.

Untuk hari pertama, ianya lebih kepada cabaran mendengar penerangan sana sikit situ sikit oleh seorang pengajar yang tidak sedar bahawa ada orang yang tak paham bahasa Melayu langsung dalam kelas tersebut. Kelas yang diberikan lebih kepada apa yang akan berlaku dalam latihan BOSET ini dan peri pentingnya menghormati kaedah pengangkutan ke pelantar minyak iaitu melalui Augusta atau Super Puma ataupon menaiki bot. Tiada feri, jet ski, kapal terbang mahupon bas yang boleh hantar hangpa pi naik pelantar kat tengah laut tu. 

Semua yang hadir diberi penerangan tentang keselamatan di atas pelantar, mula-mula sampai kena buat apa, apa jenis siren dan alarm yang ada, kalau kena tinggalkan platform kena buat apa, kat mana nak berkumpul bila kecemasan, apa ke benda yang ada dalam Life Raft, macamana nak guna alat pernapasan kecemasan, macamana nak ikat jaket keselamatan, benda apa boleh bawak naik platform dan yang dilarang, makan berapa kali sehari, naik chopper kena buat apa, PPE apa kena pakai sentiasa diluar bilik kediaman. Segalanya berterabur disebabkan pengajar yang suka ad-lip semasa menerangkan slide satu persatu.

Hari pertama - KURANG Jelas - Hafiz AF.

Sesi hari kedua semua sudah dipesan supaya datang sebelum 9 pagi siap tukar coverall dan kasut getah dan berkumpul di kolam untuk aktiviti HUET - Helicopter Underwater Escape Training. Tapi masih juga ada yang terlambat dan mula pon jadi lambat.

Sesi pertama ialah menyesuaikan diri dengan cara menyeberang dari kapal ke platform dan platform ke kapal. Ada 2 cara je, naik bakul atau guna tali berpintal. Bakul dikawal oleh pembawa kren. Untuk menyeberang guna tali, hanya kalau ombak tak tinggi. Untuk latihan ini, kena pakai Marine Life Jacket (double tie sebelum simple shoe knot), Safety Hat dan Glove. Seberang bila cukup konfiden. Itu je. 

Kemudian setiap sorang duduk dengan LAP memasing. Lifejacket with Air Pocket ni ada poket untuk simpan udara hembusan kalau-kalau chopper masuk dalam laut. Dia juga akan auto pam udara untuk kembungkan jaket kalau tenggelam dalam air.

LAP untuk latihan telah dibuang sistem auto pam udaranya. Jadi kena buat manual.

Mula-mula, kena belajar pakai LAP. Hadap LAP ke depan, pegang dengan tangan kanan, sangkut ke bahu kiri, masuk ruang kepala, cangkuk tali pinggang dan kemaskan lebihan, cangkuk tali kelengkang dan kemaskan lebihan. Pastikan pinggang rapat, kelangkang selesa. Kemudian belajar bernafas guna poket udara. Poket udara kena di isi dengan udara dari hembusan mulut selepas manual activation, boleh tahan maksimum 3 minit, tapi bernapas seminit lebih pon rasa pening dah sebenarnya. Sebab oksigen recycle. Makin lama makin sedikit oksigen dan makin pening. Sambil tu kena sepit hidung supaya betul-betul bernapas ikut mulut. Kalau baru sarapan roti canai kuah kari ikan banjir, secara auto ada perisa kari dalam oksigen itu.

Untuk praktikal, kena buat manual activation dalam kolam, selam dalam seminit dan naik semula. Kemudian selam dan merangkak pegang bangku kolam dan pergi ke tepi. Eksesais yang nampak mudah tapi kalau panik dalam air, tertelan air la jawabnya. 

Bila selesai penyesuaian dengan sistem LAP. Kelas Diego diarah berkumpul sekeliling kolam yang ada badan heli. Senang cerita, masuk heli, strap 4 point belt bagi ketat, heli tenggelam sepenuhnya, keluar ikut pintu atau tingkap paling dekat. Kemudian menda yang sama, tapi keluar ikut tingkap yang ditunjuk sahaja. Kemudian secara heli tenggelam dan terbalik. Ikut pintu dan yang terakhir ikut tingkap. Semua selesai dengan selamat. Cuma 4 kali situasi, 4 kali pengalaman berbeza. Kalut bila seat belt tak terbuka sepenuhnya, mata kabur masuk air, rasa tak cukup pernafasan, buih-buih bertaburan dan rasa konpius sebab dalam keadaan terbalik. 


