Advertlets

Memaparkan catatan dengan label Ammar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ammar. Papar semua catatan

Khamis, November 12, 2020

Tulis-tulis Bolasepak - 7 sebab kenapa Aubameyang sudah berstatus lagenda di mata penyokong Arsenal

1. Auba telah menjaringkan lebih 20 gol liga semusim untuk 2 musim penuh berturut-turut bersama Arsenal dan hampir-hampir menjadi penjaring terbanyak untuk 2 musim berturut-turut juga.


2. Sejak hari pertama (pertengahan musim 2017/18) beliau menyertai Arsenal di Premier League, beliau merupakan penjaring gol terbanyak berbanding Salah (68), Sterling (65), Vardy (52) dan Aguero (51) dalam tempoh yang sama dengan 71 gol sehingga hari ini dalam semua perlawanan.

3. Beliau menjaringkan gol dengan jumlah cubaan paling sedikit (26% cubaan menghasilkan gol) berbanding penyerang lain. Umum maklum, Arsenal tidak mempunyai penyedia assist terbaik berbanding Liverpool dan Man City untuk 3 tahun kebelakangan ini.

4. Auba merubah sumpahan bahawa semua kapten Arsenal akan beralih haluan apabila sudah sampai ke kemuncak karier. Viera, Henry, Fabregas, Van Persie dan Koscielny tidak mampu melakukan hal yang sepertinya.

5. Dengan kontrak kurang dari setahun dan umur 31 tahun, serta prestasi yang tengah memuncak, beliau mempunyai 2 tawaran lebih lumayan dari kelab besar (katanya Barcelona dan Inter Milan) yang menyediakan platform UCL, tetapi beliau tetap memilih untuk menyambung kontrak bersama Arsenal. Hati kecil beliau tidak terfikir untuk bermain dengan kelab impian lain sewaktu beliau masih kecil atau ingin bermain piano di hadapan rakan-rakan pasukan baru.

7. Antara sebab utama beliau memilih untuk kekal bersama Arsenal ialah beliau percaya dengan projek yang diterajui oleh Mikel Arteta dan ingin meneruskan legasi beliau bersama Arsenal meskipun masih belum pernah bermain di UCL sejak menyertai Arsenal. Beliau percaya dengan bakat muda yang muncul dari Akademi Arsenal untuk tujuan ini dan beliau percaya, dia akan menamatkan kariernya bersama Arsenal dengan status sebagai seorang lagenda.

Lagenda baru Arsenal dalam perjalanan.



Isnin, Februari 06, 2017

Hari Pertama Saya Ke Sekolah Anak Saya III

Setelah setengah tahun takde kemaskini. Boleh sudah blog ini masuk kategori TERBENGKALAI.

Sebenarnya banyak perkongsian yang boleh sahaja dikongsi. Tapi sifat malas membuka dashboard sudah meresapi masuk ke dalam otak untuk tidak menulis di sini. Eleh, tak tempat lain pon tak tulis jugak. 

Huhuhu.

Setelah melihat koleksi gambar yang ada boleh la jugak buat entri asal sempat. 

Hari Pertama Saya Ke-Sekolah Anak Saya Edisi III. 

Kali ini untuk Ayman darjah 1 dan Ariq masuk taska 4 tahun. Yang abang-abang dah masuk darjah 5 dan 4. 






Rabu, November 04, 2015

Amani EVO

Tajuk nak evo jugak. Konon Polis Evo la.

Tu ja nak tulis. Lain-lain ialah gambar evolusi mereka dan perbandingan antara satu sama lain. 

Sewaktu hari kelahiran.

Hampir 6 bulan

  Setahun jagung.

2 tahun lebih sikit.

Bolasepak Akar Umbi IV

Dreamstar Tournament - Piala Amby Hex 2015 (31 Oktober 2015)

Sebenarnya JDT menang Piala AFC tu tak la mendatangkan apa-apa keterujaan sangat bagi kami. Game malam tu pon kami tengok sedikit sambil lewa ja.

Sebabnya kami lebih teruja pada belah siang hari yang sama dalam Dreamstar Tournament Amby Hex Cup bila Ammar dan team SJFC U8 berjaya menduduki tempat ketiga kumpulan dan layak ke peringkat separuh akhir. Dalam 9 perlawanan, SJFC U8 menang 6 perlawanan (1 bye), 1 seri dan 2 kalah. Ammar menjaringkan 4 gol, 2 dari Airil dan 1 gol oleh Amani dan Khairi. Adib pula hanya melepaskan 4 gol.

Walaupon kalah di separuh akhir, ia ditebus dengan kemenangan penuh saspens pada perlawanan kedudukan 3/4 dimana kedua-dua pasukan terikat 0-0 dan bila penalti juga terikat seri 1-1.

Pengadil kata kita lambung syiling, tentukan siapa yang ambil sepakan dan siap yang menjaga gol untuk last penalti. Pihak lawan mengambil sepakan tetapi berjaya diselamatkan Adib. Melompat semua dengan kemenangan itu.





Keputusan Penuh:
SJFC (2-0) Dreamstars A
Ammar - 1 gol
Amani - 1 gol

SJFC (3-0) SJFC B

SJFC (0-0) AMC Academy

SJFC (1-0) Kangkar PTSA
Ammar - 1 gol

SJFC (0-2) Putra Kids

SJFC (1-0) Harimau A
Airil - 1 gol

SJFC (0-2) Harimau B

SJFC (1-0) Kangkar PTSB

SJFC (3-0) Dreamstars B
Ammar - 2 gol
Khairi - 1 gol

Semi Final 
SJFC (0-2) Harimau B

3/4 Placing
SJFC (0-0) AMC Academy (penalti 1-1)
Menang sudden death penalti (save penalti).

Pasukan Aqil di SJFC U10 pula mendatangkan keterujaan yang berlainan caranya. Depa dah main dekat 4 ke 5 perlawanan tapi pasukan depa belum lagi dapat menjaringkan gol yang betul-betul jaringan gol seorang penyerang. Gol terdahulu dari satu lontaran ke dalam yang ditepis masuk keeper dan satu lagi ialah satu tendangan gol yang tidak dikawal kemas keeper lawan. Jadi bila tiba satu perlawanan yang depa betul-betul menguasai perlawanan, banyak cubaan depn gol yang bersimpang-siur juga mendatangkan kegeraman dan arghhhh-apesal-susahnya-diorang-ni-nak-score??, akhirnya dapat juga team itu menjaringkan 3 gol padang dari sebanyak-banyak peluang yang ada.

Perjuangan depa agak memberangsangkan dengan 5 menang (2 bye), 4 seri dan 2 kalah tapi hanya mampu di kedudukan ke-6 dari 11 pasukan.




