Advertlets

Jumaat, Februari 26, 2010

Catatan Diego - Status@Buzz

Sape pernah jumpa status En Diego dalam FB? Memang jarang sangant nak jumpa. Memang la, dia pemendam perasaan serta tidak suka berperasaan di dalam FB. Mana nak kongsi sume menda hal dia dalam FB. Tapi sebagai orang yang lagi perahsia dari En Diego, aku nak berkongsi status-status gempak gedabak En Diego yang dia cuba sembunyikan sebelum ini. Kira siri esklusif la ni. Dia pon rajin jugak dalam hal ehwal social networking nih sebenarnya.

Sumber: GeBuzZ (adik ipar Google Buzz)
Send by CSL Blueberry II (Tv antenna included)

11 Februari 2010 yang cerah

8.29 - Hari ni nak gi KL. Meeting...

9.32 - GM dah siap! Gerak dulu yup...

10.00 - Dah atas haiway, MD bawak kereta, GM duduk sebelah, SM belakang GM, aku yang takde apa-apa M, duduk seat belakang MD. Cenggini rasanya kerusi kulit binatang C200 Kompressor.

11.32 - Siot, boleh pulak SM mintak tengok jam Rolex GM. Mujur Q&Q aku dah 2 bulan rosak. Kalau tak... Haih..
12.35 - Dah sampai KLCC.. Makan time..

12.54 - Tengah makan nasi Vietnam! Nyum nyum....Kerusi dia kaki tinggi sangat...

1.22 - Jalan-jalan tengok Parkson.. GM yang nak masuk.. Dalam KLCC punya Parkson lain kot..

2.01 - Tengah tunggu pas keselamatan. Meeting bila-bila masa sahaja.

2.13 - Semua dah ready nak meeting. Apesal semua orang ada laptop dan Blackberry atas meja? (Cokia aku simpan dalam poket dalam-dalam).

3.03 - Kata nak briefing marketing kejap je, ni dah sejam briefing dah ni, bila nak start bentang report nih?



5.35 - Yeay.. meeting dah setel.. Mesti jem nak balik..


6.45 - tengah akan malam... McD... GM pulak yang drive balik.


7.27 - Semua dah diam. Takde sapa-sapa nak bersembang dah..Dah kat Nilai.


8.33 - Erkk.. aku terbedengkur!.. agak-agak MD perasan tak?..


9.59 - Selamat dah sampai opis.. Nak cari Petronas... Semayang..


10.33 - Anak-anak dah loncat-loncat depat grill pintu.. Fuhh sampai jugak.. esok keje macam biasa... Haih..


Notakaki amANI : Amacam? Eksklusif tak pendedahan aku? Tapi aku masih musykil tentang keperluan Diego untuk menGeBuzz. Sebab setahu aku, dia mana ada follower atau friends dalam akaun dia. Budget selebriti kot Diego nih. Hahah.

Isnin, Februari 22, 2010

Tulis-tulis - Etika

Dah la jarang-jarang dah menulis, sekali menulis hal ehwal berat plak?
Tapi kena jugak untuk memberitahu dan berkongsi pendapat di sini. Meh tengok, cemana orang mengenali kita?

Orang suka menghakim kita dengan perwatakan kita, peribadi kita, pakaian kita, pertuturan kita, rupa dan potongan badan dan tidak kurang yang suka menganalisis tulisan kita. Itu untuk alam semulajadi.

Untuk alam pedang saiber pula, orang yang kenal atau tidak kenal kita hanya boleh menghakim kita berdasarkan FB kita, Frenster kita, Blog kita, Photobucket kita, Picasa kita dan mungkin Google Buzz kita. Tapi apa yang dihakimi di sini? Status wall? Info? Gambar-gambar yang ditag? Bentuk gaya penulisan dalam blog? Font pilihan? Blog profile?

Jenis-jenis penghakiman bukan bidang kuasa aku atau siapa-siapa untuk menentukan. Tapi rupa bentuk gaya untuk menentukan penghakiman terletak pada tuan punya badan. Sendiri buat sendiri tanggung kata pendeknya. Jadi, mana point utama nih?

Begini je lah, bagi seorang yang dah besar dewasa (alam remaja macam Justfahim boleh lagi dimaafkan), mungkin dah berkahwin dan ada anak-anak kecil, kalau belum lagi terfikir hal-hal tuhan, mungkin boleh fikir hal-hal seperti cemana kalau blog hangpa, FB hangpa serta koleksi gambar hangpa ditatapi oleh pak mak hangpa? Anak-anak hangpa bila depa dah tau google? Atau jiran taulan hangpa? Adakah itu hangpa di alam semulajadi?

Kalau di alam semulajadi hangpa marah anak-anak kerana menyebut perkataan yang kurang enak di dengar. Kenapa di dalam blog hangpa pon sama menyumpah seranah lebih dari itu? Adakah itu liberalisasi? Aku pon tak tau liberal tu apa, tapi orang petik, aku petik la jugak.

Kalau-kalau yang dah pikir hal-hal tuhan, aku hanya nak menyampaikan bahawasanya berblog dan berFB dan segala macam jenis 'social networking' lagi juga adalah saham-saham yang kita usahakan semasa kita hidup. Baik yang diceritakan, baik juga yang akan disampaikan. Marah atau bengang cemana sekalipon terhadap sesuatu, cerita sahaja pada rakan terdekat secara lisan. Kalau nak tulis sekalipon, cerita dengan sewajarnya tanpa sumpah seranah serta mengaibkan peribadi orang lain.

Contoh yang agak lemah: Tak pakai stokin tapi tulis blog secara tertib dan menceritakan hal yang baik-baik sahaja adalah berganda lebih baik dari berstokin tapi mengaibkan orang dengan caci maki serta berkata-kata kesat.

Arwah Tok Wan pernah berpesan secara langsung pada aku (seingat aku, rasa ada dalam silibus Pendidikan Islam Menengah Atas), kita kena jaga 3 jenis hubungan. Bukan hubungan sejenis ye. Pertama, hubungan kita dengan Tuhan. Yang mana segala yang kita buat, salah atau betul tentang suruhan dan larangan-Nya, kita boleh setel dengan Tuhan sahaja. Bukan perantara mahupon Ayah Pin. Mengambil contoh di atas, hal stokin adalah antara dia dan Tuhan.

Kedua, hubungan kita sesama manusia. Yang ini, kalau ada sesiapa yang buat salah, hanya dengan dia kita perlu minta maaf. Orang lain tak de saham untuk memaafkan bagi pihak dia atau untuk menjatuhkan hukuman bagi pihak dia. Jadi, caci maki serta kata-kata kesat hanya boleh disetelkan oleh tuan punya diri dan orang yang dimaki.

Ketiga, hubungan dengan alam. Ini termasuk tumbuh-tumbuhan, haiwan serta yang berkaitan dengannya. Kalau kita jaga ketiga-tiganya dan sedar diri yang bukan hanya kita yang hidup dalam dunia ini, aku rasa banyak mesalah dan karenah akan dihadapi dengan tenang dan senang.

Jadi, bagi yang rasa nak lintas jambatan tu, pikir-pikirkanlah apa yang kita tulis, ceritakan dan sampaikan supaya saham-saham kita sedia ditimba bila tiba masanya. Sekian.

Nota stokin di kaki - Zaman sekolah dulu, kadangkala darjat kedudukan di nilai dengan pemakaian stokin. Atau lipat kaki seluar seinci dua. Heheh.

Selasa, Februari 09, 2010

Sinetron Dramalova XXVI - Basuh

Babak 1

"Tekanan adalah sama dengan daya dibahagikan dengan luas permukaan"

Ini rumus yang cikgu Diego bagi masa kat universiti. Kenapa cikgu universiti tak bagitahu bahawa tekanan juga ada dalam hal ehwal berkerja? Bukan hanya tekanan dalam isiruang silinder bulat, bukan juga hanya tekanan di dalam jejulur konkrit berpin atau tertanam mati, juga cikgu universiti hanya bercerita tentang tekanan yang boleh diturun-naikkan dengan proses pemampatan atau pengembangan yang melibatkan tenaga entalpi atau entropi.Itu je cikgu di universiti ajar.

Apa sebenarnya tekanan di alam pekerjaan? Sebenarnya bukan tekanan pon, tetapi tuntutan hidup yang berkitar terhadap hal ehwal bangun pagi gosok gigi pergi mandi dan bertarung dengan lampu isyarat sehingga kita hanya suka warna hijau dan tertanya-tanya kenapa jurutera elektrik lampu isyarat tersebut meletakkan tempoh masa 90 saat untuk lampu hijau bernyala adalah sesuatu yang boleh menaikkan tekanan akibat jam di tangan lebih laju dari jam di pejabat. Kemudian kitaran tersebut berulang kembali untuk proses kembali dari tempat kerja.

Sebagai langkah menjaga kesihatan agar tekanan darah tidak terjejas, suatu terbitan rumus baru untuk tekanan telah dicipta oleh Diego bagi meneruskan kehidupannya. Rumus yang langsung cikgu di universiti tak pernah ajar. Rumus Diego adalah seperti berikut.

"Tekanan menghampiri sifar bila jalan pergi kerja dan balik langsung tiada lampu isyarat atau paling sedikit"

Babak 2

Sejak akhir-akhir ini, kerjaya Diego telah menuju ke arah pendakian pertambahan bidang-bidang tugas. Yang mana tugas-tugas khas beliau telah bertambah-tambah bagi mengimbangi struktur akaun hujung bulannya supaya setimpal.

Tugas-tugas khas tersebut adalah seperti memakai baju kemeja berlengan panjang yang telah siap tersterika, menjadi pensaikologi tanpa tauliah supaya Rodriguez tidak teriak sepanjang perjalanan dari rumah ke taska, mengheret Rodriguez keluar dari kereta supaya dapat diserahkan kepada cikgu taska yang rilek-rilek sahaja, serta mengambil alih sebanyak mungkin jika tugas-tugas urusan pengemasan rumah tahap persijilan ISO 9001 yang mana sistem teraturnya sedikit terjejas sejak kebelakangan ini.

Meskipun rumah yang didiami Diego ini punyai sistem persijilan ISO 9001 untuk susunatur teratur serta rekabentuk capaian optimum perkakas-perkakas dapur, pengendali sistem ISO yang diterajui oleh Marcia sejak kebelakangan ini banyak mendapat status 'non-compliance' akibat dari produktiviti penggunaan perkakas dapur serta alatan bantuan minum air atau makan nasi lebih tinggi dari proses basuh dan susun semula.

Ini berpunca dari proses penghasilan tenaga 'bermain' yang dihasilkan oleh Rodriguez dan Pablo saban hari yang makin lama makin menjadi. Sehari kurang lebih 18 kali mereka membuka tutup pintu peti penyejuk untuk minum air. Jika sekali minum, sebuah cawan, berapa banyak cawan diperlukan sehari? Ini belum ditambah dengan proses persiapan makan tengahari dan proses makan snek. Kalaulah boleh dikira dalam unit 'Joule' berapa tenaga yang dihasilkan oleh Rodriguez dan Pablo, adalah kiranya rumah ini boleh menjadi stesen janakuasa mini yang boleh menghidupkan sebuah sistem kipas berdiri keras kepala.

Berbalik kepada kelebihan proses produktiviti alat bantuan minum air serta makan nasi, jumlah yang tertangguh kadang-kadang melewati tempoh hampir 72 jam. Ini selalu terjadi pada hujung minggu bilamana awalnya, banyak proses penggunaan alat bantu ini, tetapi kemudian diketepikan proses basuh dan susun semula apabila ada aktiviti luar rumah yang lebih menjurus kepada pemanduan kenderaan ke tempat-tempat yang punyai tempat letak kereta bertiket.

Setelah sengit bertarung mata dengan pinggan mangkuk serta berbelas-belas cawan minum air di dalam sinki, perasaan panas hati terhadap keadaan tersebut akan mengakibatkan Diego hilang pertimbangan. Diego akan bertukar menjadi pemarah, dengki khianat serta iri hati terhadap cawan dan mangkuk pinggan di dalam sinki. Semua cawan, pinggan, mangkuk dan periuk akan disusun-susun, disatukan mengikut kategori serta mengurangkan ruang sebanyak mungkin supaya senang sinki digunakan untuk membasuh botol susu.

