Advertlets

Memaparkan catatan dengan label bola. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bola. Papar semua catatan

Khamis, November 12, 2020

Tulis-tulis Bolasepak - 7 sebab kenapa Aubameyang sudah berstatus lagenda di mata penyokong Arsenal

1. Auba telah menjaringkan lebih 20 gol liga semusim untuk 2 musim penuh berturut-turut bersama Arsenal dan hampir-hampir menjadi penjaring terbanyak untuk 2 musim berturut-turut juga.


2. Sejak hari pertama (pertengahan musim 2017/18) beliau menyertai Arsenal di Premier League, beliau merupakan penjaring gol terbanyak berbanding Salah (68), Sterling (65), Vardy (52) dan Aguero (51) dalam tempoh yang sama dengan 71 gol sehingga hari ini dalam semua perlawanan.

3. Beliau menjaringkan gol dengan jumlah cubaan paling sedikit (26% cubaan menghasilkan gol) berbanding penyerang lain. Umum maklum, Arsenal tidak mempunyai penyedia assist terbaik berbanding Liverpool dan Man City untuk 3 tahun kebelakangan ini.

4. Auba merubah sumpahan bahawa semua kapten Arsenal akan beralih haluan apabila sudah sampai ke kemuncak karier. Viera, Henry, Fabregas, Van Persie dan Koscielny tidak mampu melakukan hal yang sepertinya.

5. Dengan kontrak kurang dari setahun dan umur 31 tahun, serta prestasi yang tengah memuncak, beliau mempunyai 2 tawaran lebih lumayan dari kelab besar (katanya Barcelona dan Inter Milan) yang menyediakan platform UCL, tetapi beliau tetap memilih untuk menyambung kontrak bersama Arsenal. Hati kecil beliau tidak terfikir untuk bermain dengan kelab impian lain sewaktu beliau masih kecil atau ingin bermain piano di hadapan rakan-rakan pasukan baru.

7. Antara sebab utama beliau memilih untuk kekal bersama Arsenal ialah beliau percaya dengan projek yang diterajui oleh Mikel Arteta dan ingin meneruskan legasi beliau bersama Arsenal meskipun masih belum pernah bermain di UCL sejak menyertai Arsenal. Beliau percaya dengan bakat muda yang muncul dari Akademi Arsenal untuk tujuan ini dan beliau percaya, dia akan menamatkan kariernya bersama Arsenal dengan status sebagai seorang lagenda.

Lagenda baru Arsenal dalam perjalanan.



Sabtu, Januari 30, 2016

Retro - Tulis-tulis Bolasepak

Sejak mengikuti dengan lebih dekat hal Southern Tiger JDT, aku ada berperasaan yang TMJ mungkin pernah terbaca blog aku. Kah kah kah. Oi, ini wadah dan blog aku, biarla aku berperasaan sebegitu walaupon sebaliknya yang berlaku. 

Tak caya? Ko tengok apa yang JDT dah buat sekarang selain dari beli pemain mahal-mahal dan bayar gaji macam player Eropah. Pembangunan infrastruktur dan 'ambient' bolasepak di negeri Johor dah lain macam sikit. Ada tak yang sama macam yang aku tulis pada tahun 2010 dahulu? *nota, masa tu masih lagi Johor FC ye. Ura-ura JDT pon tak didengari lagi.

http://catatandiego.blogspot.my/2010/10/untuk-bola-bertambah-mutu.html

Jadi boleh la aku 'ek' sikit walau tulisan aku tentang bolasepak yang 3 tahun lebih ke depan berbanding TMJ ni, walaupon artikel itu tak pernah ke mana-mana pon. Yang baca pon mungkin robot google analytics yang menjejak key words ja rasanya. Hahah.

Aku ada lagi tambahan yang mungkin arena bolasepak kita boleh pertimbangkan untuk 3-5 tahun akan datang.

1. Kena ada satu lagi kuasa besar yang dekat di negeri Johor, kuasa besar ini bukan dari segi kewangan, tapi dari segi pembangunan bakat. Sebab apa yang aku nampak sekarang, TMJ ingin membawa hanya satu jenama bolasepak di Johor iaitu JDT. Ianya bagus sebagai permulaan kerana sekarang semua kanak-kanak yang berminat bermain bola memasang impian untuk bermain atas nama JDT, biarlah ianya JDT VII sekalipun (memang ada team ini ye, ikut peringkat umur sekolah rendah). Jadi, ia akan menjadi satu establishment, menjadi pemain pasukan JDT pada peringkat umur sekolah rendah / menengah dan ianya esklusif. 

Tapi bukan itu yang kita mahu pada peringkat jangka panjang, kerana ianya mengecilkan peluang untuk rakyat Johor yang lain untuk bermain bolasepak di peringkat tertinggi. Sebab kepadatan negeri Johor ialah 3.3 juta penduduk menurut census 2010. Berapa ramai sangat pemain negeri Johor boleh masuk JDT III, IV, V dan seterusnya? 

Di sinilah satu, dua, tiga lagi kuasa besar bolasepak dengan pemain berbakat memainkan peranan mereka. Kelab-kelab persendirian peringkat umur kini wujud bercambah selepas JDT diwujudkan dengan banyaknya secara semulajadi. Kenapa? Kerana sudah ada ibu bapa yang berpandangan jauh. Anak mereka mungkin bukan sangat berbakat, tapi mempunyai potensi yang belum digilap sebagai pemain bolasepak, kalau dia harap sekolah yang latih, kau hanya boleh berharap dan kemurungan yang menyusul. Jadi kau setup kelab bolasepak sendiri, dengan sedikit sokongan 'like minded' ibu bapa yang lain. Sekarang kau dah ada kelab sendiri. Biar dana tak kencang, tapi kelab ini kompetitif, mempunyai perancangan tahunan, latihan yang berstruktur, jurulatih yang ada lesen C dan menyertai sebanyak mungkin pertandingan sekitar negeri. Lama-lama budak-budak ini digilap dengan baik dan mungkin membuka mata jurulatih JDT V, VI, VII untuk ajak 'trial'. Kan rezeki tu? Nak diserap masuk JDT, kau buat sombong dan ajak JDT VII lawan friendly. Biar JDT bukak mata sikit, tak ke profesenel perancangan gitu?

Kalau tak masuk JDT sekalipon, itu bukan penghujung penamat karier bolasepak budak yang berbakat dan berpotensi itu tadi, sebab kelab ini mungkin dah mempunyai dana yang baik dan boleh set satu pasukan kompetitif untuk peringkat seterusnya jika mendapat penaja kelas A. Jadi menjadi bayang kepada JDT bukanlah sesuatu yang merugikan, tapi ianya akan merancakkan lagi arena bolasepak Malaysia. 

Cuba bayangkan 'like minded' ibu bapa kat Temerloh, Tumpat, Triang, Teluk Intan, Masjid Tanah dan Tikam Batu juga menubuhkan kelab bolasepak untuk anak mereka juga? Fuh, tak ke meriah. Kita mungkin tak boleh ubah peringkat pengurusan bolasepak negara, tapi bila-bila pon kita boleh lawan depa dengan buat sombong bila budak-budak yang kita latih dah naik ke peringkat yang lebih tinggi melebihi dari apa yang datang dari akademi depa. Emm, FAM ada akademi peringkat umur ke? Macam tak ada je, NFDP bawah KBS & MSN kan?

2. Hadkan tugas persatuan bolasepak negeri kepada tugas sebagai pengelola. Buat sungguh-sungguh tugas mengelola tu dengan betul. Contohnya pertandingan peringkat umur tiap daerah dan negeri dengan sistem liga. Kelola betul-betul, sistem liga memberi 'minutes of competitive playing game' kepada setiap pemain dengan lebih banyak. Bukan main karnival kalah mati. Adil la sikit untuk budak-budak yang dah berlatih bersungguh ni. Buka sistem liga ini kepada semua, tak kisah nak masuk team sekolah atau team kelab. Lama kelamaan, bila berjalan setahun dua, semua yang nak masuk liga ini akan mempunyai perancangan jangka panjang, berlatih awal-awal, cari pemain sungguh-sungguh dan sebagainya. Cikgu yang bawak budak sekolah pon bukan tangkap muat sahaja lagi.