Team SJFC U12 pon di kedudukan ke 6 dalam kumpulan.

Walaupon main runcit-runcit dan bukan ditahap tertinggi, ini ialah pengalaman dan kenangan bagi anak-anak dalam arena bolasepak kanak-kanak mereka. Depa akan ingat semua ini terutamanya perasaan bermain di atas padang secara kompetitif. Terima kasih buat semua tunjuk ajar daripada jurulatih, pengurusan SJFC dan semua ibu bapa yang memberi komitment tidak terhingga dari awal pagi kejohanan sehinggalah tamat majlis. 

#SouthernJuniorFC

Selasa, September 08, 2015

Bolasepak Akar Umbi III

Liga GSA 2015 9 sebelah U12

Anjuran Glory Soccer Academy, yang berpusat di Taman Bukit Jaya, Tiram. 

SJFC sudah bersedia sejak pukul 6.30 pagi. Berkumpul di McD UTM Skudai. Zhariff, Aiman, Akmal, Amani dan Adib bersama Pn Nora. Manakala aku membawa Aqil dan Ammar. Sedikit terkejut sebab hanya Pn Nora yang menjadi pengiring kalau aku tak ikut serta. En Nizam hanya menunggu untuk perkumpulan pemain sahaja. Encik Khai hanya akan datang nanti kemudian. Jadi ayat yang sama macam sebelum ini. "Nanti abang la tolong bawak team tu ye". 

Bila dikira semua pemain, 2-3 lagi yang akan datang kemudian, ada la 10 pemain semuanya. Jumlah dibenarkan ialah 15 pemain. Dan seorang keeper pon kami takde. Bila ditanya, sorang pon tak berani sukarela menjadi keeper. Glove tak ada, seluar panjang pon tak ada. Mujur ada jersi lain warna. 

Satu lagi kejutan ialah pemilihan lokasi perlawanan. Dibuat di padang bolasepak awam. Yang hanya ada satu khemah urusetia, padangnya bersaiz sederhana tapi tiang gol saiz luar biasa. Jumlah luas kawasan berpasir lebih banyak dari kawasan berumput. Tandas pon tak ada. Tempat redup banyak tapi pepandai sendiri untuk membawa tikar dan khemah untuk keselesaan peserta. 

Pn Nora selesaikan segala urusan air, pisang, ais, glukos dan penyertaan. Aku hanya tolong depa memulakan pemanas badan dan menetapkan posisi permainan. 

Hazim bila dipujuk baru lah sedikit berani nak jadi keeper, tapi dia bukanlah keeper semula jadi, masih lagi ingin menjadi pemain padang. Belum digilap dan betul-betul 'in' dengan karektor sebagai keeper. Teknik tangkapan aku tunjuk 2-3 jenis bagi dia terbiasa. Tangkap dengan 2 tangan. Tangan di belakang bola. Tangkap bola bukan cekup macam tangkap belalang. 



Jadual sampai masa kami tengah memanaskan badan. Perlawanan ke-empat, pihak lawan pula ialah Youngstar A dan GSA#6. Youngstar kami kenal sebagai johan kejohanan karnival SJFC bulan 2 haritu. GSA#6 pula pasukan tuan rumah, salah satu dari 3 pasukan tuan rumah kejohanan. 

Sebelum perlawanan bermula, mujur ada pemain yang sudi meminjamkan glove beliau. Jadi keeper kami lebih konfiden untuk berada di atas padang. Strateginya ringkas, jangan bagi pihak lawan buat cubaan merembat ke arag gol. Jadi keeper tidak diperlukan untuk membuat saves yang susah. Tak payah sepak bola tinggi, biar Aiman yang ambil sepakan gol. 

Penyerang Zhariff dan Aliff. 

Perancang tengah Akmal dan Haziq. 

Pertahanan Ammar, Aiman, Adib dan Aqil. 

Keeper Hazim. 


Kesudahannya.

Perlawanan pertama dengan GSA#6, SJFC menang 1-0 hasil jaringan Zharif dari pergelutan di depan gol dibantu dengan percubaan dari Aqil.


Perlawanan kedua dengan Youngstar A, SJFC kalah 1-5. Juga dengan jaringan dari Zharif. Walaupon Marzuki ayam tambatan Youngstar dikawal rapi, Ammar tapi rakan-rakan beliau yang lincah tetap dapat mencari peluang menghasilkan gol. SJFC naib johan kumpulan D dan layak ke suku akhir. 


Dalam suku akhir, SJFC bertemu JK Sungai Tiram. Dalam perlawanan ini keadaan padang sangat buruk akibat hujan lebat pada waktu tengahari. Kawasan depan gol bergenang dengan air. 

Tambah buruk bila kekasaran berlaku kepada penjaga gol bidan terjun, Hazim. Dia diterjah keras pihak lawan, berdarah lutut. Teriak habis penjaga gol kami. 


Pengadil tidak memberikan faul malah membenarkan gol yang dijaringkan. Sangat banyak keputusan yang meragukan pengadil sehingga En Khai dan En Nizam beberap kali diberi amaran di tepi padang, sehingga diugut untuk diarahkan keluar padang, tapi pengadil sendiri tak punya sebarang kad berwarna pon di dalam kocek. Sepanjang perlawanan dipertandingkan, tiada kad yang diberi sebab memang tiada kad disediakan dan pengadil terdiri dari induk urusetia sendiri yang menghantar 3 pasukan bertanding. Hemm, agak fishy kan? 

Keputusan berakhir dengan kekalahan 1-3 di tangan JK Sungai Tiram yang kemudiannya menjadi juara kejohanan mengalahkan GSA#4. 



SJFC pulang tangan kosong tapi penuh dengan pengalaman di dada. Harapan untuk pasukan diperkuat 4-5 pemain dari skuad 1MCC juga pudar sebab mereka tiba lewat dari jangkaan. Semuanya selesai dan pengalaman yang ditimba tiap pemain adalah berharga. Kami pulang tewas tapi berisi dengan pengalama dan kenangan yang sukar dicari jika hanya berlatih tanpa apa-apa pertandingan. 

Jadi, pengalaman membawa pasukan yang masih lagi muda dengan pengalaman dan tidak mempunyai asas bolasepak yang tinggi adalah sangat berharga buat aku dan SJFC. Hanya permainan kompetitif boleh membina keyakinan pemain muda ini. 

#SouthernJuniorFC

Isnin, Februari 23, 2015

Bolasepak Akar Umbi II

"Coach, saya nak main atas boleh?"

"Coach, ala, bagi la saya main atas, saya nak jadi striker"

"Saya nak main dulu, taknak main second half"

"Tak mo la lawan dorang, diorang kuat, mesti kalah nanti"

".....angguk..." Takde respon lain. 

