Advertlets

Sabtu, Mei 28, 2011

Kanak-Kanak Memang Riang 37 - Rasa Ammar

Rasa nak bercerita hal Ammar.

*gambar culik dari FB potographer separa propesionel, Fawzan. 


Ammar dulu-dulu masa kecik-kecik dalam dua tahun begitu, bercakapnya kurang. Sepatah je keluar. Sekarang pula, sepatah-sepatah dia keluarkan perkataan, cuma tiada berhenti keluarnya perkataan-perkataan tersebut menjadi ayat-ayat panjang yang dia je tahu motif kenapa dia nak bercerita hal yang demikian. Dan kita kena dengar bagi habis baru dia puas hati. 

Ammar ada stail tersendiri. Dia akan sangat sukakan sesuatu barang secara berkala. Ada satu masa, dia suka gila seekor monyet berbentuk beg galas. Dia galas beg monyet tersebut di belakang badannya ke mana jua dia pergi. Hatta ke tempat tidur sekalipun. Beg itu pula akan diisi dengan mainan-mainan kegemaran dia pada ketika itu. Antaranya seorang dua Ultraman, berbentuk-bentuk kereta bermacam jenis, jam tangan Ben10 dan apa jua mainan kegemaran beliau. Bila penuh beg itu, tentu susah nak terbaring lena dengan beg galas kan? Tidak buat Ammar. Lena jugak. Kadang-kadang, kalau dia tidak tidur dengan beg monyet itu, bila dia mangkit je terus bingkas dia mencari beg monyet itu untuk digalas.

2-3 hari lepas, kesukaan beliau ialah sehelai beg plastik lut sinar bekas isi beg laptop yang baru diperolehi dari ihsan Bos. Beg itu mula-mula sekali Ammar buat isi kaki beliau. Bila menyedari tak muat nak isi seluruh badan, baru beliau keluar dari beg plastik itu dan mula menggunakan beg ini sebagai beg plastik. Dia isi bola, beg monyet dan beberapa mainan lain dalam beg plastik ini. Sampai malam, dia genggam hujung beg plastik itu dengan mainan-mainan itu masih di dalamnya untuk tidur. Dia nak tidur dengan beg plastik tersebut. Mujur dia dapat menerima pandangan tegas dari abah dan umminya. Beg itu diletakkan di tepi tilam dan dia tidur sendiri. Esok pagi dia cari semula beg itu elok sahaja dia mangkit.

Satu lagi tentang perasaan Ammar. Dia sangat jelas dan langsung terhadap perasaan dia pada tiap ketika. Kalau dia tak dapat apa yang dia nak atau telah dilarang keras untuk apa-apa hal, selain dari terus teriak dia juga ada satu lagi cara untuk memberitahu perasaan dia.

"Abah busuk!"

 Ammar nak koyak suratkhabar abah"

"Harini Ammar nak bagi ummi je bunga dengan cincin"

"Ammar nak love ummi je"

"Ammar nak gunting baju ummi"

"Ammar nak sepak kereta abah"

Inilah antara cara Ammar memberitahu yang mana beliau tidak suka dengan larangan yang diberi, atau disuruh membuat apa yang dia tak nak buat atau tidak diberi apa yang dia nak. Tapi cakap jela, tak la dia buat betul-betul.

Ok, ok. Walaupon statement Ammar di atas banyak yang pro umminya, tapi bila nak tidur, dia mesti nak abah dia tidur sebelah dan temankan dia. Huh, manja mengada-ngada. Heh.

Isnin, Mei 16, 2011

Terima Kasih Cikgu!

*Tajuk diatas haruslah dibaca dengan nada Upin & Ipin. Baru la ceria.

Baiklah, ini kisah untuk ucapan hari guru aku.

Tokwan seorang guru. Guru pelawat ataupon Nazir sekolah. Pelbagai negeri, Terengganu, Perak dan Kedah.

Anak sulung tokwan, Mak Chaq juga guru. Sepencennya Mak Chaq, beliau adalah guru besar sekolah perempuan. Suami Mak Chaq, ofkos la namanya Pak Chaq, juga pernah menjadi guru, guru di Perkim Boon.

Anak kedua Tokwan, Mak Bi (mak saya. Ye, mak saya!). Juga seorang guru. Dari guru biologi, beliau berkhidmat sehingga pencen sebagai Pengetua MRSM. Suami Mak Bi, (ye, pak saya la). Pak Lan, juga seorang guru. Dari guru Kimia dan Fizik, beliau melalui liku-liku naik ke pelbagai jawatan dan kini bakal pencen sebagai Pengetua Kolej MARA tidak lama lagi.

Anak kelima Tokwan, Makcik juga seorang guru. Kini sebagai teacher pelbagai yang pernah berkhidmat di sekitar Ipoh, Kuantan dan Subang.

Menantu Tokwan yang kelima, Mak Su juga seorang guru. Juga seorang teacher sejak 1995 sekitar Selangor. 

Isteri cucu Tokwan yang pertama, menantu Mak Bi (oh begitu berbelit) juga pernah menjadi guru sementara.

Cucu Tokwan yang kedua, anak sulung Mak Chaq, bakal menjadi guru.

Menantu Mak Chaq yang kedua, juga seorang guru sekarang.

Isteri cucu Tokwan yang ketiga, menantu Mak Bi yang kedua, orang selalu-selalu panggil dia cikgu bila terserempak kat kedai runcit, salah satu sebabnya dia selalu bawa nota kecil ketika membeli barang basah. 2 hari lepas pon ada orang ucap selamat hari guru jugak.

Disebabkan dah lost track dengan bilangan cucu Tokwan, anak Mak Bi yang ketiga, juga guru di pengajian tinggi. Belajar tinggi-tinggi. Ajar pon matapelajaran tinggi la.

Anak Mak Bi yang kelima, juga bakal guru terlatih berbicara Inggeris untuk matapelajaran ilmu hayat.

Menantu Makcik yang pertama juga guru di pengajian tinggi.

Ok, dah lost track dah diri sendiri dengan ahli keluarga terdekat yang berprofesion guru.

Yang ingin disimpulkan disini, keluarga kami sendiri dah dikelilingi guru-guru yang mungkin mengajar kami secara tidak langsung. Yela, mana la pernah aku duduk dalam kelas yang pak ajar kan. Tapi ilmu dan pengajaran tidak langsung dari mereka sangat banyak tidak terkira. Memerhati kehidupan mereka sahaja sudah cukup untuk belajar sesuatu. Jadi hari guru ini adalah sungguh bermakna buat depa semua.

Tidak lupa untuk semua cikgu-cikgu yang telah mengajar dan mendidik saya sehingga hari ini. Guru-guru di MRSM PDRM yang paling tidak akan dilupakan. 5 tahun bersama mereka dari saat aku baru betul-betul belajar berfikir dan berdiri dengan kaki sendiri.

TERIMA KASIH CIKGU!!
Sampai bila-bila pon orang akan tetap panggil depa 'Cikgu'. 

p/s: Awat ye cikgu-cikgu ni semua awet muda? Dari dulu sampai sekarang, muka cikgu kita nampak tidak berubah.

Sabtu, Mei 14, 2011

Tulis-tulis – Mekanisma Auto Harga Petrol



Kadang-kadang membaca suratkhabar ada gak sikit-sikit menambahkan kepandaian. Membaca blog juga boleh menambahkan kepintaran. Baca status FB je yang kadang-kadang boleh menyebabkan kemerosotan IQ. Hahah.


