Advertlets

Selasa, Mac 31, 2009

Mari Mengenali

"Hang kenai kawan hang 5 tahun dulu baru hang boleh bagi kawan hang pinjam duit hang. Tak kira la banyak mana"

Ini ayat dari Pak Hood pada aku ketika aku berumur 15 tahun. Belum cukup sorang pon kawan aku yang aku dah kenal lebih dari 5 tahun pada waktu ini. Tapi ada jugak yang penah pinjam meminjam dengan aku. Mujur tiada yang tertunggak.

Sekarang aku amat percaya pada ayat ini. Sebab ada orang yang aku baru kenal hanya dalam 1-2 tahun masih berhutang dengan aku dan telah menghilangkan dirinya. Kisah dia layak menjadi satu topik lain di blog ini nanti. Kawan-kawan serumah dengan aku panggil aku 'Abah'. Sebab masa mula-mula duduk rumah sewa di Taman U. Aku jela yang dah ada pendapatan tetap dan bergaji seribu lebih sikit. Mana yang tak dapat bayar sewa, aku bayarkan dulu. Mana yang terdesak nak guna buat belanja belajar, aku kasik pinjam. Mana yang baru abis stadi tapi takde duit nak cari keje, aku dahulukan. Alhamdulillah semuanya membayar semula. Semua itu memang kurang lebih ~5 tahun aku kenal.

Cuma mamat yang seorang ini. Memang aku tidak terlalu rapat dengan dia. Tak kenal hati budi lagi. Dia budak serumah dengan aku, sama kursus bidang, tapi bukan bekas maktab aku atau se-express dengan aku, cuma sama maktab dengan kawan-kawan serumah aku yang lain. Dia sahaja yang masih bergelar penghutang pada aku, sampai sekarang. Mungkin dia rasa dia kontra meja stadi dia dan moto dia kat rumah baru aku masa aku pindah boleh setel kot hutang itu. Kali terakhir aku jumpa dia sebelum aku menikah. Secara bahasa matematik dan sains biologi di dalam bahasa inggerisnya, one plus one equal Aqil and Ammar means how many years adik-adik? Jadi teori itu benar.

Satu lagi, setahun yang lalu, aku telah menceburi fasa baru. Mengenal orang yang tidak pernah kenal aku. Datang pada acuan atau bekas yang sama, tetapi berlainan fasa. Juga kembali mengenali orang yang pernah kenal aku satu waktu dulu, tapi tidak betul-betul mengenali aku dengan lebih lanjut pada waktu dulu.

Hasilnya:

1. Ada yang tidak dapat menerima cara aku berkerja. Walaupun terdidik dengan organisasi yang sama, tetapi cara berkerja mereka dengan aku berbeza. Jadi, yang sama fasa dengan aku masih boleh menerima. Tapi yang berlainan fasa, mereka kaget. Terus membawa diri. Ke seberang laut katanya.

2. Yang kenal aku suatu masa dahulu, katanya aku berubah. Aku kata, mereka belum betul-betul kenal aku masa dahulu.

Satu yang tidak berubah, bilamasa bersama rakan-rakan yang aku pernah habiskan 5 tahun bersama di asrama. Yang ini adalah ruang paling bebas untuk bertegur sapa. Dari dahulu sampai sekarang. Setakat nak mengeluarkan perkataan seperti kenapa ko dah gemuk / bulat / botak, apesal tak kawin lagi? apesal pakai kereta murah je? ko buat plastik surgery ek? kasut ko tak cantik, beg yang ko pakai ni zaman temenggung punya, aku buat ni memang saje nak bagi ko terharu, atau perbualan-perbualan tanpa motif tertentu, semuanya bebas tanpa belas.

Kecik hati? Ada la jugak (kan Duta kan), tapi dah dari dulu sampai sekarang nak kecik hati, berapa banyak hati lagi yang dah tinggal kan?. Sebab apa boleh jadi macam itu? Sebab kami sama-sama membesar bersama-sama. Tak la pulak tiap-tiap hari bergelendangan bersama, tapi ada satu-satu masa yang telah kami lalui bersama-sama. Menyebabkan kita boleh kenal hati budi, peribadi dan latar belakang seseorang. Dari jauh dan dekat. Dari orang lain dan mungkin satu sama satu. Mungkin bila dah meningkat tua, perangai lama macam dah kurang, tapi cara bercakap, bergurau tetap sama. Mungkin percakapan telah berkisar tentang kenaikan harga barang, tapi lawak tetap pasal personaliti dan peribadi.

Lebih ringkas, aku huraikan dengan kes contoh ini.

Kalau A buat satu lukisan atau grafik. (ada je perkataan mencari nahas nih, haha)

Jika A adalah rakan dari kecik sampai besar dengan aku. Komen aku adalah.

"Peh, gila, apesal hidung dia senget? lukis pakai kaki ke?"

Jika A adalah yang pernah mengenali aku suatu waktu dahulu dan kembali mengenali aku sekarang.

"Tak berapa cantik la, ada lukisan lain?"

Jika A adalah seorang yang tidak penah kenal langsung aku.

"Boleh tahan. Tapi boleh diperbaiki lagi ni"

Ini aku pelajari dan temui setelah mengalami beberapa perkara selepas cuba bekerjasama dengan watak-watak yang aku pernah temui dalam perjalanan kehidupan. Kalau aku upgrade cara komen aku untuk salah satu level, contohnya dari Boleh-tahan kepada Tak-berapa-cantik, mereka akan membawa jauh hati mereka ke seberang laut. Ini adalah kerana tingkat pemahaman mereka masih berbeza, walaupun aku mungkin berbuat demikian kerana berasa mereka telah naik satu level dari tidak-kenal-langsung kepada pernah-kenal.

Bukan aku cuba mengkategorikan jenis dan sifat kawan-kawan yang aku kenal atau baru kenal. Tapi, untuk berkongsi tentang adat berhubung dan menjalinkan perhubungan, perlu ada penyesuaian keadaan. Aku belajar untuk memberi timbang rasa dan orang yang menerima dari aku juga perlu harus berhati besar. Supaya walaupun terkecil hatinya tetap boleh membuat proses menukarkan gula kepada tenaga menggunakan insulin.

Oh ye, aku perasan bila bergelar 'Abah' yang sebenar, sifat kasih, sayang dan timbang rasa serta extrapolasi sifat-sifat tersebut seperti kasihan, penyayang dan rasional telah terpupuk dengan lebih mendalam. Jarang aku menulis macam ni. Mungkin sekali dua je kot. Kalau yang berasa, aku di luar tidak sama seperti di dalam blog, itu aku belum cukup buat muhasabah diri lagi. Mungkin itu adalah hasil dari bidang kejuruteraan perkataan. Sekian.

Notakaki amANI: Selamat menjalani kehidupan berkeluarga diucapkan kepada Ahmad S dan Nurul serta Emon dan Feroz. Dengar kata Ahmad S sempat bercuti ke pulau yang ada dayang bunting, kot bunting pelamin jugak nanti bulan 5 ni. Hahah.

Isnin, Mac 30, 2009

Lawatan Memori III - Perintis

Kali ni pendek je.

Kot sesapa yang ada FB, aku rasa mungkin ramai dah ambil tahu kot, sebab perhubungan alam maya tanpa ikatan ini memang memudahkan.

Buat sesapa yang nak tahu apa perkembangan ringkas batch senior kita, yang nama Perintis la katakan. Ini blog ringkas mereka. Aku ingat satu dua post je, tak terkira jugak la banyaknya.

Lebih kepada hasil usaha Mat Tiara sendiri untuk tatapan orang ramai. Tapi bagi aku cukup bermakna. Buat dia dan mereka. Ringkas dan tidak formal. Tak la kene letak segala bagai butir-butir. Pengganti cakap-cakap bila bertemu kembali.

Blog Mat Tiara pon aku baca. Baca suka-suka je, mula-mula terjumpa pon sebab blog kawan Kuala Lipis dia. Aku ada letak link itu sebelum ini.

Dah, layan. Perintis MRSM PDRM.

Muka Wan Mohd Rezal juga ada. Orang yang masih tidak puas hati dengan Ahmad S walaupun dah masuk universiti. Sampai Ahmad S rasa nak balik Sg Petani dan dan time tu jugak. Harap ini adalah kenangan je. Tiada dendam lagi.

Dorang pun ada cuba membuat website rasmi, tapi juga sangat ringkas. Lepas dorang buat gathering tahun 2002. Ada dalam blog di atas. Cari la. Yang penting, ada juga link ke Chunkies dalam website itu. Serta beberapa gambar di culik dari web Ustaz (anglefire) & blog Rozeman dalam blog Perintis itu.

Sekian buat makluman.

Jumaat, Mac 27, 2009

Jalan-jalan JB - Sabtu 7 Mac 2009

Hujung minggu memang acara berjalan-jalan. Tambah-tambah masa awal bulan.