Kalau persatuan negeri hanya buat satu kerja, dia tak la susah payah macam sekarang, nak jaga team negeri main Liga Super, bayar gaji pemain, bank-in EPF, bayar elaun, jaga stadium, kena saman dengan FAM, pembangunan akar umbi (kononnya la), meeting karipap dan air teh, semua dia nak kena kejar. Biar dia buat satu kerja ja. Dan buat bersungguh. *yelah, dah ketua persatuan negeri tu kan orang politik, mana nak dan ligan semua benda. Tak gitu?

3. Tiba-tiba dah pukul 12 tengah malam. Aku rasa cukup pemikiran aku ini untuk 2 tahun lebih ke hadapan berbanding FAM dengan 2 point aku di atas ni dulu. 

Ah, aku belum kupas hal penaja. Biarlah. Nak tengok langkah Dato Vida dulu. Tak nak menyertai bandwagon yang mengulas tapi satu benda pon belum nyata di depan mata.

Khamis, November 19, 2015

Bolasepak Akar Umbi V

Kalau aku cakap, orang lain cakap, pakcik guard cakap, Sokernet cakap, ex-pemain bolasepak maktab cakap, mahupon sapa-sapa yang tiada kredibiliti dan latarbelakang atau pencapaian di dalam bidang bolasepak yang bercakap, mungkin cakap-cakap itu hanya bual bicara biasa sahaja tanpa sapa pon perlu peduli.

Tapi ini Lim Teong Kim yang cakap. Lim Teong Kim yang dah berkelana ke Bayern Munich dan menjadi tenaga jurulatih bolasepak akar umbi Bayern Munich. Zaman Philip Lahm, Matts Hummel dan Thomas Muller masih lagi berjerawat dan belum ambil SPM (atau setara dengannya). Kalau diibarat dunia korporat, Lim Teong Kim ni dah kerja dengan syarikat automotif Mercedes atau BMW dan kini kembali ke negaranya untuk berkongsi pengalaman dan menyumbang kembali dalam industri automotif Malaysia yang hanya ada Proton, Perodua, DRB Hicom sebagai pegeluar kereta tempatan. 

Beza pendedahan mereka terlalu jauh. Pengalaman Lim sudah sampai ke peringkat antarabangsa dan pengalaman pengamal bolasepak Malaysia hanya di peringkat nasional. Perkembangan pemain dilihat dari boleh sepak sikit-sikit sampai dah julang semua jenis piala yang dipertandingkan termasuk Piala Dunia. Paling tinggi piala yang pemain Malaysia dah pernah rasa bagi zaman aku, 80an sampai sekarang ialah Piala AFF / Sukan Sea. Beza tak? 

Jadi apa yang Lim Teong Kim cakap ini ada betulnya. Beliau ialah orang yang berkredibiliti dalam hal bolasepak kini dan sudah dibuktikan dengan pelbagai pencapaian skuad NFDP dalam siri jelajah antarabangsa yang mereka dah buat sejak dua menjak ini. Dia bawa sistem yang baru, yang efisyen, yang berobjektif dan bina skuad muda yang tahu bermain bolasepak sebenar. Teknik dan taktikal yang betul. Bakat yang betul-betul layak untuk bermain bolasepak. Kelab bolasepak Inggeris yang mempunyai skuad sama umur dengan NFDP semua kena kitai. Besar kecik ja depa punya beza. Jadi ada ke benar pemain Malaysia tidak boleh beraksi di luar negara pada peringkat tertinggi? Lim Teong Kim membuktikan sebaliknya, meski komen beliau yang skuad ini masih belum mencapai tahap yang dia harapkan.

Jadi apa yang dia cakap ini perlu dinilai, diteliti dan diambil tindakan susulan. Ada orang masih lagi sibuk dengan isu budaya bolasepak Malaysia, kalau masih lagi nak kekal dengan kesedihan dan kemurungan, kau bekaplah organisasi, jurulatih, pemain yang masih lagi nakkan budaya ini. Ini peluang dan lonjakkan paradigma yang perlu Malaysia buat, aku olah la sikit supaya nampak juga aku ni berfikir atas idea Lim Teong Kim ni.

1. Lupakan hasrat untuk menggaji jurulatih antarabangsa ternama dengan gaji yang besar. Perlaburan besar tu salurkan kepada pembangunan bakat. Ambil khidmat tenaga sedia ada, mulakan dengan skuad B23. Bubar sahaja skuad negara sekarang. Zaman kegemilangan dan sumbangan mereka dah pon berlalu. Sorang dua je pon yang boleh diharapkan dari skuad sedia ada ni. Tak gitu. Buang air liur kena makinja kalu kita tengok depa ni main lagi.

2. Persatuan bolasepak negeri kena ambil peranan untuk pembangunan bolasepak akar umbi. Contoh dan model NFDP dah ada, hanya perlu meramaikan lagi kelab-kelab, penganjuran liga had umur terutamanya 19 dan 21 supaya banyak lagi bakat baru boleh muncul dari liga yang sedemikian. Jadilah pengelola yang bersungguh dalam hal ini. Bukan makan duit budget pembangunan dan buat liga ala kadar. 

3. Dah jalan hat ini, pembangunan umur 7/8/9/10/11/12 pon perlu diadakan. Benda ni tak susah sebenarnya. Galakkan pertubuhan kelab-kelab persendirian, anjurkan tournament dengan kerap dan berkala, guna format permainan yang memfokuskan kepada cara bermain bolasepak yang baik. Yang boleh membantu budak-budak ni paham gaya permainan. 

4. Tambah nilai dan pertingkatkan mutu jurulatih akar umbi. Buat kursus terbuka kepada jurulatih untuk sama-sama mendapat manfaat. Latihan yang sistematik dan ada objektif yang jelas penting untuk pemain bolasepak. Aspek teknikal, fizikal, stamina, kelajuan, agiliti, skill, set piece, possesion dsb. Jurulatih pon ada medium untuk bertukar fikiran dan berkerjasama. 

5. Galakkan dan latih satu kumpulan pengadil muda. Pengadil yang berkelayakan memberi kesan yang baik terhadap mutu penganjuran perlawanan bolasepak. Baru sistematik dan profesional tiap perlawanan. 

Di bawah ialah pandangan dan teguran Lim Teong Kim terhadap keadaan dan situasi bolasepak masakini. 

Yang mana yang tak ada kuasa dan kredibiliti, aku cadangkan kita buat atau hantar anak ke kelab bolasepak kanak-kanak dan bermula dari bawah, had umur 7-12 ke bawah misalnya. Tak perlu ambil semua yang berbakat, objektif kita bukan menang pertandingan, tapi memberi peluang mereka merasa latihan bolasepak yang sebenar dan merasai sendiri perlawanan bolasepak yang kompetitif. Besar impaknya kalau hari ini kalau tiap seorang dari kita dari taman perumahan yang berbeza mengambil inisiatif ini. Sungguh habaq hang.  

Kepada bapa-bapa, ultras-ultras dan peminat kuaci sekalian, mahal sangat ke sepasang stokin, seluar bola, kasut bola kanak-kanak dan shin pad untuk diberikan kepada anak-anak? Mahal lagi ipad atau apa jenis gajet tablet sekalipon.





Rabu, November 04, 2015

Bolasepak Akar Umbi IV

Dreamstar Tournament - Piala Amby Hex 2015 (31 Oktober 2015)

Sebenarnya JDT menang Piala AFC tu tak la mendatangkan apa-apa keterujaan sangat bagi kami. Game malam tu pon kami tengok sedikit sambil lewa ja.

Sebabnya kami lebih teruja pada belah siang hari yang sama dalam Dreamstar Tournament Amby Hex Cup bila Ammar dan team SJFC U8 berjaya menduduki tempat ketiga kumpulan dan layak ke peringkat separuh akhir. Dalam 9 perlawanan, SJFC U8 menang 6 perlawanan (1 bye), 1 seri dan 2 kalah. Ammar menjaringkan 4 gol, 2 dari Airil dan 1 gol oleh Amani dan Khairi. Adib pula hanya melepaskan 4 gol.

Walaupon kalah di separuh akhir, ia ditebus dengan kemenangan penuh saspens pada perlawanan kedudukan 3/4 dimana kedua-dua pasukan terikat 0-0 dan bila penalti juga terikat seri 1-1.

Pengadil kata kita lambung syiling, tentukan siapa yang ambil sepakan dan siap yang menjaga gol untuk last penalti. Pihak lawan mengambil sepakan tetapi berjaya diselamatkan Adib. Melompat semua dengan kemenangan itu.