Untuk menambahkan kepandaian pembaca blog ini, disertakan satu jadual yang telah diwarna-warnikan oleh Paultan dari satu artikel akhbar.

Jadual ini adalah rahsia kerajaan yang tidak lagi rahsia. Ianya bertujuan memaklumkan rakyat bahawa harga minyak petrol dan diesel di Malaysia ini sudah ada harga kosnya. Pandaikan? Terjemah la jadual ini sepandai-pandainya serta selak la kedua-dua pautan yang diberi. Aiseh, dalam Inggeris la pulak. Google translate ada kan?

Kadang-kadang telakar juga bila membaca komen dari artikel ini di blog Paultan itu. Ada juga yang mengatakan bahawa sebagai rakyat marhaen, jadual ini dan deskripsi ini sangat teknikal lagi matematik sehingga rahsia ini masih menjadi rahsia bagi saya sebab saya tak paham juga bila dah baca (aku tolong tafsir kot melayu la sebab dia tulis Inggeris, hahah). Kamon la, dari satu artikel akhbar, diwarnawarni pula oleh Paultan menjadi jadual yang singkat, hang tak paham lagi? Ni mesti belajar dalam bahasa Melayu untuk Sains dan Matematik kan?

Baiklah, isu sebenarnya ialah kupasan. Menjadi blog yang sekadar meletak pautan tanpa sebarang kupasan atau komen diri sendiri menjadikan anda blogger kopipes. Tak baik begitu.
Isunya ada 2. Dari skim Auto Pricing Mechanism (APM) ini, yang telah menunjukkan belangnya dengan menaikkan harga petrol RON97 ke RM2.90/liter ini (sampai hati hangpa tak marah pak Jib macam hangpa marah Pak Lah noo, dia pi penaik lagi tinggi ni, hahah), kita harus tahu dan paham bahawa harga petrol dan diesel semasa kita TIDAK bergantung SECARA LANGSUNG kepada harga minyak mentah pasaran (orang selalu amik harga pasaran NYMEX) seperti digraf di bawah.


Oh tidak! Kenot be, why? Harga makin menuju bawah USD 100 setong, dah 4-5 hari naik turun paras USD 100. Tapi kenapa kerajaan tak turunkan harga petrol? Dulu USD 160 setong baru RM2.70, sekarang USD 120 setong pon tak cecah, tapi petrol RM2.90! Ini kerajaan konspirasi. Ini fitnah. Kerajaan makan duit rakyat. Rakyat didahulukan menerima bahana. Menteri berpeleseran menaiki kereta mewah tak sangkut jem, ada je polis eskort manakala petrol negara jiran masih lebih tinggi dari negara kita (eh?).  

Ok, semua kenyataan ini merendahkan tahap IQ kamu, aku meminta maaf atas keterlaluan ini, ini bukan FB. 

Ye pembaca budiman yang sudah pon mengetip pautan yang diberi di awal-awal lagi tadi. Intipati pertama artikel tulisan akhbar itu adalah harga kos untuk petrol dan diesel diambil dari satu nombor yang didapati oleh sebuah panduan bernama MOPS. Ye, mop lantai la ni. Lantak hangpa la nak suka ke tak akronim MOPS ni. MOPS ialah average of the Mean of Platt’s Singapore. Platts ialah sebuah kompeni dari Mc Graw Hill yang jual beli barangan berasas petroleum di Singapura  (kompeni yang banyak buat buku kejuruteraan, susah gila nak paham sebab bahasa Inggeris, masa subjek rekabentuk, aku menyampah gila dengan buku Mc Graw Hill ni, mujur pinjam je dari Nor A). Platts yang kemaskini harga naik turun barangan berasas petroleum yang didagangkan di Singapura. Bila permintaan naik dan barang kurang, Platts naikkan nombornya. Begitulah sebaliknya.

Jadi, pembeli lebih suka MOPS berbanding harga minyak mentah semasa NYMEX sebab harga MOPS lebih meluas, sebab merangkumi pelbagai jenis produk minyak mentah yang sudah ditapis yang didagangkan di Singapura. Harga ini lebih tepat lagi bersesuaian pada tiap produk. Jadi MOPS boleh naik turun adalah disebabkan oleh?

1. Harga minyak mentah semasa.
2. Permintaan semasa.
3. Banyak mana barangan itu dihasilkan pada masa itu.
4. Harga kos penapisan dan pemprosesan bahan petroleum tersebut.

Tambah pula harga premium barangan yang didagangkan seperti kos penghantaran pakai kapal, sewa kapal, sewa pelabuhan, insurans, kos simpanan dan pengendalian. 
Jadi, harga ini yang diambil kerajaan untuk dijadikan harga kos seperti kotak kaler merah. 



Sebelum kita tambah segala mak neka harga dalam jadual warna warni di bawah.
Intipati keduanya adalah berdasarkan jadual di atas. Menurut jadual di atas, kita jangan la dok berharap yang kerajaan datang dari planet mana pon memerintah bumi Malaysia ni, kalau depa pon pakai APM ni, kita boleh pam petrol seliter serendah RM0.9035. Secara matematik kasarnya tidak possible. Kalau ada yang menjanjikan harga petrol RM0.91 seliter, aku akan pangkah namanya dari menjadi calon. Tak pandai matematik betul dia. Melainkan dia seorang yang berani memotong keuntungan pelbagai pihak yang terlibat.

Ada mengerti? Pandaikan mentafsir jadual? Ke IQ dah merosot juga sebab membaca sesuatu yang sangat berilmiah macam ni?

Jadi pembaca budiman sekalian, bila kita pam petrol, tahulah kalian kemanakah duit itu pergi. Bukan suka-suka minyak tu naik harga sebab Libya yang terbiar, Iraq yang dah tekukur, Florida yang 'flood' dan sebagainya. Banyak lagi mekanisma yang terpaut yang menyebabkan harga minyak naik. Kotak kaler ungu pula menceritakah perihal sama ada kerajaan akan mensubsidi harga minyak bila naik (ditetapkan kepada RM0.30 sekarang). Atau akan mengutip cukai yang lebih banyak (maximum RM0.5862) bila harga kos minyak turun, tapi kerajaan taknak turunkan cepat-cepat. Undi la sapa pon, syarikat minyak (petrol) yang tetap untung, pekerja syarikat mereka juga yang berbonus lebat.

Nasihat aku, 'ubahlah gaya hidup'. Sudah-sudahlah mengimpikan menggunakan kereta yang membazir petrol tak semena-mena, perginya takat tu juga. Apa guna ada 3.2 cc (Exora Prime 1.6 turbo bila nak keluar ek? Hahah). Bila jem sangkut juga di tengah jalan. Tunggu orang dalam kereta, matikan sahaja enjin kereta. Panas cenggini, ekon servis la selalu dan tint la cermin dengan filem berefek penyejuk. Kereta hanyalah kenderaan dari poin A untuk ke poin B. Janji tidak ranap relai di tengah jalan. Hahah. 

Isnin, Mei 09, 2011

Kanak-Kanak Memang Riang 36 - Kawan Ummi

Malam-malam, Aqil dan Ammar memang tido di bahagian bawah. Mezzanine level orang kata. Sebelah katil saiz permaisuri kami. Kadang-kadang ada tilam, kadang-kadang ada toto, kadang-kadang alas dua-dua. 

Aku baru je baring di tengah-tengah, antara Ammar dan Aqil, sebab Ammar memang suka tidur dipeluk abahnya. Harapkan Aqil, elok je kita merangkul pinggang dia, terus ditepis tolak balik. Ikut perangai siapa la agaknya ye. Kadang-kadang je dia suruh tepuk. 