Mesej penting adalah mengetahui dimanakah pintu / tingkap yang nak keluar. Kalau masa duduk tingkap belah kanan bahu, dah terbalik sekalipon, tingkap tetap berada di kanan bahu sebelum seatbelt dibuka.



Tapi bila dah selesai, rasa lega tak terkata dan rasa pengalaman yang sukar dilupakan. Tambah pulak ada video ni. Nampak tenang je keluar tu. Ha ha. 




Sebenarnya, cabaran getir baru nak mula. Diego ingat HUET tu dah cukup cuak. Rupanya sea survival lebih mencabar fizikal dari mental. Ah lain kali lah.

Jumaat, April 27, 2012

Catatan Diego - Cabaran Persisir Luar Pantai #1

Adalah menjadi impian atau harapan atau niat setiap pemegang ijazah sarjana muda dengan kepujian kejuruteraan mekanikal mahupon setiap pelajar yang tidak menghabiskan ijazah sarjana muda kejuruteraan mekanikal mereka sebab duit PTPTN mereka dah habis selepas mereka extend semester sampai maksimum untuk berkerja atau berpeluang bekerja di bidang Minyak dan Gas di Pesisir Luar Pantai. 


(5 baris ayat tanpa noktah untuk permulaan cerita adalah teknik menulis yang sangat power!).


Ini termasuklah Diego yang masuk dalam kategori berharapan tetapi bukan berimpian untuk berkerja atau mempunyai pengalaman bekerja di atas platform cari gali minyak mentah dan gas. Rakan-rakan Diego ada yang telah berpeluang berbuat demikian semasa mereka masih mentah dan tidak tahu apa-apa dengan tajaan dari anak syarikat penaja biasiswa mereka. Tetapi cabaran mereka tidaklah getir kerana mereka diberi peluang ke sana atas dasar belajar, bukan untuk membuktikan kebolehan diri mereka. (Kah kah kah. Ok, ini ayat jeles ye). 


Baru-baru ini, Diego sendiri telah berpeluang untuk merasai sendiri cabaran berkerja dan membuktikan diri sendiri di atas platform untuk satu kompeni Minyak dan Gas terbesar dunia. Naik ke platform itu belum tentu, tetapi syarat-syarat wajib bagi seorang jurutera minyak pelincir untuk memberi khidmat nasihat dan tunjuk ajar terhadap isu-isu minyak pelincir kepada kompeni Minyak dan Gas terbesar dunia ini perlu diikuti satu persatu. 


Syarat pertama ialah lulus dan mempunyai sijil perubatan pesisir luar pantai. Nama sijil kesihatan pon dah power!


Syarat ini tidaklah mudah bagi setiap pekerja yang ingin berdiri di atas platform sambil dibuai ombak ganas Laut China Selatan. Berikut merupakan cabaran yang harus Diego lalui sendiri dan agak getir bila diteliti satu persatu.


1. Cabaran pertama Diego adalah perlu berpuasa. Alah, sebulan berpuasa sebelum ini setiap tahun apalah susahnya bukan? Ok, Diego harus berpuasa bermula jam 12 tengah malam sebelumnya sehingglah selesai urusan mengambil darah. Kaunter pemeriksaan kesihatan pekerja industri hospital mula dibuka jam 10.10 pagi dan urusan darah hanyalah selesai pada jam 1.00 tengahari. Mudah bukan berpuasa sebegitu? 


Bagi Diego adalah tenang tapi tak mudah. Cabaran tanpa air dan gula dalam badan lebih dari yang disangkakan sebab adakah semua orang berhenti makan dan minum tepat jam 12 tengah malam? Ye, makan malam Diego adalah pada jam 7 malam dan air kosong separuh cawan terakhir adalah jam 2 pagi. Ada juga 2-3 orang yang dah mula mengamuk sebab belum selesai segala urusan darah yang membolehkan mereka makan dan minum.