Keputusan Penuh:
SJFC (2-0) Dreamstars A
Ammar - 1 gol
Amani - 1 gol

SJFC (3-0) SJFC B

SJFC (0-0) AMC Academy

SJFC (1-0) Kangkar PTSA
Ammar - 1 gol

SJFC (0-2) Putra Kids

SJFC (1-0) Harimau A
Airil - 1 gol

SJFC (0-2) Harimau B

SJFC (1-0) Kangkar PTSB

SJFC (3-0) Dreamstars B
Ammar - 2 gol
Khairi - 1 gol

Semi Final 
SJFC (0-2) Harimau B

3/4 Placing
SJFC (0-0) AMC Academy (penalti 1-1)
Menang sudden death penalti (save penalti).

Pasukan Aqil di SJFC U10 pula mendatangkan keterujaan yang berlainan caranya. Depa dah main dekat 4 ke 5 perlawanan tapi pasukan depa belum lagi dapat menjaringkan gol yang betul-betul jaringan gol seorang penyerang. Gol terdahulu dari satu lontaran ke dalam yang ditepis masuk keeper dan satu lagi ialah satu tendangan gol yang tidak dikawal kemas keeper lawan. Jadi bila tiba satu perlawanan yang depa betul-betul menguasai perlawanan, banyak cubaan depn gol yang bersimpang-siur juga mendatangkan kegeraman dan arghhhh-apesal-susahnya-diorang-ni-nak-score??, akhirnya dapat juga team itu menjaringkan 3 gol padang dari sebanyak-banyak peluang yang ada.

Perjuangan depa agak memberangsangkan dengan 5 menang (2 bye), 4 seri dan 2 kalah tapi hanya mampu di kedudukan ke-6 dari 11 pasukan.




Team SJFC U12 pon di kedudukan ke 6 dalam kumpulan.

Walaupon main runcit-runcit dan bukan ditahap tertinggi, ini ialah pengalaman dan kenangan bagi anak-anak dalam arena bolasepak kanak-kanak mereka. Depa akan ingat semua ini terutamanya perasaan bermain di atas padang secara kompetitif. Terima kasih buat semua tunjuk ajar daripada jurulatih, pengurusan SJFC dan semua ibu bapa yang memberi komitment tidak terhingga dari awal pagi kejohanan sehinggalah tamat majlis. 

#SouthernJuniorFC

Selasa, September 08, 2015

Bolasepak Akar Umbi III

Liga GSA 2015 9 sebelah U12

Anjuran Glory Soccer Academy, yang berpusat di Taman Bukit Jaya, Tiram. 

SJFC sudah bersedia sejak pukul 6.30 pagi. Berkumpul di McD UTM Skudai. Zhariff, Aiman, Akmal, Amani dan Adib bersama Pn Nora. Manakala aku membawa Aqil dan Ammar. Sedikit terkejut sebab hanya Pn Nora yang menjadi pengiring kalau aku tak ikut serta. En Nizam hanya menunggu untuk perkumpulan pemain sahaja. Encik Khai hanya akan datang nanti kemudian. Jadi ayat yang sama macam sebelum ini. "Nanti abang la tolong bawak team tu ye". 

Bila dikira semua pemain, 2-3 lagi yang akan datang kemudian, ada la 10 pemain semuanya. Jumlah dibenarkan ialah 15 pemain. Dan seorang keeper pon kami takde. Bila ditanya, sorang pon tak berani sukarela menjadi keeper. Glove tak ada, seluar panjang pon tak ada. Mujur ada jersi lain warna. 

Satu lagi kejutan ialah pemilihan lokasi perlawanan. Dibuat di padang bolasepak awam. Yang hanya ada satu khemah urusetia, padangnya bersaiz sederhana tapi tiang gol saiz luar biasa. Jumlah luas kawasan berpasir lebih banyak dari kawasan berumput. Tandas pon tak ada. Tempat redup banyak tapi pepandai sendiri untuk membawa tikar dan khemah untuk keselesaan peserta. 

Pn Nora selesaikan segala urusan air, pisang, ais, glukos dan penyertaan. Aku hanya tolong depa memulakan pemanas badan dan menetapkan posisi permainan. 

Hazim bila dipujuk baru lah sedikit berani nak jadi keeper, tapi dia bukanlah keeper semula jadi, masih lagi ingin menjadi pemain padang. Belum digilap dan betul-betul 'in' dengan karektor sebagai keeper. Teknik tangkapan aku tunjuk 2-3 jenis bagi dia terbiasa. Tangkap dengan 2 tangan. Tangan di belakang bola. Tangkap bola bukan cekup macam tangkap belalang. 



Jadual sampai masa kami tengah memanaskan badan. Perlawanan ke-empat, pihak lawan pula ialah Youngstar A dan GSA#6. Youngstar kami kenal sebagai johan kejohanan karnival SJFC bulan 2 haritu. GSA#6 pula pasukan tuan rumah, salah satu dari 3 pasukan tuan rumah kejohanan. 

Sebelum perlawanan bermula, mujur ada pemain yang sudi meminjamkan glove beliau. Jadi keeper kami lebih konfiden untuk berada di atas padang. Strateginya ringkas, jangan bagi pihak lawan buat cubaan merembat ke arag gol. Jadi keeper tidak diperlukan untuk membuat saves yang susah. Tak payah sepak bola tinggi, biar Aiman yang ambil sepakan gol. 

Penyerang Zhariff dan Aliff. 

Perancang tengah Akmal dan Haziq. 

Pertahanan Ammar, Aiman, Adib dan Aqil. 

Keeper Hazim. 


Kesudahannya.

Perlawanan pertama dengan GSA#6, SJFC menang 1-0 hasil jaringan Zharif dari pergelutan di depan gol dibantu dengan percubaan dari Aqil.


Perlawanan kedua dengan Youngstar A, SJFC kalah 1-5. Juga dengan jaringan dari Zharif. Walaupon Marzuki ayam tambatan Youngstar dikawal rapi, Ammar tapi rakan-rakan beliau yang lincah tetap dapat mencari peluang menghasilkan gol. SJFC naib johan kumpulan D dan layak ke suku akhir. 


Dalam suku akhir, SJFC bertemu JK Sungai Tiram. Dalam perlawanan ini keadaan padang sangat buruk akibat hujan lebat pada waktu tengahari. Kawasan depan gol bergenang dengan air. 

Tambah buruk bila kekasaran berlaku kepada penjaga gol bidan terjun, Hazim. Dia diterjah keras pihak lawan, berdarah lutut. Teriak habis penjaga gol kami. 


Pengadil tidak memberikan faul malah membenarkan gol yang dijaringkan. Sangat banyak keputusan yang meragukan pengadil sehingga En Khai dan En Nizam beberap kali diberi amaran di tepi padang, sehingga diugut untuk diarahkan keluar padang, tapi pengadil sendiri tak punya sebarang kad berwarna pon di dalam kocek. Sepanjang perlawanan dipertandingkan, tiada kad yang diberi sebab memang tiada kad disediakan dan pengadil terdiri dari induk urusetia sendiri yang menghantar 3 pasukan bertanding. Hemm, agak fishy kan? 

Keputusan berakhir dengan kekalahan 1-3 di tangan JK Sungai Tiram yang kemudiannya menjadi juara kejohanan mengalahkan GSA#4. 



SJFC pulang tangan kosong tapi penuh dengan pengalaman di dada. Harapan untuk pasukan diperkuat 4-5 pemain dari skuad 1MCC juga pudar sebab mereka tiba lewat dari jangkaan. Semuanya selesai dan pengalaman yang ditimba tiap pemain adalah berharga. Kami pulang tewas tapi berisi dengan pengalama dan kenangan yang sukar dicari jika hanya berlatih tanpa apa-apa pertandingan. 

Jadi, pengalaman membawa pasukan yang masih lagi muda dengan pengalaman dan tidak mempunyai asas bolasepak yang tinggi adalah sangat berharga buat aku dan SJFC. Hanya permainan kompetitif boleh membina keyakinan pemain muda ini. 

#SouthernJuniorFC

Isnin, September 07, 2015

Tulis-tulis : Siapa pengganti Dollah?