Aku mengadap Ammar, sambil membelakangi Aqil. Aqil dah lali-lali. Tak perlu tepuk ke mende. Pandai dia tido sendiri. Janji ada baju busuk dia. 

"Abah, tadikan, kawan ummi yang jahat tu kacau Abang Ammar lagi"

"Tu, dia ada kat situ" sambil tangan ditunjuk ke belakang, menunjukkan celah antara katil saiz permaisuri dengan meja solek. Ada la ruang dalam 6 inci di situ. 

Ammar dari berbaring terus bangun, langkah aku dan tidur ditengah. Kali ini aku pulak yang tidur di tepi katil, dan kepala betul-betul di ruang antara katil saiz permaisuri dengan meja solek. 

Ammar tak jadi tidur, mintak nak minum air. Aku bawak pergi dapur. Buka pintu peti ais dan minum. Malam tadi betul-betul berbahang dan panas. 

Sampai balik, dia baring dan mintak aku peluk. Dan dia lena. Elok je dia lena, aku layan 30 minit terakhir perlawanan yang tak penting langsung. Manchester menang 2-1 dengan Chelsea. Takde pekdah!

3 minggu lepas, masa Nor A sekeluarga datang tidur di rumah. Ammar pertama kali mengadu pada umminya perihal 'kawan' ummi itu. 

"Kawan ummi tu, kacau Abang Ammar, Abang Ammar sedih". Sambil menunjuk pada bucu katil. Itu masa dia baru bangun dari tidur. 

"Rambut dia panjang, muka dia macam muka ummi, tapi dia pakai baju putih". Tambah Ammar lagi.

Soalnya sekarang, 4 minggu dari sekarang, depa semua nak balik kampung dalam 2 minggu cuti sekolah dan tinggal aku sorang-sorang kat rumah. Amacam? Hahah.

Nota utama: Selamat Hari Ibu buat Mak! Selamat Hari Ibu buat Ayang!

Rabu, Mei 04, 2011

Arsenal 1 - 0 Manchester United (ini konspirasi!)

Member aku kata Arsenal menang sebab pengadil tak bagi penalti kat Owen yang ditakik Clichy. Takik yang memang sengaja tapi pengadil buat-buat buta. Ini tidak adil pengadil!


Juga beliau berkobar-kobar mengatakan bahawa pengadil memberi 2 gol percuma kepada Chelsea ketika melawan Spurs. Satu gol yang tidak melepasi garisan, satu gol Kalou curik ayam. Kemenangan Chelsea memberikan tekanan dan saingan paling sengit buat Manchester United sebab minggu depan mereka akan bertemu di Old Trafford dan sapa yang menang berpeluang cerah sebagai bakal juara.


Sungguh-sungguh dia berkeras kedua-dua tindakan pengadil FA Inggeris ini mengesahkan teori konspirasi untuk menjatuhkan Manchester United secara diam oleh para pengadil yang majoritinya berusia lanjut dan menjadi penyokong zaman kebangkitan Liverpool. Ye, semua pengadil pro-Liverpool kata beliau disebabkan umur mereka dan sejarah Liverpool ketika itu. 


Jadi, baik semua pengadil membenarkan Chelsea menang kejuaraan liga berbanding melihat Manchester United memenangi kejuaraan liga ke-19, sekaligus meningkah Liverpool sebagai kelab terulung dengan kejuaraan liga terbanyak. Ini konspirasi terbesar liga FA Inggeris oleh pengadil-pengadil serta penjaga-penjaga garisan.


Tahun lepas pon sama. Drogba curik ayam 2 kaki jauh dari satu hantaran lambung ketika menjaringkan gol terhadap Manchester United yang membolehkan Chelsea menang kejuaraan liga. Betul-betul penjaga garisan buat-buat buta.


Tapi, member aku yang sama juga beria-ia mengatakan pada awal musim ini, tahun ini Manchester United memang tiada prestasi. Menang nasib. Kalah nasib dan seri pon nasib. Mujur ada mentaliti kuat untuk terus bertahan sahaja. Juga, ini pasukan paling lemah dalam sejarah Pak Alex.


Untuk semua penyokong Manchester United, kah kah kah. 


Mekasih Ramsey!


Aku kata, masih ada 3 perlawanan dan apa-apa pon boleh terjadi. 


Kot Manchester dan Chelsea seri semua perlawanan seterusnya dan Arsenal menang ketiga-tiga perlawanan? 


Ok, ini harapan paling palsu lagi penuh konspirasi. 36 pengadil dan penjaga garisan perlu dibeli dan dipengaruhi penyokong Arsenal. Hahah. 


Oh ya, pengadil Manchester United melawan Chelsea hujung minggu nanti ialah Howard Webb. Beliau begitu dicemburui oleh Ryan Babel penyerang Liverpool baru-baru ini. Kenapa agaknya ye? Kah kah kah lagi. 


Ini konspirasi!

*kredit gambar dari sini. 

Selasa, April 26, 2011

Rock sebagai kaedah penuaian semangat cintakan Bahasa Melayu

Nah, dulu cikgu mesti marah kalau kita suka rock. Rock kapak apatah lagi. Kutu berahak tak de paedah je suka rock cikgu kata.


(Peh, sebelum kita pergi lebih lanjut, tajuk entri agak macam tajuk tesis dah!)


Siapa sangka, kutu berahak juga boleh jadi sumber inspirasi. Ini band dari Jerman, Darksky sudah membuktikan, rock juga tiada sempadan bahasa. Demi inspirasi, depa siap cover satu lagu dari band kita, Unwanted - Masih Ada Rindu dalam album Believe It (2000). Yep, believe it or tidak, depa nyanyi lagu ini sebijik-sebijik dengan slang Jerman yang kiut. Rujukan penuh album disini.


Sedang selera artis kita masih layan Pop Indo, Poco-poco, Kanto Pop dan Pop Kinja-kinja, orang Jerman ada juga yang sudah salut dengan lagu rock kapak tempatan dahulukala. Dasar pandang ke Timur barangkali. 


Mungkin menteri pelajaran boleh ambil iktibar. Silibus rock BM satu bleh Cik Din Yasin?


Lagu ini ditujukan buat tatapan isteri tersayang di rumah dengan ucapan.... Buat apa tu?


'

Jumaat, April 22, 2011

Geografi Kebangsaan - Bukit Belacan

Hidup sebagai kanak-kanak berdarjah dua hingga enam di Taman Cempaka adalah satu kenangan yang susah nak dilupakan. Mari membuat siri Geografi Kebangsaan.


Semangat mengembara dan berjalan mencari jalan adalah sesuatu yang susah kanak-kanak macam aku, abang dan Patah nak menolak. Menurut rekod, jalan-jalan mencari jalan yang paling jauh pernah kami lakukan secara beramai-ramai, bersendirian dengan geng-geng lain atau suka-suka ajak kawan lain buat adalah begitu banyak sekali. Bukit Belacan merupakan destinasi mengembara yang paling menarik.


Ia diperkenalkan oleh kawan abang, Isa namanya. Bukit Belacan masa itu dikatakan ada sungai mengalir jernih. Air sejuk dari bukit dan ada ketam bersepit besar. Peh, sapa tak terliur nak pegi kan?


Agenda ke Bukit Belacan agak banyak kali dibuat. Tujuan utama adalah mandi. Tujuan lain adalah tiada tujuan khusus, bergantung kepada cabaran dan halangan yang mendatang. Mari kita pendekkan sahaja Bukit Belacan sebagai BB.