Akibat dari tersusun pinggan mangkuk dan cawan di sinki, perasaan geram terhadap pinggan mangkuk akan turut bertambah. Diego tiada pilihan, rasa hangat hatinya memaksanya menyabun semua perkakas-perkakas serta alat bantu makan minum itu secara perlahan-lahan. Sambil menonyoh kotoran degil, perasaan meluap-luap itu semakin menjadi-jadi. Satu persatu diselesaikan, sehingga semua protokol yang tersedia seperti yang telah tertulis dalam persijilan ISO 9001 yang disediakan Marcia siap. Kemudian Diego berasa hairan.

Diego hairan, kenapa tiba-tiba bertitik tolak dari membasuh dan menyusun semua perkakas dapur, Diego turut serta dalam hal ehwal mengemas meja pula? Setelah meja siap lap serta tersusun kembali kerusinya di bawah meja, Diego berasa hairan buat kali kedua.

Diego hairan, ke mana hilangnya perasaan panas hatinya tadi terhadap cawan, pinggan dan mangkuk tadi? Semuanya dah hilang dan yang tinggal hanya perasaan lega. Hairan. Hilang.

Terngiang-ngiang di kepala Diego perbualannya dengan Marcia dalam pertengahan tahun lepas.

"Ayang rasakan, setelah ayang masuk internet untuk buat blog, main facebook, chat dengan kawan-kawan lama yang baru jumpa semula, ayang suka la jugak macam tu. Tapi, semua tu tak sama rasa dia dengan bila ayang duduk kat dapur dan buat semua kerja-kerja rumah. Mengemas jugak yang boleh buat ayang betul-betul rasa puas. Lebih puas"

Diego kini lebih memahami.

Notajalan sedikit lampu isyarat amANI: Mekasih bagi yang saban hari masih lagi menjenguk ke blog ini. Meskipun kekerapannya telah longgar, tapi InsyaAllah penulisan ini akan berterusan.

Ahad, Januari 31, 2010

Tulis-tulis - Bertukar

Bulan Januari ini memang bulan bertukar.

Aqil dah bertukar dari status kanak-kanak banyak masa terluang menjadi seorang pelajar taska suka teriak pagi-pagi.

Ammar dah bertukar dari status anak bongsu kepada bakal abang.

Ezi dah bertukar dari status ibu beranak dua kepada ibu dengan kandungan di dalam perut. 'Buatan orang' mengikut kata doktor.

Aku dah bertukar dari status rilek-rilek pergi kerja balik makan tengahari kat rumah kepada bersesak-sesak tunggu lampu trafik sebelum sampai opis yang dah jauh dan makan kat kedai.

Apa pon, semua status bertukar ini adalah takdir dan rezeki. Dah doa pon tiap-tiap hari mintak murah rezeki, jadi bila dah dapat, kami bersyukur. Harap kami dapat menyesuaikan diri dengan status BERTUKAR kami.

Notakaki amANI : Agak-agak bulan depan blog ini akan bertukar menjadi blog TERBENGKALAI tak? Hahah.

Ahad, Januari 24, 2010

Kisah Aku dan Nor A #2

Aku dan Nor A kebetulan mendapat kumpulan dan sesi yang sama untuk melaksanakan latihan praktikal dalam kampus bagi memenuhi tuntutan kelulusan jam kredit bagi pengajian sarjana muda kami.

Latihan praktikal dalam kampus ini bagi memberi ruang dan peluang bagi pelajar lulusan sarjana muda mendapat pengalaman latihan tangan untuk semua jenis kerja-kerja kejuruteraan mekanikal yang sangat tektikal lagi teknikal. Latihan itu termasuk mengimpal, menggegas, melarik, memesin bongkah besi, membuka dan memasang kembali enjin jip, membuat lukisan 2D untuk teknik pemotongan wayar, memerhati pemotongan automasi CNC, menggunakan mikroskop dan membuat spesimen teknik tempuh haba serta berpasangan bersama gadis-gadis mekanikal yang 2-3 sahaja keratnya tetapi tetap menjadi tatapan dan pujaan seluruh pelajar lelaki jurusan mekanikal yang lain. Kadang-kadang tersentuh tangan juga bila sama-sama nak pasang skru pada enjin jip. Hati siapa yang tidak seronok tika bergandingan dengan gadis ini walau berlainanan bangsa yang kalau dalam kelas kuliah biasa jangan harap hendak ditegur.

Semuanya dilakukan dalam tempoh sebulan setengah merangkap 6 minggu. Turut memenuhi tuntutan jadual latihan praktikal dalam kampus ini, sebulan setengah yang pertama dalam cuti tiga bulan kami diisi dengan program kemasyarakatan yang mana aku dan Nor A turut terpilih. Jadi, kami hanya ada lebih kurang seminggu dua sahaja cuti sebenar sebelum kami kembali ke kampus.

Sebagaimana status dan kaliber seorang pelajar yang biasa, duit poket hanya sekadar secukupnya. Jadi semasa menjalani latihan praktikal dalam kampus, aku dan Nor A bersetuju untuk menginap secara sembunyi-sembunyi di dalam bilik simpanan barang yang telah diwartakan oleh pihak kolej dalam satu blok panjang 3 tingkat. Bilik simpanan barang itu cukup penuh, sesak dan tiada hidupan bernyawa kecuali kami berdua.

Di siang hari, kami berpraktikal sampai ke petang, pintu dikunci dengan mangga yang telah dipenduakan. Hanya malam hari kami menumpang tidur dan main game komputer ihsan seorang pemunya yang mengamanahkan Nor A sebagai penjaganya. Setelah beberapa hari kami menetap di bilik simpanan barang, kami di datangi oleh seorang senior kolej. Orang yang punyai kaitan rapat juga dengan pihak pentadbiran kolej, kami rasa la.

"Hah, ada orang rupanya duduk di sini, apa korang buat kat sini?" Senior kolej ini berkata sesudah menerjah bilik kami. Kami kerisauan. Kalau dilaporkan, tentu nahas.

"Err, kami tumpang je, ada latihan praktikal sekarang" Aku tak ingat, Nor A ke aku yang jawab.

Sesudah berbalas 2-3 lati pertanyaan, senior kolej ini sebenarnya juga sedang mencari tempat untuk menginap tanpa bayaran. Jadi kami kelegaan sebab kewujudan rahsia kami akan turut dikongsi serta bertambahlah rumet kami. Tidaklah terlalu sunyi.

Sumber kegembiraan dan keriangan kami tika itu adalah game lumba motor dalam komputer yang 'dijaga' oleh Nor A. Kalau tidak aku, Nor A akan cuba memintas untuk meletakkan nama sebagai rekod markah tertinggi. Itu sahajalah yang mampu kami lakukan untuk memenuhi masa lapang setelah bertungkus lumus di siang hari di bengkel-bengkel serta makmal-makmal mekanikal.

Dalam satu waktu maghrib. Nor A sedang enak bergelak riang bermain game. Aku tengah berbaring membaca naskhah majalah yang tiada sifat maklumat langsung. Senior kolej baru masih enak terlena dikatil beliau dibucu bilik sejak petang tadi. Keletihan sebab seharian dia menjaga program motivasi pendidikan kelabnya. Dalam sayup sayup bunyi game dari komputer, tiba-tiba kedengaran bacaan Al-Fatihah. Disusuli dengan bunyi takbir. Serta permulaan ayat Kursi.

Aku bangun dari perbaringan, aku toleh pada Nor A. Nor A toleh pada aku. Aku angkat kepala pada Nor A. Nor A angkat bahu pada aku.

Aku isyaratkan pada arah bunyi. Ke arah letaknya katil senior kolej. Nor A toleh ke belakang, dia berbisik sambil berisyarat mulut. "Tidur.."

Kami ke katil senior kolej. Dia memang tengah tidur. Tapi bunyi bacaan tadi memang datang dari dia. Suara
dia. Kami sambung apa yang tengah kami buat sambil tertanya-tanya. Tak lama, senior kolej terbangun dari tidur. Dia terus ke katil aku.

"Hisshhh, aku mimpi agaknya tadi". Senior kolej mula berbicara.

"Mimpi apa?" Aku tanya.

"Aku mimpi ada perempuan datang dekat aku. Dia cuba nak kacau aku. Aku tahan. Aku baca la apa yang patut". Senior kolej menyambung.

"Owh, patut la tadi dengar macam ada orang baca Al-Fatihah, ayat Kursi" Aku sambung.

Nor A pon dah di katil aku. Turut bersetuju dengan apa yang kami dengar tadi.

"Lah, dah dengar apesal tak kejut tadi?" Senior kolej pulak tanya kami.

"Mana nak tau, ingat mengigau ke apa ke" Nor A pula yang jawab.

Dalam pada bersembang tu, senior kolej menjelaskan yang perempuan yang datang pada dia tu duduk berlipat lutut dengan kedua-dua tangan memeluk lutut. Betul-betul di bucu siling atas katilnya. Bergentayangan. Sambil memberi amaran jangan mengacaunya. Sebab itu senior kolej membaca apa yang dia baca. Dia juga memberitahu yang malam sebelum itu, dia menjadi antara orang yang memegang seorang fasilitator perempuan yang turut serta dalam program motivasi pendidikan di kolej yang terkena histeria. Dia juga yang membawa pelajar perempuan itu ke Darul-As-Syifa.

Aku dan Nor A berpandangan. Aku tertinjau pada bucu siling yang dikatakan. Memang tiada apa yang dapat dilihat pada mata kasar.

"Hah, dah la, korang keluar makan nanti, belikan aku nasi ayam kunyit eh". Senior kolej berlalu dan terus ke bilik air untuk mandi dan khidmat diri. 2-3 hari selepas itu, senior kolej dah berpindah ke blok sebelah. Yang lebih kecil dan ramai rakan-rakan akaustikanya.

Untuk aku dan Nor A, kami saling membaca doa yang mana kami tahu untuk terus melelapkan mata saban malam sebab latihan praktikal dalam kampus kami lambat lagi nak habis. Dan tiada siapa antara kami yang mengambil alih katil dan tilam tempat senior kolej tidur.

Sekali pagi kami terlambat bangun, dua-dua hanya mampu berwudhuk, berbedak muka dan berminyak rambut untuk ke makmal membuka enjin jip sebab juruteknik makmal itu telah memberi amaran keras hari sebelumnya. Bukan dia nak percaya alasan kami yang tak lelap tidur tiap malam (padahal sakan main game).

Sabtu, Januari 16, 2010

Wenger turun sebagai kesebelasan utama Arsenal

Dalam serius-serius romantik darah Peranchis Pak Wenger, boleh pulak dia buat lawak. Tapi, melawak dia aku rasa berganda-ganda berguna dari Pak Alex yang tak habis-habis komplen hal pengadil.

Dalam kepala Pak Wenger, hanya Samir Nasri, Rosicky sebagai pemain tengah yang sudah cergas. Fabregas juga mungkin dah boleh main balik. Tapi Denilson sakit perut, Ramsey terkoyak otot, Wilshire cedera dan Song tengah sibuk Piala Afrika.

Pak Wenger dengan bersahaja mengeluarkan kenyataan. " Saya tengah berlatih sekarang, saya juga seorang pemain tengah yang kreatif lagi fantastik!".

Aku betul-betul berharap nak tengok bagaimana fantastiknya Pak Wenger bergandingan dengan Fabregas. Turun tau malam besok!

***

Pak Wenger juga telah mengubah prinsip dirinya dalam menguruskan Arsenal baru-baru ini. Dia tidak menghirau bila Viera nak balik ke Liga Perdana England sampai membiarkan Man City mengambil Viera dengan gaji tak masuk akal untuk pemain tengah yang 'pernah' ada nama dan karisma tapi sudah kekurangan kecergasan dan prestasi.

Tapi bila melihat prestasi dan potensi Sol Campbell yang dah bersama-sama berlatih dengan Arsenal sejak keluar dari Notts County, Sol menjadi bekas pemain Arsenal pertama yang kembali menjadi pemain Arsenal semula. Pak Wenger bukan orang Perancis yang hanya mementingkan adat semata-mata.