"Bila kita nak main lagi ni?"

"Yeaaa, menang!!!" Bila keputusan menang walkover diumumkan. 

Ye, pada mulanya, aku ialah seorang bapa penjaga anak-anak yang menyertai kelab bolasepak yang masuk karnival pertandingan 7 sebelah. Tapi bila masuk bab penyediaan pemain dan pasukan, nampak macam tak ada sapa yang betul-betul tolong mengurus pasukan ini. Coach sebenar tak dapat hadir, coach ganti pula ialah seorang bapa pada anak yang juga dari kelab yang sama tapi bermain untuk satu lagi pasukan lain. Pasukan yang mana semua pemain itu dah boleh bermain dengan baik dan faham fungsi dan peranan masing-masing. Jadi dia pon berbelah bahagi dan buat kerja separuh hati. 

Pasukan anak-anak ini pula, nak panaskan badan pon kena ditunjuk, kalau harap depa buat sendiri, maka hati kita yang panas nanti. Itu belum masuk bab bermain sebagai satu pasukan. Skill paling tinggi depa ada mungkin hanya menyepak bola dengan betul. Menahan bola, mengelecek bola, merampas bola, menendang jauh serta lain-lain skill masih ditahap biasa-biasa. 

Jadi, aku tonjolkan juga penglibatan dari hanya menjadi bapa penjaga kepada bapa penjaga yang terlebih prihatin dan lebih mengambil bahagian dalam pasukan anak-anak ini. Jadi, perlawanan pertama, aku tolong keluarkan anak-anak sendiri dan ganti dengan pemain yang belum dapat peluang bermain. Dan coach ganti terus pesan. 

"Next game nanti abang bawak la dorang". Tak pasal pasal. Yang lebih merisaukan ialah tiap ibu atau bapa yang menghantar anak mereka bermain mesti mengharap anak mereka berpeluang bermain di atas padang, jadi aku juga akan berbelah bahagi nak pilih siapa sebagai pemain utama. 

Tapi bila melihat depa sendiri dapat peluang berada atas padang, sama-sama menyepak bola dengan pasukan yang lebih tinggi skill mereka, dapat merasa sendiri pengalaman perlawanan konpetitif walaupon baru masuk darjah 1 dan lawan pula darjah 4, itulah perasaan yang tak dapat diberi oleh mana mana kelas atau bilik darjah.

Paling manis, bilamana depa menang satu perlawanan dan semua melompat gembira bila dengar wisel penamat. Memang kegembiraan jelas terpancar. Sambutan bila rakan sepasukan menjaringkan gol juga sesuatu perasaan yang susah nak digambarkan. 

Rasa sedih bila nampak gol dibolosi. Semua itu adalah untuk depa belajar. Ada kelihatan rasa frust sebab senang sangat pihak lawan menjaringkan gol. Banyak betul yang depa dapat rasa untuk seharian karnival ini berlangsung. 

Dengan harapan yang paling miminum, hajat menjadi coach tak bertauliah masa depa tengah berlawan ialah hanya berharap depa dapat menyekat pergerakan lawan dari menuju ke arah gol. Itu sahaja. 

Nak harap depa melepasi benteng pihak lawan memang sukar sebab kawalan bola yang belum masih kemas dan depa ini bertubuh kecil belaka. Sekali pihak lawan gelecek, 4 orang terus lepas. 

Juga menjadi coach, berapa banyak yang dibolosi tak diambil kisah langsung. Hanya betul-betul dikira bila dah abis perlawanan dengan menyemak keputusan rasmi. 

Nasib menyebelahi mereka bila 3 pasukan dalam kumpulan tidak hadir dan mendapat bye. Bila menang satu perlawanan dah cukup untuk depa masuk separuh akhir dan membawa balik pingat. Cumanya kedudukan 3/4 diakhiri dengan kekalahan 0-9. Banyak jugak tu. Hahah. 

Good job Southern Junior FC. 





Jumaat, Februari 20, 2015

Bolasepak Akar Umbi

Pada usia hampir 35 tahun di tahun 2015 ini, rasanya sudah cukuplah untuk peminat bolasepak Malaysia seperti aku untuk memperkatakan dengan lebih atau tambah kuah lagi berkenaan peranan institusi seperti FAM atau KBS atau mengharap semua pemain profesional bolasepak Malaysia ni membawa satu nafas baru atau harapan kepada masa depan bolasepak negara. Tak kan ada perbezaan bagi beberapa tahun yang mendatang aku rasa.

Jadi, sebagai seorang peminat bolasepak, peranan seorang aku di sini mungkin lebih cerah kalau bertindak sendiri untuk cuba mengubah masa depan untuk 10-15 tahun akan datang. Aku ada anak lelaki berusia 9, 8, 5 dan 2 tahun. Depa suka atau tidak, usia depa ini masih lagi ada harapan untuk dibentuk dan diterap asas bolasepak sebenar. 

Kalau sekarang kita marah pemain Malaysia tahan bola tak lekat, clear bola ikut arah kepala lutut, hantaran pendek berterabur, gelecek bola tertinggal kat belakang, tanduk lelap mata, rembat depan gol tertukar dengan tiang gol ragbi, bila bola di pihak lawan player tak marking elok-elok, keeper tangkap belalang dan macam-macam lagi. Nah, sekarang kau sendiri ada anak lelaki 4 orang untuk kau sendiri bentuk menjadi pemain yang kau sendiri idam-idamkan. Cemana, ada berani? 

Ada kau berani suruh anak sendiri lari keliling padang 5 round tanpa henti tanpa rasa belas ihsan? Kalau kau rasa menyirap bila dia tahan bola macam jahanam, boleh kau suruh dia pumping 20 kali? Bila suruh main passing kau suruh dia buka mulut mintak bola dia tak menyahut, kau ada rasa nak tendang. Baru sejam berlatih atas padang dia dah terbaring penat dan kau sendiri tak sanggup suruh dia buat lagi. Inilah cabaran bolasepak akar umbi. Cabaran kalau melatih anak sendiri. Tapi anak orang lain kau boleh maki sambil makan kuaci. Yep, Safee Sali tu pon anak orang juga. Amacam? Ada lagi hasrat nak maki saja? Safee Sali kata, kalau power sangat, cuba la main sendiri. Aku kata, kalau ko power sangat kritik orang sana sini, cuba la didik sorang dua pemain yang boleh jadi lagi power dari Safee Sali tu. 