Kaedah pengangkutan ke BB dari rumah Taman Cempaka tidak terbatas banyaknya. Pernah kami berjalan kaki sahaja dari rumah sampai sana. Ada juga jalan kaki sampai Pekan Ampang dan tahan bas mini 50sen sampai dalam kampung paling dekat dengan BB. Ada juga dengan berbasikal tumpang menumpang. Yela basikal besar ada satu je. Basikal biru kanak-kanak tu pon aku pernah bawak ke BB, jenuh mengayuh! Norsham sahaja waktu itu yang ada basikal BMX prewel (flywheel) mati. Budak sekarang kata basikal Fixi.


Jalan biasa adalah dari Taman Chempaka ke Taman Cahaya, potong ke Ampang Mewah, rentas jalan keretapi ke Pekan Ampang lama, susur jalan Ampang, lalu Taman Kosas sampai ke penghujung jalan Ampang. Masuk BB. Mudah bukan?


Untuk pengetahuan, masih ada orang kampung yang amik air dari bukit ini buat bekalan air di rumah depa. Ada sekali masa ralit tangkap ketam sepit besar, aku terpunggah paip depa. Terus tuan rumah di bawah bukit naik datang tengok kami buat apa sebab elok-elok dia tengah basuh pinggan, air kering. 


Apalah sangat 5.5km untuk berjalan kaki kalau destinasinya mandi air bukit?


Bila dah biasa sangat lalu jalan ini, kami ikut pula jalan lain, ada sekali masuk kampung cina, lalu lombong tinggal, naik bukit, terserempak anjing bulldog dan lari lintang pukang tinggal basikal. Lepas agak selamat baru datang menyelamatkan basikal balik.


Untuk bekalan tenaga, selalunya sebat sahaja air paip kat luar rumah orang mana-mana yang terjumpa. Buah kaler oren saiz duit 50 sen dari tumbuhan merayap tepi longkang juga sedap lagi manis. Kalau terjumpa memang berebut. Kadang-kadang kerat dua kongsi. Sapa yang beli nasi lemak beli kat BB memang kira berada orangnya. Kami selalunya beli aiskrim 10 je buat tahan haus. 


Siri-siri mengembara lain adalah dikatakan orang, Klang Gate lagi hebat dan maha besar dan best dari BB. Last-last, pemandu yang membawa tak sampai pon Klang Gate. Entah lombong apa entah namanya, lombong itu kini menjadi pusat rekreasi air di tepi MRR2 berdekatan Taman Putra Sulaiman. 




 Klang Gate konon, jalan dulu rasa jauh dah. Baru 2.9 km.

Kalau berjalan arah ke Maluri, tak de keje lain, mesti nak tengok loji kumbahan baru buat kat sana. Ikan tilapia merah bersepah dekat punca air keluar ke longkang. Geram je tengok. Jalan punya jalan, sampai juga ke Jusco Taman Maluri, kemudian balik lalu flat Taman Bakti. 




Kalau pergi 3.9km, tak ke masa balik dah jadi 8km?

Pengisian aktiviti berjalan ini jugalah yang mengajar aku mencuba kaedah berenang gaya bebas. Asal ada kolam atau takungan air cukup dalam, sure kami menumpang mandi. Mula-mula berendam, pandai sikit menyelam, lama-lama terboleh pulak berenang. 

Agaknya itulah sebabnya aku tak kesah untuk berjalan-jalan mencari jalan dengan kereta dengan anak-anak sekarang. Juga punca stamina lari jarak jauh yang tidak tertanding masa kat sekolah menengah. Sebab tu la tak obesiti masa kat sekolah dulu walau hari-hari bekal nasi lemak santan kaw-kaw. Underweight adala. Hahah.

Kanak-kanak zaman sekarang? Nasi lemak kat kantin sekolah pon kerajaan dah tak kasi makan. Apatah lagi mak bapak nak suruh anak berkeliaran berjalan tak tentu hala. Kena culik, potong tangan dengan kaki seludup pi Siam suruh mengemis satgi. Takpon penculik mintak tebusan je. Kasihankan depa?

Isnin, April 18, 2011

Kanak-Kanak Memang Riang 35 - Bawang

(Ayman) : Lapar-lapar.. eh, ada bawang. 
Nyam-nyam! Bawang pon jadilah..

 (Abah) : Hah, Ayman buat apa?

(Ayman) : Errkk.. takde pape, pegang aje. 
*sambil tangan sembunyi bawang kat bawah.

 (Ayman) : Haaa. kan, mana de apa-apa.

 (Ayman) : Abah pergi la buat keje abah.. 
*(baca: suruh abah baca paper sambil tengok tv).

 (Ayman) : Okeh, line clear.. lapar balik. 
Lapar-lapar, eh ada bawang-bawang lain.

 (Ayman) : Eh, bawang ni lagi sedap.
Nyam-nyam.

 (Ayman) : Sedap-sedap, nasib dah siap kupas.

(Abah) : Hah! makan bawang ye? 

(Ayman) : Errk.. abah tak baca paper ke? 
Game Arsenal sapa menang semalam? 
*baik punya kaver dari Ayman

Untuk pengetahuan pakcik makcik sekalian. Ayman baru 6 bulan, dah tumbuh 2 gigi bawah, merangkak style angkat dada kaki kasik kayuh, tak pakai lutut lagi dan suka kacau semua orang makan nasi. Sekian.

Isnin, April 11, 2011

Tulis-tulis - Cerita sebuah Pekan

Pada suatu hari di beberapa minggu lepas, aku melawat satu kilang membuat komponen kecil basikal dan kelili pancing. Komponen kecil ini dihasilkan dengan teknik menempa sejuk. Segulung rod besi berkarbon rendah ditarik ke dalam mesin penempa, ditekan, ditarik, dipusing dan dipotong. Jadilah sebiji skru atau nat atau pin atau washer sekalipun, bergantung kepada acuan yang digunakan. 

Ada 12 unit mesin penempa sejuk semua sekali. Isu ceritanya begini. 

Mesin penempa sejuk itu berjenama Jep. Gulungan rod besi berkarbon rendah itu juga diimport dari Jep. Pelanggan yang menempah hasil akhir tempaan juga dari syarikat pembuat basikal dan kelili pancing terkenal Jep. Dari awal sampai akhir prosesnya adalah untuk industri Jep itu sendiri. Banyaklah kilang-kilang kecil sepertinya yang ada di sini sebab adanya satu kilang pemasang kelili dan basikal paling besar di pekan ini. 

Apa sumbangan rakyat kita dalam industri ini? Ye, tenaga kerja yang menjalankan proses penempaan itu adalah warganegara kita. Serta letaknya lokasi kilang itu di tanah Malaysia. 

Adakah industri sebegini menguntungkan Malaysia? Ini yang Mahathir cuba perjuangkan. Menghasil satu sistem di dalam industri yang membolehkan rakyat negara kita meningkatkan kemahiran, bukan hanya menggaji pekerja tidak mahir, tapi pekerja mahir yang berkebolehan serta berpendapatan lebih tinggi. 

Ini yang dikongsi oleh penolong pengurus bahagian penyelenggaraan, Encik Branislav (konfem la bukan nama sebenar) dengan aku.