Pak Wenger memang betul-betul percaya, musim ini adalah musim untuk Arsenal menang. Bila nak beli penyerang pulak Wenger?

Lama jugak tak menulis hal ehwal Arsenal ek. Bolton akan bertemu dengan Arsenal tengah malam Ahad dan kemudian Arsenal akan bertemu dengan Bolton awal pagi Khamis. Ini semua gara-gara salji monsun timur laut di England. Pemanasan global kah?

Khamis, Januari 14, 2010

Kisah Aku dan Nor A #1

Heheh, sebenarnya menyingkap memori lama memang sedap. Ianya adalah proses perembesan hormon ketenangan ke kepala hotak kamu supaya kamu lebih tenang dan bersedia menghadapi dunia kerjaya penuh pancaroba yang dapat meredam tekanan.

Nor A bukanlah perempuan. Masakan dia perempuan kalau punyai sebuah motor RZX biru gelap tangan kedua yang rantainya berkerincing dalam jarak 500meter sudah dapat didengari bunyi unik motornya. Nor A beli motor itu sedap-sedap sahaja bila dia dapat duit tajaan dari konglomerat bumiputera yang dah terlingkup sebab pengasasnya hilang kabel paling kuat beliau bila teraju negara bertukar.

Nor A memang bergaya dengan motor RXZ beliau, walau motor itu tidaklah bergaya mana. Sejak pertama kali kami menjadi rumet bersama dan memandangkan kami sama-sama berjurusan mekanikal tulen yang berkelas hampir sama, seat kedua RXZ beliau sudah begitu intim dengan punggung aku. Sangat intim sehinggakan ke mana-mana kami pergi, semua yang lelaki mesti berpaling iri hati. Yang perempuan pula, jatuh hati secara rahsia tetapi tetap tidak ingin mengakui. Yelah, dua lelaki hensem lagi kacak menunggang motor sambil berpegangan pinggang dengan penuh kelakian. Manakan tidak digilai?

Aku masih ingat saat pertama membonceng di belakang motor bersama Nor A, aku kekok. Tidak pasti patut memegang pinggang beliau atau memeluk erat atau hanya berpegang pada bahu beliau. Ya, aku pilih untuk pegang bahu Nor A. Dia geli dan aku pegang besi pemegang belakang sahaja selepas itu dan seterusnya.

Rasa-rasa aku, Nor A sudah ada RZX sejak sem dua tahun dua beliau. Disebabkan pada satu cuti semester tahun dua yang panjang aku dan Nor A terpilih untuk berjinak-jinak memasuki suatu program yang berkait dengan sireh dan ganggang, lagi intimlah perhubungan kami berdua. Sedang elok pula, kami ada latihan industri di dalam kampus. Kebetulan juga mendapat kumpulan yang sama, memang takdir kami punyai titik persamaan yang sangat amat banyak.

Selesai program yang ada sireh dan ganggang serta latihan industri di dalam kampus, cuti sem yang panjang dah sampai ke penghujung. Seperti biasa, seminggu awal adalah tempoh pelajar baru masuk ke kampus untuk orientasi. Di sinilah pelajar-pelajar baru belajar bagaimana untuk berjalan kaki secara di dalam satu barisan tanpa overlapping serta harus serius ketika berjalan tanpa boleh putus-putus barisan dari dewan besar sampai tiba ke kolej kediaman. Mereka akan diringi pelajar senior supaya mereka serius ketika berjalan pulang.

Satu malam hampir menjelang tengah malam, aku lapar roti keping. Aku pinjam motor RXZ Nor A untuk turun ke kedai runcit di bangunan pejabat kolej. Apa kejadah nak pakai helmet hanya untuk perjalanan yang sangat dekat macam tu. Pak Gad pula konfem takda, masih sibuk dengan urusan memantau minggu orientasi.

Sedang elok aku nak balik, barisan pelajar baru gadis-gadis comel yang baru pulang dari majlis orientasi sedang berjujukan berjalan melintasi simpang empat berdekatan dengan blok Atma. Aku masih menetap secara tanpa rekod dengan Nor A dalam bilik stor barang di blok berhadapan dengan blok Atma. Simpang empat itu mempunyai kecerunan 33 darjah menaiki bukit. Agak merbahaya bagi motor ber'klac' untuk dibawa secara perlahan-lahan sambil menunggu barisan gadis-gadis comel selesai melintasi.

Sedang elok aku cuba mengimbang klac dan minyak, dengan pengalaman tidak sampai 2-3 kali menunggang RXZ Nor A, aku sebenarnya menghadapi situasi yang agak genting. Situasi yang boleh mendatangkan malu sehingga akhir hayat di hadapan puluhan gadis-gadis comel yang sedang bergerak di dalam satu barisan. Hati sudah tidak senang dengan kemungkinan paling buruk akan berlaku. Perasaan intuisi hati memang tidak dapat dipermainkan.

Motor RXZ Nor A mati. Mati betul-betul di hadapan gadis-gadis dan aku masih tidak dapat nak menyelit menembusi barisan mereka untuk masuk ke simpang. Tika itu, motor RZX Nor A terasa sangat berat, nak ditolak rasa tak larat, peluh dingin berjaya mengambil alih sifat sejuk lagi bergaya seorang penunggang motor penuh kelakian ini. Cubaan menendang penghidup tidak berjaya. Kena neutralkan dahulu gear. Tak neutral pulak. Peristiwa yang tidak sampai seminit dua itu dirasakan berlalu dengan terlalu perlahan. Terlalu perlahan sehingga kikikan gelihati berberapa gadis-gadis comel dapat didengar dengan jelas, senyuman mencebik lagi sinis beberapa yang lain yang melintas betul-betul depan aku juga sangat ketara untuk diperasankan. Aku cuba buat muka tenang tapi serius.

Aku redha menerima dugaan. Ini memang pengalaman paling rendah diri yang sukar dilupakan. Bila motor berjaya dihidupkan, ianya lancar sahaja meneruskan perjalanan sampai ke blok. Bila ditoleh ke belakang, barisan gadis-gadis sudah pon berakhir. Dan mereka punyai satu cerita paling kelakar untuk digelakkan bersama di dalam bilik mereka yang berjaya mengubah keseriusan wajah mereka ketika berjalan di dalam barisan untuk menapak sampai ke kolej.

Aku tidak menyesal. Tapi, kenapalah aku tidak berhelmet pada ketika itu? Kenapa??....

Notakaki penendang penghidup motor amANI : Seperti yang berlaku pada kisah Ahmad S, aku baru teringat 2-3 lagi kisah bersama Nor A. Terutamanya kisah motor RZX beliau yang bobos serta kisah kami menjalani kehidupan sebagai jurugegas. Ah, nak kena siri lagi ke?

p/s: Nor A juga pembaca tetap blog ini, jadi ini tanda terima kasih aku pada Nor A.



Catatan Diego - Titik@Bersama

Berkenalan adalah mencari titik persamaan. Dari satu titik menjadi titik-titik tolak kepada perkembangan perhubungan. Semakin banyak titik persamaan, semakin jelas perhubungan. Macam main sambung-sambung titik dalam buku pra sekolah anak. Bila disambung-sambung titik itu, ia menjadi sebuah gambarajah. Menarik tidak menarik gambarajah itu bergantung kepada titik-titik yang disambungkan. Ia tetap gambarajah. Tiada titik maka tiadalah gambarajah.

+Titik satu+

Louis yang baru seminggu Diego kenali bertanya, "Kamu bersukan pada waktu kelapangan? Hujung minggu?"

Diego terus tersenyum sengih, geleng kepala. "Tak!" sambil menarik napas dalam supaya bahagian abdomen kelihatan rata lagi menawan. Telefon gengam dibelek tanpa arah tujuan.

"Kamu?" Louis bertanya pada Shierly pula.

"Ya, kadang kala, selalunya ada aktiviti riadah lasak yang saya selalu lakukan" Shierly menjawab sambil tersenyum.

"Saya pula memang akan sentiasa bermain bola pantai pada setiap petang di hujung minggu", Louis menerangkan supaya lengkap tercipta titik persamaan pertama.

+Titik dua+

"Owh, dulu saya pernah mendaki gunung itu, berlari sampai penat di dalam suatu pertandingan, juga 3-4 kali yang lain bersama rakan-rakan" Louis menunding pada sebuah gunung bila mereka melintasi sebuah kawasan kampung yang punyai gunung yang dikatakan punyai seorang puteri.

Diego hanya terlintas suatu perkara. Shierly pernah berbual bersama mereka di dalam suatu sesi makan yang memperkatakan tentang beberapa sesi pendakiannya di sebuah gunung yang terletak di daerah yang punyai air kopi dan roti kaya yang terkenal. Sebulan sekali katanya mendaki di sana.

Gunung buat Diego? Err, hanya sekali seumur hidup pernah berada di puncak gunung. Apalah yang nak dihebatkan sangat pendakian yang dibuat dengan bergalaskan beg sekolah yang hampir putus tali sandangnya. Diam sahajalah.

+Titik tiga+

Mereka berhenti untuk makan malam. Ya, tak perlu lagi diteka mahupon dikira.

Diego makan mee berkuah.

Mereka saling bergiliran memesan sup berbola ikan, berpetak ikan, berkeping cendawan, berbujur ketam, bersilinder ikan, berikat kangkung dan bergulung kuetiaw.

+Titik empat+

Mereka sependapat tentang melihat perlawanan bola di tivi hanya penting untuk perlawanan yang penting dan menarik, tetapi pada hari-hari kebiasaan, menonton perlawanan bola hanya membuang masa dan lebih baik membaca buku.

"Errr, saya menonton hampir pada setiap hujung minggu (dalam hati: kadang-kadang awal pagi pon bangun berjaga)" Diego cuba menyelit dalam perbualan.

"Owh, yeke. Tiap minggu?" hampir serentak mereka menjawab. Diego akur.

Titik lima-enam dan seterusnya.

Orang kata, kalau titik yang dijumpa dah berturutan, ia akan ikut berkekalan sampailah gambarajah penuh akan terbentuk. Dengan itu, Diego sememangnya akur, takdir untuk bersama dan membentuk gambarajah yang sama memang akan sampai satu tahapnya akan terhenti.

Titik dari Diego sudah lama tidak terbentuk. Gambarajah bukan lagi matlamatnya. Sudah sampai masanya untuk membuka helaian buku baru. Semoga titik-titik baru akan tercipta dan gambarajah baru akan terbentuk. Diego lega kerana titik baru sudah terbentuk buat mereka. Kini mencari titik-titik baru dan gambarajah baru. Harap-harapnya.

Selasa, Januari 12, 2010

Kanak-Kanak Memang Riang XXI

"Ummi, Aqil nak badak air!" Aqil mintak.

"Ye, nanti abah bawak" Ummi jawab endah tak endah.


KOMA


"Abah, nak badak air!" Aqil mintak bila Abah dia dah balik kerja.

"Ye, kita cuba tengok kat zoo nanti" Abah pulak jawab.


KOMA


"Nak air badak" Aqil mintak lagi untuk hari yang lain, masa yang lain.

"BADAK AIR LAH!!" Abah dan Ummi sama-sama panas telinga dah dengar Aqil duk mintak. Salah sebut pulak tuh.


KOMA

Itu antara permintaan Aqil yang diselang seli ikut suka dia bila dia teringat nak mintak. Ikut suka dia je mintak haiwan yang dia suka-suka hati nak tengok. Sedap je order kat Ummi dia. Nak engok Badak Air. Jenuh jugak Ummi dia nak setelkan hal permintaan anak sulung dia ni.

Ummi Aqil dah cuba buka internet, cari segala gambar Badak Air, mula-mula tengok macam eksaited. Kemudian kendur. Tak berapa nak eksaited. Ummi dia cari pulak dalam bentuk video. Dalam utube. Ada Badak Air menyanyi. Itu pon tidak dapat merangsang keeksaitedan Aqil.

Tiada cara lain. Zoo juga jalan penyelesaian terakhir. Sepintas lalu carian internet, Zoo Negara dengan Zoo Taiping je ada Badak Air. Itu dah sedikit menipiskan harapan, tapi takpe cuba pasti berjaya. Yang boleh dituju hanya Zoo Johor je pon. Apa gila nak naik sampai KL/Taiping?