Sabtu itu, memang dah lama terbaca bunting mempromosikan Hari Landskap Kebangsaan 2009 yang akan diadakan bertempat di Hutan Bandar MBJB, Taman Mutiara Rini, selang 2 kawasan perumahan dari rumah. Taman ini memang tempat main anak-anak waktu petang pada hari kelapangan. Bukan Hutan Bandar di JB ye encik Duta, ini taman baru. Kali ini, isteri Perdana Menteri yang hadir merasmikan majlis. Kami tak kesah sangat hal Hari Langskap Kebangsaan itu, datang hanya untuk melihat gerai-gerai menjual bunga dan pokok yang turut diadakan sempena majlis ini.

Apa yang sempat dan dapat dilihat adalah, penganjur Pesta Layang-Layang di Pasir Gudang turut membuka gerai mereka di sana. Dapat la melihat dengan dekat Layang-layang buaya dan Ikan Pari itu. Ada juga pameran wau segala jenis wau. Jadi, ini bukan gambar kitar semula ye. Memang ada layang-layang itu di sana. Kalau rasa gambar memakai spek mata hitam itu agak melampau, itulah dia si Aqil, aku baru beli kat kedai 2 ringgit sebelum sampai ke Taman Hutan Bandar itu. Sebab selalu sangat dia mintak nak pakai yang aku punya. Ada gambar sarang labah-labah spiderman dibingkainya. Dia pakai seharian spek itu. Sampai ke malam mintak nak pakai spek itu.


Masa turun ke tempat gerai-gerai pokok, majlis perasmian masih berlangsung, nampak VVIP agak ramai dengan kehadiran banyak buggy yang membawa mereka. Kami rakyat marhaen terpaksa meletak kereta jauh di luar taman dan berjalan kaki masuk. Ramai juga pengunjung yang hadir sama-sama memeriahkan suasana. Sesi melihat gerai dipendekkan bila terjumpa titis-titis hujan. Payung tak bawak, nak kendong anak lagi kalau hujan, tempat berteduh tiada. Maka keputusan diambil untuk berjalan keluar dan ke destinasi seterusnya. Sempat juga anak-anak singgah main di taman permainan tapi cukup singkat.

Masuk kereta, perjalanan diteruskan. Kali ini menuju bandar JB. Ini kerana semalamnya aku terbaca surat khabar rakan sekerja. Dia suka beli NST, dulu beli Berita Harian, tapi tukar selera lepas 8 Mac 2008. Ada cerita pasal
Salahuddin Bakery dalam bahagian Johor Buzz. Aku punya rasa ingin tahu yang lebih dan mencarinya. Ezi setuju. Aku pernah diberitahu orang pasal kedai roti yang dah lebih 70 tahun wujud ini. Tapi belum pernah sampai. Boleh masuk arkib negara dah usianya. Pengasasnya dari Rajasthan, India. Tapi sekarang yang mengusahakannya adalah cucunya. Boleh baca dengan lanjut dalam artikel yang aku letakkan capaiannya itu.

Kami sampai dah dekat jam 3 petang. Roti Benggali biasa dah tiada dari rak. Yang tinggal adalah pastri jem strawberi dan roti bun petak. Beli yang tinggal je, buat merasa. Hasil rasaan. Memang roti ini rasa roti Benggali. Sama. Bau pon sama. Bukan macam roti beli kat La Boheme ke, Lavender ke. Kene cuba baru tahu rasanya cemana. Kalau pernah merasa roti Benggali la. Aku ingat masa kat Kulim dan Ampang masih ada lagi Benggali jual roti dengan motosikal.

Hiasan dalaman kedai ini agak ringkas. Ada beberapa rak-rak kayu yang agak usang dan kehitaman untuk menyimpan roti-roti yang sudah dibakar. Ruang pembakar boleh dilihat jelas ketika memasuki kedai. Ada satu ruang seperti tetingkap yang sekitarnya berbekas hitam akibat jelaga api. Itulah ruang bakarnya. Papan tanda kedai ini juga tidak memerlukan sebarang pereka grafik untuk menggubahnya. Cukup dengan papan hijau dan cat putih. Nampak sangat tulisan tangan tanpa perlu photoshop atau sebarang perisian canggih. Pun begini. Kedai ini masih bertahan. Bukti grafik mahupun pemilihan font bukanlah impak utama menarik pelanggan. Di bahagian kaunter jualan, roti-roti pelbagai rupa dan perisa diletakkan mengikut kategori. Yang menjual ketika itu adalah pemilik kedai. Boleh lihat gambarnya di dalam gambar dibawah, yang dibingkaikan itu. Di belakang kaunter jualan kelihatan keratan-keratan akhbar yang juga dibingkaikan, baru dan lama yang telah memberi publisiti dan pendedahan tentang kewujudan kedai ini.

Nak mencari kedai ini pun tidak susah, dari simpang Kotaraya, terus ke arah Little India, dan mencari Jalan Dhobby, susur jalan Dhobby ini sehala dan kedai ini terletak di tengah-tengah deretan kedai belah kanan.

Dah beli roti, naik semula kereta. Kali ini ke arah Kampung Melayu Majidee. Dari bandar JB, kami ambil jalan Tebrau ke arah luar bandar. Susur masuk ke Taman Suria mengikut simpang ke Giant Taman Suria (dahulunya Extra). Taman Suria ni ada rumah pakcik kepada Ahmad S. Dua tiga kali jugak aku pernah ke rumah pakcik Ahmad S ni. Ada lagi ke pakcik itu di sini?

Dari Taman Suria, masuk ke simpang ke Kampung Melayu Majidee. Mencari Jalan Rahmat. Segala nama jalan di sini mempunyai unsur kebaikan. Jalan Murni, Jalan Usaha, Jalan Harmoni dan sebagainya. Setelah membuat U-turn baru ternampak gerai seperti yang disiarkan oleh NST bahagian Johor Buzz yang sama. Itulah
Cendol House.

Ulasan untuk cendol disini, agak baik. Sesedap rasa je. Tetapi cendol terbaik tetap di Haji Shariff, Seremban. Santannya tidaklah terlalu pekat sampai boleh naik tekanan darah ke paras tertinggi seperti di gerai D'mara Larkin. Kami pesan 3 mangkuk cendol campur (pulut, kacang, jagung). Juga satu mangkuk soto nasi. Soto nasinya agak sedap. Sebab kuah yang berperisa, pekat dan kepingan ayam yang banyak. Semua hidangan habis licin.

Pengunjung juga tidak putus-putus datang dan pergi. Ada juga kenderaan berplat Singapura yang singgah ke gerai ini. Jadi bagi aku, agak istimewa la tempat ini untuk dikunjungi waktu petang.

Yam, bila Aqil buat isyarat jari cam tu, memang dia akan sebut Cik Yam. Jadi hang jangan risau. Dia masih mengingati hang, walaupun hang takdak kereta.

Sekian dahulu aktiviti berjalan-jalan yang dilakukan pada hujung minggu itu. Kenal mengenal bandar Johor ini. Yang telah lebih 1/3 dari usia aku berada di sini.

Rabu, Mac 25, 2009

Sinetron Dramalova Part VII

Babak 1

Danny baru bersekolah darjah 5. Sekolahnya 4 baris rumah jauhnya dari rumah Danny. Masa ini Kasabonita masih lagi berkerja sebagai pembantu rumah. Entah macam mana. Apa sebabnya. Encik Carlos membekalkan sebuah telefon genggam buat Danny. Jenama S. Agak mahal rasanya. Mungkin kerana telefon rumah mereka telah di potong BRAKOM. Itu hanya mereka yang tahu. Jikalau dibanding dengan jenama N milik Diego, memang jauh beza tarafnya. Kameranya bermega pixel. Skrin berwarnanya beresolusi tinggi. Cukup padat dan mampat.

Danny kanak-kanak yang pasif kata Puan Christina. Marcia hanya menerima kata-kata itu. Tidak disangkal atau ditelan. Terima seadanya. Kedudukannya di sekolah mengikut kelas. Danny menduduki kelas Cahaya, ada lagi kelas Api dan Batu yang diduduki pelajar yang lebih tinggi pencapaiannya. Ada sekali Danny pernah mendapat nombor 34. Mungkin payah menerima ajaran guru kerana ajaran sains dan matematik diajar dengan bahasa Inggeris, bukan bahasa ibunda, Portugis. Ataupun guru di sekolah kurang pandai mengajar. Ini tanggapan biasa para ibu bapa zaman kini di Brazil. Bukan anak-anak yang tidak pandai. Tapi sistem pembelajaran terlalu membebankan. Walhal anak-anak mereka berlenggeng dan hanya berseluar sekolah mengayuh basikal di tengahari rembang, mencari main selepas waktu sekolah tanpa arah tuju. Bukan berehat makan atau mentelaah.

Suatu hari, Kasabonita berkomunikasi secara lintas langsung di atas jalur lebar batu bata pemisah rumah. Telefon gengam Danny hilang. Tertinggal di rumah kawan atau tersalah letak ketika keluar bermain bersama rakan sekolah di waktu petang. Tidak dijumpai walaupun setelah mencari semula ke rumah kawan tersebut. Mungkin disimpan kawan-kawannya (curi) ataupun hilang tercicir.

Kasabonita risau. Marcia heran. Kenapa risau, Danny yang hilangkan. Pasti bapanya akan melibas Danny sebaris dua. Kasabonita meningkah. Dia yang akan disalahkan, kerana membiarkan Danny keluar bermain petang. Marcia sangsi.