2. Cabaran kedua adalah harus membiarkan badan bahagian atas terdedah kepada mata gadis penjaga X-ray, yang kemudian menyanyikan rangkap beritma "tarik nafas, lepas, tarik nafas dalam-dalam, tahan nafas, tahan nafas dan lepas" dan kemudiannya bahagian badan yang terdedah didedahkan kepada sinaran radioaktif X. Sinaran radioaktif ini jauh lebih tinggi miliservenya dari sebaran radioaktif loji Lynas sekarang. Boleh pula gadis radioaktif X-ray tanya, "La, tak pakai singlet ke?"


3. Sekembali dari disinari sinaran radioaktif X, Diego harus melalui cabaran menunggu. Brader pembuat pemeriksaan pendengaran sedang menyelesaikan sekumpulan pelanggan yang sedang membuat ujian fizikal (penglihatan, buta warna, timbang berat dan tinggi serta mengambil darah). Jadi penungguan Diego melibatkan acara menghabiskan membaca suratkhabar, membaca suratkhabar lama, melihat orang lain menunggu, mundar mandir dan melihat gadis kaunter bersembang. Sorang gadis kaunter agak menarik perhatian Diego kerana beliau berkebolehan mengenalpasti nama pelanggan dan rupa paras mereka. 


4. Cabaran getir dalam ujian pendengaran menanti Diego seterusnya. Dengan tidak tersangka oleh Diego, brader ujian pendengaran sudahpon mengeluarkan isyarat bunyi ke telinga kanan setelah Diego memasang headphone, tetapi tiada apa-apa reaksi dari Diego. Brader ujian pendengaran terkejut. 

"Eh, takkan tak dengar? Saya dah letak tinggi tu." Brader ujian pendengaran buat muka terkejut.



"Eh, dah ada ek, sekali lagi" Secara tenang Diego menjawab. 


"Tak dengar ke?" Brader ujian pendengaran bertanya lagi.

Diego hanya menggeleng. "Cuba buat belah kiri pulak" mintak Diego. 



Teet!! Teet! Teet! Diego picit butang isyarat di tangan tiap kali isyarat dihantar. Brader ujian pendengaran mengambil tempat. Mesin beliau berfungsi sebenarnya. 


Ujian sebenar pon bermula. Pintu kedap bunyi ditutup. Diego pasrah. 


Isyarat belah kanan dihantar dengan amplitud yang lebih tinggi dari biasa. Dari 4 atau 5 isyarat, hanya 3 yang mampu didengari. Kadang-kadang yang ke-empat adalah seperti ilusi, jadi Diego tekan juga. Ha ha ha. 


Baru Diego nak sungguh-sungguh menghayati ujian, pintu dah dibuka.


"Bang, belah kanan hancur, belah kiri normal. Saya tak tahu la lepas ke tak ni"


"Yeke, cemana ek? Memang belah kanan saya tak ok. Dalam ada problem" sambil Diego menyelak sisir tepi rambut.


"Oh, baru saya perasan" brader ujian pendengaran menyambung. "Tengok la nanti doktor kata macamana". 


5. Diego keluar tersengih. 15 tahun dahulu beliau sudah pon tahu keadaan ini, cuma ini ibarat refreshment terhadap hakikat dahulu. Kepala otak beliau sudah berkira-kira nak tanya doktor, boleh layak dikenalpasti sebagai OKU ke tidak nanti. Diego menanti cabaran ke lima. 


Dari aktiviti cabaran menunggu dan melihat orang, Diego dapat maklum yang peserta dibawah umur 35 tahun tidak perlu ujian ECG. Jadi hanya 2 checkpoint lagi harus dilalui. Ujian fizikal dan sesi bersama doktor. 


Sesi melihat huruf dari jauh, nombor berwarna dalam buku serta timbang berat dan tinggi diselesaikan Diego dengan sebelah mata sahaja. Mudah. Tiada cabaran. 


Bila sesi memeriksa tekanan, Diego buat paling releks. Kontrol degupan jantung supaya releks dan tak perlu gusar. Tekanan darah normal. 124/81. Sikit je lagi nak lulus cemerlang A+ walaupon perut belum diisi dan tekak dahaga ya amat. 