Zoo Johor kami tuju pada suatu hujung minggu petang Ahad. Tapi sebab nak masuk masa waktu petang matahari redup-redup sedap badan berjalan, kami masuk Zoo Johor lepas Asar di Masjid Sultan Abu Bakar. Betul-betul masuk Zoo jam 5 lebih. Tengok kat kaunter, Zoo tutup pukul 6 petang. Aiseh, sempat ke jumpa Badak Air ni?

Dengan hanya bermodalkan RM5, kami 4 sekeluarga masuk Zoo Johor. Agak-agak kalau gi Zoo Singapore, nak beli air mineral pon tak cukup rasanya. Sangkar-sangkar burung di awal pintu Zoo kami buat tak endah, terus cari kot-kot ada penanda kawasan Badak Air. Aqil dan Ammar awal-awal dah sangkut di benteng tasik. Bukan ada apa pon dalam air tasik tu.

Sekali pandang pada penunjuk arah, tiada Badak Air. Takpelah. Layan jela haiwan lain pon. Alang-alang dah masuk. Kami ambil ke arah kanan dahulu. Haiwan pertama adalah dari segi keluarga monyet, kera dan beruk. Agak kasihan sebab kandang batu, berjeriji besi dan di dalamnya juga batu, tanpa tanah, rumput atau pokok hidup. Hanya kayu mati sebagai tempat bergayut. Ada ke Badak Air nampak ke gaya ini?

Kemudin kandang kuda. Tak berapa menarik juga. Turun ke bawah lagi, terus nampak satu kandang besar, ada hadangan air dan berpagar. Dijenguk ke dalam kandang, nampak haiwan yang Aqil idam-idamkan. Badak Air! Yeay! Aku seronok dulu sebab boleh jumpa Badak Air di Zoo Johor ini. Tercapailah hasrat Aqil. Tapi Badak Air duduk jauh ke dalam kandang, tengah sedap makan sayur.

"Aqil suka Badak Air!" jelas terpancar seronok dia.

Aku lega, Ezi lega. Tertunai juga hasrat Aqil. Ini juga insentif bagi dia yang baru je seminggu masuk sekolah. Cuti hujung minggu pertama dia, dapat juga berjalan-jalan. Dua-dua sama seronok dalam sesi melihat pelbagai haiwan yang ada dalam Zoo Johor. Err, abah Aqil pon seronok jugak. Hahah.

Nanti akan mencari ruang untuk membuat siri "Geografi Kebangsaan - Zoo Johor" sebagai liputan lengkap siri lawatan kami ke zoo ini. Sungguh berubah pandangan lekeh kami untuk status Zoo Johor ini.

Aku harap-harap, permintaan Aqil lepas ni masih bersifat tempatan. Dimintanya Platipus ke Ikan Salmon ke Paus Pemangsa ke, mana la abah dia dan ummi dia nak cari nanti.

Badak Air yang diidam-idamkan Aqil. Sepasang pulak tuh.


Rabu, Januari 06, 2010

Catatan Diego - Berbuih@Tayangan

Penat juga nak mengomel sengsorang sambil dibantu alat bantuan mengajar selama 5 hari beturut-turut untuk seorang audien demi memberi maklumat terbanyak mungkin untuk serahan tugas yang digalas selama 7 tahun.


Sabtu, Januari 02, 2010

Hari Ini Hujung Minggu

"Adik, jangan risau, abang pish-pish api tu sekarang, adik bertahanlah...!!"

Dulu, waktu aku umur macam dorang dalam gambar ini, aku dan abang selalu ajak pak masuk balai bomba. Nak tengok kereta bomba. Tiap kali lintas depan balai bomba Kulim. Entah siapa punya pengaruh aku tak tahu. Sekali tu, pak cemuih dah dengar permintaan kami, pak bawak kami masuk lepas dia pi setel hal dia kat pekan Kulim. Best sangat masa tu, dapat panjat tangga yang ada kat kereta bomba tu. Siap pakai topi bomba. Seronok oo. Tidak hairan kalau lepas tu dalam fail darjah satu, cita-cita aku nombor dua adalah ahli bomba.

Selamat berhari minggu. Eh, dah tahun baru?

Jumaat, Januari 01, 2010

Tulis-tulis - Cari

***
Masa aku balik rumah Tok Mek, anak-anak sedara aku tengah ralit layan sebijik laptop. Umur masing-masing belum lagi masuk 2 digit. Dorang syok gila layan game, cerita katun, lagu dan segala jenis dan bentuk hiburan yang ada dalam laptop itu.

Lupa terus mereka pada ayam-ayam peliharaan pak sedara mereka, kambing-kambing mak sedara mereka, belalang dan burung yang selalu sahaja menjadi permainan mereka suatu ketika dahulu.

***
Sebagai orang yang tidak punyai deria dan citarasa muzik, aku tak cam dan tak ambil pusing langsung lagu yang tiap-tiap hari dorang pasang dalam laptop itu. Tapi bila dah banyak kali sangat dorang pasang, aku tercam sudah rentak irama lagu itu, tapi masih tidak meneliti lirik lagunya. Kumpulan apa pon aku tak tahu. Tiap-tiap hari pasang lagu sama, sambil dorang main game mengemas rumah. Padahal mengemas rumah yang sepatutnya, sorang tak ambil pusing. Budak-budak.

***
Sebab kekurangan aktiviti, aku belek-belek suratkhabar metrologi lama yang terbiar, ternampak satu rencana dalam sisipan hiburan. Kumpulan dari seberang. Tajuk rencana "Wali semakin dikenali". Aku tetap tak ambil pusing. Band seberang memang bermaharajalela sekarang.

***
Dalam satu aktiviti makan nasi tengahari, abang mereka, yang rajin membawa masuk segala bentuk hiburan digital itu ke dalam laptop yang bagitau kat aku yang itu lagu itu dari band Wali. Aku Ohh. Rasa streotaip je semua lagu seberang ni. Tetap tak ambil pusing.

***
Sekali, seminggu selepas aku balik ke Johor. Dalam kereta, dalam radio diputarkan lagu yang sama. Baru aku teliti tiap-tiap bait lirik yang dinyanyikan. Aku kemudian mengerti kenapa anak-anak sedara aku suka lagu itu sekarang. Ia catchy. Sedap dan bersahaja. Kemudian aku 'utube'kan band ini, dan aku rasa suka dengan lagu-lagu dorang yang lain juga.

***
Isi penting cerita ini adalah ini. Dalam lingkungan kawan-kawan aku, aku dah 2-3-4 kali membaca luahan hati kawan-kawan (dalam blog juga) yang masih belum berjumpa dan tercari-cari jodoh hidup berpasangan. Lagu "Cari Jodoh-Wali" ini memang agak kena dengan mereka (harap mereka dapat menerimanya dengan hati terbuka).

Kalau dikenen-kenenkan mereka ini untuk masing-masing saling mengenali boleh tak? Mana tahu, ditakdirkan di sini garis jodoh mereka bersilangan.

Aku series nih. Memang nampak tidak wajar berbuat begini, apa dikisah tepi kain orang. Tapi ini memang hasrat aku dan Ezi nak meluahkan juga pendapat kami. Taukan nombor telepon kami.

"Pengumuman, pengumuman,
Siapa yang mahu bantu tolong aku,
Kasihani aku, tolong carikan diriku,
Kekasih hatiku, siapa yang mahu?"

Notapipi: Pertama kali blog ini diserikan lirik lagu. Macam blog pompuan-pompuan. Tapi, kalau itu boleh menemukan 2 hati untuk bertemu jodoh, 18 kali lagi pon aku tak kisah. Juga, ini sekadar cadangan sahaja. Sekian.


Khamis, Disember 31, 2009

Sinetron Dramalova - XXV Tromsformees

Esok pagi kene bawak Pablo pegi klinik. Kena bangun awal dari biasa dan bersiap awal dari biasa. Itu azam Marcia dan Diego untuk malam sebelumnya sebelum mereka lena menutup mata (nota: separa benar sebab mata Diego selalunya separuh terbuka bila tengah tido). Azam tak perlu tunggu tahun baru. Tiap hari baru boleh dicipta azam baru sebenarnya.

Keazaman dan iltizam yang tinggi boleh membuatkan kita bangun awal dari biasa. Jadi sesudah subuh, Diego sambung tidur semula. Marcia sambung mengerjakan hal-hal pembasuhan pakaian dan alat-alat bantuan tidur yang tertunda semalam. Ada alat-alat bantuan tidur yang terkena urin Rodriguez malam semalam. Tidur Diego nampaknya tidak berapa lama. Dikejutkan secara mengejut oleh Marcia, walhal ada lagi 25 minit dari perancangan awal untuk pergi ke klinik.

"Abang, bangun kejap, tolong ayang". Marcia tergesa-gesa mengejut Diego bangun.

Diego secara tersentak terus bangun. Menuruti Marcia dari belakang. Dengan mata terpisat-pisat, mereka menghadap mesin basuh.

"Mesin Tromsformees nih dah telan bantal kekabu kita, suruh dia spin dia gegar, suruh dia luah keluar dia tak nak luah" Marcia mengadu.

Dalam hati, Diego mula berdetik. "Aku bela kamu Tromsformees dah masuk 4 tahun, hari ni pepagi ko buat hal pulak".

Mula-mula dia cuba mampatkan semua, supaya kerongkong Tormsformees betul-betul seimbang. Kemudian Diego cuba untuk spin. Gagal. Tromsformees macam terhuyung hayang mabuk brandi. Kepala mengeleng-geleng. Bergegar pada skala 100m/s amplitud dengan satu spektrum 1x yang amat tinggi keluar dari graf. Tidak seimbang.

Dicuba 2-3 kali, tektik itu ternyata gagal. Tromsformess nampak semakin lemah.

Diego mencuba untuk menarik keluar bantal tersebut dari kerongkong spin Tromsformees. Tersangkut. Bantal kekabu saiz buat tidur nyenyak itu ternyata sangat mampat dan penuh air. Kerongkong Tromsformees pula berbibir ke dalam, membuatkan proses menarik keluar tampak sangat sukar.

"Tromsformees, yang ko telan tak nak luah-lauh balik bantal kena air urin Rodriguez ni kenapa?" Diego mula membentak dalam hati. "Sedap ke?" Tanya Diego lagi. Bercakap dengan Tromsformees tak perlu diluahkan, hanya di dalam hati.

Tromsformees tak menjawab, kerongkong penuh dengan bantal kekabu, cemana nak jawab.

Diego cuba cara lain, direlai-relaikan kekabu bahagian atas bantal. Kemudian cuba untuk spin. 2-3 kali berbuat demikian, Tromsformees mula memberi kerjasama. Bantal mula di spin. Tapi putarannya tidak terlalu laju kerana beban yang berat lagi padat. Tromsformees hanya berdaya untuk berbuat demikian untuk sebentar sahaja.

Diego mula nampak sinar kejayaan. Bantal kekabu sedikit berkurangan kuantiti airnya. Ditarik keluar lagi. Kali ini nampak sedikit berhasil.Tapi masih sukar. Tak sampai 1/3 yang keluar. Marcia datang membantu semula. Dia cuba juga menarik keluar. Tapi sekali dengan Tromsformees yang terangkat. Bantal tersangkut teruk di bibir ke dalam Tormsformees.

Marcia mula mengeluarkan alat bantuan khasnya. Alat ini adalah senjata sulit kegunaan rutin hariannya dalam apa jua keadaan. Ia berasaskan kayu. Berbentuk seakan sudip dapur, tapi ini alatan khas. Orang tua kata, mesin Tromsformees takut dengan kayu berbentuk sudip dapur, boleh menyebabkan kemurungan kalau diketuk. Diguna alatan khas itu untuk menyenduk keluar bantal, nampak sedikit berjaya. Tapi disebabkan kandungan bawah bantal yang agak mampat dengan kekabu basah, usaha itu tidak membuahkan hasil.

Marica serah kembali buat Diego. Kali ini, Diego tidak lagi menggunakan kekerasan. Mesin juga perlu sentuhan dan belaian penuh mesra kasih sayang. Diego kaut sedikit demi sedikit kekabu yang mampat untuk dipindahkan ke bahagian yang sudah keluar. Kemudian tarik sedikit demi sedikit. Usaha yang memeritkan hujung-hujung jari mulus Diego ini mula menampakkan hasil.