Esok lusanya. Memang betul. Danny memang kene libas. Kasabonita memang kena marah.

Babak 2

Diego juga punya telefon genggam. Telefon biasa. Untuk kegunaan peribadi dan urusan pekerjaan. Sudah hampir 4 tahun Diego menggunakan telefon ini. Skrinnya sudah tercalar seribu. Ada debu-debu terlekat pada skrin kerana kemasukan habuk. Perumah plastiknya aslinya telah terpatah di bahagian butang penghidup. Cat perumah juga sudah tertanggal dan terhakis. Butang-butang tidak lagi bernombor. Terhakis dek penggunaan sms yang kerap. Tetapi masih berfungsi dengan sempurna. Itu semua hanya aksesori. Tidak mencerminkan khidmat cemerlang telefon genggam itu sepanjang bersama dengan Diego. Jauh sekali untuk Diego berkeinginan memiliki telefon yang memiliki 'i' berjenama A ataupun yang seangkatan dengannya.

Sekali sekala Diego ke luar daerah Rio de Janerio. Urusan pekerjaan. Kerana industri berat pemprosesan minyak mentah dan gas berada di negeri lain. Bukan di Rio. Pelanggan Diego semuanya dari syarikat pelbagai nasional berstatus antarabangsa. Syarikat Diego hanya syarikat tempatan perniagaan asas keluarga. Tetapi syarikat Diego begitu menjurus kepada suatu bidang teknikal tahap tertinggi yang mana tidak banyak syarikat seperti ini yang mampu menyediakan perkhidmatan seperti syarikat Diego. Oleh kerana itu, syarikat pelbagai nasional ini menggangap syarikat Diego sebagai pakar. Specialist kalau ikut PPSMI.

Ada suatu ketika, satu loji pemprosesan gas mentah menginginkan khidmat dari pakar dan memanggil wakil syarikat Diego untuk membuat lawatan dan memberi khidmat perundingan. Bagaimana untuk merubah struktur mesin sedia ada supaya senang untuk mengambil sampel minyak pelincir. Memang itu ruji Diego. Diego dikehendaki melapor diri dan membuat lawatan ke sana.

Walaupun Diego berkelulusan bidang kejuruteraan, tetapi mesin seperti Turbin atau Pemampat mahupon Motor tidak pernah dilihatnya semasa menamatkan pengajian. Mujur ketika latihan praktikal, baru Diego berkenalan dengan mesin-mesin sebegitu. Itu pun tidak semua. Semasa berkerja barulah Diego menjumpai mesin tersebut dan mengenali mereka dengan lebih mendalam. Sekarang, sebut sahaja mesin Pemampat, Diego tahu sudah rupa dan strukturnya.

Sewaktu Diego menunggu di luar pagar loji. Ada kereta mahal Merc buatan Jerman, bukan model asal, tetapi telah ditala sepenuhnya oleh Brabus. Warna putih. Melintasi pagar utama. Fikir Diego, mungkin bonus mereka lebat-lebat, boleh mengguna kereta sedemikian. Pasti berjawatan tinggi pemilik kenderaan sebegitu.

Puas Diego menunggu, Jurutera loji tiba. Memberi kertas pemudah untuk mengurangkan birokrasi supaya mudah Diego memasuki kawasan loji tanpa perlu kad keselamatan untuk berkerja di dalam loji dari agensi keselamatan negara. Atas alasan, Diego adalah pakar yang dijemput.

Diego masuk beriring dengan Jurutera. Sangka Diego akan berjalan kaki ke kawasan pejabat Jurutera di bahagian bengkel, tetapi meleset sama sekali. Mereka beriringan ke arah kenderaan mewah talaan Brabus yang Diego nampak sebelum ini yang diletak berhampiran dengan pagar utama. Seingat Diego, sebelum ini ketika berjumpa Jurutera, hanya sebuah kenderaan nasional Brazil yang dipandu Jurutera ini, warna hitam. Betul-betul lebat bonus mereka kalau secepat ini menukar kereta.

Sangkaan Diego sekali lagi meleset. Jurutera membuka pintu di sebelah kiri depan, di bahagian pemandu telah ada yang menunggu. Ini bukan milik Jurutera kalau begitu. Diego masuk dan duduk di bahagian belakang, kerusinya empuk, disalut kulit hitam. Segala fungsi elektronik dibahagian depan adalah ganjil buat Diego. Persoalan ini bermain di fikiran Diego. Mereka menuju ke pejabat Jurutera.

Untuk masuk ke dalam loji, walaupun bukan untuk membuat kerja, keselamatan adalah yang paling utama bagi industri sebegini. Tidak sewenang-wenang boleh memasuki kawasan loji jika keselamatan tidak dipatuhi. Diego dikehendaki memakai baju yang kalau terbakar tidak merebak kesan bakarannya, seakan yang dipakai Bruce Willis dalam Armageddon. Harus ada cermin mata keselamatan, topi keselamatan, goggle dan kasut bertutup besi dibahagian jari. Jika dipakai penuh. Marcia pun tertawan akan kesegakan Diego.

Juga tidak dibenarkan membawa telefon genggam ataupun penghidup api ke dalam kawasan loji. Telefon genggam Diego harus ditinggalkan di pejabat Jurutera sebelum memasuki loji. Di sini baru persoalan tentang pemilik kenderaan talaan Brabus itu terjawab. Beliau hanya seorang Supervisor bahagian selenggaraan jentera dan pemantauan untuk salah satu dari 3 bahagian loji itu. Jurutera itu adalah ketua beliau. Walaupun terjawab, ini hanya membuatkan Diego semakin hairan.

Diego menyimpan telefon genggamnya di dalam laci Jurutera. Mereka seiring memasuki kawasan loji. Kali ini dengan kenderaan Jurutera. Diego lega. Kenderaannya sama model dengan Jurutera. Kali ini Diego tidak terlalu merasa rendah diri. Tapi bila teringatkan telefon gengam milik Jurutera yang perlu menggunakan Stylus dalam operasinya (sejenis pen untuk skrin sesentuh) yang di simpan bersama tadi, perasaan rendah diri Diego datang semula.

Sebagai seorang pakar di dalam bidangnya, kerja-kerja mengenalpasti lokasi paling sesuai untuk mengampil sampel minyak sangat mudah buat Diego, salah satu dari sebabnya, Diego pernah melihat mesin tersebut setahun yang lalu, tapi ketika berurusan dengan Jurutera yang berlainan. Selesai kerja-kerja melihat dua buah mesin Turbin dan Pemampat, setelah mengambil gambar lokasi-lokasi yang perlu diubah suai, mereka keluar dari kawasan loji. Terus Diego di hantar ke pagar utama. Diego menukar pas dan baru teringat. Telefon genggamnya masih di dalam laci Jurutera. Segera Diego bertemu pegawai keselamatan di pintu utama dan meminta pertolongan untuk memanggil telefon Jurutera.

Jurutera menjawab dan berpesan supaya tunggu disana. Dia akan ke pagar utama untuk menghantar telefon genggam Diego. Diego pasrah. Sebelas minit menunggu. Jurutera tiba dengan berjalan kaki dari pejabatnya. Jurutera senyum dan mengembalikan telefon genggam Diego. Diego berterima kasih dan berlalu.

Diego pasrah kerana dalam tempoh sebelas minit itu, sudah tentu telefon genggamnya telah dikelebet teliti oleh Jurutera. Diego bertekad, dia tidak akan rendah diri hanya kerana aksesori.

"Skrinnya sudah tercalar seribu. Ada debu-debu terlekat pada skrin kerana kemasukan habuk. Perumah plastiknya aslinya telah terpatah di bahagian butang penghidup. Cat perumah juga sudah tertanggal dan terhakis. Butang-butang tidak lagi bernombor"

Selasa, Mac 24, 2009

Kanak-Kanak Memang Riang VI

"Dah macam tadika dah rumah ko nih" kata seorang rakan yang baru-baru ini datang ke rumah pertama kali dia sampai.

"Akak mengasuh anak orang ke?" Tanya penghantar bungkusan ekspress (hadiah CD dari ERA) ketika menunggu Ezi tandatangan penerimaan. Dia perasan dari luar rumah, ternampak hiasan di dinding ruang tamu.

"Tengok suka betul dorang dengan ABC tu, itu la abang, kita mintak nak beli, cakap membazir ke" Ini dari seorang isteri rakan yang lain yang juga pertama kali datang ke rumah. Bila anak-anak mereka juga teruja dengan hiasan dinding itu.

Itu antara kata-kata pembuka bicara yang pernah aku atau Ezi terima semasa menerima tetamu. Bukan apa, sejak Aqil berumur setahun lebih, Ezi dah bersungguh meminta dibelikan poster ABC, ABC Haiwan, 123, serta Alif Ba Ta. Untuk di ajar sedikit demi sedikit buat Aqil & Ammar. Di tampal sekeliling dinding ruang tamu.
Itulah hiasan dinding ruang tamu rumah kami, bukan plaster siling mahupun kertas dinding bercorak bunga berwarna-warni. Ruang bermain dorang sama dengan ruang tamu. Di ruang bermain pula ada huruf-huruf seperti jigsaw puzzle dari span yang mengganti alas lantai. Bukan permaidani dari Jalan Tunku Abdul Rahman atau Nilai 3.