Menjadi jurulatih bolasepak bukan kerja senang. Menjadi jurulatih bolasepak kepada kanak-kanak berbeza dengan menjadi jurulatih bolasepak remaja dan berbeza pula dengan menjadi jurulatih skuad senior. Ini ialah 3 zaman berbeza dengan pendekatan psikologi yang berbeza. 

Kanak-kanak perlu ruang, perlu rutin, perlu displin, perlu asas yang sangat baik dan perlukan authoriti. Cuba ko biar satu skuad kanak-kanak main sesama sendiri. Segala peraturan depa akan langgar, yang terer sikit akan berlagak terrer. Yang mulut tak ada insurans akan main guna mulut lagi banyak dari sepak bola, yang tak reti main sikit akan ke tepi, yang tahu berhuhuhu akan hanya berhuhuhu sampai abis. Itu cara kanak-kanak main bolasepak kalau tak ada seorang jurulatih yang tegas, keras, berpandangan jauh dan berhati kering. Style dia, dalam padang hanya kena dengar cakap saya, mak bapak kamu pon tak boleh campur, kalau nak main bola dengar arahan saya, kalau tak nak dengar pergi balik duduk rumah diam-diam. Dapat jurulatih macamni, satu skuad akan ada displin, boleh dibentuk dan boleh bermain dalam satu pasukan. 

Bila naik skuad remaja belasan tahun, bila semua pemain ini sudah ada skil kemahiran yang sederhana tinggi, mereka hanya perlukan dorongan. Mereka dah ada semangat sepasukan yang baik kalau dibina satu pasukan dalam tempoh yang agak lama. Kau dah boleh harap 3-4 orang yang ada displin, perancangan, pendirian dan mahu bermain bolasepak. Nakal mereka bertempat tapi masih perlu pemantauan. Tak ada pemantauan depa akan hisap rokok atau vape, tak jaga pemakanan, main wechat dengan makwe dan tak jaga jadual rutin seharian. Jurulatih dah banyak kena main style nasihat. Tunjuk ajar dan dorongan. Salah kena hukum tapi betul kena puji. Ada ganjaran kalau kena target. Sifat satu pasukan juga kena dimantapkan. 

Dengan skuad senior, depa ialah pemain bolasepak bergaji bulanan dari majikan. Depa bukan lagi bermain bolasepak untuk negara, tapi ia ialah sumber rezeki. Main bagus, sumbat gol, ada cleansheet, dapat imbuhan tambahan. Tapi paksi mereka ialah majikan pasukan mereka. Tidak tertanding elaun bermain di peringkat negara dengan gaji semasa mereka. Kalau best main peringkat negara sekalipon, itu ialah insentif melancong melawat negara luar. Tapi apalah sangat pergi ke Kota Singa atau Jakarta mahupon Bangkok sebab itu jelah taraf permainan kita. Jadi kat sini jurulatih negara bukan lagi perlu sangat menjadi jurulatih. Mereka mesti berfungsi sebagai fasilitator untuk memastikan setiap pemain boleh bermain dalam satu pasukan. Jadi macamana? Perlu seorang yang tegas, punyai sifat perjuangan terhadap negara, misi bermain bola ialah maruah negara bukan lagi main untuk gaji. Perlu ada seorang dua senior yang kepalanya masih lagi elok. Sebagai abang dalam pasukan. Sebagai suara backup kepada jurulatih dan sebagai  pengaman. Yang boleh slow talk kepada pemain muda yang gugup, angkuh, dan rambut kena ada style. Bukan kepala yang dia sendiri buat rambut lebih dari siap sedia nak main bola. Depa dah ada gaji, mungkin lebih mahal dari jurulatih negara, dia rasa penting untuk simpan kakinya lebih untuk majikan dari negara.  Jurulatih skuad senior perlu masa untuk membina pasukan bukan 3-4 hari sebelum berlawan baru berkumpul dan setting formasi dengan pemain yang asal ada ja. Perlu menaikkan semangat dan tiap perlawanan melibatkan negara harus diterapkab misi seperti ke medan perang. Lupakan segala yang berkait dengan pasukan sendiri. Bukan ambik misi perlawanan negara sebagai pelengkap jadual di antara perlawanan. 

Jadi ada asas kepada pandangan yang corak permainan bolasepak Malaysia perlukan DNA, ya ia perlu diterap dari kecil. Di peringkat kanak-kanak. Tahu bila perlu main dari bawah, pergerakan tanpa bola, marking atau zonal marking, hantaran pendek dan kawalan permainan. Jadi bagi aku, bukan Dollah seorang yang memikul tanggungjawab pasukan negara. Semua jurulatih di peringkat awal perlu tahu cara dan asas membentuk satu pemain yang ada sahsiah, personaliti, agresif dan proaktif. Bukan kita boleh kata kau dah lama main bola untuk setiap peringkat, kau dah layak main untuk negara. Kita yang perlu pastikan tiap pemain yang melalui zaman kanak-kanak itu tahu dan paham apa fungsi mereka dalam bolasepak. Jadi bila dia kena maki dengan jurulatih dia walupon di peringkat senior, walaupon gaji jurulatih dia lagi kecik gaji dari dia, dia akan tetap akur dan ikut kata jurulatih dia. Ini baru kita boleh kata pemain Malaysia sudah ada DNA bolasepak Malaysia. 

Ya. Sifat hormat kepada jurulatih dan jersi negara. Bukan angkuh bongkak tak bertempat bila sudah dilabel star dan muka masuk majalah Mangga. Bila main masih individu dan style masih lagi macam kanak-kanak.

Jadi, ibu bapa yang ada anak yang berminat bermain bola, kita sebenarnya ialah Dollah Salleh kepada tiap bakal pemain negara Malaysia. Sebab peribadi dia kita boleh jaga dari dia kecik hinggalah dia tua beranak-pinak. 

P/s: Satu hari nanti, but ini akan ada sulaman nama depa dan dibayar kepada depa untuk memakainya. 

Isnin, Februari 23, 2015

Bolasepak Akar Umbi II

"Coach, saya nak main atas boleh?"

"Coach, ala, bagi la saya main atas, saya nak jadi striker"

"Saya nak main dulu, taknak main second half"

"Tak mo la lawan dorang, diorang kuat, mesti kalah nanti"

".....angguk..." Takde respon lain. 

"Bila kita nak main lagi ni?"

"Yeaaa, menang!!!" Bila keputusan menang walkover diumumkan. 

Ye, pada mulanya, aku ialah seorang bapa penjaga anak-anak yang menyertai kelab bolasepak yang masuk karnival pertandingan 7 sebelah. Tapi bila masuk bab penyediaan pemain dan pasukan, nampak macam tak ada sapa yang betul-betul tolong mengurus pasukan ini. Coach sebenar tak dapat hadir, coach ganti pula ialah seorang bapa pada anak yang juga dari kelab yang sama tapi bermain untuk satu lagi pasukan lain. Pasukan yang mana semua pemain itu dah boleh bermain dengan baik dan faham fungsi dan peranan masing-masing. Jadi dia pon berbelah bahagi dan buat kerja separuh hati. 

Pasukan anak-anak ini pula, nak panaskan badan pon kena ditunjuk, kalau harap depa buat sendiri, maka hati kita yang panas nanti. Itu belum masuk bab bermain sebagai satu pasukan. Skill paling tinggi depa ada mungkin hanya menyepak bola dengan betul. Menahan bola, mengelecek bola, merampas bola, menendang jauh serta lain-lain skill masih ditahap biasa-biasa. 

Jadi, aku tonjolkan juga penglibatan dari hanya menjadi bapa penjaga kepada bapa penjaga yang terlebih prihatin dan lebih mengambil bahagian dalam pasukan anak-anak ini. Jadi, perlawanan pertama, aku tolong keluarkan anak-anak sendiri dan ganti dengan pemain yang belum dapat peluang bermain. Dan coach ganti terus pesan. 

"Next game nanti abang bawak la dorang". Tak pasal pasal. Yang lebih merisaukan ialah tiap ibu atau bapa yang menghantar anak mereka bermain mesti mengharap anak mereka berpeluang bermain di atas padang, jadi aku juga akan berbelah bahagi nak pilih siapa sebagai pemain utama. 

Tapi bila melihat depa sendiri dapat peluang berada atas padang, sama-sama menyepak bola dengan pasukan yang lebih tinggi skill mereka, dapat merasa sendiri pengalaman perlawanan konpetitif walaupon baru masuk darjah 1 dan lawan pula darjah 4, itulah perasaan yang tak dapat diberi oleh mana mana kelas atau bilik darjah.