Setelah bertarung lebih kurang 15 minit, Diego sedar dia sudah berpeluh macam bersukan walhal baru mangkit tidur je. Otot-otot tangan mula terasa seperti didiami asid laktik. Lesu. Usaha yang tampak sedikit demi sedikit itu diteruskan. Bila terjumpa bucu bantal yang ke tiga, Diego tahu ia tak lama dah. Bahagian bawah bantal yang tersangkut dah membulat macam bola.

Diego capai alatan khas Marcia tadi, sambil memeluk bahagian bantal yang dah keluar, sambil menyenduk bahagian yang tersangkut. Sekejap sebelah kiri, sekejap sebelah kanan. Dipulas-pulas pula. Tromsformees mula merasakan kerongkongnya mula lega. Dia juga cuba membantu Diego.

Akhirnya.. Bantal kekabu basah berjaya dikeluarkan. Diego menepuk-nepuk Tromsformees, bantal kekabu diletak jauh dari pandangan Tromsformees. Agar dia tidak kecil hati atau masih bernafsu untuk menelan bantal kekabu.

"Tromsformees, lain kali kalau nak makan, mintak kain, baju dan seluar je dengan Marcia ye, yang mengada order selera bukan-bukan ni apahal?" Diego berpesan.

Tromsformees angguk. Diego harap Tromsformees akan kembali sihat dan kuat seperti biasa, walaupon hampir tak berdaya menelan bantal kekabu tadi.

Bantal kekabu pula kelihatan sudah mengalami kemurungan. Mungkin nyawa-nyawa ikan lagaknya. Keras lagi tidak kering sepenuhnya walau sudah 2 hari dijemur terik matahari. Khidmatnya mungkin akan tamat bila-bila masa sahaja.

Tromsformees memang kekadang berselera ganjil dengan bantal kekabu, walhal itu bukan makanan ruji dia. *Kredit gambar.

Notakaki amANI: Sedar tak sedar, setahun lengkap sudah kisah Sinetron Dramalova masuk panggung. Bermula pada Disember 2008, 25 kisah penuh, 1 kisah bonus dalam SD The Buku, 2 cerita Disebalik Tabir, 1 entri Testimonial serta 1 kisah mini SD. Gigih weh. Mekasih kepada semua yang mengunjung masuk blog ini. Datang dan baca pon aku hargai. Moga yang ditatapkan boleh dijadikan sandaran dan panduan, jangan disimpan hasad dan dengki untuk mana-mana kisah sekalipon, kecuali bila aku riak dan takbur je. Itu kelemahan aku sendiri. Jumpa lagi tahun hadapan. Tahun depan Diego sibuk kot.

Rabu, Disember 30, 2009

Tulis-tulis - font


Aku ingin meminta jasa baik pereka grafik sambilan terulung hotel-hotel seluruh KL untuk mencipta font seperti di atas buat kegunaan rasmi aku. Untuk tulis blog, tulis status FB, tulis emel serta hal-ehwal yang memerlukan aku menaip. Namakan sahaja font itu tulisan tangan Adam.
Emel tau kat aku nanti dah siap.

Harap dia membaca entri ini, sebab dia sibuk hal-hal berita luar negara sekarang. Zizie Ezette plak malas nak komen status kenduri dia. Tambah payah dia nak menterjemah berita.

Ke nak kene siap tulis semua huruf? Kene la cari kereta lain hat tak basuh berabuk dulu untuk buat A-Z huruf kecil dan besar.

Isnin, Disember 28, 2009

Kanak-kanak Memang Riang XX

Alang-alang hantar Yam kat KLIA hujung minggu baru ni, sekaligus la aku hantar bebudak berdua tuh naik kapal terbang. Bukan selalu dapat peluang percuma macam nih. Dorang kemain seronok. Naik je tak ingat dah nak turun. Elok pulak bila turun kapal terbang ada bas bulu tangkis (shuttle bas) dah tunggu kat bawah. Lagi seronok. Dua kenderaan awam yang best untuk kanak-kanak. Hebat. Dashyat.

Releks-releks je aku kasik kebenaran untuk Ammar dan Aqil naik kapal terbang itu hari. Sempat juga pesan kat Aqil. Nanti naik kapal terbang elok-elok. Jangan buat perangai dengan orang lain, jaga adik sama. Nak naik tangga tu tengok-tengok juga, jangan laju sangat. Kalau ada tali pinggang tu, pakai. Takpela abah dengan ummi tak ikut pon, Aqil dan Ammar dah tau dah semua tu. Abah tunggu kat bawah sudah.

Hati gembira je dapat hantar dorang nak naik kapal terbang secara bersendirian. Untung budak-budak zaman sekarang, naik kapal terbang macam naik basikal. Bila-bila boleh naik.

Zahin pon turut serta menemani mereka dalam aktiviti berketerujaan tinggi ini. Tak kisah apa dah dorang semua. Berseronok je dorang tahu.


Ni gambar kapal terbang buat mukadimah je, tak de kene mengena dengan ini cerita.

Ni baru bukti bergambar sebenar. Heheh.

"Aqil, naik tu tengokkan adik jugak ye"


Ammar dah siap naik bas lepas turun je dari kapal terbang, Zahin terpaksa menarik Aqil turun dari kapal terbang, satgi bas tinggal cemana?, Naya.

Rabu, Disember 23, 2009

Catatan Diego - Tebolah@Kerja

Marcia selalu kata Diego tebolah. Tak tau tebolah? Lok laq kalau orang kampung Diego kata. Diego kata mana ada. Sikit punya teliti macam jarum peniti ada la.

Tapi macam biasa, meh kita imbas kepala otak Diego untuk mengorek rahsia itu. Ini antara siri-siri yang menjadi ingatan sikap terbolah Diego yang sangat memberi kesan dari segi tecatat kukuh di dalam fikirannya tapi masih dapat nyenyak tidur malam. Letih kudrat je.

1. Diego baru je kurang dari setahun bekerja. Dapat pinjam komputer riba kompeni. Kena buat analisis getaran untuk syarikat pelanggan. Tinggal 5 mesin je lagi nak abis. Masa kerja hari Jumaat itu pon dalam 2 jam lagi nak abis. Diego ingat nak salin laporan masuk pemacu jejari USB yang tika itu sangat rare. Sepatutnya hanya perlu padam isi kandungan sedia ada, tapi Diego format. Bukan format pemacu jejari. Terformat cakera keras komputer riba. Azabnya sangat pedih. Data sedia ada tidak dapat diselamatkan walau digodek pakar dari negara jiran. Sehari Sabtu dari tengahari sampai 4 pagi Ahad, Diego bermalam di pejabat yang ekonnya sejuk tak bleh nak ejas bertungkus lumus buat balik laporan bagi siap.

2. Membuat sirip ikan paus pada pintu kereta kelas pertengahan sendiri. Tak yah cerita banyak. Memang sedih hal ini.

3. Tika dalam satu lawatan ke negara orang. Melihat sistem pemantauan getaran secara atas talian sebuah syarikat pemproses air. Pada satu pam air yang agak besar tinggi orang dewasa yang tengah berjalan dengan rancaknya. Ketika menjenguk kepada mesin yang telah diletakkan penderia getaran, dada Diego tersentuh satu suis merah. PELEPOWW! Padam pam tersebut dengan satu bunyi kuat, nasib pam itu ada 2. Pam yang satu lagi terjalan dengan automatiknya. Yang datang sekali juga terkejut, tapi jurutera air itu buat selamba, dia kata biasa terjadi. Jadi Diego buat selamba juga dan terangguk-angguk macam menyelami penerangan yang diberi.

Di dadaku ada kamu (oh suis)

4. Bos kata bila jumpa pelanggan ini, jangan bincang hal harga yang telah ditetapkan. Wajib pertahan harga yang telah diberi. Bila pergi jumpa, bincang punya bincang, Diego bersetuju untuk berunding dan menurunkan harga. Bila dah balik, baru Diego tersedar akan arahan yang diberi. Empangan!!

5. Tika ingin membuat visa. Diego ambil cuti separuh hari. Memandu dari Rio de Janeiro balik rumah Mom & Pa yang dah dalam perjalanan untuk ke bandar Sao Paolo. Temu janji jam 830 pagi esoknya. Lepas makan malam gulai ikan yang sedap, baru Diego teringat. Satu dokumen yang disenaraikan supaya wajib bawa tiada dalam simpanan. Teringat bahawa dokumen tersebut ada dalam laci di pejabat. Diego memandu balik bandar Rio malam itu jugak, pegi terus pejabat, kemudian kembali semula terus ke Sao Paolo. Sampai Sao Paolo jam 8 pagi esoknya. Dokumen itu tidak dibelek teliti pon oleh penemuduga visa. Juga, mereka berbaik hati bagi visa 10 tahun, walhal passport Brazil hanya sah 5 tahun bekerja sahaja.

Editor amANI : Rasa dah lima cukup dulu lah. Betul, mana ada tebolah. Bangang je. Dah dalam puluhan hari terakhir ini, sedap juga menggamit memori kerja.

Isnin, Disember 21, 2009

Chunkies

Kata ganti nama atau nama panggilan mahupon nama samaran adalah sesuatu yang seronok. Seronok untuk dibaca, tapi lagi seronok kalau kita mengetahui kisah di sebalik nama terbabit.

Baru-baru ini, rakan maya yang juga tidak maya aku juga telah menukar nama samarannya. Apa kisahnya? Aku hanya boleh mengaitnya dengan pemahaman aku sendiri sahaja. Dia lebih tahu. Tapi sedap juga, dari hantu dah bertukar menjadi orang betul. Tak gitu? Tapi, tajamnya mana? Heheh.

Memberi nama gelaran juga sedap untuk dilakukan, tambah-tambah buat budak sekolah asrama yang tiap-tiap hari kita tengok muka dia je. Naik menyampah dengan nama kurniaan ibu bapa mereka, diberi nama gelaran oleh kawan-kawan. Juga ada nama gelaran yang diturunkan dari senior kepada junior. Ini juga agak bedebah kerana kadang-kadang, disamakan sahaja riwayat hidup junior yang suci itu dengan senior berkenaan yang penuh sejarah dan calit-palit. Aku dah berkira-kira nak buat entri penuh pasal nama gelaran, tapi belum terasa nak buat lagi.

Aku sudah menaip sampai 3 perenggan pendahuluan ini adalah untuk membuat orang mengamuk membacanya, sebab cerita aku bukan semua yang berkenaan seperti di atas. Cerita aku yang sebenar adalah pada tajuknya. Blog perlu identiti bukan?

'Chunkies' adalah satu perkataan yang masih tiada dalam kamus Oxford mahupon Webster. Yang ada hanya 'Chunk' dan kata seterusnya 'Chunky'. Aku terbitkan nama Chunkies pada awal tahun 1996 masa kami pelajar tingkatan 4 Mawar berkira-kira sambil memerah otak untuk menamakan pasukan bolasepak terhebat kelas kami sendiri. Ia berbunyi agak sedap macam biskut. Kiranya kalau kalah, lemau boleh dijadikan sebagai alasan. Ini adalah satu-satunya pasukan bolasepak bernama sendiri pada waktu itu. *Lemau - patut la asyik kalah je. Hahah.

Dalam kepala, masa menerbitkan nama Chunkies, sudah terbayang rupa bentuk maskotnya. Setelah aku buat lakaran asas, kemudian dipelbagai reka dan diperhalusi oleh Adz, Lobo dan Edex, inilah rupa Chunkies. Juga tiada lagi sebarang karekter yang hampir 100% menyerupai rupa bentuk makhluk ini setahu aku. Harap hak ciptanya masih dan akan lagi terpelihara.

Chunkies yang dingin.