Mengenangkan dorang masih berumur setahun dan dua tahun, tak la bersungguh-sungguh pun paksa mereka mengenal huruf-huruf itu. Cuma boleh buat modal bermain bersama. Sebab ada gambarajah untuk tiap huruf, maka mereka lebih tertarik pada gambarajah itu. Kejap-kejap tanya, ini apa, ini apa, itu apa? Lenguh nak jawab.

Untuk haiwan pula, boleh buat main mengajuk bunyi harimau dengan lembu dah. Itu la pengisi masa lapang yang menjurus kepada sukatan pembelajaran mereka. Yang lain semua main sampai bersepah mainan semua selain dari tengok kartun dari CD atau Disney Channel.

Aku tak tau dari mana datangnya minat dorang, tapi Aqil dan Ammar sangat sukakan kereta. Mungkin dari CD Cars. Yang itu, tengok berulang kali tiap hari pun takpa. Sampai Ezi dengan aku boleh mengajuk dialog siri itu dengan lenggok bahasanya sekali. Bukan tak suka cerita lain, cerita ini kira kegemaran la.

Sekarang, tiap kali naik kereta, Aqil dah kenal yang mana kereta Abah, kereta Tok & Tok Wan, kereta Mak Su (sebenarnya kereta hang Shidah) dan kereta Pak Caq. Yang ini dia dapat sendiri.

Lalu lintas je sebarang jenis Gen2 atau Persona, modified la cemana pun , Aqil akan menjerit, "Keta Abah"

Jumpa pula Waja atau Wira, kaler hapa sekali pun. "Keta Tok, Keta Tok" Tok dan Tok Wan adalah Tok bagi Aqil.

Kalau jumpa Kenari, ini agak lambat sket. "Keta Pak ....." Aku kene sambut, Keta Pak Caq. Baru dia sebut "Keta Pa Caq".

Juga bila nampak Savvy, pasti Aqil tunjuk dan bagitau, keta Mak Su.

Ada sekali lintas Mitsubishi Evo, Aqil sebut "Keta Abah!". Huhuh, bangga kejap aku. Amin berkat doa kamu Aqil. Hahah.

Mana dia belajar cara-cara mengenalpasti kereta ini, kami tidak pasti. Yang pasti, bila suruh kira dari 1-10. Dia akan kira 1, 6, 7.... Lepas tu lari main. Tak nak kira dah. Aku belum ajar Add Math lagi kat Aqil, tapi dia dah dapat dah teori asas Janjang. Owh, Janjang dalam bahasa Inggeris PPSMI apa ek? Hahah.

Khamis, Mac 19, 2009

Berada di KL - 21 Mac 2009

Tajuk macam status kat Facebook plak. Biarla. Aku punya blog.

3-4 hari ini aku bertungkus lumus berlumur minyak membuat kerja di luar pejabat. Bukan betul-betul luar pejabat, tapi ke tempat pelanggan.

Sebab itu tiada kisah terkini di blog ini. Wajarnya sambungan internet itu ada. Tapi entah.

Biarla. Yang penting. 21 Mac 2009 aku di KL.

Agenda:
1. Majlis Nikah Redghost. (aku datang kosong je ni, hadiah nanti2 la ek, harap2 GPS manual kepala hotak aku menjumpai kampung yang ada nahkoda itu)
2. Majlis Kenduri Emon
3. Jumpa Duta, ada barang hadiah hantaran pertunangan dia pada aku. Aku dah bawa siap-siap kali ini. Moga dia baca kisah yang ini. Fuhh.
4. Amik jersi kalau sempat jumpa Qis.

Itu je. Sekian.

Sabtu, Mac 14, 2009

Sori tak dapat join

Sari berita penting.

Mekasih kerana mengajak berjumpa Kuril. Lama tak jumpa sang kuril itu. Harap red & duta yg mengajak bleh tolong sampaikan salam. Bukan apa, bukan tiap2 minggu aku turun KL. Orang KL kata ke JB jauh. Aku rasa
biasa je. Tapi bukan jarak yang memisahkan, tapi budget yang tidak mengizinkan.

Apa pun, semoga bergembira besama rakan2.

Aku perasan, komen dari penterjemah berita konsisten dah sekarang. Jam 11 malam sure dia letak komen. Syabas.

Ok la. Nak pegi Pak Ali makan nasi tengahari dengan keluarga. (tak sangka bleh antar kisah ke blog guna henpon cikai je, 3G pun takde).


Jumaat, Mac 13, 2009

Lawatan Memori II - Chunkies - Kickers - Sonic - Pikapong

Malas buat pendahuluan cerita panjang-panjang, material banyak la katakan. Hahah.

Bagi yang belum pernah mengenali aku dan Ahmad S serta latar belakang kami yang penuh ombak ranjau berduri. Yang tertanya-tanya, kenapa la aku rajin update blog, begitu meminati ruangan internet yang tidak terjangkau luasnya. Yang konpius bagaimana terpupuknya minat kami di dalam bidang IT yang serba canggih ini. Aku kongsi di sini bagaimana ianya bermula.

Kami sama-sama belajar di sebuah maktab yang bertaraf aliran sains penuh serta asrama penuh. Tetapi di zaman itu, tiada lagi capaian internet mahupun komputer berspesifikasi tinggi yang mampu menggubah gambar mahupun membuat potoshop. Makmal komputer adalah hanya untuk memproses perkataan dan belajar sedikit sebanyak ilmu BASIC 123, COREL dan Wordpad. Entah ke hape mende aplikasinya buat masa sekarang, aku kurang pasti.

Akan tetapi sebab mak telah mendahului zamannya di dalam pandangan jauhnya terhadap bidang IT ini, sebelum Siti Nurhaliza menyanyikan lagu cinta IT lagi mak dah beli sebuah komputer. Komputer yang mula-mula mak beli adalah masa aku dan abang masih di Kulim, maksudnya tahun 1987. Mengikut cerita dari Pak yang aku baru teringat semula selepas Pak mengulanginya masa aku balik Kulim haritu. Tok Wan membantah keras pembelian ini. Tok Wan kata, buat apa beli komputer mahal-mahal nih. Bukan boleh guna tekan-tekan keluar mee goreng pon. Hahah. Masa tu, mak buat loan dengan majikannya untuk membeli komputer ini, yang akhirnya menjadi bahan belasahan kami main game. Game Olimpik, game Prince of Persia, game Pac Man, game Othello, game entah ke hape lagi yang mana menggunakan disket cakera liut hitam saiz 6 inci. Lagi tinggi grafiknya, lagi berkeping-kepinglah disket itu.

Maka aku sudah punya asas komputer, masa kelas komputer di maktab, bila cikgu komputer tanya apa komponen asas komputer, aku dengan penuh steady menjawab, keyboard, CPU dan Monitor. Bangga. Yakin. Takbur. Aku ingat aku dah dapat pelajar terbaik dah subjek komputer tingkatan 3 masa graduasi, tapi ada orang lain yang aku rasa mengipas cikgu komputer untuk mendapatkan markah yang lebih tinggi. Hahah. Hasad dengki.

Yang aku ingin kongsikan di sini adalah, masa tingkatan 4 dan 5, dah tiada subjek komputer buat kami menyalahgunakan komputer di makmal. Maka aku telah mewujudkan perlawanan bola sepak persahabatan tidak rasmi (tanpa sokongan atau kebenaran pihak berkuasa maktab) antara kelas-kelas semasa di tingkatan 4. Mula-mula aku set up dengan Gemuk dari kelas Melur yang kemudiannya di panggil pasukan Kickers. Kelas aku, kelas Mawar, aku timbul idea nak bubuh nama Chunkies. Memang kelas nama kelas kitorang. Sebab tingkatan 4, maka kami adalah junior pada tingkatan 5, maka segala perlawanan persahabatan kami dijalankan penuh susup dan saspen ketika pelajar lain sibuk menelaah semasa prep petang. Tanpa rasa bersalah mahupun rasa akan ditangkap atas kesalahan displin kerana menyalahgunakan prep petang, kami lawan bola atas padang tengah panas terik. Gadis-gadis kelas dipanggil sebagai penyokong dan tukang sorak. Agak malang, Chunkies hanya ada 8 orang gadis di dalam kelasnya. Lagi 16 adalah jejaka tampan bergaya. Maka sokongan mereka berbelah bahagi.

Keputusan perlawanan cukup memberangsangkan, pasukan Chunkies tidak pernah menang apa-apa perlawanan sepanjang tingkatan 4. Keterujaan perlawanan bola persahabatan itu menyebabkan kelas-kelas lain turut mengambil bahagian. Idea ini berterusan sehingga tingkatan 5. Masuk tingkatan 5, kami ajak juga kelas PKP aka pasukan Pikapong, alangkah bahagianya bila pasukan Chunkies dapat mengalahkan pasukan Pikapong ini dalam salah satu dari siri perlawanan kami dengan mereka. Kelas Ahmad S juga pernah kami kalahkan. Sekali je, lepas tu kalah teruk kembali. Hahah. Kelas Ahmad S guna nama Sonic. Jersi termahal antara kami yang lain. Itu pun sebab ada sumber dalaman. Tak aci. Ye, setiap pasukan punyai jersi kelas tersendiri. Beli guna duit sendiri, cari kedai sendiri, pilih nombor jersi sendiri. Memang semangat assabiah yang kuat antara kami.