Tangan kanan dihulur. Getah pengikat diikat atas sikit dari siku. Jarum halus bersama picagari dikeluarkan dan salur darah dicari. Tusukan jarum yang pertama bawah sikit je dari kulit. Tiada apa-apa terjadi. Brader ujian darah sengetkan sedikit dan cucuk lebih dalam. Tetap tak ada apa-apa. Eh, beliau sedikit kaget. Brader ujian darah sengetkan lagi dan cucuk lagi sekali lebih dalam. Pon tiada apa-apa. Sebab ni la kot sekarang ini ramai sangat membantah ujian perubatan klinikal terhadap binatang. Sedap hati dorang je nak cucuk tang mana. 


Kali ini, brader ujian darah sengetkan terus 90 darjah dari sudut pertama beliau membuat cucukan. Darah terus memancut laju masuk ke dalam picagari tanpa perlu ditarik. Sedikit sedutan dari picagari dah cukup untuk mengumpul darah merah hitam dari lengan Diego. Ye. Cabaran melihat jarum dan dicucuk 4 kali harus dilalui tiap pekerja untuk berjaya dalam arena Pesisir Luar Pantai. 


6. Cabaran terakhir ialah mengumpul air urin ke dalam botol kecil. Tidaklah kita perlu bercerita bagaimana zip seluar, botol, pam tandas dan sebagainya di sini. Cuma Diego masih terbayang aksi sorang Mat Salleh yang baru selesai meletakkan sampel beliau di dalam bakul pengumpulan, beliau kemudiannya mengkelepiaq-kelepiaq tangan beliau ke bahagian belakang jeans beliau. Sekelip mata kemudian dia sudah membuka bungkusan sandwich Subway beliau untuk berbuka puasa. Nyum-nyum. 


7. Cabaran ujian kesihatan habis selepas sesi bersama doktor. Doktor mengatakan yang pendengaran harus normal untuk salah satu telinga dengan kehilangan pendengaran dibawah 20dB. Jadi, tidak perlu risau apa-apa. Perkara pertama dituju Diego adalah kafe hospital untuk berbuka puasa dan menamatkan dugaan cabaran pertama. Lengan rasa lenguh dan rasa nak tidur adalah tersangat tinggi. 


Kita sambung nanti bila selesai cabaran melompat dari tebing dan menyelamatkan diri dari helikopter yang tenggelam. Itu pon kalau lulus ujian kesihatan la. Ha ha. 

Khamis, Januari 05, 2012

Catatan Diego - Cari Pekerja@Kerjalorong

Baru-baru ini disebabkan pernah merasa 7 minggu berturut-turut ke hulu ke hilir tak masuk pejabat, bos tak nampak muka dan banyak bekerja luar, bos sudah memberi arahan untuk mencari seorang lagi jurutera berkebolehan seperti Diego yang masih muda.

Memilih seorang jurutera berpotensi tinggi yang boleh diharap dan boleh dilentur dengan baik serta membuat kerja dengan berkesan memerlukan Diego untuk memilih dari sudut yang berbeza. Semua sepakat untuk mencari secara memasuki jaringan data resume satu laman web terkemuka mencari kerja dan memilih sendiri calon yang difikirkan layak. 

Seharian melihat beratus-ratus resume memberikan rasa bercampur baur buat Diego. Niat ingin menolong bangsa sendiri, tapi cara menulis resume pon kekadang berterabur. Belum masuk lagi mamat yang tulis resume macam tak ikhlas nak mintak kerja. Banyak yang menulis resume macam buat laporan ujikaji. Ada juga yang buat macam biografi. Mujur tak ada yang menulis macam sms.

Yang menjadi perhatian Diego dan pertanyaan adalah sikap defensif calon yang cuba dihubungi. Belum dapat buat temujanji untuk ditemuduga, calon sudah memberi keputusan untuk tidak mahu ditemuduga dan merasakan jawatan ini tidak sesuai buat mereka. Termasuk seorang yang tidak mahu dipanggil dan kemudiannya menyerahkan resume rakannya, dan rakannya itu juga menolak untuk ditemuduga. Peh. Kalau taknak datang awal-awal lagi kenapa bagi resume suruh aku tengok?