Ada pelbagai lagi rupa bentuk karekter ini dalam pelbagai versi, versi aku, versi Lobo, versi Edex dan dalam pelbagai gaya. Tapi, gaya pegang pistol ini jugak yang menjadi. Sebagai maskot, Edex siap buat cop getah dengan menoreh sebuah getah pemadam jenama Steadler rupa Chunkies ini. Memang gigih. Kalau aku ada bakat melukis macam kartunis, yang sekali lakar terus menjadi, mungkin dah jadi komik pendek dah Chunkies ini. Versi aku, pegang pendang besar dan ada janggut. Kiut weh. Heheh. Tapi bakat melukis atau melakar aku tidak berpotensi. Paling marketing aku pernah buat adalah buat stiker hitam dan putih rupa bentuk Chunkies ini atas kepala motor. Rare punya stiker. Menoreh stiker sendiri secara manual memang asyik.

Kini, aku ingin mencadangkan satu lagi nama sedap. Pihak mana yang belum mempunyai nama samaran sendiri, bolehlah kalau nak cuba untuk menggunakannya. Jadi emel ke, alamat blog ke, nama pasukan bola dalam fantasy footbal ke, nama kereta sendiri ke, nama pokok kesayangan ke, nama dompet kesayangan ke. Jangan bagi nama anak sudah.

Shilantro Porcupyne.

Sedap tak? Aku rasa sedap. Heheh.

Boleh cuba untuk menerbitkan semula nama di atas kepada perkataan asal usulnya kalau terer. Nanti kita sambung asal usul Shilantro Porcupyne pulak. Hahah.


Ini adalah Chunkies yang lebih glamer sekarang. Aku nak royalti weh !

Jumaat, Disember 18, 2009

Hari Ini Hari Minggu


Sapa nak ajak kami pi mandi laut nih? Tak kesian ka kat Ammar yang dah tertido-tido boring main mainan je tiap-tiap hari. Tak pon mandi kolam renang di hotel berbintang pon ok jugak.

Selamat tahun baru, hari Jumaat, hari minggu dan bercuti 3 hari. Hari-hari Sabtu yang masih cuti akan dihargai.

Selasa, Disember 15, 2009

Sinetron Dramalova - XXIV Kasut Korok

Mereka tidak tahu menahu tentang apakah bilangan koleksi selipar jiran mereka. Waima ingin mengambil tahu jenama apa selipar yang jiran mereka pakai. Sebab nak nampak jiran mereka keluar rumah pon jarang-jarang. Lagikan pula menyibuk nak tahu jiran mereka pakai selipar apa. Apa terdesak sangat ke sampai jenis selipar pon ingin diambil tahu?

Selipar rekaan terkini yang dibuat dengan sekali acuan sahaja seperti yang jenama luar negara Korok atau Ahsadis dari jenama tempatan memang menjadi pilihan sekarang. Di mana sahaja, dalam apa jua acara, di atas apa jua bentuk muka bumi dan ruang permukaan, selipar jenis Korok ni boleh digunakan. Untuk bermain golf, mendaki bukit, main air di pasir pantai, pergi kenduri kahwin, masuk jamban mahupon selepas pembedahan jari kaki akibat kandungan gula, selipar jenis Korok memang selesa dipakai.

Pa Diego punyai sepasang Korok yang asli, untuk kegunaan pelbagai kaki beliau yang memerlukan perhatian dan penjagaan yang rapi. Casilas punyai sepasang yang dari jenama tempatan Ahsadis kaler putih yang dia bawak ke luar negara dan pakai kurang lebih 4 tahun sampai hancur tapaknya. Sergio juga punyai sepasang Ahsadis hitam bertapak lembut yang dia pakai untuk segala kegunaan termasuk merentas pantai berlumpur serta kolam ikan berbayar. Diego juga tidak mahu ketinggalan, punyai sepasang kaler biru buat jalan-jalan pergi JUSTUKOR dan segala agenda yang memerlukan kakinya ditunjukkan di khalayak ramai. Sungguh bergaya bukan?

Masa raya dalam 3 bulan lepas, Diego dan Marcia yang mengendong Rodriguez dan Pablo ada menyusur jalan BerTunku dan BerAbdul yang menyediakan kira-kira 3000 gerai jualan pakaian dan aksesori serta segala kaitannya dengan hari raya, sama ramai gerai dengan orang. Diego ada ternampak jualan secara laris kasut jenis Korok ini dengan harga terlebih murah. Rs25 harga sepasang. Siap datang dengan plastik lutsinar cap Korok. Sayang, beg kertas tidak disediakan bagi yang meminati beg kertas berjenama. Katanya rejek dari kilang asli di China. Sebagai pemunya kasut dari jenis yang sama tetapi dengan jenama tempatan Brazil, Diego buat tak endah sahaja promosi sebegitu. Dah ada selipar nak buat apa lagi beli selipar? Kaki ada lapan ke?

Disorot masa ke waktu kini, disebabkan kemeriahan dan kunjungan ramai orang yang datang tika majlis kenduri adik Diego, Sheylda yang kurang meminati namanya sendiri, selipar kegemaran Diego tidak dapat dijumpai. Diego gusar. Bukan kerana ketiadaan selipar itu, tetapi gusar akan pemunya selipar itu sekarang. Selipar itu tidak lagi punyai tapak yang lulus iklan "Eh, selipar Ahsadis, silalah masuk, silalah!". Mahu sadis tergelincir terhentak punggung jika pemunya selipar Diego itu melintasi permukaan lantai licin berair dengan selipar itu nanti. Itu yang Diego gusarkan.

Walau pon kenduri itu sudah tamat kurang lebih 3 minggu lamanya, selipar pengganti belum lagi dicari. Diego pakai kasut 'lobster' (nota editor: loafer) yang dah bermulut buaya sebagai pengganti sementara. Marcia juga teringin sepasang selipar selepas kira-kira 3 pembelian aksesori kaki beliau dalam 3-4 tahun kebelakangan ini adalah berbentuk sandal. Tidak sesuai untuk kegunaan menyidai baju mahupon menyapu sampah di halaman rumah.

Satu persetujuan telah dibuat. Untuk ke Baazar Rio de Janeiro di jalan Laundry pada malam minggu. Tempat tersebut pasti menyediakan aksesori kaki yang teringin sangat dibeli. Moga ada terjual Korok seperti promosi di jalan Bertungku dan BerAbdul. Pastinya jenama Korok yang dituju. Kerana ianya lebih berprestij. Bukan Ahsadis yang kurang ternama, tapi cukup kukuh dan sama sahaja fungsinya.

Baazar Rio de Janeiro memang membuka mata Diego sekeluarga. Tempat ini menyediakan kira-kira 200 gerai-hampar-saprah-dan-jual-apa-sahaja. Mesin rumput ada. Ketuhar gelombang mikro ada. Komputer riba ada. Mainan TROMS FORMEES ada. Dompet kulit ada. Baju bundle ada. Pengikat rambut ada. Sarung bantal ada. Stroller bayi ada. Topi perajurit ada. Pedang bercahaya berbateri ada. Baju kekanak KOSH KOSH ada. Bateri henpon ada. Piring hitam ada. Bedak muka ada. Duit kertas negara lain ada. Pendek kata, lagi susah mencari apa yang tidak dijual disini.

Gerai pertama yang Diego lihat menjual selipar Korok hanya berbekalkan sebuah meja petak 4 segi. Ada 3 pasang sahaja yang ditunjukkan.

"Ini ada saiz lain? Ke ini saja?" Diego bertanya sambil anak-anak dan Marcia tengah ralit tengok pedang bercahaya berbateri.

"Ini je untuk hari ini, stok baru dengan saiz akan datang minggu depan"Remaja penjual membalas.

"Oh, ok. Tapi berapa harga yang ni?" Diego tanya secara tulus ikhlas.

"Yang ini dua Rs110, yang ini Rs130". Remaja penjual menunjuk-nunjuk sambil kelihatan dibelakang meja rakar-rakannya sedang asyik mengira not-not kertas yang tak terhingga banyaknya. Diego terus berlalu tanpa apa-apa soalan. Tertanya-tanya.

Sebelum gerai kedua dapat dijumpai, sedikit cabaran perlu diharungi, kereta mainan BumbleBee 2 bijik bertukar tangan dari pengerai dengan Pablo dan Rodriguez.

Gerai kedua tidak memerlukan sebarang soal jawab. Semua harga tertera pada saprah yang disusun kemas tiap pasang kasut Korok itu. Harga dari serendah-rendah Rs49-Rs129 untuk pelbagai jenis. Ada Korok yang punyai lubang-lubang yang tertulis terus KOROK sebagai lubangnya. Menarik. Tapi masih tidak berpada dengan budget aksesori kaki Diego dan Marcia.

Diego pusing ke gerai ketiga yang ada menghampar saprah dan juga menjual kasut Korok bersama-sama dengan pelbagai jenis selipar lain yang tidak tahu mai mana jenama seperti itu.

"Berapa yang ini?" Diego pegang sahaja kasut Korok yang terdekat dengannya, tapaknya punyai bulatan-bulatan tajam, seakan kasut golf.

"Yang tu Rs130 je bang" Manis je penjual wanita ini menjawab.

Tak jadi dah Diego tanya untuk Korok-korok yang lain. Mahal macam Honda Civic. Padahal Korok tiruan je. Lagi nak jual memahal. Bukan buat guna kulit buaya pon. Kami pengguna bijak la.

"Tak yah lah carik Korok, Ahsadis je sudah" Marcia memberi kesimpulan paling ringkas lagi berguna.

"Kalau harga macam tu, baik kita pergi butik Korok, beli yang dah tentu mahal betul" Marcia tambah lagi.

Walaupon mereka sama-sama tak pernah masuk pon butik Korok yang jual kasut Korok sampai ke siling. Tapi mereka agak-agak, harganya tinggi sama macam siling la kot. Tapi, sungguh pon. Buat apa nak beli yang tiruan lagi terlampau mahalnya sedangkan nanti kenduri, boleh terhilang lagi.

Lusa malam, mereka sudah berjalan beriringan dengan selipar Ahsadis kaler hitam buatan tempatan yang sesuai dengan citarasa masing-masing masuk ke kedai serbaneka 24-jam untuk membeli roti. Jenama berprestij? Lupakan sahaja, ia mungkin membawa riak takbur sesama jiran. Tak baik.

Tamat.
.
.
.
.
.
.
**Babak yang dipotong keluar **

"Dah jumpa yang berkenan?" Marcia tanya.

"Dah, nih" Sambil sengih terseringai. Diego hulur.

"Abang, buat apa pilih yang ini? Ini bukan selipar!" Marcia memprotes pilihan Diego.

"Eh, yang ni selesa, sedap pakai" Diego memperteguh hujah.

"Yang berpenutup jari ni nampak lebar, macam badut restoran makanan segera" Marcia menekan hujah.

"Yang tu yang penting tuh, nanti terlindung la jari dari kecederaan, sungkit gear pon senang, heheh" Diego bagi hujah penamat.

"Hah, pegi pilih satu cepat" Diego ubah haluan hujah.

Marcia pilih yang jenis selipar pergi pantai. Sedap juga. Sama-sama beli kaler hitam. Ahsadis.

(Kamera menyorot ke label, "Belilah jenama tempatan Brazil").

Betul-betul. Tamat.

Khamis, Disember 10, 2009

Cerita 1 - DST Kenduri Shidah

Cerita 'Dari Sebalik Tabir' atau DST sebegini adalah pengisi untuk sesuatu majlis. Ianya boleh dan akan diulang-ulang untuk dilakukan pada kenduri-kenduri lain pada masa akan datang. Aku tak nak la bercerita hal ehwal pengantin, dia pakai apa, dia pi mandi bunga, dia solek kat mana dan sebagainya. Itu biar dia yang buat blog, kasik cerita sendiri. Tak gitu Shidah?

~ Petang hari Khamis, esok Jumaat, hari Raya. Malam Raya, Shidah akan menikah.

Pak Hood adalah satu-satunya anak Tok Wan dan Tok yang berstatus bermukim di Kulim. Mak dah kira status bermustautin di Kulim. Sebab dah separa Kulim separa Subang.

Pak Hood turun jugak petang Khamis tu, jenguk-jenguk mereka yang sedang bertungkus lumus untuk hari itu. Tanya cukup ke tidak kelapa. Kemudian duduk-duduk cari kawan bergebang. Tak da masak apa sangat hari itu, lebih kepada nak jamu 40 orang makan, budak-budak KMK yang membuat pilihan untuk tak balik raya Haji sebab rumah banjir, tiket kapal terbang mahal, bas nak balik semua habis, kawan-kawan ramai serta rumah terlalu dekat untuk selalu balik rumah.