Dari situasi sebegini, aku serapkan dua anak lelaki aku ke kelab bolasepak persendirian. Yang ditubuhkan oleh ibu bapa yang mahu anak-anak depa mendapat pendedahan bolasepak akar umbi dengan lebih baik. Kalau harap latihan di sekolah, banyak kekangannya macam sekolah tak cukup guru yang komited melatih, yang berminat main bola tak terpilih sebab guru pilih bulu, latihan tak tentu, kadang-kadang kensel latihan sebab tarikh bertembung dengan pertandingan pidato dan macam-macam lagi alasan yang mana latihan bolasepak di sekolah tidak dapat memberi peluang setimpal untuk setiap murid yang berminat untuk menyertai pasukan bolasepak sekolahnya. 

Untuk depa ni, ini usaha aku meramaikan dan memeriahkan kelab-kelab kecil sebegini untuk lebih maju dan berkembang lagi. Ada latihan yang berstruktur, ada peluang memasuki pertandingan-pertandingan yang tidak berkala/bermusim, juga rasa sendiri bagaimana bermain dalam pertandingan dan kenal betul bolasepak sebenar.

Cabaran bolasepak akar umbi ini sememangnya getir. Kita boleh ja kata FAM itu ini, susun jadual perlawanan macam itu ini. Hal paling kecil macam memastikan anak sampai tepat pada waktu untuk latihan pon belum tentu kita boleh buat. Sekarang kau rasa la. 

2-3 latihan kebelakangan ini, coach utama pasukan kelab ini ada komitmenlain dan coach kedua yang memgambil alih. Dari pemerhatian aku untuk satu sesi penuh terbaru ini, menjadi coach akar umbi bukanlah sesuatu yang kacang dan mudah. Macam aku cakap, kau latih anak sendiri pon ada lagi belas ihsan, ini nak latih anak orang lain depan mak bapak depa. Sekali kau herdik sorang budak, mak dia bangun dari tempat duduk dan angkat spek mata dia, kau berani? 

Itu belum masuk budak yang ada ego dan rasa dia dah terrer. Dia sorang la star dalam pasukan. Banyak cabaranya dan apa yang aku nampak, coach kedua yang mengganti ini terlalu liberal. Terlalu loose. Dan hasilnya, budak-budak ni jadi tidak terkawal. Masa main boleh lagi tendang rakan sepasukan siap berbalas sorang dua. Bila suruh lari keliling padang, satu round ja lari, lagi 3 semua lenggang kangkung. Panassss je aku tengok. Tapi dia coach, aku bapa peserta ja. 

Hah, begitulah serba sedikit cabaran bola sepak akar umbi. Esok ada perlawanan karnival. Dari pagi sampai petang. Kita tengok macamana pula pengurusan karnival ini pula. Kalau ini pon loose. Cukup-cukuplah pandang pada FAM. Bermulah dengan membangunkan bolasepak kawasan kejiranan masing-masing. 

#SouthernJuniorFC



Kanak-kanak Memang Riang 49 - Batu Layar


Here we go.

Air laut belum cantik sebab belum habis musim monsun. Tapi disebabkan pengujung pon tak ramai sebab belum betul hari cuti, ia lebih rileks dan enjoi. Pilihan tempat piknik pon banyak. 

Aqil dan Ammar tak lari jauh dari air laut. Berenti makan sekejap je dah masuk laut  balik. Bila tanya dah ready nak balik ke, depa jawab belum puas. Hahah. 

Apa pon, motif ialah untuk enjoi main air dan all out, jadi tak ada kekangan dan halangan. Main air dari pukul 10.30 sampai 2.30. 







Nasi ayam, sandwich telur, kek pisang, air oren dan air kosong. Semua sold out bila habis piknik. 

End day 1 cuti CNY 2015. 

Selasa, Disember 02, 2014

Kanak-kanak Memang Riang 48 - Sudah Potong?

Cabaran untuk memberi sokongan dan ketenangan kepada anak-anak supaya depa tak takut untuk berkhatan adalah salah satu yang harus mak dan pak lalui. 

Kalau kita plan setahun awal hal bak bersunat ni, maka setiap hari dalam setahun tu jugalah depa akan bertanya, 'Sakit ke sunat tu?', 'Macam gigit semut je ke?', 'Dia kene inject dulu ek sebelum sunat tu?'. Dan pada banyak ketika, depa jadi cuak dan teriak. Menangis pada ketidak tentuan yang depa bakal hadapi. 

Jadi bila dapat tahu yang di taman ini akan diadakan sesi berkhatan Perdana anjuran surau Nurussalam dalam masa terdekat, kami tunggu hingga 2-3 hari sebelum hari kejadian untuk betul-betul konfem mengambil bahagian dan mendaftarkan Aqil dan Ammar. 

Jadi depa tak banyak masa sangat untuk membuat persiapan dan mencari alasan untuk tidak bersedia bersunat lagi. Lagipun program yang disertakan banyak memberi peluang untuk mengalih perhatian kanak-kanak yang menyertainya.

Dimulakan dengan penyampaian cenderahati (kain pelikat) dan diraikan pada malam sebelumnya, kemudian 30 peserta itu pada awal pagi lagi diarak dengan kenderaan pacuan 4 roda keliling taman. Mandi semburan air bomba dari jentera bomba Taman Universiti dan tayangan cerita animasi sewaktu menunggu giliran. Jadi waktu menunggu itu terisi dan taklah depa hanya tertumpu pada bilik bersunat yang disediakan dan berdebar melampau. Itu perancangannya lah. 

Walaupun program mula awal pagi Jumaat, tapi giliran depa telah ditetapkan pada sebelah petang sesudah solat Jumaat. Jadi habis program wajib pada sebelah pagi, sempat la balik rumah semula untuk rehat dan lena sebelum bersiap berJumaat semula di tempat program di surau Nurussalam.

Yang menjadi cabaran bila sesi petang dimulakan dengan jeritan peserta pertama, agaknya masa dicucuk ubat bius. Pihak penganjur belum sempat menyediakan semula tayangan animasi maka yang menunggu diluar semua menjadi sangat berdebar. Keadaan sedikit tenang bila volume tayangan cerita lebih tinggi dari apa yang berlaku di bilik berkhatan yang dibuat di ruang sembahyang bahagian wanita. 3 mudim sukarela yang mengambil bahagian dengan 2 orang untuk kaedah jahit dan seorang untuk kaedah clamp. 

Agaknya sudah ditakdirkan rasanya, pada awalnya kami memang merancang untuk kaedah clamp bagi Aqil dan Ammar. Tapi bila diberitahu oleh pengajur yang mungkin saiz clamp yang ada ketika itu sudah kehabisan stok, Aqil dan Ammar menjadi lebih risau. Sampai ke katil tempt bersunat, Aqil masih lagi diberi   separa harapan yang kaedah clamp akan digunakan. Tapi memang tinggal harapan je bila doktor yang bertugas memberitahu yang saiz clamp yang sesuai memang dah tak ada. Kalau mahu juga, kena tunda pada esok pagi di tempat yang lain. Memandangkan depa dah seharian dalam keadaan bersedia untuk bersunat, tunda sehari mungkin lari sudah tune sedia itu. Pilihan jahit diputuskan dan kami pon bersedia je dengan apa yang terjadi. 