Di kilang ini, diterapkan nilai-nilai murni supaya satu mesin dijaga seorang juruteknik. Jawatan bernama juruteknik membolehkan mereka membawa pulang gaji pokok RM800 sebulan. Gaji ini RM200 lebih tinggi dari syarikat pemasang komponen bernama Jep yang hanya berhadapan dengan kilang ini. Juruteknik di sini adalah otai, mereka sangat berbangga dengan diri sendiri dan mereka tidak akan tunduk kepada sebarang masalah atau kepincangan proses pembuatan tetapi akan menyalahkan faktor-faktor lain selain dari menyalahkan kemahiran yang mereka ada. Sambil menampar-nampar lengan, mereka akan berkata, skil saya yang terbaik!

Mereka diterap supaya begitu menjaga mesin penempa masing-masing. Bukan sahaja supaya mesin itu dapat berjalan lancar tanpa sebarang mesalah dan kerosakan, tetapi imbuhan mereka juga bergantung kepada berapa banyak komponen yang boleh dihasilkan oleh mesin mereka sepanjang tahun. Dengan terapan nilai-nilai murni sebegini, mereka bukan sahaja menggunakan segala kelengkapan pekakas sedia ada tetapi membuat sendiri alat-alat khas yang mesin mereka sahaja boleh guna. 

Bila mesin berjalan lancar, mereka tidak duduk sahaja, kadang-kadang dicatnya mesin tersebut supaya lebih bersinar di rakan-rakan. Ada yang membuat acuan nombor mesin semula supaya nombor mesin itu sentiasa dilihat pengurus. Ada yang tak pasal-pasal mengelap mesin supaya lebih bersih dan comel. 

Ini yang diterapkan oleh pengurusan kilang di sini untuk semua juruteknik ini. Dari segi imbuhan juga, juruteknik ini mempunyai pakej yang lebih baik dari kilang-kilang disekitarnya. 


Akan tetapi, disebabkan kemahiran tinggi diperlukan dalam menjaga keseluruhan prestasi dan selok belok mesin, kilang ini mempunyai otai-otai yang sedikit kedekut. Bukan sengaja kedekut ilmu, tetapi anak muda yang ada sekarang tak tahan lama bila masuk bekerja. Tak sampai sebulan dah berenti, apa guna mengajar dari hari pertama tapi tak sempat khatam dah lari? Kesungguhan dan keazaman perlu dibuktikan dahulu sebelum otai-otai mula mahu mengajar. Mujur encik Branislav masih mahu mengutamakan warganegara untuk posisi ini.


Jika dibaca isu ini, banyak sudut yang perlu diperhalusi. Ada yang baik, ada yang tidak begitu baik. Yang tak baiknya adalah tiada satu pon juruteknik ini akan menjadi berbilang kebolehan, jadi mungkin dia hanya tahu mesin itu sahaja tanpa tahu hal-hal proses yang lain. 


Tapi satu yang aku ingin tekankan. 


Menimba sebanyak mungkin pengetahuan di alam bekerja adalah suatu deposit simpanan tetap yang berganda-ganda imbuhannya pada setiap tahun. Kita tak tahu bila deposit ini kelak menjadi sesuatu bonus untuk kita. Jadi untuk para pencari kerja dengan zero pengalaman, tak ruginya menurunkan pangkat dan jawatan hanya untuk mencari ilmu baru. 


Oh ya, pekan kecil ini sekarang ini bernama Pekan Nenas, itu dahulu punya cerita. Toleh kiri nampak pokok nenas, toleh kanan nampak buah nenas. Toleh belakang nampak kilang nenas.


Tapi bukan sekarang, kalau sekarang, toleh kiri nampak Bangla berpengangan tangan, toleh kiri nampak Myanmar berbasikal beriringan, lihat ke depan nampak Nepal duduk bergelimpangan. Tambah-tambah waktu malam. Nasib baik depa pandai naik basikal je. Kalau pandai sikit lagi naik motorsikal, mat rempit Pekan Nenas mungkin boleh membawa diri ke daerah lain.


Nama pekan ini boleh jadi Pekan Shimano tidak lama lagi. 

Khamis, April 07, 2011

Catatan Diego - Jentera Berat@Seminar


Okeh, cuba bayangkan yang Diego ada kat rostrum tersebut, memegang mikrofon tanpa wayar di tangan kanan, memegang pengalih 'slide' tanpa wayar di tangan kiri. Sambil memperdengarkan ilmu hal-hal jentera berat dan kegunaan minyak pelincir untuk hal sedemikian. Tidak perlu kata-kata fantastik seperti teknologi nano, ultra fine micron particles, cari kaki sepasang dan teknologi FIR sambil berdengar-dengar dengan pemasaran yang mematuhi syariah.  

Di depan Diego pula ada 80 orang di 13 meja bulat. Semua yang mendengar adalah stended bos-bos dan pemilik berbelas-belas kekadang berpuluh-puluh jentera berat seperti lori barang, lori tangki, lori kargo, lori hantu, jengkaut, jentolak, backhoe, pemampat jalan, kren beroda dan sebagainya. 

Semua yang datang angguk-angguk, tapi tak perlu dipaksa untuk letak deposit RM21,000 untuk 10 barang dan lantak kaulah nak jual macam mana lepas itu. Kau nak pinjam bank ke, keluar duit ASB ke, jual tanah ke. Semua yang datang tidak dipaksa apa-apa. Dapat cabutan bertuah iPad lagi adalah. Tak ke steady marketingnya?

Ok, dah bayangkan semua itu? Power kan? Peh..

Ok cuba bayangkan pula pada ketika dan masa ini, rakyat kebanyakan tengah tengok rancangan Jalan-jalan Cari Makan sambil menunggu rancangan Melodi. 

Betapa bersyukur dan terpilihnya Diego dengan pengisian ruang sempit hujung minggu dengan majlis ilmu sebegini. 

Syukur Alhamdulillah!

Rabu, Mac 30, 2011

Catatan Diego - Bunyi@Telinga

Ok, ini satu cerita rahsia. Rahsianya berbunyi macam ni. Tapi jangan beritahu orang lain tau.

Tiap kali menjawab telefon, Diego hanya akan menggunakan telinga kiri untuk mendengar. Tiada guna dan sangat kekok kalau menggunakan telinga kanan, hampir tak pernah terjadi. Refleksnya memang meletakkan henpon di telinga kiri. Jadi tangan kiri yang akan memegang telefon. Kalau-kalau perlu sahaja tangan kanan digunakan. 

Diego juga akan memilih tempat duduk di meja makan, berjalan beriringan, duduk bersanding, meja mesyuarat, layan khutbah Jumaat, kerusi dalam bas, berbual  dan segala aktiviti yang memerlukan pendengaran secara 'mengiri' subjek. Ini bermaksud, hanya membuka ruang kiri untuk menerima gelombang bunyi yang dikeluarkan. Kalau ada pun rakan di kanan Diego tengah makan meja bulat dan mahu bersembang, Diego akan berpaling ke paling kanan dan mendengar dari kiri. 

Ok, cukup rahsia bukan? Mengejutkan, ye dak?

Jangan beritahu orang lain tau. 

Masalah ini bukanlah masalah besar yang perlu diperbesarkan. Akan tetapi, kes yang berlaku baru-baru ini menimbulkan dilemma buat Diego. Perbualan dengan ejen yang ingin menjual insurans secara talian telefon kepada Diego agak sukar untuk dihuraikan. 

Tasha-ejen-insurans. "Jadi encik pada masa ini ada apa-apa kecacatan fizikal yang ingin dikongsikan?"

"Err, telinga saya tak dengar sebelah?" jawab jujur Diego. 