Paling manis, bilamana depa menang satu perlawanan dan semua melompat gembira bila dengar wisel penamat. Memang kegembiraan jelas terpancar. Sambutan bila rakan sepasukan menjaringkan gol juga sesuatu perasaan yang susah nak digambarkan. 

Rasa sedih bila nampak gol dibolosi. Semua itu adalah untuk depa belajar. Ada kelihatan rasa frust sebab senang sangat pihak lawan menjaringkan gol. Banyak betul yang depa dapat rasa untuk seharian karnival ini berlangsung. 

Dengan harapan yang paling miminum, hajat menjadi coach tak bertauliah masa depa tengah berlawan ialah hanya berharap depa dapat menyekat pergerakan lawan dari menuju ke arah gol. Itu sahaja. 

Nak harap depa melepasi benteng pihak lawan memang sukar sebab kawalan bola yang belum masih kemas dan depa ini bertubuh kecil belaka. Sekali pihak lawan gelecek, 4 orang terus lepas. 

Juga menjadi coach, berapa banyak yang dibolosi tak diambil kisah langsung. Hanya betul-betul dikira bila dah abis perlawanan dengan menyemak keputusan rasmi. 

Nasib menyebelahi mereka bila 3 pasukan dalam kumpulan tidak hadir dan mendapat bye. Bila menang satu perlawanan dah cukup untuk depa masuk separuh akhir dan membawa balik pingat. Cumanya kedudukan 3/4 diakhiri dengan kekalahan 0-9. Banyak jugak tu. Hahah. 

Good job Southern Junior FC. 





Jumaat, Februari 20, 2015

Bolasepak Akar Umbi

Pada usia hampir 35 tahun di tahun 2015 ini, rasanya sudah cukuplah untuk peminat bolasepak Malaysia seperti aku untuk memperkatakan dengan lebih atau tambah kuah lagi berkenaan peranan institusi seperti FAM atau KBS atau mengharap semua pemain profesional bolasepak Malaysia ni membawa satu nafas baru atau harapan kepada masa depan bolasepak negara. Tak kan ada perbezaan bagi beberapa tahun yang mendatang aku rasa.

Jadi, sebagai seorang peminat bolasepak, peranan seorang aku di sini mungkin lebih cerah kalau bertindak sendiri untuk cuba mengubah masa depan untuk 10-15 tahun akan datang. Aku ada anak lelaki berusia 9, 8, 5 dan 2 tahun. Depa suka atau tidak, usia depa ini masih lagi ada harapan untuk dibentuk dan diterap asas bolasepak sebenar. 

Kalau sekarang kita marah pemain Malaysia tahan bola tak lekat, clear bola ikut arah kepala lutut, hantaran pendek berterabur, gelecek bola tertinggal kat belakang, tanduk lelap mata, rembat depan gol tertukar dengan tiang gol ragbi, bila bola di pihak lawan player tak marking elok-elok, keeper tangkap belalang dan macam-macam lagi. Nah, sekarang kau sendiri ada anak lelaki 4 orang untuk kau sendiri bentuk menjadi pemain yang kau sendiri idam-idamkan. Cemana, ada berani? 

Ada kau berani suruh anak sendiri lari keliling padang 5 round tanpa henti tanpa rasa belas ihsan? Kalau kau rasa menyirap bila dia tahan bola macam jahanam, boleh kau suruh dia pumping 20 kali? Bila suruh main passing kau suruh dia buka mulut mintak bola dia tak menyahut, kau ada rasa nak tendang. Baru sejam berlatih atas padang dia dah terbaring penat dan kau sendiri tak sanggup suruh dia buat lagi. Inilah cabaran bolasepak akar umbi. Cabaran kalau melatih anak sendiri. Tapi anak orang lain kau boleh maki sambil makan kuaci. Yep, Safee Sali tu pon anak orang juga. Amacam? Ada lagi hasrat nak maki saja? Safee Sali kata, kalau power sangat, cuba la main sendiri. Aku kata, kalau ko power sangat kritik orang sana sini, cuba la didik sorang dua pemain yang boleh jadi lagi power dari Safee Sali tu. 

Dari situasi sebegini, aku serapkan dua anak lelaki aku ke kelab bolasepak persendirian. Yang ditubuhkan oleh ibu bapa yang mahu anak-anak depa mendapat pendedahan bolasepak akar umbi dengan lebih baik. Kalau harap latihan di sekolah, banyak kekangannya macam sekolah tak cukup guru yang komited melatih, yang berminat main bola tak terpilih sebab guru pilih bulu, latihan tak tentu, kadang-kadang kensel latihan sebab tarikh bertembung dengan pertandingan pidato dan macam-macam lagi alasan yang mana latihan bolasepak di sekolah tidak dapat memberi peluang setimpal untuk setiap murid yang berminat untuk menyertai pasukan bolasepak sekolahnya. 

Untuk depa ni, ini usaha aku meramaikan dan memeriahkan kelab-kelab kecil sebegini untuk lebih maju dan berkembang lagi. Ada latihan yang berstruktur, ada peluang memasuki pertandingan-pertandingan yang tidak berkala/bermusim, juga rasa sendiri bagaimana bermain dalam pertandingan dan kenal betul bolasepak sebenar.

Cabaran bolasepak akar umbi ini sememangnya getir. Kita boleh ja kata FAM itu ini, susun jadual perlawanan macam itu ini. Hal paling kecil macam memastikan anak sampai tepat pada waktu untuk latihan pon belum tentu kita boleh buat. Sekarang kau rasa la. 

2-3 latihan kebelakangan ini, coach utama pasukan kelab ini ada komitmenlain dan coach kedua yang memgambil alih. Dari pemerhatian aku untuk satu sesi penuh terbaru ini, menjadi coach akar umbi bukanlah sesuatu yang kacang dan mudah. Macam aku cakap, kau latih anak sendiri pon ada lagi belas ihsan, ini nak latih anak orang lain depan mak bapak depa. Sekali kau herdik sorang budak, mak dia bangun dari tempat duduk dan angkat spek mata dia, kau berani? 

Itu belum masuk budak yang ada ego dan rasa dia dah terrer. Dia sorang la star dalam pasukan. Banyak cabaranya dan apa yang aku nampak, coach kedua yang mengganti ini terlalu liberal. Terlalu loose. Dan hasilnya, budak-budak ni jadi tidak terkawal. Masa main boleh lagi tendang rakan sepasukan siap berbalas sorang dua. Bila suruh lari keliling padang, satu round ja lari, lagi 3 semua lenggang kangkung. Panassss je aku tengok. Tapi dia coach, aku bapa peserta ja. 

Hah, begitulah serba sedikit cabaran bola sepak akar umbi. Esok ada perlawanan karnival. Dari pagi sampai petang. Kita tengok macamana pula pengurusan karnival ini pula. Kalau ini pon loose. Cukup-cukuplah pandang pada FAM. Bermulah dengan membangunkan bolasepak kawasan kejiranan masing-masing. 

#SouthernJuniorFC



Jumaat, Oktober 04, 2013

Catatan Diego - Bolasepak@Padang

Diego pernah terbaca berkali-kali (kawan lain-lain duk share) di garisan masa FB, mengenai satu pesanan ustazah tentang cara ibu dan bapa mengasuh anak-anak terutama anak-anak yang masih kecil. Entah berapa petua yang diperturunkan tapi lebih kurang beginilah yang masih mampu Diego ingat.

1. Bapa balik awal dari kerja dan memandikan anak yang masih kecil di bawah 5 tahun.

2. Letak anak di atas bahu supaya penglihatan mereka lebih jauh.

3. Eratkan perhubungan dengan aktiviti fizikal seperti bergasak dan bergumpal. Senang cerita, main lawan-lawan.

4. Bawa mereka pergi bersiar-siar, pergi padang untuk bermain.

Alah lebih kurang begitulah rupanya pesanan ustazah tersebut. Sumber internet ni kekadang kita jangan percaya sangat. Entah betul ke tips ini semua? Adakah praktikal semua benda ni bapa boleh buat dengan anak-anak lelaki mereka sekarang? Adakah sistem perumahan negara dan prasarana yang disediakan boleh mengalakkan tips ini dipraktikkan? Bincangkan. 