Ada sumber-sumber mengatakan aku adalah empunya diri yang memulakan siri memboikot rakan-rakan kelas PKP sejak mula mereka ditubuhkan. Aku rasa ia tidak benar. Aku hanya bengang bila mana masa ujian kimia pertama di tingkatan 4, yang mana kami perlu ke kelas PKP dan kelas PKP duduk di kelas kami untuk mengambil ujian ini. Bila nak keluar setelah habis ujian, ramai yang kecoh-kecoh kat belakang aku sebab tak reti nak jawab soalah kimia. Aku releks-releks je, sebab aku suka subjek kimia. Aku dah nak keluar pintu, ada gadis berbangsa Siam dari PKP yang mencebik dan mengeluarkan ayat ini. "Eh, dorang ni macam kelas bodoh je". Ada dua tiga gadis PKP yang tersenyum mengganguk. Memang sampai sekarang aku bengang dengan kenyataan dari seorang Pikapong-Pue-on itu. Bukan dengan satu kelas. Hati sudah tercalar, menang bola sahaja ubatnya. Keputusan ujian Kimia itu aku agak tinggi untuk kelas aku tapi bukan tandingan dengan kelas PKP, jadi aku sedar dan rendah diri kembali.

Kisah ini seharusnya lebih panjang, tapi aku kasihan dengan penterjemah berita yang saban hari menerima berita-berita sedunia yang perlu diterjemah beliau. Aku risau jika penterjemahannya terganggu, berita hiburan di tv mungkin terjejas. Mungkin ada juga yang akan terlalu sibuk sehingga tidak dibaca kisah ini sepanjang hujung minggu nanti.

Gabungan ilmu komputer dan minat terhadap bolasepak dan semangat assabiah kami untuk kelas kami. Walaupun jejaka kelas aku tetap bercakaran dengan gadis-gadis kelas yang lapan itu, gurau kasar orang kata. Kami telah abadikan kenangan itu ke dalam web alam maya. Tak caya aku, Ahmad S dan Mohd T ada web kelas?

Layan web ini dengan menekan kekunci mouse pada gambar-gambar dibawah.


(diambil selepas majlis graduasi, web ini, Edek yang buat, Adz pon sekali, aku tumpang sekaki)
Zaman dulu (10 tahun yang lalu) pon Adz dah bleh edit buang kaler, tinggal kaler merah je. Power power.


(mujur ada gambar dengan jersi Sonic, web ini Ahmad S yang buat)
Ahmad S memang gila IT, dia pernah berlari-lari ke fakulti komputer bersama Adz untuk menyalahgunakan makmal komputer disana. Aku berlari anak je.



(web ini Ejam yang buat, tapi dia tidak menyertakan sebarang gambar bersama jersi Kikers, mungkin sebab semua jersi mereka telah di pau senior lepas SPM 96)
Kikers adalah team paling power, saingan terdekat kelas Dailami yang tiada nama pasukan. Chunkies hanya pernah tewas tipis, tewas sikit, tewas teruk dan tewas bergaya dengan mereka.

Sejarah penubuhan dan segala yang berkaitan dengannya ada di dalam web yang boleh di ketik dari gambar-gambar di atas. Tak hilang dari simpanan jaringan internet zaman ini.



Khamis, Mac 12, 2009

Crossover - Ahmad S, Kanak-kanak Memang Riang dan Jalan-jalan

Merujuk kembali kisah Ahmad S yang lepas, ini adalah visual kepada penceritaan aku dalam kisah Ahmad S Siri # 3. Inilah akses masuk yang aku ceritakan, yang mana kami lompat pagar itu dan memasuki bangunan utama menara Jam itu.

Ye la kan, orang kata bercerita menulis panjang berjela, nak kene scroll sampai jenuh, mungkin masih tiada bayangan yang sebenar. Aku memang bersetuju, takde kamera, visual untuk blog memang kurang puas hati. Tapi takde salahnya bercerita dahulu, gambar datang kemudian, hahah.

Penerangan untuk gambar ini, aku ambil hujung minggu lepas, bawak anak-anak piknik kat Dataran JB. Aku ingat kami je yang ada idea beli makanan, hampar saprah, makan dekat tepi padang, biar anak-anak berlari-lari bermain dengan kawasan yang luas. Rupanya ada lagi 2-3 keluarga yang punya idea yang sama.

Sekejap je dorang duduk atas saprah, suap dua tiga, Aqil & Ammar dah tak boleh duduk dah, teruja dengan kanak-kanak lain sekeliling dan bola, kepunyaan keluarga yang turut berkelah di dataran ini.

Sambil makan nasi ayam, sambil tengok dorang berlari-lari. Puas Aqil tengok bola, dia lari kembali ke arah kami. Ammar lagi la, berjalan tanpa menoleh belakang. Mujur bila dipanggil, masih boleh datang kembali.

Puas main di bahagian bawah, kami naik ke atas, ada la 2 remaja lelaki meningkat naik tengah shuffle berdua-duaan. Berbilang bangsa, sorang Melayu, sorang Cina. Dah naik ni la baru aku sempat mengambil gambar di atas buat rujukan kisah Ahmad S Siri # 3.

Aqil & Ammar masih belum cukup puas main, ada pula kanak-kanak sebaya dengan dorang (pompuan plak tuh), lagi rancak la dia bermain, main kejar-kejar. Mula-mula kanak-kanak perempuan itu macam mencebik, "kenapa nak main sama kita?", tapi bila dah lama-lama, jadi best plak. Kanak-kanak kan, mana ada erti malu dan segan. Asal boleh je dia berkawan. Sampaikan bila Aqil nak balik, dia pulak duk panggil. "Abe, abe" Hahah. Seakan tak puas lagi berkejaran bersama.

Masa menunggu dorang bermain, aku duduk sebelah menyebelah dengan isteri. Dekat tangga. Di bawah sinaran neon dan bulan cerah penuh. Aku letak tangan melintang bahu dia. Lepas tu aku tertinjau-tinjau. Ezi tanya.

Ezi : "Kenapa?"
Aku :"Rasa macam kurang manis la buat camni, peluk gadis berbaju kurung tengah-tengah ni"
Ezi : "Eleh, ape plak, suami isteri apa"
Aku : "Hehe, saje je"

Ye kawan-kawan, boleh muntah jika perlu. Tapi jangan jeles kalau anda belum halal untuk berbuat demikian. Hahah.

Aku cadang nak repeat lagi datang sini. Kali ini bawak bola pulak. Main atas padang dengan Aqil.

Selasa, Mac 10, 2009

Selepas Jalan-jalan cari jalan lagi - terkini


1. Satu jela gambar buat tatapan Shidah dan Man. Aku tak amik bahagian dalaman, cukup la dengan segala keterangan yang telah aku review sebelum ini. Bayangkan ajelah.

2. Gambar menghantar Yam pun ada, tapi takde ruang dalam memori hardisk laptop ini untuk menerima memori baru. Tunggu jela.

3. Jersi dah ada pada Qis. Nanti la bila-bila kalau ada ruang ke KL bulan ni. Boleh amik. HMD take note ye.

4. Aku nak pegi KL? Entah bila, mungkin masa Amir kahwin nanti kot. Itu pun kalau berkemampuan. Budget bulan ni lari jarak jauh la rasanya.

5. Sesape tahu ape kemendenya eczema itu, bleh tolong kongsi, Ammar telah di diagnosis mempunyai penyakit kulit keturunan ini oleh Dr Md Noh masa aku pegi KL tengah Februari dulu. Tapi baru minggu lepas menjadi agak teruk, seluruh badan penuh, peha, tangan dan leher. Aku google tengok, macam bukan, tapi nak kene jugak bawa tengok lagi satu doktor, buat seken opinion. Apesal doktor suka sangat membuat diagnosis yang tergesa-gesa, selak sikit terus bagi pandangan dan suggest ubat. Tak bleh ke bawak bertenang, berfikir sejenak, berkongsi sedikit lagi tanda diagnosis dan membuat keputusan dengan tenang? Segala yang dicakapkan terus dipintas dan terus memberi keterangan ubat. Dah tu, nama ubat pon tidak dikongsi.

Artakus dan Arkus

Lupakan sebentar Tolkien dan The L.O.T.R.

Tinggalkan sahaja JK Rowling dan Harry Potternya.

Yang sebenarnya mengembangkan imiginasi kanak-kanak aku hanyalah Artakus. Pedangnya Arkus dan cinta hatinya Laira. Serta misi dan pertempurannya dengan pihak musuh di dunia Aurora.

Aku hanya pernah dan sempat membaca 3 buku pertama tulisan Ahmad Patria Abdullah ini (aku tak endah pun nama penulis selama ini). Permata Aurorius, Kota Arialun dan Kembar Artakus.

Mana datangnya buku ini, aku tak tahu, cuma aku rasa, mungkin pak yang beli dan bawa pulang satu buku, kemudian mungkin abang atau pak sendiri yang beli yang kedua dan ketiga. Buku ini sangat mengasyikkan. Aku teringat sampai sekarang nama Artakus ini.