Diego merasa sedikit kekesalan dengan sikap bertindak sebelum memeriksa mereka ini. Mereka ini adalah calon yang sangat rugi. Ye, rugi sebab jawatan ini sangat power, berpotensi tinggi, bakal meningkatkan nilai harga diri, bertaraf profesional, dikenali ramai, senang-senang sahaja berjabat tangan dengan ramai jurutera-jurutera mekanikal seluruh negara termasuk pakar pelbagai bidang minyak pelincir dari luar negara. Yang paling merugikan adalah mereka terlepas peluang ditunjuk ajar oleh Diego sendiri yang sudah berpengalaman hampir 10 tahun di dalam bidang minyak pelincir dan analisis minyak pelincir terguna pelbagai jenis mesin industri. Ye, Diego yang rasa dia power gila sebenarnya. Ada ke orang macam Diego di Malaysia? Mungkin tak ada yang sama betul-betul bidang kemahiran dan pengalaman dan paling mustahak, tak ramai yang pandai membuat kelakar. Dengan itu, silalah menuju ke arah kerugian yang amat besar.

Bidang pelinciran di negara ini masih belum cukup meluas dan diberi perhatian ramai. Ini ada sedikit deskripsi dari luar negara tentang potensi di dalam bidang pelinciran mesin masakini, yang ditulis pada tahun 2004 lagi.

http://www.machinerylubrication.com/Read/591/lubrication-profession

Tambahan..


Apa itu Jurutera Pakar Pelinciran?



What is a Lubrication Specialist? A Lubrication Specialist is an individual who might be designated a "Lubrication Engineer" by his/her employer. The job description for a Lubrication Specialist includes but is not limited to the following:
  • Evaluates and selects the proper lubricants to use. Recommends changes in lubricants.
  • Assists in purchasing lubricants by identifying which companies and products can be used interchangeably in a cost-effective manner.
  • Conducts lube surveys; specifies lubricants and procedures to those buying or installing new equipment.
  • Trains lubricators and assembles work lists for them to use. Establishes lube frequencies on all equipment. Designs or modifies all types of lubricant dispensing systems.
  • Develops and implements Quality Assurance and Used Lubricant analysis programs.
  • Oversees oily waste collection, reclamation or disposal. Converts as much usage as is economical to bulk.
  • Consolidates lubricant inventories to the fewest possible products.
  • Maintains records of lubricants by application throughout the plant.
  • Troubleshoots and problem solves supposed lubrication failures to identify root cause. Identifies corrective action to take and follows up.
Sumber dari STLE.org

Jumaat, Oktober 28, 2011

Catatan Diego - Bowling@Singapore

"Bakat terpendam tidak tercungkil selagi tidak mencuba"


Ini sahajalah yang dapat disimpulkan dari cerita ini. Kompeni Diego telah mengadakan satu pertandingan boling peringkat ofis-ofis. Semua bahagian dan ofis-ofis dibawah naungan Kumpulan Bos-Bos hendaklah menghantar wakil 5 sepasukan masing-masing. Semua pasukan wajib menghantar wakil, bahagian minyak pelincir, bahagian tayar, bahagian logistik, bahagian workshop kereta, bahagian workshop trak dan satu pasukan khas juga ditubuhkan, pasukan ketua setiap department. 

Tidak dapat tidak, nama Diego terpilih untuk mewakili pasukan ketua setiap department. Ini sama sekali bukan sukarela, lebih kepada paksarela. Sebab salah satu ahli pasukan ketua setiap department ini ialah Bos Besar. Kau berani tak pegi?



Sesi latihan sebelum perlawanan diadakan bagi siapa-siapa yang nak main boling percuma sambil mengenal bola boling, kasut boling, pin boling dan sistem permarkahan. Kebanyakkannya masih bergantung kepada mesin komputer untuk mengira. Mana nak reti markah sendiri. 


Soalan pertama dari Bos Besar berbunyi begini sambil beliau menyarung kasut boling yang dibawa dari rumah. Bola peribadi pula baru sahaja dikeluarkan dari beg boling.

"Berapakah markah purata kamu?"



"Err, seratus ke seratus dua puluh? Saya baru main pertama kali ni bos, dah 5-6 tahun tak main boling ni". Diego jawab penuh tulus ikhlas. Sebenarnya, mengikut rekod, tak pernah Diego lepas seratus masa dulu-dulu dia kenal pusat boling semasa masih menuntut di universiti. Enam puluh ke lapan puluh adalah angka yang lebih tepat. 


Bos angguk ok sambil menabur sedikit bedak di atas papan pengendali markah. 


"Kurang dari seratus pin, saya cas seringgit satu pin" Bos pon berlalu mengambil bola. Kau berani baling merata-rata setelah amaran sebegitu?