"Aaa, macam mana tu encik?" Tasha mencuba kepastian.

"Aaa, telinga saya tak berapa dengar sebelah kanan" jawab Diego. 

"Oh, jadi encik ada apa-apa kecacatan fizikal, tak de telinga ke macam mana?" tanya Tasha.

"Err, ada" pendek dari Diego.

"Jadi saya ulang, encik ada apa-apa kecacatan fizikal kekal?" tanya Tasha.

"Err, takde" jawab Diego. 

Okeh. Menurut pengalaman di atas, dapat disimpulkan bahawa soalan berkenaan kekurangan diri rasanya memang sensitif untuk dijawab rupanya. Jadi kalau berjumpa dengan orang yang kudung tangannya, janganlah ditanya, 'Eh, awak takde tangan ye?' ataupun, 'Eh, tangan awak kudung, macamana awak makan?'. Soalan itu mungkin membuatkan hati pendengar itu sebak hatinya. 

Sebenarnya, bukan soal sensitif yang ingin dikongsikan. Tapi soal sama ada ketiadaan pendengaran sebelah telinga itu boleh dikira sebagai cacat/hilang upaya/OKU. Sampai sekarang Diego tidak mendapat definisi yang betul. Bolehkah Diego meletakkan kereta di parkir OKU? Ini betul-betul dilemma.

Setelah carian internet dilakukan, menurut definisi Jabatan Kebajikan Masyarakat, hilang upaya pendengaran ialah tidak dapat mendengar dengan jelas di kedua-dua telinga tanpa menggunakan alat bantuan pendengaran atau tidak dapat mendengar langsung walaupun dengan menggunakan alat bantuan pendengaran.

Selepas mendapat definisi ini, Diego berasa yakin yang Diego berada di landasan yang betul dan memberi jawapan yang betul kepada Tasha. Kehilangan/ketiadaan keupayaan mendengar 1 telinga tak la OKU. Tak perlu mendapat simpati dan tak perlu berasa rendah diri. Dah umur cenggini nak rendah diri ke hapa kan? Harapan untuk menggunakan petak parkir OKU tu nampak macam dah terkubur nampaknya. 

Baiklah, hanya ingin dinyatakan disini, mungkin Diego boleh masuk Malaysia Book of Record sebagai jurutera pelincir pertama yang tidak dapat mendengar pada sebelah telinga. Aci tak? Hahah.

Ini rahsia kita ok.

Notakaki: Untuk Ayman yang comel lagi ceria, abah adalah contoh paling jelas dan nyata untuk meneruskan kehidupan dengan sepenuhnya. Jangan sesekali kamu bersedih.

Khamis, Mac 24, 2011

Tulis-tulis - Banyak-banyak

Mula-mula terasa macam ada writer's block. Tapi sebenarnya bukan. Sebenarnya, ada banyak menda yang tak sempat diperjelaskan dan diperkatakan, dah datang menda baru. Jadi, langsung tiada apa yang diperkatakan. Baiklah, ini masa untuk memperkatakan tentang banyak perkara. Rawak dan apa yang terlintas.


1. Drama TV3 Gemilang dapat menarik perhatian aku untuk malam Isnin. Tapi jalan cerita sangat lambat. Cerita cinta macam Hindustan. Konsep cerita dahulu kala tahun 70-an. Tapi bahasa percakapan 90-an Key Ell. Baju pula stok ol skool. Tapi saiz pinggang pelakon semua tibai 34. Tak Jamal Abdillah langsung. Apa pon, ianya drama menarik yang boleh ditonton untuk malam Isnin. Selasa sampai Khamis layan CSI Season 11.


2. Hari ini je dah 3 kali aku mendapat komplen dari rumah. Pengurus rumah mengomplen bahawa anak jagaannya yang paling baby sudah mula merangkak. Wayar tv / laptop, bekas kaca atas meja tv, kasut di rak, baju baru basuh tak sempat lipat, bahagian bawah meja makan, semua sudah dijelajah oleh beliau. Mujur bawang dan kentang je belum dibawa masuk bilik tidur. Tak lama dah rasanya. 


3. Tetiba je dah jadi macam konfem yang Malaysia nak bina loji nuklear. Siap dah ada target untuk tahun 2021 untuk bermula operasi. Menteri kata kabinet tak luluskan dan tak dibentangkan lagi, tapi cemana boleh ada plan nak mula operasi? Syukur juga Jepun kena gempa bumi dan tsunami. Kurang-kurang, terbuka juga pandangan orang untuk membantah loji nuklear di Malaysia. Jerman yang dah ada loji nuklear pon dah nak berhenti guna, Malaysia pulak terhengeh-hengeh baru nak mula. Silap dasar nampak gayanya. Harap-harap dasar pandang ke Timur masih relevan. Pandang jangan tak pandang.


4. Rakyat Jepun yang ditimpa kesusahan tsunami dan gempa bumi nampak begitu tabah menghadapi kesulitan ini. Kita yang tak kena ini boleh pulak kata ini balasan tuhan, negara Jepun itu ini.  Ini bukan respons yang membantu dan bukan respons yang bijak. Tak kiralah apa yang Jepun dah buat untuk tidak pro-agama, tapi yang mengata itu ini itu, mulia dan maksum sangatkah kita nak menjatuhkan hukum pada orang? 


5. Aku kagum dengan sikap rakyat Jepun yang ditimpa kesusahan. Mereka tetap komited terhadap amanah kerja. Tambah-tambah yang bekerja di loji nuklear Fukushima. Walau depa tahu, bila sistem penyejukan sudah gagal, mereka tetap terus bekerja, tanpa stok makanan, tanpa rehat dan tanpa memperdulikan risiko radiasi yang akan terjadi terhadap diri mereka sendiri. Siap ada yang bagi emel pada isteri, 'Saya mungkin tak dapat balik ke rumah buat sementara, tapi jalanilah kehidupan kamu sebaik-baiknya'. Mereka tetap berusaha untuk menghidupkan lagi sistem penyejukan supaya risiko kebocoran radioaktif dapat dikawal dan dikurangkan. Biar diri sendiri mati, tapi bukan seluruh Fukushima khususnya dan seluruh Jepun amnya. Ada pekerja TNB akan komited macam ni? Seluruh negara black-out pon boleh lagi relek main FB gamaknya. Eh, letrik takde, nak bukak FB cemana kan?


6. Aku rasa sangat releven untuk semua yang nak Malaysia maju dan hidup aman damai dalam berbilang kaum, membaca buku Malay Dilemma, waktu buku ini diterbitkan, mungkin Mahathir melihat sikap Melayu yang dia rasa cukup menjengkelkan pada waktu itu. Tapi bila membacanya sekarang, apa yang Mahathir tulis itu ada kesahihannya. Walau sudah ada Melayu yang dari bayi makan pakai sudu garpu, naik kereta kontinental, belajar luar negara, kurang mengikut adat dan tak kisah pantang larang, sifat-sifat yang sinonim dengan Melayu tradisionalnya tidak akan terhakis. Percayalah. Baca buku 18 kali ganda lebih bermakna dari membaca status FB. Dapat pengecualian cukai lagi. 


