Advertlets

Sabtu, Mei 10, 2014

3 Perkataan

Bolehkah 3 perkataan mengubat hati seseorang?

Menghilangkan semua rasa pening kepala bila tiap kali bangun pagi dengan rasa tidak cukup rehat dan tidur?

Memudarkan rasa gundah hati bilamana dia merasakan kita belum bersedia untuk menghadapi cabaran hidup secara sendiri?

Melupuskan terus rasa putus asa ketika apa yang dia ingin buat untuk dirinya semuanya terbantut hanya untuk memastikan kita cukup makan, sihat tubuh badan, bersih tak berdaki, wangi selepas mandi dan berpakaian kemas dan elok sentiasa?

Memadamkan segala rasa bingit telinga dengan panggilan, jeritan, permintaan, permohonan, pergaduhan, perkelahian, dan semua jenis nada bunyi yang kita keluarkan pada setiap saat dan minit kita bersamanya?

Melapangkan dadanya yang sesak bila diasak dengan tangisan tak henti lagi mencabar bila kita demam selsema tersumbat hidung, jatuh luka lutut dan siku, terhantuk dinding atau pintu, terkepit jari atau zip seluar, disengat lebah atau binatang berbisa, sakit perut yang memulas atau berak keras?

Menenangkan hatinya yang dirobek bilamana ruang tamu yang baru dikemas dah jadi gelanggang gusti, tuala mandi tidak disidai dan melingkar di atas lantai, tilam bantal yang sepatutnya bercadar dan selimut menjadi tembok projek rumah-rumah, kerusi meja yang tersusun di tempatnya bertukar menjadi model bas sekolah, lantai yang baru sahaja disapu dan disental bertompok balik dek air milo atau oren?

Membuang rasa huru haranya untuk memikirkan menu makan pagi, tengahari dan malam. Diet seimbang menjadi panduan, tapi kita memilih makanan. Pedas lebih tak boleh. Masin sangat tak boleh. Tak ada kuah gulai tak boleh. Tak ada kicap tak boleh. Yang dalam pinggan kita tak sedap, tapi dalam pinggan dia nampak sedap. Kita dah sudah makan, dia baru nak cicah biskut dan air panas, tapi yang dia sempat ialah sehirup dan segigit sahaja.

Jadi, berbalik kepada soalan pertama, bolehkah 3 perkataan mengubat hati seseorang yang menghadapi segala permasalahan yang disebutkan?

Ucapan 3 perkataan ini sahaja tidak memberikan keadilan untuk apa yang telah dia harungi. Satu hari khas yang diperuntukan juga tidak dapat menandingi apa yang dia telah lalui sepanjang hidupnya.

Tapi itulah IBU atau MAK kita. Hanya dia yang sanggup meredah apa sahaja di hadapannya hanya untuk kita. Dan dia berhak untuk menerima ucapan 3 perkataan ini.

Special untuk Mak.

"Selamat Hari Ibu"

Juga khas untuk isteri Norezdiani Mohd Nor dan amnya para ibu semua.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...