Sesi latihan berjalan lancar dengan lemparan-lemparan pelbagai gaya. Ada yang melempar begitu laju tanpa hala tuju janji laju macam la pin tuh kena pecah baru dapat markah tinggi. Ada juga yang melempar ke belakang juga tanpa tujuan tertentu. Ada yang melempar dengan begitu lembut sekali sehingga bola yang bergolek itu diiringi bunyi cengkerik dan suasana menjadi sunyi sepi dan segala pergerakan menjadi begitu perlahan tapi semua pin akhirnya jatuh. Ya, dah nama pon latihan. Pelbagai gaya dapat dilihat. Yang menjadi lebih cabaran bila melihat opis jabatan lain mempunyai pemain-pemain boling yang membaling bola cangkuk dengan begitu propesenel sekali. Peh.


Sesi latihan tamat dengan markah selamat dari Diego. 3 set dengan catatan lebih seratus tapi tak sampai pon seratus dua puluh lima dengan gaya balingan lurus janji kena pin. Bos pula pulang dengan catatan atas seratus enam puluh. Diego baru mengetahui bahawa makan malam adalah begitu penting sebelum bermain boling sebab tak sangka selepas 3 set, bola boling terasa makin berat. Hari perlawanan sebenar adalah seminggu setengah dari sekarang. 


Kita terus sahaja fast forward ke hari perlawanan. Yela, kerja seharian takkan nak cerita jugak dalam ini cerita. Untuk hari perlawanan, persiapan rapi telah dibuat. Air botol dibawa untuk penghilang dahaga. Semayang maghrib dilaksana tepat pada waktu serta makan nasi dilakukan seawal pukul 6 petang. 


Kumpulan ketua setiap jabatan diletakkan pada lorong bersebelahan dengan opis servis trak dan lori. Mereka yang bermain dikumpulan ini dikatakan adalah pemain utama dan sudah berkali-kali mewakili pasukan opis Johor untuk berlawan dengan pasukan opis Singapore. Tiap sorang dari mereka ada bola sendiri dan semuanya dengan gaya balingan cangkuk. Termasuk peserta wanita mereka. Laki bini pulak tuh terrer main boling. Peh. 


Set pertama pon bermula. Diego mengambil giliran kedua selepas bos. Kasik bos bakar itu lorong kasik panas. Sepuluh pin jatuh. Peh. Bos dapat markah X.


Diego memulakan balingan. Sembilan pin jatuh, tapi sayang pin tunggal tak dapat dijatuhkan. Rerakan Diego lagi 4 orang juga punya gaya balingan amatur tersendiri. Ada yang kena, ada yang tak kena dan ada yang jatuh semua. 


Entah macamana, dari balingan ke-9, Diego berjaya mendapatkan markah X. Balingan ke-10 pon dengan markah X. Dua balingan percuma juga Diego mendapatkan X. Ayam jantan pon keluar di papan markah dengan XXXX. Peh, markah tertinggi dalam hidup dengan 171 markah dari Diego. Bos masih maintain dengan seratus enam puluh lebih. 


Kumpulan opis servis lori dan trak mula meninjau-ninjau siapakah gerangan pemunya 4X di papan markah. Paling kuat depa ada sorang dengan 3X. 


Frame kedua dan ketiga adalah seperti hujan panas diluar rumah. Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari. Balingan dari Diego mengecewakan dengan hanya seratus sembilan dan seratus sepuluh. Mujur rakan-rakan lain di prestasi menaik dengan markah lebih tinggi dari Diego di frame kedua dan ketiga dan Bos Besar dengan prestasi tertinggi


Bila taburan markah dilakukan di akhir perlawanan, rupanya kumpulan ketua setiap jabatan berjaya mendapatkan tempat ketiga dari 8 pasukan. Sayang hadiah dan trofi hanya untuk 2 pasukan teratas. Bos besar mendapat kedudukan ketiga tertinggi individu. Ye, kami hanya bergantung pada beliau untuk markah tertinggi kumpulan.  


"Eh, tak sangka boleh dapat tempat ketiga!" Diego sahutt pada rakan sepasukan.


"Apa yang tak sangka? Ingat saya ni teruk sangat ke?" Bos sambut dari belakang. 