Aku pada masa itu sedang berusaha keras melakukan kerja-kerja persiapan, peluh menitik-nitik, baju kat belakang dah basah lencun, eksesais lari keliling tasik pon tak berpeluh macam ni. Aku cuba sedaya upaya menghabiskan kerja berat ini. Orang yang memandang pekerjaan aku pon tak sanggup nak menerima beban yang berat ini, jadi aku dipertanggungjawabkan untuk kerja ini.

Kerja itu sangat sukar. Lagi memerlukan kegagahan seperti yang aku ada.

Ok. Aku tengah menyapu habuk depan porch rumah. Berat bukan?

Sambil menyapu, aku tegur Pak Hood yang tengah sedap duduk-duduk sahaja di sofa yang baru je dikeluarkan ke porch depan rumah. Tangan kanan sepit rokok, atas meja ada gelas air teh.

"Eh, Pak Hood habis reja awai ka? Ka cuti separuh hari, hari ni?" Aku sapa, sambil melakukan kerja yang tidak kurang beratnya, mengambil penyodok sampah untuk mengumpul habuk yang disapu.

"Aku hari ni pi Sg Tuang" Seraya Pak Hood menyambut. Pak Hood memang pakar gebang bersembang.

"Oooo, kira dari Sg Tuang pastu teruih mai sini la, outstesen la kiranya?" Aku angguk seakan paham. Cuba membayangkan peta negeri Kedah serta daerah Kulim, Sg Lembu aku tau, Sg Keladi aku tau, Sg Karangan aku tau, Sg Sedim aku tau, tapi Sg Tuang ni samar-samar. Dekat-dekat Ceruk Tok Kun kot.

"Haa macam tu la" Pak Hood jawab. Sambil sedut hembus asap rokok.

"Eh, Sg Tuang tu kat mana, ada reja apa kat sana?" Aku tidak dapat lagi membendung perasaan untuk cuba mengemaskini GPS manual dalam kepala otak. Apa guna bagitau orang aku punya kampung kat Kulim kalau tak Sg Tuang pon tak tau kat mana.

"Hang tak tau Sg Tuang?! Sg Tuang? Sg Tuang?" Berkali-kali Pak Hood cuba memastikan, betul ke tidak aku tak tau Sg Tuang. Aku dah terasa macam GPS manual aku sangat koman spanar. Memang tiada dalam memori langsung nama tempat itu.

"Ha la, tak tau, rasa macam pernah dengaq, tapi tak tau kat mana" Aku jawab ikhlas. Memang kalau tak tahu jalan atau tempat, Ezi kata kena tanya. Bukan duduk diam dan pergi Google di kemudian hari. Nahas nanti. Kata Ezi selalunya benar.

Pak Hood tidak terus menyambut jawapan ikhlas aku. Dari tadi dia serius, kini bibir dah sedikit mengukir senyuman. Mungkin sengaja menarik aku supaya lebih bertanya, supaya lagi sedap dia menyimpan rahsia Sg Tuang yang misteri.

"Ala, Sg Tuanggg, tuang?"
Pak Hood ulang lagi.

Serentak aku terus menjawab. "Oooooh, tuang hat tu!" Aku sudah terkena rupanya.

"Ha la, aku tuang reja la harini, takdak reja pon, peruntukkan awai taun dulu dah habih dah, nak reja apa lagi, masuk mesyorat orang tanya status perkembangan, aku jawab sama seperti bulan sebelum ini, dah memang tak dak budget dah".

Pak Hood sambung lagi yang tahun depan dia nak selesaikan budget yang kompeni pusat bagi dalam awal bulan 6. Siap semua kerja, dia boleh pi Sg Tuang setengah tahun.

Aku habiskan kerja berat aku cepat-cepat. Bukan sahaja memori GPS manual sahaja yang tak terkemas kini, tapi aku disekolahkan kelas bahasa Kedah pulak. Kampung kat Kulim konon. Ceh.

Kerja paling ringan mata memandang. Isi telur dalam bekas. Juga makwe ramai amat.

Selasa, Disember 08, 2009

Dugaan Bertambah

Ini sambungan kisah Dugaan yang dibawah. Aku berterima kasih untuk panduan serta harapan yang diberikan oleh post terdahulu. Sekarang aku nak sambung kisah Dugaan yang sudah selesai. Dah setel baru boleh cerita, baru teruja membaca. Ye dak? Tapi cerita ini meleret-leret panjangnya. Kalau bos takda, tak rasa nak terkucil, kerja tak menimbun, boleh mula baca. Series aku kata panjang.

~Selasa

Setelah melihatkan tarikh yang telah berlalu 27 November itu, aku releks-releks amik kain, bubuh wax, kasik hilang kecalaran bonet depan, kereta baru cat penuh keliling bila calar mahu tercalar hati pemunya, ingat senang nak bayar ansuran duit cat satu kereta? (*i luv u mak!).

Lepas setel kasik wax, aku kasik jek pula tayar belakang, mencari arah punca kebanjiran misteri. Terbaring dari segala segi, memang tak jumpa. Hal minyak menitik pon aku cari. Juga tak tahu apa punca. Aku givap. (*mekasih untuk brader Shooter, hang punya penyelesaian aku belum buat, tapi aku rasa relevan, untuk Juan, aku pegang hang kata tak payah risau kalau takat setitik dua, tapi aku tak rasa gasket bocor la, suhu masih ok)

Masuk dalam, makan nasi. Bila dah sedikit lewat petang, aku sembang kat Ezi. Road tax mati. Ezi hairan. Macammana aku tak boleh perasan. Aku hairan juga, cemana aku boleh tak terlintas nak perasan.

Secara amnya, aku sangat tersibuk di dalam hati dan pikiran untuk minggu sebelum aku nak cuti 2 minggu itu, bila masuk minggu aku cuti, aku sibuk pulak dengan kelas latihan. Kemudian sehari sebelum cukai jalan mati, aku dah kat Kulim. Kereta aku tak kelebet dah lepas tuh, sebab banyak menumpukan perhatian kepada aspek-aspek yang berlaku di rumah Kulim. Boleh kata tiap-tiap hari adalah hari kenduri. Masak dan makan, kemas. Masak lagi, makan lagi, kemas lagi. Dan begitulah dalam 4 hari berturut-turut.

Untuk memudahkan aku, aku terima sahaja bebelan Ezi. Memang salah aku. Cuma aku perlukan idea, cemana nak setel hal ini. Hari itu dah lewat Selasa. Jumaat aku dah nak gerak dari Tumpat. Aku terlintas nak cek dengan MyEG. Iklan yang lewat kini banyak terkeluar masa tengok bola kat Estro. Kot-kot Scha Al-Yahya boleh hantar terus depan pintu rumah Tok Mek nih, seronok jugak.

Aku bukak laptop, aku cucuk USB berukbeng, rumah Tok Mek yang ini juga punyai liputan Selkom tau, tapi GPRS je. Kira-kira 5KBps sahaja lajunya. Laju lagi talian 'dail-up' kalau nak tahu. Tanpa belengah, terus aku carik MyEG. Jumpa, baca terus cemana nak buat permohonan cukai jalan secara atas talian. Memang boleh dibuat tanpa perlu geran asli tapi kena ada buat insurans dahulu.

Aku cek pula web Maybank, cari insurans Etiqa Takaful, juga boleh buat atas talian tanpa perlu surat atau salinan insurans sebelum ini. Semua dokumen penting ini mana la nak letak dalam kereta, melainkan kereta hangpa adalah sebuah perpustakaan bergerak. Boleh je nak sumbat segala macam kertas dan buku-buku. Aku isi-isi terus segala menda yang diperlukan untuk buat insurans. Aku tak tau NCB berapa, aku telefon bank yang pegang geran kereta aku, dia bagitau. Selesai. Aku agak-agak je nilai pasaran kereta aku, ingat-ingat lupa harga yang diinsuranskan terdahulu. Belasah je.

Masa orang takaful buat insurans kat aku, depa bagi lebih insurans untuk cermin depan je, tapi sebab ini buat sendiri, aku amik juga insurans untuk banjir serta kelalaian pemandu, penting woo. Untuk rusuhan atau kerosakan awam aku tak amik, sebab aku tak teringin nak join mana-mana rusuhan buat masa terdekat ini. Buat perabih kederat je.

Tapi memang ingin dijadikan cerita berdugaan, dah sampai langkah terakhir, langkah untuk pembayaran guna Meybank2u, tetingkap yang patut muncul tidak tiba. Sebab aku tak 'disable pop-up blocker'. Jadi aku tak tau selesai ke tidak urusan aku itu. Aku telepon khidmat pelanggan, dia kata tunggu esok, dia periksa dan telepon balik. Jam dah pukul 5 petang. Memang tak sempat pon kalau nak buat cukai jalan guna MyEG pulak sebab urusan JPJ secara atas talian pon sampai jam 4.30 petang je. Aku redha. Takpa, banyak masa lagi. Tapi tetap gundah gulana sebab tak boleh nak bejalan mana. Harapan nak cari selipar kat Pengkalan Kubur sudah berkubur.

~Rabu

Esok pagi-pagi jam 9, saudari dari Takaful dah telepon sama aku, cakap urusan tidak selesai. Kena buat balik dari mula. Aku sambung tido sampai kol 10. Itu pon sebab Aqil ajak pegi tandas. Dia suruh temankan dia kencing. Dengan hanya mandi P.Ramlee, aku terus bukak laptop sambil cucuk berukbeng. Aku buat sampai habis segala urusan Takaful. Mujur dah tahu segala menda yang nak kena isi. Rabak jugak dalam ~RM 700. Selesai. Dapat segala covernote, aku print ke pdf. Dia hantar jugak ke emel satu salinan.

Mula-mula aku nak terus buat cukai jalan dengan MyEG, tapi bila tengok option untuk mendapatkan cukai jalan tersebut, ada 2 je. Kutip sendiri di HQ MyEG kat KL atau suruh Scha Al-Yahya hantar ke rumah. Untuk memastikan Scha boleh hantar ke idak dalam tempoh 2 minit macam iklan, aku telepon khidmat pelanggan. Dia kata Scha Al-Yahya tak dapat nak hantar kat aku, sebab sibuk Sehati Berdansa sekarang, jadi depa guna Poslaju je, itu pon takde yang makwe, semua pakcik-pakcik je. Makan 3 hari baru sampai. Dah aku sekarang hari Rabu, esok je tinggal hari berkerja kat Kelantan ni, ada ka sempat Pos Laju nak hantar esok? Depa kata tak boleh konfem. Kalau Ahad, konfem potong jari. Aku kensel harapan dapat jumpa Scha mahupon berurusan dengan MyEG.

Aku telepon balik Takaful, tanya dengan covernote yang aku ada, boleh ka aku buat cukai jalan kat Pejabat Pos? Dia kata boleh. Dengan senang hati aku katup laptop, aku pi mandi siap-siap wangi-wangi nak pi Pos Tumpat. Sekali masa nak gosok gigi, aku baru teringat. Kena ada geran asli baru boleh buat cukai jalan di Pejabat Pos, maka harapan aku akan tinggal harapan.

Aku siap jugak pakai wangi-wangi. Tapi kali ini aku telepon Maybenk yang pengang geran asli kereta aku, tanya cemana nak buat cukai jalan. Fatima kata depa boleh buat. Bayar je kat depa, depa setelkan. Itu sudah memberi harapan kat aku. Tapi cemana kutip pulak? Fatima kata boleh courier guna Nationwide. Sehari sampai. Tapi cukai jalan tu akan siap petang ni, esok pagi baru hantar, lusa baru sampai Kelantan. Mesalahnya lusa ialah Jumaat, dan Nationwide tidak bekerja di Kelantan hari Jumaat. Aku gundah gulana.

Aku Maybenk2u jugak duit cukai jalan kat depa, aku mintak Fatima email transkrip asal cukai jalan ja bila dah siap nanti, itu jela bukti yang aku boleh bagi untuk pak polisi atau tuan jpj kalau depa tahan. Cukai jalan ada, tapi tak kutip dan tampai ja lagi. Fatima kata ok. Lewat petang nanti atau esok pagi semuanya akan selesai. Aku pegang kata-kata Fatima.