Aku membaca sambil membayangkan situasi alam fantasi yang dicipta, makhluk-makhluk jahat atau hodoh yang dijumpai Artakus, aku teringat permainan minda yang perlu diselesaikan Artakus dengan makhluk pemakan mangsa semasa misinya mencari permata Aurorius. Cintanya pada Laira. Patuhnya pada permintaan Merkia. Serta pergolakan dalam masyarakat Aurora. Memang ralit.

Aku terjumpa setelah 3 kali melompat blog, lompat dari Hilang Punca ke Tok Rimau, kemudian ke Fajar. Jumpa Saga Artakusiad. Usaha mengumpul hasil karya ini amat dihargai. Sekurang-kurangnya menggamit memori kanak-kanak aku.

Ada lagi 4 buku yang aku tak tahupun kewujudannya (mungkin ada siri ke-8). Kesinambungan kisah yang sama rupanya. Aku ingat buku ini dipandang ringan, rupanya ada lagi orang lain juga yang meminatinya. Bukan setakat minat, tapi telah ada kumpulan penulisan tersendiri. Syabas.

Agak-agak ada lagi ke buku ini kat rumah sekarang? Sudah tidak diterbitkan lagi. Siapa yang jumpa mungkin pemilik bertuah. Buku adalah terbitan DBP. Semua sinopsis buku itu ada disini. Saga Artakusiad.

Siapa kata di Malaysia tiada kisah fantasi hebat?

Lupakan sebentar Tolkein dan The L.O.T.R.

Tinggalkan sahaja JK Rowling dan Harry Potternya.


Sabtu, Mac 07, 2009

Ada mesalah dengan kereta anda? Siri 2 dari 2

(bersambung dari kisah sebelum ini)

~Isnin~

Simptom:
Bateri hilang tenaga. Tak bleh start.
Punca:
Bateri yang telah dicas tetapi mungkin pendek hayatnya.
Langkah Penyelesaian:
1. Telefon rakan sekerja. Dibatalkan sebab dah 10 minit lepas waktu wajib masuk pejabat.
2. Telefon teksi. 2 syarikat teksi bertelefon menolak permintaan, tiada teksi di kawasan sekitar.
3. Naik moto ke pejabat. Minyak moto telah kering akibat pemeluwapan.
4. Telefon Proton-I-Care. Segan. Dah 2 kali mintak jump-start dalam tempoh terdekat.
5. Telefon superior mintak cuti dan menyelesaikan masalah selepas itu. Tak jadi, rugi cuti nanti.
6. Termenung, masuk balik rumah, melunaskan hajat besar dan makan biskut. Sementelahan isteri mendapatkan nombor telefon teksi kawasan sekitar. Dapat teksi. Ke pejabat seperti biasa.
7. Balik tengahari dengan bantuan rakan sekerja. Beli minyak petrol buat isi moto.
8. Makan tengahari, semayang, bukak bateri kereta, ikat belakang moto. Hujan turun dengan tiba-tiba. Bukak balik ikatan bateri kat moto, cari baju hujan bawah tempat duduk. Tengok isteri. Dah buang. Sebab tercarik sana-sini dah masa nak lipat. Haih. Cari jaket lain buat kegunaan sementara.
9. Start moto macam nak patah kaki, lama sangat tak start. Mujur hidup.
10. Redah hujan dengan moto ke kedai mengecas bateri. Bawak turun bateri dari moto. Maaf, pengecas kami rosak.
11. Takpela, bateri baru berapa ringgit? Bateri basah RM2++. Bateri kering RM2++. Murah 6 ringgit. Tengok dalam poket, ada RM1++. Tak cukup. Takpela. Nanti saya datang kejap lagi.
12. Telefon PROTON. Tanya harga bateri baru berapa. RM3++. Ok. Terima kasih.
13. Pegi kedai 2 ringgit. Beli baju hujan. 8 ringgit.
14. Pegi kembali kedai mengecas bateri. Beli bateri sel kering. Bayar pakai kad plastik. Dapat kurang RM6. Tapi kemudian kene servis cas untuk guna kad plastik. RM 5.
15. Bawak balik 2 bateri atas moto. Mujur pengikat getah ada 2. Helmet tanpa visor memang pedih mata kalau kene hujan. Mujur baju tak basah sangat. Seluar je.
16. Bukak kotak bateri baru. Pasang terus kat kereta. Amik wayar positif, letak kat tanda (+), ada bunyi Dupp!! Amik wayar negatif, letak kat tanda (-).
17. Isteri tegur. Ehh, kan dah terkunci kereta. Teringat, bunyi Dupp!! itu kembali. Masalah baru telah timbul. Pengunci Utama memang akan berbuat demikian ketika menggantikan bateri atau membuka bateri. Cilakak.
18. Wayar diikat kemas. Kunci dicuba pada pintu. Tidak berhasil. Tersangkut pula. Biar.
19. Naik moto pegi keje. Lambat 30 minit dari waktu wajib pulang dari lunch. Nasib beli baju hujan.
20. Sampai opis, muka serabai, sekreteri senyum menyeringai.
21. Dekat nak balik, mintak tolong rakan sekerja sekali lagi. Kali ini untuk membuka pintu kereta. Pembaris besi dibawa bersama.
22. Jolok dari pintu depan tidak berhasil.
23. Cabut fius memory pun tak jadi.
24. Bukak bateri baru, pasang bateri lama pun tak jadi.
25. Cuba dari pintu depan kiri, juga tidak berhasil.
26. Kopak tingkap segitiga penumpang belakang kiri, berhasil. Tapi tak boleh buka semua.
27. Mujur dah tengok Youtube masa kerja. Ada orang buka pintu guna tali kasut. Cuba, ada tanda nak berjaya untuk kali pertama. Kali kedua, rakan sekerja yang buat. Berjaya.
28. Pintu dah boleh buka. Bateri dipasang. Kereta dihidupkan.
29. Rakan sekerja memang banyak membantu.
30. Bawak anak-anak pusing deret rumah dengan moto. Mereka teruja nak naik moto.

~Rabu~
Simptom:
Slot kunci yang lolos memang menyusahkan untuk meninggalkan kereta dimana-mana.
Penyelesaian:
1. Lepas balik kerja, tanya 1 kedai aksesori. Dia kata boleh buat, tapi kene order. Esok baru barang ada. Takpe, bagi nombor henpon. Tunggu dia telepon.
2. Tak puas hati, tanya pula kedai yang banyak jual skirting kit. Tak boleh buat. Cuba tanya kedai 122 dekat belakang Taman U. Dekat kilang-kilang.
3. Pegi area kilang, cari 122. Memang ada 122 lepas 2 deret aku cari. Mekanik kata, pegi kedai kunci. Ye, kedai jual kunci rumah tu, dekat Caltex. Dia boleh tolong repair kunci. Apa jenis pon boleh. Dia pon buat kat situ.
4. Pegi pula kedai Kunci. Memang dia boleh buat. RM30 je. Tapi kene bukak slot kunci. Bagi dia.
5. Pegi kedai repair yang pernah buka kunci ni hari Ahad tu, mintak dia tolong buka. Dia kata ok. Sekarang ke? Jam dah 7.30 malam. Lupa nak tanya, kedai Kunci amik masa berapa minit nak repair kunci.
6. Pegi balik kedai Kunci. Dia kata 30 minit. Sekarang boleh siap.
7. Pegi semula kedai repair. Diorang bukak 40 minit. Berlari-lari ke kedai Kunci.
8. Ada sorang gadis terkejut sebab ada sorang mamat gila pakai baju hitam, seluar hitam berlari belakang dia. Ingat peragut ke?
9. Sampai kedai Kunci. Serah slot kunci.
10. Jalan pegi Petronas. Semayang.
11. Beli air kat Petronas. Jalan pegi kedai Kunci. Tunggu.
12. 35 minit siap kunci ditebuk. Ada serpihan yang dia tak boleh pasang semula.
13. Berlari pula pegi kedai repair.
14. Ada mamat cina pula perasan aku amik gambar dia, padahal tengah amik gambar slot kunci belakang keta dia. Nak bubuh dalam blog ini.
15. Kedai repair cuba pasang. Rupanya slot kunci tak betul-betul direpair. Juga pencangkuk di pintu juga rosak. Bukan slot kunci sahaja.
16. Kereta ditinggalkan, balik mekanik yang hantar ke rumah. Dia janji untuk cari pencangkuk dan slot kunci untuk ganti.
17. Esok. Dapat panggilan, slot kunci pintu dan dalam boleh diganti tapi kene pakai anak kunci baru satu set, pencangkuk pun boleh diganti. Pengunci Utama juga perlu diganti, semua sekali RM3++.
18. Setuju. Janji selesai semua masalah.
19. Minta tolong rakan sekerja ikut balik dengan moto ke rumah. Tumpang kereta dia ke kedai repair.
20. Bayar. Test. Memang dah elok. Tapi tingkap pula agak keras untuk diturunkan. Anggap sebagai collateral damage ajelah.

Cukup panjang tak penyelesaian masalah ini? Lepas selesai semua. Yang agak bertahun-tahun menurunkan nilai percaya pada diri sendiri aku terhadap masalah kecil kereta ini, aku punyai rasa yang lain ketika membawa kereta.