3 hari selepas perlawanan. Diego dapat emel yang mengumumkan beliau terpilih sebagai salah seorang dari 15 peserta yang berjaya mewakili Opis Johor untuk berlawan dengan Opis Singapore di Singapore sebulan yang akan datang. Jadual latihan dikeluarkan. Diego hanya sempat hadir 2 latihan pertama, terlepas 2 latihan seterusnya disebabkan hal kerja. 


Semasa sesi latihan kedua, entah dirasuk apa pada frame ke-5, semua balingan disempurnakan dengan markah (/) walaupon sebelum frame tersebut, nak dapat X pon tak ada. Markah tertinggi peribadi dicatat dengan 182. Ada sinar harapan menjadi pemain utama nanti.


Sebelum masuk latihan ke-5 dan yang terakhir, satu lagi berita datang.


"Kamu dikehendaki mewakili bos-bos semua yang dijemput untuk menghadiri majlis perkahwinan Ketua Jurutera Minyak Pelincir prinsipal kita pada hari Ahad ini di KL, jadi kamu bolehla secara sukarela menarik diri dari menyertai pasukan boling opis Johor yang juga berlawan pada hari Ahad ini".


Dengar cerita, pasukan opis Johor tanpa Diego menang di tempat lawan. 


Hingga ke saat ini, belum ada apa-apa jenis pingat lagi dalam koleksi Diego di arena sukan pejabat. Dulu-dulu pejabat ada 4-5 orang je, jadah apa nak ada sukan pejabat. 

Jumaat, Oktober 21, 2011

Catatan Diego - Sibuk@Kerja.

Hujung bulan September, JB-Melaka-Kuantan-KL-JB. Steady, walau kereta kawan enjin berasap. 

Rehat seminggu, tambah steady, sampai sempat main badminton.

Minggu kedua Oktober. JB-Melaka-KL-JB-KL-JB. Balik terus demam. Tak steady dah.

Minggu ketiga Oktober. JB-Penang-JB. Sebelum gerak balik terus dah muntah. Hilang segala jenis steady.

Ni nak mengadap JB-Melaka-JB sebelum Deepavali minggu depan.

Kemudian minggu pertama November seminggu akan membuat JB-Kuantan-JB. Huarghhh.

Sangat-sangat beruntung sebab ada support system yang sangat-sangat kukuh lagi bekerja berat di rumah. 

Khamis, September 22, 2011

Catatan Diego - Harga@Kerja

Sekarang baru Diego tahu. 


Dirinya dinilai begitu rendah di bawah paras sebenar suatu ketika dahulu. Tambah lagi, nama jawatannya lagi tinggi. 



Sekurang-kurangnya Diego juga tahu, lopong yang ditinggalkan begitu besar sekali untuk ditambun semula. Entah 2-3 orang sudah silih berganti. 

Jumaat, Ogos 12, 2011

Catatan Diego - Hepi@Lampu Isyarat

Pada setiap petang, Diego akan melalui satu jalan pintas untuk ke lebuhraya nak balik rumah. Jalan pintas ini adalah lintasan bawah lebuhraya. Jadi ada lampu trafik untuk mengawal lalu lintas. Cuma tak ramai pemandu yang mengendahkan lampu isyarat tersebut.


Pernah satu hari di bulan Syawal tahun lepas, Diego ikut sahaja kereta hadapan menghentam lampu isyarat merah. Silap besar yang amat sebab selepas sahaja selekoh, pakcik polis trafik sedang sedap-sedap menunggu pesalah trafik yang menghentam lampu merah. Berderet kereta kena tahan termasuk Diego. Mujur hari itu baru 5 haribulan Syawal. Setelah pakcik polis meneliti kad pengenalan dan lesen, pakcik polis trafik memberi nasihat dan kata-kata perangsang supaya Diego mematuhi lampu isyarat di masa hadapan. Diego bersyukur atas kejadian ini dan terus tidak teringin nak menyokong Bersih 2.0. 


Jadi, tiap petang selepas itu, Diego akan mematuhi semua lampu isyarat, tidak kira ada polis atau pon tidak. Peduli apa pemandu dibelakang nak menyumpah atau memperlekeh menunggu di jalan yang lenggang, duit saman bukan boleh tong-tong kerat dua. 