Apa yang berlaku seterusnya ialah pengalaman baru sebagai abah, yang mana gagah dan cekal itu sama sekali berubah dari aku yang dulu. Kalau dulu tengok perut kucing kena jahit pon dh goyang, tapi kali ini demi memberi semangat pada anak-anak, kecekalan dan sifat cool itu melebihi dari semuanya. Tapi apa yang dilihat dan diperhatikan itu tetap ngeri, ngilu dan pedih. Ah, korang pernah bersunat tahulah kan. 

4 malam menjaga depa berpantang juga tak kurang banyak cabarannya. Itu kita sambung di kemudian kali. Yang penting. Depa dah potong. Hangpa bila lagi?







Isnin, Jun 09, 2014

Kanak-kanak Memang Riang 46 - Koleksi Main Bolasepak

Dua minggu cuti sekolah. Hanya boleh memanfaatkan waktu lewat petang dan hujung minggu untuk memberi pengalaman baru kepada anak-anak. 

Hujung minggu pertama, kami menjelajah tempat baru. Educity Nusajaya. Ada majlis di kompleks sukan dan indoor arena. Kami lebih berminat untuk masuk melihat suasana stadium Educity. Ada perlawanan bolasepak. Tak tahu sapa lawan sapa. Janji bolasepak.

Hasilnya, Ammar dan Ayman jumpa bola dan gawang gol kecil tepi padang. Depa buat hal yang sepatutnya. Ambik bola dan sepak masuk gawang. Tanpa menghirau lain-lain hal.


Tiap petang lain-lain hari cuti sekolah yang depa ada, Aqil dan Ammar akan sentiasa mencari peluang tiap pukul 6 petang untuk pergi bermain bolasepak di padang berdekatan. Kadang-kadang kawan depa dah panggil pukul 4.45 petang lagi. 

"Aqil, Ammar jom la main bola" laung depa dari luar pagar. 

"Ala, korang pergi la main dulu, mak aku tak kasik keluar lagi, belum pukul 6" Ammar sambut dari dalam rumah. 

"Ala, jom la main sekarang" ajak kawan depa lagi.

"Tak boleh, mak aku garang" lagi sekali Ammar jawab. 

Hahah.


Satu lagi hujung minggu, aku bawak depa ke Dataran JB. Hajat hati nak makan cucuk-cucuk, steamboat dan tauhu bakar kat medan makan gerai Luton Van. Jadi ke sanalah kami selepas Maghrib. Petang tu dah main bolasepak seround di padang taman. 

Selepas 2 pinggan lempeng cicah gula, sepinggan tauhu bakar, 2 round steamboat cucuk-cucuk dan air teh ais limau, kami mengambil angin ke arah dataran. Belum apa-apa hal, Ammar dah nampal sekumpulan adik beradik tengah berebut bola dekat gawang terdekat. 

"Abah, nak main bola dengan diorang boleh tak?" Ammar menghantar borang permohonan.

"Eh, jom la kita tengok orang tengah main muzik kat situ" aku cuba alih perhatian. Takut menggangu 4 beradik yang tengah rancak bermain sesama sendiri. 

"Ala, abah, boleh la" Ammar mintak sekali lagi. 

"Hah, pergilah, abah kat sini". Aku bagi permission. 

Terus depa lari menuju kawanan adik beradik tu dan berbincang. Bolasepak ada magis tersendiri. Lagi ramai permainan akan menjadi lebih menarik. Dan depa pon mula bermain.
 
Padang Dataran Johor Bahru.

Malam itu kami balik dah dekat nak tengah malam. Sebab lepas main bola depa ralit pula main buih. Sewa peralatan RM2 sorang. Bonus untuk malam itu. 

Pesta buih

Jadinya, keesokan harinya hujung minggu itu hanya dihabiskan di rumah sebab semua pakat lena sampai dekat nak tengahari. 

Tinggal satu hari Ahad sahaja untuk aku menghabiskan masa dengan anak-anak dengan tema bolasepak. Jadi petang Ahad yang panas elok, kami menuju ke UTM. Sebelum kami memulakan aktiviti main bola, bawa dulu depa tengok dan pegang kuda, bergambar dengan itik, mencari kilasan ikan di tasik, terkejut dengam sangkar landak dan melihat kawanan rusa. Peh, Ecotourism kat UTM pon dan jenuh nak layan. 

Balik dari melihat rusa barulah kami bawak turun bola dan duduk di atas rumput hijau berhampiran dengan pondok di tasik. Ammar dan Ayman terus mengejar bola sendirian. Tak perlu gawang gol. Sepak sendiri dan kejar sendiri. 

Jadi untuk lebih menarik, aku menawarkan diri sebagai penjaga gol dengan bayangan gol sendiri. Ayman dan  Ammar bergilir mengambil sepakan penalti. Depa usaha menyepak sampai dapat menewaskan penjaga gol handalan ini. Ayman dengan sepakan kaki kirinya dan Ammar dengan rembatan padu kaki kanan. Heheh. 


Lebih kurang begitulah 2 minggu cuti sekolah mereka dihabiskan untuk tahun ini.  

"Seronok tak??" Ummi tanya.

"Seronokkkk" jawab depa bertiga.

Ummi dan Abah berharap pengisian sebegini juga akan diingati mereka bila depa dah besar nanti. Bukan hanya percutian yang mahal dan jauh sahaja. 



Selasa, Februari 18, 2014

Kali pertama saya ke sekolah anak saya III

Tahun 2014 ini untuk Ammar Amani.



Ada beberapa penambahbaikan yang dibuat untuk mengurangkan masa dan memanfaatkan ruang semasa hari pendaftaran.

1. Letak Ammar pada kelas yang telah ditetapkan. Amik gambar dan terus bergerak. (Sebab muka Ammar dah sedikit sebek macam nak teriak).

2. Abaikan taklimat pengerusi PIBG dan Pengetua dengan terus ambik buku teks, beratur beli, lencana, baju sukan di koperasi dan buku-buku di kedai buku. Itu pon terbuang masa juga sebab buku yang hendak dibeli masih tiada dalam stok.

3. Terus ke bilik kelas pendaftaran, letak barang dan cop tempat giliran untuk mendaftar. 

Hasilnya, selepas Ammar siap ujian pentaksiran, segala urusan dah selesai dan boleh balik rumah. Yeah. 