7. Ezi, seorang penulis blog setahun yang lalu, sudah mula beralih arah ke FB (ramai juga dari list blog disebelah macam Ezi juga). Dari status FB, beliau mendapat respons yang lebih pantas, cepat dan bersesuaian dengan corak waktu kehidupan beliau sebagai pengurus rumah sepenuh masa. Dia tidak sesuai menulis blog sebab ianya mengambil banyak masa beliau menaip dan mencari idea, serta anaknya sudah mula merangkak. Lagi la tak sempat. Tapi aku tak rasa FB boleh memberi kepuasan yang sama seperti yang Ezi dapat. Ini disebabkan aku pemalu orangnya. Malu mendapat respons dari semua orang yang mungkin kenal aku dan memperkatakan tentang hal yang diceritakan. Jadi medium blog yang mana orang baca senyap-senyap sambil senyum dan seronok sendiri-sendiri lebih sesuai untuk aku. Sebab aku tak tahu sapa yang baca dan aku tetap tak tahu ada orang yang tahu. Heheh. 


8. Aku baru pertama kali menghadapi situasi ditemuduga untuk kenaikan gaji. Ada satu syarikat GLC tu, jalan mudah mereka adalah bell curve walau ada KPI dan sebagainya. Perform tak perform, anda di bawah bell curve. Aku baru tahu sesi appraisal di sini begini caranya. 6 tahun bekerja dulu, gaji naik ikut suka bos je. Tak denya dia nak interview dan bagi rating 1 sampai 10 untuk segala sifat-sifat murni.


9. Akhir-akhir ini, bila memandu balik rumah dari pejabat, aku boleh pulak berenti rehat sama ada di hentian tol atau stesen minyak sekejap, untuk tidur. Gila tak patut. Sedikit tak lojik tapi bila berenti tu memang tidur sampai berkeroh. Peh, keje buat bangunan pon tak letih cenggini. Untuk pengetahuan, stesen minyak tu adalah dalam 12 minit lagi nak sampai rumah. Tapi sebab kereta banyak dan 3 lampu isyarat, memandu semasa mengantuk sangat membahayakan aku rasa. Tak la hari-hari macam tu. Dulu sikit punya chempion bawak kereta jalan jauh. 


10. Rasanya cukup banyak dah bekalan penulisan untuk kali ini. Kepada yang masih sudi dan setia membaca, hangpa memang sangat dihargai. Ok, blog ini memang kekurangan gambar bila penulisannya menekankan kualiti kandungan. Sekian. 

Isnin, Mac 21, 2011

5 lelaki dan 1 perempuan dan semakin membesar

Elok hari Ahad pagi lepas dengan cuaca baik tanpa sebarang gangguan, grenpa kepada 4 orang lelaki dan seorang perempuan sudah bertukar status lagi. Kali ini menjadi grenpa kepada 5 orang lelaki dan seorang perempuan. Eksaited je dengar dari telepon. 


Menurut sumber sahih yang boleh dipercayai, banyak jugak dugaan dan cubaan yang dialami Shidah. Senang cerita, bila tak sakit, diberi ubat suruh bagi sakit, bila dah over sakit, diberi pula ubat tahan sakit, sudahnya ceaser jugak. Apa-apa pun, ibu dan bayi selamat. 


Nampak gayanya, blog ini berjaya mendahului blog-blog hiburan lain yang tidak bijak menghidu gosip-gosip sebegini. Tahniah Hafiz dan Shidah! Hangpa pon sudah bertukar status menjadi mak dan pak. Jadi selamat menjalani kehidupan penuh teriak yang menggembirakan.


Dalam ujung tahun nanti, ada lagi pertambahan cucu buat grenpa dan grenma, kita tunggu dan lihat buat masa sekarang. 2 ke? 3 ke? Hahah.


Khalif Khuzairi

Khamis, Mac 10, 2011

CL Barcelona 3 - Arsenal 1 (agregat 4-3)

Faktor-faktor kekalahan:

1. Meletakkan Abou Diaby berbanding Denilson sebab Song digantung perlawanan. Sekurang-kurangnya Denilson lebih rajin berlari dan lebih baik menerjah berbanding Diaby yang selalu berlari anak tanpa tujuan khusus. Tiada pematah serangan langsung dibuat Diaby. Tidak hairanlah jika 9 penghantar bola terbanyak perlawanan adalah pemain Barcelona. Ini juga  menyebabkan pertahanan lebih tertekan sehinggakan Nasri lebih kerap turun menjadi bek kanan pada separuh masa kedua berbanding bertugas di bahagian sayap.

2. Van Persie mengutip kad kuning sia-sia dengan menolak muka Alves. Kurang-kurang nak kad kuning sangat, cekik la balik Abidal tuh balik lepas tuh. Kalau tak kerana kad kuning pertama, tak ada la kad kuning kedua dan seterusnya kad merah kan?

3. Fabregas tidak cergas. Nampak sangat keletihan. Mungkin juga terlebih teruja sebab buat pertama kali dia bermain di Nou Camp. Dia kelihatan teruja dengan kelas yang ditunjukkan oleh Messi ketika mengambil penalti yang memukau dan mengeraskan Almunia tanpa apa-apa agakan. Back-heel beliau juga adalah assist buat Ineista menyauk bola ke pada Messi untuk gol pertama. Di dadanya Arsenal, di hati masih Barca. 

4. Arsenal tiada langsung penguasaan pemain tengah dan permulaan serangan. Kalau di Emirates kurang-kurang ada Walcott untuk membuat larian laju dari kanan, kali ini apa boleh diharap pada Rosicky untuk berbuat demikian?

5. Koscielny belum betul-betul stabil sebagai bek tengah yang berwibawa.

6. Pengadil? Itu hak dia nak mengadil cara dan sistem apa.

Apa pun, ada juga sinar cahaya.

Almunia kelihatan berusaha bersungguh-sungguh bermain dan berjaya menampan lebih 11 percubaan 1 dengan 1 dengan Messi dan Villa. 

Djouru juga bermain baik dengan agakan terjahan yang baik kecuali untuk gol ke dua Barca.

Juga kekalahan di tangan Barca memudahkan tumpuan Arsenal untuk piala kejuaraan liga domestik dan piala FA. Masih ada harapan. 

Hujung minggu ini akan bertemu Man Utd pula untuk suku akhir piala FA. Satu lagi perlawanan penentu sama ada kemarau piala akan terus berterusan atau masih berpotensi.

Agakan aku, Wenger berkemungkinan besar menurunkan skuad sama seperti perlawanan Leyton Orient dengan Bendtner dan Chamakh berganding di serangan. Fabregas dan Van Persie sebagai simpanan. 
 

Rabu, Mac 09, 2011

Sinetron Dramalova #34 - Hensem

Satu pagi aman damai, elok-elok Diego tengah tersangkut di dalam kesesakan lalulintas. Eh, tak sesak la. Kereta banyak je nak lepas susur keluar.

Henpon champion pon berbunyi. Jarang sangat la henpon ni nak berbunyi. Silap-silap, sehari tak berbunyi pon. Yelah, tinggal isteri tersayang sorang je rajin nak menelepon atau menghantar pesanan ringkas. Tu pon kekadang tak berbalas mengikut spesifikasi yang diharapkan.

"Hello, abang, tak sampai ofis lagi ke?" Marcia yang menelepon bertanya.

"Ha'ah, tak sampai ofis lagi, sangkut kat jalan keluar haiway." jawab Diego.

"Ayang tengah tengok Saprah ni, just nak cakap, Bill Gates tu tak hensem langsung" Marcia mengkomplen.

"Hahah, dah tu?" Diego bertanya pula.

"Yelah, dia kan orang femes, kaya gile, tapi tak hensem, gaya pon selekeh!" tambah Marcia lagi.

"Dia kan orang komputer, memang la serabai, cuba tengok Mark Zuckerberg plak" Diego merasional. 