Aku rasa macam bawak BMW. Sungguh.



Jumaat, Mac 06, 2009

Ada mesalah dengan kereta anda? siri 1 dari 2

~kira-kira 2-3 tahun sebelum ini~

Simptom:
Sistem penggera keselamatan gagal berfungsi.
Punca:
PROTON kata puncanya bateri kedua atau bateri pembuka di kunci.
Penyelesaian:
Setelah bateri kedua ditukar, penggera tidak juga berfungsi. Bateri pembuka di kunci juga dicuba yang baru. Tetap tidak berfungsi.
Cadangan:
Tukar sistem penggera keselamatan.
Langkah seterusnya:
Biarkan sahaja, kos sistem penggera ditimbang sebagai mahal dan kunci masih boleh digunakan.

~2-3 minggu selepas 2 tahun yang lalu~

Simptom:
Pengunci Utama juga gagal berfungsi.
Punca:
Tidak diketahui.
Penyelesaian:
Hanya kunci pintu pemandu yang akan terbuka apabila menggunakan kunci. 3 pintu lain perlu dibuka secara manual dari dalam. Menurunkan tingkap dan penumpang membuka sendiri adalah cara terbaik. Tetapi agak memalukan pemandu jika penumpang adalah rakan sekerja atau tetamu baru jumpa. Tebalkan muka sahaja.
Langkah seterusnya:
Masalah mungkin berkait dengan sistem penggera, jadi masih dianggap mahal dan dibiarkan sahaja. Berpada dengan kunci sahaja untuk menggunakannya.

~setahun dua yang lalu~

Simptom:
Bateri cepat kehilangan tenaga (3 kali). Tak boleh start.
Punca:
Tidak diketahui, mungkin tempoh idle terlalu lama ketika menunggu atau jarang menghidupkan kereta atau terlalu kerap berjalan jauh.
Penyelesaian:
1. Menukar bateri sel kering. Tahan setahun. Jadi semula.
2. Memanggil bantuan Proton-I-Care. Percuma servis jump-start untuk pemegang kad PROTON Daring. (2 kali). Jadi kali ketiga, dah naik segan nak panggil PROTON sebab juruteknik yang sama. Bateri masih tidak diganti.
3. Memanggil bantuan rakan sekerja untuk jump-start.
4. Mengecas semula bateri sel kering dengan harapan tempoh hayat masih boleh dipanjangkan.

~2 minggu yang lalu, Ahad~

Simptom:
Lubang pembuka kunci telah gagal berfungsi. Lolos. Pintu tidak dapat dikunci. Mujur ketika ingin mengunci kereta dan pintu penumpang masih belum ditutup.
Keterangan Simptom:
1. Ketika ingin keluar untuk makan tengahari bersama keluarga. Yang kemudiannya ingin ke JUSCO membeli barang-barang dan kedai untuk beli barang basah.
Penyelesaian 1:
Ke kedai kereta berhampiran. Slot kunci ditanggalkan, tidak juga ketemu punca penyelesaian, masalah baru timbul, kunci tersekat di dalam slot kunci. Setelah mencuba berkali-kali, baru kunci berjaya dikeluarkan. Cadangan mekanik, hantar ke PROTON untuk diganti keseluruhan sistem kunci.
Langkah seterusnya:
Kira-kira untuk keseluruhan sistem kunci, kunci utama dan sistem penggera asli dari PROTON mungkin menjangkau RM1000. Masalah tidak dirujuk kepada PROTON. Penyelesaian sendiri dicari. Tangguh esok. Selesaikan segala urusan membeli hari ini dengan meninggalkan kereta tidak dikunci dibahagian bonet dan pintu penumpang bahagian kanan ketika ditinggalkan di JUSCO. Kemudian menunggu dengan enjin dihidupkan semasa menunggu urusan membeli barang basah. Malamnya, bonet dibiarkan tidak berkunci.

~Isnin~

Simptom:
Bateri hilang tenaga. Tak bleh start.
Punca:
Bateri yang telah dicas tetapi mungkin pendek hayatnya. Serta semalam idle terlalu lama ketika menunggu urusan di kedai barang basah.

2 mesalah pada masa yang sama. Buntu.

Kisah ini tidak berakhir disini. Masih panjang. Orang marah aku tulis panjang-panjang, nanti tak sempat nak alih bahasa untuk berita. Tunggu esok ye.
Nantikan langkah-langkah penyelesaian yang telah diambil. Bersambung.

Rabu, Mac 04, 2009

Sinetron Dramalova VI

Babak 1

Tunggu longgokan penuh, baru pakaian terpakai akan dibasuh. Jimat air, jimat pencuci, jimat peluntur, jimat elektrik. Pakaian terpakai tidak disumbat sembrono, diasing-asing antara putih dan berwarna, antara dalaman dan luaran, antara anak-anak dan suami, antara lusuh lasam dan kurung kemeja, antara pakaian dan kain kegunaan. Dari satu ke longgok-longgokan.

Masuk Baju. Masuk air. Tunggu. Masuk Pencuci. Putar. Tunggu. Buang air. Tunggu. Masuk air. Tunggu. Putar. Tunggu. Buang air. Tunggu. Masuk air. Tunggu. Putar. Tunggu. Buang air. Tunggu. Masuk air. Masuk Peluntur. Putar. Tunggu. Pindah ke pengering. Putar. Masuk baju yang lain. Ulang semula untuk setiap longgokan.

Baju anak-anak dan dalaman disidai di penyidai bulat beranting jurai. Seluar dan baju sebelah menyebelah. Dalaman atas dan bawah seranting sama. Yang sepasang dipasangkan bersama. Hak suami sebelah menyebelah. Hak isteri sebelah menyebelah. Kain batik dan pelikat di penyidai bertingkat. Baju kerja dan kurung dihanger tergantung tinggi. Cadar selimut dan sarung bantal di tembok batu dan pagar. Menyorot petang. Semua diangkat. Kadang-kadang, esok atau lusa buat sidaian di bawah teduhan.

Kain yang telah kering dilipat tepat, bucu dan sisi tajam seperti disterika, disusun rapi mengikut empunya dan lipatannya tidak pernah kurang atau lebih dari baju yang lain. Sama. Petak. Nipis. Seperti ada acuan yang membentuknya. Lipatan pasaraya bukan tandingannya.

Bukan Kasabonita, bukan Puan Sanchez, bukan Ms Solez, bukan Puan Christina. Ini Marcia. Keistimewaannya.

Babak 2

Jumaat petang, lepas waktu wajib kerja, Diego selalu pulang hampir Maghrib, sekali harung lepas kunci pintu ofis, terus ke surau untuk sembahyang Asar. Negara Brazil memang ada rakyat Muslim dan memberikan kemudahan sempurna untuk mereka beribadat waima di pejabat sekalipun. Bukan bersolat di tepi tangga atau belakang pintu stor seperti negara Bolivia.

Lepas solat Diego terus menyarungkan kembali kasut kerja. Stokin disisip masuk ke poket tepi beg sandang. Diego periksa, wallet dan sikat di poket depan kiri, telefon genggam, pen dan sapu tangan dipoket depan kanan. Cincin disarung semula, jam dipakai di tangan kanan. Kunci kereta dan ofis di poket kanan tepi. Lengkap. Diego ke kereta. Malam ini ada pasar Samba. Orang bukak gerai atas jalan, tiada ruang untuk kereta lalu.

Diego beli 'apa-apa aje' Rs2, 'boleh je' 2 bungkus, 'ikut sukala' 2 ketul, 'tak tahu' untuk anak-anak. Diego pelik, kenapa la orang perempuan tak boleh order menda yang nyata. Semua menda kena berkias. Mujur lepas berkias, Marcia pesan kembali dengan sms. Diego menurut sahaja.

Sampai rumah, keluar kereta, buka pagar, masuk kereta, tutup pagar, kunci pagar, bukak bonet, sandang beg, jinjit barang makanan, masuk dalam rumah.

Diego keluarkan stokin dari poket tepi, letak terus dalam longgok. Salin baju letak terus dalam longgok, semayang, bersila hadap makanan. Makan sambil baca paper. Bukak berita tv.

~3 hari kemudian~

Diego tengah menghadap komputer. Kerja. Telefon berbunyi. Ringtone standard. Tiada bunyi mp3 mahupun polifonik. Marcia!

"Hello abang, ayang tengah sidai baju ni" Marcia mula.

"Hah, dah tu?" Diego tanya. Ingat ada bangla nak jual kain ke, perampok masuk rumah sebelah ke.

"Puas ayang cari, dekat mesin basuh, dalam bakul, tak jumpa, hilang pergi mana?" Marcia menjelaskan situasi.

"Cari apa?" tanya Diego lagi.

"Stokin abang, ada satu je, mana sebelah lagi?" Marcia resah jika yang ingin dikerjakan tidak lengkap.

"Hahahah, jap, nanti abang tengok" Diego selak poket tepi beg sandang, memang ada lagi satu. Tertinggal.

"Hah, ada kat dalam beg, tertinggal" Diego dah suka.

"Abang tau kan ayang tak bleh buat kerja tak abis. Bawak balik lepas keja nanti" Marcia geram.