Jumaat, Februari 15, 2013

Kanak-Kanak Memang Riang 43 - Gambar

Kami pergi ke taman tema air. Henpon berkamera ada. Tapi semuanya disimpan kemas dalam loker sewaan. Supaya senang nak ke sana kemari. Tak payah nak jaga itu ini. Jadi tak ada sepotong gambar pon yang kami rakamkan untuk disimpan sebagai kenangan.

Namun Ammar ada idea sendiri untuk merakamkan pengalaman mereka hari itu. Dari tengahari membawa ke petang mereka mandi. Main air. Main gelungsur. Main ombak. Main pelampung. Main pasir. Main air hujan. 

Balik dari mandi, di hotel malamnya itu, ini yang terhasil dari Ammar.

Taman air yang ada gelungsur dan tempayan berbentuk ikan besar yang menadah air sebelum disiram ke bawah.

 Gelungsur tinggi yang mula-mula Ammar takut nak naik. Bila sekali diteman. 3 kali berturut-turut dia panjat tangga tinggi itu.

Kolam berombak. Depa main sampai letih. Naik pelampung melawan ombak. Melompat ombak. Depa jadi tak takut walau ombak naik setinggi depa. Walau hari hujan. Depa tak lari duduk di tempat teduh. 

Moga percutian ini mengembirakan depa dan depa ingat sampai bila-bila. Hanya dengan magic pen dan buku latihan 50 sen, depa rakamkan semula apa yang depa nampak dan ingat. Bergembiralah anak-anak. 


Jumaat, November 18, 2011

Kanak-Kanak Memang Riang 40 - Teriak

Semalam adalah hari Majlis Akhir Tahun tadika Al-Amin. 6 cawangan di Johor semuanya mengambil bahagian dengan 300+ lebih kanak-kanak berpeluang tiap sorang berada di atas pentas dalam 2 kali seorang. Yang naik 3-4 kali ada jugak. 


Cumanya, malam tadi berakhir dengan dua orang pelajar adik-beradik Al-Amin 5 tahun dan 4 tahun teriak serentak. Ye, hampir serentak. 


Pelajar 4 tahun Ammar, terus je teriak sejurus sahaja selepas turun dari menerima 'piala' pereksa dapat nombor tiga bagi kelas 4 tahun beliau. Sebaik saja melihat abah di tangga, dia peluk peha dan terus teriak. Bukan sebab terharu atas usaha gigih beliau, tapi sebab dia amat cuak berada di atas pentas dan sebelum memulakan persembahan lagi beliau sudah nak teriak akibat cuak dan tak nampak ummi dan abah.


Beliau kelihatan gemuruh macam abahnya ketika di pentas. Mungkin sebab makwe kat sebelah. Ha ha.


Berlainan pula dengan pelajar 5 tahun, Aqil yang juga turut teriak di bangku penonton ketika adiknya menerima 'piala' di atas pentas. Ini disebabkan oleh impiannya sebelum amik pereksa akhir tahun lagi ialah untuk mendapat 'piala' di atas pentas dan mengembirakan hati ibu bapanya. Dengan harapan mereka lebih sayangkan beliau bila dapat 'piala'. Aqil terpaksa dipujuk dengan pelbagai kata-kata motivasi dan positif dari ummi dan abahnya. Salah satunya ialah, Aqil telah berjaya memotong 3 budak lain untuk mendapat tempat ke-14 berbanding tempat ke-17 semasa pertengahan tahun sebelum ini. Lagipon, beza 5 markah sahaja dengan pelajar di tempat ke-5.


Dia steady, nyanyi tanpa rasa takut dan cukup bersungguh.


Walau bagaimanapon, abah menulis cerita ini bukan untuk anak-anak mengutamakan hanya keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Tujuan mereka dihantar ke sekolah seawal 4 dan 5 tahun adalah supaya didikan awal diterima seformal mungkin dengan teras yang baik dan dapat bergaul dengan ramai kanak-kanak seusia dalam suasana persekolahan. Segala pekerti, doa-doa yang dihafal, nilai murni, asas membaca dan mengira yang diterima di sekolah adalah lebih penting untuk mereka pada peringkat umur ini. Juga tabiat tidak liat bangun pagi juga dapat diterapkan seawal mungkin.


Dengan nota sampingan untuk anak-anak-anak (bila hangpa dah boleh membaca blog ini suatu hari nanti), dari sekolah rendah sampai keluar universiti, abah tak pernah dapat mengembirakan hati ibu bapa dengan 'piala' keputusan peperiksaan yang terbaik dalam mana-mana majlis akhir tahun sekalipon. Tak pernah langsung depa ke majlis akhir tahun untuk mendengar nama abah dipanggil. Tapi abah tahu, itu adalah usaha yang tergigih ketika pereksa itu disempurnakan.

Sabtu, September 25, 2010

Kanak-kanak Memang Riang 30 - Dua Season

Sempena siri ke-30 KKMR, mesti la sepesel.


Aku sepatutnya sekarang di dapur. Masak. Eh, bukan. Mengemas. Err. Bukan. Mengepek. Ye. Benar. Lusa nak angkut naik lori. Tapi tak jugak rajin mengepek segala pinggan mangkuk serta cawan dan garfu. Alasannya tak ada idea nak mengepek. Ceh.


Masih mengadap laptop. Semenjak lepas raya, laju pulak brokbeng ini. Jadi terasa begitu feel untuk menulis blog. Dengan latar belakang youtube 'Seratus Lima Puluh Juta'. Siot. Sedap pulak lagu itu. Yang orang lain coverkan pon sedap. Jadi seratus lima puluh kali mungkin ada jugak aku putar lagu ini sejak pukul 11 tadi.


Ok, cerita kanak-kanak mana perlu tulis semua ini. Kembali ke tajuk asal.


Disebabkan kanak-kanak yang selalu diceritakan sebelum-sebelum ini jauh dimata tak nampak langsung, aku godek la gambar-gambar yang ada malam ini. (Ok, nampak syahdu tak abah diorang nih? Sila tersentuh hati sekarang. Hahah).


Sekali aku terjumpa gambar yang Qis scan suatu masa dahulu. Aku cari gambar yang hampir paling dekat dengan gambar yang aku pernah amik. Ini la hasilnya.


Menampilkan memori abah kepada kanak-kanak yang suatu ketika dahulu juga riang ria juga. Hahah. 

Menda bulat itu adalah penutup bekas filem kamera. Gambar ini di laman rumah tok wan di Kulim. Zaman tu pis-pis belum hip lagi. Kombat lagi hip. Sekarang anak-anak tau nak jadi jurutera minyak pelincir je. Hahah.