"Mamat tu dah tengok dah, serabai juga. K lah, nak cakap tu je" Marcia mengundur diri.

Diego jawab pula dalam hati untuk diri sendiri.

Yelah, orang yang tak femes, kurang berduit dan berijazah kejuruteraan je hensem, segak dan bergaya. Cemana lagi Marcia nak menilai hensem kan, mesti la dari contoh yang terdekat. Hensem juga Diego rupanya. Hahah.

Jumaat, Mac 04, 2011

Kali Pertama Saya ke Sekolah Anak Saya

Sebenarnya, ia adalah kali pertama aku ke sekolah depa untuk sesi penerangan sistem pembelajaran di tadika yang mana Aqil dan Ammar yang berumur 5 tahun dan 4 tahun didaftarkan. 4 hari lepas sesi penerangan ini berlaku. 


Ok, secara amnya, sekolah ini menggunakan sistem 'Gelombang Baru'. Sistem dimana kanak-kanak tidak diajar mengenai ABC dan 123, tetapi terus kepada bunyi konsonan supaya mudah / cepat membaca. Ada Bahasa Melayu, Bacaan, Qiraati, Matematik, English dan Jawi. Sistem ini menggabungkan nilai-nilai terbaik untuk pembelajaran kanak-kanak dibawah 6 tahun. Ini termasuk adab-adab sopan, mengenal agama (tuhan, malaikat, zikir, surah lazim, dosa, pahala dsb) dan bercirikan pembelajaran berkumpulan dan satu dengan satu. 


Di dalam sesi penerangan, guru membuat demo yang mana semua ibu bapa yang hadir yang menjadi kanak-kanak pada waktu itu. Ada 15 minit sesi pagi yang mana kanak-kanak akan senyum, memberi salam, berselawat, membaca ayat lazim, mendengar 1 cerita tauladan / adab sopan dan mengenal agama. Kemudian sesi pembelajaran akan mengikut subjek selama 30 minit setiap subjek.


Di dalam setiap subjek, guru akan menggunakan kaedah tunjuk untuk semua (kepada poster). Kemudian menggunakan kad imbas untuk semua. Kemudian lumba kad imbas untuk pelajar berpasangan. Kemudian barulah membuka buku untuk membuat 1 latihan. Pelajar membuat latihan berdasarkan arahan guru. Pelajar kemudian akan dipanggil seorang demi seorang untuk diajar atau dinilai kefahaman tentang apa yang diajar.  


Di akhir sesi sekolah, ada lagi 15 minit sesi penutup yang mana lebih ditekankan pesanan yang perlu pelajar tahu sebelum balik. Berterima kasih kepada guru. Berterima kasih pada tuhan. Berterima kasih kepada ibu bapa. Kemudian sesi selawat dan zikir. 


Ini adalah sistem gelombang baru yang diterangkan oleh guru sekolah ini kepada kami serta semua ibu bapa yang hadir malam itu. 


Komen peribadi tentang menyekolahkan anak pada usia 4 atau 5 tahun. 


1. Masa Aqil 4 tahun lepas dan Ammar 4 tahun sekarang, memang hasratnya adalah untuk depa membiasakan diri dengan rutin bersekolah. Kena tidur pada masanya, kena belajar mangkit pagi, kena tahu rutin di sekolah dan belajar berkawan dengan kawan-kawan. Ini sahaja hasratnya untuk depa mula bersekolah untuk umur 4 tahun. Tak ditekankan sangat apa yang depa boleh serap atau dapat di sekolah. 


2. Setelah mendengar penerangan cikgu sekolah ini, baru disedari yang menghantar anak untuk sesi 5 tahun dah kira memang untuk anak-anak ini menguasai kemahiran yang diperlukan. Kemahiran mengenal, membaca, mengeja dan menulis. Bukan lagi untuk depa main-main. Kalau untuk bulan Januari dan Februari, banyak hari juga Aqil dan Ammar tak mangkit untuk pergi sekolah, rasa macam tak ada apa-apa mesalah. Tapi bila melihat silibus dan sistem yang diajar di sekolah ini serta komen peribadi cikgu, rasa kalau dia tertinggal sehari, dia memang sedikit ketinggalan. Cikgu memang ada buat ulangan, 5 muka surat ke belakang setiap hari, tapi latihan itu tetap dia akan tertinggal.


3. Untuk aspek kerohanian atau pembentukan siasah, setelah cikgu memberi jadual berbentuk jam bulat dan pengisian setiap 30 minit. Baru terfikir, anak-anak ini selebihnya masa mereka selain dari di sekolah 4 jam 30 minit, berapa jam pula kita sebagai ibu bapa meluangkan masa untuk aspek kerohanian? Mendidik mereka untuk faham adab sopan, hormat orang tua, hormat waktu, dosa pahala, apa yang boleh depa buat, apa yang tidak boleh depa buat? Berapa jam kita bagi ilmu untuk depa dalam sehari?


4. Rasanya, agak rugi atau terkebelakang kalau tak mula menghantar anak-anak untuk mula pra-sekolah untuk umur 5 tahun. Sebab sistem yang diajar memang bermula dengan umur 5 tahun. Buku pon memang dibuat untuk silibus 5 tahun dan silibus 6 tahun. Kalu baru 6 tahun baru nak bermula, kanak-kanak perlu masa untuk menyesuaikan diri. Untuk menukar jadual harian, untuk menerima kawan-kawan, untuk menerima cikgu-cikgu dan untuk menyerap apa yang dipelajari sebelum 7 tahun masuk sekolah betul. Banyak tu.


5. Rasanya tak perlu dipertikai tentang yuran yang sekolah ini letak berbanding dengan apa usaha mereka untuk 'menyekolahkan' anak kita. Boleh kata cikgu di sini memang kenal betul dengan semua murid mereka. Apa karektor kanak-kanak tersebut dan apa kekurangan atau kelebihan mereka. Juga kita tahu dan paham apa yang cikgu buat selepas sesi penerangan ini.


6. Sesi sekolah tak tamat di sekolah. Aqil sekarang tiap hari bawak balik buku untuk dia siapkan kerja rumah. Latihan di sekolah yang dia tak siapkan. Tapi cikgu dah periksa. Jadi ibu bapa kena paham cemana cikgu mengajar di sekolah. Depa tidak diajar mengenal huruf. Depa diajar bunyi huruf. A ialah Aaa. B ialah Behh. Alif ialah Aaa, Ba adalah Baa. Jadi menilai kerja sekolah Aqil turut memasukan elemen penglibatan ibu bapa dalam sesi pembelajaran anak-anak. 


7. Cuma bila masuk English, kanak-kanak tetap kena kenal ABC sebagai ABC. Tapi tetap dengan pendekatan kepada bunyi huruf dan membuat perkataan. A apple, A ant, A aeroplane. B ball, B banana, B boat.


8. Secara kesimpulannya. Kita kena paham sistem di sekolah dan memberi kerjasama kepada sekolah untuk meneruskan apa yang diajar. Jadi, kalau suruh Aqil baca ABC sampai Z, mungkin dia tak lancar, tapi mungkin dia boleh mengira dan membaca lebih lancar sebelum dia pandai ABC sampai Z. Juga peribadi dan sahsiah mereka mungkin sedikit meningkat bila dah bersekolah. Dia akan bagi tahu kita yang mana betul yang mana salah. Tak boleh kencing berdiri misalnya. 


Harap mendapat sedikit manfaat dan panduan. 



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...