"Hehehe, ye baik, sori, tak perasan la, ingat dah letak dedua dah, lupa kot" Diego cuba bela diri.

"Ok lah, tu je, bye" Marcia menamatkan panggilan.

Diego sambung kerja.

Yang sepasang dipasangkan bersama.

Selasa, Mac 03, 2009

Selepas jalan-jalan cari jalan lagi

Secara ringkas, aku mencapai beberapa objektif trip ke KL. Akan tetapi tidak memenuhi sesetengah daripadanya.

1. Hantar Yam ke NZ di KLIA.
Yang ini berjaya dengan jayanya. Aqil sungguh-sungguh ajak aku lintas sekali gate check-in itu. Dia juga nak naik kapal terbang. Sangat obses terhadap kapal terbang ini. Dah tengok kat anjung tinjau pun tak puas. Jenuh nak pujuk supaya dia melupakan hasrat dia itu. Ammar, dia rancak dan galak menari atas pentas kat pintu ke anjung tinjau sebab ada muzik oleh DJ upahan. Bila ajak balik, dia teriak dan merajuk. Yam cam biasa, mengalirkan airmata semasa berpisah. Beg dia lebih 10kg dari ketetapan, patut kene bayar RM100++ tiap kilo tambahan, gila (Royal Brunei), mujur ada kawan dia yang bawak beg ringan, boleh beri dan terima. Masa makan Raja Burger sempat lagi semua berkongsi idea untuk membuat kilang kuah rojak Aji. Harapnya ada la rezeki sedikit masa lagi. Amin.

2. Amik jersi kiriman Raman.
Tidak berhasil. Dilla pegi K.K, tak sempat jumpa. Dia janji nak bagi kat Qis. HMD aka Rage, nanti-nantila ye jersi itu, belum sampai ke tangan aku. Aku try pakai seround JUSCO dulu bleh? Hahah.

3. Tol murah dan tol naik harga
Mendapat tol murah tercapai dengan perkiraan dan perancangan teratur aku dengan balik keje kol 8 malam (sambil dimarahi bertalu-talu dengan panggilan telefon dan ugutan, nak balik ke tak nak nih!?)dan bertolak dari rumah jam 9. 3 jam 15 minit kemudian aku dah keluar tol USJ tanpa perlu mengambil angin kat RnR Dengkil seminit dua. Nak merasa tol naik harga tak jadi, sebab kerajaan tunda tarikh tol naik atau mungkin hanya menaikkan sebilangan kecil harga tol nanti. (padahal dah mesyuarat 2-3 minggu lepas pun keputusan nih, konon prihatin la, kalau prihatin sangat, beli terus la PLUS).

4. Tidur di rumah kosong USJ3/1A.
Ini juga tercapai dengan jayanya. Akan tetapi ada beberapa perkara negatif yang ingin aku ulaskan sepositif mungkin. Sesampai sahaja kami ke persimpangan masuk USJ 3, aku melihat USJ 4 dan lain-lain terang benderang mengalahkan kegelapan USJ 3. (USJ 3 blackout). Pabila aku ingin meloading bantal, tilam dan beg baju, aku tidak berusaha untuk memijak lokasi yang tiada najis kucing, maka najis kucing itu tetap dipijak. Sementelahan kami menghargai kegelapan dan kesunyian rumah ini, anak-anak tetapi riang gembira bermain bersama sepupu mereka dan hanya suara mereka memecah kesunyian kawasan perumahan separa mewah ini. Terdapat banyak serangga-serangga peliharaan tak terkawal seperti lipas dan semut yang sangat mesra dengan manusia walaupun ketika kami sedang tidur.

Keaadaan rumah ini tidak banyak berubah, kabinet dapur masih yang lama, ditambah pula kabinet almari pada tiap bilik-bilik di tingkat atas walaupun daun pintu dan engselnya kelihatan sedikit sahaja lagi akan hilang fungsinya. Lantai bilik bawah berdekatan pintu bilik air sudah mula menanggalkan diri mereka masing-masing dan berpecah mengikut haluan sendiri. Kesan-kesan lubang di dinding hasil penanggalan mesin penghawa dingin dibiarkan tanpa tampalan semula atas dasar ingin memberi lebih ruang sisip angin dan peredaran udara panas yang lebih efisien. Beberapa daun pintu dan tombol telah sengaja dihilangkan fungsinya dan hanya ditampal pita selophane bagi mengelakkan anak-anak kecil dari terperangkap terkunci dari dalam bilik. Pokok pisang yang aku jangka telah berbelas-belas generasi sejak peninggalan kita pada tahun 1993 masih membiak dibelakang rumah, aku nampak seekor tupai bermain-main di sekitar laman belakang.

Pokok mangga di laman rumah sudah lama tiada dari posisi asal, tetapi pokok mangga di laman luar telah membesar seperti remaja meningkat dewasa. Taman permainan tempat aku pernah membuat gulingan pada palang besi, melompat dari buaian ketika masih laju dan menggangap pokok yang ditanam sejajar sebagai tiang gol telah berubah rupa. Masih mengekalkan fungsi sebagai taman permainan tetapi fasilitinya telah berubah. Aku pun tak sentimental sangat layan taman ini sebab keseluruhannya dah lain.

Encik Hashim juga telah meninggalkan bil air dan bil elektrik tanpa pembayaran kerana mengikut fahaman matematik moden beliau, duit deposit RM300 untuk bil utiliti ketika beliau memasuki rumah ini berbelas tahun yang lalu boleh menghalalkan bil-bil tertunggak tersebut yang agak sama dengan harga 4 ekor kambing biri-biri siap lapah. Encik Hashim juga masih belum melunaskan sewa rumah bulanan yang telah tertunggak berusia bersamaan dengan bayi yang sudah tumbuh 4 gigi dan dah boleh merangkak.

5. Berparti bujang.
Hahah, Red tak balas serta Duta pon tak balas maka tiadalah parti liar mahupun makanan mahal. Aku dah sedikit terpengaruh nak ikut makcik dan keluarga pegi mandi air terjun dan tengok gajah. Kat Bentong dan Kuala Gandah. 2 jam dari KL. Sikit lagi je aku dah nak buat keputusan itu, tapi aku tukar kepada menghantar sms ke Tuan. Tanya ada peluang nak tidur kat rumah dia tak malam Sabtu itu. Dia setuju, aku terus buat plan ke arah Bukit Antarabangsa. Lepas hantar mak kat KL Sentral, aku pusing KL Sentral mencari jalan susur sebenar ke arah KL, ada la 3-4 kali, lebih afdal orang kata. Layan JUSCO AU Keramat. Ni JUSCO baru aku rasa, design pon pelik pada JUSCO-JUSCO lain yang pernah aku jejak. Mujur ada juga kedai buku. Beli satu yang ada gambar kapal terbang buat Aqil, satu gambar binatang buat Ammar. Resit simpan buat tuntutan cukai pendapatan tahun 2009 nanti. Jumpa Syila, sembang-sembang, jalan-jalan, gossip-gossip, makan-makan, naik kereta hantar Syila gi LRT (Nota: Ezi yang nak jumpa Syila, walaupun Syila lambat 45 minit dari janji yang telah ditetapkan, hahah).

Terus kami ke rumah Tuan. Aku merasa la lalu jalan baru yang dibuat sempena tragedi tanah runtuh itu. Tuan pesan, ko ikut je belakang kereta lain, sure tak sesat, mujur aku ikut kereta yang betul, kalau tak, mungkin aku turut parking di sebuah rumah mewah di belakang sebuah Avanza yang aku mula-mula folo. Sampai sana sembang-sembang lagi. Khalis dari dah tidur mangkit semula sebab Aqil & Ammar memecah kebisingan seakan kanak-kanak kecil yang tiada rasa bersalah. Aku tak tau sebab apa, tapi Aqil suka main dengan Khalis, sejak dorang masih kecil dan tak pandai berjalan lagi.

Pagi esok, tetamu mangkit lambat lagi dari tuan rumah, sarapan dengan Tuan sekeluarga. Nasi lemak. Sedap. Dah tengahari baru gerak ke rumah Ateh. Hantar barang yang dipesan dan makan tengahari pulak. Sedap jugak. Dah dekat 3 petang baru balik JB.

Hasil dari acara jalan-jalan cari jalan ini, kami merasa agak tercapai segala objektif yang ingin dicapai. Cuma aku rasa bulan 3 ni aku akan lebih banyak acara jalan-jalan cari jalan yang bersifat propesenal pula. Maka kisah terbaru dari sini mungkin akan terjejas. Harap maklum.

Nota pedal minyak Gen2 amANI: Hit counter aku dah cecah 1000 dalam masa 2 bulan. Hoho. Riak takbur. Tapi aku rasa, aku sorang je dah dekat 200-300 kali hit kot. Ah, perasan je lebih. Apepun, chedet.cc.co
bleh dapat 20000 sebulan releks2 je .(Aku selalu acces chedet dengan menggunakan link dari blog Leen. Hahah, malas, cakap pasal malas, aku juga malas bubuh gambar untuk kisah ini, tengok terus ke Picasa je, nanti aku bagitau bila dah masuk, aku juga tak rasa ini sangat ringkas, hahah)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...