Sama tak? Hahah. (Ok, aku sedia tahu aku memang kiut!)


# Saya kenal sayang saya - Seratus lima puluh juta kali #

Rabu, Ogos 25, 2010

Kanak-Kanak Memang Riang 29 - Shendo Otroman

Hujung minggu lepas, kami sebagai rakyat tipikal JB melakukan pengimarahan Plaza Angsana. Dengan perkiraan kalkulatif risiko paling rendah, kami tahu Plaza Angsanalah yang paling sesuai untuk proses jual beli pakaian seisi keluarga untuk menyambut perayaan. Konfem semua boleh dijumpai dengan harga paling patut.

Proses pembelian dilakukan secara 2 sesi. Sesi sebelum berbuka puasa dijalankan dengan penuh sesak dan ramai betul rakyat JB mengisi tiap ruang dan lorong di antara dua saf bakul pakaian lambak di dalam UO. Betul-betul ramai sampai kalau toleh angkat baju sehelai tengok cantik ke tak cantik, masa nak letak balik mesti Ammar dan Aqil dah entah kat ceruk mana dah. Jenuh weh.

Memang perkiraan kalkulatif kami tepat. Seluar panjang jeans budak siap isi tali pinggang kaler biru belang merah 4 helai baru RM76. Cuba cari tengok kat Sogos boleh ke dapat?

Sementelahan mengadaptasi kepada kesesakan serta ketidak keruan sebab ramai sangat orang dan banyak sangat barang dalam senarai juga betul-betul banyak pilihan pakaian, sesi pertama membeli di dalam UO ditamatkan untuk memberi laluan kepada sesi berbuka puasa.

Kepenatan jelas terasa oleh kedua-dua Amani yang mana tepat sahaja waktu berbuka puasa, Ammar lena dipangkuan Ezi dan bila sahaja Aqil menghabiskan nasi dan ayam beliau, dia juga mencari peha aku untuk dia lelapkan mata sebentar.

Sesi kedua bermula sejurus selepas kami selesai mengimarahkan surau Plaza Angsana untuk fardu Maghrib.

Kali ini proses cari dan pilih dijalankan secara berasingan. Kami selesaikan dahulu satu baju dan saiz yang sesuai untuk kedua-dua Amani kemudian bergerak secara berasingan untuk mempercepatkan proses.

Aku dan Aqil bergerak dengan penuh tektikal dan cukup licik. Tetapkan kaler pilihan, kemudian mengimbas secara pantas setiap lorong dan sidian baju-baju yang ingin dibeli. Bila berkenan (harga, kaler, bentuk dan kesesuaian) toleh kiri kanan, terus masuk bilik percubaan. Buka (sambil terkejut tengok rupa badan sendiri) , sarung, kona kiri kanan depan cermin, sapu tapak tangan ke atas dada dan sisi peha. Siap. Macam Gaban dia punya laju. Konfem beli.

Semasa memcari t'shirt berkolar bulat di bahagian lelaki, aku terpandang susuk badan seorang promoter jualan, berbaju T, kolar V, nampak tulang dada, rambut lurus paras bahu. Gincu kaler merah sedap-sedap mata memandang. Sedang bersembang dengan rakannya sambil memegang sehelai baju kemeja. Macam sedang nak memilih.

"Aku rasakan, baju ni sesuai la" promoter itu bersuara. Tapi suaranya garau, dalam dan penuh vibrato. Memang lelaki. Sejurus terus aku beredar.

Disebabkan kelicikan dan penuh strategi, proses pemilihan 2 helai baju siap dalam tempoh 40 minit. Aku kembali kepada Ezi dan Ammar. Sampai-sampai sahaja, tengok muka Ammar begitu berseri-seri. Sambil ditangannya ada sejambak helaian 'Shendo Otroman'. 3 helai.

"Nah, ni Aqil punya" Ammar bagi lagi sejambak untuk Aqil.

Sepanjang-panjang proses pemilihan baju dibuat. Tangan mereka tak lepas dari memegang 'Shendo Otroman' masing-masing.

Ammar akan angkat dan tayangkan 'Shendo' beliau kepada mana-mana gadis promoter yang dia jumpa. Sambil gadis promoter layankan sahaja perlakuan sedemikian. Terpaksa la aku berbalas senyuman dengan gadis-gadis promoter untuk mengalihkan perhatian Ammar ke tempat lain. Sesi kedua proses jual beli selesai juga akhirnya. Lebih kepada membeli untuk anak-anak serta persiapan menyambut kelahiran bayi.

Sesudah sampai di rumah, yang mula-mula sekali menyarungkan kembali baju yang dibeli ialah Abah mereka. Ceh. Ciwi lebih dari kanak-kanak.

Ammar terus menyelongkar beg plastik can mencari-cari 'Shendo Otroman'nya. Dia hulur pada aku. Suruh buka dari kepilan. Aku putuskan benang yang mengikat dan serah kembali pada Ammar.

Ammar ambil, renung satu-satu gambar Otroman yang dia sangat suka itu. Dia hampar satu-satu di atas karpet. Duduk merenung. Sangat teruja.

Terus dia datang semula pada aku. Dengan reaksi bergelut nak buka seluar jeansnya. Aku tolong bukakan tali pinggang dan seluar. Tinggal lampin pakai buang sahaja. Dia tak puas hati. Dia suruh juga buka juga lampin pakai buang. Tapi baju tak tanggal.

"Tanak pakai pampers, nak pakai Shendo Otroman aje" Ammar meminta.

Kemudian Ammar sarung sehelai shendo. Kanak-kanak memang kurang lengkap lagi sistem motor pergelangan tangan, kaki dan pinggang, jadi shendo itu bergulung bila disarungkan. Ammar mintak aku tolong betulkan. Muka dia berseri. Logo Otroman terpampang jelas ditengah-tengah shendonya.

Ezi masa ini masih membelek satu per satu baju dan seluar yang dibeli, sambil menanggalkan label dan penanda harga.

Ammar kemudian kelihatan bergelut lagi dengan shendonya. Bergulung lagi. Dia datang lagi pada aku untuk membetulkan. Aku masa ni dah di atas sofa berlintang macam Cleopatra. Aku betulkan lagi.

Sambil Ammar membandingkan shendonya dengan Aqil, mujur gaya Otroman di shendo masing-masing tidak sama. Walau warna sama je. Ada yang bergaya terbang, gaya menumbuk, gaya sepakan terbang, gaya memberi api pon ada.

Kemudian Ammar datang lagi dengan shendo yang bergulung lagi. Bergelut sungguh dia dengan shendonya. Aku betulkan sahaja dengan tersenyum.

"Adik, cuba tunjuk shendo adik kat ummi" Aku menyuruh.