Lupakan perbincangan di atas dan ada baiknya kita terus ke titik utama. Tips itu memang baik dan benar sebenarnya. Tapi untuk melaksanakannya belum tentu semua bapa berkeupayaan melakukannya. Meskipun demikian, Diego sebenarnya sudah pun mempraktikkan tips ini sejak mempunyai anak seorang lagi. 

Apabila mencecah anak ke-empat, aktiviti sebegini sangat-sangat digalakkan sebab sebenarnya ia dapat melekakan kanak-kanak dari menyepahkan seluruh rumah dan membuat bunyi bingit yang boleh menjagakan bayi yang masih perlukan tidur yang lama. Ia juga memberi ruang dan peluang untuk ibu melakukan tugas-tugas berat seperti mengemas, memasak, membasuh dan mengupdate FB. Selain daripada itu, tips ini juga telah menjimatkan ribuan ringgit dari poket Diego kerana anak-anaknya tidak memerlukan gadget elektronik sorang satu untuk melangut main Minion Rush.

Kebetulan pula padang berdekatan dengan rumah Diego sudah dinaiktarafkan dari tanah terbiar kepada padang bolasepak berserta tiang gol, jaring dan garisan padang. Cuma padang itu juga datang dengan batu-batu besar lutut, paip plastik, kayu terguna serta rumput bertompok-tompok dan tanah tidak rata yang kalau hujan menjadi lopak, air bergenang siap ada berudu sekumpulan.

Demi menyahut seruan ustazah tersebut, Diego beli sebiji bola sepak yang berjenama mahal tapi tak la terlalu mahal harganya untuk mengeratkan bonding atau perhubungan antara anak-anak lelakinya. 

Hari pertama mereka turun bermain di padang baru itu, terdapat kanak-kanak lain yang juga turut bermain di satu sudut gol yang sama. Diego memberi laluan kepada mereka menggunakan padang dan hanya bermain dengan anak-anak di tepi padang. Malangnya ia tidak lama. Tiga empat kali menyepak bola, Rodriguez dan Pablo sudah lebih berminat untuk bermain di cerun padang. Panjat dan gelungsur turun ke bawah. 

Aguero pula hanya memegang kemas bola plastiknya. Tak mahu dilepaskan takut ditendang abang-abang jauh darinya. Sambil dia memerhati kanak-kanak lain yang menyepak bola berterabur dan bola yang melantun-lantun sebab padang tak rata. 

Hari pertama tamat dengan Diego menyertai kanak-kanak lain bermain untuk 5 minit terakhir. Cuma ayat dari salah seorang dari mereka menyentap sedikit perasaan Diego.

"Pakcik, jom la main sekali, jadi team dengan saya". Budak penjaga gol yang dari tadi asyik bolos je mengajak Diego bermain sekali. 

"Pakcik kau panggil aku budak?" Diego hanya berbicara dalam hati. Diego merenung susuk tubuh badannya dan kembali sedar diri dari terus tersentap. Dia terus menyertai mereka sambil bermain secara gaya lincah dan tenang sebagai pemain pertahanan untuk 5 minit terakhir sebelum semua pakat-pakat rasa nak balik sebab hari dah merangkak ke Maghrib. 

Hari kedua, hujan turun pada awal petang. Tapi demi menyahut pesanan ustazah tersebut. Diego gagahkan juga turun bermain dengan anak-anak. Kali ini hanya dengan sebiji bola pantai berwarna biru dan bola berjenama mahal.

Kau orang boleh bayangkan sendiri jela macamana budak-budak ni main bola padang dengan sebiji bola plastik biru. Kau orang ingat senang nak membentuk satu pasukan bolah kanak-kanak yang mantap bersatu, bersatu hati, hati tak tisu, tisu tak basah dan basah baju boleh balik basuh dengan mesin basuh, tapi menjawab jela dengan Marcia nanti?. 





Ye, disebabkan bola hanya ada satu, yang boleh menendang ada tiga, sorang tu kuat menangis kalau tak dapat bola, sorang tu eksaited gila nak menendang, dan sorang lagi tu ikut suka dia je nak menendang ke nak main duri semalu di tepi pandang. Hah, senang ke? Ustazah tolong jawab sikit bonding cemana kita yang nak buat ni? 

Ok, ustazah simpan jawapan ustazah sebab Diego sendiri boleh setelkan masalah displin ini. Cabaran tadi mudah saja disetelkan bapa berpengalaman 4 orang anak lelaki. Hanya dengan satu volume suara lain dari perbualan biasa, serta kuasa memberikan bola kepada anak yang sepatutnya, mereka mula teratur dalam mempelajari asas bolasepak. Anak ketiga Diego, Aguero yang berusia hampir 3 tahun mula mengambil posisi. Walaupon baru lepas merengek, satu sepakan kaki kanan dilepaskan ke arah gol. Teknik sepakannya betul, power untuk usia 2 tahun lebih kira ok la. Apa pon, usaha juga kelihatan baik di situ. Abangnya berdua pula lebih bijak memilih untuk menjadi penjaga gol kali ini. 



Berbalik kepada pembentukan pemain bola sepak dari akar umbi, Diego mengambil inisiatif untuk kembali kepada asas. Asas pertama ialah membiasakan mereka dengan padang bola sepak. Jadi, pada hujung minggu yang seterusnya, walaupon hari hujan mereka tetap turun ke padang bola. Siap kasut, stokin dan pakaian bolasepak sebenar. Seluar pendek dan baju jersi. Salah seorang daripada mereka mengenakan aksesori tambahan iaitu lampin pakai buang di dalam seluar pendeknya. 

Untuk membiasakan mereka dengan padang bola, kali ini permainan mereka tidak lagi bersangkut paut dengan bola sepak. Hanya Diego yang menyepak bola ke arah pintu gol kosong. Anak-anaknya dibiarkan bermain lopak air yang berada betul-betul 3 kaki dari pintu gol. Diego anggap mereka ialah benteng pertahanan dan Diego pula berkali-kali membuat sepakan percuma dari luar kotak penalti. Sambil membuat sepakan lencong, sambil melarang anak-anak dari terlalu galak main air dalam lopak. Sekali sekala, sangkut juga bola dalam lopak air. Hilai ketawa Rodriguez, Pablo dan Aguero memecah keheningan petang. Kanak-kanak lain tidak nampak langsung sebab hari baru lepas hujan. Agaknya sedap lagi terkangkang tengok cerita Upin Ipin depan tv. 

Sergio kelihatan sudah separa berendam dalam lopak air, beliau sama ada tidak sedar atau mungkin terlalu selesa kerana beliau memakai lampin pakai buang berkapasiti tinggi serapan airnya. 

Diego rasa ada baiknya menyambut saranan ustazah tadi dengan menyertai anak-anak bermain lopak air. Air lopak yang pada mulanya jernih dah menjadi teh susu sebab bercampur dengan kelodak tanah merah padang. Satu sepakan cantik dilakukan Diego ke dalam lopak dan air naik memercik naik ke muka Rodriguez. Kebetulan pula, Rodriguez tengah tergelak sambil mulut ternganga. Hilang dahaganya seketika.

Volume hilaian ketawa makin menaik. Muka Pablo dan Aguero juga dinaiki air dengan sengaja oleh abangnya pula. Selebihnya adalah kegembiraan kanak-kanak yang hanya boleh dibayangkan di kepala sebab apa kejadahnya semua benda kita nak kena bawa henpon dan rakam video atau gambar?

Balik dari padang permainan, mereka dibelanja Diego dengan siraman air paip sejuk depan rumah. Mandi depan rumah dengan separa telanjang adalah satu kegembiraan buat kanak-kanak. Lebih bonding dari bergomol dan mengadap tablet elektronik. 

Baju dan seluar mereka dibilas sebelum dibawa masuk. Yelah, kau nak kene jeling jegil biji mata dengan Marcia kalau biar je seluar baju basah kotor main lopak air kat padang kat luar tu? Diego menjinjit semua pakaian basah sambih terkernyih untuk mengelakkan tembakan laser dan bom berantai dari Marcia dilancarkan dengan tepat lagi menikam. Ustazah FB itu tahu apa petua hal-hal mengelakkan diri sebegini.  

Selasa, April 10, 2012

Nak berpersatuan ke nak berbolasepak?