Sebenarnya menunggu di lampu isyarat itu tidaklah sesuatu yang memberatkan sangat. Kalau rezeki murah, dapat la melihat gadis-gadis di kalangan makcik-makcik baru keluar kilang jahit depan lampu isyarat itu. Tapi yang selalu terjumpa ialah macha-macha brader Bangla yang baru pulang dari depoh syarikat pengangkut sampah persendirian kawasan selatan. 


Mengikut pemerhatian Diego, pemuda-pemuda Bangla, Myanmar dan pelbagai negara yang beruniform hijau oren ini ada satu tarikan tersendiri. Kalau kita duduk dalam kereta atau bas dan memerhati orang sekeliling yang baru balik kerja, perasankah kita bahawa muka mereka ketat, liat lagi mencuka?


Tetapi tidak bagi pemuda-pemuda Bangla, Myanmar dan pelbagai negara ini yang beruniform hijau oren ini. Sebaris senyuman pasti ada pada tiap wajah pekerja pengutip sampah ini pada waktu petang selepas mereka pulang kerja. Ini Diego perasan sampai tahap nak berhenti kereta dan pukul gambar secara curi untuk menunjukkan kebenaran ini. Wajah mereka ceria, tidak ketat mahupon liat. Yang lebih mendamaikan ialah mereka berpegangan tangan sambil berjalan beriringan. 


Kalau dilihat dan didalami dengan mendalam, kerja mereka sangat berat, busuk, berair, nak muntah, jeluak, nak maki, angkat sampah, angkat bekas tahi (lampin pakai buang), angkat benda buruk dan tidak glemer. Tapi sebaris senyuman terbit di wajah mereka bila mereka pulang dari kerja. Kenapa tidak kita yang bekerja dengan bilik berhawa dingin dan menyentuh papan kekunci sahaja? 


Kenapa bila balik kerja mesti nak menyumpah pemandu lain? Berebut tak tentu hala giliran nak masuk simpang dan kadang-kadang marah orang bawak kereta perlahan? Belum masuk berebut nak bayar tol, pintas sana sini dan maki asal sempat.


Ye, brader angkut sampah yang jalan kaki itu jauh lebih mulia dan berbudi pekerti dari pekerja berkolar putih yang memandu kenderaan berhawa dingin kalau berperangai sedemikian. 


Jadi, tiap kali terperangkap di kesesakan lalulintas selepas balik kerja, mungkin kita boleh renungkan kembali, mungkin kerja angkat sampah lagi best dan enjoy, sebagai muhasabah diri.


Sekadar gambar renungan.

Khamis, April 07, 2011

Catatan Diego - Jentera Berat@Seminar


Okeh, cuba bayangkan yang Diego ada kat rostrum tersebut, memegang mikrofon tanpa wayar di tangan kanan, memegang pengalih 'slide' tanpa wayar di tangan kiri. Sambil memperdengarkan ilmu hal-hal jentera berat dan kegunaan minyak pelincir untuk hal sedemikian. Tidak perlu kata-kata fantastik seperti teknologi nano, ultra fine micron particles, cari kaki sepasang dan teknologi FIR sambil berdengar-dengar dengan pemasaran yang mematuhi syariah.  

Di depan Diego pula ada 80 orang di 13 meja bulat. Semua yang mendengar adalah stended bos-bos dan pemilik berbelas-belas kekadang berpuluh-puluh jentera berat seperti lori barang, lori tangki, lori kargo, lori hantu, jengkaut, jentolak, backhoe, pemampat jalan, kren beroda dan sebagainya. 

Semua yang datang angguk-angguk, tapi tak perlu dipaksa untuk letak deposit RM21,000 untuk 10 barang dan lantak kaulah nak jual macam mana lepas itu. Kau nak pinjam bank ke, keluar duit ASB ke, jual tanah ke. Semua yang datang tidak dipaksa apa-apa. Dapat cabutan bertuah iPad lagi adalah. Tak ke steady marketingnya?

Ok, dah bayangkan semua itu? Power kan? Peh..

Ok cuba bayangkan pula pada ketika dan masa ini, rakyat kebanyakan tengah tengok rancangan Jalan-jalan Cari Makan sambil menunggu rancangan Melodi. 

Betapa bersyukur dan terpilihnya Diego dengan pengisian ruang sempit hujung minggu dengan majlis ilmu sebegini. 

Syukur Alhamdulillah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...