Untuk rekod, sudah 17 bulan sukan bolasepak akar umbi tergendala akibat Covid-19.
Pada mulanya, rasa seakan tempoh pemulihan begitu dekat walau keadaan ketika itu masih tersekat.
Tapi sebaliknya yang berlaku. Ada yang kata ada hikmah disebalik semua kejadian. Kita yang terlibat dalam sukan bolasepak akar umbi pon merasakan demikian.
Pada satu ketika, anak-anak berumur 7-8 tahun dilihat begitu berpotensi semasa dibawa ke kejohanan-kejohanan peringkat umur. Kita jangka, umur 10 tahun mereka pasti meletup. Berjujuk piala dan medal boleh digapai jika pembangunan itu berterusan. Tapi kini, 17 bulan pembangunan itu tergendala. Tiada lagi latihan saban minggu. Tiada struktur dan medium untuk mereka betul-betul menggilap bakat dan kebolehan beliau. Memang boleh kita anggap, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Cuma keadaan sekarang, walau ada kemahuan berbolasepak, kehidupan asas yang harus diutamakan sekarang. Ibu bapa ada yang terkesan akibat Covid-19. Prioriti mungkin bukan lagi aktiviti-aktiviti bolasepak, prioriti mungkin apa yang boleh disediakan untuk makan malam seisi keluarga.
Kesannya mungkin ketara. Jika semua aktiviti sosio dan ekonomi dibuka semula nanti, adakah anak-anak ini bersedia? Adakah 17 bulan yang ditinggalkan ini memberi kesan kepada mereka? Apakah kita akan melihat 1 jurang kebolehan bagi kanak-kanak di peringkat umur ini?
Anak-anak yang berumur 10 tahun pada tahun 2019, di ketika itu hanya bermain kejohanan 5 sebelah, 7 sebelah, dengan saiz padang yang kecil dan tiang gol seadanya, tiba-tiba sudah masuk tingkatan 1 pada 2022. Sudah berubah gaya bolasepak yang dikehandaki dan beliau tidak ada ruang dan peluang untuk bermain di padang bersaiz sebenar sebelum ini dan tiba-tiba sudah berhadapan dengan tiang gol bersaiz dewasa. Harus bermain dengan perangkap offside, harus bermain dengan kehendak 11 orang di posisi masing-masing, harus bermain defensif dan offensif pada setiap masa. Banyak hal yang perlu mereka proses dan capai dalam masa yang singkat. Adakah akan terjadi generasi yang hilang 2 tahun permainan bolasepak mereka?
Aspek psikologi mereka juga sudah berbeza. 17 bulan terperap di rumah, mungkin kegemaran mereka berubah kepada gadget elektronik. Satu candu / penyedap pengisian masa lapang yang segera, mudah, tidak melibatkan fizikal, tidak memerlukan usaha keras tetapi menyebabkan tubuh badan statik dalam tempoh masa yang lama. Mentaliti harus bersusah payah, berusaha sebelum berjaya, mudah berputus asa mungkin tertanam dalam selama 17 bulan ini akibat penggunaan gadget elektronik ini jika salahgunanya berterusan.
Kesan-kesan ini kita akan nampak untuk setiap kejohanan peringkat umur, 10 tahun, 12 tahun. 15 tahun dan 17 tahun di tahun 2022. Mungkin kita akan melihat corak dan gaya permainan yang hampir 2-3 tahun rendah dari umur mereka untuk generasi pemain ini.
Jadi persoalan utamanya kita, adakah kita betul-betul memanfaatkan sepenuhnya tempoh 17 bulan mereka tersangkut di rumah ini dengan sebaiknya? Adakah mereka 'dapat' sesuatau sewaktu lamanya mereka di rumah? Adakah mereka bersedia untuk terus berlari laju bila terus diperlukan nanti? Sama-sama kita tunggu dan lihat nanti.