1. Kenapa hanya VVVIP yang menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Negeri dan Negara? Ok, bukan setakat bolasepak, tapi hoki, ragbi, olahraga, tenis dan beberapa jenis sukan lagi. Kenapa persatuan skuash Malaysia power?


2. Kenapa dibawah naungan FAM, hanya terdapat affiliate yang hanya berbentuk kenegerian? Yang bukan kenegerian pula berbentuk kaum? Persatuan Bolasepak Melayu/Cina/India Malaysia? Peh.


3. Bolasepak perlukan pentadbiran swasta. Yang berteraskan pertumbuhan akar umbi perkembangan bolasepak dan bukan berteraskan untung rugi kantung sendiri.


4. VVVIP mungkin boleh memulas tangan para penaja untuk mendapatkan penajaan, tapi kalau mutu bolasepak tidak bermutu langsung, penaja mana yang sanggup meletakkan nama mereka sebaris dengan mutu bolasepak yang tidak bermutu langsung itu?


5. Pembangunan akar umbi bukan bermaksud mencari seluruh ceruk kampung atau hulu untuk mencari bakat bolasepak yang power hanya bila ada kejohanan. Pembangunan akar umbi bermaksud satu sistem intergrasi dalam melatih, memberi pendedahan, perhatian, memperkembangkan bakat bolasepak sedia ada ke tahap yang lebih tinggi secara teratur. 


6. Sekali sekala rage tak tentu pasal apa ada hal.

Arsenal 1 - 0 Mancini

1. Arsenal tidak memerlukan kesilapan penjaga garisan untuk menjaringkan gol.

2. Tevez dan Balotelli boleh berlagak diva, tapi Arteta boleh mengajar mereka menjaringkan gol dengan penuh rendah diri.

3.  Arsenal sengaja memberi muka dan tak menjaringkan gol secara belebihan, lihat sahaja hadangan dari Vermalaen untuk tandukan Van Persie dan rembatan ragbi Ramsey pada minit terakhir.

4. Nasri dan Clichy berpindah untuk memenangi lebih banyak piala? Silap-silap, Fabregas pon belum tentu menang piala La Liga musim ini. 

5. Van Persie dah 4 perlawanan tidak menjaringkan gol. Hancur point fantasy. 

6. Arsenal masih ada peluang matematik ke tempat kedua liga dan tiada langsung peluang matematik untuk menjuarai liga selepas minggu ini. Peh!

Khamis, Disember 08, 2011

Manchester, Pemalas?

Pada penghujung musim 2010/2011 yang lalu.

Di hujung Februari 2011, Arsenal kalah mengejut 1-2 kepada Birmingham City dalam perlawanan akhir Piala Miki Mouse ataupon nama sebenarnya Carling Cup. Kalah dengan gol saat akhir atas kesilapan pemain sendiri.

Minggu seterusnya, meskipun mempunyai kelebihan menang 2-1 terhadap Barcelona di perlawanan pertama suku akhir Champions League, Arsenal sekali lagi menyerah diri dengan kekalahan 1-3 kepada Barcelona di Nou Camp, sekaligus melenyapkan impian kejuaraan Champions League.

Tambah parah bila Arsenal gugur pula di suku akhir Piala FA ditangan Manchester United 0-2 sejurus selepas perlawanan Champions League di penghujung minggu. 

3 piala lenyap dalam tempoh tak sampai sebulan.

Kedudukan di tangga Liga yang pada mulanya nampak kukuh juga runtuh bila kalah di tangan Bolton pada April 2011. Semua piala hilang dari capaian Arsenal untuk musim 2010/2011.

Arsenal digembar-gemburkan mungkin tak main langsung Champions League untuk musim 2011/2012. Penyokong Manchester United mendabik dada dengan kejuaraan Liga tapi menikus dengan kekalahan ditangan Barcelona dengan jaringan 2-0, tanpa dapat membalas walau satu gol. 

Kita fast forward pula pada masa kini. Musim 2011/2012.

Hujung bulan November 2011, Manchester United baru sahaja kalah 1-2 di tangan Crystal Palace , pasukan division 1 liga Inggeris untuk Piala Carling Cup pada pusingan suku akhir. Pasukan power lain seperti Arsenal dan Chelsea juga turut gugur dengan hanya Liverpool dan Manchester City masih berpeluang bersaing bersama Crystal Palace dan Cardiff City.


Tak kan Crystal Palace pon kita tak boleh kalahkan? - Park (terlindung)
Wei, aku tengah betulkan parking la. - Valencia

Seminggu kemudian atau lebih tepat, hari ini, Manchester United kalah 1-2 kepada FC Basel untuk layak hanya ke pusingan ketiga Europa League Cup menemani jiran mereka Manchester City. Jaringan Alex Frei meranapkan impian Manchester United. Alex Frei sebelum ini hanya kenal pemain Manchester United dari skrin LED televisyen di rumahnya sahaja.

Takkan FC Basel pon kita tak boleh kalahkan? - Park (merenung jauh)
Eh, bukan ke kita dah amik gambar macam ni miggu lepas? - Valencia

Manchester City yang berbelanja boros tanpa mengira prinsip akaun imbangan duga dan menjanjikan piala buat pemain baru mereka musim ini, kini boleh berpeluang cerah untuk menggapai Carling Cup dan Europa League impian mereka.


Di Arsenal, saya tidak berpeluang ke Europa League, ia piala idaman saya! - Samir

2 piala hilang tak sampai 10 hari. Tidaklah akan kedengaran lagi la komen sebegini pada malam Selasa atau Rabu di masa akan datang. "Eh, Manchester lawan apa ye game Champions League pagi nanti?". 

Pasukan berjiran ini nampak gaya tak suka duduk berjauhan. Januari nanti, Manchester United bakal bertemu dangan Manchester City untuk perlawanan Piala FA pusingan ketiga. City yang sudah merebus United 6-1 di Old Trafford baru-baru ini nampak gaya betul-betul membingitkan telinga jiran mereka. 

1 lagi piala bakal hilang untuk mana-mana Manchester.

Ini dah hampir mirip skrip drama yang sama seperti Arsenal musim lalu. Ini adalah skrip kitar semula. Adakah Pak Alex sudah menjadi pemalas?

Cuma, kali ini skrip belum masuk separuh musim. Ah, malaslah nak tulis lagi.

Kenapa Manchester-Manchester sekalian? Why????

Selasa, Disember 06, 2011

Malaysia 0 - 2 Syria (Kelayakan Olimpik 2012)


Ini adalah cara sebenar menyokong bolasepak di stadium. Duduk elok-elok. Jerit "Malaysia!" "Malaysia!" "Malaysia!" secara comel. (*Tolong maafkan posisi bendera sebab mereka masih kanak-kanak bawah umur dan belum tahu yang mana depan, yang mana belakang, sedangkan baju sendiri boleh pakai terbalik, inikan pula mengibarkan bendera).


Tak perlu berdiri 90 minit menyanyi dan meloncat secara seragam. Tak perlu baling botol bila dah nampak nak kalah. Bila bola dah abis pon tak payah jenuh-jenuh nak balik awal. Kita amik gambar barang sekeping dua dulu. 


Ini pula mamat bangang berbaju biru yang mula berjalan keluar ketika Malaysia baru sahaja melepaskan gol kedua dari kesilapan pemain pertahanan Malaysia, Muslim. Dia baling botol air mineral betul-betul landing semeter dua dari penjaga garisan. Masuk ke padang dan mujur di kuis keluar oleh penjaga garisan. 


Disebabkan mamat macam inilah segala stadium bolasepak di Malaysia ini akan dibina pada masa akan datang siap ada padang trek dan longkang besar serta pagar macam dalam jel. Tengok bola nampak sayup-sayup je. 


 Bangang melantun! 
(baju biru tengah naik tangga, berbangga dengan tindakan bodoh, pui!)

Objek yang dibaling.


Perangai macam ini bukan menyokong bolasepak namanya. Bangang tau!

Isnin, Oktober 31, 2011

Chelsea 3 - 5 Arsenal

Adoyai, sejak satu momen kemurungan, bertimpa-timpa pula momen kegembiraan. 

Ini juga tidak dapat tidak harus ada dalam lembaran blog ini.

Kenapa? 

1. Sejak aku kenal Arsenal, depa tak pernah dapat 5 gol di Stamford Bridge. Menurut rekod, kali terakhir pada Chelsea bolos 5 gol melawan Arsenal di Stamford Bridge adalah 1934. Peh, sebelum Jepun menjajah Tanah Melayu lagi!.