Lewat petang tu, aku tertunggu-tunggu jugak emel dari Maybenk. Tak kunjung tiba. Aku tulis blog bagi mengisi kekosongan.

~Jumaat

Sebelum masuk waktu bekerja lagi aku dah bukak laptop. Tunggu emel macam tunggu surat chenta. Dah Fatima janji, aku tunggu la. Lepas 5 minit dari waktu rasmi Maybenk bukak, aku telepon. Aku nak cakap dengan Fatima, tapi mamat tu tak mo kasik, dia tanya aku nak apa, aku kata aku nak cukai jalan aku la. Dia kata, semalam dan hari ini JPJ offline server depa. Jadi semua cukai jalan tidak dapat dikeluarkan.

Maka dipanah halilintarlah hati aku. Remuk redam tidak tenteram memikirkan perjalanan yang akan ditempuh tanpa sokongan dan kabel yang lebih kuat. Dengan memegang kepada pepatah tiada rotan, akar pon berguna juga, aku hanya memastikan covernote insurans aku cetak 1 salinan. Dan membawa kereta dengan diiringi doa-doa serta harapan-harapan yang baik-baik sahaja. Serban atau kopiah putih aku tak ada.

Sebelum kena apa-apa dari pak polisi atau jpj, aku tahan dulu telinga untuk bebelan Ezi. Aku terima sahaja. Tapi untung juga bertelinga satu, dengar-tak-dengar je la bebelan itu. Tapi dah memang salah aku. Tidak guna cuba melawan. Cuma, aku dah berusaha sehingga terdaya. Yang lain kira ketentuan sudahnya.

Hasil akhir, ketentuan-Nya kami menempuh perjalanan kurang lebih 800km dari Tumpat-Subang pada hari Jumaat, Sabtu pi Mydin Subang, Ahad ke Selayang-Sg Besi-Skudai. Tanpa cukai jalan yang sah.

Tapi langsung tak terjumpa ada apa-apa tanda "BERHENTI-PEMERIKSAAN-POLIS". Alhamdulillah. Benarlah kata pepatah, berani kerana benar.

Ini adalah latihan buat muka cute Aqil dan Ammar untuk menggantikan cukai jalan yang aku tak ada.


Notakaki amANI: Hari Isnin baru aku pegi Maybenk untuk kutip cukai jalan yang dah siap. Tahun depan aku akan cuba pastikan Scha pakai baju kulit kaler merah ketat dan sendat hantar sendiri kat aku. Aku dah buat reminder dalam henpon cikai aku supaya tidak lagi terlupa dan leka. Aku tulis panjang lebar berjela ini adalah untuk rujukan dan panduan sapa-sapa yang mungkin berhadapan dengan situasi yang sama. Semoga ianya ada yang boleh dijadikan iktibar. Sekian.


Khamis, Disember 03, 2009

Dugaan

Seminggu lepas, dugaan datang dalam bentuk kesibukan. Sibuk walaupon berstatus cuti.

Minggu ini, dugaan datang dalam bentuk tidak sibuk langsung. Sebab daerah Tumpat ini hujan dikala pagi, petang dan malam serta bila-bila masa.

Disebabkan tidak sibuk langsung, semalam aku perati segala aspek penjuru serta ruang dan sudut pada kereta kelas pertengahan aku. Dan disebabkan terlalu banyak memerhati, banyak pula defect yang entah bila akan diperbaiki.

Aqil panjat bonet depan kereta, habis bercalar bonet depan, mujur masih boleh dihilangkan dengan wax.

Lantai belakang secara misteri lembab berair dibawah karpet. Tak tau apa punca.

Minyak enjin setitik dua menitik di lantai garaj. Juga tak tahu apa punca.

2 kali aku dah jek kereta guna jek tayar. Suluh sana sini, tak dapat kesan apa punca. Amaran pada jek kereta mengatakan jangan sesekali berada di bawah kereta dengan hanya menyokong kereta dengan jek tayar. Jadi aku gerun nak baring lama-lama bawah kereta.

Setelah gagal mengenalpasti kecederaan kereta, aku belek pula luarannya. Hasilnya, aku terjumpa masalah yang lagi genting dan mencabar. Aku terlupa dan terlalai bahawa cukai jalan kereta kelas pertengahan aku dah tamat tempoh sejak 27 November 09. Aku masih perlu mengharungi perjalanan ~800km ke selatan bermula esok.

Dugaan buat Aqil adalah untuk bertarung dengan air hujan dan air larian permukaan yang tak lari pi mana pon.

Isnin, November 30, 2009

Sudah

Semua:
Selamat Hari Raya Aidiladha semua. Eh, dah masuk Selamat Kembali Bekerja untuk semua sudah.


Cuti:
Ada lagi 7 hari cuti lagi untuk dihabiskan. Minggu lepas, sudah 7 hari dicutikan.

Sudah:
Kelas latihan sudah, raya sudah, kenduri sini sudah, kenduri sana sudah. Minggu ini untuk kelik Kelate pulak.

Kena:
Arsenal kena lagi seperti tahun sudah dengan Chelsea. Mengecewakan.

Habiskan:
Semua sudah kelihatan letih habis-habisan dengan agenda kenduri 4-5 hari ini.

Ok, tamat sudah contoh-contoh ayat yang boleh menggunakan perkataan 'sudah' dimana-mana yang boleh dan difikirkan perlu. Juga untuk penyampaian informasi secara tidak langsung. Sekian.

Isnin, November 23, 2009

Kanak-Kanak Memang Riang XIX

Suatu malam, biasa-biasa. Aku habiskan baca suratkhabar The Bintang. Tv terbuka terpampang siaran EnamRatusTigaBelas. Cerita kanak-kanak. Yang memang cepat je budak-budak tangkap segala informasi dan watak karekternya.

Kegemaran Ammar dan Aqil adalah Go! Diego Go!, Dora, Wonderpets dan Shaun the Sheep.

Kegemaran Aqil adalah Dibo dan Mickeymouse Clubhouse.

Kegemaran Ammar adalah Handy Manny, Noudi, Thomas & Friends dan Animal Mechanical.

Yang lain mereka suka juga. Janji Tv. Itu belum masuk CD.

Malam itu, Aqil dah lena. Selepas minum susu dan kepenatan seharian tak nak tido siang. Ammar main sorang-sorang.

Mula-mula Ammar datang sebelah aku. Hulur skru driver khas dan lori mainannya. Yang boleh dibuka tayarnya dan segala sisinya juga boleh dibuka dengan skru drebar khas itu.

"Abah, tolong ukak boleh?" Ammar mintak.

Lori dah sedia terbalik dirusuk kirinya menghadap matahari terbenam. Tapi skru ditayarnya itu ketat.

"Ammar buat la, Abah tolong, hah, Ammar buat". Sambil aku letak skru drebar khas dimata skru dan suruh dia yang putar. Ammar cuba putar, tapi arah pusingan jam waima mengetatkan skru bukan membuka. Tapi mana dia tahu apa itu arah pusingan jam mahupon lawan jam, sedangkan jam sendiri dia tidak tahu nak tengok.

"Bukan, bukan, pusing sini" Aku pusing sikit arah bertentangan, skru mula terpusing dan Ammar buat separuh, cuba nak mencabut, tak boleh, aku suruh lagi putar, baru dia dapat menyelesaikannya.

"Haaa, macam tu, buat lagi" Aku memberi sokongan.

Dia cuba untuk tayar kedua, sama juga, awal-awal dia pusing arah jam, aku tolong pusingkan sikit untuk arah bertentangan. Kemudian semua 4 tayar lori tersebut sudah pon ditanggalkan. Lori mainan sudah siap ditogelkan untuk aktiviti seterusnya.

Dalam hati terdetik, cepat lagi Ammar tangkap hal ehwal skru ini berbanding Aqil. Ada harapan nak berjinak-jinak dalam hal-hal penuh teknikal lagi taktikal nih. Tak pon mekanik la senang. Mudah dia nak hafal spanar saiz 12, serta plag bebenang NPT 1/2 inci.

Aku rasa-rasa macam nak minum air sejuk, dahaga. (Biasala, blog ini kene meleret-leret sikit, tak kan nak tulis aku pegi dapur terus minum air. Mesti la cakap dahaga dulu, baru jalan lenggang lenggok pegi dapur). Ammar aku tinggalkan dengan permainannya.

Sampai balik di ruang tamu, nak sambung menjadi Cleopatra di sofa-rasa-kayu aku, aku tengok Ammar bukan lagi menggayakan permainan yang berunsurkan teknikal mahupon bersifat kejuruteraan.

Di tangan kanannya adalah kon-tiang-donut. Di atas sofa adalah 4 tayar lori yang siap tersusun terbaring. Digoyang-goyang kon-tiang-donut itu laksana menuang sesuatu. Bukan gaya menuang minyak pelincir ke dalam enjin. Tapi lagaknya seperti menuang sos cili ke atas pizza. Disengguk-sengguk sikit kon-tiang-donut itu. Lantas dia berpaling muka kepada aku. Dan sengih. Heeeee..

"Ammar buat apa tu" sengaja aku mencari kepastian.

"Ammar masak!" Ammar jawab. Heee. Dia sengih lagi.

Aku tak putus memerhati. Dia main sendiri, kemudian sengih lagi. Macam malu dengan tindakan aku memerhati. Heee.. Dua tiga kali dia Heee.. Sebab malu aku tengok dia main sorang-sorang. Heeee.

Apa dah jadi dengan kemahiran teknikal penuh taktikal yang baru sahaja dia tunjukkan tadi?

Aku harap Ammar berjaya menjadi apa yang dia inginkan suatu hari nanti dengan kemahiran dan kegemaran dia.

Spanar saiz 12 di tangan kananku, Senduk lauk di tangan kiriku....

Terbaring dari tengah: Kon-tiang-donut yang masih lengkap terpasang, lori dan skru drebar khas tiada dalam gambar.

Nota siku amANI : Tahniah untuk Ahmad S yang dah bergelar bapa! Pandai-pandailah nak menjadi abah/pak/bapak/ayah ek. Hahaha.


Ahad, November 22, 2009

Hari Ini Hari Minggu

Baru saja bai-baikan Aqil, Ammar dan Ezi yang naik bas ke Kulim. Aku hanya akan menyusul ke Kulim hari Rabu nanti.

Untuk tidak memikirkan apa-apa sebelum ia terjadi, jadi jom menikmati hujung minggu seperti biasa. Nanti hari kerja baru pikir hal kerja.

*Point-to-Shoot 101 - Kamera tali lebar sangkut kat tengkuk tak berupaya nak amik gambar macam ni.

Rabu, November 18, 2009

Kanak-Kanak Memang Riang - XVIII

Apakah kaitan ceruk pintu, ruang kosong rak belah bawah, laci meja, ruang antara meja mekap dengan almari laci, sudut tepi sebelah Tv dengan Ammar?

Ye, ini semua tempat feveret Ammar bila kena dengan perangai dia. Perangai entah mana datang. Tidak pernah dia disekolahkan untuk menurut perangai sebegini. Merajuk.

Tak de sebab dia nak merajuk. Kadang-kadang bila permintaan tidak dilayan. Kadang-kadang bila sengaja aku dan Ezi tak nak melayan. Maka pergilah Ammar ke tempat-tempat yang berdekatan seperti di atas. Dan merajuk.

Bibir terjuih. Muka masam. Kepala ditundukkan. Tangan bersilang. Mata dikecilkan. Kadang-kadang siap mengeluh. "Huhhh!". Dan sangat comel.

Selalu-selalu, kami gelakkan sahaja. Tapi nanti-nanti dah besar kena juga diambil perhatian. Takut memudaratkan.

Menda macam ni biasa untuk anak bongsu. Jadi, SEMENTARA Ammar masih bergelar bongsu, boleh la dia berperangai bongsu sebegini. Bila dah tak bongsu nanti pepandai dia la. Hahah.


Budget comel la boleh buat macam ni.

Mesti kat ceruk atau penjuru. Baru lokasi yang betul.


"Hah, tu mula la tuh nak jadi lipas, masuk ke segala ceruk" - Ezi

Memang dia masuk betul-betul. Dan comel!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...