Ammar datang dekat pada ummi, mengangkat labuhan bajunya.

"Ummi, adik pakai Shendo Otroman!" Ammar bagitau.

Terpampang jelas tiga helai 'Shendo Otroman' yang berlapis-lapis di antara satu sama lain.

Ummi gelak tak hengat.

Isnin, November 23, 2009

Kanak-Kanak Memang Riang XIX

Suatu malam, biasa-biasa. Aku habiskan baca suratkhabar The Bintang. Tv terbuka terpampang siaran EnamRatusTigaBelas. Cerita kanak-kanak. Yang memang cepat je budak-budak tangkap segala informasi dan watak karekternya.

Kegemaran Ammar dan Aqil adalah Go! Diego Go!, Dora, Wonderpets dan Shaun the Sheep.

Kegemaran Aqil adalah Dibo dan Mickeymouse Clubhouse.

Kegemaran Ammar adalah Handy Manny, Noudi, Thomas & Friends dan Animal Mechanical.

Yang lain mereka suka juga. Janji Tv. Itu belum masuk CD.

Malam itu, Aqil dah lena. Selepas minum susu dan kepenatan seharian tak nak tido siang. Ammar main sorang-sorang.

Mula-mula Ammar datang sebelah aku. Hulur skru driver khas dan lori mainannya. Yang boleh dibuka tayarnya dan segala sisinya juga boleh dibuka dengan skru drebar khas itu.

"Abah, tolong ukak boleh?" Ammar mintak.

Lori dah sedia terbalik dirusuk kirinya menghadap matahari terbenam. Tapi skru ditayarnya itu ketat.

"Ammar buat la, Abah tolong, hah, Ammar buat". Sambil aku letak skru drebar khas dimata skru dan suruh dia yang putar. Ammar cuba putar, tapi arah pusingan jam waima mengetatkan skru bukan membuka. Tapi mana dia tahu apa itu arah pusingan jam mahupon lawan jam, sedangkan jam sendiri dia tidak tahu nak tengok.

"Bukan, bukan, pusing sini" Aku pusing sikit arah bertentangan, skru mula terpusing dan Ammar buat separuh, cuba nak mencabut, tak boleh, aku suruh lagi putar, baru dia dapat menyelesaikannya.

"Haaa, macam tu, buat lagi" Aku memberi sokongan.

Dia cuba untuk tayar kedua, sama juga, awal-awal dia pusing arah jam, aku tolong pusingkan sikit untuk arah bertentangan. Kemudian semua 4 tayar lori tersebut sudah pon ditanggalkan. Lori mainan sudah siap ditogelkan untuk aktiviti seterusnya.

Dalam hati terdetik, cepat lagi Ammar tangkap hal ehwal skru ini berbanding Aqil. Ada harapan nak berjinak-jinak dalam hal-hal penuh teknikal lagi taktikal nih. Tak pon mekanik la senang. Mudah dia nak hafal spanar saiz 12, serta plag bebenang NPT 1/2 inci.

Aku rasa-rasa macam nak minum air sejuk, dahaga. (Biasala, blog ini kene meleret-leret sikit, tak kan nak tulis aku pegi dapur terus minum air. Mesti la cakap dahaga dulu, baru jalan lenggang lenggok pegi dapur). Ammar aku tinggalkan dengan permainannya.

Sampai balik di ruang tamu, nak sambung menjadi Cleopatra di sofa-rasa-kayu aku, aku tengok Ammar bukan lagi menggayakan permainan yang berunsurkan teknikal mahupon bersifat kejuruteraan.

Di tangan kanannya adalah kon-tiang-donut. Di atas sofa adalah 4 tayar lori yang siap tersusun terbaring. Digoyang-goyang kon-tiang-donut itu laksana menuang sesuatu. Bukan gaya menuang minyak pelincir ke dalam enjin. Tapi lagaknya seperti menuang sos cili ke atas pizza. Disengguk-sengguk sikit kon-tiang-donut itu. Lantas dia berpaling muka kepada aku. Dan sengih. Heeeee..

"Ammar buat apa tu" sengaja aku mencari kepastian.

"Ammar masak!" Ammar jawab. Heee. Dia sengih lagi.

Aku tak putus memerhati. Dia main sendiri, kemudian sengih lagi. Macam malu dengan tindakan aku memerhati. Heee.. Dua tiga kali dia Heee.. Sebab malu aku tengok dia main sorang-sorang. Heeee.

Apa dah jadi dengan kemahiran teknikal penuh taktikal yang baru sahaja dia tunjukkan tadi?

Aku harap Ammar berjaya menjadi apa yang dia inginkan suatu hari nanti dengan kemahiran dan kegemaran dia.

Spanar saiz 12 di tangan kananku, Senduk lauk di tangan kiriku....

Terbaring dari tengah: Kon-tiang-donut yang masih lengkap terpasang, lori dan skru drebar khas tiada dalam gambar.

Nota siku amANI : Tahniah untuk Ahmad S yang dah bergelar bapa! Pandai-pandailah nak menjadi abah/pak/bapak/ayah ek. Hahaha.


Rabu, November 18, 2009

Kanak-Kanak Memang Riang - XVIII

Apakah kaitan ceruk pintu, ruang kosong rak belah bawah, laci meja, ruang antara meja mekap dengan almari laci, sudut tepi sebelah Tv dengan Ammar?

Ye, ini semua tempat feveret Ammar bila kena dengan perangai dia. Perangai entah mana datang. Tidak pernah dia disekolahkan untuk menurut perangai sebegini. Merajuk.

Tak de sebab dia nak merajuk. Kadang-kadang bila permintaan tidak dilayan. Kadang-kadang bila sengaja aku dan Ezi tak nak melayan. Maka pergilah Ammar ke tempat-tempat yang berdekatan seperti di atas. Dan merajuk.

Bibir terjuih. Muka masam. Kepala ditundukkan. Tangan bersilang. Mata dikecilkan. Kadang-kadang siap mengeluh. "Huhhh!". Dan sangat comel.

Selalu-selalu, kami gelakkan sahaja. Tapi nanti-nanti dah besar kena juga diambil perhatian. Takut memudaratkan.

Menda macam ni biasa untuk anak bongsu. Jadi, SEMENTARA Ammar masih bergelar bongsu, boleh la dia berperangai bongsu sebegini. Bila dah tak bongsu nanti pepandai dia la. Hahah.


Budget comel la boleh buat macam ni.

Mesti kat ceruk atau penjuru. Baru lokasi yang betul.


"Hah, tu mula la tuh nak jadi lipas, masuk ke segala ceruk" - Ezi

Memang dia masuk betul-betul. Dan comel!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...