2. Sejak terbiasa dengan game Arsenal yang hujung-hujung mesti kecewa, kali ini dapat melompat (sambil dukung anak!) 3 kali untuk comeback gol dan 2 gol mendahulu dengan Chelsea, itu luar biasa. 

 Van Per5ie
Ibarat pinang dibelah lima.

3. Selalunya mesti risau defender Arsenal goyang, tapi kali ini goyang lagi defender Chelsea. Terry power lagi kental? Bukan makwe kawan sahaja dia pandai tibai, kali ni tertutuh padang sendiri.

Terry dan padang yang ditutuh. Main sendiri simpan sendiri.

4. AVB masa celebrate gol ketiga, dia punya enjoy macam dengan pengumuman raya! Huhu.

Beristinjak di tepi padang? Eh, macam pernah tengok gaya ni.

5. Akhir kata, supporter Chelsea ada sms aku, berapa predicition malam nanti? Aku kata Arsenal akan menang tipis, dia kata, Torres mengganas kot nanti! Last-last, siap bungkus 5 gol! Eh, Torres main ke? Kui kui kui.

CH3l5EA 3-5 AR53NAL !!

Selasa, Oktober 25, 2011

Arsenal 3 - 1 Stoke City

Saya tidak dapat tidak, harus ada gambar ini dalam blog ini sebagai objek yang mengembirakan. 

"Pakai lutut pon boleh score!"

6 st6r m6nch6st6r!

Isnin, September 19, 2011

Konsep 'Abah' di dalam bolasepak

Artikel ini boleh diperpanjangkan ke venue yang lebih besar dan glemer seperti Sokernet contohnya, tapi apa kejadahnya berbuat demikian?


Kalau isteri-isteri atau makwe-makwe berasa tertanya-tanya, kenapakah lelaki mereka begitu taksub, asyik dan khayal dengan pasukan bolasepak kegemaran mereka, ini adalah masanya untuk meleraikan pertanyaan tersebut. 


Di dalam hal menyokong pasukan kegemaran mereka, bagi seorang peminat, ia adalah ruang dimensi yang mana mereka boleh kembali ke zaman kanak-kanak mereka. 


Zaman yang mana mereka suka membanding-bandingkan sesuatu dengan kawan mereka yang lain. Zaman yang mana mereka boleh merengek-rengek meminta abah mereka membelikan sesuatu yang mereka inginkan. Zaman yang mana mereka melompat bertepuk tampar bila Ultraman mengalahkan raksasa. Zaman yang mana mereka bersedih bila Ultraman kalah atau kehilangan power. Zaman yang mana kalau kawan mereka kehilangan mainannya, mereka boleh gelakkan kawan mereka sambil berbangga dengan apa yang mereka ada. Ya. Ini adalah thrill yang mereka masih rindu walau mereka sudah berpangkat abah-abah. 


Menjadi penyokong pasukan bolasepak juga begitu, mereka berbangga dengan pasukan mereka yang menang menentang kuasa jahat pasukan lain. Mereka bermuram durja bila pasukan kegemaran mereka kalah, tambah perit kalau pasukan durjana lagi kejam itu adalah pasukan kegemaran rakan terdekat mereka. Sudah tentu di 'nye-nye' seminggu lamanya. 


Mereka juga merengek-rengek agar pengurus pasukan kegemaran mereka membeli pemain yang mereka rasa patut dibeli atau bila merasa jeles sebab pasukan lawan yang jahat lagi durjana dah beli pemain baru. Sama sahaja bila masa mereka kecil, mereka berbuat demikian kepada abah mereka semata-mata kerana anak jiran dah beli pistol tat-tat-tat ada lampu-lampu. 


Berikut adalah beberapa contoh jelas bagaimana pengurus pasukan merangkap peminat kelab bolasepak bila berdepan dengan pelbagi jenis 'abah' yang ada di muka dunia ini. 


#1 Abah dia jenis kaya tak patut dari keturunan moyang lagi. 


Institusi keluarga sebegini sebenarnya dianugerahkan tuhan dengan cabaran hidup yang sangat sukar, iaitu tiada cabaran dalam hidupnya. Jadi institusi keluarga ini bakal mengalami masalah mengekang keinginan setinggi langit, nafsu buas serta tamak haloba anak-anaknya disebabkan dimanjakan sejak sebelum disenyawakan lagi. Anak-anak pula bakal membesar sebagai orang yang berjaya di dalam hidup (dikaca mata orang biasa) tapi tiada sifat timbang rasa mahupon bertolak ansur.




#2 Abah dia jenis kaya-raya sebab monopoli bisnes. 


Tak ada bezanya abah jenis ini dengan abah di atas, cuma abah jenis ini ada sedikit kekangan, lambat-laun abah jenis ini susut juga nilai kekayaannya dan pada masa yang sama baru nak kembali ke jalan yang benar, cari sejadah bila ditimpa kemaslahatan. Tapi sifat boros dan ingin cepat senang memang tetap ada dalam diri abah itu. Disebabkan kekayaan datang dari bisnes, abah jenis ini hendakkan juga pulangan dari pelaburan beliau sebab kekayaan dia boleh susut secepat perubahan nilai matawang US. Cuma kadang-kadang terlalu boros sehingga terlupa beberapa fakta seperti 50 juta pound boleh membuat 10 hospital canggih di utara Russia tetapi hanya dibayar kembali dengan hanya 2 gol?


Anak-anak dari institusi keluarga sebegini bolehlah dikatakan sinonim dengan mahu cepat kaya, usaha sedikit dan terlalu bergantung dengan wang untuk menjalankan segala kerja. Sifat bongkak dan takbur diterap dari kecil. Kuat melawan serta sombong tidak bertempat. 




#3 Abah dia kaya dengan kad kredit.


Abah jenis ini suka melihat anak-anaknya senang sewaktu dia ada duit. Hutang keliling pinggang tidak mengapa selagi boleh mengembirakan anak dan keluarga. Habis satu kad kredit limit, dia buka kad kredit lagi satu. Kadang-kadang jual sahaja aset berguna dengan harga tinggi hanya untuk cover hutang lapuk. Tapi abah jenis ini ada yang tetap bermotivasi dan berusaha tinggi. 


Ada plan perancangan serta bijak mengatur strategi. Itu pon mungkin tak lama. Anak-anak yang dibesarkan pula sudah biasa dengan kesenangan hidup. Rutin hidup mereka ialah hidup senang. Tapi bila air bah, adakah mereka akan berubah? Hanya masa dan ketika akan menentukan sama ada anak-anak ini ada jati diri. 




#4 Abah yang sangat berjimat cermat


Abah jenis ini boleh disimpulkan dengan jenis abah yang beli rumah dahulu baru kereta untuk kesenangan anak dan cucu di masa hadapan. Bersusah payah jenuh perit hanya untuk kesenangan yang mungkin dia sendiri tidak sempat merasa. Jenis yang tanam pokok durian bukan untuk dia dan anak-anak, tapi untuk cucu yang merasa nikmat. 


Jadi abah jenis ini banyak merobek jiwa anak-anak. Anak-anak terpaksa turut berkorban demi kesejahteran cucu abah mereka. Mereka terpaksa menjadi dewasa dengan fizikal masih kanak-kanak. Tapi anak-anak ini turut diterap dengan semangat kental tidak patut tunduk walau jatuh. Institusi keluarga sebegini kadang-kadang agak rapuh tapi itulah realiti sebenar dunia. 




#5 Abah dia betul-betul miskin.


Sebenarnya, secara realiti kini, abah jenis ini yang paling ramai sekali berbanding abah-abah jenis laih. Cuma ye la, dah nama pon kanak-kanak. Mana nak dimengerti penderitaan seksa menjadi seorang abah. Abah yang berbelanja hanya untuk cukup makan. Tak ada tak payah cari. Ada yang percuma ambik. Kalau ada nak beli aset yang ada, jual janji anak cukup makan. 


Anak-anak mungkin paham, mungkin redha. Tapi untuk merengek-rengek mintak itu ini yang tak munasabah mungkin depa tak buat. Jenis paham dan terima sahaja ketentuan hidup. 



Sekian dahulu. Semoga mendapat manfaat dan abah bagaimanakah hangpa?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...